Menurut Pengurus Restoran Sari Ratu Malaysia, Zainal Adlyn Mohamad Yatim, Sari Ratu yang bermula di Jakarta, Indonesia telah mempunyai 22 cawangan di Jakarta, tiga di Surabaya, satu di Bali dan dua di negara jiran Singapura.
Berkonsepkan nasi padang, semua hidangan di Sari Ratu menggunakan rempah ratus asli yang didatangkan khas dari Indonesia manakala bahan mentah segar seperti ikan dan sayuran dibeli di sini.

Zainal Adlyn berkata, di Sari Ratu, pelanggan boleh merasai pelbagai menu bermula lebih 10 menu sarapan seperti lontong sayuran, bubur ayam atau soto ayam.
Manakala untuk makan tengah hari dan malam pelanggan boleh memilih pelbagai menu seperti gulai tunjang (urat kaki lembu), rendang minang, ayam top, sambal ijo, ikan tilapia goreng, pucuk paku masak lemak, kerepek kentang, dendeng berlado, gado-gado, gulai kepala ikan, rendang ayam, rendang daging dan pelbagai hidangan yang boleh dipilih.
“Bagi minuman, pelanggan boleh memilih pelbagai minuman semestinya yang istimewa di Indonesia seperti esteler serta jus avokado yang mempunyai banyak khasiat dan didatangkan khas dari Indonesia,” katanya.

Zainal menambah Sari Ratu baru memulakan operasi September tahun lalu dan cawangan pertama di Taman Melawati. Manakala cawangan kedua di Kampung Pandan bulan Mac ini namun mereka sudahpun mempunyai pelbagai perancangan.
“Sari Ratu mensasarkan golongan menengah atas memandangkan ramai rakyat Malaysia ke Indonesia dan apabila kembali mereka rindukan masakan Padang,” katanya.
Bagi mendapatkan keseragaman di setiap cawangan, Sari Ratu mempunyai dapur berpusat dengan pemantauan khas oleh Ketua Chef Arman Muaz yang didatangkan khas dari Indonesia.
“Kami akan memastikan menu yang dihidangkan adalah sama di setiap cawangan Sari Ratu sama ada di Indonesia, Singapura mahu pun di Malaysia,” katanya.