BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, September 13, 2013

MINGGU RESTORAN BUKA PELUANG JAMU SELERA


PROMOSI Minggu Restoran Kuala Lumpur 2013 akan berlangsung dari 4 hingga 11 Oktober 
ini di 45 restoran yang mengambil bahagian.

MEMENUHI kemahuan gastronomi terutama di restoran-restoran mewah dan terkemuka pastinya sesuatu yang tidak boleh ditolak. Namun, kos dan harga yang dikenakan di restoran mewah antara penyebab yang memaksa orang ramai melangkah keluar meskipun hidangan yang ditawarkan di restoran menambat selera.
Mengatur sebuah pengalaman gastronomi yang berpatutan tanpa membelakangkan kualiti serta kuantiti, orang ramai yang selama ini mengidam menjamu di restoran terkemuka boleh berbuat demikian sepanjang Minggu Restoran Kuala Lumpur 2013.
Menariknya, acara yang berlangsung sepanjang lapan hari bermula pada 4 Oktober hingga 11 Oktober pertama kalinya dianjurkan di Malaysia.
"Sejarahnya bermula di New York lebih 20 tahun lalu. Idea ini tercetus daripada dua buah restoran yang mahu mewujudkan pengalaman makan di dalam bandar. Selepas itu, aktiviti promisi ini mula berkembang ke seluruh dunia, seperti Amerika Syarikat, China, Puerto Rico, Jepun, Hong Kong hingga ke Malaysia," kata Pengurus Besar Minggu Restoran KL, Jacqueline Wong, kepada Kosmo!
Di Malaysia, sebanyak 45 restoran terkenal termasuk makanan mewah telah memberi komitmen bagi menjayakan Minggu Restoran Kuala Lumpur 2013. Tambah Jacqueline, restoran yang terlibat menawarkan harga khas makan tengah hari dan makan malam pada harga yang berpatutan.
Bermula pada harga RM20 bersih untuk dua menu makan tengah hari dan RM50 bersih untuk tiga menu makan malam, para pengunjung dihidangkan dengan menu signatur atau baharu di restoran tersebut.
Restoran yang terlibat terdiri daripada restoran pemenang anugerah, Si Chuan Dou Hua di Hotel Parkroyal, Rama V Fine Thai Cuisine, Jalan U-Thant, Kuala Lumpur dan Tanzini di G Tower, Kuala Lumpur.
Kebanyakan restoran yang mengambil bahagian mempunyai reputasi dan pengiktirafan tertentu dalam lapangan masing-masing.
Setiap restoran tersebut akan mengagihkan tempat tertentu untuk peserta Minggu Restoran KL 2013 dan akan beroperasi mengikut polisi yang dahulu diutamakan. Mengikut tradisi Minggu Restoran, tempahan makan hanya akan diterima melalui tempahan dalam talian di www.klrestaurantweek.com. Caj RM2 dikenakan untuk setiap tempahan. Tempahan secara langsung dengan pihak restoran tidak dibenarkan.
Tempahan sudah bermula pada 9 September lalu dan tamat pada 29 September akan datang.
Bagi menyemarakkan lagi Minggu Restoran Kuala Lumpur 2013, turut disediakan beberapa pertandingan yang menawarkan hadiah dan baucar makan bernilai lebih RM10,000. Apa yang perlu dilakukan ialah menyertai laman sosial Facebook di KLRestaurantWeek.
"Kami sangat teruja untuk membawa konsep popular ini kepada umum. Penggemar makanan kini mempunyai peluang yang terbaik untuk menjamu dan menikmati kepelbagaian makanan di Kuala Lumpur," kata Jacqueline.
Dalam pada itu, Chef Zulkifli Razali yang mewakili Restoran Bijan memberitahu, beliau berharap lebih ramai orang menggunakan peluang ini untuk mencuba makanan yang disediakan khas iaitu Rusuk Panggang dan Pucuk Paku Tahi Minyak.
Chef Johnny Fua dari Tanzini pula memberitahu, para penggemar makanan ditawarkan dengan harga yang sangat kompetitif dan rugi jika peluang ini tidak digunakan sebaiknya. "Saya harap semua orang akan sama-sama teruja seperti kami (chef) dan menyokong usaha ini," kata Johnny

No comments:

Post a Comment