BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, September 11, 2013

KERETAPI LAJU KL-SINGAPURA DITERUSKAN

Najib Tun Razak melawat pameran selepas melancarkan Persidangan Perniagaan Rel Asia 2013 
sambil perhatikan Fadillah Mohd. Yusof (dari kiri) dan Syed Hamid Albar di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Projek Kereta Api Laju (HSR) antara Singapura dan Kuala Lumpur akan tetap diteruskan walaupun kerajaan telah mengumumkan penjadualan semula beberapa projek mega negara dalam usaha mengurangkan defisit fiskal.
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, projek berkenaan dijadualkan siap menjelang 2020 dan setakat ini tiada pindaan tarikh dibuat.
"Walaupun kerajaan mengumumkan dasar pengurangan perbelanjaan, projek HSR tetap berada dalam perancangan. Rundingan akan dibuat tidak lama lagi antara kedua-dua negara.
"Masih terlalu awal untuk mengulas mengenai tender yang bakal dikeluarkan tetapi saya jangka sebelum akhir tahun ini, ia akan diumumkan jika tiada sebarang masalah," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Persidangan Perniagaan Rel Asia 2013 di sini hari ini.
Persidangan berkenaan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Mohd. Yusof.
Dalam ucapannya, Najib berkata, industri rel negara dijangka menerima pelaburan sebanyak RM160 bilion menjelang 2020 berbanding RM50 bilion sejak tahun 1990.
Mengulas mengenai ucapan berkenaan, Syed Hamid berkata, nilai berkenaan merangkumi keseluruhan pelaburan industri termasuk pelaburan yang dibuat oleh kerajaan seperti HSR.
"Nilai projek HSR masih tidak diketahui tetapi boleh dikatakan berada dalam nilai jangkaan berkenaan," jelasnya.
Apabila siap kelak, waktu perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura akan dipendekkan kepada 90 minit sehala dan ini akan membantu merancakkan pembangunan ekonomi antara kedua-dua negara.
Sementara itu, ditanya mengenai perancangan projek Mass Rapid Transit (MRT) fasa 2 dan 3, beliau berkata, projek berkenaan akan diteruskan sebaik sahaja fasa 1 siap kelak.
"Projek fasa kedua tidak akan terhenti untuk tempoh yang lama selepas fasa 1 siap kerana ini perancangan yang berterusan untuk menambah baik pengangkutan awam.
"Kami akan kaji pelaksanaan MRT fasa 1 nanti dan penambahbaikan akan dibuat untuk fasa seterusnya," ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment