BANNER KEMANGI
FACILITIES
Friday, October 19, 2012
HAK INSTITUSI ZAKAT
SAYA ingin mengetahui, sejauh manakah sesebuah institusi zakat itu dapat berperanan di dalam sesebuah negeri atau negara dan apakah hak-hak yang dimiliki olehnya?
Jawapan
Dalam dunia pengurusan zakat, ada dua perkara utama yang menjadi terasnya, iaitu kutipan dan agihan zakat. Secara asasinya sesebuah institusi zakat akan menjalankan amanah mengutip zakat dan selepas itu, bertanggungjawab pula mengagihkan kembali zakat kepada semua asnaf yang berhak. Sesebuah organisasi zakat tidak akan berjaya jika mengabaikan salah satu daripada dua elemen ini.
Harus diingat, sesebuah institusi zakat berhak menjalankan kerja-kerja kutipan dan agihan atas arahan pemerintah Islam (ulil amri), sesuai dengan tindakan nabi melantik para sahabat sebagai amil, misalnya Muadz bin Jabal ke Yaman.
Bahkan dalam mentafsirkan ayat 103 daripada surah at-Taubah, kalimah 'ambillah' yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW, merupakan suatu penegasan bahawa pihak amil berhak mengambil waima secara paksa harta orang-orang kaya jika mereka enggan berzakat. Pastilah yang berhak itu adalah para amil zakat yang diberi kuasa.
Hanya institusi zakat yang lebih layak menjalankan kerja-kerja mengutip dan mengagih zakat. Pihak pengurusan zakat yang disebut sebagai amil, telah dilatih untuk menaksir zakat secara tepat, sesuai dengan pelbagai inovasi pengiraan dan berdasarkan perakaunan baharu zakat yang dirumus oleh fuqaha kontemporari dan para pakar kewangan Islam terkini.
Ambil sahaja contoh dalam menaksir harta zakat pendapatan, pelaksanaan had al-kifayah pembayar dan perkembangan fatwa mengenainya hanya lebih dimaklumi oleh amil yang terlatih, iaitu amil zakat.
Sebab itu, Saiyidina Umar al-Khattab dalam memperkasakan pentadbiran negara, telah melantik pegawai khas bergaji bagi menaksir zakat umat Islam demi kebaikan semua pihak tanpa ada sebarang kepentingan lain.
Bahkan, aspek pengagihan zakat memerlukan mereka yang lebih memahami situasi masyarakat.
Tidak selalunya tepat andai kita hanya mentafsir berdasarkan lahiriah manusia semata-mata. Maka, demi memastikan zakat hanya disalurkan kepada mereka yang layak, maka pelbagai inovasi dalam bancian dan siasatan diwujudkan. Para amil zakat dilatih agar menghadami keperluan ini.
Formula had al-kifayah asnaf misalnya, diwujudkan demi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak disantuni seoptimumnya dengan wang zakat.
Ini penting, atas beberapa faktor seperti keterbatasan sumber zakat, menangani kes penipuan zakat dan mengoptimumkan natijah agihan zakat.
Namun begitu, pihak institusi zakat hanyalah sebagai pemegang amanah, yang diberikan kuasa sementara bagi mengendalikan urusan zakat.
Para pembayar zakat sebenarnya masih perlu ambil tahu mengenai keberkesanan agihan zakat, kerana matlamat sebenar di sebalik pensyariatan zakat oleh Allah SWT adalah untuk memastikan harta kekayaan mereka itu benar-benar dapat memperkasakan ummah keseluruhannya.
Syeikh Muhammad bin Salih al-Utsaimin di dalam fatwanya menyatakan: "…agihan zakat kepada lapan asnaf ini (hendaklah) boleh memenuhi keperluan khusus bagi mereka yang menerimanya…," (lihat Ensaiklopedia Zakat, hal. 48).
Realitinya, zakat adalah antara mekanisme perkongsian harta dan sekali gus mengekang pengumpulan harta kepada golongan tertentu sahaja dan mencegah monopoli kekayaan. Dalam hal ini Allah SWT menegaskan: Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu. (al-Hasyr: 7)
Maka, pembayar zakat masih wajar mengambil tahu apakah agihan zakat yang dilakukan itu benar-benar sampai kepada lapan asnaf ataupun tidak.
Seandainya berlaku ketempangan dalam pengurusan zakat, khususnya dalam urusan agihan, maka para pembayar wajar memberikan teguran dan mencadangkan penambahbaikan. Hakikat ini adalah suatu corak check and balance demi menjamin kesinambungan keberkesanan sistem zakat.
Fuqaha majoritinya cenderung agar semua pembayar menyalurkan zakat mereka kepada institusi zakat yang ditubuhkan pemerintah, namun ia masih tertakluk kepada keamanahan dalam pengurusan zakat berkenaan.
Seandainya ternyata dan terbukti, penyaluran zakat tidak sampai kepada matlamat, maka sebahagian fuqaha menegaskan zakat itu boleh disalurkan sendiri oleh pembayar kepada mustahiknya (penerima).
Perbincangan ini dibahaskan antaranya oleh Syeikh Rashid Ridha, yang dengan tegas menyatakan: "Kepada pemerintah-pemerintah semacam ini (yang menyeleweng daripada amanah zakat - penulis), tidak boleh kita (umat Islam) membayarkan zakat (kepada mereka) walaupun ketua pemerintahan itu bergelar khalifah," (rujuk TM Hasbie Ash Shidieqy, Pedoman Zakat, hal. 53).
Labels:
MINDAGAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment