BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, May 4, 2013

DKAYANGAN BBQ STEAMBOAT-SEKSYEN 13 SHAH ALAM


Sharifah Norashikin Syed Osman bersama pilihan pelbagai sajian di D’Kayangan BBQ Steamboat yang terletak di Seksyen 13 Shah Alam, Selangor.

HARI ini dengan permintaan yang begitu tinggi dalam kalangan masyarakat setempat terhadap hidangan ini menjadikannya menu pilihan untuk diusahakan.
Bagi Chef utama D’Kayangan BBQ Steamboat, Sharifah Norashikin Syed Osman, 55, pembukaan restoran tersebut sekitar tahun 2010 adalah untuk memberi pilihan kepada peminat-peminat hidangan tersebut.
Menawarkan lebih daripada 150 jenis pilihan makanan, para pelanggan boleh menikmatinya sama ada dalam rebusan sup ayam mahupun tomyam.
Menurut Chef Sharifah lagi, selain stimbot, pihaknya turut menawarkan kambing panggang sebagai makanan sampingan.
“Ini kerana selain menikmati stimbot, para pelanggan juga boleh mempelbagaikan hidangan pilihan dan untuk itu kami turut menawarkan makanan laut yang dipanggang seperti sotong, ayam, dan sebagainya.
“Jadi para pelanggan yang tidak gemar stimbot boleh menikmati hidangan sampingan lain yang turut disediakan," katanya ketika ditemui premis perniagaannya yang terletak di MR1-01-04, Seri Acapella Service Apartment, No. 1, Jalan Lompat Tinggi 13/33, Seksyen 13, Shah Alam.
Menyatakan keistimewaan hidangan yang terdapat di D’Kayangan BBQ Steamboat adalah terletak pada resipi perapnya, ujar Chef Sharifah lagi, maklum balas para pelanggan jelas memberitahu bahawa bahan-bahan perapan bagi kambing golek dan juga hidangan panggang begitu enak.
Begitu juga dengan sup ayam dan tomyam yang disediakan kerana kedua-dua jenis sup itu dihasilkan daripada resipi Chef Sharifah sendiri.
Dengan hanya RM24.45, pelanggan (dewasa) boleh menikmati pelbagai hidangan manakala untuk kanak-kanak pula hanya RM12 (empat hingga 10 tahun).
Namun ulas Chef Sharifah, pada masa sama pihaknya menggalakkan pelanggan menghabiskan makanan yang diambil. Jika berlebihan akan berlaku pembaziran dan untuk itu pelanggan akan dicaj RM10 bagi setiap gram yang berbaki.
“Kita tidak mahu pelanggan membazir dengan mengambil terlalu banyak makanan tetapi gagal dihabiskan.
“Jadi, kita akan mengenakan caj sebanyak RM10 setiap gram ke atas makanan yang tidak habis.
“Dengan ini secara tidak langsung amalan berjimat cermat dapat diterapkan," tegasnya.
Boleh memuatkan sehingga 300 pelanggan pada satu-satu masa, D’Kayangan BBQ Steamboat dibuka setiap hari bermula pukul 5 petang hingga 12 tengah malam kecuali Ahad yang memulakan operasi seawal 10.30 pagi.
Bicara Chef Sharifah, hari Ahad berbeza dengan hari-hari lain kerana menyediakan sarapan pagi seperti roti canai, nasi lemak, bubur, roti bakar dan sebagainya termasuklah makan tengah hari apabila tiba waktunya.
Dan untuk hari Ahad juga, stimbot akan bermula untuk makan tengah hari hinggalah tengah malam.
“Hari Ahad ada sedikit kelainan di mana kami memulakan operasi sebelah pagi dan stimbot pula para pelanggan boleh menikmatinya pada tengah hari.
“Ini semua adalah memenuhi permintaan pelanggan yang ingin menikmati stimbot bersama ahli keluarga seawal mungkin kerana hari-hari biasa kami mula beroperasi 5 petang.
“Untuk itu kami sepakat untuk memulakan operasi sebelah pagi serta memberi pilihan hidangan untuk sarapan pagi, makan tengah hari, makan petang seterusnya makan malam," tuturnya lagi.
Memberitahu kesemua bahan mentahnya didapatkan daripada pembekal tempatan, ia juga dibekalkan setiap hari dalam usaha memberikan yang segar kepada para pelanggannya.

No comments:

Post a Comment