BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, July 25, 2014

SALAM AIDILFITRI 1435H: CUTI 26 JULAI-2 OGOS 2014


Salam Aidilfitri untuk semua Muslimin & Muslimat.Raikanlah hari kemenangan ini dengan kesederhanaan tapi penuh kesyukuran.

Operasi Restoran Kemangi ditangguhkan bermula 26 Julai dan akan dibuka semula seperti biasa pada 3 Ogos 2014, insyaallah.

CUTI AIDILFITRI 1435H/2014 : 26/7 - 2/8/2014

Wednesday, July 23, 2014

KAMPUNG MELAYU HALAL RESTAURANT DI HO CHI MINH CITY


Kampung Melayu Halal Restoran terletak di 31 Nguyen An Ninh, District 1 yang kini lebih dikenali sebagai Malaysia Street.

15 tahun yang lalu, usahawan Malaysia, Datuk Helmy Jaafar yang sering berulang alik ke Vietnam untuk urusan perniagaan mendapati kesukaran utama dihadapinya ialah mendapatkan makanan halal di negara sosialis itu.
Akibatnya, beliau yang menjalankan perniagaan telekomunikasi dan jual beli barangan seperti kasut dan produk daripada buluh terpaksa membawa bekalan mi segera dari Malaysia setiap kali pergi ke negara itu.
Akhirnya, empat tahun yang lalu, beliau dipujuk oleh rakan kongsi di Vietnam untuk membuka restoran di Bandar Raya Ho Chi Minh berikutan semakin ramai rakyat Malaysia yang melancong ke negara itu.
Tanpa pengalaman dalam bidang perniagaan makanan, Helmy akhirnya membuka restoran dikenali sebagai Kampung Melayu Halal Restoran yang terletak di 31 Nguyen An Ninh, District 1, tetapi kini lebih dikenali sebagai Malaysia Street.
Restoran itu terletak kira-kira 100 meter dari Pasar Ben Thanh, destinasi membeli-belah paling popular masa kini dalam kalangan rakyat Malaysia yang datang ke Ho Chi Minh.
Helmy memberitahu, tujuan utamanya ialah menawarkan makanan yang benar-benar halal bermula dari penyediaan bahan mentah hingga makanan dihidangkan kepada para pelanggannya.
“Sebab itu, tumpuan utama restoran ini ialah rakyat Malaysia yang berkunjung ke Ho Chi Minh. Ini terbukti apabila 90 peratus daripada pelanggan saya ialah rakyat Malaysia," katanya yang menetap di Seremban 2, Negeri Sembilan.
Beliau berkata demikian kepada sekumpulan wartawan Malaysia yang mengikuti lawatan tajaan agensi pelancongan Vietnam, Asia Tour Vietnam ke Bandar Raya Ho Chi Minh, Vietnam baru-baru ini.
Berikutan sambutan yang begitu menggalakkan, Helmy kemudian membuka sebuah lagi restoran, Saigon SriPenang Halal Restoran di 29 Luu Van Lang, District 1 yang juga berhampiran dengan Pasar Ben Thanh setahun selepas itu.
Restoran Kampung Melayu menawarkan 25 menu masakan yang lebih pro-Malaysia manakala Restoran SriPenang menghidangkan 28 menu yang merupakan masakan kampung gabungan Malaysia dan Vietnam.
Antaranya ialah nasi goreng ayam, ikan tiga rasa, tom yam, ikan masin serta pelbagai masakan laut dan masakan Vietnam yang mendapat sambutan menggalakkan.
Kedua-dua restoran itu mempunyai 60 kakitangan yang bekerja secara dua syif dan diketuai oleh dua chef dari Malaysia. Ia dibuka mulai pukul 5.30 pagi hingga 11.30 malam.
Helmy berkata, beliau mendapatkan bahan mentah untuk restorannya daripada komuniti Islam di Ho Chi Minh antaranya Imam Masjid Jamia Al-Anwar, Chey Muhamaoh, 69, yang turut membekalkan daging halal kepada lima buah restoran di bandar raya itu.
Sementara bahan sampingan seperti kicap dan rempah ratus dibawa dari Malaysia bagi mengekalkan citarasa negara selain harganya lebih murah.
Dengan usahanya ini terutama tarikan terhadap status halal telah mendorong rakyat Vietnam membuka restoran yang memaparkan logo halal di premis masing-masing. Untuk maklumat lanjut, Helmy boleh dihubungi di talian 017-7777730.

Thursday, July 17, 2014

KAMPUNG PARIT JERMAN BAKAL JADI TARIKAN PELANCONG

JOHOR BAHRU - Kerajaan Negeri Johor akan meninjau potensi yang ada di Kampung Parit Jerman di Pontian untuk dipromosikan sebagai tarikan pelancongan baharu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata usaha itu bagi meningkatkan kedatangan pelancong ke Pontian dan negeri ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama-sama media dan agensi pelancongan anjuran Jabatan Pelancongan Johor, Pejabat Kementerian  Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Johor dan Tourism Malaysia di sini malam tadi.

Kampung Parit Jerman kini menjadi bualan ramai termasuk di laman sosial ekoran kemenangan pasukan Jerman mengalahkan Brazil 7-1 pada saingan separuh akhir Piala Dunia 2014 baru-baru ini dan muncul juara Piala Dunia semalam.

Asal-usul nama Parit Jerman dikatakan bermula apabila terdapat penempatan satu kelompok bangsa Jerman yang mengusahakan ladang pertanian dan mengeluarkan hasil pertanian melalui sungai di kawasan itu.     
 
Dikatakan terdapat kesan batu bata dan tangga batu yang dianggap penduduk setempat terutama generasi tua sebagai bukti adanya aktiviti perdagangan dan peninggalan askar Jerman pada Perang Dunia Kedua.

Sementara itu, berucap pada majlis berkenaan, Tee meminta semua pihak menjalin kerjasama berterusan bagi merealisasikan Johor sebagai destinasi pelancongan yang unggul.

Beliau berkata Johor kini semakin dikenali ramai apabila kedatangan pelancong ke negeri ini direkodkan seramai 5.7 juta tahun lepas berbanding 3.9 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya, daripada 5.7 juta itu, seramai 2.6 juta merupakan pelancong antarabangsa.

"Jumlah peningkatan pelancong ini meletakkan Johor berada pada kedudukan ketiga bagi jumlah keseluruhan kemasukan pelancong di negara ini. Jumlah kedatangan pelancong antarabangsa seramai 2.6 juta orang itu pula meletakkan Johor berada pada kedudukan kedua selepas Kuala Lumpur," katanya.

Tuesday, July 15, 2014

KAFE CHEMISTRY & LAB- SEKSYEN 7, SHAH ALAM


ALATAN makmal seperti picagari, bikar dan kelalang kon digunakan untuk menghidang 
minuman kepada pelanggan.

KRU Jurnal bagaikan terkesima melihat konsep unik dekorasi yang diketengahkan di Kafe Chemistry & Lab yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor ini.
Kafe yang baru dibuka bulan lalu ini sememangnya mudah mencuri perhatian disebabkan konsepnya yang berbeza.
Kebiasaannya, restoran di Malaysia menggunakan konsep moden, klasik, ala Eropah atau moden kontemporari tetapi pemilik mahukan pelanggan berasa seperti berada di dalam sebuah makmal.
Menurut pemilik, Intan Syafina Abd. Rahman, 28, idea untuk menerapkan konsep itu diperoleh hasil perbincangan bersama rakan kongsinya, Zuhairy Zakaria, 33.
"Sebenarnya, kami ada dua cadangan konsep bagi melatari kafe ini.
"Konsep makmal merupakan cadangan kedua kami memandangkan barangan yang diperlukan mudah diperoleh berbanding cadangan pertama.
"Oleh sebab itu, kami memilih untuk merealisasikan konsep makmal ini terlebih dulu tetapi kami tetap akan melaksanakan rancangan pertama itu yang berbeza daripada dekorasi sekarang," ujarnya sambil memberitahu, restoran itu mengamalkan konsep layan diri.

LUKISAN mural berkaitan proses eksperimen di makmal menjadi hiasan di dinding utama
 Kafe Chemistry & Lab ini.

Jelasnya, pihaknya mahu mencuba hiasan dalaman yang berbeza serta bersesuaian dengan pelanggan.
"Majoriti pelanggan kafe ini golongan pelajar institusi pengajian tinggi, jadi kami memilih tema yang dapat dikaitkan dengan mereka.
"Malah, makna nama kafe ini juga boleh dipelbagaikan dan tidak bertumpu pada satu maksud sahaja.
"Apabila bercakap tentang chemistry, ia sebenarnya merangkumi semua perkara seperti keserasian pelanggan dengan menu makanan serta minuman selain faktor keserasian antara pelanggan dengan rakan mereka.

Kafe ini diusahakan Intan Syafina (depan) bersama rakan kongsinya, Zuhairy.


"Ia bukan bermaksud 'kimia' semata-mata," tambahnya sambil menambah, kafe itu menggunakan tagline Sains untuk Bersosial (Science of Socializing).
Katanya, kesemua barangan makmal seperti bikar, picagari, tabung uji dan kelalang kon diperoleh daripada pembekal peralatan makmal di Lembah Klang.
"Sambutan daripada pelanggan amat menggalakkan. Sempena Ramadan ini, kami beroperasi dari pukul 5 petang hingga 4 pagi.
"Kami turut menyediakan menu masakan tempatan untuk pelanggan berbuka puasa dan bersahur," ujarnya.
Menurut Intan Syafina, harga makanan dan minuman di sini adalah antara RM6 hingga RM15.
Apa yang menarik, bukan sahaja kafe yang berkeluasan 157 meter persegi ini dihias dengan peralatan makmal bahkan pakaian kakitangan juga merupakan uniform makmal sebenar.

RUANG yang dikhaskan kepada pelanggan untuk menikmati minuman sambil bersantai.


Melangkah masuk ke pekarangan kafe yang dapat memuatkan seramai 100 pelanggan pada satu masa ini, kru Jurnal dihidangkan dengan pemandangan konsep industri pada ruang makan di bahagian luar kafe.
Batu bata merah yang tidak dilepa berjaya memberikan efeknya yang tersendiri.
Salah satu sudut di bahagian dalam pula dihias dengan peralatan makmal yang diletakkan di atas sebuah tong.
Pemilik turut mengabadikan gambar kenangan bersama pelanggan di dinding ruang santai kafe ini.
Kelihatan juga sebuah sinki yang dijadikan meja untuk pelanggan menikmati hidangan sambil bersantai.
Lukisan mural mengenai proses eksperimen pula menghiasi dinding utama kafe.
Penggunaan pinggan mangkuk antik seperti cawan dan pinggan pula diaplikasikan pada dinding yang tidak dilepa di ruang belakang kafe ini yang dikhaskan kepada pelanggan yang datang secara berkumpulan seramai lapan hingga 10 orang.
"Kami juga membuka tempahan katering untuk majlis berskala kecil seperti mesyuarat dan majlis sambutan hari jadi.
"Malah, ada juga pelanggan yang mahu mengadakan sesi praperkahwinan di kafe ini selepas melihat konsep yang kami ketengahkan," jelasnya yang mempunyai 17 orang kakitangan.

NASI AMBENG RIVERSTONE ECO RESORT-JLN. SUNGAI TUA, BT. CAVE


MENERUSKAN tradisi berbuka puasa di tengah rimba yang tenang dan mendamaikan, restoran D’River di Riverstone Eco Resort, menawarkan sebanyak 45 jenis hidangan termasuk masakan Jawa yang popular, nasi ambeng.
Antara sajian masyarakat Jawa yang tidak pernah dilupakan adalah nasi ambeng, pecel, kuih-muih seperti tiwol, pisang godog (rebus) dan ubi godog.
Selain itu, urap kecipir, tempe goreng bawang putih serta minuman istimewa wedang serey turut dihidangkan.
Pengarah Urusannya, Mohd. Ashari Sidik, berkata, sajian nasi ambeng di resort itu memang menjadi sebutan ramai, apatah lagi ia dihidangkan di dalam talam.
"Secara tradisinya, nasi ambeng dihidangkan di dalam talam dan dimakan antara empat hingga lima orang.
"Bagi yang tidak biasa menikmati nasi ambeng di dalam talam, mereka boleh meminta kami menyediakan pinggan," katanya lagi.
Mengulas rahsia masakan yang disajikan enak dan cukup ramuannya, Mohd. Ashari memberitahu, pihaknya menggunakan bahan segar dan berkualiti dalam setiap masakan.
Selain itu, semua sajian yang disediakan itu dimasak sendiri oleh isterinya, Hamidah Asararuddin.
"Bukan tak percaya pada pekerja tetapi, masakan daripada ‘air tangan’ isteri saya memang dijamin enak dan mampu membangkitkan selera," tambahnya.
Bagi yang tidak kenal sajian nasi ambeng, ia terdiri daripada satu set masakan yang terdiri daripada nasi putih, ayam semur, sambal goreng, mi goreng, serunding, sayur kacang dan ikan masin.
Resort ini terletak di Jalan Sungai Tua, Batu Caves, Selangor. Cara mudah ke sana adalah mengikut jalan raya menuju ke Hulu Yam dari Batu Caves.
Sebaik sahaja melepasi Empangan Batu, belok ke kiri jalan menuju ke resort yang terletak di tepi sungai dan dikelilingi hutan menghijau.
Konsep restoran terbuka membuatkan sesiapa sahaja yang berbuka puasa di sini berasa nyaman tatkala hembusan bayu tasik dari empangan bersebelahan bertiup ke arah restoran.
Selain itu, irama semula jadi daripada unggas hutan yang memecah keheningan malam turut menjadikan pengalaman berbuka puasa di resort ini sukar untuk dilupakan.
Dalam pada itu, sebagai pelengkap hidangan yang pelbagai, resort ini juga menyajikan masakan Melayu termasuk patin tempoyak.
"Ikan patin yang digunakan tidak berbau hanyir dan kami hanya menggunakan tempoyak baharu untuk menyediakannya," ujarnya.
Antara menu lain adalah soto ayam, asam pedas dan kerabu kacang botor, manakala kuih muih pula adalah sagu gula Melaka, bubur kacang hijau, pengat pisang, selain minuman teh tarik.
Kemudahan surau turut disediakan, manakala bufet Ramadan tahun ini bermula dari 3 Julai sehingga 26 Julai dari pukul 6.30 petang sehingga 9 malam.
Harga dewasa adalah RM40 dan kanak-kanak RM22.

Monday, July 14, 2014

JERMAN JUARA PILA DUNIA 2014-PENDUDUK KG. PARIT JERMAN BERPESTA

  • Penduduk mengenakan jersi skuad Jerman bagi menyokong pasukan pilihan mereka.Penduduk mengenakan jersi skuad Jerman bagi menyokong pasukan pilihan mereka.
 1 / 1 
PONTIAN - Jaringan kemenangan pemain Jerman, Mario Gotze pada minit ke-113 ke atas Argentina, disambut sorakan kegembiraan penduduk Kampung Parit Jerman semasa majlis tontonan perlawanan Piala Dunia 2014 itu di sini pagi ini.

Jeritan 'gol' memecah keheningan subuh tatkala masyarakat Islam tengah sibuk bersahur, diikuti tepukan gemuruh daripada lebih 50 penduduk yang hadir untuk menyaksikan perlawanan akhir itu.

"Kami rasa amat gembira dengan kemenangan ini dan berpuas hati pasukan Jerman yang sama nama dengan kampung kami telah mempamerkan mutu permainan yang baik," kata Ketua Kampung Kawasan (1), Mukim Ayer Masin, Mohd Asri Ali.

Kemaraan Jerman ke peringkat akhir pertandingan bola sepak berprestij itu telah melonjakkan nama Kampung Parit Jerman di laman sosial sehingga menjadi tumpuan media tempatan.

Ditemui pada majlis itu yang diserikan dengan aktiviti bersahur makanan terkenal masyarakat Jawa nasi ambeng, serta durian, manggis dan kuih-muih tempatan, Mohd Asri berkata sebelum ini beliau tidak menyangka kampung itu turut mendapat tempias daripada Piala Dunia

"Kita boleh lihat ramai yang singgah di jalan masuk ke kampung ini untuk bergambar di papan tanda nama kampung. Ramai orang sudah mengenali kampung ini," kata Mohd Asri.

Kini, penduduk kampung itu berhasrat untuk mengumpul dana bagi membina pintu gerbang yang cantik untuk memudahkan orang ramai yang ingin datang untuk melawat.

Beliau berkata jamuan khas akan diadakan pada awal Hari Raya bagi meraikan kemenangan pasukan Jerman itu.

Kampung Parit Jerman yang terletak berdekatan Kampung Belokok, lebih kurang lima kilometer dari Pekan Peradin didiami 100 penduduk terdiri daripada masyarakat Jawa, Bugis dan Banjar.

Kampung tersebut dinamakan sedemikian berikutan terdapatnya bukti kehadiran masyarakat Jerman yang berdagang dan membuka kawasan pertanian di Sungai Peradin suatu ketika dahulu.

Terdapat kesan peninggalan sejarah seperti batu-bata dan tangga batu yang dianggap penduduk generasi tua sebagai bukti peninggalan tentera Jerman.

Dikatakan, ia merupakan penempatan sementara tentera Jerman yang disediakan oleh sekutunya Jepun yang berpangkalan di Singapura, selain Kampung Parit Jerman di Sitiawan, Perak dan sebuah markas di Pulau Pinang pada Perang Dunia Kedua. -

Thursday, July 10, 2014

PATUHI PERATURAN BAZAR RAMADHAN

  • Peniaga bazar Ramadan disyaratkan supaya tidak memulakan perniagaan sebelum jam 3 petang.Peniaga bazar Ramadan disyaratkan supaya tidak memulakan perniagaan sebelum jam 3 petang.
 1 / 1 
PONTIAN - Semua peniaga di bazar Ramadan diingatkan supaya mematuhi peraturan sepanjang menjalankan perniagaan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Miswan Yunus berkata, sebanyak sembilan lokasi bazar Ramadan dibuka di  daerah ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, kira-kira 128 tapak dibuka di pekarangan Stadium Mini Pontian dan tapak lain di kawasan seperti Parit Masjid, Pekan Nenas, pekan Permas, Gerai Tepi Laut Pontian, pekan  Ayer Baloi, pekan  Benut dan Terminal Pengangkutan Awam Pontian dan Taman Mutiara.

“Bazar beroperasi mulai jam 3 petang hingga waktu berbuka puasa dengan menawarkan pelbagai jenis minuman dan makanan termasuk antaranya kuih-muih, lauk pauk, dan kurma.

“Peniaga perlu mematuhi peraturan iaitu tidak memulakan perniagaan sebelum jam 3 petang. Kebersihan gerai juga perlu diutamakan dengan mematuhi garis panduan seperti memakai apron dan penutup kepala,” katanya kepada  Sinar Harian, semalam.

Miswan berkata, pihaknya memandang serius waktu  perniagaan bagi peniaga di  bazar Ramadan.

Jelasnya, syarat lesen bagi peniaga bazar Ramadan, mereka hanya dibenarkan menjual juadah berbuka puasa bermula jam 3 petang.

“Penguatkuasa akan pantau perkara ini, dan amaran akan diberikan kepada peniaga yang membuka gerai awal,” katanya.

Katanya lagi, MDP juga sentiasa menjalankan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Daerah Pontian bagi  melakukan pemeriksaan  ke atas makanan dan kebersihan gerai supaya tidak berlaku kejadian keracunan makanan.

Tuesday, July 8, 2014

RM 1 BILLION BANGUNKAN LARKIN

  • Kamaruzzaman (dua, kiri) melihat sajian dinikmati pengamal media yang hadir.Kamaruzzaman (dua, kiri) melihat sajian dinikmati pengamal media yang hadir.
 1 / 1 
JOHOR BAHRU - Kira-kira RM1 bilion diperuntukkan Johor Corporation (JCorp) bagi membangunkan projek pembangunan bersepadu di kawasan Larkin, dalam tempoh empat tahun.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, projek yang akan dibangunkan anak syarikatnya, Johor Land Bhd itu bakal didirikan di atas tanah seluas 40 hektar.

Menurutnya, projek yang dikenali sebagai Larkin Central Park itu dijangka memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.

“Projek bersepadu itu dijangka dimulakan awal tahun depan melibatkan pembangunan prasarana sukan seperti menaik taraf Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, pembinaan kompleks kolam renang dan stadium tertutup.

“Selain itu, ada komponen lain seperti rumah mampu milik berbentuk pangsapuri kira-kira 400 unit dan komersial turut dibangunkan di atas tanah berkenaan,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama media di Hotel Puteri Pacific, semalam.

Kamaruzzaman berkata, bagi memastikan projek berjalan lancar, JCorp turut memperuntukkan RM270 juta untuk kerja-kerja naik taraf dan melebar jalan serta infrastruktur lain bagi kegunaan masyarakat setempat.

“Disebabkan pembangunan berhampiran bandar raya Johor Baharu, jadi penting untuk kita tentukan sistem aliran trafiknya itu boleh menampung jumlah trafik sekarang dan akan datang.

“Majlis mesyuarat kerajaan negeri sudah luluskan. Jadi kita cadang sebelum hujung tahun ini, kita akan dapat muktamadkannya dan serah pelan merancang kepada pihak berkuasa nanti,” katanya.

Difahamkan, kerja naik taraf stadium di Larkin akan meningkatkan kapasiti sehingga boleh memuatkan sehingga 40,000 penonton dalam satu masa.

Projek berkenaan juga akan turut membina stadium tertutup yang menggunakan reka bentuk ikonik dan menjadi mercu tanda bagi bandar raya ini.

Saturday, July 5, 2014

RAMADHAN BUKAN ADAT

BULAN Ramadan adalah salah satu bulan yang istimewa dalam kalangan umat Islam. Apabila tibanya bulan Ramadan, semua umat Islam yang sudah layak memikul taklifan diwajibkan untuk berpuasa sepanjang bulan ini. Kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan telah disebutkan oleh Allah SWT, Rasulullah SAW dan ijmak (kesepakatan) seluruh ulama muslimin.
Begitu pun, sebahagian umat Islam seolah-olah tidak mengendahkan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan. Mereka menganggap bahawa puasa itu seakan-akan adat kebiasaan umat Islam apabila tibanya Ramadan. Ramadan lebih dianggap sebagai adat sepanjang tahun berbanding kewajipan ke atas setiap insan yang bergelar Muslim.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa (Ramadan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa. (al-Baqarah:183)
Imam Ibnu Kathir menyebutkan dalam tafsirnya bahawa dalam ayat ini Allah memerintahkan seluruh umat Islam untuk berpuasa. Puasa bermaksud menahan diri daripada makan, minum, melakukan persetubuhan dengan niat semata-mata kerana Allah SWT. Ini kerana puasa mengandungi penyucian dan penjernihan diri daripada amalan-amalan yang buruk dan akhlak yang tercela.
Beliau juga menyebutkan bahawa pada awal-awal permulaan Islam, mereka diperintahkan untuk berpuasa tiga hari setiap bulan. Perintah itu akhirnya dimansuhkan lalu diganti dengan puasa wajib sebulan sepanjang bulan Ramadan selepas turunnya surah di atas.
Ia turut disebut oleh Al-Dahhak bahawa kewajipan berpuasa tiga hari setiap bulan itu bermula sejak zaman Nabi Nuh dan ia berterusan hinggalah awal kedatangan Islam bagi umat Nabi SAW hinggalah Allah SWT menasakhkannya dengan puasa di bulan Ramadan.

Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya Al-Jami’ li Ahkam Al-Quran menyebutkan bahawa lafaz al-Quran yang menyebutkan kutiba (diperintahkan) bermaksud ia suruhan yang bersifat wajib. Maka ayat yang menyebutkan tentang diperintahkan berpuasa itu bermaksud diwajibkan ke atas umat Islam yang mukallaf (sudah layak memikul kewajipan yang diperintahkan Islam).
Kewajipan berpuasa di bulan Ramadan ini tidak ada sebarang khilaf (perbezaan pendapat) dalam kalangan ulama Islam dan ia selari sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW: Islam ini tertegak dengan lima perkara; bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji jika mampu dan berpuasa di bulan Ramadan. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hari ini kita boleh melihat segelintir umat Islam yang sengaja tidak berpuasa atau berpuasa hanya setengah hari tanpa sebarang sebab. Lebih buruk lagi apabila mereka makan di khalayak ramai, sama ada di kedai-kedai makan orang buka Islam ataupun di kedai makan Islam yang dibuka secara “tersembunyi."
Ini bukan sahaja memberikan gambaran buruk terhadap umat Islam, bahkan ia kelihatan seperti mempermain-mainkan syariat yang telah diwajibkan ke atas setiap Muslim. Sikap sebegini menunjukkan mereka langsung tidak malu melanggar perintah Tuhan, di samping tidak menghormati orang lain yang berpuasa.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah Al-Bahili dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Ketika aku sedang tidur, aku didatangi oleh dua orang lelaki. Kemudian kedua-duanya menarik lenganku dan membawaku ke sebuah gunung yang berbatu lalu berkata; “Naiklah". Aku berkata: “Aku tidak sanggup untuk melakukannya."
Kedua orang lelaki itu berkata: “Kami akan memudahkannya untukmu." Maka aku pun menaikinya hingga aku sampai pada kegelapan gunung. Tiba-tiba ada suara yang sangat keras. Aku bertanya: “Suara apakah itu?" Mereka menjawab: “Itulah jeritan para penghuni neraka."
Lalu dia membawaku berjalan dan tiba-tiba aku bersama orang-orang yang tergantung tumit mereka, mulut mereka terkoyak dan darah mengalir daripadanya. Aku bertanya: “Siapakah mereka itu?" Mereka menjawab: “Merekalah orang-orang yang berbuka puasa sebelum sampai waktunya." (riwayat Ibnu Khuzaimah no. 1865)
Semoga kita semua sedar bahawa puasa di bulan Ramadan bukanlah sesuatu perkara yang remeh. Ia merupakan salah satu daripada tiang-tiang agama Islam yang wajib dilaksanakan sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Wallahua’lam.

PENULIS ialah penuntut Pengajian Islam Kontemporari di Kuliyyah Al-Islamiyyah Al-Muassirah Gombak.

CAMPUR AYAM HALAL, HARAM

  • Ramly (dua, kiri) memeriksa ayam yang telah siap diproses dalam serbuan.Ramly (dua, kiri) memeriksa ayam yang telah siap diproses dalam serbuan.
 1 / 1 
JOHOR BAHRU – Sebuah syarikat pemprosesan ayam dikhuatiri mencampurkan organ dalaman dan beberapa bahagian lain membabitkan ayam halal dan tidak halal semasa proses pembungkusan.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Johor (Jaij), Ramly Jusuh berkata, hasil serbuan di lokasi pertama operasi bersepadu pusat sembelihan di Taman Rinting, mendapati jarak antara premis memproses ayam halal dan tidak halal terlalu hampir.

Menurutnya, kedudukan antara premis berkenaan hanya kira-kira 10 meter dan diragui organ dalaman dan bahagian kaki serta leher yang diasingkan boleh bercampur.

“Berdasarkan pemeriksaan, bekalan ayam proses untuk pasaran orang Islam di sembelih pusat sembelihan yang mempunyai Sijil Halal Malaysia yang diiktiraf.

“Bagaimanapun kedudukan dua premis ini terlalu hampir, kita khuatir akan ada pencampuran semasa pembungkusan termasuk ketika penghantaran.

Kita sarankan supaya pengusaha tidak beroperasi di kawasan sama,” katanya pada Operasi Bersepadu Pusat Sembelihan, di sini, semalam, membabitkan sembilan agensi kerajaan termasuk Jabatan Veterinar, Jabatan Imigresen, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Jabatan Alam Sekitar.

Ops berkenaan bermula kira-kira jam 12 tengah malam dan berakhir pada jam 4.00 pagi semalam, membabitkan dua lokasi iaitu Taman Rinting dan Pandan, di sini.

Syarikat terbabit turut dikenakan kompaun sebanyak RM750 selepas didapati membuang sisa ayam ke dalam longkang dan manakala premis yang memproses ayam tidak halal didapati beroperasi tanpa lesen.

Ramly berkata operasi diteruskan ke lokasi kedua di Pusat Penyembelihan ayam di Pandan mendapati premis berkenaan menjalankan sembelihan ayam tidak mengikut syarak.

“Hasil siasatan awal, pengusaha mendakwa bekalan ayam proses syarikat mereka adalah bagi pasaran masyarakat bukan Islam, pemeriksaan pada bil yang dikeluarkan kepada pemborong menunjukkan ia adalah milik syarikat bukan Islam,” katanya.

Katanya, premis kedua terbabit turut dikompaun sebanyak RM500 oleh MBJB kerana beroperasi tanpa lesen di rumah dan tambahan struktur di bahagian belakang premis turut dirobohkan.

Tiga pekerja syarikat terbabit turut di tahan Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Dalam Ops terbabit, Jaij turut mengeluarkan notis kepada kedua-dua syarikat berhubung kesalahan memproses makanan orang Islam yang perlu dipatuhi.

Tuesday, July 1, 2014

MEREBUT TAWARAN RAMADHAN

SEDARKAH anda bahawa apabila tibanya Ramadan, umat Islam di negara ini dihambat dengan pelbagai tawaran? Cuba perhatikan di sekeliling anda. Tawaran jualan murah ada di merata tempat. Daripada makanan dan pakaian hinggalah kepada barangan perhiasan.

Tidak ketinggalan iklan-iklan perabot kediaman. Tawaran-tawaran penurunan harga dan kadar faedah pembelian kereta untuk mereka yang mahu menukar kereta sempena musim perayaan juga tidak kurang hebatnya.

Jangan pula dilupa tawaran-tawaran berbuka puasa di restoran mewah yang kadang kala mencecah ratusan ringgit.

Bagi tujuan itu juga, tawaran-tawaran pinjaman peribadi turut meriah diiklankan.

Ini kerana jika mahu merebut tawaran-tawaran tadi maka pastinya memerlukan sejumlah wang tertentu.

Apabila melihat tawaran-tawaran yang disediakan ini maka timbul beberapa persoalan yang perlu dicari jawapannya. Pertama, adakah bulan Ramadan, amalan puasa malah sambutan Aidilfitri nanti hanya berkaitan dengan pakaian, kereta, perabot serta makanan?

Adakah tawaran-tawaran itu yang kita kejar sempena Ramadan yang mulia ini? Apakah ini kefahaman masyarakat Muslim terhadap Ramadan? Atau, apakah ini kefahaman cuba dipaksakan ke atas masyarakat Muslim kini? Sedarkah masyarakat Islam kini hakikat sebenar Ramadan itu?

Sebenarnya, membuat persediaan Aidilfitri di bulan Ramadan tidak salah, asalkan kita berpegang teguh kepada kesederhanaan dalam usaha itu.

Malah, yang lebih utama ialah persediaan itu tidak menghakis makna sebenar Ramadan. Jangan kita terlalu ghairah membuat persediaan Aidilfitri sehingga kita lupa bahawa ALLAH SWT menyediakan tawaran lebih hebat di bulan Ramadan ini.

Malah, sesungguhnya tawaran ALLAH SWT itu terlalu luar biasa dan amatlah rugi bagi kita yang lalai dan gagal merebutnya.

Untuk memahami “tawaran” yang disebut tadi, seharusnya hadis Rasulullah SAW dirujuk. Antara hadis tersebut ialah daripada Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Apabila sampai bulan Ramadan, pintu-pintu syurga semua dibuka, pintu-pintu neraka pula ditutup dan diikat serta dibelenggu syaitan dan iblis.” (HR Bukhari dan Muslim).

Malah mengerjakan amal ibadat dalam bulan Ramadan mempunyai keistimewaan tersendiri sepertimana yang disebut dalam sebuah hadis lain yang bermaksud, “Sesiapa yang mengerjakan sembahyang sunat tarawih dan ibadat-ibadat yang lain pada malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan untuk mendapat keredaan ALLAH, maka akan diampunkan dosa-dosanya (dosa kecil) yang telah lepas” (HR Bukhari dan Muslim).

Jelas, betapa hebatnya bulan Ramadan. Oleh itu, beruntunglah umat Islam yang berjaya merebut pelbagai ganjaran pahala di bulan ini terutamanya bagi mereka yang tekun mengerjakan pelbagai amalan wajib dan sunat serta berjaya menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang-Nya.

Seharusnyalah umat Islam berlumba-lumba merebut pelbagai tawaran kebaikan yang dihidangkan di bulan Ramadan.

Ini boleh dilakukan dengan meningkatkan kualiti amalan-amalan wajib, menambah amalan-amalan sunat, meningkatkan kesabaran dan sebagainya.

Dalam pada itu, bulan Ramadan juga menjanjikan tawaran hebat kepada kesihatan manusia kerana ketika inilah perut dapat berehat setelah bekerja keras sepanjang tahun.

Tidak ketinggalan juga, pada bulan ini kita berpeluang memperbaiki hubungan sesama manusia dengan berzakat, bersedekah, mengunjungi ibu bapa di kampung agar dapat berbuka bersama dan sebagainya. Dengan itu, wajarlah umat Islam merebut ganjaran kebaikan di bulan yang mulia ini.

Walaupun terdapat pelbagai tawaran kebaikan dalam bulan Ramadan ini, namun pada akhirnya tawaran terhebat adalah agar umat Islam menjadi lebih bertakwa. Itulah matlamat tertinggi sepanjang bulan Ramadan.

Ini jelas dinyatakan di dalam ayat 183, Surah al-Baqarah (2), yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Hakikatnya, Ramadan adalah bulan tarbiah iaitu satu bulan yang melatih kita untuk mempertingkatkan ketakwaan. Semoga dengan berakhirnya Ramadan ini nanti, kita semua akan menjadi hamba yang lebih bertakwa.

RESTORAN RUMAH MELAKA














FIRDAUS (duduk) bersama Norhayati di hadapan restoran yang merupakan binaan asal 
rumah tradisional Melaka.

HEMBUSAN angin petang dari rimbunan pohon yang mengelilingi Golek-Golek Suasana Kampung menyambut mesra kedatangan kru Jurnal ke restoran ini yang terletak di persimpangan Jalan Lingkaran Tengah 2, Gombak, Selangor.
Walaupun debaran ketika melepasi laluan bukit securam 40 darjah masih belum reda, namun, suasana nyaman tatkala pintu pagar kayu berwarna coklat dilepasi membuatkan kami begitu teruja untuk menerokai segenap inci sudut restoran tersebut.
"Sampai juga akhirnya. Sebelum ini ramai yang datang mencari tetapi ada yang berpatah balik kerana tidak jumpa.
"Lebih-lebih lagi apabila mereka terpaksa melalui tanah kosong dan bukit-bukau di bawah sana," kata pemilik restoran tersebut, Mohd. Firdaus Mohd. Fauzi, penuh mesra.

RONA merah pada tangga rumah Melaka menyerlahkan ciri tradisional sejati.


Menurut lelaki berumur 32 tahun itu, restoran yang dibuka pada penghujung tahun 2012 itu diusahakan bersama kakaknya, Norhayati Mohd. Fauzi, 35.
"Pada asalnya, lokasi ini sering dijadikan tempat berkumpul sahabat dan keluarga setiap kali kakak saya mengadakan majlis makan-makan.
"Namun, disebabkan lokasi di sini begitu tenteram dan unik, ramai yang meminta kakak dan suaminya supaya membuka sebuah restoran di kawasan ini," jelasnya.
Ujarnya, atas dorongan dan semangat itu, mereka akhirnya berjaya membuka sebuah restoran berkonsepkan suasana kampung di tanah seluas 0.6 hektar.
Lebih menarik apabila dua buah rumah tradisional Melaka tersergam indah di tengah-tengah restoran itu. Bukan sekadar perhiasan, sebaliknya, pengunjung berpeluang menikmati santapan malam di dalam rumah yang berusia ratusan tahun itu.
Menurut Norhayati, rumah tersebut pada asalnya didirikan di Melaka, namun suaminya, yang juga novelis popular tanah air, Ahadiat Akashah mengambil inisiatif untuk membeli dan memindahkan rumah tersebut ke tapak yang kini menjadi restoran.
"Suami saya seorang yang begitu menghargai barang-barang antik dan bersejarah.

Hampir seratus peratus ruang restoran menggunakan bahan-bahan terpakai.


"Lebih-lebih lagi apabila melihat rumah tradisional ini yang dibuat menggunakan kayu berkualiti tinggi dan dipasang secara pasak tanpa menggunakan sebatang paku pun," jelasnya.
Untuk itu, pada tahun 2008, Norhayati dan suami menggunakan tiga buah lori treler dan mengupah 20 orang tenaga kerja untuk memindahkan rumah tersebut.
"Paling saya tidak boleh lupa apabila kami terpaksa menjadikan rumah ini seperti menyelesaikan puzzle ketika sesi pemasangan semula.
"Mana tidaknya, jika satu kayu salah atau dipasang terbalik, kami terpaksa membuka semula kayu tersebut. Disebabkan itu, proses memasang semula rumah ini mengambil masa sehingga tiga bulan lamanya," jelasnya.
Begitupun, kata Norhayati, dia tidak menyangka hasil daripada usaha keras itu, mereka berjaya mendirikan semula rumah tradisional Melaka tersebut.

PERMAINAN congkak di atas meja kayu mudah mengingatkan pengunjung kepada suasana 
kampung zaman dahulu.


Nyanyian 'orkestra' semula jadi daripada sekumpulan cengkerik di dalam hutan menjadi halwa telinga pengunjung sepanjang menjamu selera di Golek-Golek.
Rona kayu yang diselitkan dengan sedikit elemen merah pula berjaya menonjolkan keunikan restoran ini.
Beritahu Norhayati, pemilihan warna merah pada tangga batu rumah itu dilakukan bagi mewujudkan keseragaman warna pada struktur batu-batanya.
Tambahan pula, warna merah menjadi antara warna yang sering digunakan pada tangga rumah tradisional Melaka, selain warna hijau lumut.
Bagi membangkitkan lagi suasana kampung, Norhayati menghias keliling restoran tersebut dengan tempayan kaca lama berwarna coklat.
Lebih unik, meja-meja yang dijadikan tempat santapan diolah daripada pintu kayu lama.
Menurut Norhayati, untuk mengekalkan warna kayu pada dinding rumah dan meja makan restoran tersebut, dia akan memastikan setiap permukaan kayu disyelek dua kali setahun.
"Kami mengetengahkan menu hidangan kampung seperti ikan bakar sambal petai dan ikan pari bakar yang dimasak sendiri oleh saya serta dibantu enam orang kakitangan," ujarnya.

PUASA DAN RISIKO DIABETES

Amalan berpuasa mempunyai risiko tertentu bagi pesakit diabetes yang beragama Islam. Kajian menunjukkan kejadian hipoglisemia yang teruk dalam kalangan pesakit diabetes melitus jenis 2 (T2DM) nyata lebih kerap berlaku pada bulan Ramadan berbanding dengan bulan-bulan lain.
Hasil kajian Epidemiologi Diabetes dan Ramadan berasaskan populasi tahun 1422/2001 (EPIDIAR), menunjukkan 43 peratus pesakit diabetes jenis 1 dan 79 peratus pesakit diabetes jenis 2 dari 13 negara Islam, berpuasa pada bulan Ramadan. Ini menjadikan lebih 50 juta pesakit diabetes di seluruh dunia berpuasa pada bulan tersebut.
Saranan Pengurusan Diabetes oleh Persatuan Diabetes Amerika Syarikat (ADA) menyatakan bahawa aras gula darah pesakit diabetes jenis 2 sepatutnya kerap diawasi pada bulan Ramadan supaya dapat mengurangkan risiko berlakunya hipoglisemia.
Hipoglisemia, atau tekanan darah rendah, mungkin menjadi masalah yang dihadapi oleh pesakit diabetes yang berpuasa. Hipoglisemia berlaku apabila aras glukosa di dalam darah menurun sehingga menjadi terlalu rendah bagi keperluan tubuh.
Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Nor Azmi Kamaruddin berkata, pesakit diabetes jenis 2 yang ingin berpuasa hendaklah membuat persediaan yang rapi sebelum menjelang bulan Ramadan.
“Ini termasuk penilaian perubatan, rundingan dengan pakar kesihatan tentang gerak kerja jasmani, perancangan makanan, pengawasan glukosa, serta dos dan jadual pengambilan ubat.

“Persediaan mestilah dimulakan sekurang-kurangnya satu hingga dua bulan sebelum bulan Ramadan.
“Pesakit diabetes yang berpuasa tidak mengambil makanan, minuman dan ubatan sebelum fajar hinggalah waktu matahari terbenam dan ini boleh menyebabkan hipoglisemia apabila aras gula darah menurun.
Bagi pesakit, kurang makan dan senam, serta tidak mengambil sesetengah jenis ubat diabetes, adalah faktor risiko yang diketahui menyebabkan hipoglisemia.
“Jika tidak dirawat dengan segera, hipoglisemia boleh mengakibatkan masalah perubatan yang serius seperti keadaan tidak sedar dan sawan, yang memerlukan rawatan kecemasan," katanya lagi.
Dr. Nor Azmi berkata, sebagai langkah dan persediaan awal untuk berpuasa pesakit diabetes boleh mengalihkan waktu pengambilan ubat mereka ke waktu sahur dan berbuka.
“Kebiasaannya pesakit mengambil dua dos ubat setiap hari, iaitu dos besar pada waktu pagi dan dos rendah pada petang atau malam.
“Ketika puasa, pengambilan dos ini boleh diterbalikkan, dos rendah ketika sahur dan dos besar selepas berbuka," ujarnya.
Beliau menjelaskan, dos rendah lebih sesuai ketika sahur memandangkan tidak banyak makanan diambil pada waktu itu.
Dos besar pula lebih sesuai ketika berbuka puasa memandangkan kelaziman pengambilan jumlah makanan yang lebih banyak, terutamanya yang manis.
Aplikasi mudah alih
Sementara itu, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk menyokong pesakit diabetes yang ingin berpuasa, MSD, syarikat perkhidmatan penjagaan kesihatan, telah melancarkan beberapa aplikasi pintar khusus untuk bulan Ramadan.
Antaranya ialah resipi-resipi yang kreatif untuk pesakit diabetes, laman mikro yang memaparkan bahan-bahan kempen bulan Ramadan oleh Msd, dam aplikasi mudah alih Apple yang terkini.
Selain itu turut diperkenalkan kit maklumat yang bertajuk, Fakta-fakta Tentang Amalan Berpuasa Pada Bulan Ramadan, bagi membantu pesakit diabetes jenis 2 menguruskan aras gula dalam darah m dengan lebih baik.
Pengarah Perubatan MSD, Dr. Yeoh Boon Hock, berkata pihaknya ingin menggalakkan pesakit diabetes menguruskan penyakit mereka dengan baik terutama pada bulan puasa.
“MSD ingin mengupayakan pesakit diabetes supaya dapat menguruskan penyakit mereka dengan lebih baik, terutama bagi mereka yang ingin berpuasa pada bulan Ramadan.
"Memandangkan pemakanan seimbang penting bagi pengurusan diabetes, MSD mengambil khidmat seorang pakar diet dari Australia, Sandra Mikhail bagi menghasilkan beberapa resipi untuk pesakit diabetes.

“Selain resipi yang berkhasiat, kami juga telah mengemaskinikan aplikasi mudah alih Apple yang diberi nama, Bulan Ramadan, Diabetes dan Saya dan risalah kit maklumat
"Bagi memudahkan pesakit dan pakar kesihatan mendapatkan semua bahan kempen bulan Ramadan pula, sebuah laman mikro (www.factsaboutfasting.com) juga diaktifkan. Kami berharap alat-alat maklumat pintar ini dapat menambahkan ilmu dan menyediakan sokongan masa nyata untuk pesakit diabetes," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran aplikasi dan kit maklumat di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Aplikasi mudah alih Apple tersebut, mengandungi maklumat penting tentang bulan Ramadan, seperti waktu matahari terbit dan waktu matahari terbenam serta waktu solat, yang disesuaikan mengikut lokasi pengguna, selain kompas bagi menentukan arah kiblat.
Aplikasi ini juga mengandungi penjejak gula darah yang memudahkan laporan dihantar kepada pengamal kesihatan. Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma melalui Malaysian App Store.