BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, August 30, 2014

MEE JAWA ENAK KAK YAM CAFE-MIRI, SARAWAK

JIKA disebut mi kolok atau laksa Sarawak, memang tidak dapat dipertikaikan keenakannya terutama apabila hidangan ini disediakan anak jati Bumi Kenyalang sendiri.
Siapa lagi yang lebih arif tentang resipi hidangan popular itu jika bukan anak tempatan Sarawak.
Situasi ini berbeza dengan mi Jawa yang bukannya merupakan makanan asli dari Sarawak. Bukan mudah mahu mencari mi Jawa yang enak dan memenuhi selera jika berkunjung ke negeri ini.
Namun jika tahu lokasinya, anda pasti boleh menemui gerai dan restoran yang menyajikan hidangan mi Jawa yang sedap di Miri.
Salah sebuah restoran yang boleh dikunjungi ialah Kak Yam Cafe yang terletak di Piasau Jaya, Miri, Sarawak. Restoran ini beroperasi mulai pukul 7 pagi hingga 2 petang, setiap Isnin hingga Sabtu.
Bukan sahaja menawarkan hidangan mi Jawa yang enak, restoran kecil milik Mariam Saad, 58, itu turut menjual sajian nasi ayam, laksa Sarawak, mi sapi (daging lembu) dan mi kolok cendawan.
Keenakan makanan terutama mi Jawa di Kak Yam Cafe menyebabkan restoran itu sentiasa penuh dengan pelanggan setiap hari.
Menurut Mariam, restoran yang sudah empat tahun beroperasi itu merupakan perniagaan keluarga kerana beliau turut dibantu oleh empat anaknya iaitu seorang perempuan dan tiga lelaki termasuk sepasang kembar.
Katanya, sebelum membuka restoran di Piasau Jaya, beliau terlebih dahulu mengusahakan perniagaan sama di Pending, Kuching kerana ketika itu, suaminya, Zainal Abidin yang merupakan kakitangan Telekom Malaysia (TM) bertugas di bandar raya tersebut.
Ditanya apa keistimewaan mi Jawa di Kak Yam Cafe, Mariam memberitahu, keaslian rasanya sentiasa menjadi sebutan ramai. Ini kerana beliau menggunakan mi kuning yang dibeli dari kilang halal yang terpilih dan cara merebus mi yang tidak terlalu lama bagi mengelak bahan itu kembang.
"Untuk membuat kuah mi Jawa pula, saya hanya menggunakan keledek berwarna oren yang ditempah khas dari pembekal di Kuching. Keledek ini membuatkan rasa kuah mi Jawa cukup enak kerana mempunyai rasa manis semula jadi," katanya kepada wartawan S2 ketika ditemui di restorannya baru-baru ini.
Selain mi Jawa, satu lagi hidangan wajib dicuba jika berkunjung ke Kak Yam Cafe ialah mi kolok cendawan yang tiada terdapat di Semenanjung.
Bagi memberi kelainan kepada mi kolok cendawan, Mariam berkata, restorannya hanya menyajikan hidangan ini pada minggu pertama setiap bulan.
Katanya, mi kolok cendawan tidak dijual setiap hari seperti menu lain di restorannya kerana ia merupakan salah satu daripada strategi pemasaran.
"Saya tahu ramai yang menggemari mi kolok cendawan ini. Sebab itu, saya tidak menjualnya setiap hari agar peminatnya berasa teruja untuk menikmatinya apabila tiba hari ia ada dijual," ujarnya.
Mariam berkata, harga bagi semangkuk mi sapi biasa adalah RM4, RM6 bagi mi sapi yang ditambah dengan wantan dan ayam serta RM8 bagi mi sapi dicampur wantan bersama daging dan ayam.
Tambahnya, mi Jawa dan lain-lain makanan dikenakan bayaran RM5 hingga RM6, bergantung kepada saiz hidangan.

Tuesday, August 26, 2014

BURGERBYTE GRILL WITH SOUL-CHERAS

ROSMALIZA (tengah) dan Norazuan (kanan) bersama-sama kakitangan Burgerbyte di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Menjengah ke premis Burgerbyte di Bandar Sri Permaisuri, Cheras terasa seperti berada di persimpangan antara moden dan tradisional.
Ditambah dengan aroma daging burger yang diadun dengan rempah ratus dan dibakar garing.
Burger tanpa roti dihidangkan dengan sos lada hitam dan sayur-sayuran di atas tembikar panas memang menggamit selera.
Menurut Rosmaliza Miswan, yang juga pemegang lesen Burgerbyte cawangan Bandar Sri Permaisuri, beliau tertarik menceburkan diri dalam perniagaan makanan selepas merasai keenakan naked burger di Bandar Baru Bangi, Selangor.
"Pertama kali merasai naked burger memang terasa kelainannya. Daging segar diadun dengan rempah dan dibakar garing, sesuai untuk mereka yang berdiet. Daging burger hanya mengambil protein kerana tiada roti tetapi dihidangkan dengan sayuran brokoli, lobak merah, bunga kobis dan kentang," katanya semasa ditemui di premisnya.

NAKED burger.

Selain itu pelanggan boleh memilih antara 52 pilihan menu termasuk snek dan minuman dengan harga berpatutan.
Pelanggan boleh memilih burger, spageti atau nasi serta pilihan lembu, kambing, ikan salmon atau udang selain snek serta hidangan untuk kanak-kanak.
Lebih menarik, minuman Long Chan menggamit memori golongan veteran dengan botol minuman gas berwarna gelap.
"Minuman ini memang kami beli khas dari Melaka dan memang menjadi minuman kegemaran selain teh tarik lemak manis," katanya.
Mendapat galakan suaminya Norazuan Osman,Rosmaliza sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk pelanggan. Beliau sentiasa mendapatkan maklum balas pelanggan bagi memperbaiki perkhidmatan memandangkan Burgerbyte baru beroperasi awal Jun lalu.
Lebih menarik pelanggan yang datang antara jam 5 petang hingga 7 malam diberikan minuman percuma kecuali jus dan minuman botol, tertakluk kepada syarat.

Thursday, August 21, 2014

BAZAR KARAT PERLUKAN PROMOSI

Hanya sebilangan kecil peniaga Bazar Johor Bahru 2 meneruskan perniagaan.

JOHOR BAHRU 21 Ogos - Sebut sahaja Bazar Johor Bahru (Bazar JB) atau lebih sinonim dengan panggilan Bazar Karat, boleh dikatakan semua rakyat Johor terutama di ibu negeri sedia maklum dengan kawasan perniagaan yang meriah pada waktu malam di sekitar Legaran Segget yang dimulakan pada tahun 2009.
Dari jauh lagi sebenarnya, limpahan lampu kalimantang kelihatan seolah menarik perhatian bukan saja warga kota malah pelancong baik dari dalam dan negara yang berhasrat melihat warna malam di ibu negeri Darul Takzim ini.
Jika Kuala Lumpur terkenal dengan kawasan Masjid India dan Melaka dengan Jonker Walk, maka Johor Bahru terkenal dengan Bazar JB namun kerja naik taraf dan pengindahan Sungai Segget memerlukan 114 peniaga di kawasan itu berpindah ke sebuah kawasan yang terletak kira-kira 500 meter ke Jalan Syed Mufti.
Akur dengan keperluan pembangunan dan sedia maklum dengan Projek Transformasi Johor Bahru, peniaga kecil yang dipilih secara undian bersetuju untuk berpindah ke lokasi tersebut yang diberi nama Bazar Johor Bahru 2 (Bazar JB 2).
Ukuran dari sudut jarak yang dekat mungkin tidak dapat memberi gambaran realiti situasi yang berlaku, namun Bazar JB 2 ini tidak kelihatan dari dua jalan utama untuk ke sini iaitu Jalan Ibrahim atau Jalan Ayer Molek selain beberapa masalah lain sejak ia mula beroperasi pada Jumaat 15 Ogos lalu.
Persatuan Peniaga Bazar Johor Bahru (PPBJB) mengakui lokasi di belakang bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Mahkamah Johor Bahru dan Pusat Penerangan Pelancongan Johor (Jotic) agak tersorok.
Pengerusinya, Mohammad Salezan Mohd. Salleh berkata, kesemua peniaga terlibat dalam pemindahan tersebut akur dengan keputusan pihak berkuasa, namun berharap usaha mempromosikan Bazar JB 2 mendapat kerjasama MBJB, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan juga kerajaan negeri.
"Bazar JB sejak dimulakan pada 2009 telah menjadi salah satu tempat menarik untuk dilawati pelancong dan kini kita adakan Bazar JB 2 pula yang memerlukan promosi berterusan dengan kerjasama pihak berkuasa.
"Produk yang dijual peniaga di Bazar JB 2 adalah sama dengan apa yang terdapat di Bazar JB malah mempunyai beberapa kelebihan kepada pengunjung seperti kemudahan tempat letak kereta yang luas dan tandas awam yang lebih selesa.
"Jika di Bazar JB, orang ramai terpaksa meletakkan kereta di tepi jalan, Bazar JB 2 mempunyai tapak letak kereta yang luas malah susunan peniaga di sini juga lebih teratur dan memudahkan pengunjung membeli-belah," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Menurutnya, pihak persatuan merancang pelbagai bentuk promosi termasuk di laman sosial dan juga penggunaan kain rentang untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang kewujudan kawasan baharu tersebut, namun kerjasama MBJB dan IRDA juga adalah penting dalam memastikan ia berjaya mencapai matlamat.
Tambahnya, peniaga terlibat dengan pemindahan juga diminta memberikan sokongan dengan beroperasi di lot yang diperuntukkan kerana usaha menghidupkan Bazar JB 2 adalah usaha bersama dan bukan berada di atas bahu persatuan semata-mata.
Salah seorang peniaga yang ditemui, Seri Mayang Isnin, 40, berkata, dia sudah menjalankan perniagaan barangan kosmetik sejak tiga tahun lalu di Bazar JB sebelum diminta berpindah ke kawasan baharu tersebut.
Katanya, jika dia yang menjalankan perniagaan tersebut secara sambilan turut merasa kesannya maka rakan-rakan lain yang berniaga sepenuh masa sudah tentu terjejas dengan apa yang berlaku.
"Saya faham selepas perayaan Aidilfitri memang orang kurang berbelanja, namun dalam keadaan seperti ini mungkin ramai peniaga yang tidak dapat bertahan apatah lagi di kawasan lama jualan adalah lebih baik," ujarnya.
Bagi Saadiah A. Rahman, 63, yang berniaga di Bazar JB sejak ia dimulakan lima tahun lalu, kemerosotan jualan di tempat baharu sememangnya membimbangkan peniaga yang diarahkan berpindah ke Bazar JB 2.
Dia yang membabitkan diri dalam perniagaan sejak usia muda lagi, berharap perkara itu mendapat perhatian kerajaan negeri kerana berpendapat ia adalah seiring dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.
"Di tempat lama (Bazar JB), saya dapat memperoleh hasil jualan kira-kira RM300 sehari, namun sejak berada di sini beberapa hari lalu untuk mendapat RM30 sehari pun susah," ujarnya yang berniaga minuman dan produk makanan IKS.
Peniaga kasut terpakai, Mohd. Izzat Kamarulzaman, 29, pula berharap peniaga yang terlibat dalam pemindahan agar tidak 'menempel' di tempat lama di Bazar JB kerana hal tersebut akan memburukkan lagi keadaan di Bazar JB 2.
Jelasnya, dia faham jualan di Bazar JB adalah lebih baik kerana ia sudah dikenali ramai, namun tanpa kerjasama semua peniaga terlibat maka langkah menghidupkan tempat baharu akan sia-sia.
"Insya-Allah Bazar JB 2 ini akan berjaya mendapat sambutan dengan kerjasama pihak berkuasa, peniaga terlibat dan makluman berterusan kepada orang ramai.
"Banyak kelebihan untuk pengunjung di tempat baharu ini dengan tempat letak kereta yang banyak," katanya.

HAJI KAMAL & SOUP BONZER- KELANA JAYA


BAGI penggemar sup dan mereka yang tinggal di sekitar Kelana Jaya, pasti pernah merasai hidangan terkenal Sup Bonzer yang dahulu gerainya terletak di Medan Selera Showru, Kelana Jaya.
Hidangan istimewa pelbagai jenis sup seperti sup ekor, tulang daging dan gearbox oleh chef Samsuddin Abdul Hamid begitu memikat selera dengan rasanya yang tersendiri.
Tidak menggunakan tepung, kas-kas atau perasa tambahan sebagai jalan pintas untuk memekat dan menaikkan rasanya, supnya pekat dan terasa manis dagingnya.
Namun rasa rempahnya tidak berlebihan hasil renehan sup bersama rempah-ratus rahsia dan tulang lembu berterusan menggunakan periuk tekanan tinggi.
Samsuddin lalu membuat keputusan untuk mengembangkan lagi potensinya dengan bergabung bersama Kapten Kamal Effendy Mohd. Nor dan Mohd. Zulfazally Samsuddin dan tercetus idea membuka Restoran Haji Mohd Kamal & Soup Bonzer.
Baru dibuka di Damansara Perdana, Restoran Haji Mohd Kamal & Soup Bonzer bukan sahaja menambah menu sup seperti sup asam pedas yang membuka selera, selain kira-kira 200 hidangan Cina, Nyonya dan Thailand. Berani dikatakan di sini, anda pasti tidak menyesal dengan setiap hidangan yang dipesan.

“Sebagai seorang juruterbang, rakan kongsi saya, Kapten Kamal gemar mencuba pelbagai jenis makanan ketika mengembara dan makanan Cina merupakan yang paling digemarinya tetapi agak sukar untuk menemui yang halal.
“Dia juga sering mengunjung gerai lama saya dan tercetus idea menggabungkan hidangan sup saya dan restoran hidangan Cina Muslim," ujarnya yang mempunyai pengalaman dalam bidang masakan selama 20 tahun.
Wajib cuba, Sup Gearbox Asam Pedas yang sedap dihirup begitu sahaja kerana tidak terlalu pekat atau dinikmati dengan nasi panas serta sambal ikan masin.
Aromanya yang harum dek renehan pelbagai bahan asam pedas seperti lengkuas, serai, daun kesum, bunga kantan dan akar daun ketumbar pasti membuatkan anda tidak sabar menikmatinya.
Ikan stim ala Thai yang menyentuh rasa masam, masin, manis dan pedas turut menjadi igauan selepas habis menikmatinya.
Ikan siakap terlebih dahulu dikukus separa masak kemudian dimasak bersama sosnya, gabungan pes tom yam dan cili merah, bunga kantan dan halia serta bahan-bahan lain yang dikisar terlebih dahulu.
Jangan lupa memesan hidangan Ayam Nestum Bersalut Telur Masin. Selepas disalut telur masin, ia digaul dengan Nestum lalu digoreng marjerin dengan suhu yang tepat, memberikan teksturnya yang rangup.
Kailan Yin Yong merupakan hidangan sayur yang lain dari yang lain. Sebelah pinggan dihidangkan kailan goreng yang dimayang halus dan sebelah lagi dimasak bersama ikan bilis seperti biasa.

Restoran Haji Mohd Kamal & Soup Bonzer
A-G-05, Block A Neo Damansara,
Jalan PJU 8/1,
Bandar Damansara Perdana,
Petaling Jaya, Selangor.
(Berdekatan Manhattan Business Hotel, Damansara Perdana)
Tel: 03-77325678
Facebook: www.facebook.com/restoran.hjmohdkamal/
Waktu beroperasi: Setiap hari dari 11.30 pagi hingga 11 malam


BEKAM WAJAH NAIKKAN SERI



Dahi dan dagu antara tempat yang dibekam untuk mengeluarkan darah kotor.

BEKAM atau dalam istilah bahasa Arabnya, al-Hijamah adalah ilmu perubatan warisan Nabi yang masih diamalkan oleh masyarakat Melayu terutamanya sehingga hari ini.
Ia juga adalah salah satu cara menyahtoksid (buang racun) yang sesuai dan selamat bagi umat Islam tanpa kesan sampingan yang ketara.
Lazimnya bekam yang sering dilakukan ialah bekam cawan atau basah, bekam angin atau kering, bekam tarik dan bekam lintah tetapi hari ini dengan keperluan serta permintaan yang ada, orang ramai terutamanya wanita boleh membuat bekam wajah.
Masih menggunakan kaedah yang sama, bekam wajah juga mempunyai objektif yang sama dengan bekam badan iaitu membuang darah kotor untuk tujuan perubatan dan juga untuk mengekalkan kesihatan.
Bagaimanapun, tidak semua orang mampu menawarkan perkhidmatan ini kerana tidak mempunyai kepakaran untuk mengendalikan rawatan ini di bahagian muka.
Begitupun, bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan bekam wajah, anda boleh mengunjungi Yoyoy Kamphora Spa yang terletak di No. 319A, Melawati Square, Lorong Kedah, Kuala Lumpur.
Merupakan salah satu perkhidmatan kecantikan yang ditawarkan di sini, pemiliknya, Siti Nurul Huda Saparudin, 30, sanggup belajar dan mendalami ilmu bekam wajah ini daripada mereka yang cukup berpengalaman dan berpengetahuan luas.
Mengakui antara rawatan yang mendapat permintaan tinggi daripada para pelanggannya, Siti Nurul Huda memberitahu rawatan tersebut tidak lama di mana cuma mengambil masa selama 45 minit.
“Perkhidmatan bekam wajah ini sememangnya ditawarkan sejak spa ini mula beroperasi pada 16 April 2008.
“Walaupun rawatan bekam muka ini tidak begitu popular jika hendak dibandingkan dengan rawatan bekam badan, tetapi bagus untuk mereka yang mempunyai masalah migrain, resdung, sakit kepala, kulit kusam, dan jerawat.
“Keunikan bekam wajah ini ialah ia dihala terus ke bahagian muka yang mempunyai masalah dan darah kotor," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Tidak meninggalkan sebarang parut pada wajah selepas proses pengeluaran darah kotor, Siti Nurul Huda menjelaskan kesannya boleh dirasai sebaik sahaja selesai menjalani rawatan tersebut.
Bercerita pula mengenai cara rawatan diadakan, dia menjelaskan pelanggan terlebih dahulu akan melalui sesi urutan pada bahagian leher, bahu, dan kepala dengan menggunakan minyak zaitun bagi melancarkan peredaran darah sebelum diteruskan dengan bekam angin terlebih dahulu.
Bekam angin yang dilakukan cuma sekitar 10 saat dan diteruskan dengan bekam muka yang cuma mengambil masa satu minit.
“Bekam muka selalunya tidak mengambil masa yang lama kerana takut nanti muka berbekas tetapi selalunya bekas yang tertinggal akan hilang cepat.
“Selalunya bekam muka ini akan ditumpukan pada bahagian dahi, dagu, kedua-dua belah pipi, dan kedua-dua belah bahagian kepala di tepi mata.
“Dan rawatan ini akan menggunakan cawan kecil yang sesuai dengan bahagian muka," ujarnya lanjut.
Sambungnya lagi, jumlah cawan bekam yang digunakan bergantung kepada keadaan fizikal dan tahap kesihatan pelanggan dan minimum penggunaan cawan ialah dua dan maksimum ialah 10.
Memberitahu seelok-eloknya dilakukan sebulan sekali bagi mereka yang tidak mengalami masalah yang teruk, Siti Nurul Huda menjelaskan bekam muka ini selain bagus untuk kesihatan, juga dapat membantu menaikkan seri wajah terutamanya pada bakal pengantin.
“Ada juga pelanggan yang mempunyai masalah jerawat yang teruk mencuba rawatan bekam wajah ini dan alhamdulillah masalah jerawatnya berkurangan selepas menjalani dua sesi rawatan.
“Kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan kaedah ini kerana ia dapat mengurangkan masalah di muka dan kepala," katanya.
Beritahunya lagi, pelanggan akan dikenakan bayaran RM100 bagi keseluruhan pakej bekam wajah itu dan digalakkan membuat temu janji terlebih dahulu.
Spa yang dikhususkan hanya untuk wanita ini turut menyediakan perkhidmatan rawatan urutan tradisional, pakej rawatan untuk ratu sehari, aroma terapi, refleksologi, sauna, akupuntur serta rawatan kuku tangan dan kaki.
Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman sesawang www.YoyoySpa.com atau hubungi talian 03-6184 1455.

Monday, August 18, 2014

TANJUNG MANIS NUKLEUS INDUSTRI HALAL

KUCHING 18 Ogos - Hab Halal Tanjung Manis (HHTM) di Bahagian Mukah, Sarawak, bakal menjadi nukleus kepada perkembangan industri halal di negeri ini, kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.
Katanya, antara sektor yang akan menjadi tumpuan bagi perkembangan industri ini ialah akuakultur, pertanian, pelancongan, penghasilan produk-produk makanan, kesihatan dan kosmetik.
"Pembangunan industri halal di Sarawak akan menjadi antara penyumbang kepada nilai eksport halal Malaysia yang kini telah mencecah RM32 bilion," katanya dalam ucapan merasmikan Halal Outreach Programme (Hope) 2014 peringkat negeri Sarawak di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
Adenan berkata, HHTM yang mula diperkenalkan pada 2010 dengan keluasan 124,000 hektar serta menerima pengiktirafan sijil HALMAS daripada Halal Industry Development Corporation merupakan hab halal terbesar di rantau Asia Tenggara.
Menurutnya, ia juga merupakan satu-satunya hab halal yang menyediakan kemudahan untuk melaksanakan aktiviti huluan, pertengahan dan hiliran berbanding hab halal lain di rantau ini.
"HHTM yang merupakan antara nod (pusat) pertumbuhan SCORE (Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak) kini sedang giat dilengkapkan dengan segala prasarana yang terbaik bagi menghadapi kemasukan pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara pada penghujung 2015," katanya.
Adenan berkata, proses mengenal pasti pemain-pemain industri halal di Sarawak juga sedang giat dilaksanakan melalui pengumpulan data berkaitan pengusaha, pengeluar, pembekal dan peniaga dalam industri berkenaan.
Bagi tahun ini ujar beliau, sebanyak 141 syarikat di Sarawak telah diberikan sijil halal di mana sembilan merupakan syarikat multinasional, 76 industri kecil dan 56 industri kecil sederhana.

Thursday, August 14, 2014

KAFE REPLETE-ALOR SETAR

MUHAMAD Adam Rozali menunjukkan hidangan yang ditawarkan di Kafe Replete.

KONSEP seni yang ditonjolkan di Kafe Replete ternyata memberi suasana tenang kepada pelanggan sebaik sahaja melangkah masuk ke kafe yang terletak di Taman Perindustrian 2010, Jalan Lencong Barat, Alor Setar, Kedah itu.
Kafe yang diuruskan oleh seorang anak muda, Muhamad Adam Rozali, 23, bersama ahli keluarganya menyajikan lebih 10 hidangan makanan ala barat kepada pelanggan dengan harga serendah RM3.90.
Swedish Meatball dan chicken chop yang dihidangkan bersama sos hasil daripada resipi tersendiri antara sajian popular di kafe yang mula beroperasi sejak Julai lalu.
Selain itu, kafe ini turut menyediakan menu lain menggunakan nama Replete seperti Replete's Fried Rice (Nasi Goreng Replete's) dan Replete's Burger yang ternyata memberi kelainan pada sajiannya.
Replete's Fried Rice yang dijual pada harga RM5.90 turut dihidangkan bersama nugget.
Bukan itu sahaja, malah di kafe ini juga pelanggan dapat menikmati hidangan ala Itali seperti spageti carbonara dan bolognese.
KAFE Replete terletak di Taman Perindustrian 2010, Jalan Lencong Barat, Alor Setar, Kedah. - 

Manakala kentang goreng, kepak ayam dan sup cendawan disajikan sebagai makanan sampingan atau untuk pelanggan yang mahu menikmati makanan ringan.
Bagi minuman, pelanggan diberi pilihan untuk memilih minuman sejuk ataupun panas dan antara yang perlu dirasai pengunjung adalah Replete's Blackcurrant dan Latte Ice Blended.
Menurut Muhamad Adam yang merupakan graduan jurusan seni bina itu, idea membuka kafe berkonsep moden itu bukan sahaja diilhamkan oleh dirinya seorang malah seluruh ahli keluarga.
Katanya, keseluruhan dekorasi kafe itu dibuat sendiri bersama keluarga termasuklah idea menggunakan meja dan kerusi makan yang diperbuat daripada kayu palet.
"Meja dan kerusi kayu palet ini kami buat untuk tampilkan kelainan pada kafe, selain mengikut dekorasi terkini dan cita rasa generasi muda.
"Di sini, pelanggan tidak hanya datang untuk makan, malah mereka juga boleh bermain alat muzik seperti gitar dan cajon," katanya

Muhamad Adam berkata, bagi pelanggan yang meminati seni, mereka berpeluang menghayati karya seni di setiap ruang dinding kafe tersebut.
Bukan itu sahaja, malah katanya, dia kini sedang merancang untuk menghias dinding kafe dengan lukisan graviti yang membawa mesej tertentu.
"Lukisan graviti pada dinding kafe adalah salah satu perancangan masa hadapan, selain kami akan menambah menu dan menyajikan pencuci mulut seperti kek kepada pelanggan," ujarnya.
Tambah Muhamad Adam, kafe itu terbahagi kepada dua ruang iaitu zon merokok dan tidak merokok untuk memberi keselesaan kepada pelanggan.
Kafe Replete dibuka setiap hari kecuali Selasa dan mula beroperasi pada pukul 5 petang hingga 12 tengah malam.

APABILA RESTORAN MAKANAN SEGERA DEKAT RUMAH...

Kajian pada tahun 2013 menunjukkan sebanyak 8.5 juta penduduk Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan dengan 4.4 juta orang dalam kategori obes.
Malah, sebuah jurnal perubatan terkemuka dunia, The Lancet melaporkan Malaysia diletakkan sebagai negara heavyweight apabila 45.3 peratus penduduknya memiliki berat badan berlebihan, iaitu antara yang tertinggi di Asia, sebelum diikuti Korea Selatan (33.2 peratus), Pakistan (30.7 peratus) dan China (28.3 peratus).
Banyak faktor yang menyumbang kepada senario tersebut namun ia lebih merujuk kepada gaya hidup masyarakat hari ini.
Sebagai contoh, dahulu, jika terasa ingin makan makanan segera di waktu malam, perasaan itu terpaksa dipendam buat sementara waktu apabila memikirkan jarak restoran terletak jauh di tengah-tengah bandar.
Berbeza hari ini, orang ramai mudah mendapatkan makanan tersebut di restoran makanan segera kegemaran mereka berikutan ia beroperasi berdekatan dengan kawasan-kawasan perumahan.
Pengambilan makanan segera secara kerap merupakan salah satu faktor berlaku peningkatan kadar obesiti di kalangan rakyat Malaysia.

Pengarah Komunikasi Persekutuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusof Abdul Rahman tidak menafikan, masyarakat hari ini terdedah dengan pelbagai penyakit kronik seperti obesiti berikutan kemudahan restoran makanan segera disediakan kepada mereka
“Tidak dinafikan hari ini restoran makanan segera banyak beroperasi berdekatan dengan kawasan-kawasan perumahan memberi peluang dan kemudahan orang ramai menikmati makanan tersebut.
“Jarak restoran dari kawasan perumahan sangat dekat menyebabkan peluang mereka menikmati makanan tersebut semakin meningkat kerana hanya dengan berjalan kaki sahaja mereka sudah boleh sampai ke sana.
“Kebanyakan restoran ini beroperasi selama 24 jam menyebabkan orang ramai menjadikan budaya mengambil makanan pada lewat malam.
“Malam adalah waktu untuk berehat. Kekerapan mengambil makanan tidak sihat terutamanya pada lewat malam memberi kesan buruk kepada kesihatan sekaligus meningkatkan kadar obesiti," katanya.
Kata Mohd. Yusoff, kewujudan restoran ini ibarat konsep penawaran dan penerimaan kepada pemaju dan masyarakat di sekeliling yang kedua-duanya dilihat mempunyai keuntungan kepada mereka.

“Sebagai pengguna mereka menganggap kewujudan restoran makanan segera ini sebagai kemudahan kepada mereka dalam aspek pembelian makanan.
“Kebanyakan daripada masyarakat kita sekarang ingin semua aspek yang dilalui seharian menjadi mudah termasuklah urusan pembelian makanan.
“Kewujudan restoran-restoran ini dilihat memenuhi kriteria dan kemahuan mereka. Namun, dalam masa yang sama kesihatan dan pemilihan makanan sihat yang diambil setiap hari bergantung kepada sikap pengguna.
“Pengguna yang bijak tidak akan mudah terpengaruh dengan iklan-iklan yang ditunjukkan dalam media. Mereka sendiri mempunyai kesedaran untuk memelihara kesihatan tubuh mereka dengan tidak menjadikan satu kebiasaan mengunjungi restoran makanan segera," ujarnya.
Katanya, Fomca mencadangkan agar pihak berkuasa mengkaji atau menilai kembali kesesuaian dan garis panduan bagi pembinaan restoran makanan segera berdekatan kawasan perumahan.
“Kerajaan amat prihatin dengan peningkatan penyakit kronik seperti obesiti setiap tahun. Pihak bertanggungjawab perlu melihat kembali jika wujud peraturan kecil atau garis panduan mengenai isu ini.
“Lebih baik dikaji semula sama ada perlu mengurangkan restoran-restoran makanan segera di kawasan-kawasan perumahan bagi membantu mengurangkan masalah obesiti.
“Selain itu, amat diharapkan pada masa depan akan wujudkan restoran makanan seimbang yang menjual semua jenis makanan sihat kepada pelanggan," katanya.

Monday, August 11, 2014

PERKAMPUNGAN ALA "NELAYAN AMSTERDAM" DI PASIR GUDANG

JOHOR BAHRU 10 Ogos - Kerajaan negeri berhasrat membangunkan Pasir Gudang sebagai destinasi ekopelancongan di kawasan nelayan di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, dua kawasan perkampungan nelayan telah dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, idea membangunkan kawasan itu dikenal pasti pihaknya selepas mengadakan lawatan ke perkampungan nelayan di Amsterdam, Belanda baru-baru ini dengan mengekalkan seni bina rumah kayu masyarakat Melayu lama.
"Kita bercadang untuk membina rumah tradisional Melayu di kawasan perkampungan nelayan yang ingin dibangunkan.
Dengan adanya perkampungan ini, nelayan-nelayan boleh menjual produk mereka kepada para pengunjung.
"Perkara ini telah disuarakan dalam mesyuarat Exco untuk membangunkan ekopelancongan di Johor seiring dengan pembangunan pesat bangunan pencakar langit. Kita berharap perkara ini dapat direalisasikan dalam masa terdekat," katanya selepas menghadiri sambutan Hari Inovasi Jabatan Pertanian negeri di sini baru-baru ini.
Ismail berkata, pihaknya sedang menyediakan kertas kerja lengkap, selain mengenal pasti beberapa lagi tempat yang sesuai untuk dibangunkan.
Pihaknya juga berharap dengan adanya perkampungan tersebut nanti dapat merancakkan aktiviti nelayan di kawasan terbabit dan mampu meningkatkan ekonomi golongan berkenaan.
Mengenai industri kecil dan sederhana (IKS), Ismail berkata, pengusaha perlu mendalami ilmu memproses produk akhir hasil tani, sekali gus memberi peluang kerja kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntuk RM2 juta untuk membantu 300 pengusaha IKS bagi memberi khidmat nasihat, kursus, sijil halal dan bantuan peralatan dan mesin.
"Bagi menggalakkan industri ini terus berkembang, kita akan memendekkan jangka masa pemberian bantuan skim dari enam bulan kepada dua bulan bagi membantu usahawan IKS," katanya.

Friday, August 8, 2014

PUASA 6 SYAWAL

SETELAH sebulan menghadapi cabaran Ramadan, sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan kemuncak kepada kegembiraan bagi umat Islam setelah tamat melakukan kewajipan yang disyariat dalam rukun Islam ketiga itu.
Lazimnya, rata-rata umat Islam tidak melepaskan peluang mengadakan rumah terbuka dan ziarah-menziarahi bagi menyambut hari kemenangan yang dianugerahkan pada bulan Syawal itu.
Bagaimanapun, dalam kegembiraan tersebut, tidak bermakna kita tidak dituntut melakukan ibadah lain. Hakikatnya, bulan Ramadan yang dilalui selama sebulan perlu dijadikan permulaan bagi mendidik jiwa untuk terus istiqamah dalam beribadat kepada Allah SWT.
Kesinambungan daripada itu, puasa enam hari pada bulan Syawal merupakan amalan sunat yang sangat digalakkan untuk dilakukan oleh umat Islam bagi memperoleh kelebihan berlipat ganda yang ditawarkan dan janjikan oleh Allah SWT.
Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka pahalanya adalah sama seperti puasa sepanjang tahun."
Namun, permasalahan mengenai puasa enam sering menjadi kekeliruan apabila menjelang Syawal. Antaranya, adakah puasa enam boleh digabungkan dengan puasa qada pada bulan Ramadan atau perlu dilaksanakan secara berturut-turut dan banyak lagi.
Menjelaskan perkara itu, Pengerusi Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (Infad), Dr. Irwan Mohd. Subri berkata, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama mengenai persoalan puasa enam, namun pandangan yang paling afdal adalah mengikut mazhab Shafie.
Bagaimanapun tambahnya, pandangan mazhab lain masih boleh diamalkan dan diterima amalannya oleh Allah SWT kerana Islam tidak memberatkan hambanya untuk melakukan ibadah.
“Kesimpulan ringkas yang boleh diambil adalah, puasa enam boleh dilakukan dengan tiga keadaan iaitu qada terlebih dahulu kemudian diikuti dengan puasa enam, puasa enam dahulu kemudian diikuti dengan puasa qada dan harus juga digabungkan kedua-duanya.
“Namun yang paling afdal dilakukan adalah keadaan pertama iaitu memisahkan puasa qada dan puasa enam dengan melakukan puasa qada terlebih dahulu kemudian diikuti dengan puasa enam pada bulan Syawal.
“Ini bagi memperbanyakkan amalan kita kepada Allah SWT," katanya.

Afdal berturut-turut

Melihat budaya sambutan Aidilfitri di negara ini yang kebanyakan umat Islam mengadakan rumah terbuka dan ziarah-menziarahi yang memakan masa berhari-hari, diharuskan melakukan puasa enam secara berselang seli.
Mengulas mengenai kekeliruan melakukan puasa enam secara berturut-turut, Irwan berkata, tidak disyariatkan untuk berbuat demikian, namun perbuatan tersebut merupakan amalan yang paling afdal.
Ia berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa. (Ali-Imran: 133)
“Tidak disyaratkan untuk dilakukan puasa enam secara berturut-turut. Ia boleh juga diselang-selikan asalkan dalam bulan Syawal dan bilangannya mencukupi enam hari kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya.
“Namun, menurut pendapat ulama, termasuk mengikut mazhab Syafie dan Imam Nawawi yang terbaik ialah melakukannya secara berturut-turut dan lebih afdal lagi dimulai dari hari raya kedua," jelasnya.

SOLAT MENGHORMATI WAKTU

ALHAMDULILLAH pada ruangan kali ini, saya merasa terpanggil untuk membincangkan isu solat menghormati waktu, terutamanya ketika kita bermusafir menuju ke tanah suci Mekah. Ini adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas (kerana tiada air untuk berwuduk atau tiada tanah untuk bertayamum) dan juga solat yang tidak dapat menghadap kiblat.
Solat ini wajib di qada semula setelah beroleh air atau tanah ataupun dapat menghadap kiblat. Kita juga boleh mengqada solat hormat waktu ini secara jamak ataupun qasar dengan syarat kita masih berada dalam musafir.
Apabila kita telah kembali ke tempat asal maka solat hormat waktu mestilah di qada secara sempurna. Jika ditakdirkan kita meninggal semasa musafir dan kita masih belum mendapatkan air untuk berwuduk atau tanah untuk bertayamum bagi mengqada solat, maka memadai solat menghormati itu telah diterima Allah SWT.
Sebaliknya jika kita berpeluang untuk mengqada solat hormat waktu ini setelah adanya air atau tanah, tetapi kita masih melengah-lengahkannya maka kita dikira berdosa.
Aisyah menceritakan bahawasanya beliau telah meminjam daripada Asma’ seutas rantai, lalu ia hilang. Maka Rasulullah SAW menghantar beberapa orang sahabat baginda untuk mencarinya.

Lalu tiba waktu solat, dan mereka pun solat tanpa wuduk. Apabila mereka mendatangi Nabi SAW, mereka mengadu hal tersebut, lalu turunlah ayat tayamum.

Pendapat ulama

Al-Hafiz Al-Iraqi (725-806 Hijrah) menyatakan bahawa ada empat pendapat daripada Al-Syafie berhubung solat tanpa taharah.
Pendapat yang paling sahih di sisi ulama mazhab (Al-Syafie) ialah: Wajib solat kerana menghormati waktu dan wajib mengulanginya jika mampu salah satu daripadanya (wuduk atau tayamum).
Ada juga pendapat wajib solat dan tidak wajib mengulanginya. Ini adalah pilihan Al-Muzani. Kata Abu Thaur: “Inilah yang menepati qiyas dan ia disebut oleh Ibnu Abd Al-Bar daripada sebilangan fuqaha."
Imam Al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya ia pendapat yang paling kuat dalil dan pendapat ini dikukuhkan oleh hadis ini iaitu mereka (para sahabat) solat tanpa wuduk sebelum turun ayat tayamum dan tidak dinukilkan bahawa Nabi SAW mengarahkan mereka untuk mengulanginya."

Secara mutlak, solat merupakan ibadah badaniyah yang paling utama. Ini berdasarkan peristiwa seorang lelaki telah bertanya Nabi SAW tentang amalan yang afdal.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Solat. Dia terus bertanya: Kemudian apa pula? Nabi bersabda: Kemudian solat. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda bersabda: Solat. Baginda telah mengulangi jawapan ‘solat’ sebanyak tiga kali." (riwayat Ibnu Hibban)
Menebus dosa
Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada menyatakan dua solat yang dilakukan seseorang Islam dengan betul akan menebus dosa-dosa yang berlaku di antara kedua-dua solat tersebut. Ini berdasarkan hadis, Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dengan melakukan solat lima waktu Allah akan menghapuskan dosa-dosa. (riwayat al-Bukhari)
Hadis seterusnya, Uthman r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka semua solat fardu yang dilakukannya akan menebus dosa yang ada di antara solat tersebut. (riwayat Muslim)

Begitu juga orang yang cuai mengerjakan solat, sama ada sengaja melengah-lengahkan atau meninggalkannya akan membawa kepada kekufuran sekiranya dia berterusan begitu. Oleh itu, solat merupakan santapan utama bagi iman sebagaimana yang telah disebutkan.
Seterusnya hadis daripada Ummu Aiman, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan engkau sengaja meninggalkan solat, sesungguhnya sesiapa yang sengaja meninggalkan solat dia akan terlepas daripada mendapat perlindungan Allah dan Rasul-Nya." (riwayat Imam Ahmad)
Semoga dengan pencerahan ini, walau apa jua keadaan sekalipun solat hendaklah diutamakan kerana ia membawa kepada kejayaan dan kemenangan.

Thursday, August 7, 2014

LINDUNGI TAMAN NEGARA TANJUNG PIAI


SUHAIMI Salleh (depan, enam dari kiri) bersama sukarelawan PASBH di pintu masuk
Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian sebelum melakukan kerja-kerja menanam anak-anak
pokok bakau di kawasan tersebut baru-baru ini. -

PONTIAN 6 Ogos - Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) dan Taman Negara Johor Pulau Kukup (TNJPK) dekat sini perlu terus di­lindungi daripada usaha pembangunan yang boleh menjejaskan keaslian kedua-dua kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh berkata, kedua-dua taman tersebut merupakan kawasan hutan paya bakau yang perlu bebas daripada bentuk pembangunan pada masa depan.
Beliau berkata, kedua-duanya juga berperanan sebagai 'benteng' bagi menahan ombak, ribut dan angin kencang yang boleh mengundang sebarang kemusnahan jika berlaku pembangunan.
"Sekiranya ada cadangan pembangunan di kawasan tersebut ia perlu dipertimbangkan dengan mengambil kira terhadap kepentingan khazanah alam yang terdapat di kedua-dua taman negara tersebut.
"Taman negara tersebut juga merupakan aset utama kepada sektor pelancongan daerah Pontian yang merupakan tanah Penghujung Benua Asia serta hutan paya bakau terbesar di dunia," katanya semasa merasmikan Program Menanam Pokok Bakau anjuran Persatuan Alam Sekitar Bumi Hijau (PASBH) yang disertai 60 sukarelawan di TNJTP, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Presiden PASBH, P. Sivakumar. Sebanyak 300 anak pokok bakau berjaya ditanam di TNJTP bagi membantu memelihara ekosistem di kawasan tersebut.
Suhaimi berkata, penglibatan pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar dan masyarakat telah banyak membantu pihak TNJTP menggantikan pokok-pokok bakau yang tumbang disebabkan oleh hakisan.
Sementara itu, Sivakumar memberitahu, persatuan itu yang baru ditubuhkan tahun lalu akan menjalankan aktiviti berkaitan alam sekitar dengan kerjasama pihak swasta termasuk mengadakan program kesedaran alam sekitar kepada para pelajar bagi memberi mereka pendedahan tentang pen­tingnya alam sekitar yang baik kepada kehidupan.

Wednesday, August 6, 2014

JAMBATAN KUKUP-KARIMUN

PENUNTUT UTM yang menyertai program kajian mengenai pembinaan terowong dan jambatan 
menghubungkan Kukup di Johor dengan Pulau Karimun, Sumatera menemu bual Datuk Bandar 
Karimun, Nurdin Basirun di Tanjung Balai, Indonesia, baru-baru ini. - Ihsan UTM

JOHOR BAHRU 5 Ogos - Penduduk di Kepulauan Riau menyambut baik cadangan pembinaan terowong dan jambatan yang menghubungkan kawasan Kukup di negeri ini dengan Pulau Karimun, Sumatera dan berharap ia dipercepatkan.
Kajian yang dilakukan oleh sekumpulan 15 penuntut Kolej Tun Fatimah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini mendapati ia memberi impak positif kepada penduduk Malaysia dan Indonesia.
Ketua kumpulan penuntut itu, Nurdiana Nordin berkata, kajian selama seminggu itu di sepanjang laluan yang terlibat dengan pembinaan terowong dan jambatan itu adalah untuk mengkaji kesan sosial, ekonomi dan budaya.
"Pembinaan terowong dan jambatan bermula dari Tanjung Balai di Pulau Karimun Besar melalui Pulau Kundur, Pulau Parit, Kuala Kampar, Teluk Meranti, Kerinci hingga ke Pekan Baru.
"Rata-rata penduduk yang ditemui percaya laluan menghubungkan Malaysia dan Pulau Sumatera itu mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka," katanya, di sini baru-baru ini.
Projek terowong dianggarkan menelan kos RM15 bilion tersebut melibatkan gandingan terowong bawah laut sepanjang 17.5 kilometer dan beberapa jambatan termasuk yang terpanjang 13 kilometer dari Kukup, Pontian ke Pulau Karimun, Riau di Sumatera.
Tambah Nurdiana, kebanyakan penduduk di kawasan terlibat yakin bahawa aktiviti pelancongan bakal berkembang pesat kerana kos pengangkutan akan menjadi lebih murah dan cepat.
"Jika pembinaan menjadi kenyataan, lebih ramai pelawat dari Malaysia dan Singapura berkunjung ke sana dan peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan. Nilai mata wang Malaysia dan Singapura yang lebih tinggi berbanding rupiah membolehkan ramai pelancong berbelanja membeli produk hasil keluaran penduduk tempatan," katanya.
Katanya lagi, dengan terbinanya terowong dan jambatan, dijangka lebih banyak pelabur berminat membuka industri di wilayah yang kaya dengan petroleum dan gas itu sekali gus mengatasi masalah pengaliran keluar tenaga kerja di Indonesia apabila lebih banyak pelabur membuka kilang di sana.

Monday, August 4, 2014

SELERA DAPUR ARANG-KUALA IBAI, KT.


SELERA Dapur Arang menjadi tumpuan pengunjung yang menggemari ikan bakar.

GENERASI hari ini pasti ada yang tidak kenal apa itu dapur arang. Malah mereka mungkin tidak mengetahui masakan menggunakan dapur arang jauh lebih enak dan rasanya sukar ditandingi berbanding dengan hidangan dari dapur biasa.
Melihat keunikan itu, pemilik kedai Selera Dapur Arang, Mohd. Shafie Mustafa, 36, memilih untuk mengekalkan kaedah memasak makanan dengan menggunakan dapur arang.
Lebih istimewa apabila ketika rata-rata kedai makan di sekitar Terengganu berlumba-lumba menyediakan hidangan ikan bakar berempah buat para pelanggan dengan menggunakan dapur biasa, Mohd. Shafie pula cenderung untuk menyajikan ikan bakar 'kosong' yang dicicah dengan air asam semata-mata.
Selain bertujuan meneruskan warisan turun-temurun katanya, konsep memasak menggunakan dapur arang mempunyai nilai-nilai tersendiri. Malah, difahamkan hidangan ikan yang dibakar menggunakan dapur arang itu merupakan satu-satunya yang terdapat di Terengganu.
Percubaan ikan bakar kosong untuk disajikan kepada orang ramai itu merupakan sesuatu yang di luar kebiasaan, tetapi ternyata berjaya memikat selera ramai apabila restoran yang baru dibuka pada 20 Mac lalu itu dikunjungi pelanggan dari seluruh negara termasuk pelancong antarabangsa.
Tambahan pula, umum mengetahui ikan bakar kosong sememangnya terbukti berkhasiat dan rendah kalori, sekali gus sesuai diamalkan dalam diet seharian.
Mengakui tidak mempunyai sebarang kepakaran mahupun resipi rahsia dalam hidangan ikan bakar menggunakan dapur arang itu, Mohd. Shafie berkata, bahan yang menjadi keutamaan dan dititikberatkan dalam prosedur operasi standard (SOP) adalah kesegaran ikan dan juga kualiti air asam.
Bagaimanapun, katanya, air asam 'kaw' yang dihasilkan sendiri oleh isterinya itu sering mendapat pujian pelanggan.
"Di sini (Terengganu), kita sudah biasa makan ikan bakar berempah dan susah nak jumpa ikan bakar kosong. Kunjungan ke beberapa restoran di Kelantan dan Melaka memberi banyak inspirasi untuk saya bangunkan perniagaan berkonsepkan ikan bakar dari dapur arang.
"Istimewanya ikan bakar kosong menggunakan dapur arang ini adalah ia lebih cepat dimasak dan pelanggan dapat menikmati keaslian rasa masakan itu. Tempoh masak bagi setiap ikan adalah antara lima hingga enam minit," katanya ketika ditemui S2.
Menurut Mohd. Shafie, pelanggan boleh memilih sendiri kesemua sembilan jenis ikan segar yang ditawarkan antaranya cencaru, kembung, pari, merah, cermin, muduk dan sotong.
Katanya, kos bagi setiap hidangan bergantung kepada harga ikan semasa. Bagaimanapun, harganya dijamin berpatutan dan murah.
Selain hidangan ikan bakar, Selera Dapur Arang turut menyediakan menu lain termasuk nasi goreng nelayan yang berharga RM3.00, ulam-ulaman kampung (RM2.00), pulut kelapa (RM1.50), ikan singgang dan ikan patin masak tempoyak.
"Kami menerima banyak permintaan untuk menyediakan masakan panas dalam kalangan pelanggan. Jadi, dalam masa terdekat dijangka terdapat penambahan menu antaranya makanan laut, maggi dapur arang, keropok lekor dapur arang dan colek perut.
"Kami juga merancang untuk membuka cawangan di Kuantan, Pahang dalam bulan September ini," katanya.
Mohd. Shafie berkata, kedai makannya kini beroperasi setiap hari kecuali Isnin, bermula pukul 5 petang hingga 1 pagi dan mampu memuatkan 60 pelanggan pada satu-satu masa.
Menurutnya, terdapat 30 buah dapur arang di restoran itu dengan dibantu 14 pekerja termasuk lima tukang masak.
Katanya, Selera Dapur Arang yang terletak di Jalan Tok Adis, Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu turut menerima tempahan untuk sebarang majlis dan mereka yang berminat boleh melayari laman Facebook (FB) Dapur_Arang dan Instagram dapur_arang2014 untuk maklumat lanjut.

OKSIGEN TULIN ELAK PENYAKIT

MOHD Norazri Hamzah

PENCEMARAN udara di sekeliling menyebabkan manusia kekurangan oksigen di dalam badan.
Kebanyakan penyakit pada era moden berpunca daripada kekurangan oksigen di dalam darah, otak dan organ lain. Keadaan ini berlaku hampir di seluruh dunia.
Oksigen membantu tubuh untuk meregenerasi sel, membantu membesarkan daya penyerapan nutrisi, meningkatkan sistem pertahanan tubuh dan meneutralkan zat-zat beracun di dalam darah.
Authur C. Guyton, M.D. dalam bukunya The Textbook on Medical Physiology mengatakan bahawa semua penyakit kronik berpunca daripada kekurangan oksigen yang berlaku di peringkat sel.
Oleh itu, oksigen merupakan kunci kepada kehidupan. Kita boleh hidup beberapa hari tanpa makanan dan air tetapi kita tidak dapat hidup secara purata selama empat minit sahaja tanpa oksigen.
Bahkan, sel-sel otak kita akan mati dalam waktu 15 hingga 20 saat sahaja tanpa adanya oksigen. Hal ini kerana setiap sel dalam tubuh manusia amat memerlukan oksigen untuk pertumbuhan dan sel terus hidup.
Manfaat oksigen pada sudut kesihatan tidak kurang pentingnya kerana dapat meningkatkan daya ingatan dan kecerdasan otak, mencegah kanser, asma dan pelbagai penyakit kronik lain.
Selain itu, ia dapat meningkatkan metabolisma tubuh, mengurangkan racun dan toksin dalam darah serta menstabilkan tekanan darah.
Di samping itu, oksigen juga berperanan untuk memperkuatkan jantung dan sistem pertahanan tubuh.
Hakikatnya, oksigen membantu untuk mencegah stres dan gugup selain mencantikkan kulit dari penuaan diri atau tua sebelum umur. Dalam pada itu, Arrakasta MO Sdn. Bhd. merupakan syarikat bumiputera tunggal yang terdiri daripada usahawan muda dan berpengalaman luas dalam bidang kesihatan dan merupakan pengedar tunggal Dr. Arras Oxygen Concentrator di Malaysia yang mendapat sambutan pengguna sejak dilancarkan.
Pengurus Besar Arrakasta MO Sdn Bhd, Mohd Norazri Hamzah menjelaskan setiap tubuh badan manusia mempunyai 60 billion sel yang memerlukan oksigen.
Selain sambutan dan permintaan yang menggalakkan daripada masyarakat tempatan, Arrakasta MO berjaya mengubah tanggapan masyarakat bahawa oksigen sangat berkait rapat dengan semua jenis penyakit dan bukannya pada masalah kesihatan pernafasan sahaja.
Fungsi utama darah ialah membawa bekalan oksigen ke seluruh anggota badan. Justeru itu, semua kaedah rawatan di dunia penting untuk memastikan perjalanan darah yang lancar termasuk pintasan jantung, terapi, bekam, berurut, akupuntur dan sebagainya.
Menurut Azri lagi, Dr. Arras Oxygen Concentrator berfungsi menyalurkan oksigen tulen yang cukup di dalam darah selain membantu masalah pernafasan.
Uniknya Dr. Arras Oxygen Concentrator adalah mesin oksigen pertama di Malaysia yang mempunyai tiga fungsi istimewa dalam satu mesin.
"Fungsi utama Dr. Arras Oxygen Concentrator adalah membekalkan oksigen tulen sehingga 90 peratus yang bebas daripada pencemaran berbanding persekitaran yang hanya mempunyai 20 peratus oksigen sahaja," katanya.
Selain itu, dengan menggunakan teknologi Jerman terkini iaitu sistem penapisan HEPA, ia bukan sahaja menapis udara malah bendasing lain seperti bulu binatang, habuk, asap, serta berupaya memerangkap dan membunuh virus dan bakteria sekecil 0.03 mikron yang terampai di dalam udara.
Pada masa yang sama, ia akan membebaskan =5,000,000 ion negatif untuk memastikan udara disekitar bukan sahaja bersih tetapi sihat. Ujarnya lagi, ion negatif biasanya terdapat di kawasan tenang seperti hutan, air terjun dan kawasan pendalaman.
"Kami melihat oksigen tulen, udara bersih dan ion negatif berkait rapat antara satu sama lain. Setelah kajian daripada penyelidikan (R&D) Arrakasta MO, kami menggabungkan ketiga-tiga fungsi ini di dalam satu mesin. Ia lebih menjimatkan serta lebih praktikal dan memberi nilai tambah kepada pengguna.
"Kebanyakkan pengguna Dr. Arras Oxygen Concentrator ialah mereka yang mengalami masalah asma, copd, paru-paru kronik, semput, jantung, perkembangan minda, kanser dan sebagainya. Alhamdulillah dengan izin-Nya mendapat kesan yang memberangsangkan dan membantu mempercepatkan proses penyembuhan,"ujarnya.
Menurut Azri lagi, mesin ini sesuai untuk luka besar, terbakar, ibu mengandung serta tiada pantang larang penggunaannya dan tidak berbahaya.
Di samping mereka yang mengalami masalah kesihatan, Dr. Arras Oxygen Concentrator juga amat sesuai untuk pencegahan. Selain itu, ia sesuai untuk mereka yang sedang belajar sama ada di peringkat rendah atau di peringkat tinggi, atlet, golongan profesional dan mereka yang bekerja di ruangan terhad dan tertutup.
"Kami berharap Dr. Arras Oxygen Concentrator dapat dijadikan alat bantuan kecemasan di rumah sebelum mendapatkan rawatan di hospital. Ini sesuai dengan visi dan misi syarikat mewujudkan kawasan bebas dan sihat untuk rakyat Malaysia," katanya.