BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, June 17, 2013

BUDAYA KERJA SELAMAT ELAK KECELAKAAN














MAJIKAN bertanggungjawab menerapkan budaya kerja selamat dalam kalangan pekerja. - Gambar hiasan
SETIAP kali kita menaiki kenderaan untuk ke tempat kerja, kita selalu melihat pekerja pemotong rumput di tepi jalan bekerja tanpa meletakkan sebarang papan tanda amaran.
Begitu juga ada pekerja di tapak binaan yang tidak memakai topi keselamatan atau pakaian yang sepatutnya. Malah, ada yang menolak kampit simen dengan berkaki ayam.
Apakah yang boleh kita tafsirkan daripada semua keadaan tersebut?
Itulah hakikat budaya kerja selamat di kebanyakan tempat kerja di negara ini. Kita tidak pernah berasa bahawa semua tindakan boleh mengundang risiko kepada diri dan juga orang awam lain.
Ia mungkin tidak menjadi isu sekiranya tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Bagaimanapun, cara kerja selamat wajar diberi perhatian sepanjang masa.
Dalam bulan-bulan terakhir ini, beberapa tragedi wajar membuka mata semua pihak mengenai budaya kerja selamat.
Terbaharu, kejadian penyambung Jambatan Kedua Pulau Pinang yang runtuh dan meragut nyawa orang awam. Ia berlaku tidak lama setelah kita dikejutkan dengan berita sebuah bot ekspres penumpang karam di Belaga, Sarawak yang mengorbankan beberapa orang penumpang.
Kesalahan manusia
Sejak sekian lama orang percaya bahawa apabila sesuatu kemalangan berlaku, ia disebabkan oleh kesilapan teknikal atau sebab-sebab yang di luar kawalan manusia.
Hakikatnya, kajian psikologi pada akhirnya merumuskan bahawa kecuaian manusia adalah punca kepada kebanyakan tragedi besar yang berlaku.
Tragedi letupan reaktor nuklear Chernobyl di Ukraine pada tahun 1986 merupakan sejarah malang bagi umat manusia.

KEGAGALAN mematuhi peraturan menyebabkan risiko kemalangan lebih tinggi di tempat kerja. - Gambar hiasan

Ia bukan sekadar mengorbankan nyawa, malah radiasi nuklear terus mengancam nyawa penduduk sekitarnya sehingga hari ini.
Pengkaji merumuskan bahawa letupan nuklear itu diibaratkan sebagai pemandu nakal yang gagal mengendalikan kenderaannya.
Dunia juga menyaksikan bahawa pengabaian terhadap budaya selamat ini telah mengorbankan banyak nyawa.
Pada tahun 2003, kapal angkasa Columbia telah meletup ketika cuba memasuki semula atmosfera bumi. Kesemua tujuh orang angkasawan yang berada dalam kapal angkasa tersebut terkorban.
Walaupun diandaikan terdapat kerosakan teknikal, pasukan panel penyiasat kemudian mendapati banyak isu mengenai budaya kerja selamat yang diabaikan oleh pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat.
Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama tragedi kapal angkasa meragut nyawa manusia. Pada tahun 1986, kapal angkasa Challenger meletup dan musnah selepas beberapa saat dilancarkan.
Kajian-kajian selepas itu mendapati mereka yang terlibat dalam projek berkenaan telah mengabaikan peraturan keselamatan. Antara lainnya disebabkan oleh kekangan kewangan dan faktor ekonomi.
Peraturan
Begitulah juga yang selalu terjadi dalam banyak kes kemalangan di tempat kerja yang lain. Sikap dan kelakuan manusia itulah yang telah mencetuskan banyak tragedi sehingga mengancam nyawa dan keselamatan orang ramai.

NEGARA dikejutkan dengan kejadian runtuhan susur keluar jalan di Jambatan Kedua Pulau Pinang pada 6 Jun lalu. - Gambar hiasan

Dalam budaya kerja kita, aspek keselamatan ini masih lagi terkebelakang. Budaya kerja selamat ini pula perlu dimulai oleh pihak pengurusan atau majikan kerana merekalah yang mampu melaksanakan peraturan dan mengawal pekerjanya.
Peraturan yang ditetapkan oleh pihak pemerintah tidak akan membantu sekiranya majikan tidak memberikan perhatian.
Peraturan yang ada juga tidak dapat mengubah apa-apa sekiranya keuntungan wang ringgit menjadi keutamaan, sekalipun mengabaikan keselamatan pekerja.
Mutakhir ini, dengan kebanjiran pekerja asing yang mungkin datang daripada pelbagai latar belakang dan budaya, perhatian terhadap budaya kerja selamat sepatutnya diperketatkan lagi.
Mereka yang datang dari negara miskin misalnya, mungkin tidak menghiraukan aspek keselamatan kerana apa yang utama bagi mereka adalah untuk mendapatkan upah bagi menyara keluarga mereka.
Mereka juga mungkin berhadapan dengan masalah bagi membaca Prosedur Operasi Standard tertentu yang mungkin ditulis dalam bahasa Melayu atau Inggeris.
Sebab itu, hanya dengan pelaksanaan peraturan yang tegas kita mampu membina budaya kerja selamat.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment