Makanan Mexico terkenal dengan kepelbagaian cita rasa dan warna. Rasa makananannya juga sedikit pedas dan kaya dengan protein terutamanya jagung, vitamin dan galian.
Tidak ketinggalan, masakan negara tersebut perlu ada pelbagai sayuran seperti cili merah, cili hijau, brokoli, bunga kobis, lobak, ayam dan daging.
Namun, masakan Mexico sebenarnya tidak terlalu jauh berbeza berbanding masakan tempatan tetapi sedikit kering dan masin.
Kebanyakan menu Mexico terkenal kerana keenakan krim dan keju seperti nachos beef, tacos beef, cheese deep dan chips, cream caramel, spaghetti seafood dan tomato sauce serta fettuccini cream dan beef bacon.
Bagi peminat makanan ini, anda mungkin boleh JNR Carlos Grill yang terletak di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur.
Menurut Pengurus JNR Carlos Grill, Tengku Anuar Tuan Nasir, pihaknya telah mengubah resipi tradisional Mexico bagi mempelbagaikan rasanya seiring peredaran zaman.
Kunci kepada masakan Mexico ialah bahan-bahan segar dari pasar yang mudah didapati di bahagian tengah dan selatan negara tersebut.
Oleh itu, Tengku Anuar akan memastikan setiap menu yang dihidangkan di restorannya mempunyai bahan-bahan segar.
Bagi memberi kelainan kepada setiap menu, JNR Carlos akan membuat sendiri bahan-bahan seperti sos dan daging burger.
Bercerita tentang konsep restoran, Tengku Anuar dan rakan-rakan kongsinya memilih dekorasi yang selesa dan ringkas sesuai untuk seisi keluarga menjamu selera.
Ruang yang disediakan juga luas dan pemilihan warna hitam putih memadai untuk sebuah restoran berkonsepkan makanan Barat.
Pun begitu, restoran ini turut menyediakan menu tempatan seperti nasi goreng dan pelbagai jenis ikan masak asam pedas seperti tenggiri, kembung dan pari.
“Kami menyediakan dua konsep menu ala Barat seperti snek dan makanan tengah hari atau malam. Bagi mereka yang bekerja atau mempunyai masa yang terhad pada tengah hari boleh mencuba set makan tengahari segera.
“Di sini anda boleh menikmati makanan Mexico yang halal kerana kebanyakan bahan-bahan seperti sos kami buat sendiri. Ada juga menu yang kami ubah suai mengikut cita rasa tempatan.
“Kami mengalu-alukan mereka yang ingin membuat majlis atau aktiviti sambil menikmati pelbagai jenis masakan Mexico dan tempatan berkunjung ke sini,” katanya yang merancang untuk membuka cawangan restoran kedua nanti.