BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, October 19, 2013

RESTORAN D'DAPOR EXPRESSS- LEBUH UNION, PULAU PINANG

SET hidangan dimasak menggunakan bahan-bahan segar sebaik mendapat tempahan 
daripada pelanggan restoran.

SEBAIK melangkah masuk ke Restoran D'Dapor Express yang terletak di Lebuh Union, Pulau Pinang, berkumandang irama gamelan yang membuatkan pengunjung terpaku seketika.
Bagaikan terpukau dengan suasana di dalam restoran yang dimiliki oleh Naser Medina itu, terutama hiasan dinding yang membangkitkan nostalgia kehidupan seharian di Pulau Mutiara suatu ketika dahulu serta beberapa poster seniman agung, Tan Sri P. Ramlee.
Menurut Naser, sejak mengambil alih pengurusan restoran pada penghujung 2011, beliau cuba membawa pelbagai perubahan sama ada aspek dekorasi mahupun menu di restoran yang menawarkan hidangan tradisional Melayu itu.
Malah bagi menghargai nilai estetika Melayu, nama-nama menu yang disediakan juga bercirikan kemelayuan serta mudah diingati oleh pelanggan yang rata-rata terdiri daripada pelancong asing.
"Biarpun sasaran utama pelanggan kami adalah pelancong asing, namun kami menawarkan pelbagai menu bercirikan Melayu serta mempunyai nama yang mudah diingati.
"Kami juga menyediakan beberapa hidangan istimewa iaitu kari kepala ikan menggunakan rempah yang dicipta sendiri dan udang karang yang menjadi pilihan ramai," ujarnya kepada S2 baru-baru ini.
Antara hidangan yang disediakan berasaskan ayam, daging, sayur-sayuran serta makanan laut yang dimasak segar setiap kali dipesan oleh pelanggan.
Nama-nama menu pula adalah Udang Buluh Perindu, Udang Petai Desa Permai, Sapi Rendang Seri Tanjung, Ikan Kukus Orang Tanjung, Sotong Kapitan Keling, Ayam Kelasah Malindo dan banyak lagi.
Selain untuk hidangan makan tengah hari dan makan malam, restoran yang boleh memuatkan 120 pelanggan pada satu-satu masa itu juga menyediakan tempahan berkumpulan serta majlis peribadi seperti jamuan keluarga dan hari jadi.
Malah ujar Naser, restoran tersebut juga pernah menjadi lokasi majlis perkahwinan dan jamuan hari raya bagi mereka yang inginkan suasana lebih santai.
Bercerita mengenai pelanggan, beliau menambah, antara pelancong yang sering berkunjung ke restoran itu adalah dari Jepun, Taiwan, China, Australia dan Timur Tengah.
"Kebiasaannya pemandu pelancong dan agensi pelancongan akan singgah di sini untuk membolehkan pelancong menikmati makan tengah hari dan ternyata hidangan disediakan digemari pelancong.
"Itulah sebabnya kami sentiasa memastikan mutu masakan yang disediakan di sini menepati cita rasa mereka, namun tidak sesekali mengabaikan ciri-ciri tradisional Melayu yang menjadi tunjang D'Dapor," ujarnya.
Menurut Naser, hidangan yang disediakan di D'Dapor tidak terlalu mahal malah berpatutan untuk memenuhi bajet setiap pelanggan, contohnya kari kepala ikan daripada RM35 dan udang karang pula daripada RM55 satu hidangan.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, pihaknya berhasrat membuka cawangan di beberapa lokasi terpilih, namun yang paling utama adalah strategi mengekalkan rasa asli ciptaannya sendiri.
Selain itu, beliau juga berhasrat membuka perkhidmatan katering untuk majlis-majlis keramaian dengan pilihan menu sama seperti yang disediakan di D'Dapor.

No comments:

Post a Comment