BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, February 15, 2014

PISANG GORENG MAWAR CAFE-JALAN SG. CHAT, JB


PISANG goreng boleh dianggap sebagai salah satu kudapan 'wajib' dan menjadi identiti rakyat Johor. Ini kerana boleh dikatakan di setiap taman perumahan atau pekan kecil, wujud gerai-gerai menjual pisang goreng yang disajikan dengan sambal kicap.
Di sebalik kewujudan pelbagai gerai tersebut, salah satu 'port' goreng pisang yang terkenal di bandar raya Johor Bahru dan menjadi tarikan pelancong adalah Mawar Cafe di Jalan Sungai Chat, berhampiran Hotel Thistle dan menghadap Pantai Lido.
Gerai pisang goreng yang terletak berhampiran bangunan Majlis Wanita Johor (Mawar) itu juga mempunyai tarikan tersendiri iaitu menjual pelbagai jenis pisang yang menjadi teras perniagaannya.
Pengusaha Mawar Cafe, Kamisah Ali, 52, berkata, antara jenis pisang yang digunakan untuk membuat pisang goreng di kafenya adalah pisang nipah, tanduk, nangka dan paling eksklusif adalah pisang raja.
"Pisang goreng Mawar Cafe sering menjadi tarikan kerana dihasilkan daripada jenis pisang bermutu dan ramuan bancuhan tepung yang diadun dan direka sendiri. Maknanya, mutu pisang dan bancuhan tepung memang kami pastikan yang terbaik.
"Bagi memastikan bekalan pisang tanduk dan nipah tidak terputus, kami telah pajak dengan pembekal dari Perak, manakala pisang raja dari Pontian," katanya yang telah mengusahakan perniagaan itu kira-kira 11 tahun lalu.
Dia yang dibantu oleh anaknya, Noraznia Rasid, 23, berkata, gerai berkenaan turut dikendalikan oleh lima pekerjanya dan dibuka mulai pukul 11 pagi hingga 6.30 petang dan hari yang paling ramai pelanggan adalah pada hujung minggu.
Kamisah berkata, gerainya menepati ciri-ciri Gagasan 1Malaysia kerana dikunjungi semua kaum yang mana pelanggan Melayu, Cina dan India boleh duduk semeja semata-mata untuk menikmati pisang goreng yang merupakan salah satu juadah warisan masyarakat negeri ini.
"Seperkara lagi yang saya ingin kongsikan tentang perniagaan ini, pisang goreng kami sering menjadi salah satu menu utama minum petang kerabat diraja Johor dan yang menjadi kemestian adalah pisang raja, selain nipah dan tanduk," katanya.
Selain pisang goreng, pihaknya juga menjual kuih-muih tradisional dan moden, nasi lemak, pelbagai jenis mi dan roti berlauk yang turut menjadi tarikan pengunjung ke situ.
Lebih mengujakan Mawar Cafe popular dalam kalangan orang kenamaan, para pemimpin negeri dan negara serta artis popular termasuk Mawi, Chef Wan, Erra Fazira, Amy Search dan Datuk Khadijah Ibrahim.
Kamisah memberitahu, berikutan permintaan tinggi daripada warga Singapura, pihaknya telah membuka sebuah gerai di republik itu dua tahun lalu yang dikendalikan oleh suaminya, Rasid Abdul Ghani, 56.

No comments:

Post a Comment