Menurut majalah terkenal tersebut, walaupun nasi lemak se­ring dilabel sebagai tinggi kandu­ngan lemak namun juadah itu tetap mengandungi pelbagai nutrien yang diperlukan tubuh.
“Nasi lemak sememangnya mengandungi lemak lebih daripada apa yang kita perlukan (yang boleh dielakkan dengan mengurangkan pengambilan nasi) tetapi makanan itu adalah sarapan yang seimbang kerana mengandungi pelbagai nutrien termasuk ma­nganese, protein dan karbohidrat,” lapor majalah Time.
Tambah majalah itu lagi, kan­dungan cili dalam sambal nasi lemak juga dapat membantu meningkatkan kadar metabolisme dalam tubuh seseorang yang memakannya.
Menerusi laporan majalah itu semalam, selain nasi lemak turut disenaraikan antara 10 sarapan antarabangsa berkhasiat antaranya Pho iaitu sejenis mi sup dari Vietnam dan Ful Medames iaitu hidangan berasaskan kekacang yang terkenal di Mesir.
Sementara itu, mengulas me­ngenai laporan tersebut, Pegawai Dietetik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kamarul Az­manie Kamaruzaman mengakui nasi lemak secara asasnya merupakan hidangan berkhasiat.
Namun, bagi beliau, resepi nasi lemak sebelum ini perlu diubah suai terutama dengan menggantikan santan kepada susu rendah lemak.
“Ini termasuk tidak menggunakan santan dalam sambal nasi lemak tersebut selain mengelakkan lauk-pauk berlebihan.
“Selain itu, hidangan nasi lemak juga mengandungi fiber yang rendah sekiranya ia dihidang­kan de­ngan jumlah timun yang sedikit, ia akan menjadi seimbang sekiranya satu hidangan mempunyai sekurang-kurangnya enam hirisan timun,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.