BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, June 24, 2013

DIPLOMA PENGURUSAN HALAL


KUALA LUMPUR 23 Jun - QSR Brands (M) Holdings Sdn. Bhd. akan menjadi syarikat yang pertama di dunia menawarkan Diploma Pengurusan Halal, jika ia menerima kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk melaksanakan program pendidikan itu, kata Pengurus Besar Syariah dan Pematuhan Halalnya, Mohammad Roslan Saludin.
"Kami sedang dalam proses mendapatkan kelulusan daripada MQA.
"Kami telah pun mengemukakan modulnya dan jika tiada pindaan, kami akan menawarkan program itu secepat mungkin di kolej milik penuh kami, KFCH International College," katanya kepada Bernama semasa berlangsungnya Sidang Kemuncak Perdagangan dan Logistik Halal Global baru-baru ini.
Beliau berkata, QSR Brands, sebagai pengusaha rantaian restoran terbesar di rantau ini melalui restoran-restoran KFC, Pizza Hut dan Ayamas, menyedari pentingnya mempunyai pekerja yang arif tentang halal dan faedah-faedahnya.
QSR mewujudkan program ini bersama dengan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Roslan berkata, setelah menamatkan pengajian, pelajar-pelajar bukan sahaja mempunyai pengetahuan tentang syariah dan latihan dalam industri halal, malah mereka juga akan tahu cara-cara menjalankan perniagaan dengan teratur.
"Mereka juga akan mempelajari mata-mata pelajaran lain seperti perakaunan dan pengkomputeran," katanya, sambil menambah bahawa graduan dari program ini boleh menjadi eksekutif halal.
Beliau berkata, industri itu kekurangan guna tenaga dalam bidang ini, dan mempunyai pengetahuan dalam pengurusan halal boleh memberikan kelebihan tambahan kepada mereka yang memiliki kemahiran begini.
"Peluang bagi mereka diserapkan dalam pasaran juga tinggi," kata beliau.
Sementara itu, Roslan berkata, oleh sebab semua produk QSR Brand banyak digunakan oleh umat Islam, amat penting bagi mereka menyediakan makanan halal dan pekerja mahir untuk mengendalikan operasi dengan cara yang halal.
Kata beliau, malah pada masa ini, kanak-kanak juga sudah pandai bertanya sama ada makanan yang mereka makan itu halal.
Buat masa ini, syarikat itu mengusahakan hampir 1,000 cawangan di Malaysia dengan lebih 26,000 pekerja dan mempunyai restoran di Malaysia, Singapura, Brunei, Kemboja dan India. -

No comments:

Post a Comment