BANNER KEMANGI
FACILITIES
Tuesday, May 14, 2013
AMALAN DIBULAN REJAB
HARI ini kita telah memasuki bulan Rejab. Tidak lama lain Syaaban akan menjelang lalu Ramadan menyusul.
Rejab adalah kunci kebaikan dan ibadah. Berkata Abu Bakar Al-Warraq al-Balkhi: "Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya."
Itu kerana bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan rahmat daripada Allah SWT. Setiap Muslim merasakan keindahan dan kedekatan dengan-Nya. Pada bulan itu, setiap ibadah diberi ganjaran berkali-kali ganda. Belum lagi malam Lailatulqadar yang menjadi harapan setiap orang yang mencintai negeri akhirat.
Kesempurnaan Ramadan mustahil diraih tanpa persiapan. Dan persiapan itu bukan bermula apabila Ramadan bermula. Persiapan Ramadan mesti bermula sejak beberapa bulan sebelumnya. Rejab bulan yang sangat baik untuk kita memulai persiapan itu.
Bulan haram
Apa lagi sebenarnya Rejab memiliki kelebihan tertentu berbanding bulan-bulan yang lain. Ia adalah salah satu daripada empat bulan haram, yakni bulan-bulan yang sangat terhormat di sisi Allah SWT.
Rasulullah SAW pernah bersabda: Sesungguhnya masa telah beredar seperti mana keadaannya ketika Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun adalah 12 bulan. Di antara bulan-bulan itu terdapat empat bulan haram. Tiga di antaranya berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Dan (keempat) adalah Rejab Mudar yang terletak antara Jumada dan Syaaban. (al-Bukhari dan Muslim)
Sejak masa jahiliah, keempat-empat bulan haram ini sangat dihormati. Ia adalah bulan-bulan bertenang untuk meraikan para jemaah haji dan umrah. Peperangan dan pergaduhan diharamkan pada bulan-bulan tersebut.
Dalam Islam hukum ini memang dimansuhkan. Apabila diperlukan, umat Islam dibenarkan berperang pada bulan-bulan tersebut itu. Namun begitu, keempat-keempat bulan itu tetap memiliki kelebihan tersendiri dengan dilebihkan ganjaran pahala dan dosa padanya.
Berkata Ibnu Abbas: "Allah mengkhaskan beberapa bulan untuk dijadikan bulan haram dan mengagungkan kadarnya. Dosa maksiat yang dilakukan padanya sangat besar. Sebagaimana pahala ibadah yang dilakukan padanya juga sangat besar." (diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman)
Amalan
Tiada amalan khas yang mesti dilakukan pada bulan Rejab. Kita hanya diperintahkan untuk memperbanyak ibadah apa yang kita mampu lakukan.
Siapa yang mampu memperbanyak solat sunat dipersilakan. Namun begitu hindari daripada melakukan solat Raghaib yang selalu dilakukan pada Jumaat pertama bulan Rejab. Berkata Ibnu Rajab al-Hanbali: "Hadis-hadis yang menceritakan fadilat solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab adalah palsu. Solat ini bidaah menurut kebanyakan ulama."
Siapa yang hendak memperbanyak puasa sunat, juga digalakkan. Usman bin Hakim al-Ansari pernah bertanya kepada Said bin Jubeir tentang amalan puasa sunat pada bulan Rejab. Said menjawab: Aku mendengar Ibnu Abbas berkata: Rasulullah selalu berpuasa sehingga kami menyangka beliau tidak pernah berbuka. Dan baginda juga selalu berbuka sehingga kami menyangka beliau tidak pernah berpuasa. (riwayat Muslim)
Imam Al-Nawawi menjelaskan: "Maksud Said bin Jubeir adalah tidak ada larangan dan galakan khas untuk melakukan puasa di bulan Rejab. Akan tetapi hukum bulan ini seperti bulan-bulan lainnya. Asal hukum puasa adalah sunat."
Adapun ibadah umrah, maka sunat melakukannya pada bulan Rejab. Rasulullah pernah melakukan ibadah umrah di bulan Rejab. Ibnu Sirin meriwayatkan bahawa para tokoh-tokoh ulama salaf sangat menyukai ibadah umrah di bulan Rejab.
Selain ibadah-ibadah ini, lakukanlah ibadah-ibadah lain semampu kita. Perbanyakkanlah zikir, bacaan al-Quran dan selawat.
Jika tidak mampu melakukan ibadah dan kebaikan, minimal yang kita mesti lakukan adalah menjauhkan diri daripada maksiat. Jangan nodai bulan yang mulia ini dengan kata-kata kesat, lucah, ghibah, makian dan lain-lain. Siapa yang meninggalkannya kerana Allah, ganjaran besar telah menunggu untuknya.
Semoga Allah membuka hati-hati kita untuk menikmati keindahan Ramadan dengan memberinya hidayah untuk melakukan kebaikan sejak dari bulan Rejab dan Syaaban.
Labels:
MINDAGAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment