BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, February 14, 2014

MDP CIPTA SEJARAH LANTIK WANITA KETUAI WHIP

NORZITA A. Kahar (tengah) mengetuai majlis angkat sumpah sebagai Ahli Majlis, 
Majlis Daerah Pontian bagi tempoh 1 Februari 2014 hingga 31 Disember 2015 
di Dewan Persidangan MDP di Pontian, Johor, semalam. 

PONTIAN 13 Feb. - Majlis Daerah Pontian (MDP) mencatat sejarah tersendiri apabila seorang wanita dipilih sebagai Ketua Whip yang baharu bagi tempoh 1 Februari 2014 hingga 31 Disember 2015.
Pemilihan seorang peguam, Norzita A. Kahar, 40, bagi menggantikan Ketua Whip sebelum ini, Abd. Malik Ibrahim merupakan yang pertama sejak MDP ditubuhkan pada 1976.
Ketika ditemui selepas majlis angkat sumpah Ahli Majlis MDP di hadapan Yang Dipertua MDP, Miswan Yunos, Norzita melahirkan perasaan terharu kerana diberikan tanggungjawab bagi mengetuai Ahli Majlis.
Beliau berharap akan mendapat kerjasama daripada ahli majlis serta ketua-ketua jabatan bagi merealisasikan peranan mereka untuk sama-sama menjayakan agenda serta perancangan MDP.
Dalam masa yang sama, beliau berjanji untuk menjaga suara pembayar cukai serta menyelesaikan masalah berbangkit dengan bijaksana mengikut peraturan sedia ada.
"Dengan kepercayaan yang diberikan ini, saya akan berusaha meningkatkan prestasi serta peranan ahli majlis sebagai penghubung antara MDP dengan pembayar cukai supaya mereka mendapat perkhidmatan yang memuaskan," katanya yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Pontian.
Selain Norzita, turut mengangkat sumpah ialah Zarina Mohd. Bain, Noor Shuhada Sulaiman, Nasrihat Turiman, Mohd. Don Abdullah, G.D.T. Sarvendaraja, Ang Lin In, Khalid Ibrahim, Hairulanuar Tukijo, L. Krishnanan, Mohd. Helmi Buang, Mohd. Nasrol Hassan Md. Amin, Roselee Mohd. Tahir dan Md. Israk Abdullah.
Sembilan tempat yang sepatutnya diisi oleh wakil MCA dari Bahagian Tanjung Piai dan Pontian dijangka akan dipenuhi selewat-lewatnya bulan depan.
Sementara itu, Miswan Yunos dalam ucapannya menyasarkan MDP mampu mengutip hasil cukai sebanyak RM20 juta pada tahun ini berbanding RM19 juta pada tahun lalu.
"Selain kutipan cukai pintu sama ada kediaman dan industri, hasil turut disumbangkan oleh pembangunan industri yang dijalankan di kawasan pembangunan Tanjung Bin, Serkat dan Pekan Nanas," katanya sambil berharap ahli majlis yang baharu dapat menyumbang idea dan membantu menjayakan semua agenda pembangunan yang dirancang pihaknya.

No comments:

Post a Comment