Bahkan, populariti nasi lemak menjangkau batas masa apabila makanan yang asalnya untuk sarapan pagi, kini boleh diperoleh dan dinikmati tanpa mengira masa termasuk hingga ke tengah malam.
Menariknya, sesetengah nasi lemak mempunyai ‘pengikut’nya sendiri hingga diberi pelbagai jolokan atau nama bagi mudah membuat perbandingan atau mengingati rasa serta keenakannya.
Sebahagian pengusaha makanan juga memberi nama yang unik dan lain daripada lain kerana berasakan nasi lemak mereka mempunyai keistimewaan tersendiri.
Antaranya, ‘Nasi Lemak Tak Ingat’ yang boleh dinikmati di Abu Dhabi Coffee Cafe by TAD dan JAD, yang terletak di No. 63G, Jalan Melati Utama 4, Taman Melawati, Setapak, Kuala Lumpur.
Disediakan oleh Chef Jidin yang berpengalaman sebagai tukang masak di hotel bertaraf antarabangsa, Nasi Lemak Tak Ingat merupakan nasi lemak asli Melayu yang dibungkus dengan daun pisang.
Pada masa sekarang memang susah mendapatkan nasi lemak daun pisang kerana biasanya nasi lemak dibungkus dengan plastik, kertas minyak atau di dalam polisterin.
Berharga RM2 sebungkus, nasi lemak yang dimasak dengan santan dan daun pandan ini disediakan dengan sambal tumis istimewa yang kurang pedas, ikan bilis goreng, hirisan timun, telur rebus dan ikan masin gelama atau tenggiri.
Hanya lauk asas nasi lemak disediakan supaya pelanggan dapat mengingati semula nasi lemak tradisi seperti yang disediakan oleh ibu di rumah.
Aroma nasi lemak yang enak ini terus membuka selera sebaik bungkusan daun pisang dibuka. Menikmatinya perlahan-lahan sambil menghirup minuman pilihan di kafe ini membuatkan anda terleka seketika. Malah terdapat pelanggan yang makan sehingga dua bungkus sekali gus.
Menurut pemilik Butik Tudung Abu Dhabi (TAD) dan Jubah Abu Dhabi (JAD), Noor Rosniza Hany Abdul Raoff, 39, kafe yang baru sebulan dibuka di butiknya itu adalah bagi memberi keselesaan kepada pelanggan yang ingin menikmati makanan dan minuman sambil membeli-belah.
Katanya, selain Nasi Lemak Tak Ingat, dia dan suaminya, Rizal Harun, 40, turut menyediakan banyak hidangan ringan lain serta pelbagai minuman bagi memenuhi selera dan kehendak pelanggan.
Di antara makanan ringan dan minuman yang boleh dinikmati di sini, ialah croissant, kek cawan, sandwich, kek potong, bermacam jenis kuih-muih sejuk beku yang digoreng panas-panas seperti karipap, cucur badak, popia, sosej jumbo, bebola daging, pulut panggang, samosa dan banyak lagi.
Pelanggan juga boleh mencuba pelbagai jenis minuman yang enak sama ada sejuk atau panas seperti bermacam pilihan kopi, minuman buah-buahan, iaitu mangga, kelapa, strawberi, detoks (lemon, epal dan teh hijau), minuman berasas teh dan minuman coklat yang cukup menyegarkan.
“Harga makanan dan minuman yang dijual di sini sangat berpatutan seperti minuman kopi di antara RM3 hingga RM7, minuman teh RM6 hingga RM8, coklat RM6 hingga RM7 yang disediakan dalam bekas plastik yang besar dan kuih-muih pula RM3.90 untuk tiga keping.
“Selain menjual kuih-muih yang boleh dimakan di sini, kami turut menjual pelbagai jenis kuih-muih sejuk beku daripada Niena Frozen Station yang boleh dibawa pulang. Ini pun atas permintaan pelanggan juga.
“Ramai juga pelanggan yang membeli kuih-muih sejuk beku di sini untuk dimakan di rumah setelah merasainya di sini. Semuanya enak-enak belaka, memenuhi selera setiap orang dan kerangupan karipap kekal hingga 10 jam.
“Kami menyediakan ruang makan di dalam dan di luar butik. Seramai 20 orang pelanggan boleh makan pada satu masa dalam suasana yang santai dan selesa. Sambil isteri memilih pakaian, suami dan anak-anak boleh makan-makan. Tidaklah terasa lama menunggu.
“Biasanya pelanggan ramai pada waktu tengah hari, selepas waktu pejabat dan malam kerana ingin makan kuih-muih yang ringan bersama kawan-kawan ,” kata Noor Rosniza Hany.
Dibuka setiap hari daripada pukul 11 pagi hingga sembilan malam, Nasi Lemak Tak Ingat dijual bermula pukul 2 petang.