BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, May 14, 2013

USAHAWAN WANITA DISARAN PASAR PRODUK DALAM TALIAN


PONTIAN 14 Mei - Golongan usahawan wanita tempatan disaran memohon dan menggunakan geran yang disediakan di bawah program Get Malaysia Business Online (GMBO) bagi melonjakkan perniagaan dalam talian.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, GMBO merupakan inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2013 bagi manfaat 50,000 usahawan mikro di seluruh negara dengan setiap usahawan menerima sebanyak RM1,000 bagi membantu mereka memasarkan perniagaan secara dalam talian.
"Ini merupakan salah satu daripada objektif kewujudan Pusat Jalur Lebar bukan sahaja untuk merapatkan jurang digital, tetapi juga membangunkan ekonomi penduduk setempat," katanya dalam program Jom Celik Minda Merentasi Dunia Maya di Pusat Jalur Lebar 1Malaysia di Kampung Permatang Sepam, Benut dekat sini baru-baru ini.
Yang turut hadir Pemangku Ketua Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Selatan, Roszeta Kassim.
Ahmad berkata, kini terdapat ramai usahawan wanita yang melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti membuat makanan ringan, jahitan, ternakan ayam kampung dan inap desa.
"Aktiviti ekonomi tambahan seperti itu sebenarnya boleh dipasarkan secara dalam talian kerana cepat dan mudah untuk tersebar secara meluas melalui kemudahan internet," katanya.
Justeru, beliau menyeru usahawan wanita agar dapat memanfaatkan kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk merebut pasaran yang lebih terbuka bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara.

No comments:

Post a Comment