BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, October 3, 2012

PUPUK BUDAYA HALAL PENGGUNA


Mohd. Shukri Abdullah (tengah) bersama Datuk Nadzim Johan (kiri) dan Hanafee Yusoff pada sidang akhbar Halfest di PWTC, baru-baru ini.


WALAUPUN majoriti penduduk di negara ini beragama Islam, namun kesedaran terhadap permintaan produk halal di pasaran tempatan dilihat masih berada ditahap yang kurang memuaskan.
Rata-rata pengguna Islam seakan mengambil jalan mudah dengan mengambil makanan atau menggunakan sesuatu produk sebelum mengenalpasti status bahan tersebut dengan teliti.
Ketua Pegawai Eksekutif Shapers Malaysia, Mohd. Shukri Abdullah berkata, sikap kurang prihatin segelintir pengguna Islam ini menyebabkan sasaran kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara halal hub terbantut.
Hal itu katanya berlaku apabila permintaan terhadap produk halal di pasaran tempatan yang menjadi faktor pemangkin perubahan peningkatan industri halal negara kurang memberangsangkan.
"Kesedaran pengguna khususnya umat Islam terhadap pengambilan produk halal dilihat masih berada di tahap yang lemah. Ia berpunca daripada kurangnya kesedaran dan pengetahuan pengguna terhadap kepentingan pengambilan makanan atau produk halal.
"Pengguna berasa selesa dengan tahap industri halal negara yang dicapai kini, dan hanya meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap badan halal yang ditubuhkan oleh kerajaan. Oleh itu, permintaan terhadap makanan dan produk halal di negara ini menjadi kurang menggalakkan.
"Disebabkan masalah ini juga yang menjadi penghalang kepada negara untuk merealisasikan impian untuk menjadi negara halal hub sebagaimana yang disasarkan oleh kerajaan," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada sidang akhbar Halal Fiesta Malaysia (Halfest 2012) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ekspo pengguna halal tempatan terbesar di Malaysia itu akan diadakan pada 10 hingga 14 Oktober ini di PWTC dengan mensasarkan sebanyak 700 gerai mewakili sektor makanan dan minuman, produk farmaseutikal dan herba, kosmetik dan penjagaan peribadi serta fesyen muslimah.
Turut hadir, Setiausaha Kerja, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, dan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Hanafee Yusoff.
Sehubungan itu, Syukri berkata, penganjuran Halal Feista 2012 diharap menjadi landasan untuk memupuk budaya halal dalam kalangan masyarakat terutamanya pengguna Islam.
"Kita berharap ekspo Halfest 2012 dapat membangkitkan kesedaran pengguna Islam terhadap kepentingan pengambilan halal dan sekali gus mewujudkan budaya halal di negara ini," ujarnya.
Sementara itu, Hanafie berkata, Halfest 2012 yang bakal diadakan itu juga merupakan platform bagi pengeluar produk halal tempatan untuk mempromosi dan memperluaskan produk serta perkhidmatan halal mereka kepada pengguna.
"Dengan adanya usahasama antara agensi awam dan swasta, Halfest 2012 bertujuan membantu pembangunan perusahaan kecil melalui pelbagai program yang dirancang sepanjang ekspo tersebut.
"Kita menawarkan peluang ini kepada usahawan bumiputera yang mempunyai persijilan halal untuk memastikan bahawa perusahaan kecil diberi peluang untuk bersaing dan memperluaskan perniagaan mereka dengan syarikat-syarikat lain yang telah lama bertapak di negara ini," katanya.
Halfest 2012 kali kedua itu diteruskan hasil daripada sambutan yang menggalakkan ekspo tersebut pada tahun lalu dengan penglibatan sebanyak 500 syarikat yang mengambil bahagian serta lebih 50,000 pengunjung hadir pada tahun lalu.
Penyertaan masih terbuka kepada peniaga kecil dan syarikat yang berminat. Tawaran potongan harga sebanyak RM1,650 bagi ahli PPIM dan DPMM.
Peniaga yang berminat boleh menghubungi urus setia Halfest di talian 03-62034433 untuk mendaftar. Tempat adalah terhad.

No comments:

Post a Comment