BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, July 14, 2013

BUKA PUASA DI RESTORAN CINA MUSLIM HJ. SHARIN LOW

KAKITANGAN Restoran Hj. Sharin Low Grand bergambar di hadapan restoran berkenaan di Bandar Baru Uda, 
Johor Bahru, baru-baru ini.

SETIAP kali tibanya Ramadan, golongan suri rumah pasti pening kepala memikirkan juadah yang mahu dimasak untuk berbuka puasa bersama seisi keluarga.
Tidak perlu bersusah payah, apatah lagi kebanyakan golongan wanita hari ini keluar bekerja yang mana sudah tentu mereka tidak sempat menyediakan juadah berbuka.
Apa kata makan sahaja di luar memandangkan ada banyak restoran menawarkan bufet Ramadan pada harga berpatutan.
Bandar raya Johor Bahru tidak ketinggalan menjanjikan aneka hidangan lazat daripada masakan Melayu, Cina, Thai mahupun Barat untuk berbuka puasa.
Antara premis yang mesti disinggahi untuk berbuka puasa adalah Restoran Hj. Sharin Low Grand.
Restoran itu menawarkan masakan Cina Muslim yang lazat dengan menyediakan pelbagai pakej berbuka yang mampu memenuhi cita rasa para pelanggan.
Penyelia restoran tersebut, Linah Lim, 55, berkata, sempena genap setahun kewujudan restoran yang terletak di Jalan Padi 1, Bandar Baru UDA ini dan kebetulan kehadiran bulan Ramadan yang mulia, pihaknya menawarkan enam pakej Bufet Ramadan, mulai 6 Julai hingga 6 Ogos ini.
Katanya, bersesuaian dengan konsep Ramadan yang melibatkan ibadah puasa dan kemudian umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, kesemua pakej tersebut dinamakan dengan menu-menu yang menjadi kemestian pada Aidilfitri.
"Kami ada enam pakej pada harga RM108, RM138, RM188, RM238, RM368 dan RM428. Masing-masing kami namakan pakej itu dengan nama ketupat, lemang, lodeh, serunding, rendang dan lepat.
"Pada prinsipnya kami memang prihatin terhadap kemampuan pelanggan terutama golongan menengah yang mana golongan ini cukup ramai. Untuk itu pihaknya menyediakan pakej mengikut keperluan pelanggan.
"Misalnya, pakej lodeh yang berharga RM188 untuk enam orang, kami sediakan sembilan menu termasuk kurma, daging hiris nipis bersama terung, siakap stim stail nyonya, telur masin hoi sin tofu, daging kong po, hot and sour kang, kwai fah chee, nasi putih dan air mata kucing," katanya kepada S2.
Jelas Linah, pada asasnya hidangan yang disediakan memang banyak berbanding dengan pakej di restoran atau hotel lain.
Sebagai contoh, katanya, dengan hanya bayaran RM368 bagi pakej rendang, terdapat 11 menu untuk hidangan lapan orang.
Katanya, pakej itu termasuk kurma, sayur naga dengan bawang putih, isi ketam dengan tahu, sup sirip ikan yu, telur masin kwai tau meow, siakap stim stail nyonya, ayam nanas, sotong dengan madu, mini spring roll, nasi putih dan air mata kucing.
Linah juga berkata, bagi pakej lepat, yang berharga RM428 sebanyak 12 menu disediakan dan ia sesuai untuk lapan orang.
"Untuk pakej itu, kami menyediakan menu seperti kurma, sup sirip ikan yu, brokoli dengan abalone, siakap stim, daging kei mei, telur masin kwai tau meow, udang har lok, tomato omelette, sotong stail barat, chines pan cakem, nasi putih dan air mata kucing," ujarnya.
Mengulas perkembangan restoran itu, Linah memberitahu, sebelum ini pihaknya telah membuka lebih daripada enam cawangan di sekitar Lembah Klang antaranya di Sri Gombak, Batu Caves, Ampang, Bukit Antarabangsa, Shah Alam, Bangi dan Kajang.
Beliau menambah: "Kami juga membuka cawangan di Ipoh, Kota Bahru, Alor Setar dan Kuantan dengan kesemua rangkaian restoran itu diurus oleh Sharin Low Abdullah, selaku Pengarah Urusan Restoran Hj. Sharin Low Grand."
Ditanya bagaimana timbul idea untuk mewujudkan rangkaian makanan Cina Muslim, Linah berkata, negara kita cukup unik kerana dihuni oleh tiga bangsa utama iaitu Melayu, Cina dan India yang mana mereka saling menghormati baik dari segi budaya mahupun agama.
"Hubungan yang baik antara sesama kaum ini telah menjadikan mereka mudah untuk menerima apa sahaja budaya termasuk makanan, yang menyebabkan kami membuat keputusan untuk mewujudkan restoran seumpama ini," katanya.
Linah berkata, peluang yang terbuka luas itu digunakan bagi membuka restoran seumpamanya di kawasan penempatan Melayu dengan memastikan semua bahan bekalan adalah halal.

No comments:

Post a Comment