Seorang anak muda dari Melaka, Muhammad Hairul Ezuan Hamzah tampil berani dengan memberikan kelainan kepada pelanggan di kawasan Bertam. Lihat sahaja kafe miliknya yang dihiasi dengan pelbagai dekorasi moden, tidak hanya pada dinding, malah beliau turut mengetengahkan menu makanan dan minuman yang istimewa dan menarik.
Mula beroperasi pada awal Januari lalu, anak muda ini yakin kafenya bakal mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai, lebih-lebih lagi tiada kafe berkonsep seumpama itu wujud di kawasan Bertam.
Sebelum ini, beliau mengusahakan perniagaan ais krim pasu yang pernah popular pada awal tahun lalu, bertempat di Dataran 1Malaysia Klebang. Dari situ, timbul idea untuk menjadikan mi pasu sebagai ‘signature’ kafe tersebut.
“Idea untuk mempertaruhkan jualan mi pasu ini timbul selepas saya mengadakan perbincangan bersama keluarga dan ia diambil daripada idea ais krim pasu yang saya usahakan sebelum ini.
“Ahli keluarga memberikan sokongan penuh untuk saya memulakan perniagaan mi pasu ini dengan menggunakan resipi mi hailam yang dihidangkan dalam tiga saiz pasu berbeza,” katanya kepada S2.
Muhammad Hairul berkata, menu mi pasu itu boleh didapati dalam tiga saiz hidangan iaitu Ciput berharga RM10 untuk tiga orang makan, Ngam-ngam (RM29) untuk lima orang dan Gedabak untuk maksimum lapan orang, berharga RM32.
Kata remaja yang baru berusia 22 tahun itu, pelanggan yang datang bukan sahaja dari kalangan masyarakat setempat, malah kafe Ferio turut menerima pengunjung dari utara hingga selatan tanah air yang datang untuk merasai menu yang ditawarkan.
“Saya bersyukur sambutan yang diterima amat menggalakkan dan pelanggan rata-ratanya menyukai konsep tersebut.
“Ada juga pelanggan membawa rakan-rakan dari luar negara ke kafe ini untuk merasai keunikan mi pasu,” katanya.
Selain itu, kafe itu turut menyediakan menu makanan santai dengan tema fusion yang membolehkan pelanggan memilih sama ada hidangan makanan barat atau makanan tempatan seperti chicken chop dan lamb chop yang ditawarkan pada harga berpatutan.
Kafe Ferio yang diuruskan bersama dua adik perempuannya, Nurliyana Hamzah, 20, dan Nur Hamizah Hamzah, 18, turut membuatkan pelanggan terpesona melihat hiasan dalaman dan susun atur yang santai sehingga pelanggan berasa selesa untuk menjamu selera.
Muhammad Hairul juga berkata, beliau lebih suka bersifat positif menerima kritikan tentang kualiti makanan pada awal pembukaan kafe untuk dijadikan dorongan baginya memperbaiki perkhidmatan dari semasa ke semasa.
“Kami sentiasa menambah baik menu dengan menghadiri pelbagai kursus dalam bidang makanan dan menjadikan blog di laman web sebagai rujukan untuk menambah baik kafe kami seperti mencari idea baharu bagi menu-menu di sini.
“Alhamdulillah, biarpun baru dibuka, kafe Ferio kini mempunyai pelanggan tetap yang tidak putus-putus datang ke sini,” katanya sambil memberitahu kafe itu juga menerima tempahan seperti majlis hari jadi atau majlis ringkas syarikat