BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, May 30, 2013

INAP DESA KG. PUTERI MENANGIS

PENDUDUK menunjukkan pintu gerbang seperti Menara Berkembar Petronas mengalu-alukan
 pelawat ke Kampung Parit Puteri Menangis di Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 29 Mei - Bermula dengan 10 buah rumah pada 2000, kini Inap Desa Kampung Parit Puteri Menangis, Ayer Baloi di sini bersedia menjadi tuan rumah yang mesra kepada pelawat dari dalam dan luar negeri dengan tambahan enam buah rumah dalam segmen agropelancongan di kampung ini.
Menurut Pengerusinya, Sujak Hussin, 53, pihaknya mempunyai sebanyak 16 buah rumah yang terlibat secara aktif bagi sama-sama menjadikan aktiviti tersebut sebagai kegiatan ekonomi penduduk tempatan melalui pelbagai produk makanan, kebudayaan, pertanian, industri kecil dan sederhana (IKS), ternakan dan sukan.
Menurut beliau, semuanya ditawarkan dengan pakej serendah RM170 semalam bermula pukul 12 tengah hari sehingga keesokannya termasuk makan minum sebanyak empat kali serta lawatan ke produk pelancongan.
"Kami bersedia menawarkan suasana kelainan kepada pelawat seperti memotong buah nenas, memetik buah kelapa sawit, memberi makan kambing, menggoreng makanan ringan serta aktiviti kebudayaan seperti tarian zapin, permainan congkak, silat mahupun berhibur dengan lagu-lagu karaoke tahun-tahun 60-an dan 70-an.
"Dengan kemudahan prasarana yang baik dan berdekatan dengan Lebuhraya Utara Selatan di laluan masuk Tol Sedenak dan Simpang Renggam, menjadikan kampung ini destinasi percutian sempurna. Malah, sebanyak empat orang penduduk telah membuat lawatan kerja ke Jepun bagi menimba pengalaman dalam bidang tersebut," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Bagi Pengerusi IKS kampung tersebut, Masnah Rahmat, 47, beliau bersama pengusaha industri hiliran di kampung itu sentiasa bersedia menerima tetamu yang datang bermalam di inap desan berkenaan dan melihat sendiri penghasilan produk kaum ibu seperti kuih siput, pelbagai jenis kerepek dan kuih tradisional seperti baulu dan bangkit.
Menurutnya, kaum ibu turut sama memajukan ekonomi keluarga dalam bidang IKS ketika kaum bapa memerah keringat di kebun kelapa sawit dan nenas seiring usaha memacu ekonomi kampung selari saranan transformasi luar bandar (RTC) oleh kerajaan.
"Saya gembira kerana Kampung Parit Puteri Menangis telah mengorak ke satu arah yang tepat sesuai dengan saranan kerajaan agar penduduk desa juga melibatkan diri dalam bidang pelancongan berasaskan pertanian," katanya.
Bagi pekebun nanas, Ngadiman Tasno, 66, dia juga bersedia menawarkan kepada pelancong yang ingin mencari pengalaman memotong buah nanas.
Katanya, pelbagai jenis tanaman nanas diusahakan di kebunnya seperti nanas jenis Morris, N36, Gandol, Josephine dan Sarawak yang juga menjadi sebahagian daripada produk Inap Desa Kampung Parit Puteri Menangis.

PENYAKIT LAZIM KANAK-KANAK

Cabaran getir menjaga anak kecil ialah apabila mereka jatuh sakit, memandangkan pada tahap usia baru lahir hingga kanak-kanak, sistem ketahanan badan masih belum berkembang sepenuhnya.
Antara penyakit yang lazim dihidapi oleh setiap anak kecil ialah demam panas, batuk, selesema, asma dan sebagainya.
Berada dalam situasi tersebut pasti akan merisaukan apatah lagi apabila anak tidak berhenti merengek dan menangis disebabkan suhu badan meningkat.
Perunding dan Pakar Kardiologi Kanak-Kanak, Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata, sebagai ibu bapa, mereka harus mengetahui sekurang-kurangnya fakta asas tentang penyakit yang lazim dihidapi kanak-kanak.

Sebagai contoh katanya, suhu badan normal pada bayi yang sihat adalah daripada 36.5 darjah celcius sehingga 37.8 darjah celcius. Suhu manusia selalunya akan naik semasa siang dan turun semasa malam.
Beliau berkata, secara umumnya bayi tidak dianggap demam kecuali apabila suhu badannya melebihi 37.7 darjah celcius pada waktu pagi atau melebihi 38.2 darjah celcius pada waktu petang.
"Jika suhu badan anak meningkat ibu bapa juga perlu tahu langkah-langkah awal yang boleh diambil di rumah sebelum membawanya berjumpa doktor.
"Antaranya, beri anak minum banyak air, tanggalkan pakaian dan tuamkan badannya.
"Berikan anak ubat demam jenis paracetamol , diclofenac atau ibuprofen untuk ubat makan, manakala bagi ubat demam melalui dubur adalah daripada jenis paracetamol dan diclofenac . EIak memberi anak makan ubat jenis aspirin," jelas Dr. Zulkifli pada Seminar Keibubapaan anjuran Positive Parenting di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, bayi berusia bawah enam bulan yang demam lebih daripada dua hari, mengalami kekejangan, lesu dan muntah-muntah hendaklah dibawa berjumpa doktor dengan segera.

Rawatan awal boleh mengelak daripada keadaan bayi menjadi lebih teruk sehingga mungkin boleh membawa maut.
Sementara itu katanya, demam kadang kala akan disertai dengan selesema dengan simptom-simptom seperti bersin, mata berair, batuk dan keletihan.
Asma pula sering dijangkiti oleh kanak-kanak berusia dua hingga tujuh tahun yang mengalami batuk (termengah-mengah) pada waktu malam.
"Jika keadaan ini berlaku disaran segera berjumpa doktor dan mendapat inhalers yang bersesuaian.
"Rumah yang ada anak mengalami asma tidak sesuai membela binatang peliharaan dan elak daripada menggunakan permaidani kerana ia mengumpul habuk .
"Diingatkan juga untuk menjemur tilam dan bantal di bawah matahari sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk menghindari habuk, serta cadar ditukar setiap minggu," jelasnya.
Menurut Zulkifli, kanak-kanak juga sering mengalami masalah cirit-birit yang mana mereka akan kerap membuang air besar dan muntah.
Bagi rawatan awal, ibu bapa boleh memberikan air yang mengandungi garam untuk penghidratan (satu paket ke dalam 250ml air).
Jelasnya, jika cirit birit berterusan disebabkan pemberian susu formula yang tidak sesuai, tukar kepada susu ibu atau susu tanpa laktosa.
"Elak memberi ubat terutama antibiotik yang akan membuatkan cirit birit semakin teruk.
"Kebersihan menjadi perkara penting dalam kes ini. Bersihkan tangan, jangan biarkan susu terlalu lama di dalam botol dan rebus air untuk menghapuskan bakteria, serta hidang makanan dengan cara bersih," kata Dr. Zulkifli.
Selain itu beliau menjelaskan, setiap kanak-kanak yang baru lahir harus melalui program imunisasi secukupnya seperti yang disaran oleh pihak berkuasa perubatan di negara ini.
Ini bagi mencegah dan melindungi anak-anak daripada penyakit.
Antara vaksin yang perlu diambil oleh setiap bayi yang dilahirkan ialah vaksin demam campak yang diambil sebanyak dua dos, manakala vaksin rotavirus pula diberikan kepada anak sebelum usianya menjangkau enam tahun
Vaksin hepatitis A pula diberikan pada anak yang menjangkau usia dua tahun. Vaksin-vaksin lain yang perlu diberi perhatian seperti, pneumoccal conjugatemeningococcal conjugate dan influenza.

Menurut Dr. Zulkifli, gejala pneumokokal telah menyebabkan kematian 1.6 juta kanak-kanak seluruh dunia setiap tahun walaupun penyakit itu boleh dicegah melalui vaksinasi.
"Sebab itu golongan paling berisiko menghidap pneumokokal ini ialah bayi baru lahir hingga usia dua tahun dan dewasa berusia 65 tahun ke atas yang disebabkan antibodi yang lemah," jelasnya.
Pneumokokal sebenarnya adalah sekumpulan penyakit yang disebabkan oleh bakteria streptococcus pneumonia yang menyebabkan jangkitan kuman dalam darah, meningitis atau jangkitan pada membran selaput otak serta saraf tunjang dan sebagainya.

SIFAT SOLAT MUNAFIK

SOLAT adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikannya maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya maka dia telah meruntuhkan agama. Di dalam satu hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa sesungguhnya sempadan di antara seseorang dengan kekafiran adalah meninggalkan solat.
Apabila seseorang dapat menyempurnakan solat seperti yang ditunjukkan oleh nabi maka sempurnalah solatnya. Ia tergolong daripada orang yang beruntung di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.
Di dunia kerana solatnya itu dapat mencegah daripada melakukan kejahatan dan di akhirat, solatnya itu dapat mencegah daripada api neraka.
Lantaran itu, dengan memperbaiki solat bermakna kita akan menyempurnakannya. Keberhasilan daripada kesempurnaan solat itu akan menyelamatkan kita daripada dua perkara iaitu kemungkaran di dunia dan azab api neraka di akhirat kelak.
Solat yang sempurna merupakan pembersih kepada diri daripada dosa dan kejahatan.
Hal ini diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: "Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, apakah pendapat kamu sekiranya terdapat sebatang sungai di hadapan pintu salah seorang daripada kamu dan dia mandi di dalamnya setiap hari sebanyak lima kali. Apakah masih lagi terdapat kotoran pada badannya?
Para sahabat menjawab: "Sudah pastinya tidak terdapat sedikit pun kotoran pada badannya."
Lalu baginda bersabda: "Begitulah perumpamaannya dengan solat lima waktu. Allah menghapuskan segala kesalahan mereka."
Pun begitu kita kenalah berwaspada agar tidak tergolong dalam sifat-sifat solat orang yang munafik. Apakah itu ciri-ciri sifat solat munafik?

1. Solat bukan kerana Allah
Allah SWT berfirman dalam ayat 107 surah al-Taubah bermaksud, Dan di antara orang munafik juga ialah golongan yang membina masjid dengan tujuan membahayakan keselamatan orang-orang Islam dan menguatkan keingkaran mereka sendiri serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman dan juga untuk dijadikan intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan Rasul sebelum itu. Dan apabila tujuan mereka buruk itu ketara mereka akan bersumpah dengan berkata: 'Tidaklah yang kami kehendaki mendirikan masjid ini melainkan untuk kebaikan semata-mata'. Padahal, Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.
Dalam perjalanan pulang dari perang Tabuk, Rasulullah SAW memerintahkan para sahabatnya pulang segera ke Madinah dan membakar masjid berkenaan bersempena turun ayat tersebut.
Abu Amir al-Rahib bersama rakan-rakannya dianggap musuh-musuh Islam sehingga para sahabat Rasulullah SAW menyelar lelaki itu dengan perkataan jahat.

2. Solat dalam keadaan malas
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu-daya terhadap agama Allah dengan berpura-pura beriman sedangkan mereka kafir pada batin dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik. Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas hanya bertujuan riak kepada manusia supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman dan mereka pula tidak mengingati Allah dengan mengerjakan sembahyang melainkan sedikit sekali."

3. Merasa berat dalam solat
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Seberat-berat sembahyang bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh. Kalaulah mereka mengetahui kelebihan yang ada pada kedua-dua solat ini, nescaya mereka tetap datang walaupun merangkak. Sesungguhnya aku bercita-cita bahawa aku memerintah seseorang supaya memerintah manusia bersembahyang dan menyuruhnya membawa orang mengerjakan solat kemudian aku pergi bersama beberapa orang lelaki membawa kayu-kayu api untuk pergi ke rumah orang yang tidak mengerjakan solat jemaah dan aku bakar rumah-rumah itu dengan api."

MUKJIZAT ZAM-ZAM

TIDAK ramai orang mengetahui bagaimana telaga zam-zam boleh mengeluarkan puluhan juta liter air pada musim haji dan tidak pernah kering walaupun sekali.
Pernah seorang ilmuwan diperintahkan oleh Raja Faisal untuk menyelidik telaga zam-zam bagi menjawab tuduhan liar daripada seorang doktor dari Mesir mengenai air zam-zam.
Berapa juta liter air zam-zam yang diambil setiap kali musim haji? Mari kita kira secara ringkas. Jika jemaah haji yang datang dari seluruh dunia pada setiap musim haji berjumlah lebih kurang dua juta orang.
Semua jemaah diberi lima liter air zam-zam ketika pulang ke tanah airnya, jika dua juta orang membawa pulang masing-masing lima liter air zam-zam ke negaranya, ini sudah menjadi 10 juta liter.
Di samping itu sepanjang berada di Mekah, katakan kebanyakan jemaah haji tinggal selama 25 hari di sana dan setiap orang menghabiskan satu liter sehari. Maka jumlahnya sudah mencapai 50 juta liter.
Pada 1971, seorang doktor dari Mesir mengatakan kepada media di Eropah bahawa air zam-zam tidak sihat untuk diminum.
Pendapatnya berdasarkan bahawa kota Mekah itu adalah di bawah garis permukaan laut, air zam-zam itu berasal dari air sisa buangan penduduk kota Mekah yang meresap, kemudian terbawa bersama-sama air hujan dan keluar dari telaga air zam-zam.
Berita itu telah sampai ke pengetahuan Raja Faisal yang kemudian memerintahkan Menteri Pertanian dan Sumber Air untuk menyelidiki masalah ini dan menghantar contoh air zam-zam ke makmal-makmal di Eropah untuk dilakukan uji kaji.
Tariq Hussain seorang ahli kimia yang bekerja di Institut Peresapan Air Laut untuk air minuman di Jeddah ditugaskan melakukan penyelidikan.
Pada awal memulakan tugasnya, Tariq belum ada gambaran bagaimana telaga zam-zam boleh menyimpan air yang begitu banyak seperti tidak ada hadnya.
Ketika sampai dalam telaga zam-zam, Tariq amat terkejut apabila melihat bahawa ukuran "kolam" telaga itu hanya 18x14 kaki sahaja (kira-kira 5x4 meter).
Tidak terbayang bagaimana telaga sekecil itu boleh mengeluarkan jutaan gelen air setiap kali musim haji dan ini berlaku sejak ribuan tahun yang silam semenjak zaman Nabi Ibrahim AS.
Penyelidikan beliau menunjukkan bahawa mata air zam-zam boleh mengeluarkan air sebanyak 11 hingga 18 liter air perdetik dengan demikian setiap minit sejumlah 660 liter air akan dihasilkan, itulah yang menakjubkan.
Tariq mula mengukur kedalaman air telaga zam-zam dan meminta pembantunya masuk ke dalam air, ternyata air telaga itu hanya mencapai sedikit di atas bahu pembantunya yang tinggi tubuhnya lima kaki lapan inci.
Kemudian dia menyuruh pembantunya untuk memeriksa, apakah mungkin ada cerukan atau saluran paip di dalamnya.
Setelah memeriksa dari satu tempat ke tempat lainnya, ternyata tidak menemui apa-apa pun.
Dia berfikir mungkin air telaga itu diambil dari luar melalui saluran pam berkapisiti besar. Jika begitu keadaannya maka dia boleh melihat turun naiknya permukaan air secara tiba-tiba.
Tetapi dugaannya meleset, Tariq tidak menemui gerakan air yang mencurigakan dan alat yang dapat mendatangkan air dalam jumlah yang besar.
Seterusnya dia meminta pembantunya masuk lagi ke dalam telaga, lalu menyuruh berdiri dan diam di tempatnya sambil mengamati sekelilingnya.
Perhatikan dengan cermat dan laporkan apa yang terjadi walau sekecil mana pun. Setelah melakukan proses tersebut dengan cermat, pembantunya tiba-tiba mengangkat kedua tangannya sambil berteriak: "Alhamdulillah, saya temuinya! Pasir halus menari-nari di bawah telapak kakiku dan air itu keluar dari dasar telaga."
Lalu pembantu Tariq diminta berputar mengelilingi telaga ketika tiba masa penghisapan air oleh paip air untuk keluar. Dia merasakan bahawa air yang keluar dari dasar telaga sama besarnya seperti sebelum dipam.
Aliran air yang keluar sama besarnya di setiap titik di semua kawasan, ini menyebabkan permukaan telaga itu stabil tidak ada goncangan yang besar.
Sementara itu, hasil penyelidikan contoh air zam-zam di Eropah dan Arab Saudi menunjukkan air zam-zam mengandungi zat fluorida yang berkesan membunuh kuman seperti sudah mengandungi ubat.
Perbezaan air zam-zam dibandingkan dengan air telaga lain di Mekah dan sekitar Arab adalah kuantiti kalsium dan garam magnesium. Kandungan kedua mineral itu lebih banyak pada air zam-zam, mungkin sebab itulah air zam-zam dapat menyegarkan jemaah yang keletihan.
Keistimewaan lain, komposisi dan rasa kandungan garamnya sentiasa stabil dan sama dari sejak terbentuknya telaga itu. "Rasanya" selalu terjaga, diakui oleh semua jemaah haji dan umrah yang selalu datang setiap tahun.
Nabi SAW menjelaskan: "Sesungguhnya air zam-zam ini air yang sangat diberkati, ia adalah makanan yang mengandungi gizi."
Nabi SAW menambahkan: "Air zam-zam bermanfaat untuk apa sahaja yang diniatkan ketika meminumnya. Jika engkau minum dengan maksud agar sembuh daripada penyakitmu, maka Allah menyembuhkannya. Jika engkau meminumnya agar hilang rasa hausmu, maka Allah akan menghilangkan dahagamu itu. Ia adalah air tekanan tumit Jibril, minuman daripada Allah untuk Ismail." (riwayat Darulqutni, Ahmad, Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas)
Rasulullah SAW pernah mengambil air zam-zam dalam sebuah kendi dan bekas daripada kulit, kemudian membawanya kembali ke Madinah dan air zam-zam itu digunakan Rasulullah untuk memercikkan kepada orang sakit dan kemudian disuruh meminumnya.
Dalam penyelidikan ilmiah yang dilakukan di makmal Eropah, terbukti bahawa air zam-zam memang lain daripada yang lain. Kandungan airnya berbeza dengan telaga-telaga yang ada di sekitar Mekah iaitu;
l Kadar kalsium dan garam magnesiumnya lebih tinggi dibanding telaga lain, berkhasiat untuk menghilangkan rasa haus dan penyembuhan.
l Air zam-zam juga mengandungi zat fluorida yang berkhasiat memusnahkan kuman-kuman yang terdapat dalam kandungan airnya.
l Yang menakjubkan lagi, tidak ada sedikitpun lumut di telaga zam-zam. Air zam-zam sentiasa bebas dari pencemaran kuman.
l Ajaibnya lagi, pada masa semua telaga air di sekitar Mekah dalam keadaan kering, telaga zam-zam tetap berair. Air zam-zam memang tidak pernah kering sepanjang zaman.Beberapa ulama fikah mencadangkan agar jemaah haji dan umrah membawa air zam-zam ketika pulang ke negaranya kerana air zam-zam dapat menjadi sebagai ubat untuk penyembuhan.
Ini terbukti jemaah dari negara umat Islam mahupun negara lain yang pernah merasakan keajaiban air zam-zam.

Saturday, May 25, 2013

NASI LEMAK ANGGUN FUSION- PLAZA DAMAS K.L

AROMA dan keenakan nasi lemak sememangnya mampu membangkitkan selera sesiapa sahaja. Bagaimanapun, tidak ramai yang pernah menikmati nasi lemak dihidangkan bersama rendang mentega kacang yang merupakan satu resipi rahsia milik pengusaha restoran Anggun Fusion. Penggunaan kerisik di dalam rendang ini melengkapkan aroma harum sajian tersebut.
Untuk menikmati sajian enak itu, kenalah singgah makan di Anggun Fusion yang terletak di Plaza Damas 3, Jalan Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
Menurut pemilik Anggun Fusion, Mimie Azura Mohamad, turut ditawarkan di restorannya adalah pelbagai menu lain sama ada berkonsepkan makan tempatan mahupun makanan barat.
Mula beroperasi sejak awal Februari lalu, restoran berkonsepkan santai itu terletak di lokasi strategik kerana berhampiran kawasan perumahan, perniagaan dan pejabat.
Mampu memuatkan sehingga 100 pelanggan pada satu-satu masa, restoran itu beroperasi dari pukul 8.30 pagi hingga 10.30 malam setiap hari dan menawarkan hidangan makan tengah hari, petang dan malam.
Bagi mereka yang datang secara berkumpulan dan ingin menganjurkan aktiviti, terdapat ruang khas berhawa dingin yang mampu memuatkan maksimum 150 orang pelanggan.
Berbeza dengan restoran-restoran lain, restoran ini turut menawarkan bilik khas untuk mana-mana badan korporat bermesyuarat sambil menikmati pelbagai jenis makanan yang enak.
Mimie Azura juga berkata, kesemua makanan yang ditawarkan itu diperoleh secara segar setiap hari.
"Setakat ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan sejak dibuka, ramai juga pelanggan dari luar Lembah Klang datang untuk menikmati nasi lemak istimewa di sini.
"Selain nasi lemak istimewa, kami turut menawarkan pelbagai hidangan seperti makanan laut yang menggunakan resipi sendiri, makanan Barat dan banyak lagi.
"Boleh dikatakan kami menawarkan pelbagai jenis hidangan mengikut cita rasa untuk semua lapisan masyarakat," ujarnya ketika ditemui S2.
Tambah Mimie Azura, pada setiap hari Sabtu, para pelanggan akan dihiburkan dengan persembahan 'live band' oleh kumpulan tempatan.
Walaupun harga yang ditawarkan berpatutan jika hendak dibandingkan dengan restoran-restoran lain, tetapi Mimie Azura menegaskan ia amat berbaloi dengan apa yang dihidangkan.
Justeru, sesiapa yang ingin merasa dan mencuba hidangan di sini, bolehlah mengunjungi Anggun Fusion.

RESTORAN MAKANG SEKAK SEKAK NOK- K.TERENGGANU

Restoran Makang Sekak Sekak Nok di Kuala Terengganu menyajikan masakan berasaskan stimbot.

Makang Sekak Sekak Nok sebutan loghat Terengganu asli yang membawa makna makan setakat yang anda mahukan. Begitulah nama sebuah restoran berasaskan stimbot yang terletak di pinggir pusat bandar raya Kuala Terengganu.
Namanya yang unik, spontan mengundang rasa ingin tahu dan bagaikan satu daya tarikan untuk menjengah masuk ke dalam restoran yang mula beroperasi pada Disember tahun lalu.
Dengan slogan Makang Sekak Sekak Nok, Biar Se'eh Perot Baru Bayor (makan setakat yang anda mahu, biar betul-betul kenyang baru bayar) bagi kebanyakan pengunjung, apa yang mereka bayar untuk mengecapi hidangan agak berbaloi.
Menurut pengusahanya, Ermita Razali, 29, atau lebih dikenali sebagai Emy, idea penubuhan restoran itu tercetus sejak dia masih menuntut di Universiti Teknikal Malaysia (UteM) di Melaka kira-kira lima tahun lalu.
Pada masa itu katanya, dia sering mengunjungi restoran stimbot yang terletak berdekatan dan mengimpikan untuk membuka sebuah restoran dengan konsep yang sama di negeri kelahirannya.

"Secara kebetulan pula, bapa saudara saya yang terlibat dalam bisnes restoran ini juga mengimpikan hasrat yang sama. Jadi, kami bina restoran ini secara perkongsian.
"Lagipun, lepas belajar, saya juga telah menceburkan diri dalam industri ini dan berpengalaman hampir tiga tahun walaupun pada asalnya mempunyai ijazah dalam bidang multimedia," katanya kepada S2 baru-baru ini.
Selain menyajikan pelbagai pilihan makanan laut seperti udang segar, filet ayam yang diperap dengan bahan istimewa, paru lembu, daging, sotong dan ayam, restoran itu turut menyediakan buah-buahan dan aiskrim sebagai pencuci mulut.
Turut disediakan ialah minuman panas, ice-blended serta sajian tradisional seperti nasi goreng, mi dan sebagainya.
Jelas, Emy yang juga Pengarah Urusan restoran berkenaan, semua makanan yang disediakan adalah berbentuk bufet dan disediakan sendiri dengan bantuan 10 orang kakitangannya.
Selain itu katanya, harga yang ditawarkan juga berpatutan iaitu RM23.90 bagi dewasa dan RM13.90 untuk kanak-kanak manakala pelajar sekolah yang mengunjungi restoran itu di antara pukul 4 petang hingga 7 malam pula hanya dikenakan bayaran sebanyak RM19.90.
Terletak di bangunan dua tingkat menjadikan restoran tersebut sebagai satu lokasi yang sempurna untuk mengadakan makan malam penghargaan syarikat, parti sambutan hari lahir dan sebagainya.

"Saya bersyukur kerana dalam tempoh hampir lima bulan ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada penduduk setempat mahupun pelancong.
"Justeru, kami sedang menimbangkan untuk mempelbagaikan lagi menu di sini termasuklah menyediakan nasi dagang dan keropok lekor yang juga merupakan makanan utama di negeri ini selepas ini," katanya.
Berdasarkan sambutan yang memberangsangkan itu juga, pihaknya telah membuka satu lagi cawangan di Jalan Melati, Dungun Februari lalu yang diuruskan oleh bapa saudara Emy, Sha'rie Mat Rani, 50.
"Syukur Alhamdulillah, restoran itu juga mendapat sambutan yang baik walaupun baru dua bulan beroperasi. Kami juga sedang merangka pelbagai program untuk mempromosikan restoran ini selepas ini," katanya.

EKZEMA KRONIK PUNCA ASMA

Apabila sesebuah negara menjadi lebih maju dari segi teknologi dan industri, kes asma dan penyakit alahan akan meningkat secara berterusan. Dalam kesibukan Malaysia dan negara rantau Asia mengejar kemajuan ekonomi, kita tidak dapat menafikan peningkatan kesan penyakit ini kepada pesakit.
Asma terjadi berikutan faktor lain termasuk genetik dan pengaruh alam sekitar seperti pencemaran. Salah satu daripada isyarat awal yang menunjukkan peningkatan risiko alahan asma ialah ekzema.
Perunding Asma, Alahan dan Imunologi Hospital Gleneagles, Dr Kent Woo berkata, penyakit asma bukan entiti tetapi sindrom. Ini bermaksud banyak faktor yang boleh menyebabkan penyakit ini. “Sehubungan itu, rawatan terhadap asma adalah proses yang rumit dan tindak balas kepada rawatan bergantung kepada tahap keradangan pada saluran pernafasan.
“Pesakit yang mengalami ekzema kronik mengalami 65 peratus risiko untuk dijangkiti asma dalam hayat mereka. Ekzema muncul sebagai suatu gangguan kepada lapisan luar kulit yang membolehkan alergen melepasi untuk menembusi kulit dan menyebabkan imune sensitization kepada alergen berkenaan.
“Serangan asma akan berlaku apabila alergen yang sama disedut dalam paru-paru,” katanya pada majlis pelancaran produk baru Efficas Care, anjuran Triniaire Sdn Bhd.
Efficas Care menggabungkan fatty asid Gamma Linolenic Acid (GLA) dengan Eicosapentaenoic Acid (EPA) telah menjalani kajian klinikal dan terbukti berkesan menghalang serta mengurangkan pengeluaran leukotrienes yang menyebabkan serangan asma dan alahan.
Menurutnya, pesakit perlu memahami faktor yang mencetuskan serangan asma selain alahan. Dengan pemahaman yang mendalam mereka akan dapat mengelakkan insiden serangan penyakit ini.
Mengulas lebih lanjut, beliau menjelaskan secara mendalam bahawa 70 peratus pesakit asma lazimnya berunsur alahan dan pendedahan kepada alergen akan memburukkan keradangan bahagian saluran pernafasan.
Justeru, penting untuk mengenal pasti alahan yang mencetuskan asma dan jika langkah pengurangan alergen yang betul diambil, simptom akan bertambah baik sebanyak 50 peratus.
Cuaca juga boleh menyebabkan serangan asma lebih kronik. Sejak 1983, fenomena peningkatan serangan asma secara mendadak di bilik kecemasan selepas tragedi ribut petir yang disebabkan angin yang membawa debunga rumput di udara.
Ia mencetuskan serangan asma dalam kalangan pesakit yang alah pada debunga rumput. Jadi jangan terperanjat jika menyaksikan pesakit asma mengalami serangan selepas ribut petir.
Kesimpulannya, asma adalah penyakit yang kompleks dan perlu ditangani secara holistik. Langkah yang terbaik bagi pesakit ialah berjumpa pakar perubatan untuk mendapat nasihat serta rawatan supaya serangan asma dan alahan dapat dikawal dengan baik.

MANDI MALAM BUKAN PUNCA PE

Aktiviti mandi waktu malam sering dilabelkan dengan penyakit paru-paru berair. Apakah benar salah faham ini dan wujudkah penjelasan saintifik untuk merungkaikan isu yang masih diura-urakan sehingga kini?

Penjelasan konsep sebenar paru-paru berair

1. Pulmonari Edema (PE)


Tidak, mandi malam tidak memudaratkan kesihatan mahupun mendatangkan penyakit paru-paru berair, yang dikaitkan dengan masalah Pulmonari Edema dan pneumonia.
PE merujuk kepada masalah pengumpulan air berlebihan pada ruang antara tisu dan organ. Ini menyebabkan bahagian berkenaan kelihatan berair serta bengkak, justeru mengundang salah faham ramai yang tidak peka dan kurang inisiatif dalam pencarian sebenar dunia perubatan.
PE diakibatkan kecederaan pada permukaan paru-paru dan kegagalan fungsi bahagian kiri (left ventricle) jantung. Ia tidak disebabkan oleh jangkitan atau kemasukan wap air ketika mandi. Perkara ini tidak mudah seperti apa yang bermain dalam fikiran pembaca yang mempercayai salah faham mandi malam.Peredaran darah di kawasan jantung adalah cepat, berterusan dan didorong daya penggerak (momentum) yang konstant (tetap). Bayangkan tiba-tiba jantung berdenyut terlalu kencang atau perlahan. Tekanan pada pengaliran darah yang sepatutnya tetap akan terganggu. 

Gangguan pada tekanan (interstitial pressure) ini akan memaksa darah serta komponen lain terkeluar daripada salurannya. Apabila keadaan ini berlaku di paru-paru, tekanan berkenaan memaksa plasma darah meresap keluar ke ruangan interstitial, iaitu ruangan yang kosong di antara saluran darah dan tisu-tisu paru-paru.


2. Pneumonia

Kita harus maklum, pneumonia berlaku akibat jangkitan bakteria streptococcus pneumoniae atau virus di paru-paru, yang menyebabkan keradangan (inflammation) berlaku. Pneumonia berbeza dengan PE.
Hidupan seni ini boleh hadir bersama titisan (droplet) dalam udara dan disebarkan menerusi air liur dan hingus pesakit. Pneumonia juga boleh diundang dalam penggunaan sesetengah ubat dan penyakit autoimmune seperti AIDS, ekzema, diabetes Melitus (tahap satu) dan banyak lagi. 

Impaknya, air akan terbentuk pada paru-paru akibat masalah kesihatan itu. 
Air atau lendir?

Adakah pembaca sedar bahawa air dalam paru-paru tidak seperti air biasa pada paip? Air yang terbentuk berikutan masalah pneumonia atau PE, bukan 100 peratus air. Jangan sekali-kali kaitkan lendir pada paru-paru dengan air yang kita biasa minum, mandi mahupun terhirup ketika mandi malam.
Bagi kes pneumonia (jangkitan), air itu mengandungi peratusan nanah (pus) yang tinggi. Komposisi utama kandungan lendir paru-paru akibat PE (kecederaan peparu dan masalah jantung) ialah darah, bendalir tubuh (serous fluid) dan hanya sebahagian kecil atau tiada langsung nanah (pus). 

Khasiat mandi

Menurut sumber terkini pada 21 April lalu, 20 nyawa terkorban dan 70 mangsa lain bergelut menghadapi wabak H7N9 di China.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham menegaskan bahawa, tiada vaksin untuk penyakit itu. Walaupun tiada kes H7N9 di negara ini, rakyat wajar mempraktikkan amalan pembersihan diri seperti mandi dan membasuh tangan.
Proses mandian pada apa juga waktu tidak meningkatkan risiko jangkitan mahupun keradangan dan kecederaan pada paru-paru. Malah, aktiviti ini boleh mencegah pelbagai jenis jangkitan dengan teknik pembersihan menggunakan sabun.
Selain mampu menghalang H7N9, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), H1N1 (Influenza A), SARS, dan pelbagai penyakit kulit seperti ekzema, psoriasis, dan dermatitis sentuhan juga mampu diatasi dengan aktiviti mandi.
Ia juga boleh bantu memulihkan ketahanan fizikal, mental dan emosi setelah seharian penat bekerja.

Mandi juga mengurangkan kesakitan otot (mandian air suam), usus berfungsi dengan lebih cekap untuk proses menyahkan toksin dan mengekalkan kulit yang sihat serta cantik.

Friday, May 24, 2013

SIMPANG 4 TELUK KERANG BAHAYA


Simpang empat undang bahaya
Daud menunjukkan simpang empat di Telok Kerang lokasi sering berlaku kemalangan.
PONTIAN - Khuatir dengan keselamatan pengguna di simpang empat Telok Kerang di sini, penduduk memohon pihak berkenaan menyediakan lampu isyarat dan garisan kuning sebagai langkah keselamatan di jalan raya.

Ia dilihat dapat membantu mengelakkan kemalangan yang didakwa kerap berlaku khususnya pada awal pagi dan lewat malam, selain memberi jaminan keselamatan pelajar di tiga sekolah yang terletak berhampiran kawasan tersebut.

Penduduk, Daud Sulaiman, 40, berkata, keadaan simpang itu amat bahaya kepada pengguna jalan raya dari beberapa kampung seperti Kampung Telok Kerang, Kampung Belokok dan Kampung Parit Sulaiman yang kerap menggunakan laluan tersebut.

Tegasnya, langkah dicadangkan itu dirasakan amat perlu berikutan kekerapan kenderaan berat yang turut menggunakan simpang empat berkenaan.

“Banyak kenderaan berat menggunakan laluan di simpang empat ini untuk ke Belokok, kemudiannya menggunakan jalan baru yang dibina ke Pekan Nenas.

“Kebanyakan kenderaan yang menggunakan simpang empat ini dipandu dalam keadaan laju dan merbahaya,” katanya kepada  Sinar Harian.

Dia juga memberitahu kerap melihat kemalangan berlaku di simpang empat tersebut sehingga ada yang meragut nyawa.

Tambahnya, lebih meresahkan penduduk terdapat tiga buah sekolah yang terletak berhampiran dengan simpang berkenaan.

“Bagi kami, perkara ini sangat mustahak serta perlu diberi perhatian utama pihak berkuasa kerana ia melibatkan aspek keselamatan penduduk di sini,” katanya.

Manakala, Ahmad Adnan, 64, pula berkata, sudah sampai waktunya lampu isyarat di pasang di situ kerana bilangan kenderaan yang menggunakan simpang empat itu sudah meningkat.

Menurutnya, dahulu kawasan di situ lengang, tetapi kini ia sudah agak sibuk sejak pembukaan kawasan industri pesisir pantai di Tanjung Bin beberapa tahun lalu.

“Selepas pembukaan laluan pintas dari Belokok ke Pekan Nenas, bilangan kenderaan terutamanya kenderaan berat yang menggunakan simpang empat bertambah.

“Penduduk merasakan amat perlu sebuah lampu isyarat di pasang segera bagi memudahkan pengguna jalan raya keluar masuk simpang seterusnya mengelak kemalangan terjadi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Telok Kerang, Uyob Darus berkata, pihaknya telah memajukan masalah simpang berkenaan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk tindakan.

Jelasnya, ia termasuk permohonan untuk mendapatkan garisan kuning dan lampu isyarat di situ.

UTM CIPTA YOGURT GUNA SANTAN KELAPA


Dr. Harisun Yaakob (tiga dari kanan) bersama ahli kumpulannya yang menghasilkan produk tenusu berasaskan santan kelapa diberi nama Cogurt dalam sidang akhbar di UTM, Skudai, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 21 Mei - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengorak langkah dalam bidang inovasi selepas berjaya mencipta yogurt berasaskan santan kelapa sekali gus menambah pilihan kepada pengguna bagi produk tenusu.
Produk diberi nama Cogurt itu menggunakan 99 peratus santan kelapa manakala bakinya adalah kultur pemula yang mempunyai khasiat sama seperti susu ibu.
Ketua Penyelidik Cogurt, Dr. Harisun Yaakob berkata, Cogurt yang dihasilkan selama tiga tahun menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) berterusan adalah alternatif terbaik kepada penggemar yogurt yang alah kepada produk tenusu.
Katanya, Cogurt yang dibangunkan menggunakan kaedah Matematik Response Surface Methadologi (RSM) itu memberi kesan baik kepada kesihatan pengamalnya ekoran terdapat asid lemak berantai sederhana di dalamnya dan mampu meningkatkan metabolisme tubuh serta membantu mengurangkan berat badan.
"Pemilihan kelapa dibuat berdasarkan khasiat pemakanan yang tinggi dan ada kajian membuktikan santan kelapa mempunyai antivirus yang sangat bagus dan khasiatnya sama seperti susu ibu.
"Jadi, produk Cogurt ini akan menjadi alternatif kepada penggemar produk tenusu selain membantu mengoptimumkan penggunaan bahan tempatan," katanya di Pusat Pembangunan Bioproduk, di sini hari ini.

AWAS HATI MATI


SUATU hari, Imam Fath Al-Musili berkata kepada murid-muridnya, "Bukankah seorang pesakit jika tidak diberi makan, minum dan ubat selama tiga hari ia akan mati?"
Murid-muridnya menjawab: "Ya."
Guru yang bijak ini melanjutkan: "Begitu juga hati kita. Jika tidak diberikan ilmu dan hikmah selama tiga hari, ia akan mati."

Hati manusia

Setiap amalan bersumber daripada hati. Hati yang baik akan melahirkan perbuatan yang baik. Dan hati yang rosak hanya akan melahirkan perbuatan yang buruk. Meskipun ia melakukan kebaikan, namun tersimpan niat buruk di sebaliknya. Oleh itu, hati sangat menentukan kualiti amalan seseorang.
Rasulullah SAW bersabda: Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad. Dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, daging itu adalah hati. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hati manusia sangat ajaib. Ia selalu berubah-ubah. Ia juga sangat mudah dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran. Apa-apa yang dilihat ataupun didengar dapat merubah suasana hati. Oleh yang demikian, seorang mukmin wajib selalu menjaga pancainderanya daripada maksiat agar terjaga kejernihan hati.
Sebagaimana tubuh badan, hati boleh sihat ataupun sakit. Tanda hati yang sihat adalah ia giat melakukan ibadat dan amalan kebajikan. Setiap amalan ibadah dan zikir terasa nikmat untuk dikecapi. Sama seperti seseorang yang tengah sihat tubuhnya, ia akan nikmat menyantap makanan dan minuman.
Adapun tanda hati tengah sakit adalah ia tidak dapat merasakan manisnya ibadat. Ia tidak tahan berlama-lama dalam aktiviti ibadah. Sebaliknya, ia sangat seronok melakukan maksiat. Seperti orang yang tengah sakit kulit, perkara yang paling nikmat adalah menggaruk gatalnya hingga melukai diri sendiri.
Imam Tabiin di Basrah yang bernama Hasan Al-Basri pernah mengajarkan teknik semak kesihatan hati. Beliau berkata: "Rasakanlah kemanisan dalam tiga perkara: ketika melakukan solat, membaca al-Quran dan ketika berzikir. Jika engkau merasakannya, maka bergembiralah. Namun jika kau tidak merasakannya, maka ketahuilah bahawa pintu hatimu telah tertutup."

Ubat hati

Hati orang kebanyakan seperti kita tidak berapa sihat. Kita sedari ataupun tidak, pelbagai penyakit tersimpan di dalam hati kita seperti hasad dengki, dendam, tamak, kedekut, meragukan janji Allah dan lain-lain. Tingkatan sakit itu berbeza-beza. Ada yang masih ringan, ada juga yang sudah parah.
Oleh itu, kita perlu segera mengubati hati kita. Ubat hati adalah hikmah dan ilmu yang memperkenalkan tuhannya, hakikat dirinya dan tugasan yang mesti ia lakukan di dunia sebagai hamba Allah. Semua itu boleh didapatkan apabila kita bercampur dengan orang-orang yang "berhati sihat."
Berkata Ibrahim Al-Khawas, "Ubat hati lima perkara: Membaca al-Quran sambil memahami maknanya, mengosongkan perut, solat malam, berdoa pada waktu fajar dan bergaul dengan orang-orang saleh."
Jika kita tidak segera mengubati hati yang sakit, ia akan terus sakit. Suatu hari nanti, ia bahkan boleh mati. Orang yang mati hati lebih berbahaya daripada mati jasad. Sebab orang yang mati jasad boleh segera dikuburkan.
Namun orang yang mati hati akan menjadi sampah masyarakat. Ia sangat mengganggu kehidupan masyarakat, namun tidak boleh dibuang ataupun ditanam.

Monday, May 20, 2013

BUKU "ANEKDOT MADINAH" & "AROMA ANTARA BENUA"














RAUZAH dan Muhd. Kamil dengan buku masing-masing yang dihasilkan sepanjang hampir dua tahun berkelana di Madinah.

SEWAKTU berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 pada 26 April hingga 5 Mei lalu, buku Anekdot Madinah: Benar Dia Maha Mendengar dan Aroma Antara Benua terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pengunjung.
Karya yang dihasilkan oleh Prof. Muhd. Kamil Ibrahim dan isterinya, Raudzah Roslan itu sebenarnya baru sahaja diterbitkan dan dijual buat kali pertama dalam acara tahunan yang berprestij itu.
Anekdot Madinah: Benar Dia Maha Mendengar merupakan nukilan Muhd. Kamil mengenai pengalaman beliau sepanjang berada di Madinah sejak September 2011. Buku itu menceritakan tentang kebesaran Allah yang tidak pernah jemu mendengar rintihan hamba-Nya di bumi penuh keberkatan itu.
Air tangan
Buku Aroma Antara Benua pula memaparkan koleksi resipi air tangan Raudzah. Ia dilengkapi catatan peristiwa yang dilalui sewaktu berkelana di beberapa negara semata-mata mengikut suami tercinta.
“Kami berharap semoga penulisan buku ini menjadi ilmu yang bermanfaat kepada khalayak pembaca,” kata Muhd. Kamil yang berhijrah ke Madinah pada selepas ditawarkan menjadi Profesor Perakaunan di Universiti Taibah.
Bekas Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Johor itu memberitahu, menulis sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya dan isteri sepanjang berada di Madinah.
“Kami menulis sepanjang masa dan ia merupakan rutin harian. Jika tidak menulis buku, kami akan menulis artikel di blog.
“Sehubungan itu, kami mempunyai dua hingga tiga manuskrip serentak. Namun, apabila kami membuat keputusan untuk menghantar kedua-dua manuskrip ini, ia mengambil masa sekitar dua bulan untuk disiapkan sepenuhnya,” ujar beliau melalui e-mel.
Menyentuh tentang cabaran yang dihadapi dalam menyiapkan kedua-dua karya tersebut, Roza memberitahu, buku Aroma Antara Benua lebih sukar berbanding Anekdot Madinah: Benar Dia Maha Mendengar.
“Buku yang berkonsep resipi ini memerlukan foto makanan yang berkualiti. Kami tiada studio. Jadi, setiap hari saya menunggu cahaya matahari memasuki tingkap rumah agar mendapat penataan cahaya semula jadi.
“Saya pula tidak dilatih untuk mengambil gambar. Tetapi, Alhamdulillah itulah hasilnya seperti yang boleh dilihat dalam buku tersebut,” ujar Roza.
Bagi Muhd. Kamil pula, beliau melihat buku Anekdot Madinah: Benar Dia Maha Mendengar sebagai sebahagian laluan kehidupan peribadi.
“Foto-foto yang ada pula, hanyalah menggunakan kamera telefon bimbit. Itulah yang mampu saya lakukan,” katanya.

KEDUA-DUA buku terbaharu ini terhasil daripada rutin harian Rauzah dan Muhd. Kamil.


Berkongsi tip
Sehingga kini, Muhd. Kamil telah mempunyai koleksi buku penulisan tersendiri. Antaranya ialah Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman (2007), PhD Kecil Tapi Signifikan, Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok (2008), 50 Tip Motivasi Haji (2011) dan Bersyukur Saat Diuji (2012).
Sementara Roza pula tampil dengan buku-buku bertajuk Travelog Cinta Abadi, Travelog Impian Abadi dan Travelog Kehidupan Abadi.
Dalam pada itu, Muhd. Kamil turut menitipkan beberapa nasihat buat mereka yang mahu terlibat dalam dunia penulisan.
“Pertama, menulislah kerana Allah. Kedua, mohonlah kepada-Nya supaya diberi ilham dalam menghasilkan penulisan yang baik.
“Sepanjang kita menulis jangan lupa bangun solat malam, bertahajud dan bermunajat agar apa yang ditulis adalah berdasarkan ilham yang benar. Selain itu, sentiasa berdoa supaya khalayak dapat memahami apa yang kita persembahkan. Ilmu itu anugerah Allah. Allah memberi ilmu kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Kita hanyalah bala tenteranya,” ungkap beliau penuh berhemah.
Mengulas mengenai perkembangan buku-buku dan novel berkonsep Islamik di Malaysia, Muhd. Kamil mempunyai pandangan tersendiri.
“Jika ia dilakukan semata-mata kerana Allah, insya-Allah, ia akan menyerap ke hati sekali gus menjadi alat dakwah yang berkesan. Jika tidak, ia hanya satu jenama seumpama produk-produk lain di pasaran.
“Penulis yang tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, pembaca akan membaca sebagai satu tabiat mengisi masa lapang dan lebih parah ia hanya tebuk-tebuk di sana sini. Malah, ada jalan ceritanya tidak memenuhi syariah. Ia hanya label di kulit buku sebagai alat mencapai keuntungan.
“Bagaimanapun, kami berdoa agar ia benar-benar membawa mereka yang terlibat sama ada penulis mahupun pembaca hampir kepada-Nya,” tutur beliau.

APRIKOT B17: SINAR BARU PENDERITA KANSER


BAGAIMANA B17 MEMBUNUH SEL KANSER

UMUM mengetahui kanser adalah antara penyakit kronik yang amat digeruni oleh manusia seantero dunia. Terdapat lebih daripada 100 jenis kanser dan lima yang utama antaranya ialah kanser paru-paru, perut, hati, kolorektal dan tidak ketinggalan juga kanser payudara yang kekal sebagai pembunuh utama wanita apabila terdapat 1.05 juta kes setiap tahun di seluruh dunia. Menurut WHO, potensi untuk mendapat kanser boleh dicegah sebanyak 30% jika masyarakat memberhentikan penggunaan tembakau dan alkohol, mengamalkan diet yang seimbang dan menjalani gaya hidup aktif dan sihat.
Kita sering mendengar pepatah "mencegah lebih baik daripada mengubati." Namun realitinya, seringkali berlaku di mana pesakit kanser hanya menyedari bahawa mereka menghidap kanser apabila sudah berada di tahap 4. Gejala-gejala awal kanser sering diabaikan oleh pesakit kerana menganggap simptom tersebut akan hilang dengan sendirinya. Seharusnya, mereka perlu membuat pemeriksaan awal bagi mendapatkan kepastian seperti menjalani ujian kolonoskopi, mammogram, Prostate-Specific Antigen (PSA) dan sebagainya.
BAGAIMANA VITAMIN B17 MEMBANTU?B17 boleh didapati pada 1200 jenis tumbuh-tumbuhan terutamanya biji aprikot. Nutrien terpenting dalam biji aprikot ialah Amygdalin atau Laetrile yang juga dikenali sebagai Vitamin B17. B17 bertanggungjawab memusnahkan sel asing dan mengeluarkannya melalui perkumuhan. Berdasarkan buku yang bertajuk "World without Cancer", tulisan G. Edward Griffin, biji aprikot mentah mempunyai kepekatan B17 yang tertinggi jika dibandingkan dengan biji-biji buah yang lain. Vitamin B17 mampu meningkatkan sistem imunisasi dan daya ketahanan badan serta meningkatkan tahap kecerdasan kesihatan seseorang individu. Malangnya, menurut Dr. Micheal Tait dari Australia, terdapat bukti kukuh bahawa berlaku pengurangan pengambilan vitamin B17 dalam makanan seharian kita yang merupakan penyebab utama seseorang berisiko mendapat kanser.
Vitamin B17 merupakan agen kimoterapi semulajadi. Ia terdiri daripada glukosa, sianida dan benzaldehyde. Sianida dan benzaldehyde adalah bersifat racun. Namun dalam Vitamin B17, ia terkunci rapat dan tidak membahayakan. Ikatan ini hanya boleh dipecahkan dengan kehadiran enzim Beta-Glucosidase. Enzim ini hanya boleh didapati pada sel kanser. Apabila Vitamin B17 berada dalam tubuh badan, ia akan meliputi sel-sel kanser dan seterusnya enzim ini akan menguraikan Vitamin B17 kepada elemen Sianida, Benzaldehyde dan Glukosa. Elemen Sianida dan Benzaldehyde ini akan membunuh sel kanser tersebut. Lebihan Vitamin B17 akan ditukar kepada elemen-elemen positif oleh enzim Rhodanese yang terdapat pada tubuh badan.
VITAMIN B17-KELEBIHAN KEPADA PENGAMALNYAKajian mengenai keberkesanan Vitamin B17 telah pertama kali dilakukan oleh seorang pakar Biokimia yang berdedikasi Dr. Ernest T. Krebs pada tahun 1950. Kajian susulan juga dilakukan oleh pakar kanser Jerman, Dr. Dean Burk di mana di dalam pemerhatian beliau di bawah mikroskop, Vitamin B17 telah dimasukkan ke dalam sel kanser dan mendapati sel-sel kanser tersebut mati dengan cepat sekali. Selain itu, penemuan ini turut mendapat perakuan daripada beberapa saintis perubatan yang lain. Antaranya, Dr. Hans Nieper iaitu seorang pakar kanser dari Jerman Barat. Melalui pengalaman beliau selama 20 tahun, beliau mendapati B17 sangat berkesan sebagai langkah pencegahan kanser dan beliau turut mengakui tiada vitamin lain melainkan B17 yang dapat mengawal semua jenis kanser.

Penaung kepada produk Farmas Health, Profesor Madya Dr. Syed Zainal Husin Wafa, seorang pakar perubatan berpengalaman dan bekas Ketua Jabatan Anatomi di Fakulti Perubatan UKM mengakui biji aprikot mengandungi kandungan Vitamin B17 paling tinggi berbanding dengan tumbuhan lain serta mampu meningkatkan tahap kesihatan dan seterusnya membantu dalam mengurangkan risiko mendapat penyakit-penyakit kronik metabolik. Walaubagaimanapun, beliau tidak menggalakkan pengambilan biji aprikot yang mentah kerana dikhuatiri terdedah kepada bakteria, kulat dan radikal bebas sewaktu proses penghantaran dan penyimpanan. Ini boleh menyebabkan keracunan terhadap tubuh badan. Beliau menggalakkan pengambilan biji aprikot yang telah diproses dan dikapsulkan daripada 100% biji aprikot terpilih mengikut piawaian teknologi farmaseutikal yang tinggi melalui penyelidikan klinikal dan telah mendapat kelulusan dari Biro Farmaseutikal Kebangsaan serta telah didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

Kelebihan Vitamin B17 telah berjaya dibuktikan oleh masyarakat Hunza di Pakistan. Mereka juga menjadikan buah dan biji aprikot sebagai diet utama mereka. Dari bijinya, dihasilkan minyak masak dan losyen muka. Inilah faktor yang menyebabkan kaum ini mempunyai purata umur sehingga 100 tahun.
Pakar Kesihatan Awam yang juga Presiden Kelab Prostar Malaysia, Dr. Ismail Lasa berkata, "Aprikot yang kaya dengan vitamin B17 dapat membantu merencatkan perkembangan sel abnormal dan sekaligus mengekalkan perkembangan sel sihat di dalam tubuh badan." Salah seorang pesakit kanser iaitu Pn Nur Akhma Nordin, 67 tahun telah disahkan menghidap kanser kulit yang kronik pada 2004. Walaupun telah menjalani rawatan konvensional, namun tiada sebarang perubahan. Pada 2005, beliau akhirnya membuat keputusan untuk mengambil aprikot vitamin B17 sebagai langkah alternatif. Selang beberapa bulan, kanser pada muka beliau bertukar kemerahan serta beransur sembuh dan kesakitannya turut hilang.

Saturday, May 18, 2013

KERABU KANGKUNG SPECIAL-RESTORAN JEMARI, DATARAN GLOMAC KELANA JAYA



PERTAMA kali menikmati kerabu kangkung di Restoran Jemari yang terletak di Dataran Glomac, Kelana Jaya, penulis sudah jatuh cinta dengan keunikan cara masakan dan rasanya.
Kangkung yang disalut tepung dan digoreng rangup lalu dituangkan sos Thailand yang masam manis menggunakan resipi rahsia bersama kacang, cili api dan bijan itu amat menyelerakan.
Masakan Thailand itu sedap dinikmati bersama nasi panas dan lauk-pauk yang lain malah ia juga lazat dinikmati begitu sahaja.
Bagi mereka yang `anti sayur’ turut dapat menikmati kerabu kangkung ini dengan gembira kerana ia bukanlah hidangan tipikal sayur lain, ia rangup bagaikan keropok!
Ujar pengurus restoran, Tuty Reezal kerabu kangkung sememangnya menjadi hidangan yang paling digemari pelanggan kerana ia susah diperoleh di restoran Thailand yang lain di Malaysia.
“Masakan kerabu sememangnya cara masakan terkenal dari Thailand, selalunya kerabu mangga, kerabu terung, kerabu sotong dan kerabu ikan keli yang mudah didapati di restoran masakan ala Thai.
“Kerabu kangkung ini agak berbeza dengan cara masakan sayur-sayuran lain kerana ia rangup dan rasanya boleh diterima ramai tidak kira siapa," ujarnya yang turut mempunyai cawangan Restoran Jemari di Seksyen 7, Shah Alam yang diuruskan oleh adiknya.
Selain kerabu kangkung, pelbagai hidangan Thailand yang lain yang wajib dicuba seperti ayam kari hijau yang pedas tetapi amat menyelerakan.
Ayam kari hijau merupakan hidangan seakan masak lemak cili api kerana menggunakan santan dan susu cair cuma ia berwarna hijau kerana pesnya menggunakan cili api, cili hijau dan kulit limau purut yang dikisar.
Tidak sah kiranya tidak memesan hidangan tomyam di kedai masakan ala Thai. Jika anda suka cabaran dan hidangan berapi, tomyam merah yang menggunakan pes yang diimport dari Thailand sesuai untuk anda.
Tomyam putih atau tomyam pok tek pula lebih sesuai untuk mereka yang mahu sesuatu yang kurang pedas.
Satu lagi hidangan wajib dicuba ialah ikan siakap stim asam boi. Buah asam boi pada kuahnya memberikan rasa unik masam-masam manis, amat berbeza dengan hidangan biasa ikan stim limau atau halia.
Kepada mereka yang bercadang untuk memanjakan ibu mereka bersempena Hari Ibu pada hari ini, apa kata singgah ke Restoran Jemari kerana selain hidangannya yang menarik, restoran itu turut berkonsepkan santai, berbeza dengan kebanyakan restoran Thailand yang lain dan jangan lupa mencuba kerabu kangkung!

RAHSIA VANILLA


Tahukah anda bahawa vanila adalah herba dan rempah-ratus yang kedua termahal selepas safron.
Harganya boleh mencapai RM145 hingga RM580 (AS$50-AS$200) satu kilo bergantung kepada grednya. Vanila merupakan bahan penting dalam pembakaran kek, biskut dan pelbagai jenis pencuci mulut.
Vanila adalah bahan perasa yang di dapati daripada pokok orkid (Vanilla Planifolia). Panjang buah vanila adalah lebih kurang dalam 5-17 sentimeter dan bentuknya halus. Buah ini akan dipetik dan dikeringkan menjadi warna hitam.
Di dalam buah inilah tersembunyi rasa vanila. Terdapat beberapa jenis vanila yang biasa dijual di pasaran seperti ekstrak atau esen, buah vanila juga dipanggil kacang vanila, pes dan serbuk vanila atau vanilli. Esen dan ekstrak vanila adalah yang paling biasa dan popular menjadi pilihan ramai orang kerana ia lebih senang dibeli.
Di pasaran terdapat dua jenis perasa vanila yang dijual secara komersial dalam bentuk cecair iaitu esen dan pes vanila.
Ekstrak dan esen vanila dihasilkan dengan merendam buah vanila dalam sebatian alkohol dan air. Ia dibiarkan selama beberapa bulan sehingga menghasilkan campuran gelap dengan rasa dan aroma yang kuat.
Kemudian campuran ini akan disuling menjadi esen. Esen atau ekstrak ini biasa kita jumpa di pasar raya. Esen vanila mudah meruap jadi sebaiknya tidak menggunakan dalam cecair yang dipanaskan. kerana anda akan cuma merasa vanila tetapi kurang aroma vanila.
Apabila membeli esen vanila pastikan ia adalah yang asli kerana terdapat perasa vanila tiruan yang dihasilkan secara sintetik. Buah atau kacang vanila yang telah dikeringkan pula boleh digunakan untuk mendapatkan rasa vanila yang asli.
Kacang atau buah vanila boleh juga digunakan dalam semua jenis pencuci mulut tetapi lebih sesuai digunakan dalam pencuci mulut yang menggunakan asas cecair.
Tiada salahnya menggunakan untuk membuat kek atau biskut jika anda sukakannya. Cara menggunakannya adalah dengan membelah dua kacang vanila dan anda perlu korek bahagian biji yang berada di dalam kulit buah vanila.
Bijinya yang berbentuk halus berpasir itu bolehlah dicampurkan dalam adunan. Isi atau biji yang dikorek itu lebih bagus dicampur dan dididihkan sekali ke dalam pencuci mulut yang menggunakan asas cecair seperti kastard, campuran ais krim, krim susu perasa vanila kerana ia melepaskan suatu aroma dan rasa vanila yang kompleks membuatkan pencuci mulut anda berasa lebih harum dan sedap.
Kacang vanila ini ada dijual di kedai-kedai terpilih dan anda boleh juga membelinya secara pos melalui Internet. Ia berwarna hitam berkilat, masih berisi dan lembap.
Jangan beli kacang vanila yang terlalu kering dan kecut kerana apabila anda menggunakannya rasa dan aroma vanila tidak dapat diperolehi.
Terdapat kesan seperti bintik-bintik hitam apabila menggunakan kacang vanila ini disebabkan biji-biji vanila yang halus. Jika menggunakannya janganlah berasa pelik dengan rupa pencuci mulut anda akan berbinti-bintik halus.
Pes vanila pula konsentrasinya lebih pekat dan rasanya lebih kuat berbanding vanila esen. Jadi menggunakannya sedikit pun sudah memadai. Serbuk vanila pula adalah vanila kering yang telah dikisar sehingga menjadi serbuk kering. Kebiasaannya ia berwarna putih dan rasanya lebih kuat berbanding vanila yang diekstrak.

MR. STEAK HOUSE-SERI KEMBANGAN


Ahmad Fairus Harun di hadapan restorannya di Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.

SOS lada hitam merupakan sos pilihan ramai untuk dinikmati bersama-sama masakan Barat seperti chicken chop, lamb chop, dan stik daging.
Tanpa sos tersebut ia dilihat satu hidangan yang tidak sempurna malah keenakan sos tersebut dilihat mampu menjadikan hidangan yang disajikan begitu enak dinikmati.
Boleh dikatakan kesemua restoran yang menyajikan masakan Barat tidak ketinggalan menyediakan sos tersebut sebagai penambah perasa kepada hidangan yang disajikan.
Begitu juga dengan restoran Mr. Steak House yang terletak di No. 23-1, Jalan BPP 5/8, Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.
Telah memulakan operasi sekitar Oktober tahun lalu, restoran tersebut menawarkan pelbagai hidangan Barat yang berasaskan daging dan tidak ketinggalan masakan Itali yang cukup terkenal dengan pasta.
Menurut pemilik restoran tersebut, Ahmad Fairus Harun, 33, keistimewaan restorannya bukan sahaja terletak pada sajian masakan Barat yang ditawarkan tetapi pihaknya turut menawarkan sajian Itali dan tidak ketinggalan masakan tempatan.
Katanya lagi, restoran tersebut memberi pelbagai pilihan sajian dan tiada sebab mereka tidak singgah ke Mr. Steak House untuk menjamu selera.
"Di sini kami menawarkan pelbagai jenis hidangan yang terdiri daripada ikan, ayam, daging, kambing, pasta, dan sebagainya.
"Untuk itu bagi mereka yang tidak makan ayam boleh memilih daging, ikan atau pasta dan ia sebaliknya bagi sesiapa yang tidak makan daging ataupun ayam.
"Boleh dikatakan di sini adalah restoran yang menyajikan pelbagai jenis hidangan dan ia pastinya memenuhi cita rasa semua," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya, baru-baru ini.
Lamb Chop sos lada hitam. 

Yang pasti, ketika anda mengunjungi restoran ini jangan lepaskan peluang anda menikmati saba ikan makerel kerana ia begitu enak dan segar apabila dinikmati bersama sos tartar.
Apa yang lebih memeranjatkan ialah apabila anda melihat harga pada menu yang sememangnya amat berbaloi dan berpatutan dengan hidangan yang disajikan.
Ini kerana menurut Ahmad Fairus, harga yang ditawarkan pihaknya memberi peluang kepada pelanggan untuk merasai makanan Barat pada kadar berpatutan dan pada masa yang sama rasanya setanding dengan restoran makanan Barat mewah.
Mempunyai tiga orang tukang masak yang berpengalaman, Mr. Steak House turut dikendalikan 10 orang pekerja.
Restoran yang boleh memuatkan kira-kira 150 orang pada satu-satu masa ini dibuka setiap hari bermula pukul 4 petang hingga 12 tengah malam.
Begitupun bagi setiap malam Sabtu, Ahad dan Isnin operasinya dilanjutkan sehingga pukul 1 pagi.
Dibekalkan bahan-bahan mentah setiap hari daripada pembekal tempatan, Ahmad Fairus memberitahu pihaknya amat mementingkan kualiti.
"Bahan-bahan mentah yang dibekalkan oleh pembekal akan dihantar setiap hari dalam usaha mengekalkan kesegarannya.
"Kami di Mr. Steak House amat mementingkan kualiti kerana untuk masakan Barat, hanya bahan yang berkualiti menjadikan hidangan tersebut enak.
"Untuk itu walaupun ada sesetengah daging lembu diimport, kami masih lagi mengambilnya setiap hari dan tidak menyimpan bekalan," tambahnya lagi.
Ingin para pelanggannya merasai suasana ala koboi ketika menikmati hidangan di situ, Ahmad Fairus tidak ketinggalan menghias premis perniagaannya dengan dekorasi ala koboi.