BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, July 19, 2013

IKON METROPOLIS JB

Lakaran artis menunjukkan gambaran bangunan Komtar JBCC yang bakal menjadi ikon metropolis Johor Bahru.

JOHOR BAHRU 18 Julai - Tarikh 11 Mac 1979 menyaksikan pembukaan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) oleh Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn sebagai gedung beli-belah pertama di Johor Bahru dan menjadi lambang kejayaan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ) selepas sembilan tahun beroperasi.
Komtar muncul sebagai kompleks beli-belah pertama memiliki tangga bergerak dan menjadi mercu tanda terkenal di bandar raya ini sehinggalah ditutup pada 2007.
Jika pembinaan Komtar dengan ketinggian 26 tingkat dan memakan kos RM36.5 juta ketika itu menjadi lambang kemegahan PKENJ, maka pembangunan semula yang dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 4 Jun lalu akan menjadi kebanggaan Johor Corporation (JCorp) selaku nama baharu agensi tersebut di ambang 1996.
Sebaik dibuka pada Mei tahun hadapan, Komtar yang ‘ditransformasi’ kepada wajah dan nama baharu, Komtar JBCC, akan kembali menjadi kebanggaan penduduk bandar raya ini dan peniaganya yang sebelum ini berpindah ke Larkin Sentral, Plaza Kotaraya, Terminal Bas Sentral Kotaraya, arked Menara Ansar dan Menara Komtar, akan diberi keutamaan untuk kembali.
Awal bulan lalu, Mohamed Khaled selaku Pengerusi JCorp yang baharu, melancarkan penjenamaan semula pembangunan tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor dalam usaha disifatkan sebagai membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada usahawan bumiputera.
“Komtar merupakan satu-satunya mercu tanda terawal yang begitu sinonim dengan JCorp. Saya yakin kewujudan Komtar yang bakal bertukar imej menjelang tahun depan, merupakan permulaan kepada proses transformasi bandar raya ini ke arah metropolis paling dinamik di negara ini.
“Jelaslah ini (penjenamaan semula pembangunan kepada Komtar JBCC) merupakan testimoni dan lambang kejayaan JCorp sebagai sebuah agensi pembangunan dan pelaburan negeri serta menjadi entiti negeri paling berjaya di negara ini malah di rantau Asia hingga mampu mengembangkan sayapnya ke Timur Tengah (Asia Barat)," katanya lagi.
Komtar JBCC yang dibina di kawasan seluas 405,000 kaki persegi itu akan menempatkan dua menara iaitu bangunan baharu Johor Land dan sebuah hotel lima bintang selain gedung beli-belah yang dilengkapi dengan laluan pejalan kaki menghubungkan JB Sentral, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta usaha naik taraf menara Komtar sedia ada.
Menurut Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kasim, pembangunan semula ini memberi kesan besar kepada landskap dan menghidupkan kembali pusat bandar raya ini, selari dengan pelan tindakan wilayah pembangunan Iskandar Malaysia yang sedang mengusahakan ‘Transformasi Johor Bahru’.
“Komtar JBCC berhasrat untuk mengembalikan semula statusnya sebagai mercu tanda yang ikonik di tengah-tengah pusat bandar raya Johor Bahru dan muncul sekali lagi sebagai destinasi beli-belah, gaya hidup, menjamu selera dan hiburan terulung di bandar ini.
“Legasi Komtar dengan keunggulan lokasinya mendorong JCorp untuk melaksanakan pembangunan semula tersebut yang diyakini memberi impak baharu kepada Johor Bahru terutama dalam usaha mewujudkan imej dan mencapai status sebuah metropolis antarabangsa," katanya.
Beliau juga menyifatkan pembangunan tersebut sebagai satu penyelesaian kepada masalah prasarana di seluruh kawasan pusat perniagaan ini kerana pembinaan Komtar JBCC memenuhi keperluan fizikal, ekonomi dan sosial komuniti selain meningkatkan nilai hartanah dan merealisasi peranan JCorp sebagai entiti pembangunan negeri dan usahawan bumiputera.

No comments:

Post a Comment