BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Sunday, October 20, 2013

LANGGAR ANAK SENDIRI, SALAH SIAPA ?


MEMBIARKAN anak kecil di dalam kereta tanpa pengawasan boleh mengundang padah. 


TRAGEDI yang berlaku pada 11 September lalu, mungkin menjadi igauan seumur hidup bagi seorang bapa, Mohd. Ali Hussin, 53.
Apa tidaknya, insiden yang berlaku pada pukul 12.30 tengah hari itu mengakibatkan dia kehilangan anak kesayangannya, Mohd. Adam, 2, yang menjadi mangsa korban kereta miliknya sendiri.
Lebih menyayat hati apabila mangsa ditemui berlumuran darah dalam keadaan secara melutut di dinding sambil kedua-dua tangan memegang selipar selepas dirempuh kereta yang ‘dipandu’ si abang.
Kejadian yang berlaku di pekarangan rumahnya sendiri di Taman Kerian, Parit Buntar, Perak itu tercetus selepas Mohd Ali meninggalkan kereta tanpa berkunci sebelum masuk ke dalam rumah sebentar bagi mengambil barangnya.
Namun, tiada siapa dapat menyangka, akal panjang anak kecilnya yang berusia empat tahun itu mampu ‘memandu’ kereta bapanya.
Tindakan si abang yang cuba ‘bereksperimen’ dengan kereta Mazda bapanya itu nyata merubah episod hidup dalam keluarga Mohd. Ali.
Insiden itu seolah-olah menjadi pembuka trend nahas maut membabitkan kenderaan undur milik ahli keluarga mangsa sendiri di negara ini.
Ia terbukti apabila dua minggu kemudian, kita digemparkan sekali lagi dengan kejadian seorang budak lelaki, Muhammad Rifaie, 2, yang maut selepas digilis treler yang dipandu bapanya di Taman Megah, Pontian, Johor.
Tidak hanya terhenti di situ, selang dua minggu selepas itu, Muhammad Faqih Mohd. Fitri yang berusia 10 bulan menjadi mangsa korban ibunya sendiri yang tidak sengaja merempuh anaknya ketika mengundurkan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya di Bukit Besar, Kuala Terengganu.
Ini merupakan sebahagian daripada insiden maut yang membabitkan kemalangan kenderaan yang mendapat liputan meluas.
KERATAN akhbar muka depan Kosmo! 10 Oktober 2013.


Kecuaian
Belum lagi dikira kes melibatkan kecederaan dan kanak-kanak yang mati lemas dalam kereta.
Sebagai manusia yang ada pegangan agama, kita percaya kematian seseorang itu dianggap ketentuan tuhan.
Namun, setiap apa yang berlaku pasti ada penyebabnya.
Jika nyawa anak-anak itu sendiri diragut oleh insan yang sudah diamanahkan oleh tuhan untuk menjaganya, sudah pasti sebagai ibu bapa, ia menjadi sejarah hitam dalam memori hidupnya.
Dalam hal sebegini, yang jelas ibu bapa sememangnya memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan kanak-kanak.
“Kejadian kemalangan undur kereta ini bukan hanya di Malaysia. Di negara maju seperti Amerika Syarikat dilaporkan sebanyak 448 kematian akibat langgar undur dari tahun 2006 hingga 2010.
“Di Australia sendiri, saban minggu sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak telah terlanggar akibat undur kereta. Kes kemalangan undur kereta ini boleh dikatakan antara kejadian yang kerap berlaku di luar negara selain kes lemas dalam kereta,” ujar Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Anak-Anak Malaysia, Mohd. Fairuz Mohamed Isa.
Mohd. Fairuz menjelaskan antara faktor berlakunya kemalangan tersebut ialah kecuaian penjaga itu sendiri.
Sikap suka tergesa-gesa memandu kereta keluar dari rumah menyumbang kepada kegagalan ibu bapa untuk memastikan keadaan sekitar berada dalam keadaan selamat sebelum menggerakkan kenderaan.
Katanya, sikap semula jadi kanak-kanak juga boleh menyumbang kepada berlakunya kemalangan tersebut.
“Memang sifat semula jadi kanak-kanak yang berasa teruja jika melihat ibu bapanya. Tidak kurang ada juga kanak-kanak yang begitu aktif dan agak nakal.
“Namun, ini bukanlah alasan bagi kita untuk membiarkan mereka tanpa sebarang pengawasan,” ujarnya.
IBU bapa perlu memantau keadaan persekitaran bagi memastikan ianya selamat sebelum mengundurkan kenderaan. - Gambar hiasan


Zon buta
Faktor luaran seperti keadaan kereta dan persekitaran juga dilihat antara yang boleh menyumbang kepada kes-kes kemalangan sedemikian.
“Sekiranya kenderaan tidak dilengkapkan dengan alat pengesan undur kereta, ia akan menyukarkan pemandu untuk mengenal pasti objek yang berada di belakang.
“Ini ditambah pula dengan keadaan enjin kereta yang berbunyi bising sehingga tidak dapat mendengar suara lain di sekeliling,” katanya yang memberitahu zon ‘buta’ kenderaan turut perlu diambil kira dalam memastikan keadaan di sekitar kenderaan.
Dalam hal sebegini, mencari kesalahan sesiapa bukanlah penyelesaiannya.
“Namun, kecuaian ini perlu diberi pengajaran dan masyarakat perlu belajar dari kesilapan. Kempen kesedaran, bimbingan dan kaunseling kepada ibu bapa perlu agar kejadian seumpama tidak berulang,” katanya yang memberitahu, Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika ibu bapa didapati bersalah atas kecuaian sehingga mengakibatkan anak-anak cedera.

No comments:

Post a Comment