BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, February 11, 2014

MAKAN IKUT SUNNAH

SELAIN memberi penekanan terhadap aspek halal dan bersih dalam pemilihan makanan, bertitik-tolak daripada asas itu pula Islam turut menetapkan beberapa adab tertentu ketika menjamah makanan dan minuman agar dengan itu, maksud dan tujuan daripada keharusan makan dan minum itu tercapai secara syarie dan diredai Allah SWT. Antaranya;

1 Memulakan makan dan minum dengan lafaz Bismillah. Rasullah SAW bersabda yang bermaksud: Apabila seseorang kamu makan, maka hendaklah menyebut nama Allah, jika seseorang itu lupa untuk menyebut nama Allah apabila telah mula makan, hendaklah dibaca, ‘dengan nama Allah pada permulaan dan juga akhirnya. (riwayat Muslim)

2 Mengakhiri makan dan minum dengan mengucapkan Alhamdulillah. Ini menandakan seseorang itu bersyukur dengan limpah kurnia rezeki yang diberikan Allah SWT, di samping bersyukur kerana Allah SWT masih memberikan selera dan keinginan untuk kita menikmati rezeki daripada-Nya.

3 Menggunakan tangan kanan ketika makan, tidak gelojoh menyuap makanan, mengecilkan suapan serta mengunyah dengan baik supaya tidak menyakitkan halkum. Mulakan dengan mengambil makanan yang hampir dengan kita. Kegelojohan ketika makan amat bertentangan dengan naluri kesopanan manusia, ini kerana makan dan minum turut dianggap ibadat di sisi agama.
Rasulullah SAW bersabda: Wahai Umar, Ibnu Salamah, ucapkanlah Bismillah dan makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah dengan apa yang ada di sekeliling kamu (yang hampir). (riwayat Bukhari dan Muslim).

4 Membersihkan sisa makanan yang melekat di jari terlebih dahulu sebelum tangan dibersihkan. Islam menghendaki sisa-sisa makanan dihabiskan dengan mengulum atau menjilat jari kerana perbuatan membasuh tangan yang masih melekat dengan makanan adalah suatu penghinaan kepada rezeki Allah itu sendiri. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu makan, maka janganlah kamu menyapu jari-jari tangan kamu sehingga kamu mengulum terlebih dahulu (supaya sisa-sisa makanan benar-benar bersih terlebih dahulu).

5 Memungut semula makanan yang terjatuh. Bersihkan dan bolehlah dimakan dan janganlah dibuang dengan sewenang-wenangnya. Tindakan membuang terus makanan adalah bermakna menyediakan makanan untuk syaitan. Rasulullah SAW bersabda: Apabila terjatuh sesuap makanan seeorang kamu, maka hendaklah dikutipnya, dibersihkan kekotorannya dan makanlah dan jangan dibiarkannya untuk syaitan. (riwayat Muslim)

6 Janganlah meniup makanan yang panas, tunggu sehingga makanan atau minuman itu sejuk. Begitu juga ketika minum, janganlah bernafas sambil meminum air. Daripada Ibnu Abbas r.a Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Nabi Muhammad menegah dari bernafas di dalam bejana (bekas air) atau meniup ke dalamnya."

7 Menjauhkan diri daripada terlalu kenyang. Biarpun tidak dinafikan bahawa kerana laparlah kita makan, tetapi kekenyangan yang diperlukan biarlah munasabah dan sederhana. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak seharusnya seseorang anak Adam itu memenuhi punca kejahatan dari perutnya. Memadailah dengan beberapa suapan yang dapat memelihara perutnya. Jika ini sukar dilakukan hendaklah sepertiga dari perutnya diisi dengan makanan, sepertiga lagi dengan minuman dan sepertiga lagi untuk pernafasan. (riwayat Bukhari dan Muslim)

8 Untuk mengedarkan makanan atau minuman di dalam majlis jamuan hendaklah diedarkan kepada tetamu yang lebih tua umurnya. Suatu ketika dalam suatu majlis jamuan yang dihadiri Baginda Rasulullah, ketika itu duduk di kiri Baginda ialah seorang yang lebih tua umurnya, manakala di sebelah kanan pula ialah Ibnu Abbas. Maka ketika makanan diedarkan Ibnu Abbas memohon izin Baginda supaya didahulukan hidangan itu kepada orang tua yang duduk di sebelah kiri Baginda dan tidak kepada Baginda.

9 Bersama-sama yang lain yang sehidang dengannya memulakan makan, tidaklah seseorang itu tergesa-gesa menyuapnya, sedangkan yang lain masih belum bersedia.

10 Setelah hidangan siap diatur dengan sempurna, jemputlah yang hadir untuk menikmatinya dengan bahasa yang lembut dan beradab. Tidaklah dengan bahasa yang kasar, menyindir atau dengan suara yang kasar.

11 Islam juga memberi perhatian supaya dapat diseimbangkan makanan dengan sahabat yang ada bersama ketika makan. Ini bermakna bukanlah makan dengan tergesa-gesa melebihi daripada sahabat yang lain. Apa lagi sekiranya makanan yang dihidangkan dalam saiz yang terhad.

12 Tidak mengambil kesempatan memerhatikan orang lain sewaktu makan. Perbuatan ini boleh mengundang rasa malu atau boleh mengganggu tumpuan orang lain terhadap makanan.

13 Tidak melakukan sebarang perbuatan buruk dan keji ketika makan, sama ada dengan kata-kata atau perlakuan. Elakkan menumpahkan makanan dari makanan yang diambil tertumpah di sana-sini atau sebarang suapan ke mulut turut mengenai orang lain. Dilarang juga berbual-bual dengan kuat ketika makan, apatah lagi ketawa berdekah-dekah yang boleh menganggu tumpuan orang lain yang sedang makan.

14 Makan secara berjemaah adalahamat dituntut agama, lebih-lebih lagi jika dapat sehidangan dengan mereka yang kurang berkemampuan atau golongan fakir miskin.
Justeru, makan dan minum adalah merupakan satu perantaraan atau wasilah kepada yang lebih penting daripada itu. Ia jua buka bertujuan untuk mengecap dan merasai nikmat makan itu sendiri semata-mata, bahkan lebih daripada itu.
Ia bertujuan untuk memelihara keselamatan dan kesejahteraan tubuh badan, di mana dengan tubuh badan yang kuat dan sihat akan membolehkan ibadat terhadap Allah SWT dilakukan dengan sempurna.


No comments:

Post a Comment