Loji berkenaan yang didirikan di atas tanah seluas 65 hektar di Kompleks Janakuasa Tanjung Bin di sini, mampu menyalurkan sebanyak 1,000 Megawatt (MW) tenaga dalam satu masa dan dapat memenuhi keperluan tenaga bagi kira-kira dua juta pengguna.
Dengan pengoperasian loji tersebut yang menjadi penanda penting Malakoff Corporation, keupayaannya dijangka mampu meningkatkan penguasaan portfolio penjanaan tenaga pelbagai syarikat itu di Semenanjung Malaysia daripada 24 kepada 29 peratus ketika ini.
Penolong Pengarah Projek Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd., Mohd Syahrul Izwan Ismail berkata, pelaksanaan loji itu akan meningkatkan pembekalan kapasiti bersih kumpulan dari 5,346 kepada 6,346 MW menerusi enam loji yang dioperasikan syarikat.
"Loji itu yang dikuasakan menerusi sistem tenaga stim menye­dia­­kan kapasiti tambahan 1,000 MW bagi Grid Nasional yang mampu membekalkan tenaga kepada hampir dua juta pengguna," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke T4 di sini hari ini.
Tambahnya, dengan pelaksanaan loji itu diyakini dapat mengukuhkan kedudukan Malakoff Corporation sebagai pengeluar utama IPP.
Loji T4 itu merupakan projek IPP pertama di Malaysia diberikan suruhanjaya tenaga menerusi proses bidaan yang kompetitif dengan penyaluran tenaga dibuat kepada Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menerusi perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 25 tahun.
Beroperasi selama 24 jam, loji tersebut mendapat notis kebenaran pelaksanaan pada Mac 2012 dan hingga kini berjaya menjalani sekali gus menepati semua ujian diperlukan bagi memastikan tenaga berkenaan dapat disalurkan dengan selamat.
Menurut Malakoff Corporation, semasa projek itu dilaksanakan pihaknya telah menyediakan pembangunan sosio ekonomi yang positif termasuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini antaranya bidang kejuruteraan, pembuatan dan pengangkutan.

Pontian: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menyatakan kesediaan pihaknya menyediakan bekalan kuasa 1,000 Megawatt (MW) untuk keperluan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia melalui janaan arang batu di Stesen Janakuasa Bebas (IPP) Tanjung Bin 4 di sini yang memulakan operasi komersialnya awal pagi hari ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) Habib Husin berkata, stesen berkenaan yang lebih dikenali sebagai T4 mendapat Notice to Proceed (NTP) pada Mac 2012 dan berjaya dihubungkan dengan Grid Kebangsaan pada 15 Oktober lalu.
Katanya, buat masa ini T4 memenuhi semua aspek ujian yang diperlukan dalam soal keselamatan dan pergantungan tenaga yang boleh dipercayai.
"Loji janakuasa Tanjung Bin Energy (TBE) dianugerahkan oleh Suruhanjaya Tenaga menerusi proses bidaan yang kompetitif. Semasa pembinaannya kami mencabar keupayaan sendiri untuk membekalkan tarif elektrik yang berpatutan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan bilangan pengguna yang ramai.
"Dalam masa sama, kami menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PFA) bersama TNB selain memeterai Perjanjian Pembekalan Arang Batu dan Pengangkutan (CSTA)antara TBE dengan TNB Fuel Services Sdn Bhd.
"TBE akan membekalkan kuasa kepada TNB melalui kontrak PPA selama 25 tahun manakala CSTA akan memastikan kesediaan dan kualiti pembekalan arang batu untuk dijana di loji janakuasa," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Difahamkan kos pembiayaan projek T4 mendapat suntikan dana daripada dalam dan luar negara yang mencecah RM6.7 billion serta dijangka memberi limpahan sosio ekonomi termasuk peluang pekerjaan di negeri ini.