Kangkung yang disalut tepung dan digoreng rangup lalu dituangkan sos Thailand yang masam manis menggunakan resipi rahsia bersama kacang, cili api dan bijan itu amat menyelerakan.
Masakan Thailand itu sedap dinikmati bersama nasi panas dan lauk-pauk yang lain malah ia juga lazat dinikmati begitu sahaja.
Bagi mereka yang `anti sayur turut dapat menikmati kerabu kangkung ini dengan gembira kerana ia bukanlah hidangan tipikal sayur lain, ia rangup bagaikan keropok!
Ujar pengurus restoran, Tuty Reezal kerabu kangkung sememangnya menjadi hidangan yang paling digemari pelanggan kerana ia susah diperoleh di restoran Thailand yang lain di Malaysia.
Masakan kerabu sememangnya cara masakan terkenal dari Thailand, selalunya kerabu mangga, kerabu terung, kerabu sotong dan kerabu ikan keli yang mudah didapati di restoran masakan ala Thai.
Kerabu kangkung ini agak berbeza dengan cara masakan sayur-sayuran lain kerana ia rangup dan rasanya boleh diterima ramai tidak kira siapa," ujarnya yang turut mempunyai cawangan Restoran Jemari di Seksyen 7, Shah Alam yang diuruskan oleh adiknya.
Selain kerabu kangkung, pelbagai hidangan Thailand yang lain yang wajib dicuba seperti ayam kari hijau yang pedas tetapi amat menyelerakan.
Ayam kari hijau merupakan hidangan seakan masak lemak cili api kerana menggunakan santan dan susu cair cuma ia berwarna hijau kerana pesnya menggunakan cili api, cili hijau dan kulit limau purut yang dikisar.
Tidak sah kiranya tidak memesan hidangan tomyam di kedai masakan ala Thai. Jika anda suka cabaran dan hidangan berapi, tomyam merah yang menggunakan pes yang diimport dari Thailand sesuai untuk anda.
Tomyam putih atau tomyam pok tek pula lebih sesuai untuk mereka yang mahu sesuatu yang kurang pedas.
Satu lagi hidangan wajib dicuba ialah ikan siakap stim asam boi. Buah asam boi pada kuahnya memberikan rasa unik masam-masam manis, amat berbeza dengan hidangan biasa ikan stim limau atau halia.
Kepada mereka yang bercadang untuk memanjakan ibu mereka bersempena Hari Ibu pada hari ini, apa kata singgah ke Restoran Jemari kerana selain hidangannya yang menarik, restoran itu turut berkonsepkan santai, berbeza dengan kebanyakan restoran Thailand yang lain dan jangan lupa mencuba kerabu kangkung!
No comments:
Post a Comment