BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, July 16, 2013

LPP PERUNTUK RM150,000 NAIK TARAF PASAR PELADANG PONTIAN

MUJI Salimon memotong riben sebagai simbolik perasmian van bergerak usahawan tani Pertubuhan Peladang Kawasan Pontian Timur di Pekan Nanas, Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 14 Julai - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Johor memperuntukkan RM150,000 bagi menaik taraf Pasar Peladang Pontian yang dijangka siap tahun ini dengan tumpuan utama bagi aspek penjualan hasil pertanian serta barang basah kepada orang ramai.
Pengarahnya, Shammodin Abdul Halim berkata, Pasar Peladang Pontian merupakan usahasama antara empat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang dibuka lebih 10 tahun lalu dengan melibatkan 17 peniaga dengan pelbagai jualan basah dan kering.
"Kami menyasarkan peningkatan jumlah pengunjung selepas kerja naik taraf dilakukan termasuk pengunjung luar. Dengan kedudukannya yang strategik di tengah bandar Pontian Kecil, kami yakin Pasar Peladang Pontian dapat menjadi tempat tumpuan seperti pasar-pasar peladang lain di negeri ini.
"Saya berharap Pasar Peladang yang diwujudkan bagi membantu petani dan peladang ini dapat memasarkan hasil tanpa melalui orang tengah, sekali gus memenuhi objektif penubuhannya meningkatkan sosioekonomi mereka," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33 PPK Pontian Timur di Pekan Nenas, di sini baru-baru ini.
Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon dan turut dihadiri Pengerusi PPK Pontian Timur, Selamat Othman.
Muji turut melancarkan van bergerak untuk digunakan menjual kuih-muih yang dihasilkan oleh usahawan tani PPK sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Pada majlis itu, lima ahli PPK Pontian Timur turut menerima Anugerah Usahawan Tani Cemerlang ekoran menunjukkan pencapaian yang baik dalam bidang masing-masing.
Sementara itu, Selamat berkata, keuntungan yang dicatatkan PPK Pontian Timur pada tahun lalu adalah sebanyak RM275,000 dan pihaknya menyasarkan pendapatan lebih tinggi tahun ini termasuk peningkatan hasil dari Pusat Pengumpulan dan Timbang Kelapa Sawit di Batu 29, Pekan Nanas di sini.
"Dengan adanya pusat tersebut, ahli-ahli PPK Pontian tidak perlu lagi menghantar hasil mereka ke tempat lain mahupun ke PPK Pontian Selatan yang kedudukannya jauh dari tempat mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment