BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, May 30, 2013

SIFAT SOLAT MUNAFIK

SOLAT adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikannya maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya maka dia telah meruntuhkan agama. Di dalam satu hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa sesungguhnya sempadan di antara seseorang dengan kekafiran adalah meninggalkan solat.
Apabila seseorang dapat menyempurnakan solat seperti yang ditunjukkan oleh nabi maka sempurnalah solatnya. Ia tergolong daripada orang yang beruntung di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.
Di dunia kerana solatnya itu dapat mencegah daripada melakukan kejahatan dan di akhirat, solatnya itu dapat mencegah daripada api neraka.
Lantaran itu, dengan memperbaiki solat bermakna kita akan menyempurnakannya. Keberhasilan daripada kesempurnaan solat itu akan menyelamatkan kita daripada dua perkara iaitu kemungkaran di dunia dan azab api neraka di akhirat kelak.
Solat yang sempurna merupakan pembersih kepada diri daripada dosa dan kejahatan.
Hal ini diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: "Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, apakah pendapat kamu sekiranya terdapat sebatang sungai di hadapan pintu salah seorang daripada kamu dan dia mandi di dalamnya setiap hari sebanyak lima kali. Apakah masih lagi terdapat kotoran pada badannya?
Para sahabat menjawab: "Sudah pastinya tidak terdapat sedikit pun kotoran pada badannya."
Lalu baginda bersabda: "Begitulah perumpamaannya dengan solat lima waktu. Allah menghapuskan segala kesalahan mereka."
Pun begitu kita kenalah berwaspada agar tidak tergolong dalam sifat-sifat solat orang yang munafik. Apakah itu ciri-ciri sifat solat munafik?

1. Solat bukan kerana Allah
Allah SWT berfirman dalam ayat 107 surah al-Taubah bermaksud, Dan di antara orang munafik juga ialah golongan yang membina masjid dengan tujuan membahayakan keselamatan orang-orang Islam dan menguatkan keingkaran mereka sendiri serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman dan juga untuk dijadikan intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan Rasul sebelum itu. Dan apabila tujuan mereka buruk itu ketara mereka akan bersumpah dengan berkata: 'Tidaklah yang kami kehendaki mendirikan masjid ini melainkan untuk kebaikan semata-mata'. Padahal, Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.
Dalam perjalanan pulang dari perang Tabuk, Rasulullah SAW memerintahkan para sahabatnya pulang segera ke Madinah dan membakar masjid berkenaan bersempena turun ayat tersebut.
Abu Amir al-Rahib bersama rakan-rakannya dianggap musuh-musuh Islam sehingga para sahabat Rasulullah SAW menyelar lelaki itu dengan perkataan jahat.

2. Solat dalam keadaan malas
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu-daya terhadap agama Allah dengan berpura-pura beriman sedangkan mereka kafir pada batin dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik. Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas hanya bertujuan riak kepada manusia supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman dan mereka pula tidak mengingati Allah dengan mengerjakan sembahyang melainkan sedikit sekali."

3. Merasa berat dalam solat
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Seberat-berat sembahyang bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh. Kalaulah mereka mengetahui kelebihan yang ada pada kedua-dua solat ini, nescaya mereka tetap datang walaupun merangkak. Sesungguhnya aku bercita-cita bahawa aku memerintah seseorang supaya memerintah manusia bersembahyang dan menyuruhnya membawa orang mengerjakan solat kemudian aku pergi bersama beberapa orang lelaki membawa kayu-kayu api untuk pergi ke rumah orang yang tidak mengerjakan solat jemaah dan aku bakar rumah-rumah itu dengan api."

No comments:

Post a Comment