BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Monday, April 30, 2012

MTUC SAMBUT BAIK PENGUMUMAN GAJI MINIMUM


PUTRAJAYA — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan kadar gaji minimum bagi sektor swasta yang diumum kerajaan dapat membela nasib pekerja khususnya yang berada di bawah garis kemiskinan.
Presiden MTUC Mohd Khalid Atan berkata keputusan itu jalan terbaik untuk membela nasib mereka pada masa depan, selain meningkatkan semangat untuk mereka bekerja lebih tekun sekali gus membantu kerajaan mencapai sasaran menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada 2020.
"Ia adalah permulaan bagi pekerja swasta di negara ini kerana dengan keputusan itu mereka tidak akan lagi dibayar di bawah kadar gaji minimum yang diumumkan oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman Gaji Minimum Sektor Swasta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, di sini malam tadi.
Beliau berkata pengumuman gaji minimun itu juga merupakan satu petanda baik selain menjadi kebanggaan pihaknya kerana perjuangan selama ini menjadi kenyataan.
Pada majlis itu Najib mengumumkan kadar gaji minimum kebangsaan bagi sektor swasta RM900 sebulan atau RM4.33 sejam untuk Semenanjung, manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pula pada paras RM800 atau RM3.85 sejam. Mohd Khalid berkata juga berharap kadar gaji minimum itu dapat disemak dalam tempoh yang munasabah di masa depan.
"Kita juga harap pelaksanaan kadar gaji minimum itu akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya. — BERNAMA

Sunday, April 29, 2012

PROJEK MURNI MALAKOFF

KOSMO 30 APRIL 2012
Foto kenangan yang dirakamkan sukarelawan Malakoff bersama pelajar Al-Ansar.

PRIHATIN terhadap golongan yang memerlukan dalam kalangan masyarakat tempatan, Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) mengambil inisiatif menganjurkan projek gotong-royong di Maahad Tarbiyah Islamiyah Al-Ansar (Al-Ansar), Kuala Selangor, Selangor baru-baru ini.
Bukan setakat gotong-royong, Malakoff juga turut memberikan sumbangan RM30,000 bagi membantu menyediakan persekitaran lebih kondusif untuk keperluan 250 kanak-kanak di rumah kebajikan tersebut.
Inisiatif yang telah dianjurkan selama enam tahun berturut-turut itu menarik minat 50 orang kakitangan Malakoff serta ahli keluarga mereka untuk meluangkan masa hujung minggu bagi membantu mengindahkan Al-Ansar.
Rumah kebajikan Al-Ansar tersebut memberi perlindungan kepada penghuni berumur antara 8 hingga 50 tahun, yang tidak mempunyai rumah atau keluarga.
Bercakap mengenai program tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Zainal Abidin Jalil memberitahu, Malakoff mengutamakan perkongsian kejayaan dengan masyarakat tempatan.
"Tradisi ini mencermin falsafah kami iaitu memberi khidmat. Itulah sebabnya saban tahun kami menganjurkan projek gotong-royong ini di bawah platform tanggungjawab sosial korporat iaitu Perkongsian Komuniti Malakoff.
"Tenaga dan semangat dermawan kakitangan Malakoff dan ahli keluarga mereka sungguh menggalakkan. Kami akan terus menyumbang semula kepada masyarakat di mana kami beroperasi," katanya.
Sukarelawan Malakoff membersihkan kawasan Maahad Tarbiyah Islamiyah Al-Ansar (Al-Ansar) di Kuala Selangor.
Sejak tahun 2005, Malakoff telah membantu Al-Ansar dari segi kewangan dengan menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih baik dan menampung penyelenggaraan bangunan sekolah, kuarters kediaman dan kemudahan lain.
Tahun lalu, Malakoff telah membina sudut komputer yang amat bermanfaat serta turut menyumbang 12 buah komputer riba dan komputer kepada sekolah.
Sebuah dewan serbaguna juga dibina bagi menggalakkan penglibatan kanak-kanak dalam aktiviti sukan seperti badminton, futsal, bola tampar dan sepak takraw.
"Melihat senyuman di wajah kanak-kanak di sini, saya bersyukur dengan bantuan Malakoff dan berharap agar lebih banyak lagi syarikat lain akan mengikut langkah baik ini," ujar Guru Besar Al-Ansar, Sazli Ansari.

40,000 PELUANG KERJA DI PENGERANG


UTUSAN MALAYSIA 29 APRIL 2012

KLUANG 28 April - Lebih 40,000 kekosongan jawatan ditawarkan menerusi pembangunan hab industri minyak dan gas di Pengerang, Kota Tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Md. Jais Sarday berkata, kekosongan itu meliputi tenaga kerja semasa pembinaan loji bagi golongan pekerja mahir, separuh mahir dan bukan mahir.
"Pembangunan hab itu juga menawarkan 4,000 kekosongan jawatan secara tetap semasa peringkat operasi," katanya semasa merasmikan Karnival Kerjaya, Perniagaan dan Kemahiran (Kepak) 2012 peringkat daerah Kluang, di sini semalam.
Kepak yang diadakan selama tiga hari bermula semalam di Kluang Walk@Persiaran Dato' Haji Ismail Hassan bertujuan mendedah dan memadankan kumpulan sasar dengan peluang kerjaya setempat di negeri ini dan di Iskandar Malaysia.
Ia juga bertujuan menawarkan peluang penjanaan pendapatan menerusi perniagaan kecil dan sederhana serta peningkatan kemahiran dan latihan semula.
Program itu dianjurkan bersama Kerajaan Negeri Johor, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Iskandar Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Skills Malaysia dan JobsMalaysia.
Rakan strategik yang turut menjayakan karnival itu ialah Johor Corporation (JCorp), Majlis Perbandaran Kluang, Majlis Daerah Simpang Renggam, Petronas, Puspatri, KPJ Health Care, KFC Holdings (Malaysia) Bhd., Kulim (Malaysia) Bhd. dan Pelabuhan Tanjung Langsat.
Md. Jais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Mahkota berkata, kemajuan negeri ini telah mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan dan antara buktinya adalah kira-kira 19,000 jawatan ditawarkan oleh majikan di Iskandar Malaysia termasuk pekerjaan berkemahiran tinggi meliputi semua peringkat dan sektor ekonomi.
Justeru itu, beliau berharap masyarakat setempat khususnya golongan belia, lepasan sekolah, institusi pengajian tinggi dan pusat latihan, pencari kerja, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal memanfaatkan sepenuhnya Kepak di daerah ini.
Mengenai bidang perniagaan, orang ramai boleh mengunjungi gerai Mara yang memberi fokus kepada program pembangunan usahawan secara menyeluruh serta menjadi pusat sehenti untuk usahawan bumiputera, jelasnya.
Beliau berkata, bagi yang berminat dengan bidang kemahiran boleh mengunjungi gerai Pusat Pembangunan Tenaga Industri Johor (Puspatri) selain melanjutkan pengajian di KFCH International College dan KPJ International & Health Sciences.

Friday, April 27, 2012

PENDUDUK PENGERANG TIDAK AKAN DIABAIKAN

Model projek terminal penyimpanan petroleum yang dibangunkan oleh syarikat Dialog sdn. bhd. di Pengerang yang dijangka siap pada 2014..
KOTA TINGGI – Kerajaan Negeri semalam memberi jaminan tidak akan mengabaikan kebajikan dan juga kesejahteraan penduduk di Pengerang berikutan pembangunan projek Terminal Petroleum Laut Dalam Bebas di Pengerang, di sini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, penglibatan penduduk dalam projek pembangunan tersebut adalah sangat penting.

“Kerajaan akan sentiasa prihatin terhadap pandangan rakyat terhadap perlaksanaan projek ini. Kita akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk membendung dan mengatasi segala masalah yang dikenal pasti berhubung perlaksanaan projek ini.

“Proses penilaian bagi pembayaran pampasan dan kemudahan lain kepada penduduk setempat yang terlibat sudah pun dimulakan.

“Kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif memelihara persekitaran, selari memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar,” katanya ketika berucap pada Majlis pecah tanah projek Terminal Laut Dalam Bebas Pengerang di Tanjung Kapal Resort, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Dialog Group Bhd Ngau Boon Keat; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said; Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tenaga, Air, Komunikasi dan Alam Sekitar negeri, Tan Kok Hong; dan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Ismail Karim.

Menurutnya, pembangunan tersebut adalah inisiatif bermakna kerana bakal mencetuskan banyak kegiatan ekonomi di Timur Johor.

“Inilah pembangunan paling terancang dan berstrategi yang julung kali dilaksanakan, selain bakal merubah wajah Pengerang serta kawasan berdekatan.

“Projek ini akan menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri dan memberi manfaat kepada rakyat setempat. Ia juga bakal meningkatkan taraf hidup rakyat dengan wujudnya peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya.

Beliau turut berharap agar penduduk dapat merebut peluang yang sedia ada, selain memberikan sokongan padu untuk memastikan pembangunan tersebut mencapai matlamat dan seterusnya berjaya.

TILAM MALAYSIA TERMAHAL RM 90,500


DUA model Harvey Norman mencuba tilam mewah Sealy pada majlis pelancaran pesta tilam di Mutiara Damansara, Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA – Tilam Posturepedic Palatial Crest berjenama Sealy yang ditawarkan pada harga RM90,500 seunit yang diperkenalkan oleh Harvey Norman telah mencatat sejarah sebagai tilam termahal di negara ini.
Pengurus Jualan dan Pemasaran Sealy Asia (Malaysia) Sdn. Bhd., Derek Yeoh berkata, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 10 unit tilam mewah itu sepanjang Pesta Tilam Berjenama Antarabangsa Malaysia ke-8 yang diadakan di pusat beli-belah Ikano, Power Centre, Mutiara Damansara di sini yang berlangsung sehingga 6 Mei ini.
“Kami yakin untuk mencapai sasaran tersebut berdasarkan pencapaian dan reputasi Harvey Norman selaku syarikat kelengkapan perhiasan rumah antarabangsa yang sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pesta berkenaan di sini semalam.
Pesta tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee He

Thursday, April 26, 2012

MENGEKALKAN KHASIAT SAYUR

BANYAK kelebihan yang dapat kita peroleh daripada makanan. Jika anda inginkan bekalan serat, anti oksida dan nutrien dalam diet harian, saya sarankan anda makan lebih sayur-sayur.
Ada sayur sayuran yang boleh dimakan begitu sahaja dan ada sesetengahnya perlu dimasak.
Nutrien dalam sayur-sayuran seperti vitamin dan mineral mampu meningkatkan imunisasi dalam badan serat pula dapat membantu untuk sistem pencernaan kita. Anti oksida juga dapat mempertahankan diri kita daripada serangan penyakit.
Bagi mendapatkan khasiat sayur yang maksimum yang kita makan anda perlulah memilih sayur-sayuran yang masih segar.
Ciri-ciri sayur yang segar boleh dilihat dari warnanya yang terang contohnya jika sayur itu berwarna merah maka warna merahnya tidaklah kusam.
Tekstur sayur yang masih segar kelihatan masih keras, rapuh dan tidak lembik atau layu.
Tiada kesan lebam dan busuk pada sayur-sayur disebabkan kesan hempap atau daripada ulat.
Apabila kita memilih sayur untuk dibeli sebaik-baiknya kita melihat rupanya. Janganlah anda mengambil dan terus membeli tanpa memilih terlebih dahulu.
Sebenarnya, memasak sayur perlukan ketelitian agar khasiat sayur dapat dipelihara. Oleh kerana sayur mengandungi vitamin maka ada vitamin yang terkandung akan mudah hilang jika tiada perhatian yang teliti ketika kita menyedia dan memasak sayur.
Vitamin B dan C dalam sayur umpamanya akan mudah hilang dengan suhu yang melampau.
Jika anda merendamkan sayur sebelum anda ingin memasaknya adalah perlu untuk anda tidak merendam sayur terlalu lama kerana ada vitamin mudah menyerap dan hilang dalam air rendaman. Sayur perlulah dibasuh dengan betul agar segala pasir dapat dihilangkan.
Setiap sayur boleh dimasak dengan pelbagai cara masakan sama ada direbus, digoreng, dibakar dan sebagainya mengikut kesesuaian.
Apa yang paling penting janganlah memasak sayur sehingga menjadi terlalu lembik dan warnanya menjadi pudar kerana ini akan menyebabkan sayur akan hilang vitamin dan warnanya akan menjadi tidak menarik.
Setiap sayur mempunyai kekerasan dan saiz yang berbeza jadi kemasakannya juga berbeza oleh itu sayur yang dipotong perlulah lebih kurang sama saiznya supaya kadar kemasakannya adalah sama.
Biarkan air mendidih dahulu sebelum anda mencelur sayur dan rendamkan dalam air berais sebaik selepas mencelur bagi menghentikan proses kemasakan pada sayur itu.
Tapiskan sebelum anda menggunakan sayur untuk dimasak kemudian.
Sayur yang dikukus akan masak apabila ia mula berwap. Apabila anda memasak sayur ia boleh dilihat sama ada ia telah masak atau tidak dari warnanya, sebaiknya anda ambil secebis sayur itu dan cuba makannya sama ada ia sudah masak atau tidak.
Sayur yang sudah cukup masak perlu berasa lembut dan rapuh dan mudah dikunyah tetapi masih.
Simpanlah sayur yang segar di tempat yang dingin dan jangan dibiarkan terlalu lama di luar .
Jika anda mahu memotongnya dahulu sebelum masak anda boleh berbuat demikian tetapi selepas itu simpanlah di dalam peti sejuk sebelum anda memasaknya.
Oleh kerana sayur-sayuran merupakan sebahagian daripada diet kita yang amat penting, maka mustahak untuk kita tahu bagaimana untuk menyediakannya dengan pelbagai cara yang betul kerana banyak manfaat yang boleh kita dapat.
Jika tidak kita akan hanya makan sayur hijau yang mentah sahaja.
Kebanyakan daripada kita tidak mendapat khasiat sayur-sayuran seperti yang disyorkan setiap hari, jadi jangan jadikan kekurangan pengetahuan tentang sayur sebagai alasan untuk tidak menikmati sayur-sayuran. 

NASI ARAB ALKHIDMAH SALAM


Mohd. Sulaiman Mohd Yahya di hadapan restorannya.

AHLAN wasahlan!, perkataan Arab yang seringkali diguna pakai oleh orang Arab yang membawa maksud selamat datang kepada tetamu yang hadir.
Ucapan sama akan anda dengari apabila melangkah ke restoran-restoran makanan Arab yang sekarang ini muncul bagai satu fenomena bagi memenuhi selera masyarakat tempatan.
Makanan Arab khususnya paling popular nasi Arab, walaupun harganya agak mahal tetap dicari orang kerana keenakan dan menepati cita rasa.
Antara yang semakin mendapat perhatian khususnya di kalangan penduduk sekitar Lembah Klang ialah Restoran Alkhidmah Salam, yang terletak di Lot 2334-9, Jalan Batu Caves, Kampung Simpang Tiga, Gombak, Selangor.
Pengurusnya, Mohd. Sulaiman Mohamad Yahya berkata, restoran tersebut sudah lama beroperasi tetapi baru tahun ini memperkenalkan dan menambah menu baru iaitu pelbagai hidangan Arab.
"Dulu masyarakat kita hanya berpeluang merasai makanan Arab ketika menunaikan haji atau umrah di Mekah.
"Sekarang ini ia boleh dinikmati pada bila-bila masa kerana semakin banyak restoran menawarkan sajian ini," katanya di temui di restorannya baru-baru ini.
Istimewanya di sini kata Mohd. Sulaiman, setiap masakan dihasilkan oleh chef yang dibawa khas dari negara padang pasir itu, Chef Hatim Salleh.
Antara hidangan Arab yang terdapat di restoran ini adalah nasi ayam Mandy dan nasi Kabsah sama ada pilihan ayam atau kambing, roti Arab dan pelbagai lagi.
Selain keenakan rasa hidangan, harga ditawarkan di Restoran Alkhidmah Salam juga lebih berpatutan.
"Kami juga menerima tempahan dan katering untuk pelbagai acara. Jika hidangan diminta untuk kumpulan yang ramai, makanan dihidang dalam dulang seperti tradisi orang Arab," katanya.
Dalam pada itu sebagai memberi pilihan kepada setiap pengunjung yang datang, restoran tersebut juga menyediakan masakan Thai, Barat dan stimbot.
Malah, Restoran Alkhidmah Salam juga menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti surau, wifi secara percuma, dewan seminar, dewan berhawa dingin dan sebagainya.
Selain itu, restoran tersebut telah mengambil satu inisiatif untuk mengadakan kelas masakan nasi Arab ini kepada mereka yang berminat.
Menurut Mohd. Sulaiman, kursus ini memberikan peluang kepada mereka yang ingin belajar cara masak nasi Arab dengan betul..
Yuran penyertaan sebanyak RM600 dikenakan yang turut meliputi bahan-bahan masakan.
"Kursus ini akan diajar sendiri oleh Chef Hatim. Peserta akan diajar secara teori dan praktikal bagaimana menyediakan nasi Arab.
"Segala keperluan untuk kursus tersebut akan disediakan oleh pihak kami.
"Tujuan kami ini juga untuk menyampaikan ilmu kepada mereka yang betul-betul berminat. Kursus ini akan bermula pada 28 April dan 1 Mei ini," jelasnya.
Untuk maklumat lanjut boleh hubungi 012-2960776.

Monday, April 23, 2012

WAJAH MANUSIA POKOK BETIK DI PT. HASSAN

Md. Judyar Malik menunjukkan pokok betik yang menyerupai wajah manusia di ladangnya di Kampung Parit Hassan, Pontian, baru-baru ini.
PONTIAN 22 April - Kunjungan Urus Setia Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2012 ke salah satu lokasi persinggahan KMJ pada pertengahan bulan depan dikejutkan dengan penemuan pokok betik berwajah manusia di sebuah ladang betik di Kampung Parit Hassan di sini baru-baru ini.

Perkara itu disedari oleh salah seorang urus setia tersebut yang ternampak wajah manusia pada salah satu daripada beribu-ribu pokok betik di ladang seluas lima hektar tersebut sebelum memanggil rakan-rakan lain untuk mengesahkan penemuan tersebut.
Pemilik ladang tersebut, Md. Judyar Malik, 62, memberitahu, dia sendiri tidak mengetahui perkara tersebut sehinggalah dimaklumkan oleh rakan yang turut serta dalam kunjungan KMJ itu.
"Saya datang dan melihat dengan mata kepala saya sendiri beberapa hari selepas lawatan urus setia KMJ 2012 dan cuba mencantasnya tetapi membatalkan niat itu ketika menghayunkan parang.
"Saya menjunjung kasih atas kesudian Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang akan berangkat ke ladang ini dan akan menjaga pokok betik tersebut sehinggalah baginda datang melawat nanti," katanya ketika ditemui di ladangnya di sini baru-baru ini.

"THE ONE" DIKTIRAF JAKIM


Herman Portner (kiri) menayangkan sijil halal yang diperoleh daripada Jakim, sementara Olivier Funel mempamerkan salah satu wangian eksklusif daripada rangkaian The One, baru-baru ini.

MESKIPUN timbul kekeliruan berkaitan pemakaian minyak wangi dengan urusan solat, hakikat yang tidak dinafikan sehingga kini ialah penggunanya ramai terdiri daripada kalangan umat Islam itu sendiri.
Ini bukannya fakta yang direka atau dibuat-buat tetapi sejarah telah membuktikan bahawa orang Mesir adalah yang pertama memasukkan minyak wangi ke dalam budaya mereka diikuti oleh China purba, Hindu, Afrika dan diikuti negara-negara lain.
Ketika itu, ia digunakan dalam pelbagai keperluan ritual bermula dari detik kelahiran sehinggalah ke upacara kematian.
Mutakhir ini, memperoleh minyak yang berkualiti, bauan yang menarik dan banyak pilihan di pasaran adalah sangat terhad. Mengikut tradisi, minyak wangi yang halal hanya dalam bentuk cecair dan deodoran berbuli, manakala baunya pula agak keras, terutamanya daripada pati tumbuh-tumbuhan berkayu, kelikatan pula amat rendah dan berminyak serta tidak bertahan lama.
Lantaran melihat kelompangan di situ, sebuah syarikat pengeluar minyak wangi dari Perancis, Atelier des Parfums Asia Pacific Sdn. Bhd. (AdP Asia Pacific) telah mencetus ilham, sekali gus menggunakan segala kaedah penerapan dengan menghasilkan minyak wangi dari Perancis yang halal dalam bentuk semburan bagi memenuhi kehendak pasaran umat Islam, khasnya.
Ia secara tidak langsung memenuhi kehendak pasaran, di mana umat Islam mahukan minyak wangi yang lebih moden, tanpa penggunaan bahan-bahan berbahaya serta haiwan atau organ manusia, mudah digunakan serta pada harga yang berpatutan.
Justeru, setelah empat tahun berturut-turut, AdP Asia Pacific menyertai Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas), tahun ini merupakan tahun paling bermakna bagi syarikat pengeluar minyak wangi terulung dari Perancis ini. akhirnya penat lelah selama dua tahun terbalas jua akhirnya, sebaik menerima sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pengiktirafan dan penganugerahan ini sekali gus menjadikan AdP Asia Pacific yang pertama dan satu-satunya syarikat minyak wangi dari Perancis yang memperoleh sijil halal Jakim.
Pada sidang akhbarnya baru-baru ini, AdP Asia Pacific selain berbangga dengan pengiktirafan yang diterima daripada Jakim, turut melancarkan siri wangian terkininya dengan gelaran The One oleh Atelier des Parfums serta mengetengahkan beberapa idea dan ciptaan dalam usaha pengembangan minyak wangi halal tidak lama lagi.
"Mihas merupakan platform paling ideal dalam usaha meletakkan diri kami sebagai syarikat yang terkemuka dalam penciptaan dan penghasilan minyak wangi yang memperoleh sijil halal daripada Jakim," Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AdP Asia Pacific, Herman Portner.
AdP Asia Pacific ialah anak syarikat pengilang minyak wangi dari selatan Perancis.
"Dengan adanya sijil halal ini juga, selain dapat mengukuhkan kedudukan kami, ia juga membuka ruang untuk melakukan kajian dan pembangunan (R&D) dalam memperbaiki teknologi yang menyokong industri halal.
"Ini sekali gus membolehkan pengguna-pengguna Islam dari seluruh dunia untuk menikmati sepenuhnya rangkaian ciptaan baru yang moden, segar dan dinamik secara selamat, tenang serta tanpa was-was kerana ia benar-benar minyak wangi yang halal.
"Kita meletakkan sepenuh ilmu pengetahuan berasaskan syarikat kami di Perancis dan pangkalan datanya yang luas serta segala pengalaman luas kira-kira 70 tahun dalam ciptaan minyak wangi berkualiti tinggi bagi kerja-kerja di Malaysia ini," tambah Herman.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Eksekutif, AdP Asia Pacific dan juga merupakan sifu minyak wangi, Olivier Funel berkata, dengan adanya sijil halal serta kerjasama baik dengan Jakim, pihak kami yang mempunyai kedudukan bersaingan terbaik dalam pasaran minyak wangi halal yang sedang pesat berkembang kini.
Lantas kerjasama dua hala yang terbina antara AdP Asis Pacific ini akui Oliver, dilihat sebagai satu strategi bernas seiring dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab halal keluaran jenama mereka.
"Malaysia akan menjadi hab bagi pasaran seluruh Asean, Amiriah, Arab Saudi dan Asia Barat serta negeri-negeri yang mempunyai pengguna Islam. Ia akan menjadi pusat kecemerlangan antarabangsa untuk minyak wangi halal yang dibangunkan oleh Atelier des Parfums di Perancis," ujarnya yang turut mengalu-alukan penyertaan daripada usahawan tempatan.
Pasaran untuk minyak wangi halal di negara-negara Islam seluruh dunia dan di Asean, khasnya menunjukkan potensi yang besar dalam industri minyak wangi.
Dikatakan jumlah keseluruhan pasaran minyak wangi untuk tahun 2012 dijangka melebihi USD33.5 bilion dan akan terus berkembang sehingga 2020 lebih kurang USD 37.5 bilion.
Kaji selidik terbaru menunjukkan Eropah menganggarkan pengambilan 46 peratus daripada permintaan dunia pada tahun 2010. Pun begitu, rantau Asia Pasifik, Asia Barat dan Afrika, mewakili perkembangan pasaran paling pesat dalam industri wangian dengan anggaran masing-masing 6.5 peratus dan tujuh peratus pada lima tahun akan datang.

KEMANISAN SOLAT BERJEMAAH

Antara sunnah Rasulullah SAW ialah solat berjemaah di masjid. Bagaimana para suami pada hari ini ingin mempraktikkan sunnah tersebut kerana jika suami solat berjemaah di masjid/surau maka si isteri solat berseorangan di rumah. Jadi, sudah pasti si isteri tidak akan dapat pahala solat berjemaah sekiranya suami berjemaah di masjid atau surau?

Jawapan

Islam tidak pernah menghalang para suami solat di rumah atau mengimamkan solat di rumah bersama anak isteri.
Malahan bagi pendapat saya sewajarnya suami mengasingkan hari-hari tertentu untuk solat berjemaah bersama ahli keluarga.
Ini bukan kerana keluhan suara hati para isteri tetapi peranan menjadi khalifah di rumah adalah dengan mengetuai ahli keluarga dalam melakukan ibadat.
Maka solat adalah talian hayat manusia dengan Allah SWT dan solat berjemaah adalah penyinambungannya.
Maksudnya, kesan daripada solat berjemaah yang dilakukan oleh ahli keluarga pasti membawa keberkatan ibadat dan kehidupan.
Kedudukan hukum solat berjemaah bagi kaum lelaki telah dibincangkan oleh para ulama, terutamanya ulama fiqh.
Nyata di sini pelbagai pendirian yang dinyatakan oleh mereka, yang boleh saya nyatakan di sini secara ringkas. Pada asasnya hukum solat berjemaah bagi kaum lelaki terbahagi kepada empat pendapat Pendapat yang mengatakan solat berjemaah fardu kifayah, pendapat kedua; syarat sah solat. Tidak sah solat sendirian melainkan ada keuzuran.
Manakala pendapat ketiga, sunat muakkad dan pendapat keempat ialah fardu ain dan bukan syarat. Setiap pendapat ini ada dalil yang menjadi asas ulama berhujah dengannya.
Perselisihan ini bukan satu perselisihan yang bercanggah tetapi perselisihan yang pelbagai. Di sini kita juga berpeluang melihat bagaimana agama Islam memberi pelbagai keadaan dan hukum terhadap kefarduan solat yang ditunaikan secara berjemaah.
Dalam hal ini kita boleh dapati ada yang akan cenderung kepada salah satu pendapat berikut. Ini tidak bermaksud ada yang salah dan ada yang betul, bagi saya semuanya betul.
Sekiranya ada yang berpendapat solat berjemaah sunat kifayah, ia betul berdasarkan kepada dalil-dalil yang dikemukakan, sekiranya ada yang berpendapat syarat sah solat mungkin pendapat ini juga betul berdasarkan cara dalil-dalil solat berjemaah difahami.
Sunat muakkad, ini juga betul. Persoalan yang utama dan tidak yang diperselisihkan oleh ulama ialah kefarduan solat. Yang paling mesti solat. Bila sudah rajin dan menjaga solat, maka hendaklah berusaha solat berjemaah.
Bagi mereka yang telah mendapati nikmat solat pasti tidak akan tinggalkan solat dan bagi mereka yang telah mendapati nikmat dan kemanisan solat berjemaah pasti akan berusaha sedaya upaya solat berjemaah.

Dua pendapat ulama mengenai hukum solat berjemaah
Saya akan kemukakan dua pendapat daripada empat pendapat ulama mengenai hukum solat berjemaah bagi kaum lelaki, kerana ruang yang sangat terhad.
* Pendapat Pertama: Pendapat yang mengatakan solat berjemaah fardu kifayah adalah seperti berikut;
Ini pendapat Imam Syafie, Abu Hanifah, jumhur ulama Syafiiyah terdahulu dan kebanyakan ulama mazhab Hanafi dan Maliki.
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata, "Zahir perkataan Syafii, solat berjemaah hukumnya fardu kifayah. Inilah pendapat kebanyakan ulama terdahulu di kalangan ulama Syafiiyah, Hanafiyah serta Malikiyah." (Fathu al-Bari, jld: 2, hlm: 26) Hujah mereka berdasarkan kepada dalil-dalil berikut;
Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidaklah tiga orang di dalam satu kampung atau kawasan pedalaman, dan mereka tidak pula mendirikan solat melainkan syaitan akan menguasainya. Berjemaahlah kalian. Ini kerana serigala hanya memakan kambing yang sendirian." (Sunan Abu Daud: 460, Sunan an-Nasaie: 738 dan Musnad Ahmad: 26242 ).
Dalam hadis yang lain baginda bersabda yang bermaksud: Pulanglah kepada keluarga kalian, dirikanlah solat bersama mereka, ajarlah dan perintahkan mereka (untuk solat). Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat. Jika telah masuk waktu solat, hendaklah salah seorang kalian melaungkan azan dan yang paling tua menjadi imam. (Sahih al-Bukhari: 595 dan Muslim: 1080 ).
Sabda baginda dalam hadis yang lain yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat sendirian 27 darjat. (Sahih al-Bukhari: 60).
Dalam hadis ini jelas baginda menyarankan supaya sahabat balik dan bersolat dengan ahli keluarga. Maksudnya ada kalanya harus bagi seorang Muslim solat bersama ahli keluarganya. Lebih-lebih lagi bila anak dan isteri perlukan bimbingan si suami atau ayah dalam membimbing mereka dalam solat.
Firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim yang bermaksud: Wahai orang yang beriman selamatkanlah dirimu dan ahli keluargamu daripada seksaan api nereka...(al-Tahrim: 6)
Di dalam mentafsirkan ayat ini para mufassirin (ahli tafsir) berpendapat maksud "menyelamatkan ahli keluarga daripada seksaan api neraka" ialah mengajar mereka solat, baca al-Quran dan batasan halal dan haram.
Mendidik ahli keluarga adalah wajib, ia disepakati ulama. Manakala solat berjemaah masih ada pilihan, tetapi mendidik anak isteri tiada pilihan antara sunat muakkad mahupun fardu kifayah, malahan wajib. Kalau gagal didik akan bertanggungjawab di hadapan Allah SWT kerana keluarga adalah amanah Allah SWT.
Namun lebih afdal lagi kalau boleh sama-sama ahli keluarga ke masjid untuk solat berjemaah, kalau tidak selalu pun jadikanlah sebagai rutin mingguan dan bulanan. Terutamanya membawa mereka ke masjid untuk solat berjemaah dan menghadiri kuliah-kuliah agama.
* Pendapat Kedua: Sunat Muakkad.
Ini pendapat mazhab Hanafi dan Maliki. Imam Ibnu Abdil Barr menisbahkannya kepada kebanyakan ahli fiqh Iraq, Syam dan Hijaz.
Dalil-Dalilnya;
Daripada Ibnu Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat sendirian 27 darjat. (Sahih al-Bukhari, no: 609 ). Sesungguhnya, orang yang mendapat pahala paling besar dalam solat ialah yang paling jauh jalannya, kemudian yang lebih jauh. Orang yang menunggu solat sampai solat bersama imam, lebih besar pahalanya daripada orang yang solat, kemudian tidur. Dalam riwayat Abu Kuraib, (disebutkan): sehingga dia solat bersama imam dalam jemaah. (Sahih Muslim, no: 1064 dan Musnad Ahmad, no: 11380).

Friday, April 20, 2012

SEMBELIHAN GUNA ARUS ELEKTRIK DIBENARKAN


UTUSAN MALAYSIA 19/4/2012
Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD


ARUS kemodenan teknologi dunia telah merubah kehidupan manusia dalam segala aspek. Bermula dengan inovasi peralatan canggih dan moden hinggalah melibatkan seluruh gaya hidup manusia.
Transformasi modenisasi bukan sahaja semakin memudahkan urusan harian manusia, malah memberikan hasil yang lebih baik, pantas dan memuaskan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.
Justeru, tidak ketinggalan kemajuan teknologi turut mempengaruhi pelaksanaan ibadah umat Islam untuk diaplikasikan dalam menyempurnakan sesetengah perintah berdasarkan syariat Islam. Lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan isu halal.
Cuba bayangkan, bagaimana seorang peniaga ayam ingin melakukan penyembelihan dalam kuantiti yang banyak untuk dipasarkan dan menampung permintaan ramai.
Jika dahulu, proses penyembelihan memerlukan sebilangan tenaga yang banyak dan kuat untuk menyembelih haiwan ternakan tersebut supaya dapat dilakukan berlandaskan hukum syarak dan halal dimakan.
Adakah bersesuaian dengan masa kini untuk mengekalkan kaedah dulu untuk melakukan proses penyembelihan dalam kuantiti yang banyak tersebut.
Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Al-Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Azman Mohd. Nor berkata, Islam tidak menghalang umatnya untuk mengikuti perkembangan teknologi dalam amal ibadah selagi tidak menyalahi syariat yang telah ditetapkan.
"Oleh itu, menggunakan arus aliran elektrik dalam proses penyembelihan dibolehkan dan disahkan halal oleh majlis rundingan Fatwa Kebangsaan dan kebanyakan negara yang dihuni oleh masyarakat Islam.
"Bagaimanapun, terdapat syarat yang mengehadkan penggunaan aliran elektrik tersebut. Ia hendaklah digunakan sekadar untuk melemahkan haiwan sembelihan tersebut dengan menggunakan arus yang paling minimum," katanya.
Dr. Azman berkata demikian mengulas kekeliruan orang ramai mengenai status halal haiwan sembelihan menggunakan kaedah konvensional yang dilakukan kebanyakan peniaga untuk memudahkan proses penyembelihan.
Bagaimanapun katanya, jika haiwan sembelihan didapati telah mati akibat arus elektrik tersebut, maka haram dimakan dan tidak sah penyembelihan tersebut.
"Status halal yang ditetapkan oleh rundingan majlis fatwa ini juga setelah mengambil kira semua aspek. Ia hanya dibenarkan dengan tujuan melemahkan haiwan tersebut supaya mudah untuk disembelih dan bukan tujuan untuk menyeksa.
"Jika haiwan sembelihan itu didapati mati disebabkan arus elektrik tersebut sebelum disembelih, maka ia haram dimakan. Begitu juga hal yang sama sekiranya haiwan itu tidak disembelih menepati dengan syariat Islam," katanya.
Dr. Azman merupakan salah seorang panel pembentangan dalam Forum Halal Sedunia 2012 (WHF) bertajuk 'Halal dan Tayyib' yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
Manakala dua ahli panel lain ialah, Pengerusi Akademi Darul Jailani Kebangsaan, Iraq, Shaykh Afeefuddin al-Jailani dan Pengarah Jabatan IFTA, Kementerian Hal Ehwal Islam, Kuwait, Shaykh Turki Isa Al-Mutairi.
Forum selama dua hari bermula 2 dan 3 April lalu itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut dihadiri Pengasas dan pengarah forum, Jumaatun Azmi dan Ketua Pegawai Eksekutif Perikatan Integriti Halal Antarabangsa (IHI), Darhim Dali Hashim.
Seramai 520 perwakilan daripada 32 buah negara mengambil bahagian dalam forum tersebut bagi menjadi landasan untuk membincangkan industri halal bertaraf dunia yang dianggarkan bernilai USD2 trilion.
Dr. Azman berkata, bagi memastikan industri halal negara terjamin status halal dan tayyiba, maka pegawai agama atau seorang pemantau Islam perlu ditempatkan di setiap pusat penyembelihan seperti yang telah dilaksanakan di Malaysia.
"Ini penting bagi memastikan penyembelih haiwan tersebut adalah muslim dan proses penyembelihan dilakukan bertepatan dengan tuntutan syariat," katanya.
Sementara itu, Shaykh Turki Isa berkata, campuran kandungan yang haram di dalam kandungan halal akan menjejaskan keseluruhan status halal kandungan tersebut walaupun dalam kuantiti yang sikit.
"Jika campuran tersebut dalam bentuk cecair, maka haram sama sekali diminum atau digunakan, manakala jika barang itu dalam bentuk pepejal, ia boleh digunakan dengan syarat mengasingkan antara elemen yang haram dan halalnya," katanya.
Tambahnya, Islam turut tidak menggalakkan menggunakan alkohol (sumber haram) untuk membunuh atau menyingkirkan bakteria dalam makanan.
Ini kerana menurutnya, ia dikhuatiri boleh menyebabkan unsur tidak halal terlekat atau tidak dipisahkan pada makanan tersebut.
Dalam pada itu, Shaykh Afeefuddin berkata, makanan yang tidak halal atau daripada sumber yang haram boleh menjauhkan diri seseorang Muslim itu dengan tuhannya serta mendorong kepada perbuatan yang negatif.
"Makanan yang haram atau datang daripada sumber yang tidak halal akan masuk ke dalam anggota badan manusia dan akan menjadi darah daging. Ini akan menyebabkan kemurkaan Allah SWT dan menjadikan pelaku tersebut semakin lupa kepada tuhannya lalu melakukan perbuatan yang tidak baik.
"Manakala makanan daripada sumber yang halal dan tayyib pula dapat mendekatkan diri seseorang kepada Allah SWT sekali gus mendorongnya melakukan amalan soleh," katanya.

Monday, April 16, 2012

SENI DIM SUM

DAHULU, apabila menyebut dim sum, ramai yang beranggapan ia adalah makanan tidak halal kerana kebanyakan dim sum yang berada di pasaran menggunakan campuran daging babi.
Barangkali ada yang tertanya-tanya, apakah dim sum sebenarnya? Ia adalah sejenis makanan masyarakat Cina Kantonis yang berasal dari selatan China. Pada mulanya, ia dihasilkan sebagai snek untuk pengembara laut dan petani yang berhenti berehat di gerai-gerai untuk minum teh.
Dim sum dihasilkan dalam saiz kecil menggunakan adunan tepung sebagai kulitnya. Intinya pula sama ada diperbuat daripada isi ikan, udang, ayam, daging dan sayur-sayuran. Ia dikukus atau direbus terlebih dahulu sebelum dimakan.
Ekoran keraguan tentang bahan-bahan tersebut, masyarakat Islam ragu-ragu untuk mencubanya.
Bagaimanapun, kebelakangan ini sudah banyak restoran mahupun hotel yang menyediakan hidangan itu telah memohon sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Pihak tersebut perlu akur pada prosedur yang sangat ketat.
Begitupun, cara-cara pembuatan dim sum menuntut ketelitian dan kesabaran yang tinggi ekoran proses pembuatannya yang sukar.
Penyediaan yang leceh
Perkara itu turut diakui oleh Sous Chef Kanan, Hasmadi Razali, 35, yang sudah berkecimpung dalam dunia masakan sejak 15 tahun lalu.
Beliau mengakui, membuat dim sum bukan mudah memandangkan ia melibatkan kerja-kerja rumit dan leceh.
Meskipun baru setahun mula membuat dim sum, Hasmadi memberitahu, tugasnya menyediakan hidangan itu mempunyai cabaran tersendiri.
Beliau yang berkhidmat di Seri Cempaka Service Suites, Cheras, Kuala Lumpur menjelaskan, untuk mendapat hasil ulian tepung yang boleh dilentur seperti spring (menganjal) bukannya mudah.
"Jika hasil ulian tepung tidak mengikut sukatan yang sepatutnya, ia akan terputus dengan mudah apabila diregangkan.
"Apabila itu berlaku, ia cukup menguji kesabaran. Oleh itu, saya akan pastikan bahan-bahannya mengikut sukatan yang betul sebelum menguli," ungkapnya.
Berbicara lanjut mengenai cabaran berkenaan, beliau berkata, tepung yang tidak diuli dengan betul akan membuatkan dim sum menjadi keras.
Hasmadi sendiri mengambil masa selama sebulan untuk belajar membuat dim sum dengan seorang chef berbangsa Cina di hotel tersebut.
Biarpun, melibatkan tugas-tugas yang mencabar, hakikatnya Hasmadi sentiasa peka dengan cara-cara pembuatan agar para pelanggan berpuas hati.
Menyentuh mengenai cara penyediaannya, beliau berkata, ia cukup unik. Setiap dim sum yang terdiri daripada daging lembu, ayam dan sayur-sayuran akan dimasukkan di dalam sup tidak lebih daripada tiga minit bagi memastikan kesegarannya.
Untuk menambahkan lagi rasa sedap, dim sum dicicah dengan sos manis dan sos cili serta disertai teh Cina.
Selain rebus, dim sum juga boleh dikukus dan digoreng. Walau bagaimanapun, baru-baru ini pihak Seri Cempaka Service Suites mencari sesuatu yang berbeza dengan menampilkan seleksi dim sum stimbot.
Pengurus Makanan dan Minuman Cempaka Sdn. Bhd., Mohd. Nor Yacob menjelaskan, pihaknya merupakan satu-satunya hotel yang menyediakan dim sum stimbot.
Kaedah penyediaan itu memiliki keistimewaan tersendiri kerana supnya tidak mengandungi bahan perisa tambahan seperti garam dan monosodium glutamat (MSG) sebaliknya hanya menggunakan tulang-tulang ayam yang direneh sehingga empat jam.
"Tempoh yang panjang untuk mereneh sup berkenaan membuatkan ia berasa sedap dan asli. Namun, apa yang penting resipi yang dibawa dari Kun Ming, China itu memenuhi piawaian standard halal oleh Jakim.
Di hotel itu, terdapat 10 jenis dim sum - tiga jenis dim sum sayur dan tiga jenis lagi yang berinti kacang merah, ayam barbeku dan pes teratai. Ia boleh dinikmati secara ala carte pada harga serendah RM3 sehidang.
ULIAN tepung perlu dinipiskan dengan menggunakan pisau sebelum inti dim sum dimasukkan

Cabaran pembuatan
Sementara itu, Chef Chen Fot Kiong pula memberitahu, biarpun sudah 20 tahun berkecimpung dalam dunia pembuatan dim sum, sehingga hari ini beliau masih berhadapan dengan masalah menguli tepung.
"Masalah terjadi jika menggunakan jenama tepung atau serbuk penaik yang berbeza-beza. Apabila ini berlaku, agak sukar untuk menghasilkan dim sum yang lembut," katanya yang terpaksa mengulangi pembuatan masakan itu beberapa kali untuk mencapai kesempurnaan.
SALAH seorang chef sedang menyediakan pelbagai jenis dim sum.
Beliau yang berkhidmat di Hotel Quality, Jalan Raja Laut di ibu negara menambah, selain cabaran tersebut, beliau tidak menafikan individu yang mengendalikannya perlu memiliki 'kelembutan' pada gerak kerja tangan.
"Ia amat perlu terutamanya ketika hendak membuat bentuk bunga pada dim sum memandangkan saiznya yang kecil. Nampak saja mudah tetapi ia bukan seperti yang disangkakan," katanya yang mengambil masa selama lima tahun untuk mempelajari kemahiran itu.
Berbicara mengenai pengalaman, Fot Kiong mengakui bahawa tidak ramai yang sanggup memperturunkan ilmu membuat dim sum.
"Jika dahulu, tidak ramai tukang masak yang sanggup mengajar. Namun, dengan berbekalkan minat, saya terpaksa berdikari membuat dim sum sendiri," ujarnya.
Bagaimanapun, tambah Fot Kiong, anak muda kini kurang berminat untuk mempelajari seni membuat dim sum kerana cara pembuatannya menuntut ketelitian dan kesabaran yang tinggi.
Dim sum halal
Sementara itu, seorang penggemar dim sum, Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz, 29, mengakui, hidangan tersebut sememangnya membuka selera namun kesukaran untuk mendapatkan yang halal adakalanya membataskan keinginannya.
"Memang banyak restoran dan hotel menyediakan hidangan tersebut namun status halal perlu diutamakan. Oleh itu, saya hanya mengunjungi beberapa tempat yang sama di sekitar Damansara yang sememangnya menjadi pilihan umat Islam," jelasnya.
Ketika ditanya mengenai dim sum kegemarannya, dia memberitahu ayam dan daging akan menjadi santapan utama setiap kali mengunjungi restoran dan hotel yang menyediakan dim sum.
"Saya lebih suka daging berbanding sayur-sayuran. Kenakan dim sum sememangnya mempunyai keenakan tersendiri biarpun ia hanya perlu dicelup dalam sup panas dan dicicah dengan sos cili," ujarnya yang sentiasa tertunggu-tunggu promosi dim sum yang diadakan di hotel-hotel.
Bagi seorang lagi penggemar, Norliana Abdullah, 23, menikmati hidangan dim sum halal yang dijual pada harga berpatutan bukan mudah didapati lebih-lebih lagi di luar Lembah Klang.
Dia yang berasal dari Ipoh, Perak memberitahu, ada beberapa tempat sahaja yang menyediakan hidangan itu.
Oleh itu, dia berharap lebih ramai pengusaha hotel dan restoran di luar Lembah Klang tampil menawarkan hidangan dim sim memandangkan ramai orang Islam yang mahu mencuba hidangan tersebut jika statusnya halal.

Sunday, April 15, 2012

LEGOLAND SASAR TARIK 1 JUTA PENGUNJUNG

JOHOR BAHRU: Legoland Malaysia mengunjurkan taman temanya yang hampir siap bakal menarik sejuta pengunjung sepanjang tahun pertama operasinya yang bakal dibuka secara rasmi pada suku kedua tahun ini.
Pengurus Besarnya, Siegfried Boerst berkata, pembinaan taman tema bernilai RM700 juta itu berjalan lancar meskipun musim hujan melanda Johor dan yakin dapat disiapkan mengikut masa. “Kami mensasarkan lebih satu juta pengunjung bagi tempoh 12 bulan operasi dan berharap dapat meningkatkannya sepanjang masa,” katanya selepas memperkenalkan maskot naga Legoland Malaysia ‘Ollie The Dragon’ yang dibuat keseluruhannya daripada kepingan Lego di Thistle Hotel, Johor Bahru, semalam. Model naga itu mengambil masa 50 jam untuk dipasang daripada kira-kira 10,000 kepingan Lego.
Beliau berkata, Legoland Malaysia merancang aktiviti perhubungan awam di Malaysia dan beberapa negara Asia Timur lain termasuk Singapura serta Indonesia sebelum pembukaan rasmi taman tema itu sekali gus membangunkan Johor sebagai destinasi pelancong. Bagi jualan tiket Pas Tahunan, katanya, pihaknya gembira dengan sambutan apabila kaunternya menjual 300 pas setiap hari di mana 80 peratus pembeli rakyat Malaysia dan berharap dapat menarik pembeli dari Singapura. Pas tahunan dijual pada harga diskaun RM195 (dewasa) dan RM150 (kanak-kanak) sah sehingga akhir 2013. Tiket itu boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman web AirAsia RedTix dan Legoland Malaysia.

NUSAJAYA – Taman tema Legoland Malaysia dijangka akan beroperasi mulai akhir tahun 2012 dengan sasaran sejuta pengunjung pada tahun pertama ia dibuka.
Sasaran itu dinyatakan Pengurus Besar Legoland Malaysia, Siegfried Boerst yang yakin taman tema tersebut tidak akan mencatatkan kerugian apabila ia dibuka kelak, biarpun tidak dapat mengandaikan berapa nilai yang akan diperoleh pada tahun pertama itu.
Projek pembangunan taman tema tersebut yang mula dibangunkan pada Disember 2009 dengan kos RM720 juta.
“Kita akan sentiasa memastikan perkhidmatan yang ada di taman tema ini sentiasa diperbaharui dan diperluaskan setiap tahun, sekali gus mampu memberi pengalaman yang menyeronokkan untuk seisi keluarga.
“Buat masa ini, Legoland Malaysia merupakan pertama di Asia dan ia akan menjadi satu-satunya taman tema seumpama itu di Asia Tenggara, biarpun ada usaha bagi membina taman tema seumpamanya di Jepun dan Korea yang belum dimuktamadkan,” katanya kepada media mengenai kerja-kerja pemasangan laluan untuk roller coaster dikenali Lego Technic, di sini, semalam.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Bhd (IIB), Datuk Syed Mohamed Ibrahim dan Pengarah IDR Resorts Sdn Bhd (IDR Resorts), Muhammad Zainal Ashikin Muhammad Rejab.
Pada masa sama, Siegfried turut mengumumkan penjualan pas tahunan pra pembukaan yang dijual pada harga RM195 untuk dewasa dan RM150 bagi kanak-kanak pada masa terhad di mana tiket bayaran sekali masuk ke situ bernilai RM140 bagi dewasa dan RM110 bagi kanak-kanak.
Sementara itu, Muhammad Zainal berkata, projek pembangunan taman tema tersebut mencapai 40 peratus pembinaannya biarpun berhadapan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.
“Semua kerja-kerja pembinaan projek ini berjalan mengikut jadual yang ditetapkan dan dengan perkembangan itu kita yakin Legoland Malaysia ini akan siap dan dibuka mengikut jadual ditetapkan,” katanya.
Legoland Malaysia adalah merupakan taman tema Legoland keenam di dunia selepas Legoland Billund, Legoland Windsor, Legoland California, Legoland Deutschland dan Legoland Florida.
Legoland Malaysia dibangunkan oleh anak syarikat IIB, IDR Resorts bersama Merlin Entertainments dengan kos RM720 juta di kawasan seluas 31 hektar di Medini North, hab gaya hidup Iskandar Malaysia.
Taman tema yang pertama di Asia itu mempunyai tujuh taman tema, dengan 50 juta blok lego digunakan bagi menghasilkan 15,000 model yang akan dipamerkan disitu.

KELONG SRI PANTAI PONTIAN





PONTIAN 12 April - Sebagai salah satu destinasi utama pelancongan di negeri ini, pelbagai tarikan terdapat di daerah Pontian termasuk bagi mereka yang menggemari aktiviti memancing di pantai dan laut.
Bagi kaki pancing, beberapa lokasi dikenali pasti seperti di kawasan Tanjung Piai, Kukup dan Pulau Pisang selain kelong yang dibina di tengah-tengah laut di kawasan Pontian Besar yang menawarkan kemudahan tempat memancing dan aktiviti percutian bersama keluarga.
Antara kelong terkenal adalah Kelong Sri Pantai yang dibina pada 2006 oleh pemiliknya, Kamal Abu Bakar, 65, setelah kecewa dengan kegagalan ternakan ikan dalam sangkar yang diusahakannya di Sungai Pontian Besar.
Kamal yang menanggung kerugian besar memutuskan membina kelong ternakan kupang yang mendapat sambutan baik sebagai destinasi memancing.
"Apabila mendapat sambutan baik, saya menukarnya kepada kelong rekreasi untuk pemancing memandangkan kedudukannya berhampiran dengan tukun tiruan yang dibina oleh Jabatan Perikanan.
"Kelong Sri Pantai mempunyai keluasan 40 meter persegi dan mampu menampung kira-kira 100 pemancing dengan kedalaman air kira-kira tujuh meter serta mendapat kelulusan daripada Jabatan Perikanan negeri," katanya ditemui di sini baru-baru ini.
Menurutnya, pemancing hanya mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan menggunakan bot ke kelongnya yang terletak kira-kira tiga kilometer dari jeti nelayan Pontian Besar.
Katanya, seorang pemancing hanya dikenakan bayaran RM50 bagi tempoh 24 jam manakala RM80 kepada yang ingin menginap di empat calet yang dibina di kelong tersebut.
"Selain calet, kami juga mempunyai sebuah asrama yang mampu menampung 25 pengunjung dengan kadar RM400 semalam dan sebuah bilik mesyuarat dengan bayaran RM300," katanya.
Tambah Kamal, kelong itu turut menawarkan pakej dengan harga RM130 seorang merangkumi minum petang, makan malam, sarapan serta makan tengah hari.
Beliau memberitahu, antara jenis ikan yang berjaya dipancing di kawasan kelong itu adalah jenahak, kerapu, pari, senangin, gelama dan siakap.
Kamal turut mengakui kelongnya bukan sahaja menjadi tarikan kaki pancing dari negeri ini malah sering menerima kehadiran pemancing dari Kuala Lumpur, Melaka dan Singapura.
Katanya, dia juga pernah menerima pelancong dari Australia yang ingin bercuti sambil menikmati suasana malam di laut dan melihat keindahan matahari terbenam pada waktu senja.
"Alhamdulillah, pendapatan yang diperoleh amat memuaskan bergantung kepada kehadiran pemancing pada setiap bulan selain tempahan program," katanya sambil memberitahu pihaknya turut bersedia membawa pelancong yang ingin melawat Pulau Pisang yang terletak berhampiran.
Untuk tempahan dan keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Kamal di talian 019-7566442 atau Ali (019-7445616) atau 07-6878049.