BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, June 9, 2013

HANG LI PO CAFE-SENAWANG N.SEMBILAN


















Jika berjalan-jalan di Senawang, Negeri Sembilan apa kata singgah di Hang Li Po Cafe untuk membasah tekak dan menikmati ikan bakar segar bersama nasi lemak kampung.
Biasanya jika hendak merasai ikan bakar panas-panas, anda perlu ke Umbai, Melaka tetapi kini anda tidak perlu pergi terlalu jauh. Dengan tempoh perjalanan lebih kurang 45 minit dari Kuala Lumpur anda dapat menikmati menu istimewa ini dalam suasana yang sungguh santai.
Berkonsep nusantara dengan hiasan dalaman yang keseluruhannya menggunakan perabot jati, tarikan kafe ini sudah dapat dilihat sebaik anda meletakkan kereta di hadapannya.
Pintu masuk ke kafe ini teguh daripada kayu jati yang indah berukiran halus. Sekali pandang Hang Li Po Cafe nampak seperti restoran bertaraf lima bintang yang menghidangkan menu dan harga yang bertaraf hotel.
Namun usah mudah terpengaruh dengan pandangan pertama kerana belum masuk dan belum cuba makanannya, anda tidak akan tahu.
Seperti kata pemilik Hang Li Po Cafe, Zaini Harith, harga begitu sederhana dan amat berpatutan.
"Semua golongan mampu dan boleh menikmati makanan yang dihidangkan di sini. Harga ikan bakar pun tidaklah terlalu mahal bergantung pada saiz dan jenis ikan iaitu ikan siakap, bawal dan pari.
"Ikan bakar ini pula diramu dengan bahan-bahan seperti nanas, mangga, bunga kantan, cincaluk dan budu bagi membangkitkan aroma yang lazat dan menyelerakan.
"Selain itu, kami masukkan juga sayur-sayuran seperti kangkung dan bendi dan pelanggan dapat menikmati ikan bersama-sama sayur.
"Bagi set nasi ayam bersama pencuci mulut dan jus Hang Li Po Cafe, harganya cuma RM10 sahaja,'' kata Zaini yang ditemui di Hang Li Po Cafe bersama-sama suaminya, Adam Mat.
Menurut Zaini, pelanggan boleh memilih sama ada nasi putih atau nasi lemak kampung beralas daun pisang untuk dimakan bersama ikan bakar. Lebih membuka selera kerana air asam istimewa dan cincaluk cili padi yang boleh dicecah dengan ikan bakar.
Bagi pelanggan yang inginkan menu ringkas, mereka mempunyai pilihan menu lain seperti soto, mi kari atau bubur nasi berlauk telur masin, lobak masin, cili padi kicap dan ikan bilis goreng.
Kata Zaini lagi, kafe yang dibuka pada bulan November tahun lalu hasil idea bersama suami yang juga produser drama dan filem tempatan memilih nama Hang Li Po.
"Cuma terdapat juga segelintir pelanggan yang macam was-was hendak masuk ke kafe kerana mereka ingatkan kafe ini milik orang Cina melihatkan pada tanglung yang kami gantung. Sebenarnya kafe ini milik kami sepenuhnya,'' katanya yang mempunyai pelanggan berbilang kaum seperti Melayu, Cina, India serta rakyat asing seperti Eropah, Korea dan Jepun yang diraikan oleh rakan niaga di sini.
Zaini menjelaskan, pelanggan semakin ramai pada pukul empat petang ke atas kerana kafe itu menyediakan menu tradisional atau menu kampung seperti lempeng kelapa, lempeng pisang, lempeng labu, lempeng lobak merah dan cekodok ikan bilis yang boleh dicecah bersama sambal tumis.
Sambil menjamu selera, pelanggan terbuai dengan halwa telinga dan dendangan lagu-lagu klasik tahun 50-an membuatkan anda terlupa seketika segala masalah.
Memulakan perniagaan dari pukul 12 tengah hari hingga 12 malam, kafe yang boleh memuatkan sehingga 70 orang pada satu masa ini menerima tempahan pelanggan yang ingin mengadakan sebarang majlis di sini.

No comments:

Post a Comment