Bukan bertujuan untuk menjemput seseorang dari destinasi tersebut, sebaliknya menunggu bungkusan yang dititipkan oleh pengusaha-pengusaha nasi terkenal dari Kota Bharu.
Bungkusan yang mengandungi pelbagai jenis juadah tradisi dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu adalah tempahan yang diterima melalui Facebook dan Instagram, Kaknoh Nasi Berlauk.
Dalam kalangan pengikut tegar media sosial, wanita kelahiran Langgar, Kota Bharu, Kelantan ini, bukan individu asing kerana dia menjadi ‘orang tengah’ yang ‘mendekatkan’ pengusaha nasi dan makanan di Kelantan dengan pelanggan di sekitar Lembah Klang.
“Keadaan begini sudah menjadi pemandangan biasa bagi pekerja lapangan terbang di sini dengan puluhan kotak berlabel ANB bersama kehadiran beberapa orang ejen di bawah saya.
“Sesekali ada juga yang menegur bungkusan apa yang diambil kami kerana aromanya menusuk hidung cukup untuk menarik perhatian mereka yang melintasi kumpulan kami.
“Bekalan ini akan diagihkan secepat mungkin kepada ejen supaya pelanggan dapat menikmati juadah tersebut seberapa pantas dan makanan tidak rosak kerana telah berlepas dari Kota Bharu sekitar pukul 6.30 pagi,” kata Mazhanim Mohamed, pemilik Kak Noh Nasi Berlauk.
Mereka yang berasal atau pernah menetap di Kelantan, pastinya mengetahui bagaimana masyarakat di sana menikmati sarapan pagi.
Bungkusan-bungkusan nasi seperti nasi berlauk ikan tongkol, nasi tumpang, nasi kerabu, nasi dagang, nasi impit, dan ketupat palas daripada pelbagai pengusaha akan dihantar ke warung atau kopitiam untuk dinikmati pelanggan pada setiap pagi.
Namun, pernahkah terfikir bagaimana warga Kuala Lumpur boleh dihidangkan dengan pilihan sarapan pagi yang sama seperti orang di Kelantan?
Itulah yang dilakukan oleh Mazhanim dengan mengambil konsep yang sama, tetapi menggunakan kaedah menerbangkan aneka juadah sejauh 600 kilometer semata-mata bagi memastikan pelanggannya tidak ‘kempunan’ hidangan asli dari Kelantan.

Cuaca cabaran terbesar ‘terbangkan’ nasi
Mengambil bekalan daripada 15 orang pengusaha, Mazhanim akan memastikan setiap bekalan yang ditempah siap dimasak sebelum pukul 5.30 pagi kerana akan dihantar ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan pada pukul 6.30 pagi.
Baginya, cabaran terbesar sepanjang mengusahakan perniagaan tersebut adalah memastikan bungkusan nasi yang diterbangkan berkualiti kerana kemungkinan untuk nasi menjadi rosak atau basi adalah tinggi.
“Risiko untuk nasi menjadi basi tetap ada seperti faktor cuaca buruk yang mengakibatkan penerbangan ditunda. Cuaca terlalu panas juga boleh menyebabkan nasi menjadi cepat rosak. Jadi, saya perlu sentiasa bersedia berhadapan dengan masalah tersebut.
“Saya tidak mempunyai masalah untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan jika perkara itu berlaku. Disebabkan kepercayaan yang diletakkan, pelanggan tidak pernah lari atau menyesal untuk berurusan dengan saya,” katanya yang menggunakan nama Kak Noh sebagai jenamanya sempena nama jolokannya dalam kalangan rakan-rakan di Kelantan.
Ujarnya, masalah lain seperti pengusaha tidak boleh membekalkan nasi tumpang kerana ketiadaan daun pisang yang segar akibat musim hujan atau banjir adalah perkara biasa.
Mazhanim akan memberitahu pelanggan lebih awal jika ketiadaan menu itu pada minggu tersebut.

Katanya, sehingga kini Kak Noh Nasi Berlauk mendapat sambutan menggalakkan malah ada juga menerima permintaan daripada peminat sajian tradisi pantai timur itu dari selatan dan utara tanah air.
Namun, dia masih belum berkesempatan untuk meluaskan lagi perniagaannya ke seluruh Malaysia.
Apa pun, wanita ini mempunyai perancangan untuk membuka sebuah restoran berkonsepkan kopitiam yang akan mengumpulkan pelbagai juadah di seluruh Kelantan bagi memberi peluang kepada peminat sajian tersebut menikmatinya tanpa had.
Bukan itu sahaja, penangan nasi berlauk Kak Noh juga berjaya menarik perhatian orang kenamaan seperti Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan selebriti tempatan seperti Maria Tunku Sabri, Ifa Raziah, Aznil Nawawi dan beberapa nama lain yang menjadi pelanggan setianya.
Mempunyai hampir 18 orang ejen sekitar Lembah Klang termasuk Nilai dan Seremban, Negeri Sembilan, tempahan akan dibuka pada setiap pagi Isnin dan ditutup pada Khamis. Sajian tempahan akan diedarkan pada setiap pagi Sabtu mengikut lokasi agen.
Berharga antara RM2.50 sehingga RM28, mereka yang ‘mengidamkan’ sarapan pagi asli dari Kelantan boleh melayari laman sosial Facebook dan Instagram, Kak Noh Nasi Berlauk.

Mengidam nasi berlauk
Walaupun membesar di Kuala Lumpur, Mazhanim mengakui darah Kelantan yang mengalir di dalam tubuhnya mempunyai nilai tradisi yang begitu kuat sehingga sanggup menerbangkan ratusan bungkus sajian tradisi kepada pelanggannya di ibu kota.
Diasaskan sejak dua tahun lalu, semuanya bermula apabila dia mengidam untuk menikmati nasi berlauk ikan tongkol dari Kelantan ketika sarat mengandung anak ketiga.
“Kebetulan pula, saudara saya ada pulang ke kampung dan saya memesan untuk mengirimkan beberapa bungkus nasi dari sana untuk dibawa pulang ke sini. Bagaimanapun, dia memberitahu tidak berbaloi untuk membawa pulang cuma tiga bungkus nasi sahaja bagi perjalanan melalui kapal terbang.
“Dia mencadangkan saya membuka tempahan dan bertanya kepada rakan-rakan di Kuala Lumpur jika mereka juga mahu menikmati nasi berlauk asli dari Kelantan. Apa yang mengejutkan, saya menerima pesanan hampir 50 bungkus ketika itu.
“Sejak itu, saya mendapat idea untuk menjalankan perniagaan ini kerana adanya pasaran yang besar terhadap sajian tersebut. Secara tidak langsung boleh menjana pendapatan memandangkan saya hanyalah seorang suri rumah.
“Daripada 200 bungkus yang dikirim secara kecil-kecilan kini saya membekalkan hampir 2,000 bungkus nasi pada setiap pagi Sabtu. Saya terpaksa menggunakan perkhidmatan kargo kapal terbang untuk urusan penghantaran nasi bungkus kerana tidak mampu lagi untuk menanggung cas bagasi tambahan yang agak mahal,” katanya yang pernah bekerja di sebuah syarikat pengiklanan selama 12 tahun.
Bagi warga kota, pasti ada yang berasa pelik mengapa terdapat segelintir pelanggan yang sanggup menempah sarapan pagi daripada Mazhanim, sedangkan mereka boleh membeli dengan mudah di gerai atau restoran makanan Kelantan di kawasan tempat tinggal mereka.
Jawapannya mudah. Kata wanita berkaca mata itu, ada bezanya dari segi rasa dan saiz antara sajian asli dari Kelantan berbanding sajian Kelantan di Kuala Lumpur.
Ujar Mazhanim, sajian nasi bungkus berlauk di Kelantan mempunyai rasa manis ikan tongkol dan saiz ikannya lebih besar berbanding ikan tongkol nasi berlauk yang dijual oleh peniaga di Kuala Lumpur. Di samping itu, penggunaan beras Siam dan dimasak menggunakan periuk kawah, mengekalkan keaslian rasa sajian Kelantan.
Menurut Mazhanim, terdapat 20 sajian yang boleh ditempah seperti nasi berlauk ikan tongkol dan itik serati, nasi kerabu ikan celup tepung, sate perut ayam, nasi tumpang udang dan ikan, nasi dagang, nasi impit sambal kelapa, pulut pagi, selain kuih-muih tradisi seperti jala emas, tahi itik, akok, buah tanjung, ketupat palas dan martabak raja.
Bukan calang-calang tukang masak yang menyediakan bekalan untuk Kak Noh Nasi Berlauk kerana Mazhanim sendiri terlebih dahulu mencari peniaga tempatan yang terkenal di kampung-kampung tertentu di sekitar Kelantan yang rata-ratanya mempunyai rasa signatur dalam sajian masing-masing.
Lebih menarik lagi, sajian istimewa seperti bubur asyura Kelantan juga boleh ditempah pada musimnya dan dia juga mendapat permintaan tinggi untuk membekalkan menu ketupat palas lemak dan ketupat palas serunding terutamanya ketika musim perayaan.