BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, June 29, 2013

RESTORAN HJ. SHARIN LOW GRAND-BB UDA JB

Antara menu istimewa yang dimasak semasa Food Review masakan Cina Muslim di Restoran Haji Sharin Low, 
Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU 26 Jun - Anda gemarkan masakan Cina yang halal? Jika ya, anda boleh berkunjung ke Restoran Hj. Sharin Low Grand di Jalan Padi 1, Bandar Baru Baru Uda yang menghidangkan pelbagai menu masakan berkenaan.
Restoran yang mula beroperasi pada 8 Ogos tahun lalu merupakan cawangan yang Ke-18 milik Restoran Hj. Sharin Low Grand yang menawarkan masakan Cina Muslim berkonsepkan makanan Cina asli.
Penyelia restoran berkenaan, Linah Lim, 55, berkata, sebelum ini pihaknya telah membuka lebih enam cawangan di sekitar Lembah Klang, antaranya di Sri Gombak, Batu Caves, Ampang, Bukit Antarabangsa, Shah Alam, Bangi dan Kajang.
Selain itu, pihaknya turut membuka cawangan di Ipoh, Kota Bharu, Alor Setar dan Kuantan dengan kesemua rangkaian restoran itu diuruskan sendiri oleh Sharin Low Abdullah, selaku Pengarah Urusan Restoran Hj. Sharin Low Grand.
Ditanya bagaimana timbul idea untuk mewujudkan rangkaian makanan Cina Muslim, Linah berkata: "Negara kita cukup unik kerana dihuni oleh tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India yang amat mengenali dan saling menghormati sesama mereka baik dari segi adat-istiadat, sosio budaya dan agama.
"Hubungan yang baik antara sesama kaum ini telah menjadikan mereka mudah untuk menerima apa sahaja budaya baik termasuk dari segi makanan yang menyebabkan kami membuat keputusan untuk mewujudkan restoran seumpama itu," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Linah berkata, peluang yang terbuka luas itu digunakan dengan membuka restoran-restoran seumpamanya di kawasan penempatan Melayu dengan memastikan semua bahan bekalan adalah halal.
Menurutnya, selain mendapat sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pihaknya turut memastikan semua bekalan termasuk ayam, itik, daging lembu dan kambing bersembelih, begitu juga dengan pelbagai jenis sos yang kesemuanya bertanda halal.
Semua bekalan itu diperoleh daripada pembekal Islam di Pasar Borong Pandan, dekat sini, katanya.
Linah memberitahu, sebahagian besar menu yang dihidangkan merupakan resepi 'eksklusif' yang diwarisi oleh Sharin menerusi keluarga yang memang mahir dan pakar dalam bidang masakan Cina.
"Di restoran kami, antara menu yang paling mendapat sambutan termasuk udang lok, ikan kukus nyonya, telur masin kwai tau meow, ayam limau, ayam nanas, sayur dragon halia, kerapu ala Shanghai, ayam dan itik panggang, asparagus belacan, terung bersama daging cincang, anak ketam dan sotong bermadu.
"Kita turut menghidangkan beberapa jenis minuman istimewa termasuk kedondong, teh tiga lapis, lo han guo serta pencuci mulut seperti pan cake, bubur sengkuang putih dan bubur jagung manis," katanya.
Mengenai harga, pihaknya memang prihatin terhadap kemampuan pelanggan terutama golongan menengah dan untuk memenuhi kemampuan mereka, pihaknya menyediakan pakej-pakej mengikut keperluan pelanggan.
Sebagai contoh, pihaknya menyediakan pakej serendah RM108, RM138, RM188, RM238, RM368 dan RM428 bergantung kepada jumlah orang dan jenis menu yang dipilih.
"Bagi membolehkan golongan menengah ini menikmati makanan Cina Muslim, kita juga membuat keputusan bijak dengan membuka rangkaian restoran di kawasan di penempatan Melayu yang berpendapatan sederhana.
"Bagi kami, dalam bisnes bukan sekadar untuk mengaut keuntungan, tetapi yang lebih penting para pelanggan mendapat kepuasan dengan wang yang dibelanjakan bagi menikmati juadah yang dihidangkan," katanya.
Linah memberitahu, restoran tersebut yang dibuka setiap hari mulai 12 tengah hari hingga 12 tengah malam mendapat sambutan menggalakkan terutama hujung minggu bukan sahaja daripada warga bandar raya ini, malah rakyat Singapura.
Bagi mengendalikan restoran itu, pihaknya mempunyai 14 pekerja termasuk tiga tukang masa yang mahir.
Berikutan sambutan yang memberangsangkan, pihaknya bercadang membuka empat lagi cawangan di sekitar bandar raya ini termasuk di Tebrau, Kulaijaya, Nusajaya dan Pasir Gudang.
Menurutnya, orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan lanjut tentang restoran itu atau membuat tempahan boleh menghubunginya di talian 016-7315653 atau 016- 7461673 (Yati).

No comments:

Post a Comment