KELIHATAN seorang lelaki memakai baju kemeja dan seluar slack sedang khusyuk mengelap meja sebaik melangkah masuk ke ruang restoran yang dipenuhi dengan palet merah di segenap dinding restoran itu.
Jari telunjuknya mengesat permukaan meja dan dahinya berkerut. Tidak berpuas hati dengan kebersihan meja tersebut, dia mencapai semula kain yang telah disangkutkan di kerusi berdekatan dan menyambung rutinnya itu.
Tanpa menghiraukan kewujudan lelaki tersebut, mata saya mengerling di segenap sudut untuk mencari pemilik restoran berkenaan.
Ketika leka memerhatikan suasana sekeliling, seorang wanita bertudung menyapa dan memaklumkan restoran tersebut masih belum dibuka kerana jarum jam baru menunjukkan pukul 11 pagi.
Apabila diberitahu temu janji sudah dibuat untuk menemu ramah Sharin Low Abdullah, lelaki yang sedang mengelap meja tadi menyapa saya.
“Assalamualaikum, saya ingat pelanggan tadi. Mohon ke dapur sebentar,” katanya dengan penuh sopan.
Itulah Sharin Low, 68, pemilik Restoran Hj. Sharin Low yang mempunyai 24 cawangan selepas lapan tahun beroperasi. Setiap restoran mempunyai sekurang-kurangnya 15 pekerja.
Kejayaan membuka restoran di seluruh Malaysia kecuali Sarawak itu menyebabkan namanya dalam restoran gastronomi Cina Muslim semakin gah.
Ketika ramai pengusaha restoran yang sealiran mengalami kerugian, Restoran Hj. Sharin Low yang menjadikan makanan laut sebagai forte menu di restorannya masih mampu menambat hati pelanggan.
Walaupun menceburkan diri dalam perniagaan itu pada usia 60 tahun, beliau masih mampu menguruskannya seorang diri.
Malah, beliau akan melawat setiap cawangan secara berkala dalam tempoh sebulan bagi memastikan urusan kesemua restorannya berjalan lancar.
Menariknya, Sharin Low menceburkan diri dalam bidang tersebut ekoran niatnya ingin menyediakan ruang bagi golongan Cina Muslim menjamah makanan masakan Cina yang halal selain sebagai satu ibadah.
RESTORAN Hj. Sharin Low dihiasi tanglung dan cat berwarna merah yang sinonim dengan
masyarakat Cina.
Mesra disapa sebagai Tuan Haji, beliau yang memeluk Islam pada usia 21 tahun telah menghadapi kesukaran mencari restoran makanan Cina halal di negara ini.
“Sebagai Muslim dan saudara baru, menjadi tanggungjawab saya untuk menyediakan keperluan bagi penganut Islam yang lain.
“Tujuan paling utama ialah menyediakan tempat untuk saudara Cina Muslim seperti saya menikmati masakan Cina tanpa rasa was-was dan halal.
“Terdapat sesetengah masakan Cina menggunakan alkohol sebagai penambah rasa dan bahan utama seperti minyak daging khinzir dalam hidangan,” katanya.
Halal bagi Sharin bukan sahaja bebas daripada penggunaan alkohol dan khinzir sebaliknya, melibatkan proses penyediaan ramuan dan aspek kebersihan.
“Jika sumber protein seperti ayam, saya lebih selesa mendapatkan bekalan dari pembekal Melayu atau beragama Islam.
“Mereka lebih faham kepentingan kita menjaga sumber makanan yang halal. Saya yakin, setiap bekalan yang dihantar disembelih terlebih dahulu” katanya ketika ditemui di Restoran Hj. Sharin Low Grand di Jalan Ampang, Wisma Chinese Chamber, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, hiasan dalaman Restoran Hj. Sharin di Wisma Chinese Chamber itu turut menampakkan pengaruh Cina yang amat kuat.
Tanglung yang digantung dan lukisan kaligrafi Cina memenuhi ruang restoran membuatkan pelanggan seakan-akan menikmati hidangan di China.
HIDANGAN ikan ketutu ini harganya mencecah ratusan ringgit.
Masa berlalu sangat pantas, tepat pukul 12 tengah hari, pintu restoran dibuka dan Sharin Low mempersilakan para pelanggannya yang telah setia menunggu di situ.
Sejurus pelanggan mengambil tempat masing-masing, para pekerja segera meletakkan menu dan memberi ruang kepada pelanggan memilih menu masing-masing.
Harga yang ditawarkan untuk ala-carte adalah berpatutan bermula daripada RM2.50 hingga RM10++.
Sekiranya menjamu secara berkumpulan iaitu maksimum 10 orang, terdapat sembilan hidangan berbeza yang menanti para pelanggan.
Harga yang ditawarkan boleh mencecah sehingga RM800++, namun terdapat juga hidangan lengkap pada harga bermula RM400.
Bagaimanapun, pelanggan boleh membuat tempahan awal mengikut bajet masing-masing.
Melihat pada harga yang dinyatakan, sesetengah pelanggan melabel hidangan di restorannya adalah mahal.
Namun, Sharin Low menafikan kenyataan itu dan memberitahu masakan Cina memerlukan bahan yang banyak dan kepakaran yang tinggi untuk menghasilkannya.
Ekoran itu, kos hidangan adalah tinggi dan menyebabkan harganya agak mahal.
Katanya, bukan sembarangan orang boleh menguasai teknik memasak hidangan Cina.
Dedahnya, sehingga kini, beliau hanya mempunyai seorang cef yang pakar dalam masakan Cina dan ditempatkan di Seremban, Negeri Sembilan.
Cef tersebut mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam kulinari masakan Cina manakala tukang masak di setiap cawangan pula perlu mempunyai pengalaman maksimum lima tahun.
“Menjadi tukang masak hidangan Cina perlu mempunyai pengetahuan. Apatah lagi makanan laut yang dimasak di restoran kami ada yang mencecah sehingga ratusan ringgit seperti ikan ketutu.
“Cabaran kami adalah memastikan rasa asli ikan itu tidak hilang sepanjang proses memasak,” katanya.
Bagaimanapun, beliau sering memberi nasihat kepada pelanggan untuk memilih juadah yang sederhana agar tidak membazir.
Beliau pernah menerima tempahan mencecah harga sehingga RM1,000 melibatkan hidangan dua ekor ikan ketutu termasuk hidangan abalone dan sup sirip ikan yu untuk lima pelanggan.
“Mereka yang menggemari makanan Cina pasti beranggapan harga yang kami tawarkan jauh lebih murah berbanding di pasaran,” jelasnya.
SHARIN LOW bersama isteri, Sofiah Chong (lima dari kanan) dalam satu majlis meraikan
saudara baru Cina Muslim.
Bahan masakan seperti sayur kailan dan asparagus termasuk buah-buahan akan ditukar setiap hari bagi memastikan kesegaran bahan.
Kini, setiap cawangan restoran Sharin Low mempunyai maksimum 200 resipi berbeza. Setiap tahun, ia pasti ditukar dengan resipi baharu.
Bagaimanapun, masih terdapat 600 resipi yang belum diperkenalkan kepada umum.
Sharin Low mengambil langkah mudah untuk melupakan hidangan yang memerlukan penggunaan alkohol dan item yang tidak halal.
Ini kerana, beliau pernah mereka sendiri ramuan bagi menggantikan alkohol dengan jus buah dan jus sparkling tetapi tidak berjaya.
“Masakan asli Cina tidak boleh diubah. Jika diubah rasanya masih sedap tetapi ia tidak mampu bertahan lama sama ada dari sudut kesegaran ramuan ataupun rasa masakan,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Azmah Abdul Wahad, 33, berkata, makanan Cina menjadi pilihannya kerana berkhasiat dan lazat.
Hal ini kerana kebanyakan masakan Cina dimonopoli sajian secara stim dan rebus sekali gus melibatkan penggunaan minyak masak yang minimum.
Kewujudan restoran Cina Muslim, katanya, memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk menjamu selera.
Bagaimanapun, dia beranggapan harga hidangan Cina Muslim sebagai mahal tetapi masih mampu untuk dinikmati.
“Sekiranya untuk majlis tertentu rasanya berbaloi untuk menikmati hidangan Cina Muslim. Tetapi sebagai sajian harian ia luar daripada kemampuan bajet,” katanya.