Kelebihan solat kepada fizikal dan kesihatan manusia telah terbukti melalui kajian saintifik termasuklah kajian terkenal sedekad lalu oleh tiga pensyarah Jabatan Bioperubatan Kejuruteraan, Fakulti Kejuruteraan Unversiti Malaya, Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim, Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok dengan penghasilan buku bertajuk Solat yang memperincikan kesan setiap pergerakan solat kepada tubuh manusia.
Namun masih ramai yang lalai dalam mengerjakan solat malah sesetengah yang komited dengan kewajipan ini semasa sihat akan mula terasa terbeban apabila penyakit dan keuzuran menjengah.
Pensyarah Kanan, Unit Keseimbangan Badan, Program Audiologi, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zuraida Zainun berkata, pergerakan solat sebenarnya sebahagian terapi yang boleh menyembuhkan kepeningan, masalah keseimbangan badan dan keabnormalan organ vestibular (penyakit vestibular periferi).
Zuraida Zainun berkata, pergerakan solat sebenarnya sebahagian terapi yang boleh menyembuhkan kepeningan, masalah keseimbangan badan dan keabnormalan organ vestibular (penyakit vestibular periferi).

Zuraida berkata, organ vestibular yang terletak pada bahagian telinga dalam, iaitu di bahagian dalam tulang temporal otak, berperanan sebagai sistem keseimbangan tubuh yang mengawal atur pergerakan kepala dan pergerakan bebola mata selain berperanan mengekalkan keseimbangan serta koordinasi badan.
“Kita harus sedar, bukan semua pesakit pening kerana masalah tekanan darah, gastrik ataupun migrain yang kebanyakannya terpaksa bergantung kepada ubat.
“Secara purata seorang daripada 10 orang dewasa mengalami gangguan keseimbangan badan akibat keabnormalan fungsi vestibular dan terpaksa berhadapan dengan gejala seperti perasaan seolah-olah bilik atau diri sendiri berpusing, hilang keseimbangan, jatuh, loya, muntah dan sebagainya,” katanya.

Kaedah rawatan
Zuraida yang bertugas di Klinik Vertigo, HUSM Kubang Kerian, Kelantan memberitahu, kebiasaannya pesakit akan menjalani dua kaedah rawatan iaitu pengambilan ubat dan latihan fizikal. Manakala segelintir terpaksa memilih kaedah pembedahan.
Katanya, latihan terapi yang beliau bangunkan untuk pesakit adalah gabungan latihan Cawthorne-Cooksey Exercise (CCE) dari London, United Kingdom (UK) dan pergerakan asas solat seperti rukuk serta sujud.
Beliau berkata, modul latihan yang dinamakan Bal Ex dan dihasilkan bersama pasukannya sejak 2009 dalam bentuk video cakera padat (VCD) dan buku panduan itu mengandungi 20 pergerakan yang dibahagikan kepada tiga tahap berbeza khusus untuk fungsi organ keseimbangan badan.
“Antara pergerakan dalam latihan keseimbangan ini adalah menggerakkan kepala ke belakang dan depan; kiri dan kanan; menundukkan kepala, menundukkan badan seperti posisi rukuk serta menyentuh lantai seperti posisi rukuk.
“Pesakit boleh lakukan sendiri latihan ini di rumah beberapa kali setiap hari mengikut tahap dan jadual yang disediakan kerana mudah, malah dapat mengurangkan simptom masalah keseimbangan badan dalam masa kurang tiga bulan.
“Seorang pesakit saya iaitu guru berketurunan Cina yang mengalami kepeningan lebih tiga tahun telah menjalani keseluruhan tahap latihan terapi Bal Ex dan beliau sembuh dalam masa sebulan sahaja,” katanya.
Zuraida memberitahu, buku panduan ‘Bal Ex’ turut bertujuan membantu ahli fisioterapi dan kakitangan pemulihan telah dialih ke dalam 14 bahasa termasuklah Bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil, Arab, Parsi, Turki dan Jepun.
Beliau berkata, sehingga kini kirakira 3,000 set buku panduan dan VCD diedarkan. Modul latihan keseimbangan badan tersebut mampu dimiliki dan pesakit boleh melakukan terapi sendiri di rumah sekali gus mengurangkan kekerapan lawatan ke hospital