Selain pelanggan yang datang makan di situ, ramai juga yang membawa mangkuk tingkat atau membungkus makanan untuk dibawa pulang dan dinikmati bersama keluarga.
Hidangan asam pedas adalah antara makanan atau lauk-pauk yang menjadi kegemaran ramai. Jika betul cara memasaknya serta memenuhi selera pelanggan, sekali rasa mereka akan datang lagi.
Bagaimanapun, untuk mendapatkan hidangan asam pedas yang betul-betul asli agak sukar. Ramai yang boleh memasak asam pedas tetapi rasanya berbeza-beza.
Ada yang terlalu cair, ada yang kurang asam, kurang cili dan sebagainya. Pun begitu, jika anda seorang yang amat menggemari asam pedas, apa kata jika mencuba asam pedas di Kantin Asam Pedas.
Pastinya pelbagai hidangan asam pedas di sini memenuhi selera dan sudah tentu anda akan datang kembali ke sini.
Dibuka enam bulan lalu oleh Roslin Abu Hassan, 44, keistimewaan asam pedas di sini ialah kuahnya pekat.
Katanya, sebelum mula berniaga asam pedas ini, dia telah banyak mencuba asam pedas di restoran lain, namun kebanyakannya cair, tidak cukup bahan dan sebagainya.
Jelas Roslin, asam pedas yang benar-benar asli mestilah berkuah pekat bukan cair. Asam pedas yang disediakan di restorannya mempunyai kuah pekat dan dibuat sama seperti yang dimasak di rumah untuk hidangan keluarga.
“Masakan asam pedas saya ini adalah gabungan asam pedas Muar dan Melaka. Asam pedas sememangnya menjadi makanan tradisional dua tempat tersebut. Sebab itu kalau orang hendak merasa asam pedas yang asli, datang ke Muar dan Melaka. Itu pun harus pandai mencari kedai makan atau restoran yang menyediakannya.
“Bagaimanapun bagi peminat asam pedas di Kuala Lumpur boleh sahaja datang ke Kantin Asam Pedas kerana anda akan mendapat yang asli. Sebenarnya kesemua masakan asam pedas di sini adalah resipi daripada suami saya, Abu Talib Jasman yang berasal dari Muar yang terkenal dengan asam pedas pekat.
“Dia memang pakar memasak asam pedas dan saya banyak belajar daripadanya. Jika dia tidak sibuk, dia sendiri yang akan memasak. Suami saya pun belajar daripada keluarganya yang pandai dalam bidang masakan.
“Di sini saya menyediakan beberapa jenis masakan asam pedas, iaitu asam pedas ikan pari, kerisi, kembung, tenggiri, merah, parang, senangin, asam sembilang dan beberapa jenis ikan lagi.
“Selain itu saya turut menyediakan asam pedas kepala ikan seperti kepala ikan merah, tenggiri, jenahak dan ikan duri yang mendapat banyak sambutan. Ada juga ikan goreng dan telur dadar bagi kanak-kanak yang tidak boleh makan pedas.
“Istimewanya di Kantin Asam Pedas ini saya menyediakan set makan tengah hari dengan harga yang amat berpatutan. Bagi semangkuk asam pedas bersama nasi, ikan masin, telur masin, ulam-ulaman, sambal belacan dan sirap (yang boleh ditambah percuma), harganya cuma RM10 hingga RM15 sahaja. Harga untuk kepala ikan pula ialah di antara RM30 hingga RM45,” kata Roslin yang berasal dari Melaka.
Menurut ibu kepada tiga orang anak ini lagi, walaupun kesemua hidangannya adalah asam pedas namun dia tidak memasak semuanya sekali gus. Jika terdapat 10 jenis asam pedas, dia akan memasak dalam 10 periuk supaya setiap rasa asam pedas itu berbeza. Jika dimasak sekali gus, rasa ikan-ikan yang dimasak akan bercampur-baur.
Ujarnya, ikan-ikan yang dimasak itu pun dipastikan segar dan tidak membeli ikan beku supaya rasa ikan tersebut ‘manis’ setelah dimasak.
Tambahnya, sebaik dibuka pada pukul 11 pagi, pelanggan sudah ramai memenuhi. Itu belum lagi dengan pelanggan tetap yang datang bersama dengan mangkuk tingkat.
Setiap hari mereka akan membeli masakan asam pedas yang berbeza. Pelanggan masih akan makan di sini sehingga restoran ditutup pukul 4.30 petang.
Dinamakan Kantin Asam Pedas, kata Roslin, nama kantin dipilih kerana restorannya dikunjungi oleh ramai golongan pelajar universiti dan kolej seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Multimedia, Kolej Consist dan sebagainya.
Oleh itu, dia mahukan mereka merasai suasana yang santai seperti di kantin universiti mereka.
Dibuka setiap hari kecuali Isnin, Kantin Asam Pedas boleh memuatkan seramai 45 orang pelanggan pada satu masa. Roslin turut menyewakan ruang restoran bagi pelanggan yang ingin mengadakan sebarang majlis di sini dengan bayaran RM300 dan tidak termasuk makanan.
Kepada yang ingin menikmati asam pedas di Kantin Asam Pedas bolehlah berkunjung ke EG 14, Blok E, Residensi Bistaria, Ukay Perdana, Hulu Kelang atau menghubungi Roslin di 012-6665552.