Namun, jika pengunjung mahukan juadah yang lazat dan lebih murah, Restoran Sri Titingan merupakan antara pilihan tepat. Restoran yang diusahakan sejak 2008 itu sering menjadi sebutan ramai masyarakat tempatan dan merupakan antara tempat yang harus dikunjungi pelancong yang mahukan kepuasan di dalam menikmati kepelbagaian makanan laut.
Terletak kira-kira 4.6 kilometer dari bandar Tawau, restoran berkenaan menyediakan pelbagai hidangan makanan laut yang menggunakan bahan dan resipi tersendiri.
Menurut Pengurus Pemasarannya, Jhazfazriel Jaka Shya J. Hamsah, 26, pihaknya menawarkan pelbagai jenis menu yang memenuhi citarasa tempatan dan menepati selera pelbagai lapisan masyarakat.
“Resipi yang dihasilkan di restoran ini merupakan hasil ciptaan dan inovasi pemilik restoran, Isnaji Marasantu yang juga merangkap sebagai tukang masak di sini.
“Bagi memastikan kualiti rasa masakan menepati kehendak dan kepuasan pelanggan, penyediaan sos masakan seperti Sos Suna, Sos Madu, Sos Lemon, Sos Kopi Lim, Sos Sambal Asam dan Sos Black Bean hanya akan dilakukan oleh pemilik restoran.
“Selain itu, bagi menjamin kesegaran dan kualiti makanan laut yang dihidangkan, kami hanya menggunakan bahan mentah segar yang dibekalkan penjual. Harga yang ditawarkan juga lebih murah berbanding di tempat lain kerana bekalan diperoleh daripada penjual yang dikenali rapat,” katanya.
Dalam pada itu, pelanggan mungkin tidak berpeluang merasai keenakan hidangan bersumberkan gamat dan sirip Yu yang lazimnya hanya dinikmati di restoran mewah dan dikenakan pada harga yang mahal.
Namun di Sri Titingan menawarkan harga yang murah dan mampu dinikmati semua pelanggan memandangkan bekalan bahan mentah diperoleh daripada pengusaha yang merupakan keluarga terdekat.
“Antara hidangan yang disediakan termasuklah sup sirip Yu, mi sirip Yu, sayur gamat, mi goreng gamat, nasi goreng gamat dan sebagainya. Kami juga menjual bahan mentah berkenaan kepada mana-mana pengusaha restoran atau pengguna lain yang memerlukannya,” katanya.
Sementara itu, antara jenis ikan yang digunakan ialah seperti ikan merah, siakap, bawal, putih, belawi, dan kerapu. Harga pula berbeza mengikut jenis dan berat ikan iaitu antara RM25 hingga RM35. Bagi ikan putih dan belawi harganya RM25 sekilogram, ikan siakap, bawal dan kerapu RM30 (sekilogram) manakala ikan merah pula harganya RM35 (sekilogram).
“Kami turut menyediakan pelbagai jenis masakan seperti masak tiga rasa, mangga Thai, masak kicap, masak madu, steam halia, asam pedas dan bermacam-macam.
“Hidangan lain seperti udang, tiram, ketam, kerang dan sotong turut ada disediakan. Kami juga menyediakan makanan ala carte,” katanya.
Pihaknya juga ada menyediakan hidangan stimbot pada harga RM20 untuk pelanggan berusia 12 tahun dan ke atas, RM10 (bawah 12 tahun) dan percuma bagi kanak-kanak 5 tahun ke bawah bermula pada pukul 5 petang hingga 10 malam.