BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, February 12, 2014

SEPARUH KAMPUNG WAK MUSA TERBAKAR

  • Separuh kampung terbakar
  • Api masih membakar sebahagian daripada rumah mangsa di Kampung Wak Musa.
 1 / 1 
PONTIAN - Empat beranak termasuk seorang warga emas terpaksa mernyusup keluar dari pintu belakang untuk menyelamatkan diri selepas rumah yang didiami Kampung Wak Musa, Batu 36, Pekan Nenas, terbakar pagi semalam.

Mereka merupakan antara 20 keluarga yang kehilangan tempat tinggal selepas dua blok rumah kayu yang dihuni musnah dalam kebakaran kira-kira jam 9.30 pagi, semalam.

Mangsa, Nurul Amirah Mohd Noh, 22, berkata, dia menyedari kebakaran tersebut setelah melihat api dari rumah jiran yang terletak di hadapan rumahnya.

“Kebetulan pada masa itu, saya baru sahaja selesai mandi, tiba-tiba saya ternampak api dari rumah jiran.

“Saya berlari keluar untuk melihat apa yang sedang berlaku, namun api sudah mula menjilat bahagian hadapan rumah,” katanya.

Dia kemudiannya terus mengejutkan dua anaknya dan neneknya keluar dari rumah mengikut pintu belakang.

Nurul Amirah berkata, dia terus mendukung anak, Mohd Firdaus, 2, dan Sarah Hazirah, 3, serta  memimpin tangan nenek, Sapura Ibon, 78,  keluar dari pintu belakang untuk menyelamatkan diri.

“Mujur kami sempat keluar dari rumah kerana api merebak begitu cepat. Dalam sekelip mata sahaja, keseluruhan rumah telah terbakar,” katanya.

Dia yang masih lagi trauma dengan kejadian itu bersyukur kerana anak-anak dan neneknya tidak mengalami kecederaan dan sempat keluar sebelum api marak.

Tersedar dari tidur

Seorang remaja yang tinggal bersendirian di rumah berjaya menyelamatkan diri selepas terdengar bunyi bising di luar rumah.

Nurul Fateha Zulkifli, 19, berkata ketika kejadian dia sedang sedang tidur seorang diri di dalam bilik.

“Selepas mendengar bunyi bising dari luar rumah, saya terjaga lalu mendapati asap tebal sudah memenuhi ruang di dalam bilik.

“Saya terus berlari ke luar menuju ke dapur, namun asap tebal telah menyelubungi keseluruhan bahagian dapur.

“ Saya terus menjerit meminta pertolongan dan mujur saya sempat keluar dari pintu hadapan,” katanya.

Sementara itu, bagi ibu Nurul Fateha, Salina Mat, 41, tidak menyangka rumah yang dihuni sejak 20 tahun itu musnah terbakar di depan mata.

“Saya begitu sebak lihat rumah terbakar di depan mata. Tiada apa yang dapat dilakukan selain menahan air mata.

“Mujur, anak saya Nurul Fateha sempat keluar dari rumah menyelamatkan diri,”katanya.

Jelasnya, ketika kejadian, dia bersama suami, Zulkifli Md Nor, 48, sedang berniaga sarapan pagi berhampiran Taman Utama Pekan Nenas.

“Saya ada terlihat kepulan asap ketika sedang berniaga. Saya fikir kebakaran kebun kelapa sawit, rupanya rumah kami terbakar.

“Selepas menerima panggilan daripada anak, saya dan suami segera pulang ke rumah tetapi api sudah marak ketika itu,”katanya.

Motorsikal terbakar

Sementara itu, Shukor Abd Latif, 24, memberitahu ketika kejadian dia berada di dapur memasak mi segera.

“Selepas melihat api dari bahagian dapur rumah jiran, saya segera keluar dan mendapati api sedang marak membakar rumah-rumah jiran di blok hadapan.

“Tidak lama selepas itu, api terus menyambar ke rumah saya yang terletak di blok tengah.

“Saya tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen termasuk wang tunai RM1,200 dan sebuah motosikal. Mujur isteri dan anak berusia tiga tahun sempat keluar dari rumah,” katanya.

Dia yang bekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, bersyukur kerana berada di rumah ketika kejadian.

Manakala Pegawai Operasi, Salleh Ahmad berkata, tiga jentera bomba dan 16 anggota dari Balai Bomba Pekan Nenas dan Pontian Baru dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kira-kira jam 10.02 pagi.

“Sebaik saja kami tiba di lokasi kejadian, 22 rumah di dua blok telah musnah dijilat api.

“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira 10 minit daripada merebak ke satu lagi blok rumah yang menempatkan sembilan buah keluarga,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak lima motosikal dan sebuah van turut musnah dalam kebakaran itu.

“Tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan, namun punca kejadian serta kerugian masih lagi dalam siasatan.

“Kebakaran ini merupakan yang terbesar berlaku di Pontian dalam tahun ini, melibatkan 22 rumah,” katanya.

Sementara itu Ketua Kampung Kawasan (6) Mukim Jeram Batu, Abd Jahenal Kahir, berkata mangsa akan ditempatkan sementara waktu di Balai Raya Taman Sri Jaya yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian.

Katanya kebanyakannya penduduk bekerja di kilang di Pekan Nenas dan tiada di rumah ketika kejadian.

“Bantuan khas berupa pakaian dan barangan makanan yang disumbangkan oleh Ahli Parlimen Tanjung Piai dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  akan diagihkan kepada mangsa, “katanya.

No comments:

Post a Comment