BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, June 22, 2013

DIM SUM HALAL RESTORAN LITTLE KITCHEN- TELUK INTAN

RESTORAN Little Kitchen di Taman Melur, Teluk Intan, Perak.

WALAUPUN dim sum adalah makanan tradisional masyarakat Cina, namun ia kini boleh dianggap sebagai hidangan kegemaran rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
Mungkin sebelum ini, status halal sentiasa menjadi kekangan kepada umat Islam untuk menikmati keenakan dim sum. Ini kerana tidak banyak restoran yang menyajikan sajian itu memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menyedari itu, restoran Little Kitchen di Teluk Intan, Perak menyediakan dim sum halal sebagai antara hidangan utama khususnya kepada pelanggan beragama Islam.
Terletak di lokasi strategik di Taman Melur, kira-kira lima minit perjalanan berkereta dari bandar Teluk Intan, restoran tersebut menawarkan 10 pilihan dim sum berasaskan makanan laut, antaranya udang, sotong, ketam dan ayam.
Dibuka setiap hari mulai pukul 12 tengah hari sehingga 11 malam, dim sum yang disajikan di situ disediakan sendiri oleh chef berketurunan Melayu yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang masakan tradisional Melayu dan Cina.
Dijual pada harga antara RM2.50 hingga RM4 setiap set dim sum dalam bakul kecil, menu tersebut disediakan secara kukus tanpa menggunakan minyak kecuali jenis yang bergoreng.
Pengurusnya, Abdul Rahman Harun berkata, idea membuka restoran tersebut timbul setelah menyedari permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat bukan Cina terhadap makanan tradisional yang telah berusia ratusan tahun itu.
''Restoran ini dimiliki sepenuhnya bumiputera dan dibuka sejak tahun 2011. Kami menyediakan sajian tradisional Melayu, Cina dan makanan barat.
''Hidangan dim sum adalah antara tarikan utama di restoran kami. Ini kerana makanan ini bukan sahaja digemari kaum Cina tetapi juga orang Melayu," katanya ketika ditemui S2.
Abdul Rahman berkata, antara kelebihan restoran tersebut adalah penyediaan sajian berasaskan bahan-bahan segar yang turut diperoleh daripada pembekal bumiputera dari sekitar Bagan Datoh dan Pulau Pangkor.
''Kami tidak menggunakan bahan dim sum segera seperti yang banyak dijual di pasar raya, sebaliknya kami mendapatkan bahan mentah yang segar untuk memastikan mutu hidangan kami sentiasa terjaga," katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Tan Siew Bee, 45, berkata, dia kagum dengan kelazatan hidangan dim sum di restoran tersebut walaupun disediakan chef berketurunan Melayu.
''Malah, saya bangga kerana orang Melayu pun boleh buat dim sum yang sedap. Saya selalu bawa ahli keluarga makan di sini kerana harganya juga amat berpatutan," katanya.
Seorang pelanggan Melayu, Hamidah Abdul Razak, 52, anak jati Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak yang bekerja di Kuala Lumpur memberitahu, dia amat meminati hidangan dim sum tetapi tidak banyak restoran yang mempunyai pensijilan halal.
''Setiap kali balik kampung, saya akan singgah di sini. Maklum sahajalah, hendak cari dim sum di restoran yang halal bukan senang," ujarnya.

No comments:

Post a Comment