BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, February 28, 2014

TRELER ANCAM KESELAMATAN

  • Treler ancam keselamatan
  • Kamal (kanan) menunjukkan kabel elektrik yang pernah tersangkut pada muatan treler di Mukim Rimba Terjun.
 1 / 1 
PONTIAN - Keselamatan kira-kira 500 penduduk di beberapa kampung sekitar Mukim Rimba Terjun terjejas berikutan treler yang menggunakan jalan di sini, tidak dipantau.

Penduduk mendakwa, treler terbabit membawa muatan bagi projek pembangunan di daerah ini.

Kamal Suboh berkata, saiz treler yang besar dan tinggi itu sepatutnya mempunyai kenderaan pengiring ketika melalui jalan di kampung.

“Apa yang dikesalkan, treler yang menggunakan laluan di sini tidak mementingkan keselamatan penduduk. Jika dahulu pasti ada kenderaan pengiring, namun keadaan itu berubah sejak setahun lalu," katanya.

Menurutnya, pada 10 Februari lalu, treler yang membawa muatan besar dan tinggi tersangkut pada wayar elektrik hingga nyaris menyebabkan dua rumah penduduk terbakar.

"Wayar elektrik yang tersangkut itu menyebabkan tiang elektrik jatuh menghempap ruang dapur sebuah rumah penduduk. Bagaimanapun, pemandu treler terbabit gagal dikesan kerana tidak memberhentikan kenderaan.

“Kami tidak menghalang pembangunan, tetapi diharap mereka memikirkan langkah keselamatan. Jika mahu menggunakan jalan di kampung ini, penduduk mencadangkan waktu perjalanan diubah ke malam kerana jalan lengang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Rimba Terjun, Daud Sanusi berkata, pihaknya turut menerima aduan penduduk bahawa treler yang menggunakan laluan kampung itu dipandu laju.

Menurutnya, keadaan itu mengancam keselamatan pelajar sekolah memandangkan terdapat sebuah sekolah rendah dan sekolah agama berhampiran jalan berkenaan.

“Pemantauan perlu dilakukan ke atas treler yang menggunakan laluan utama di sini. Kami harap pemandu treler tidak memandu laju dan mengambil kira aspek keselamatan,” katanya.

Sunday, February 23, 2014

ELSTEES CAFE- SUBANG JAYA

Razzi Iqram menunjukkan menu yang ada di kafenya.

MELANGKAH masuk ke Elstees Cafe yang terletak di Subang Jaya, Selangor rasa terpegun dengan hiasan dalamannya yang mendamaikan.
Pemilihan, gabungan dan susunan perabut yang sempurna memberikan ketenangan kepada pengunjung.
Aroma menu hidangan Barat dan Itali yang dihidangkan sungguh menggamit selera dengan pelbagai pilihan antaranya lamb stew dan roti, chicken marryland, ceasar salad, set burger, continental sandwich dan spaghetti seafood.
Dimiliki oleh anak muda berwawasan, Razzi Iqram, 25, yang membuka kafe selepas mengumpul modal hasil perniagaan mereka bentuk kemeja T dan aksesori lelaki secara atas talian selain kedai pakaiannya di Ipoh, Perak.
"Saya mendapat sokongan dan galakan penuh keluarga untuk membuka perniagaan walaupun emak dan ayah bukan dari dunia perniagaan.
"Tetapi abang saya yang membuka restoran makanan Barat di Shah Alam banyak membantu saya dalam pemilihan menu," kata graduan bidang grafik KLMU ini.
Menu restoran yang mendapat sentuhan dua chef berpengalaman, Razdee dan Izul menawarkan hidangan yang mampu dibeli bermula dengan RM3.50 hingga RM45.90.
"Cetusan idea bermula sejak di kolej kerana saya gemar makanan Barat tetapi harganya agak mahal," katanya yang mensasarkan pelajar sekitar Subang Jaya sebagai pelanggannya.
Walaupun Elstees Cafe baru beroperasi kira-kira dua bulan, ia mendapatkan sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung.
Anak muda yang berasal dari Ipoh ini berkata, mereka juga sedia menerima tempahan bagi majlis persendirian seperti hari jadi, makan malam atau majlis syarikat.

PLASTIK BOLEH DIMAKAN

Dr. Azwan Mat Lazim dan ahli kumpulan penyelidiknya menunjukkan plastik yang boleh 
dimakan serta anugerah yang diraih.

BIASANYA produk plastik, terutama beg plastik beli-belah tidak mesra alam dan memerlukan masa beratus-ratus tahun untuk mereput.
Tetapi kini terdapat beberapa pasar raya yang menggunakan beg plastik mesra alam yang cepat reput.
Terkini sekumpulan penyelidik Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjalankan kajian menghasilkan plastik yang boleh dimakan.
Ketua Penyelidiknya Dr. Azwan Mat Lazim berkata, idea bermula apabila melihat amat banyak bahan buangan dan tanaman eksotik yang kaya dengan kanji dan karbohidrat terbiar di kampung.
"Misalnya biji durian, ubi keling, ubi kemili, ubi kayu dan jagung banyak terbuang begitu sahaja," katanya semasa ditemui di UKM.
Apa yang lebih menarik jelas Dr. Azwan, sebahagian daripada tanaman berkenaan mempunyai ciri-ciri antibakteria yang sesuai untuk membungkus makanan selain mengekalkan kesegarannya.
Selain plastik yang dihasilkan boleh dimakan, ia boleh dimasukkan bahan-bahan lain seperti ekstrak cili atau bawang putih.
"Banyak yang boleh dilakukan untuk menghasilkan pembungkusan pintar. Mungkin satu hari nanti kita boleh masukkan indikator dalam bungkusan ikan bagi menentukan kesegarannya.

Penunjuk

"Ini kerana ikan yang tidak segar atau rosak akan mengeluarkan kumpulan amin yang mudah dikesan dengan menggunakan penunjuk yang boleh mengesan kumpulan amin yang dikeluarkan oleh ikan," katanya.
Perkara ini jelas Dr. Azwan akan memudahkan penjual dan pengguna yang tidak mempunyai pengalaman membeli barangan basah mendapatkan ikan yang lebih segar.
Bercerita tentang kaedah penghasilan plastik boleh dimakan, Dr. Azwan berkata terdapat hanya tiga peringkat pembuatan.
"Ia bermula dengan penghasilan filem, menambah bahan mentah seperti ubi kemili, ubi keling, ubi kayu atau biji durian serta pengikat silang dan penghasilan sampel," katanya.
Dr. Azwan berkata, tekstur biji durian boleh dikatakan sama dengan kanji daripada jagung dan sesuai menghasilkan plastik yang boleh dimakan.
"Sebagai pengguna, kita tidak akan merasa ragu dengan makanan yang dibalut dengan plastik yang boleh dimakan walaupun terdapat cebisan plastik pada makanan itu," katanya.

RESTORAN KENGSOM- KOTA BHARU

NATTAKARN (lima dari kiri) menunjukkan tanda bagus bersama para pekerjanya di Kota Bharu, Kelantan.

KEENAKAN sajian Thai mampu menambat selera segenap lapisan masyarakat di negara ini terutama tom yam.
Hidangan pedas dan masam itu menyebabkan ramai yang kecur air liur apabila mengingati kelazatan makanan tersebut.
Namun, mungkin ramai tidak mengetahui mengenai masakan kengsom yang lebih popular di Thailand berbanding dengan hidangan tom yam.
Jika diterokai makanan dari negara Gajah Putih itu, masih terdapat pelbagai pilihan menu yang perlu dicuba yang mana mampu membuka selera sesiapa sahaja.
Apabila berkunjung ke Kota Bharu, Kelantan terutama bagi penggemar makanan Thai, jangan lepaskan peluang untuk singgah makan di Restoran Kengsom yang menawarkan lebih daripada 200 pilihan menu kepada pengunjung.
Menurut pemilik restoran tersebut, Nattakarn Mangkong, 39, kebanyakan menu yang ditawarkan disediakan mengikut resipi asli yang direka oleh suaminya yang juga ketua tukang masak di situ.
Disebabkan itu, kata beliau, kebanyakan hidangan yang disajikan di restoran tersebut tidak dapat dinikmati di tempat lain walaupun menggunakan nama resipi yang sama.
NATTAKARN menunjukkan kengsom yang disajikan di restorannya.

"Walaupun terdapat kira-kira 200 pilihan menu, sudah tentu hidangan kengsom menjadi tarikan utama di restoran ini.
"Mempunyai kombinasi rasa seimbang antara pedas dan masam membuatkan asam pedas asli Thai ini unik, lazat serta digemari, selain faktor kesegaran ikan siakap yang digunakan," katanya kepada S2.
Menurut Nattakarn, antara menu lain yang menjadi pilihan pelanggan di restoran tersebut adalah tom yam, sotong kicap cair, udang bangnara, ayam pangpon dan ketam lembut telur masin.
Sempena perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, Restoran Kengsom menawarkan menu istimewa ‘golden prawn’ yang menggunakan inti udang serta isi ayam dan ketam yang dikisar.
Tambah Nattakarn, keenakan cita rasa masakan Thai yang sebenar dapat dinikmati kerana restoran tersebut menggunakan khidmat tukang masak yang diimport khas dari Thailand.
"Tukang masak dari Thailand dipilih bagi mengekalkan rasa asli masakan tradisi negara tersebut, selain memastikan pelanggan yang datang berpuas hati dengan hidangan yang disediakan," katanya.
Beroperasi setiap hari mulai pukul 12 tengah hari hingga 2.30 petang dan disambung semula pada pukul 6 petang hingga 10.30 malam, Restoran Kengsom sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelanggan dengan hidangan enak serta layanan mesra, seolah-olah berada di premis lima bintang.

Wednesday, February 19, 2014

RESTORAN D'BAKUL-SUBANG JAYA


KEPELBAGAIAN hidangan disediakan untuk pengunjung Restoran D'Bakul, 
Subang Jaya pada harga yang berpatutan.


SAAT melangkah masuk ke restoran D'Bakul di Subang Jaya, Selangor seperti berada di sebuah galeri seni yang penuh dengan hiasan dari kepulauan Indonesia.
Hiasan kain batik jawa, patung wayang kulit, lampu antik dan perabut kayu mewah pasti menjanjikan pengalaman seperti berada di negara seberang terutama kepada pelanggan yang pertama kali berkunjung ke restoran tersebut.
Restoran yang dibuka pada bulan Februari tahun lalu itu menyajikan pelbagai pilihan hidangan asli dari negara yang kaya dengan kepelbagaian jenis masakan itu.
Menurut seorang pelanggan yang mahu dikenali sebagai Eliza Ahmad, 26, yang menetap di Puchong, Selangor berkata, restoran berkenaan merupakan lokasi wajib yang akan dikunjunginya hampir setiap minggu.
"Saya gemar datang ke sini kerana hidangannya yang sedap dan asli ditawarkan pada harga sangat berpatutan. Antara menu yang menjadi pilihan saya sekiranya berkunjung ke sini ialah ikan talapia saus manja, gulai ayam, ayam panggang dan sup buntut," katanya ketika ditemui Kosmo! di restoran tersebut baru-baru ini.

RESTORAN D'Bakul dihias dengan hiasan bercirikan Indonesia.
Ujar ahli perniagaan itu, dia sering membawa rakan-rakan perniagaan berkunjung ke restoran itu untuk melakukan urusan perniagaan sambil menjamu selera kerana suasana di restoran tersebut yang eksklusif, bersih dan selesa.


Majlis keraian
Selain itu, dia turut memaklumkan bahawa restoran itu juga sesuai dijadikan lokasi untuk melakukan majlis keraian kerana harga setiap hidangan yang ditawarkan adalah sangat berpatutan dan berbaloi.
Menurut pengurus restoran D'Bakul, Dicky, kepuasan pelanggan merupakan keutamaan perniagaannya.
"Sehubungan itu, kualiti makanan amat dititik beratkan kerana kami percaya sokongan pelanggan merupakan tunjang perniagaan ini," katanya yang merupakan warganegara Indonesia.
Menurutnya, restoran D'Bakul menyediakan pelbagai hidangan masakan dari seluruh pelosok Indonesia seperti dari Jawa, Padang dan Bandung.
Antara menu yang sering menjadi pilihan pelanggan di restorannya ialah Nasi Goreng D'Bakul, Udang Sambal Petai, Nasi Ayam Penyet, Sup Buntut, Nasi Bakar dan Paket Gulai Ayam.
Dalam pada itu, dia turut memaklumkan menu-menu tersebut boleh didapati pada harga serendah RM7 sahaja.

MENU udang sambal petai ini pasti menyuntik selera sesiapa sahaja.

"Saya percaya antara sebab utama mereka ke restoran ini bukan sahaja disebabkan rasa dan kepelbagaian hidangan tetapi harga yang berpatutan," katanya sambil memaklumkan gerainya boleh menempatkan kira-kira 130 orang pelanggan pada satu-satu masa.
Dalam pada itu, dia turut memberitahu bahawa setiap peringkat penyediaan makanan dan minuman diambil berat. Ini termasuklah dari aspek keenakan setiap hidangan, penggunaan ramuan halal dan penjagaan kebersihan dapur dan persekitaran restoran.
"Sebagai langkah untuk terus memperbaiki dan mengekalkan mutu perkhidmatan, saya sentiasa memesan kepada kesemua 17 orang pekerja kami agar sentiasa melayan pelanggan penuh rasa hormat," katanya bahawa restoran tersebut dalam proses mendapat sijil halal.
Menurut Dicky, pelanggan di Restoran D'Bakul terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat antaranya termasuklah penduduk sekitar Subang Jaya dan warga Indonesia yang menetap di negara ini.
Di samping itu, dia turut memaklumkan bahawa restorannya juga sedia menerima tempahan secara bufet untuk pelanggan yang ingin mengadakan majlis keramaian.
Ujarnya, harga yang ditawarkan untuk setiap hidangan bufet adalah sangat berpatutan iaitu serendah RM45 sehingga RM120 seorang termasuk air kosong, teh panas dan buah-buahan.

MENCARI KEBERKATAN REZEKI

PERKARA penting dalam mencari rezeki bukannya berapa banyak yang kita peroleh tetapi sebaliknya, ada atau tidak keberkatan di dalam rezeki itu.
Rezeki melimpah-ruah tidak sama konsepnya dengan rezeki yang halal dan berkat. Ada orang mempunyai rezeki yang banyak tetapi sayangnya di dalamnya tidak terdapat unsur keberkatan.
Di dalam Islam, keberkatan rezeki yang diinginkan adalah bermaksud rezeki yang bertambah dan mengandungi kebaikan di dalamnya. Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa cara agar rezeki menjadi lancar, berkat dan halal. Antaranya;

1 Menjauhi pekerjaan haram dan subahat

Setiap orang hendaklah taat kepada Allah SWT dan tidak melakukan dosa kerana dosa akan menutup pintu rezeki. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (riwayat at-Tirmizi).
Selain itu, dekatkanlah diri kepada Allah dengan ibadah tambahan seperti solat Dhuha dan solat Tahajud.

2 Bekerja sungguh-sungguh

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT senang melihat hamba-Nya bersusah payah (kelelahan) dalam mencari rezeki yang halal." (riwayat Adailami)

3 Mengadu masalah rezeki hanya kepada-Nya

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa tertimpa kemiskinan, kemudian ia mengadukannya kepada sesama manusia, maka tidak akan tertutup kemiskinannya itu. Namun, siapa sahaja yang mengadukannya kepada Allah, maka Allah akan memberinya rezeki, baik segera ataupun lambat." (riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

4 Memperbanyakkan beristighfar 

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa memperbanyak istighfar, Maka Allah SWT akan menjadikan setiap kesulitan kelapangan dan setiap kesempitan jalan keluar dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak pernah disangka-sangkanya." (riwayat Imam Ahmad)

5 Sabar dan banyak membaca la hawla wa laa quwwata illa billah.

Diriwayatkan bahawa Salim, anak laki-laki ‘Auf bin Malik al-Asyja’iy telah ditawan oleh orang musyrik. Kemudian, ‘Auf datang mengadu kesedihannya kepada Rasulullah.
Baginda SAW berkata: “Bertakwalah kepada Allah, bersabarlah dan aku anjurkan agar kamu dan isterimu memperbanyak bacaan, La hawlah wa laa quwwata illa billah. ‘Auf kembali ke rumahnya dan menyatakan suruhan Rasulullah SAW itu. Keduanya, segera melaksanakan perintah Rasulullah SAW. Akhirnya, anaknya berhasil meloloskan diri daripada musuh dan membawa ternakan kambingnya sebanyak 4,000 ekor di hadapan ayahnya. (Tafsir Qurthubi, surah al-Thalaq: 3)

6 Tawakal sepenuhnya kepada Allah SWT

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, nescaya Allah akan memberikan rezeki kepada kamu, sebagaimana Allah telah memberi rezeki kepada burung yang berangkat di pagi hari dengan perut kosong dan kembali ke sarangnya dengan perut kenyang. (riwayat Bukhari)

7 Bersedekah dan nafkahkan harta kepada yang berhak.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Ada tiga hal yang aku bersumpah kepadanya dan aku akan menyampaikan suatu berita kepadamu, maka perhatikan benar-benar: Tidak akan berkurang harta seseorang kerana sedekah dan tiadalah seseorang membuka pintu meminta-minta melainkan Allah akan membukakan kepadanya pintu kemiskinan." (riwayat al-Tirmizi)

8 Tolong agama Allah dengan menegakkan syariat Islam

Firman Allah SWT bermaksud: Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. (Muhammad: 7)
Syariat Islam akan tegak dengan adanya daulah Islam. Islam sebagai jalan kehidupan tidak tegak dalam masyarakat saat ini dengan tidak sebagai wadah. Sistem perekonomian di mana umat mencari rezeki pada saat ini merupakan sistem perekonomian yang tidak mendukung mereka untuk mendapatkan rezeki yang banyak, lancar dan berkat.
Sebenarnya Allah tidak memerlukan pertolongan kerana Allah Maha Kaya. Tetapi itulah cara bagi kita untuk menolong diri kita sendiri. Marilah kita menolong agama Allah, agar rezeki kita banyak, lancar, halal dan berkat.

PERINGATAN TENTANG HUTANG

Berhutang adalah harus dalam Islam. Untuk jaminan hutang, kaedah penjamin diperlukan sebagai pengukuhan kepada hutang. Malangnya, peminjam mendapat wang pinjaman hutang tersebut kemudian tidak membayarnya. Akhirnya penjamin diheret ke muka pengadilan dan diisytiharkan muflis.
Tindakan insan yang berhutang namun tidak membayar hutangnya merupakan tindakan yang zalim dan berdosa. Zalim kerana disebut dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tindakan orang kaya yang melewatkan bayaran hutang adalah satu kezaliman".
Jika tindakan melewatkan bayaran pun sudah dikira sebagai zalim, maka tindakan melarikan diri daripada pembayaran hutang adalah lebih jelas kezalimannya.
Selain itu, tindakan peminjam juga bertentangan dengan perjanjian yang dibuat. Perjanjian yang biasa dibuat bahawa peminjam akan membayar hutangnya sendiri. Penjamin pula sebagai pemudah cara sahaja agar pinjaman hutangnya diluluskan. Maka tindakan tidak mahu membayar hutang merupakan tindakan mungkir janji. Mungkir janji pula adalah antara sifat golongan munafik sebagaimana dalam hadis Nabi SAW.
Bagi orang yang berhutang, ingatlah peringatan Nabi SAW bahawa hutang tersebut akan dituntut di akhirat nanti. Oleh kerana wang sudah tidak berguna lagi di akhirat, maka kebaikan orang yang berhutang akan diambil bagi tujuan melunaskan hutangnya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang mati dan ke atasnya satu dinar atau satu dirham (jenis wang) maka dilunaskan hutang itu daripada kebaikannya. Tiada ada di sana dinar dan juga dirham." (Ibnu Majah)
Sistem yang lebih baik perlu diperbaiki agar penjamin tidak dikenakan hukuman yang tidak dilakukan. Penjamin mungkin saudara mara yang tidak mampu menolak permintaan peminjam agar menjadi penjamin. Justeru, Islam membuka ruang kepada tindakan undang-undang terhadap peminjam yang enggan membayar hutangnya.
Tindakan meliputi pelbagai cara yang difikirkan wajar seperti potongan gaji, denda, bahkan memaksanya membayar hutang dengan mengambil sebahagian aset harta si peminjam.


TUKAR DIET UNTUK CEGAH KANSER

BILA diimbas kembali zaman dahulu, jarang kita mendengar rakyat negara ini menghidap kanser atau meninggal dunia akibat penyakit itu.
Namun, dibandingkan dengan sekarang, penyakit kanser dilihat seperti penyakit lazim. Pasti ada sekurang-kurangnya seorang yang rapat dengan kita menghidap kanser tidak kira rakan mahupun ahli keluarga.
Mengikut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser menyumbang sebanyak 13 peratus iaitu 7.4 juta daripada keseluruhan kematian di dunia pada 2008 dan dijangka akan terus meningkat iaitu anggaran 12 juta orang akan meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2030.
Kanser merupakan penyebab kematian keempat terbanyak yang berlaku di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara dan pada tahun 2011 ia menyumbang sebanyak 11.2 peratus daripada keseluruhan kematian yang berlaku.
Menurut statistik KKM, kanser paru-paru merupakan penyebab kematian kanser yang paling banyak bagi seluruh kematian akibat kanser yang berlaku di semua hospital KKM iaitu 17.5 peratus diikuti oleh kanser payudara (10.2 peratus) dan kolorektal (8.5 peratus) pada tahun 2011.
Peluang untuk sembuh sebenarnya adalah tinggi sekiranya kanser dikesan pada peringkat awal dan mendapat rawatan segera.
Malah, ujar Pakar Pemakanan, Pusat Perubatan Tropicana, Tan Yen Sing, kanser sebenarnya boleh dicegah pada peringkat lebih awal dengan mengamalkan diet antikanser.
"Kes kanser dilihat semakin meningkat dan selalunya dikaitkan dengan diet dan gaya hidup kita seperti kurangnya bersenam, banyak mengambil makanan berproses selain sebab genetik dan lain-lain.
"Secara amnya, diet antikanser ialah cara pemakanan yang sihat dan seimbang, banyak mengambil makanan bijirin penuh, sayur dan buah terutamanya kumpulan sayur cruciferous yang amat bagus untuk mencegah kanser.
"Sekarang semua orang mahukan sesuatu yang pantas sedangkan kesemua makanan segera amat tidak baik untuk kesihatan anda kerana mengandungi bahan tambahan yang bukan semula jadi.
"Secara tidak langsung, perlahan-lahan ia akan membina toksik di dalam sistem badan kita dan sel kanser gemar tumbuh di bahagian toksik," terangnya.

Semasa rawatan

Jika pesakit sudah didiagnosis menghidap kanser, diet berbeza perlu dilakukan bagi menyediakan diri menghadapi rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi.
"Pesakit perlu mengambil makanan yang berprotein dan kalori yang tinggi serta seimbang bagi mengelak kehilangan berat badan yang mendadak akibat rawatannya.
"Jika hilang berat badan yang banyak, ia tidak bagus untuk rawatan kemoterapi kerana badan akan menjadi amat lemah.
"Saya cadangkan mengambil lebih banyak daging putih seperti ikan, kurangkan daging merah dan pastikan semuanya dimasak betul-betul," terangnya.
Bagi bekas pesakit kanser pula, jangan terus makan apa sahaja kerana berasa seolah-olah telah bebas daripada masalah.
Tegasnya, mereka perlu memastikan pemakanan yang sihat dan seimbang supaya kanser tersebut untuk berulangnya berkurangan.

AISKRIM GOYANG KIAN POPULAR

Malik Mizan menunjukkan isyarat bagus ketika memperkenalkan jenama ais krimnya.

Siapa sangka perniagaan aiskrim ‘goyang’ yang diilhamkan bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Malik Mizan, 54, menerusi jenama Best Ice Cream mampu menjana pendapatan lumayan.
Bekas pegawai berpangkat leftenan itu juga sedang membina rangkaian perniagaan aiskrimnya terutama untuk diceburi golongan muda sejajar dengan hasrat kerajaan memperkasa ekonomi bumiputera.
Malik yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Duta Prosper Sdn Bhd, pemilik jenama Best Ice Cream itu, berkata, melalui perniagaan itu beliau bertekad untuk melahirkan sebanyak 10 jutawan aiskrim di seluruh negara dalam tempoh lima tahun.
Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai jika para usahawan muda menunjukkan kesungguhan dalam perniagaan yang konsepnya adalah mudah, bermodal kecil dan berisiko rendah itu.
Syarikat itu turut memperkenalkan Pakej Usahawan Modal Insan kepada generasi muda yang ingin menjadi usahawan Best Ice Cream dengan berbekal modal sebanyak RM10,000.
“Kami akan berikan kursus dan latihan selama dua hari satu malam mengenai cara pembuatan aiskrim, pengurusan perniagaan, penyenggaraan peralatan, strategi pemasaran dan motivasi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di Hulu Kelang di sini.
Selain latihan, syarikat juga akan menyediakan kiosk, mesin aiskrim, peti beku (freezer), loceng aiskrim, baju T, topi, apron, lidi buluh serta bahan mentah.
Bapa kepada 10 anak itu berkata, pada masa ini syarikat yang baru berusia tujuh bulan itu telah berjaya melahirkan sebanyak 20 usahawan Best Ice Cream dan 300 lagi masih menunggu kelulusan pinjaman.
“Sekiranya tiada modal, kami akan membantu menguruskan pinjaman di agensi-agensi terpilih dan mendapatkan tapak perniagaan khususnya di tempat-tempat tumpuan orang ramai," katanya.


Konsep perniagaan ala francais

Apa yang menarik perniagaan ala francais ini berupaya menjana pendapatan sehingga lebih RM10,000 sebulan jika para usahawannya gigih dan mempunyai rangkaian usahawan yang kukuh di bawahnya.
“Jika anda mengesyorkan perniagaan ini kepada rakan-rakan dan mereka berminat, maka anda akan mendapat insentif secara one-off sebanyak RM500 untuk setiap usahawan yang anda perkenalkan," katanya.
Selain itu, mereka juga akan mendapat royalti sebanyak satu sen bagi setiap aiskrim yang dijual oleh usahawan yang berdaftar di bawah mereka.
“Ini bermakna, semakin besar rangkaian usahawan anda semakin besarlah pulangan yang anda dapat. Ini tidak termasuk pendapatan daripada hasil jualan aiskrim anda sendiri," katanya.
Malik berkata, aiskrim goyang yang menggunakan teknologi Thailand itu sudah lama memasuki pasaran negara ini dan aiskrim itu boleh didapati terutamanya di pasar-pasar malam.
Bagaimanapun aiskrim itu menggunakan bahan minuman berkarbonat dan minuman kotak yang ternyata tidak baik untuk kesihatan kerana kandungan gulanya yang tinggi.
“Justeru, saya mula terfikir untuk memberikan konsep baru kepada aiskrim goyang dan memulakan kajian menggunakan pelbagai bahan termasuk bubur kacang hijau," katanya.
Kajian selama dua tahun itu menghasilkan aiskrim yang lebih enak dan teksturnya lembut berbanding aiskrim yang menggunakan minuman berkarbonat dan minuman kotak.
Melalui kajian itu juga, syarikatnya menghasilkan produk Best Ice Cream dengan tiga perisa yang menggunakan ramuan soft ice cream yang bermutu, berkualiti serta halal termasuk susu tepung skim, minyak koko, minyak isi rung kelapa sawit, esen vanila serta perasa coklat dan strawberi.

Keenakan memikat


Beliau berkata produk Best Ice Cream mula diperkenalkan kepada umum pada September 2013 di Karnival Usahawan Desa, Putrajaya dan mendapat sambutan menggalakkan dengan pembeli mengakui keenakan dan kelembutan aiskrim itu.
“Kami berjaya menjual sehingga 7,000 batang aiskrim goyang pada karnival tiga hari itu dan mesin aiskrim berwarna pelangi juga menarik perhatian bukan sahaja kanak-kanak malahan golongan dewasa," katanya.
Pada masa ini aiskrim perisa coklat dan vanila menjadi kesukaan ramai dan beliau kini bercadang untuk menghasilkan aiskrim perisa durian dan keladi serta ditambah nilai dengan topping coklat.
Mengenai proses membuat aiskrim itu, Malik berkata, ada yang hairan kerana aiskrim itu boleh membeku cepat dengan hanya menggoyang-goyangkan mesin tanpa menggunakan bekalan elektrik.
Beliau berkata, proses membuat aiskrim dimulakan dengan mencampurkan garam kasar sebagai bahan utama proses pembekuan, ketulan ais, cecair aiskrim serta air yang dimasukkan ke dalam mesin sebelum digoyangkannya untuk menyebati dan membekukan aiskrim itu.
Ketika separuh beku, lidi-lidi yang akan menjadi pemegang aiskrim dimasukkan ke dalam kelongsong acuan dan digoyang untuk kali kedua bagi membolehkan pembekuan sepenuhnya.

J.M BARIANI HOUSE- USJ 9 SUBANG JAYA


SEBAIK-BAIK sahaja melangkah masuk ke dalam restoran ini, pasti anda tertarik dengan haruman nasi beriani.
Sebahagian besar meja restoran ini telah penuh diisi pelanggan yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Pengarah restoran J.M. Bariani House, Zulkarnain Mustapa kelihatan ramah melayan pelanggan-pelanggannya. Di sebuah meja terdapat nasi berwarna keemasan menggunung. Lauk ayam atau daging sama ada tertimbus di bawah nasi atau diletakkan di tepi pinggan, kelihatan sungguh menyelerakan. Acar timun dan telur pindang sekadar mengecurkan air liur.
Inilah hidangan istimewa JM Bariani House Sdn. Bhd.
Terletak di USJ 9, Subang Jaya, Selangor, penggemar-penggemar nasi beriani harus merasai kelainannya di sini.
Satu ketika dahulu, perniagaan nasi beriani, JM Bariani House hanyalah dijalankan secara suka-suka di hadapan rumah.
Hari ini, perniagaaan yang dijalankan secara kecil-kecilan itu berubah menjadi empayar yang cukup popular dalam kalangan penggemar nasi beriani di Lembah Klang. Perkembangan tersebut cukup membanggakan pengasas perniagaan itu iaitu pasangan suami isteri, Mustapa Abdul Karim dan Jamilah Abu Bakar.
Melihatkan sambutan yang diterima, tidak hairanlah apabila restoran itu kini mempunyai 16 cawangan yang mengetengahkan nasi beriani sebagai menu utama. Sajian nasi beriani cita rasa Muar, Johor ini mempunyai keistimewaan dengan lauk asas seperti ayam, kambing atau daging lembu, yang rempah berianinya diadun sendiri.
Menurut Zulkarnain, nasi beriani JM Bariani memiliki cita rasa dari Muar.
Istimewanya, nasi beriani ini lebih ringan kerana tidak terlalu banyak ramuan yang dimasukkan dalam rempah, kurang berminyak dan kurang pedas.
"Resipi ini merupakan air tangan emak dan ayah saya. J.M. Bariani House menyajikan nasi beriani biasa dan nasi beriani gam, iaitu nasi yang dimasak bersama lauk sekali gus. Terdapat tiga pilihan lauk iaitu ayam, daging lembu atau kambing dengan variasi masakan seperti ayam goreng, ayam beriani, ayam merah, kambing kuzi dan banyak lagi.
Setiap nasi beriani disajikan bersama acar buah dan dalca. Satu set nasi beriani dijual pada harga antara RM3.80 hingga RM13.40. Telur pindang turut dijual. Selain menu utama iaitu nasi beriani, ia juga menyajikan menu lain seperti kambing goreng rosemary (fried ribs rosemary), nasi goreng kampung, chicken chop, lamb chop, mi bandung, tauhu bakar dan rojak," ujarnya yang turut mengadakan program francais JM Bariani House.
Dalam pada itu, JM Bariani House turut mengadakan penghantaran sekitar kawasan Subang Jaya dan Kota Damansara.
Restoran itu dibuka dari pukul 11.30 pagi hingga 10 malam. Untuk pertanyaan, sila hubungi 016-2114637, 03-56344660 atau layari laman web www.jmbariani.com.

LETIH SIMPTOM HATI BERLEMAK

Masyarakat hari ini dilihat tidak memberi penekanan mengenai kesihatan hati. Mereka tidak sedar sekiranya fungsi hati terjejas, boleh menyebabkan kerosakan ketara kepada badan kita.
Penyakit hati ialah istilah luas yang meliputi semua masalah yang mungkin menyebabkan hati gagal melaksanakan fungsi yang sepatutnya dan salah satu daripada masalah tersebut ialah penyakit hati berlemak.
Menurut Pakar Gastroenterologi, Hepatologi, dan Perubatan, Hospital Pakar KPJ Klang, Dr. Anil K. Radhakrishnan, penyakit hati berlemak adalah keadaan di mana lemak berkumpul dalam sel hati dan lama- kelamaan akan memberi masalah kepada hati.
Tambah beliau, penyakit ini akan menyebabkan hati membengkak dan permukaannya akan menjadi kuning.
“Penyakit hati berlemak ini sekiranya dibiarkan tanpa rawatan berisiko tinggi untuk menyebabkan barah hati.
“Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa penyakit ini berbahaya dan boleh membawa maut," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Ulas Dr. Anil lagi, penyakit hati berlemak ini tidak mempunyai simptom-simptom yang khusus dan penyakit ini lazimnya menyerang mereka yang agak berumur.
Selain itu, mereka yang mempunyai penyakit kencing manis, obesiti, kolesterol tinggi serta pengambilan alkohol merupakan mereka yang terdedah kepada penyakit hati berlemak ini.
Secara amnya, Dr. Anil memberitahu pesakit hanya mengalami keletihan, lesu, kehilangan berat badan pada awalnya dan sekiranya menjadi kronik, pesakit mungkin akan mengalami penyakit kuning (jaundice), bengkak perut (ascites), muntah darah, kekeliruan, dan saluran darah dalam asofagus membengkak (varices).
Katanya lagi, kebanyakan pesakit tidak menyedarinya malah pemeriksaan biasa tidak mampu mengesan kehadiran lemak pada hati.
Diagnosis dan rawatan ujian ultra bunyi dan diikuti biopsi pada hati dapat mengesan kehadiran lemak bagaimanapun penyakit ini seperti juga penyakit-penyakit lain mempunyai pelbagai peringkat sebelum menjadi lebih kronik.
Jelas Dr. Anil, pada awalnya penyakit hati berlemak ini akan melalui peringkat pertama iaitu hati berlemak dan sekiranya tidak dikawal atau dirawat akan meningkat kepada peringkat seterusnya iaitu steato hepatitis di mana situasi ini hati telah membengkak.
Seterusnya penyakit ini akan menular menjadi fibrosis dan peringkat terakhir ialah sirosis di mana fungsi hati akan terjejas dan pada peringkat ini ia akan terus kekal begini dan susah untuk pulih seperti sedia kala.
“Apabila pesakit tidak mengawal atau pun mendapatkan rawatan untuk penyakit ini, dan sekiranya telah sampai ke peringkat sirosis, ini bermakna parut kekal pada hati di mana sel hati normal digantikan oleh tisu parut yang tidak dapat melakukan sebarang fungsi hati.
“Jadi sekiranya sudah sampai ke peringkat ini, salah satu cara untuk mengubatinya ialah dengan pembedahan pemindahan hati.
“Walaupun penyakit hati berlemak ini pada awalnya bukanlah satu penyakit kronik tetapi keadaan ini perlu dirawat dan ia bergantung kepada puncanya seperti sekiranya pesakit seorang individu yang banyak mengambil minuman keras, dia perlu mengurangkan pengambilan berkenaan.
Begitu juga sekiranya pesakit tersebut seorang yang obesiti, dia perlu mengawal pemakanan dan berat badannya sama dengan pesakit yang menghidap penyakit kencing manis, dan akhir sekali sudah pasti kita perlu menjalani cara hidup yang sihat serta mengamalkan pemakanan yang teratur," tuturnya lagi.
Berbicara pula mengenai statistik pesakit itu di negara Malaysia, Dr. Anil menjelaskan setakat ini statistik yang dilakukan tidak banyak tetapi apa yang dapat dilihat daripada senario semasa, penyakit ini banyak dihidapi oleh kaum lelaki dan wanita yang telah putus haid tetapi bagaimanapun ia juga boleh ‘menyerang’ golongan muda malah tidak ketinggalan kanak-kanak.
Jadi secara amnya, masyarakat di luar sana adalah dinasihatkan agar mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan melakukan senaman serta tidak merokok dan mengambil minuman yang beralkohol.
Pada masa yang sama juga, masyarakat turut disarankan agar bijak mengambil atau mengamalkan pemakanan sihat di mana kurangkan gula, lebihkan protein, lebihkan buah, sayur-sayuran, dan kawal pengambilan makanan yang berkarbohidrat tinggi seperti nasi putih, roti putih, mi, dan bijirin.

Saturday, February 15, 2014

PISANG GORENG MAWAR CAFE-JALAN SG. CHAT, JB


PISANG goreng boleh dianggap sebagai salah satu kudapan 'wajib' dan menjadi identiti rakyat Johor. Ini kerana boleh dikatakan di setiap taman perumahan atau pekan kecil, wujud gerai-gerai menjual pisang goreng yang disajikan dengan sambal kicap.
Di sebalik kewujudan pelbagai gerai tersebut, salah satu 'port' goreng pisang yang terkenal di bandar raya Johor Bahru dan menjadi tarikan pelancong adalah Mawar Cafe di Jalan Sungai Chat, berhampiran Hotel Thistle dan menghadap Pantai Lido.
Gerai pisang goreng yang terletak berhampiran bangunan Majlis Wanita Johor (Mawar) itu juga mempunyai tarikan tersendiri iaitu menjual pelbagai jenis pisang yang menjadi teras perniagaannya.
Pengusaha Mawar Cafe, Kamisah Ali, 52, berkata, antara jenis pisang yang digunakan untuk membuat pisang goreng di kafenya adalah pisang nipah, tanduk, nangka dan paling eksklusif adalah pisang raja.
"Pisang goreng Mawar Cafe sering menjadi tarikan kerana dihasilkan daripada jenis pisang bermutu dan ramuan bancuhan tepung yang diadun dan direka sendiri. Maknanya, mutu pisang dan bancuhan tepung memang kami pastikan yang terbaik.
"Bagi memastikan bekalan pisang tanduk dan nipah tidak terputus, kami telah pajak dengan pembekal dari Perak, manakala pisang raja dari Pontian," katanya yang telah mengusahakan perniagaan itu kira-kira 11 tahun lalu.
Dia yang dibantu oleh anaknya, Noraznia Rasid, 23, berkata, gerai berkenaan turut dikendalikan oleh lima pekerjanya dan dibuka mulai pukul 11 pagi hingga 6.30 petang dan hari yang paling ramai pelanggan adalah pada hujung minggu.
Kamisah berkata, gerainya menepati ciri-ciri Gagasan 1Malaysia kerana dikunjungi semua kaum yang mana pelanggan Melayu, Cina dan India boleh duduk semeja semata-mata untuk menikmati pisang goreng yang merupakan salah satu juadah warisan masyarakat negeri ini.
"Seperkara lagi yang saya ingin kongsikan tentang perniagaan ini, pisang goreng kami sering menjadi salah satu menu utama minum petang kerabat diraja Johor dan yang menjadi kemestian adalah pisang raja, selain nipah dan tanduk," katanya.
Selain pisang goreng, pihaknya juga menjual kuih-muih tradisional dan moden, nasi lemak, pelbagai jenis mi dan roti berlauk yang turut menjadi tarikan pengunjung ke situ.
Lebih mengujakan Mawar Cafe popular dalam kalangan orang kenamaan, para pemimpin negeri dan negara serta artis popular termasuk Mawi, Chef Wan, Erra Fazira, Amy Search dan Datuk Khadijah Ibrahim.
Kamisah memberitahu, berikutan permintaan tinggi daripada warga Singapura, pihaknya telah membuka sebuah gerai di republik itu dua tahun lalu yang dikendalikan oleh suaminya, Rasid Abdul Ghani, 56.

YEOB BAY RESORT & HOTEL TELUK SENANGIN, LUMUT PERAK

PETUGAS Yeob Bay Hotel & Resort, Lumut, Perak sedia membantu tetamu pada bila-bila masa.

BAGI anda yang mengimpikan sebuah percutian begitu mendamaikan iaitu jauh daripada hiruk-pikuk bandar, menginap di Yeob Bay Hotel & Resort mungkin patut berada dalam senarai perancangan anda.
Terletak di tepi pesisir pantai Teluk Senangin, kira-kira 20 kilometer dari Lumut Perak, yang masih tidak terusik dengan skala pembangunan besar, kedudukannya menghadap Pulau Pangkor turut menjanjikan pemandangan menarik saujana mata memandang.
Menikmati deruan ombak dan hembusan angin pantai akan lebih bermakna jika anda turut menikmati kemudahan barbeku pada waktu malam yang ditawarkan oleh pihak hotel di ruang kafe terbuka dengan hanya RM30 seorang.
Restorannya yang dibuka dari pukul 7 pagi sehingga 10 malam pula menawarkan menu masakan Melayu dan Barat seperti nasi goreng kampung dan cina, mi goreng, kueh teow goreng, chicken chop, fish and chip, lamb chop dan kentang goreng.
Yeob Bay Hotel & Resort yang pada asasnya dibuka oleh pemilik sebuah syarikat katering iaitu Yeob Catering berpusat di Ampang, Kuala Lumpur turut menyajikan minuman seperti capuccino, coklat panas, ice-blended mocha dan blue lagoon soda di restorannya.
Pengurus Operasi Yeob Bay Hotel & Resort, Mohd. Taufiq Mohd. Salleh berkata, hotel berkenaan yang 100 peratus dimiliki oleh bumiputera itu mempunyai 50 buah bilik dan boleh memuatkan sehingga 110 orang pengunjung.
Beliau berkata, terdapat empat jenis bilik yang disediakan iaitu jenis standard (dua katil single) dan joint room (empat katil single) yang menawarkan pemandangan pantai serta deluxe (satu katil bersaiz queen) dan superior (dua katil bersaiz queen) yang menghadap bukit.
"Setiap bilik berkonsepkan moden dilengkapi dengan bilik air, pendingin hawa, televisyen berskrin LCD dengan saluran Astro, namun tidak mempunyai almari.
"Hotel tiga tingkat ini juga mempunyai surau dan kemudahan tempat makan untuk tetamu khas (VIP) yang boleh memuatkan sehingga 60 orang," katanya.
Mohd. Taufiq berkata, pihaknya kini giat mempromosi Yeob Bay Hotel & Resort sebagai destinasi seminar, sesuai untuk golongan korporat dan kerajaan.
Beliau berkata, terdapat empat pakej seminar yang ditawarkan untuk kehadiran maksimum 100 orang, sama ada secara bermalam mahupun tidak bermalam, pada kadar yang cukup berpatutan beserta sarapan dan makan tengah hari.
"Kami mempunyai dewan seminar yang dilengkapi dengan projektor LCD, papan putih, sistem audio. Kudapan seperti gula-gula dan air mineral serta peralatan alat tulis iaitu pensel dan kertas turut disediakan secara percuma.
"Antara agensi kerajaan yang pernah memilih hotel kami termasuklah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak," katanya.
Waktu operasi hotel hanya dari pukul 7 pagi sehingga 11 malam dan penggunaan alkohol tidak dibenarkan di situ.
Yeob Bay Hotel & Resort yang mula beroperasi sekitar Jun tahun lalu, telah didaftarkan di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH).
Bagi mereka yang berminat untuk membuat tempahan mahupun mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi talian 05-6880207 atau 013-2670767.

BEKAM MUKA REDAKAN SAKIT KEPALA

Bekam muka juga mampu mengeluarkan darah kotor sekali gus
 mengurangkan kesakitan kepala yang dialami.

SAKIT kepala atau migrain, situasi yang mungkin berpunca daripada faktor pemakanan, keturunan atau gaya hidup, yang muncul sekali-sekala dan jarang berlarutan pada jangka masa yang lama.
Begitupun, sakit kepala yang berlarutan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ada kalanya ia boleh memudaratkan diri dan menjadi lebih teruk.
Selain pengambilan ubat tahan sakit, pil serta minyak angin, ramai yang tidak mengetahui dengan melakukan bekam mampu mengurangkan sakit kepala secara beransur-ansur.
Bekam yang lazimnya dilakukan di bahagian belakang badan untuk mengeluarkan darah kotor secara tidak langsung adalah bertujuan untuk melancarkan peredaran darah di dalam badan dan begitu juga dengan bekam yang dilakukan di kepala.
Namun begitu, cara bekam yang dilakukan untuk mengurangkan sakit kepala selain di bahagian kepala adalah di bahagian muka.
Menurut pengusaha Spa De’Ara Beauty, Norliana Mat Damuri, 30, tidak dinafikan pelbagai persoalan bermain di fikiran apabila bercakap mengenai bekam ini, seperti yang diketahui, kaedah bekam badan sahaja akan meninggalkan kesan inikan pula berbekam di bahagian muka.
Tambahnya, perkhidmatan bekam di bahagian muka ditawarkan di spanya itu sejak 17 tahun lalu dan merupakan antara perkhidmatan yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan para pelanggannya.
“Sebenarnya rawatan bekam ini tidak ramai yang mahu lakukan kerana akan meninggalkan kesan parut berminggu-minggu (mengikut kondisi individu tersebut) tetapi selain dapat melancarkan peredaran darah serta membuang darah kotor, berbekam bagus untuk mereka yang mempunyai masalah migrain, resdung, dan sakit kepala.
“Keunikan bekam ini (di bahagian muka) ialah selain dapat mengurangkan segala kesakitan yang dialami, boleh juga menyembuhkan penyakit tersebut tetapi proses ini akan mengambil masa.
“Yang pasti segala-galanya bergantung kepada keadaaan serta situasi individu itu sendiri," katanya ketika ditemui di premis perniagaannya yang juga merupakan kediamannya di No. 4B, Blok 3, Flat PKNS, Seksyen 16, Shah Alam, Selangor.
Mengakui mewarisi perniagaan tersebut daripada ibunya, Norliana memberitahu dia mula membantu ibunya menguruskan perniagaan spa tersebut sejak berusia 16 tahun.
Tidak hanya sekadar menjadi pembantu, malah Norliana turut diperturunkan ilmu cara-cara untuk mengurut serta melakukan pelbagai lagi perkhidmatan yang diberikan di spanya itu seperti bertangas, sauna, urutan muka, urutan selepas bersalin, dan banyak lagi.
Baru enam bulan mengambil alih sepenuhnya perniagaan tersebut daripada ibunya, Norliana menjelaskan dia hanya memberi perkhidmatan kepada kaum wanita sahaja kecuali bekam kerana akan dibantu oleh suaminya untuk pelanggan lelaki.
Apa yang istimewanya mengenai spa De’Ara Beauty ini ialah segala herba, minyak urut, set bersalin serta jamu yang digunakan adalah buatan sendiri dengan menggunakan herba-herba tempatan.
“Keistimewaan yang ditampilkan di sini ialah segala minyak serta jamu yang digunakan semasa proses mengurut dan sebagainya dihasilkan sendiri dengan menggunakan resipi asli dan juga herba-herba tempatan yang berkualiti.
“Jadi segala-galanya adalah semula jadi tanpa sebarang campuran bahan kimia dan Insya-Allah dengan izin-Nya, segala perkhidmatan yang diberikan mampu mengurangkan penyakit yang ada," ujarnya lagi.
Berbalik kepada rawatan bekam muka yang diberikan, Norliana menjelaskan sebelum melakukan proses bekam, pelanggan terlebih dulu akan melalui sesi urutan pada bahagian leher dan bahu ataupun satu badan bagi melancarkan peredaran darah.
Ini kerana katanya, toksin selalunya akan berkumpul di hujung kulit dan urutan itu bertujuan memudahkan toksin atau darah kotor dikeluarkan melalui proses bekam tadi.
Jumlah gelas bekam yang digunakan di beberapa bahagian muka seperti dagu, dahi dan pipi bergantung kepada keadaan fizikal dan tahap kesihatan seseorang pelanggan itu.
Norliana juga menegaskan, proses berbekam tersebut seelok-eloknya dilakukan dua kali sebulan bagi mendapatkan kesan lebih ketara.
Selain bagus untuk kesihatan, bekam muka ini juga dapat membantu menaikkan seri wajah selain dapat mengurangkan masalah jerawat dan masalah berdengkur.
Katanya lagi, pelanggan akan dikenakan bayaran RM5 untuk setiap cawan yang digunakan dan setiap rawatan yang diberikan hanya berdasarkan temu janji yang dibuat.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh kunjungi laman sosial Facebook liana de’ara online butik & spa.

Friday, February 14, 2014

MY BODYWORK PULIHKAN SARAF

MUHAMAD Bahagia Jemali menunjukkan teknik SMART yang dilakukan terhadap pelanggan di Taman 
Bukit Kempas, Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 13 Feb. - Rasa letih selepas seharian bekerja atau lenguh dan sengal-sengal otot sudah pasti 'menerbitkan' idea untuk sesiapa sahaja untuk ke spa atau pusat urutan baik ala Thai ataupun tradisional Melayu, malah sudah menjadi kebiasaan keadaan tersebut hilang selepas beberapa hari atau bertambah teruk.
Namun terdapat juga yang mengadu bahawa masalah mereka bertambah teruk dan perkara itu, menurut Muhamad Bahagia Jemali, 34, mempunyai penyelesaiannya kerana apa yang perlu dilakukan adalah membetulkan pergerakan seseorang sekali gus menghilangkan kesakitan.
Beliau yang mengasaskan My Bodywork dan berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang terapi urutan sukan (sport massage therapy) memberitahu, beliau adalah pengamal yang berdaftar di bawah Malaysia Society for Complementary Medicine (MSCM) yang menggunakan teknik Spinal Motion Alignment Restoration Technique (SMART).
"Kita membetulkan pergerakan dan otot supaya mengikut turutan sebenar dan semua teknik adalah berdasarkan pengetahuan anatomi dan fisiologi. Pergerakan manusia dan fungsi tubuh memerlukan keseimbangan kekuatan otot dan ketahanannya dengan otot yang terdapat di bahagian sendi.
"Namun ketidakseimbangan boleh berlaku apabila otot melakukan kerja yang berbeza akibat berada dalam keadaan lemah. Contohnya apabila kita mengangkat barang, sepatutnya otot bisep yang bekerja dan dibantu otot kecil yang lain namun sebaliknya berlaku apabila otot kecil yang dibantu bisep seterusnya menyebabkan berlakunya sengal, lenguh dan sakit," katanya ketika ditemui di sini.
Hal yang demikian, katanya, dapat dilihat pada bahagian lutut kerana kuadrisep dan hamstring bekerja pada arah yang berlawanan dan keadaan tidak seimbang antara kedua-dua otot tersebut akan memberi tekanan kepada sendi.
Secara umum, kata Muhamad Bahagia, ketidakseimbangan otot yang biasa berlaku adalah dari perbezaan ketahanan dan kekuatan otot bahagian sisi ke sisi iaitu kiri ke kanan atau sebaliknya dan depan ke belakang.
"Kebanyakan sindrom kesakitan pada otot skeletal adalah disebabkan perbezaan kekuatan otot di bahagian hadapan dan belakang badan atau ketidakseimbangan otot di sekeliling sendi berbanding perbezaan kekuatan otot sisi ke sisi.
"Ketidakseimbangan otot juga dikenal pasti berpunca daripada dua masalah utama iaitu punca biomekanik yang disebabkan pergerakan berulang pada satu arah atau postur tubuh yang sudah menjadi kebiasaan. Satu lagi punca adalah ketidakseimbangan saraf pada otot disebabkan kecenderungan kumpulan otot tertentu sama ada kuat atau lemah," katanya.
Keadaan ketidakseimbangan otot, katanya, sering berlaku bukan sahaja kepada atlet malah kepada orang yang sering bekerja menggunakan sebelah bahagian dominan contohnya duduk lama di bahagian hadapan komputer sehingga muncul simptom sakit di bahagian leher dan bahu yang kemudian mencetuskan sakit kepala.
Jelasnya, postur (pusat tengah graviti) telah berubah mengakibatkan otot sub-occipitalrectus capitus dan banyak lagi akan menjadi tegang dan juga boleh menyebabkan individu tersebut mengalami simptom bahu kehadapan (forward shoulder) dan leher kehadapan (forward neck).
"Manusia berfungsi seperti kereta, apabila sampai pada sesuatu tahap ia perlu diservis. Sama juga dengan badan manusia kerana SMART adalah satu teknik terapi yang dijalankan berdasarkan pendekatan klinikal di mana ujian pergerakan akan dijalankan sebelum terapi dilakukan dan setiap klien perlu mengisi borang untuk menyatakan tahap kesihatan mereka.
"Borang tersebut akan menjadi rujukan setiap teknik dan progres yang berlaku kepada klien dan disimpan untuk rujukan temujanji akan datang. Yang menarik tentang terapi ini ianya langsung tidak menyakitkan tetapi selepas sesi terapi klien kebanyakannya akan merasa sangat lega," katanya.
Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang teknik SMART boleh menghubungi Bahagia menerusi 013-7277007 dan mengunjungi laman facebooknya Bodywork My.

MDP CIPTA SEJARAH LANTIK WANITA KETUAI WHIP

NORZITA A. Kahar (tengah) mengetuai majlis angkat sumpah sebagai Ahli Majlis, 
Majlis Daerah Pontian bagi tempoh 1 Februari 2014 hingga 31 Disember 2015 
di Dewan Persidangan MDP di Pontian, Johor, semalam. 

PONTIAN 13 Feb. - Majlis Daerah Pontian (MDP) mencatat sejarah tersendiri apabila seorang wanita dipilih sebagai Ketua Whip yang baharu bagi tempoh 1 Februari 2014 hingga 31 Disember 2015.
Pemilihan seorang peguam, Norzita A. Kahar, 40, bagi menggantikan Ketua Whip sebelum ini, Abd. Malik Ibrahim merupakan yang pertama sejak MDP ditubuhkan pada 1976.
Ketika ditemui selepas majlis angkat sumpah Ahli Majlis MDP di hadapan Yang Dipertua MDP, Miswan Yunos, Norzita melahirkan perasaan terharu kerana diberikan tanggungjawab bagi mengetuai Ahli Majlis.
Beliau berharap akan mendapat kerjasama daripada ahli majlis serta ketua-ketua jabatan bagi merealisasikan peranan mereka untuk sama-sama menjayakan agenda serta perancangan MDP.
Dalam masa yang sama, beliau berjanji untuk menjaga suara pembayar cukai serta menyelesaikan masalah berbangkit dengan bijaksana mengikut peraturan sedia ada.
"Dengan kepercayaan yang diberikan ini, saya akan berusaha meningkatkan prestasi serta peranan ahli majlis sebagai penghubung antara MDP dengan pembayar cukai supaya mereka mendapat perkhidmatan yang memuaskan," katanya yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Pontian.
Selain Norzita, turut mengangkat sumpah ialah Zarina Mohd. Bain, Noor Shuhada Sulaiman, Nasrihat Turiman, Mohd. Don Abdullah, G.D.T. Sarvendaraja, Ang Lin In, Khalid Ibrahim, Hairulanuar Tukijo, L. Krishnanan, Mohd. Helmi Buang, Mohd. Nasrol Hassan Md. Amin, Roselee Mohd. Tahir dan Md. Israk Abdullah.
Sembilan tempat yang sepatutnya diisi oleh wakil MCA dari Bahagian Tanjung Piai dan Pontian dijangka akan dipenuhi selewat-lewatnya bulan depan.
Sementara itu, Miswan Yunos dalam ucapannya menyasarkan MDP mampu mengutip hasil cukai sebanyak RM20 juta pada tahun ini berbanding RM19 juta pada tahun lalu.
"Selain kutipan cukai pintu sama ada kediaman dan industri, hasil turut disumbangkan oleh pembangunan industri yang dijalankan di kawasan pembangunan Tanjung Bin, Serkat dan Pekan Nanas," katanya sambil berharap ahli majlis yang baharu dapat menyumbang idea dan membantu menjayakan semua agenda pembangunan yang dirancang pihaknya.

Wednesday, February 12, 2014

SEPARUH KAMPUNG WAK MUSA TERBAKAR

  • Separuh kampung terbakar
  • Api masih membakar sebahagian daripada rumah mangsa di Kampung Wak Musa.
 1 / 1 
PONTIAN - Empat beranak termasuk seorang warga emas terpaksa mernyusup keluar dari pintu belakang untuk menyelamatkan diri selepas rumah yang didiami Kampung Wak Musa, Batu 36, Pekan Nenas, terbakar pagi semalam.

Mereka merupakan antara 20 keluarga yang kehilangan tempat tinggal selepas dua blok rumah kayu yang dihuni musnah dalam kebakaran kira-kira jam 9.30 pagi, semalam.

Mangsa, Nurul Amirah Mohd Noh, 22, berkata, dia menyedari kebakaran tersebut setelah melihat api dari rumah jiran yang terletak di hadapan rumahnya.

“Kebetulan pada masa itu, saya baru sahaja selesai mandi, tiba-tiba saya ternampak api dari rumah jiran.

“Saya berlari keluar untuk melihat apa yang sedang berlaku, namun api sudah mula menjilat bahagian hadapan rumah,” katanya.

Dia kemudiannya terus mengejutkan dua anaknya dan neneknya keluar dari rumah mengikut pintu belakang.

Nurul Amirah berkata, dia terus mendukung anak, Mohd Firdaus, 2, dan Sarah Hazirah, 3, serta  memimpin tangan nenek, Sapura Ibon, 78,  keluar dari pintu belakang untuk menyelamatkan diri.

“Mujur kami sempat keluar dari rumah kerana api merebak begitu cepat. Dalam sekelip mata sahaja, keseluruhan rumah telah terbakar,” katanya.

Dia yang masih lagi trauma dengan kejadian itu bersyukur kerana anak-anak dan neneknya tidak mengalami kecederaan dan sempat keluar sebelum api marak.

Tersedar dari tidur

Seorang remaja yang tinggal bersendirian di rumah berjaya menyelamatkan diri selepas terdengar bunyi bising di luar rumah.

Nurul Fateha Zulkifli, 19, berkata ketika kejadian dia sedang sedang tidur seorang diri di dalam bilik.

“Selepas mendengar bunyi bising dari luar rumah, saya terjaga lalu mendapati asap tebal sudah memenuhi ruang di dalam bilik.

“Saya terus berlari ke luar menuju ke dapur, namun asap tebal telah menyelubungi keseluruhan bahagian dapur.

“ Saya terus menjerit meminta pertolongan dan mujur saya sempat keluar dari pintu hadapan,” katanya.

Sementara itu, bagi ibu Nurul Fateha, Salina Mat, 41, tidak menyangka rumah yang dihuni sejak 20 tahun itu musnah terbakar di depan mata.

“Saya begitu sebak lihat rumah terbakar di depan mata. Tiada apa yang dapat dilakukan selain menahan air mata.

“Mujur, anak saya Nurul Fateha sempat keluar dari rumah menyelamatkan diri,”katanya.

Jelasnya, ketika kejadian, dia bersama suami, Zulkifli Md Nor, 48, sedang berniaga sarapan pagi berhampiran Taman Utama Pekan Nenas.

“Saya ada terlihat kepulan asap ketika sedang berniaga. Saya fikir kebakaran kebun kelapa sawit, rupanya rumah kami terbakar.

“Selepas menerima panggilan daripada anak, saya dan suami segera pulang ke rumah tetapi api sudah marak ketika itu,”katanya.

Motorsikal terbakar

Sementara itu, Shukor Abd Latif, 24, memberitahu ketika kejadian dia berada di dapur memasak mi segera.

“Selepas melihat api dari bahagian dapur rumah jiran, saya segera keluar dan mendapati api sedang marak membakar rumah-rumah jiran di blok hadapan.

“Tidak lama selepas itu, api terus menyambar ke rumah saya yang terletak di blok tengah.

“Saya tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen termasuk wang tunai RM1,200 dan sebuah motosikal. Mujur isteri dan anak berusia tiga tahun sempat keluar dari rumah,” katanya.

Dia yang bekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, bersyukur kerana berada di rumah ketika kejadian.

Manakala Pegawai Operasi, Salleh Ahmad berkata, tiga jentera bomba dan 16 anggota dari Balai Bomba Pekan Nenas dan Pontian Baru dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kira-kira jam 10.02 pagi.

“Sebaik saja kami tiba di lokasi kejadian, 22 rumah di dua blok telah musnah dijilat api.

“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira 10 minit daripada merebak ke satu lagi blok rumah yang menempatkan sembilan buah keluarga,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak lima motosikal dan sebuah van turut musnah dalam kebakaran itu.

“Tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan, namun punca kejadian serta kerugian masih lagi dalam siasatan.

“Kebakaran ini merupakan yang terbesar berlaku di Pontian dalam tahun ini, melibatkan 22 rumah,” katanya.

Sementara itu Ketua Kampung Kawasan (6) Mukim Jeram Batu, Abd Jahenal Kahir, berkata mangsa akan ditempatkan sementara waktu di Balai Raya Taman Sri Jaya yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian.

Katanya kebanyakannya penduduk bekerja di kilang di Pekan Nenas dan tiada di rumah ketika kejadian.

“Bantuan khas berupa pakaian dan barangan makanan yang disumbangkan oleh Ahli Parlimen Tanjung Piai dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  akan diagihkan kepada mangsa, “katanya.

Tuesday, February 11, 2014

TIDAK SARAPAN PUNCA GEMUK

Mengikut satu laporan terkini, pengambilan sarapan pagi yang tidak teratur boleh meninggalkan kesan buruk pada kesihatan dalam tempoh tiga dekad berikutnya.
Hasil penyelidikan daripada seorang penyelidik dari Sweden mendapati individu yang tidak menitikberatkan soal pengambilan sarapan pagi dalam tempoh jangka masa semasa kehidupan antara zaman kanak-kanak hingga dewasa menunjukkan lebih tanda-tanda sindrom metabolik dalam tempoh 27 tahun akan datang berbanding dengan mereka yang mengambil sarapan pagi secara betul dan teratur.

Sindrom metabolik merupakan satu istilah perubatan bagi kombinasi tiga penyakit berkait iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi dan obesiti, dan ia boleh menyebabkan peningkatan risiko untuk penyakit jantung dan angin ahmar sehingga 68 peratus ke atas lelaki dewasa.
Dengan membuat kajian ke atas kumpulan responden 27 tahun lalu, para penyelidik dari Sweden ini turut mendapati mereka yang tidak mengambil sarapan pagi atau bersarapan pagi sambil lewa mampu meningkatkan risiko penyakit kencing manis dan obesiti.
Pada tahun 1981, para penyelidik dari Universiti Umee, Sweden turut membuat soal selidik ke atas sekumpulan para pelajar yang belajar di sekolah di bahagian bandar Utara Lulea, bagaimana cara pemakanan serta pengambilan sarapan pagi mereka setiap hari.
Kemudian, kesemua responden turut diminta untuk kembali semula pada tahun 2008, selepas 27 tahun daripada tarikh kajian tersebut dilakukan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.
Melalui kajian yang dilakukan, selain ingin melihat tanda-tanda sindrom metabolik para penyelidik juga ingin melihat sama ada cara pengambilan sarapan pagi yang tidak betul ataupun tidak menitikberatkan soal pengambilan sarapan pagi mampu mengundang pelbagai jenis penyakit lagi yang berkaitan.

Melalui kajian tersebut juga didapati sebanyak 68 peratus para remaja yang mengabaikan atau tidak menitikberatkan soal pengambilan sarapan pagi akan menghidap sindrom metabolisme ini seperti yang dihidapi kebanyakkan orang dewasa jika hendak dibanding dengan mereka (remaja) yang begitu berdisiplin dalam soal pengambilan sarapan pagi ini.
Pada masa yang sama, selain soal kaji selidik yang mengandungi soalan-soalan berkaitan dengan pengambilan sarapan pagi, para pengkaji turut membuat kajian yang merangkumi pelbagai soalan mengenai faktor sosio ekonomi dan juga pelbagai jenis gaya hidup.
Bagaimanapun, penyelidikan lebih lanjut perlu dilakukan untuk lebih memahami mekanisma yang digunakan, serta hubungan antara sarapan pagi dan sindrom metabolisme. Bagaimanapun, kajian awal ini telah mendapatkan terdapat kesan secara langsung ke atas kadar gula dalam darah.

Selain itu menurut para penyelidik tersebut, kegemukan terutama di bahagian perut dan kencing manis, nyata jelas mempunyai kaitan dengan pengambilan sarapan yang tidak sempuran ketika zaman kanak-kanak mereka.
“Kajian lanjut diperlukan dalam usaha untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai mekanisma yang terlibat antara pengambilan sarapan pagi yang diambil sambil lewa dengan sindrom metabolisme.
“Tetapi keputusan yang diperoleh serta kajian-kajian yang dilakukan sebelum ini turut mencatatkan kesan yang negatif terhadap peredaran gula dalam darah sekiranya sarapan pagi diabaikan ataupun cara pengambilannya adalah sambil lewa," ujar ketua penyelidik, Maria Wennberg.

Kajian tersebut turut menyokong beberapa keputusan kajian sebelum ini dari Universiti of Tel Aviv yang mendapati pengambilan lebih kalori pada waktu pagi berbanding pengambilannya pada waktu petang boleh mengurangkan risiko penyakit kencing manis dan obesiti.
Selain itu, pengambilan sarapan pagi yang banyak juga didapati mampu membuatkan seseorang itu mengalami penurunan berat badan.
Keputusan yang diperoleh pada akhir kajian tersebut turut mendapati mana-mana individu yang mengambil sarapan pagi dalam kuantiti yang banyak manakala kuantiti yang sedikir untuk makan tengah hari dan juga makan malam mampu mengurangkan berat badan sekitar 19.1 paun.
Berbanding bagi mereka yang mengambil banyak kalori pada sebelah petang atau malam hanya mampu mengurangkan berat badan sehingga 7.9 paun dalam sehari.