BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, February 23, 2014

PLASTIK BOLEH DIMAKAN

Dr. Azwan Mat Lazim dan ahli kumpulan penyelidiknya menunjukkan plastik yang boleh 
dimakan serta anugerah yang diraih.

BIASANYA produk plastik, terutama beg plastik beli-belah tidak mesra alam dan memerlukan masa beratus-ratus tahun untuk mereput.
Tetapi kini terdapat beberapa pasar raya yang menggunakan beg plastik mesra alam yang cepat reput.
Terkini sekumpulan penyelidik Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjalankan kajian menghasilkan plastik yang boleh dimakan.
Ketua Penyelidiknya Dr. Azwan Mat Lazim berkata, idea bermula apabila melihat amat banyak bahan buangan dan tanaman eksotik yang kaya dengan kanji dan karbohidrat terbiar di kampung.
"Misalnya biji durian, ubi keling, ubi kemili, ubi kayu dan jagung banyak terbuang begitu sahaja," katanya semasa ditemui di UKM.
Apa yang lebih menarik jelas Dr. Azwan, sebahagian daripada tanaman berkenaan mempunyai ciri-ciri antibakteria yang sesuai untuk membungkus makanan selain mengekalkan kesegarannya.
Selain plastik yang dihasilkan boleh dimakan, ia boleh dimasukkan bahan-bahan lain seperti ekstrak cili atau bawang putih.
"Banyak yang boleh dilakukan untuk menghasilkan pembungkusan pintar. Mungkin satu hari nanti kita boleh masukkan indikator dalam bungkusan ikan bagi menentukan kesegarannya.

Penunjuk

"Ini kerana ikan yang tidak segar atau rosak akan mengeluarkan kumpulan amin yang mudah dikesan dengan menggunakan penunjuk yang boleh mengesan kumpulan amin yang dikeluarkan oleh ikan," katanya.
Perkara ini jelas Dr. Azwan akan memudahkan penjual dan pengguna yang tidak mempunyai pengalaman membeli barangan basah mendapatkan ikan yang lebih segar.
Bercerita tentang kaedah penghasilan plastik boleh dimakan, Dr. Azwan berkata terdapat hanya tiga peringkat pembuatan.
"Ia bermula dengan penghasilan filem, menambah bahan mentah seperti ubi kemili, ubi keling, ubi kayu atau biji durian serta pengikat silang dan penghasilan sampel," katanya.
Dr. Azwan berkata, tekstur biji durian boleh dikatakan sama dengan kanji daripada jagung dan sesuai menghasilkan plastik yang boleh dimakan.
"Sebagai pengguna, kita tidak akan merasa ragu dengan makanan yang dibalut dengan plastik yang boleh dimakan walaupun terdapat cebisan plastik pada makanan itu," katanya.

No comments:

Post a Comment