BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, October 5, 2013

DAPUR JENDELA: MENU SARAPAN WAKTU MALAM


PERSEKITARAN restoran Dapur Jendela di Jalan Tan Hiok Nee, Johor Bahru yang nampak ringkas tetapi 
amat selesa untuk bersantai dan menikmati makan malam.

LEMPENG yang dinikmati dengan sambal tumis ikan bilis biasanya dihidangkan pada waktu sarapan, namun menu tersebut yang ditawarkan pada sebelah malam di restoran Dapur Jendela menjadikan ia popular dalam kalangan pengunjung.
Dapur Jendela yang terletak di Jalan Tan Hiok Nee di Johor Bahru, Johor yang dibuka pada Oktober tahun lalu mula menjadi tumpuan ramai sejak hidangan lempeng yang dicicah dengan sambal tumis ikan bilis diperkatakan mereka yang pernah ke restoran itu.
Bukan hanya lempeng, malah hidangan yang biasa dinikmati untuk sarapan seperti soto, roti jala dan ubi rebus turut tertera pada menu di restoran yang dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula pukul 6 petang hingga 2 pagi itu.
"Saya gunakan sebanyak 12 kilogram tepung gandum yang mampu menghasilkan kira-kira 324 keping lempeng setiap hari bagi memenuhi permintaan pengunjung yang mahu mencuba hidangan tersebut," kata pemilik restoran, Nurshila Surip, 23.
Bekas pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Alor Gajah, Melaka itu berkata, semua menu tempatan yang ditawarkan di Dapur Jendela adalah daripada resipi ibunya, Zubaidah Sarai, 57, yang sering menjadi hidangan keluarga.
Menurutnya, idea untuk menawarkan hidangan tersebut tercetus apabila dia yang gemar melancong dan mencuba pelbagai makanan tradisional negeri lain jarang bertemu dengan masakan kampung seperti lempeng dan ubi kayu.
"Hidangan ubi kayu mungkin ada, namun bila bercakap mengenai lempeng yang dimakan dengan sambal tumis ikan bilis, memang saya tak jumpa di tempat lain. Di atas kesedaran itu, saya cuba komersialkan makanan yang menjadi menu keluarga.
"Alhamdulillah, selepas hampir setahun beroperasi, restoran ini sudah dikenali dan tidak sangka hidangan lempeng yang ringkas ini menjadi permintaan ramai," katanya kepada S2.
Selain lempeng, soto, roti jala dan ubi rebus, Dapur Jendela yang bakal menginjak usia setahun pada bulan depan turut menawarkan hidangan nasi kukus dan bubur nasi yang dinikmati bersama kangkung goreng belacan, masakan Barat dan pelbagai jenis jus buah-buahan.
Anak jati Johor itu juga berkata, kebanyakan menu di restorannya mudah disediakan dan tidak mengambil masa lama untuk dihidangkan kepada pelanggan yang mana ia menjadi antara kriteria pilihan pelanggan, selain disebabkan lempeng.
"Di Dapur Jendela, kami menghidangkan makanan seperti mana kami nikmati ketika berada di rumah. Tiada bahan dikurangkan dalam setiap hidangan, macam mana pelanggan rasa macam itulah ia dimasak ibu di rumah," katanya.
Restoran yang terletak di deretan bangunan lama berdekatan Bazar Karat itu, katanya, menampilkan konsep santai dengan menggunakan peralatan dapur seperti senduk, sudip, periuk, sudu dan garpu sebagai hiasan dalamannya.
Tambahnya, pengubahsuaian di kedai tersebut yang turut menggunakan piring hitam album artis lama itu dibuat hasil bantuan kakak serta abang iparnya yang masing-masing merupakan arkitek dan eksekutif di sebuah syarikat perkapalan.
"Restoran dua tingkat ini mampu memuatkan 60 orang dalam satu masa. Biarpun tempatnya tidaklah seluas restoran lain, namun ia memberi kepuasan kepada saya kerana apa yang penting adalah kepuasan pelanggan yang menikmati hidangan kami," katanya.
Nurshila yang pernah aktif dan mewakili Johor ke Sukan Malaysia di Kedah pada 2006 dalam acara sukan angkat berat memberitahu, nama restoran itu diambil bersempena dapur istimewa ibunya yang unik di rumah mereka.
"Dapur ibu di rumah jika dilihat seakan-akan diletak di dalam sebuah almari bertingkap. Jadi, setiap kali ibu hendak memasak, dia perlu buka pintu untuk ke dapur. Nama restoran ini diambil sempena dapur istimewa itu.
"Istimewanya dapur ini, ia bukan sahaja tempat untuk memasak, malah ibarat tempat mengeratkan kasih sayang. Ini kerana, melaluinya kami sekeluarga dapat merasai pelbagai juadah kegemaran, hasil air tangan ibu," jelasnya.
Dalam pada itu, Nurshila juga memasang impian untuk memperluaskan perniagaannya pada masa hadapan kerana mahu berkongsi resipi kampung di tempat lain agar tidak dilupakan generasi akan datang.

No comments:

Post a Comment