BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, January 31, 2013

MEE UDANG MANJA, JETI SUNGAI RAMBAH



Hamidah Abu menunjukkan isyarat bagus di hadapan hidangan mi udang di gerainya di Jeti Sungai Rambah, Pontian, baru-baru ini. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI

PONTIAN 30 Jan. - Kira-kira 15 tahun lalu, gerai yang dibuka tidaklah begitu menarik ramai pelanggan namun pemilihan menu Mi Udang Manja menjadikan gerai itu yang terletak berhampiran Jeti Sungai Rambah di sini, semakin popular.
Kini keenakan mi udang di gerai tersebut menjadi satu jenama kepada Kampung Rambah khususnya Sungai Rambah yang menempatkan jeti nelayan dan hasil tangkapan segar memberi kelebihan kepada pengusaha gerai makanan laut di kawasan berkenaan.
Kesegaran dan keenakan mi udang itu berjaya menggamit ramai pengunjung bukan sahaja masyarakat tempatan malah penduduk sehingga ke Kuala Lumpur untuk menikmati hidangan berkenaan.
Menurut pengusahanya, Hamidah Abu, 38, nama 'Manja' merupakan panggilan untuk suaminya, Ismail Sirat, 43, yang menjadi nelayan sepenuh masa dan kini pelanggannya lebih mengenali panggilan itu berbanding nama sebenarnya.
"Selain memperoleh udang hasil tangkapan sendiri, kami juga mendapatkan udang dari pasar awam sekiranya bekalan tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan pelanggan.
"Setiap hari sebanyak 20 kilogram udang segar diperlukan memandangkan setiap menu yang disediakan mempunyai udang sebagai menu utama seperti mi bandung udang, mi goreng udang, nasi goreng kampung udang, nasi goreng biasa udang selain nasi ayam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Bagi menguruskan kedainya setiap hari dia mempunyai lima orang pembantu, namun kerja memasak dilakukannya sendiri di samping tukang masak yang lain.
"Bagi menu biasa, sebanyak lima udang akan dimasukkan manakala untuk pesanan istimewa sebanyak lapan udang," katanya.
Beliau berkata, setiap hidangan ditawarkan pada harga RM8.50 sehingga RM13.40 sepinggan manakala kedainya dibuka setiap hari kecuali Ahad bermula pukul 4 petang hingga 12 tengah malam.
Menurutnya, resepi mi udang itu diperturunkan ibu mertuanya, Salmah Md. Salleh, 83, yang mula-mula mengusahakan gerai itu sebelum diwariskan kepada suami dan kemudian kini kepadanya.
"Tarikan kedai kami ini adalah saiz udang yang besar dan segar. Pelanggan tetap biasanya akan menghubungi kami terlebih dahulu untuk membuat tempahan sebelum datang menjamu selera bersama keluarga atau kenalan," katanya.
Menurutnya, dia dan suami bercadang menambah menu makanan iaitu masakan asam pedas memandangkan permintaan daripada pelanggan luar yang ingin menikmati masakan itu.
Sehubungan itu, katanya, dia kini sedang melakukan kerja-kerja penambahan ruang agar dapat menampung jumlah pelanggan yang semakin ramai terutamanya pada cuti hujung minggu dan cuti umum.
Sementara itu, seorang pengunjung, Sahlan Selamat, 49, mengakui menikmati juadah di kedai berkenaan sekurang-kurangnya dua kali seminggu bersama isteri dan anak-anaknya.
"Kuahnya cukup istimewa di samping layanan mesra daripada pemilik kedai yang sentiasa memberikan perhatian kepada kehendak pelanggan," katanya.
Bagi Suhaimi Abd. Manap, 30, menikmati hidangan mi udang segar pada waktu malam amat menyelerakan dan harga yang ditawarkan juga berpatutan memandangkan saiz udang yang besar.
"Sama ada biasa atau special, ia cukup berbaloi kepada pelanggan yang datang bersama ahli keluarga dan rakan-rakan," katanya.
Rakannya, Mohd. Khalid Musa, 30, berkata, jika pengunjung luar seperti dari Melaka dan Kuala Lumpur sanggup datang semata-samat untuk menikmati hidangan berkenaan, ia pastinya sesuatu yang cukup istimewa kepada daerah Pontian.
"Pihak yang berkenaan boleh membantu menjadikan hidangan Mi Udang Manja ini sebagai jenama atau ikon daerah Pontian seperti Mi Bandung Muar yang begitu sinonim dengan daerah berkenaan," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Mohd. Azlan Mohamad, 34, berkata, walaupun terdapat banyak saingan namun Mi Udang Manja tetap mendapat perhatian orang ramai yang ingin menikmati keenakan masakan tradisional itu pada waktu petang dan malam.

Tuesday, January 29, 2013

VITA CAT PELOPORI MAKANAN KUCING HALAL


Sophia Ali (tengah) bersama dua anaknya yang turut membantu membangunkan Vita Cat.

DALAM Islam halal bukan sekadar merujuk kepada makanan dan minuman, namun membabitkan konteks lebih luas ia merangkumi apa juga yang kita lakukan setiap hari termasuk yang membabitkan hobi.
Hobi memelihara kucing di kalangan orang Islam misalnya juga termaktub dalam hal-hal yang berkaitan dengan halal. Makanan yang diberikan kepada haiwan terbabit terutamanya tidak boleh sembarangan.
Memang bagi penggemar dan pencinta kucing, mereka inginkan produk berkualiti tinggi untuk haiwan kesayangan. Tetapi yang paling penting produk yang digunakan mesti bebas daripada unsur-unsur tidak halal kerana ini berkaitan dengan kehidupan seharian.
Menyedari makanan haiwan peliharaan terutama kucing di pasaran sekarang kurang menitikberatkan soal halal, maka sepasang suami isteri telah membuat kajian selama dua tahun hingga akhirnya berjaya menghasilkan produk tunggal berkonsepkan halal di negara ini. Ini sekali gus mengatasi kebimbangan orang Islam terhadap permasalahan tersebut.
Lebih penting, produk dibangunkan oleh Halim Baba, 46, dan isterinya, Sophia Ali, 44, yang dikenali sebagai Vita Cat itu bukan sahaja mewujudkan alternatif bagi pengguna Muslim, malahan berkhasiat.
Dalam menghasilkan produk berkenaan, Halim yang juga Pengerusi dan Pengasas Edaran Vita Cat Sdn. Bhd. (Vita Cat) berbalik kepada fitrah pemakanan kucing iaitu ikan dan beras atau nasi yang lazim diberikan kepada haiwan itu di kampung-kampung suatu ketika dahulu.
Sehubungan itu, katanya, produk makanan kucing yang dibangunkan menggunakan ramuan formula ekstrak ikan tuna yang diperkaya dengan Omega 3 dan 6, dan beras termasuk vitamin serta mineral.
“Pendekatan halal menjadi keutamaan produk makanan kucing keluaran kami khususnya dalam penggunaan bahan mentah.
“Penggunaan pati ikan tuna yang semestinya halal merupakan penemuan kami paling berharga," katanya kepada Mega ketika ditemuia di premis perniagaanya di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
Halim yang mempunyai latar belakang Ijazah Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Shizouka, Jepun berkata, ramai penggemar kucing beranggapan semua makanan haiwan itu adalah sama.
Sedangkan katanya, kebanyakan produk makanan kucing yang diimport menggunakan minyak haiwan ternakan atau byproduct seperti perut ayam dan khinzir.
Katanya, produk berkenaan juga lazimnya menggunakan bahan sampingan dan perasa seperti garam yang banyak bagi tujuan pengawetan.
Jika pengguna tidak prihatin dengan pilihan mereka, ia mungkin membawa kesan tidak baik kepada kesihatan kucing.
“Dulu kita jarang mendengar kucing mengalami masalah seperti batu karang atau kencing berdarah sebab ia makan ikan dan nasi.
“Tetapi apabila ada pemakanan sekarang yang menggunakan garam dan perasa bagi proses pengawetan boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.
“Sebab itu banyak kucing sekarang mempunyai masalah buah pinggang. Sebagai peminat kucing, kita hendaklah sedar mengenainya," ujar bapa kepada empat anak berusia antara lapan hingga 21 tahun itu.
Beliau yang arif dalam bidang pemakanan kucing berkata, penggunaan makanan kucing terutama dari Eropah boleh menimbulkan masalah gatal dan keguguran bulu.
Ini kerana, katanya, makanan kucing dari negara berkenaan direka khas untuk haiwan tersebut yang hidup dalam negara cuaca sejuk dengan meletakkan kandungan protein tinggi bagi menggemukkan serta memanaskan badan kucing.
“Produk Vita Cat yang kami bangunkan ini menggunakan kandungan protein yang sesuai dengan cuaca di Malaysia untuk semua jenis baka kucing," katanya.
Penghasilan makanan kucing Vita Cat secara lebih semulajadi, formula yang mesra alam dan tanpa menggunakan ketulan daging, organ serta daging sampingan menjadikan produk berkenaan menawarkan pelbagai kelebihan.
Halim berkata, Vita Cat yang diformulakan untuk semua jenis baka kucing baik untuk kesihatan haiwan itu, pengawalan bulu gugur, najis kurang berbau dan menjadikannya semakin gebu serta cantik.
Katanya, produk Vita Cat disediakan dalam dua jenis perisa iaitu Tuna dan Ocean Fish dengan pek pembungkusan kapasiti 500 gram, 1.5 kilogram (kg) dan lapan kg.
Tambahnya, ia juga ditawarkan dalam bentuk makanan tin ikan kembung Vita Cat yang mengandungi ketulan ikan kembung segar dan pati minyak ikan kembung yang berkhasiat tanpa sebarang gelatin dan bahan awet.
“Kami turut memasarkan produk penjagaan kucing seperti syampu penjagaan bulu, ubat kutu, losyen telinga dan pasir kucing Vita Cat," ujar usahawan yang berasal dari Pulau Pinang itu.
Produk Vita Cat kini boleh didapati di 325 lokasi cawangan pasar raya besar seperti Giant, Mydin, Carefour dan Tesco.

Saturday, January 26, 2013

PENCIPTAAN 7 PETALA LANGIT



rahsia alam ini hanya Allah SWT yang mengetahui. - Gambar hiasan

SELEPAS dibincangkan sebahagian berkaitan dengan kekuasaan Allah SWT di mana boleh melakukan apa sahaja. Maka Allah SWT mengukuhkan lagi penghujahan dan alasan bagaimana kuasa-Nya Allah SWT tanpa boleh ditolak banding dan dipertikaikan lagi.
Firman Allah SWT:

 Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana ia menciptakan mereka dahulu? Ya! diakui dan dipercayai berkuasa! dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandingan-Nya, lagi Yang Maha mengetahui. (Yasin: 81)

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT berfirman mengkhabarkan dan mengingatkan kita tentang kekuasaan-Nya yang agung dalam menciptakan tujuh lapis langit dan yang terkandung di dalamnya berupa bintang-bintang yang beredar dan tetap, serta mencipta tujuh lapis bumi dan apa yang terkandung di dalamnya berupa gunung-gunung, batu-batuan, lautan, hutan dan isinya. Dia pun mengarahkan untuk mengambil dalil tentang dikembalikannya jasad-jasad dengan penciptaan sesuatu yang agung ini."
Al-Maraghi berkata: "Allah SWT memperingatkan manusia, bahawa Dia mampu mencipta tujuh petala langit berserta bintang dan lain-lainnya serta bumi dengan segala isinya. Allah SWT juga memperingatkan bahawa Dia yang berkuasa mencipta alam semesta Yang Maha Besar itu, sudah tentu Dia berkuasa mengembalikan semua tulang-temulang manusia yang hancur menjadi seperti sediakala."
Sayid Qutub berkata: "Itulah matahari-matahari yang tidak terhitung banyaknya. Setiap matahari mempunyai jalan peredarannya masing-masing dan kebanyakannya mempunyai planet-planet pengikut yang beredar di sekelilingnya seperti bumi beredar di sekeliling matahari kita."
Semuanya beredar dan berlari dengan tepat dan tetap, tidak pernah berhenti sesaat pun dan tidak pernah kacau. Jika tidak, alam ini akan binasa dan bintang-bintang yang besar yang terapung-apung di angkasa itu akan berlanggaran satu sama lain.
Angkasa raya menjadi tempat terapung-apung jutaan bintang yang tidak terbilang itu adalah di luar keupayaan kita untuk menggambarkan dan memahaminya. Ia merupakan sesuatu yang memeningkan kepala manusia.
Firman Allah SWT:

 Sesungguhnya keadaan kekuasaannya apabila ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: "Jadilah engkau!." Maka ia terus menjadi. (Yasin: 82)

Ibnu Kathir berkata: "Iaitu, Dia memerintahkan kepada sesuatu hanya dengan satu perintah, tidak perlu pengulangan dan penguat seperti kata penyair, Jika Allah menghendaki satu perintah, Dia hanya mengatakan satu perkataan, Jadi, maka ia pun jadi."
Al-Maraghi berkata: "Ayat di atas menunjukkan betapa agungnya kekuasaan Allah SWT sehingga jika Dia menghendaki sesuatu, ketika itu juga boleh terjadi. Setelah menjelaskan akan keagungan kekuasaan-Nya, Allah SWT kemudian menyucikan diri-Nya daripada segala tohmahan batil orang musyrik."

Syed Qutub berkata: "Sama ada sesuatu itu langit atau bumi, lalat atau semut semuanya sama sahaja di hadapan kalimat kun dan semuanya akan terus muncul ke alam al-wujud. Di sana tiada yang mudah dan tiada yang payah, tiada yang dekat dan tiada yang jauh."
Sebaik sahaja wujudnya iradat Allah SWT untuk menciptakan sesuatu sudah cukup untuk mewujudkan biarpun apa sahaja sesuatu itu. Allah hanya mendekatkan gambaran urusan penciptaan itu kepada manusia supaya mereka dapat memahaminya dengan ukuran manusia yang terbatas.

HARGA TEH DIJANGKA NAIK



COLOMBO, SRI LANKA 25 Jan. - Harga secawan teh dijangka naik ekoran negara-negara pengeluar utama daun teh dunia secara bersama telah bersetuju untuk menaikkan harga komoditi itu, bagi meningkatkan pendapatan masing-masing.
Pengumuman itu dilakukan oleh Menteri Perladangan Sri Lanka, Mahinda Samarasinghe selepas berakhirnya persidangan antarabangsa melibatkan negara-negara pengeluar yang terdiri daripada Sri Lanka, India, Kenya, Indonesia, Malawi dan Rwanda.
Enam negara itu menguasai 50 peratus pengeluaran daun teh dunia.
Baru-baru ini negara terbabit telah berjaya membentuk Forum Pengeluar Teh Antarabangsa iaitu setelah 80 tahun berusaha membentuk sebuah kartel komoditi seperti Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC).
Mahinda berkata, meningkatkan harga komoditi daun teh merupakan salah satu objektif forum tersebut.
Bagaimanapun katanya, kuota pengeluaran di kalangan negara-negara ahli masih belum difikirkan tetapi tidak menolak bakal dilaksanakan pada masa hadapan.
Harga komoditi teh ketika ini adalah kira-kira RM7.80 sekilogram, iaitu jatuh berbanding RM8.80 sekilogram setahun yang lalu.
Menurut pegawai komoditi Sri Lanka, masih terdapat ruang kepada pengeluar-pengeluar teh meningkatkan harga pengeluaran memandangkan permintaan teh dunia meningkat satu peratus sejak setahun lalu.
China dan Iran merupakan pengguna utama teh dunia turut dijemput ketika forum negara pengeluar daun teh dianjurkan. China adalah pengeluar daun teh hijau terbesar dunia. - AFP

Monday, January 21, 2013

e-ROKOK TIDAK BUANG KETAGIHAN


Pengguna e-rokok harus ingat mereka berisiko terdedah dengan penyakit lain yang disebabkan oleh nikotin. - Gambar hiasan

KEBANYAKAN kita hidup dalam persekitaran yang dipenuhi dengan perokok. Sama ada saudara terdekat, rakan sebaya, majikan, rakan sekerja mahupun orang asing yang tidak dikenali.
Biarpun risiko penggunaan tembakau ke atas kesihatan sudah diketahui umum, usaha mempromosikan hidup bebas rokok masih tidak begitu berkesan.
Kajian pernah menunjukkan 90 peratus tabiat merokok olrh perokok dewasa bermula sejak muda lagi. Hampir setiap hari, dianggarkan sekurang-kurangnya 4,400 kanak-kanak menjadi perokok tegar apabila mereka dewasa.
Jadi pelbagai cara atau kaedah dicipta untuk membantu perokok tegar termasuk rokok elektronik (e-rokok) atau e-Cigarette.
Pada awal kemunculan e-rokok, ramai beranggapan kaedah ini membantu mengikis tabiat merokok.
Sejak akhir-akhir ini, e-rokok yang menggunakan cecair bagi menghasilkan wap dijual secara berleluasa dan mendapat sambutan hangat dalam kalangan perokok.
Pelbagai spekulasi timbul apabila rokok versi digital ini semakin mendapat sambutan.
Jika dahulu perokok seolah-olah berbangga ketika menghisap sebatang rokok, kini ramai yang merasakan mereka berada di kelas tersendiri apabila menghisap e-rokok.
Tahukah anda, e-rokok juga mengandungi cecair nikotin yang membawa padah kepada pengguna kerana bahan itu meningkatkan ketagihan merokok.
Dalam pada itu, sebuah laporan yang dibentangkan pada Kongres Tahunan Persatuan Pernafasan Eropah (ERS) di Vienna menunjukkan e-rokok juga mampu merosakkan paru-paru mereka yang menggunakannya.
Alat itu didapati mengakibatkan kekurangan oksigen yang diserap oleh darah hingga mengakibatkan peningkatan segera dalam rintangan udara paru-paru.
Secara purata, kesan itu akan berlarutan selama 10 minit.
Sehingga kini, e-rokok yang mengandungi nikotin tidak diluluskan itu masih belum disahkan lebih selamat berbanding rokok sebenar walaupun ia didakwa kurang berbahaya.
Tinjauan ke bazar larut malam sekitar Lembah Klang mendapati penjualan e-rokok kini semakin berleluasa.
Kebanyakan alat itu diimport dari China dan dipercayai tidak menjalani pemeriksaan keselamatan sebelum dijual.

Kesan nikotin
Menurut Pakar Perubatan dan Pernafasan Pusat Perubatan Price Court, Dr. Daniel Lee Keat Chye, kebanyakan pengguna menganggap e-rokok selamat dan merupakan alternatif bagi mereka yang ingin mengurangkan ketagihan merokok.
“Sebenarnya belum ada kajian e-rokok yang ada di pasaran ini selamat atau tidak. Wujudnya salah faham apabila mereka menganggap asap e-rokok terhasil daripada cecair biasa dan tidak mengandungi nikotin.
“Hakikatnya, kesihatan anda tetap terjejas dan berisiko sekiranya anda masih menghisap e-rokok yang mengandungi nikotin. Lebih membimbangkan, sukatan nikotin yang terdapat di dalam e-rokok tidak diketahui," ujarnya.
Tambah Dr. Daniel, nikotin meningkatkan kadar denyutan nadi dan pengaliran hormon ‘adrenalin’ serta melembapkan sistem urat saraf.
“Nikotin boleh bertindak terus ke atas otak dengan memberi kesan rangsangan. Rangsangan ini diperkukuhkan pula oleh pelbagai faktor pendorong yang boleh bersifat positif dan negatif," ujarnya.
Contohnya, perokok akan merokok dengan lebih kerap apabila berada di tempat-tempat hiburan di mana keseronokan berada di situ bertindak sebagai faktor pendorong positif. Perokok juga akan merokok dengan lebih kerap apabila berasa bosan atau mengalami perasaan tertekan - faktor pendorong yang negatif.
Selain penggantungan psikologi dan fizikal akibat nikotin, perokok juga terperangkap dengan kongkongan tabiat yang cukup payah untuk dilepaskan.
Selain itu, nikotin juga mengakibatkan denyutan nadi yang luar biasa, penyempitan saluran nadi, peningkatan tekanan darah, serangan jantung, angin ahmar dan ulser perut dan usus.

Tidak menyebabkan kanser
“Secara keseluruhannya, anda akan mengalami kesan kesihatan sama seperti rokok biasa.
“Bezanya, e-rokok tidak mengandungi bahan-bahan kimia lain seperti tar, karbon monoksida dan irritants sehingga menyebabkan kanser paru-paru.
“Pun begitu, pengguna e-rokok harus ingat mereka berisiko terdedah dengan penyakit lain yang disebabkan oleh nikotin," ujarnya.
Selain risiko kesihatan, Dr. Daniel memberitahu, trend e-rokok akan membawa satu budaya negatif kerana orang ramai beranggapan mereka masih boleh merokok dengan kaedah selamat.
Golongan remaja pula akan menganggap e-rokok satu gaya baru dan mereka akan meniru tanpa mengetahui risiko yang sebenar.

Rawatan berhenti merokok
Dr. Daniel memberitahu, cara terbaik untuk mengurangkan ketagihan merokok adalah berhenti merokok melalui putaran tingkah laku merokok.
Ketagihan masih berlaku walaupun orang ramai menggantikan rokok biasa dengan e-rokok kerana nikotin boleh menyebabkan mereka ketagihan.
Dengan menggunakan teknik yang betul, kita boleh membantu perokok berhenti. Untuk memberikan motivasi kepada mereka, penekanan haruslah diberikan kepada perbincangan tentang faedah-faedah yang bakal dinikmati apabila berhenti merokok.
Fakta tentang risiko penyakit dibincangkan juga secara terperinci terutamanya kepada perokok yang sudah pun mengalami kesan - kesan penyakit berkaitan merokok
“Perokok boleh memilih untuk berhenti merokok dengan menggunakan kekuatan azam semata-mata atau dengan bantuan rawatan gantian nikotin (RGN)," ujarnya.
RGN dapat membantu perokok mengharungi proses berhenti merokok. Produk yang terdapat di pasaran antaranya gam nikotin, penampal nikotin dan alat penyedut (inhaler) nikotin .
Produk RGN berfungsi dengan menghasilkan jumlah nikotin secara terkawal untuk membantu mengatasi ketagihan dan gejala tarikan nikotin.

Friday, January 18, 2013

LOKAS MAKANA, TAMAN PUCHONG UTAMA



AIDA dan Fauzi menunjukkan burger bakar dan nasi kukus yang sering menjadi pilihan ramai di Lokas Makana.

BAGI penggemar makanan yang sering mencari tempat baharu untuk menjamu selera, Medan Selera Lokas Makana yang terletak di Taman Puchong Utama, Puchong, Selangor menyajikan kelainan yang pasti membuat ramai tertarik.
Tidak hanya menyajikan pelbagai jenis makanan yang terdiri daripada variasi menu tempatan mahupun antarabangsa, Lokas Makana turut menawarkan persekitaran yang mesra pengunjung dengan mewujudkan taman permainan tiub angin (inflatable games) dan litar motosikal mini.
Dimiliki bersama oleh Aida Azura Azmi, 32, dan Fauzi Mansur 31, idea untuk mengetengahkan konsep medan selera terbuka itu tercetus apabila kurangnya medan selera yang menawarkan konsep seperti itu di kawasan Lembah Klang.
Menurut Aida, setiap gerai di Lokas Makana menawarkan pelbagai jenis menu makanan dan minuman yang berbeza sesuai dengan selera dan cita rasa pengunjung tempatan.
“Banyak pilihan makanan dan minuman yang ditawarkan oleh 13 gerai makanan di Lokas Makana. Setiap pengunjung yang datang ke sini terutamanya yang membawa ahli keluarga tidak terkongkong dengan menu makanan yang terhad.
Kawasan riadah
“Paling istimewa, sebuah litar motosikal mini dan taman permainan tiub angin disediakan untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun yang datang menjamu selera bersama keluarga mereka di sini,” katanya.
Ketika ditanya mengenai keunikan nama medan selera yang mula dibuka pada 7 Januari 2012 itu, Fauzi memberitahu, Lokas Makana berasal daripada perkataan ‘lokasi makanan’ yang telah dipendekkan.
“Kami memilih untuk menamakan medan selera ini sebagai Lokas Makana kerana percaya ia mudah menarik perhatian umum dan senang diingat oleh pengunjung.
“Lebih-lebih lagi, nama tersebut seperti mencerminkan suasana ceria medan selera kami yang sering mendapat kunjungan ramai pelanggan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat,” jelasnya.
Antara makanan yang mendapat perhatian pengunjung di Lokas Makana termasuklah burger bakar kaw kaw, nasi kukus sedap songoti, French toast asli yang dihidangkan dengan aiskrim vanila dan snek popular dari Jepun, takoyaki.
Fauzi menambah, selain mengutamakan kepelbagaian jenis menu, keselesaan pelanggan juga turut diambil kira bagi memberikan kepuasan sepenuhnya ketika menjamu selera di Lokas Makana.
“Kami menyediakan tempat meletak kenderaan yang luas serta khemah yang besar bagi pengunjung yang ingin makan di kawasan berbumbung. Terdapat juga tandas untuk orang kelainan upaya dan kemudahan surau bagi pengunjung untuk menunaikan solat,” katanya lagi.
Sementara itu, pelanggan setia Lokas Makana, Shamil Hizamie, 25, ketika ditemui berkata, dia kerap menjamu selera di sana kerana kepelbagaian menu yang ditawarkan oleh medan selera itu serta suasana tempat makan yang ceria dan terbuka.
“Harga yang dikenakan oleh setiap gerai juga sangat berpatutan dan kualiti hidangan yang disediakan sangat memuaskan,” kongsinya.

SINDROM KURANG SOPAN WARGA PARIS


SETIAP tahun Paris, ibu negara Perancis menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia. Begitupun, sedikit mengecewakan apabila kemasyhuran bandar raya itu tidak seiring dengan sikap penghuninya yang disifatkan para pelawat sebagai biadab, sombong dan kelam-kabut.
Menurut laporan sebuah blog CNN pada 2011, pintu gerbang Paris iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Charles de Gaulle dianggap sebagai lapangan terbang terburuk di dunia dengan reka pelannya yang begitu mengelirukan, tandas yang menjijikkan, selain staf lapangan terbang yang dikatakan tidak mesra.
"Bagaikan berada di penjara yang terputus dari segala hubungan," kata seorang pengembara.
Kelakuan buruk masyarakat Paris tidak hanya dialami oleh para pelawat, malah turut berlaku layanan buruk sesama mereka. Sebagai contoh, pelayan restoran melayan pelanggan dengan biadab.
Seorang pakar psikiatri Jepun yang menjalankan latihan di Paris selama tiga dekad telah berjaya mengenal pasti apa yang dinamakannya Sindrom Paris dalam kalangan para pelawat yang datang ke bandar itu.
"Pelancong tiba di Paris dengan gambaran di minda jauh yang tersasar daripada realiti sebenar," kata doktor yang tidak mahu didedahkan namanya.
"Pelancong tidak menjangka bahawa mereka akan disambut dengan begitu agresif, lantas mengakibatkan ketakutan dan diselubungi rasa bimbang."
Setelah pelbagai usaha dijalankan yang rata-rata tidak membuahkan hasil, satu usaha terbaharu telah dijalankan oleh pihak berkuasa kenderaan awam bandar tersebut.
Menggunakan siri poster penuh humor, usaha itu menampilkan pelbagai haiwan dari sisi agresif mereka yang boleh dilihat di stesen Perbadanan Kereta Api Kebangsaan Perancis (SNCF), bas dan kenderaan awam lain.
"Ini adalah masalah di seluruh Perancis," menurut Ketua Perbadanan Kereta Api Kebangsaan Perancis (SNCF), Guillaume Pepy, yang turut berkata, bahawa masalah tersebut telah berlarutan merentasi sempadan bandar itu.
Etika asas
Menurutnya juga, SNCF telah merekrut 100 petugas untuk mengingatkan para penumpang akan pelbagai etika asas yang perlu dituruti saat mereka menaiki pengangkutan awam.
Antaranya, larangan merokok di dalam kenderaan awam, larangan meletakkan kaki di tempat duduk bertentangan dan larangan merosakkan kemudahan awam.
Menurut Guillaume, yang paling teruk adalah penumpang lewat malam.
Meludah dan melayangkan isyarat lucah adalah perkara biasa.
"Mereka minum minuman keras secara terbuka, menghisap ganja dan meletakkan kaki di bangku penumpang," katanya.
Sementara itu, pakar sosiologi, Dominique Picard berkata, dia tidak pasti jika kempen itu akan berjaya, tetapi mengakui sesuatu perlu dilakukan untuk mengubahnya.
Beliau juga merupakan penulis Savour Vivre, sebuah buku tentang adab yang diterbitkan pada tahun 2007.
Masalah imej adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku pada bandar raya megah seperti Paris.
"Tapi hari ini, aduan tentang ketidaksopanan di Paris semakin bertambah. Ia tidak menjurus kepada satu kelas sosial sahaja, malah turut melibatkan keseluruhan masyarakat," tambah Dominique.
Akhbar Perancis, Marianne menyalahkan stres sebagai punca kepada masalah sikap warga Perancis terutamanya di Paris.
Tambahnya, warga Paris berada dalam keadaan lebih tertekan berbanding tempat lain disebabkan tempoh kerja yang panjang dan pertambahan penduduk sehingga menyesakkan kawasan perumahan pinggir kota. Ia menjadi tempat tinggal kepada 11 juta penduduk.
Berdasarkan kajian, 97 peratus pengguna pengangkutan awam pernah menyaksikan ketidaksopanan pengguna pada bulan sebelumnya, malah lebih mengejutkan 67 peratus mengaku melakukan kesalahan sivil kepada penumpang lain.
Pihak Berkuasa Pengangkutan Awam Perancis (RATP) memberi respons terhadap kempen tersebut dengan menyatakan kepentingan pertukaran senyuman ikhlas ketika berada dalam pengangkutan awam.
Tidak semua memandang rendah dengan keperibadian orang Paris.
"Selama ini, saya tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut. Masyarakat lain hanya tidak dapat menilai perbezaan budaya," ujar penulis blog Amerika, Karen Fawcett dalam blognya, Bonjour Paris.
Fahami budaya
Secara tradisional di Perancis, sedikit lirikan mata, tidak kira ketika berada dalam lif, pusat beli-belah atau dalam pengangkutan awam, menunjukkan sapaan antara mereka. Ia kadangkala tidak dapat diterima oleh segelintir pelancong asing.
"Menjadi tanggungjawab pelancong asing untuk memahami budaya dan cara hidup penduduk setempat, sebelum mereka terus membuat tuduhan atas layanan yang mereka hadapi," tulis Karen.
Sebilangan penduduk Paris mengambil inisiatif sendiri untuk meningkatkan tahap sivik seperti yang dilakukan oleh pemilik kafe, Patrick Laubignant di bandar Marciac. Bandar itu terkenal dengan penganjuran festival jazz pada musim panas.
Dia akan menaikkan cukai 'ketidaksopanan' kepada pelanggan yang terlupa mengucapkan 'tolong' ketika membuat pembelian

NASI LEMAK CILI BILIS, GURNEY DRIVE, PENANG


NASI lemak sambal tumis cili bilis ini mendapat sentuhan resipi keluarga Hashim.
RASA nasi yang kurang lemak tetapi enak dan aroma sambal tumisnya sudah cukup untuk menambat selera sesiapa sahaja yang pertama kali mencuba nasi lemak air tangan Hashim Ismail, 50.
Gerainya, Nasi Lemak Cili Bilis di Medan Selera Persiaran Gurney, Pulau Pinang bukan calang-calang kerana hidangan itu dinobatkan sebagai Juara Nasi Lemak pada Pertandingan Penang Hawker Masters 2012 pada November lalu.
Pertandingan yang julung-julung kali diadakan itu menghimpunkan para penjaja yang diiktiraf makanannya sedap oleh orang ramai sahaja dan diadili para juri profesional sebelum peserta terbaik berentap di pentas akhir.
Bagi kategori nasi lemak, sebanyak 11 penjaja bersaing tetapi hanya tiga yang dipilih untuk merebut gelaran.
Walapun baru tiga tahun berniaga, keenakan nasi lemak Hashim berjaya menewaskan dua pencabarnya untuk membawa pulang wang tunai RM2,000 seterusnya tersenarai dalam buku pelancongan negeri sebagai nasi lemak yang wajib dirasai.
Beliau yang pertama kali menyertai pertandingan seumpamanya sama sekali tidak menyangka muncul sebagai pemenang.
Menurut Hashim, rahsia keenakan nasi lemaknya ialah kerana menggunakan santan kelapa sawit dan bukannya santan kelapa. Memasak cara itu menjadikan nasinya sedap dan tidak mudah basi selain kandungan kolesterolnya rendah.

KEENAKAN nasi lemak Hashim Ismail tersenarai dalam buku pelancongan Pulau Pinang sebagai hidangan yang wajib dinikmati.


Sambalnya pula disediakan secara tradisional iaitu menggunakan cili yang digiling dengan lesung. Hasilnya sambal yang dimasak lebih sedap dan tahan lama.
"Sambalnya pula dimasak dengan bahan-bahan campur resipi keluarga. Ia menjadikan sambal tumis cili bilis ini lain daripada yang lain.
"Ayam pula digoreng bersalut tepung menjadikannya garing dan sedap dikunyah.
"Sebelum berniaga, saya beberapa kali membuat kajian dan penyelidikan bagi mendapatkan ramuan bagi menghasilkan nasi lemak yang bukan sahaja menepati cita rasa, malah menggunakan bahan-bahan yang lebih sihat," ujarnya.
Setiap hari, Hashim dibantu isterinya, Suriyati Sutan, anak jati Tanjung Tokong yang adakalanya tidak menang tangan melayan pelanggan yang ingin mencuba nasi lemak mereka selepas pertandingan tersebut.
Ujarnya, selepas menyertai pertandingan itu, jualan nasi lemaknya meningkat sekali ganda, termasuklah daripada pelanggan bukan Melayu selain pelancong asing yang mahu mencuba menu tradisi tersebut.
Pelanggan boleh memilih tiga set hidangan berbeza iaitu nasi lemak sambal yang hanya berharga RM2.50, nasi lemak telur goreng berharga RM3 atau nasi lemak ayam goreng, RM5.
Gerai Nasi Lemak Cili Bilis dibuka setiap hari bermula pukul 5 petang hingga 12 malam dan orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web www.cilibilis.com.my.

3 SYARIKAT GLOBAL SERTAI JOHOR


Tanjung Langsat, Pasir Gudang, akan menjadi antara pusat aktiviti hiliran industri minyak dan gas di negara ini.

LEDANG 18 Jan. - Tiga syarikat petroleum global iaitu Vitol, Trafigura dan Blanco akan melabur di Tanjung Bin, Pontian dan Tanjung Langsat, Pasir Gudang tidak lama lagi dengan jumlah mencapai berbilion ringgit yang bakal menjadikan Johor sebagai hab baharu industri huluan dan hiliran minyak, gas dan petrokimia di rantau ini.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, hab yang dijadual beroperasi sepenuhnya pada 2017 itu bukan sahaja menyedia segala kemudahan berkaitan tetapi juga akan menjadi pusat perdagangan untuk industri itu.
"Di Tanjung Bin, Tanjung Langsat dan Pengerang akan mempunyai segala kemudahan untuk industri tersebut, contohnya, selain minyak mentah, pelbagai minyak akan diproses, begitu juga kita mempunyai tangki penyimpanan minyak yang akan siap pada 2014.

Wednesday, January 16, 2013

NAIK TARAF PANTAI TELOK KERANG


Naik taraf Pantai Telok Kerang
Uyob menunjukkan kawasan Pantai Telok Kerang yang perlu diberi perhatian.
PONTIAN - Ramai tidak menyedari kewujudan Pantai Telok Kerang, di sini, yang sesuai dijadikan tempat rekreasi untuk beriadah kerana kawasan berhampiran pantai itu tertutup dengan semak samun dan tiada kemudahan prasarana lengkap.

Menariknya, pantai berkenaan yang terletak hanya lebih kurang satu kilometer dari Taman Rekreasi Rambah itu merupakan satu-satunya pantai t di daerah ini.

Ketua Kampung Kawasan (1) Mukim Rimba Terjun, Uyub Daros berkata, memandangkan tiada kemudahan yang disediakan, keadaan pantai dengan pasir indah diselaputi kulit kerang itu seperti terbiar tanpa diurus.

Menurutnya, kawasan pantai berkenaan yang mempunyai pokok bakau di sekelilingnya turut sesuai dijadikan lokasi perkhemahan.

“Dahulu, terdapat perancangan untuk membangunkan kawasan pantai di sini, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

“Penduduk berharap pihak berwajib seperti Pejabat Daerah Pontian dapat melihat semula potensi pantai Telok Kerang dan membangunkannya seperti kawasan rekreasi Rambah,” katanya semalam.

Uyub berkata, sekiranya Pantai Rambah boleh dimajukan sebagai taman rekreasi, penduduk setempat turut meminta Pantai Telok Kerang dimajukan sebagai pusat perkhemahan untuk kegunaan pelbagai pihak termasuklah pasukan keselamatan dan badan beruniform sekolah.

“Pantai ini juga pernah mengelolakan beberapa perkhemahan tahunan oleh pasukan beruniform dari luar termasuk pihak tentera.

“Justeru kawasan ini perlu diberi penambahbaikan bagi mewujudkan tapak perkhemahan yang  lengkap dengan kemudahan,” katanya.

Katanya lagi, kemudahan sedia ada seperti tandas awam tidak diurus dengan baik kerana tiada aktiviti boleh dilakukan oleh pengunjung yang datang ke pantai berkenaan.

“Saya melihat kawasan ini wajar dibangunkan agar penduduk kampung dapat meningkatkan ekonomi mereka dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Pantai ini juga terkenal dengan aktiviti menangkap belangkas yang boleh menarik perhatian ramai bagi menyaksikan dengan lebih dekat lagi," katanya.

Tuesday, January 15, 2013

MENU UDANG GALAH PILIHAN PELANGGAN


GERAI makan milik Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) Bukit Angin di Temerloh, Pahang hanya terdiri daripada gerai biasa yang menghidangkan menu sarapan dan tengah hari bagi memenuhi keperluan penduduk di daerah itu.
Sekali pandang, barisan gerai di sini tidak mempunyai sebarang keistimewaan walaupun satu ketika dahulu ia merupakan gerai persinggahan yang popular bagi pengguna jalan raya dari Terengganu dan Kuantan untuk ke Kuala Lumpur atau sebaliknya.
Populariti gerai makan tersebut menjadi suram sejak Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dibuka beberapa tahun lalu menyebabkan segelintir peniaga terpaksa menutup gerai mereka kerana kekurangan pelanggan.
Sejak itu, gerai di situ tidak lagi menjadi pilihan apabila pemandu yang menggunakan LPT akan singgah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh atau Gambang, Kuantan.
Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, perniagaan gerai makan di situ kembali bernafas apabila bilangan pelanggan yang singgah meningkat setiap hari.
Jumlah pelanggan meningkat kerana ramai yang singgah untuk menikmati hidangan udang galah, gulai tempoyak ikan patin dan pelbagai lagi masakan ikan sungai.
Gerai Adik Hanizan adalah antara tumpuan pelanggan yang mahu menikmati menu udang galah.
Gerai bernombor 10 itu menjadi tumpuan penggemar udang galah yang dimasak dalam tiga pilihan iaitu masak lemak, goreng berlada dan goreng kunyit.
Menurut pemilik gerai itu, Haslinda Hamzah, jualan udang galah tidak menentu kerana bukan semua orang menggemarinya kecuali pada hari Sabtu dan Ahad, jualannya mencecah sehingga 40 ekor sehari.
‘‘Kami pernah menjual udang galah sehingga 100 ekor sehari, dan pada hari biasa, purata 20 hingga 30 ekor sehari dapat dijual. Jumlah itu tidak termasuk udang galah yang dijual mentah," katanya sambil memberitahu masakan goreng berlada paling digemari berbanding dengan masak lemak dan goreng kunyit.
Beliau berkata, pihaknya memperoleh bekalan udang galah daripada pemancing, bukan sahaja dari Temerloh tetapi juga dari Jerantut serta Lipis.
Katanya, purata berat udang galah adalah antara 300 sehingga 500 gram seekor dan paling berat pernah mencecah sehingga 800 gram seekor dengan harga belian RM80 sekilogram.
‘‘Harga yang dijual bergantung kepada berat dan saiz iaitu antara RM30 hingga RM40 seekor.
‘‘Seperti ikan patin liar, bekalan udang galah juga tidak menentu. Bagaimanapun, bekalan untuk kami sentiasa ada," katanya.
Selain udang galah, gerai Adik Hanizan yang diusahakan empat adik beradik ini turut menjual lebih daripada 50 menu masakan ikan sungai seperti ikan krai, talapia, kelah, baung, patin, jelawat dan ikan seluang.

KESALAHAN TAJWID DALAM SOLAT


DALAM satu program agama, seorang penceramah telah mengeluar satu hukum berkaitan masalah membaca tidak cukup harakat padmad lazim kalimi muthaqqal dalam solat iaitu pada kalimah terakhir surah al-Fatihah. Beliau menyatakan hukumnya tidak sah solatnya. 
Kekeliruan sebegini telah lama tersebar di kalangan masyarakat dan ini bukan kali pertama penulis mendengarnya. Bagi yang mendalami ilmu tajwid dan peminatnya mereka selalu mengetengahkan isu ini dalam membawa hujah kepentingan ilmu tajwid.
Bagi penulis, secara asasnya ketentuan sah atau batal solat seseorang adalah di bawah ilmu fiqh dan yang perlu menjelaskannya ialah mereka yang mahir dalam bab fiqh. Manakala guru Quran yang merupakan golongan terbaik sebagaimana hadis Rasulullah SAW bertindak sebagai pengajar dan penunjuk kepada bacaan yang tepat.
Ilmu tajwid berperanan menjaga al-Quran dari sudut ketulenan membaca al-Quran dan mewarisinya daripada generasi terdahulu dengan sebutan yang tepat. Penekanan guru al-Quran kepada pelajarnya tentang bab makhraj huruf, sifat huruf, hukum nun sakinah dan lain-lain adalah untuk meneruskan ketulenan bacaan al-Quran.
Jika semua hukum tajwid ini tidak dijaga sudah tentu generasi hari ini dan sesudahnya tidak dapat menikmati bacaan al-Quran yang tepat.
Cuba bayangkan jika semua huruf dibaca mengikut sesuka hati sahaja, maka bunyi bacaan al-Quran akan menjadi kedaerahan.
Ali Ibnu Abi Talib ra. menerangkan maksud kalimah tartila dalam surah al-Muzzammil ayat 4 ialah perelok sebutan huruf dan mengetahui waqaf. Atas dasar inilah al-Quran terus ditalaqqi daripada guru yang mahir dalam makhraj huruf, sifatnya dan segala hukum tajwid.
Menariknya dalam ilmu tajwid ini, di samping ulama menerangkan tentang makhraj huruf, sifatnya, hukum mad, waqaf dan sebagainya yang menunjuk kepada bacaan yang tepat, ulama juga menjelaskan kategori kesalahan. Kesalahan tajwid telah dibahagikan kepada dua iaitu; lahn Jali dan lahn Khafi.
Lahn Jali bermaksud kesalahan yang berlaku pada kalimah yang mencacatkan uruf bacaan, sama ada merosakkan makna atau tidak. Merosakkan makna seperti bertukar baris di atas (fathah) kepada baris di bawah (kasrah) atau hadapan (dhammah) di kalimah an'amta. Tidak merosakkan makna seperti membariskan huruf yang sukun seperti lam yalid. Dal di hujung kalimah dibariskan dengan fathah. Dinamakan jali kerana kesalahan ini begitu jelas dan boleh dikesan oleh ulama dan juga orang awam. Syeikh Makki Nasr menyatakan kesalahan sebegini adalah haram secara ijmak.
Lahn khafi atau kesalahan tersembunyi ialah kecacatan yang berlaku pada lafaz al-Quran yang tidak merosakkan makna. Al-Sakhawi menyatakan seperti tidak menyempurnakan sebutan huruf, sama ada terkurang sifat huruf atau terlebih sifat huruf.
Dr. Abdul Aziz Abdul Fattah Qari pula menyatakan lahn khafi ialah kesalahan yang berkaitan tidak sempurna sebutan huruf dan ia tidak dapat dikesan oleh orang awam kecuali mereka yang mahir dalam bidang ini. Ini seumpama tidak sempurna menyebut ghunnah atau dengung pada Idgham, Iqlab atau Ikhfa. Begitu juga menyebut dengan melebihkan tarqiq atau nipis pada huruf yang sepatutnyaditarqiqkan atau lebih tafkhim atau tebal pada huruf yang sepatutnya ditafkhimkan.
Kesan lahn khafi ialah menghilangkan kecantikan bacaan al-Quran namun begitu kebanyakan ulama menyatakan hukumnya ialah makruh dan tidak berdosa bagi mereka yang tidak mengetahuinya atau disebut sebagai wajib sinaei.
Seorang tokoh Quran yang masyhur Syeikh Mahmud Khalil al-Husari dalam bukunya, Ahkam Qiraat al-Quran mengulas panjang tentang hukum Lahn Khafi dengan menyebut pendapat yang mengharamkan lahn khafi.
Namun beliau menyatakan pandangannya dengan mengambil kira semua sudut dengan menyebut contoh kesalahan lahn khafi seperti ghunnah dibaca dengan kurang dua harakat atau lebih, mad lazim dibaca dengan lima harakat atau dibaca lebih enam harakat.
Beliau menyebut satu persatu kesalahan lahn khafi dan akhirnya beliau menutup dengan berkata semua kesalahan tersebut tidak haram atau makruh tetapi dipanggil sebagai khilaf awlaafdal dan akmal.
Kesimpulannya, mendalami ilmu tajwid amat penting dan hukum-hakam tajwid memainkan peranan dalam menjaga ketulenan bacaan al-Quran.
Guru Quran amat perlu menekankan pengajian hukum tajwid namun perlu berhati-hati dalam mengeluarkan hukum berkaitan fiqh. Ilmu fiqh amat luas dan pendapat ulama dalam sesuatu hukum biasanya mempunyai pelbagai pendapat.
Jika ada ulama menyatakan batal dalam sesuatu hukum akan ada ulama yang menyatakan sah, begitulah sebaliknya.
Dalam isu tidak cukup harakat mad lazim atau terlebih bacaannya, amat baik jika dipegang pendapat Syeikh Khalil al-Husari yang berkata tidak haram tetapi khilaf awla. Wallah'alam.

JANGAN PANDANG REMEH PENYAKIT TONSIL



MENGALAMI sakit tekak ketika demam merupakan satu senario biasa yang sering dihidapi orang dewasa mahupun kanak-kanak.
Keadaan ini sudah pasti memberi ketidakselesaan kerana selain berasa sakit di bahagian tekak, pesakit juga akan mengalami masalah untuk menelan.
Lazimnya, jika masalah ini berlaku adalah berkaitan masalah tonsil membengkak dan selalunya dipanggil tonsilitis kerana disebabkan jangkitan kuman.
Bagaimanapun menurut Pakar Perunding Telinga, Hidung, Tekak dan Surgeri Kepala dan Leher, Kelana Jaya Medical Centre, Dr. Samril Bokari, tonsilitis di kalangan kanak-kanak boleh membahayakan nyawa.
Ini kerana jelas beliau, apabila sampai tahap kritikal masalah itu boleh mengganggu sistem pernafasan selain membawa jangkitan ke organ dalaman lain seperti jantung dan buah pinggang.
"Lazimnya kanak-kanak yang mengalami demam, antara perkara pertama yang akan diperiksa oleh doktor ialah memastikan sama ada tonsil mereka membengkak ataupun tidak.
"Sekiranya tonsil membengkak doktor akan mengenalpasti adakah itu jangkitan kuman virus atau bakteria.
"Sekiranya bengkak tersebut disebabkan bakteria pesakit perlu berhati-hati kerana ia boleh membawa maut," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Secara umumnya semua orang mempunyai tonsil yang merupakan bonjolan di tepi kiri dan kanan anak tekak.
Bonjolan ini tidak berbahaya kerana tonsil berfungsi sebagai salah satu sistem pertahanan badan daripada serangan kuman.
Begitupun kebanyakan kanak-kanak mempunyai tonsil yang lebih besar berbanding orang dewasa kerana tubuh baru mengenali kuman dan bakteria.
Bagaimanapun apabila meningkat dewasa bonjolan ini semakin mengecil dan fungsinya sebagai satu mekanisme pertahanan diri daripada kuman juga tidak penting lagi.
Tambah Dr. Samril lagi, walaupun pada dasarnya tonsil berperanan sebagai sistem pertahanan badan daripada serangan kuman, tetapi ia hanya berfungsi pada tahun pertama kelahiran.
Ini kerana jelas beliau selepas tahap tersebut, tonsil tidak lagi berfungsi dan sistem imuniti badan akan diambil alih oleh kelenjar limfa yang lain.
Jelas Dr. Samril, pada dasarnya, tonsil akan membengkak akibat daripada jangkitan virus ataupun bakteria.
Begitupun sekiranya hanya jangkitan virus, tonsilitis boleh pulih sendiri kerana pesakit hanya akan mengalami bersin, hidung tersumbat, selesema dan juga batuk.
Secara amnya, tonsil membengkak boleh pulih dengan sendiri namun pengambilan antibiotik membantu mempercepatkan proses pemulihan.
Katanya, sekiranya masalah tonsil membengkak berulang empat atau lima kali setahun, pesakit dinasihatkan untuk menjalani pembedahan membuang tonsil.
Situasi ini perlu sekiranya keadaan menjadi lebih kronik kerana ia menghalang sistem pernafasan selain tonsil tersebut akan bernanah.
Bagi yang mengganggu sistem pernafasan, ini dapat dilihat apabila pesakit akan berdengkur sewaktu tidur selain mulutnya berbau.
Apabila ditanya mengenai pandangan ramai yang mengatakan pembuangan organ terbabit akan menjejaskan sistem pertahanan tubuh, katanya, ia sebenarnya adalah satu kepercayaan yang salah.
Yang pasti, pembuangan tonsil tidak akan menjejaskan mana-mana bahagian malah pesakit akan lebih sihat selepas pembedahan dilakukan.

CEGAH MASALAH HATI


TAHUKAH anda antara fungsi hati ialah sebagai tempat menyimpan tenaga, vitamin dan mineral? Hati atau hepar juga menghasilkan protein dan membuang hampas dari badan menerusi air kencing, peluh dan sebagainya.
Mengikut fakta yang dikeluarkan oleh Yayasan Hati Amerika, penyakit hati menyerang kira-kira satu daripada 10 rakyat Amerika. Di Malaysia pula, kita menemukan angka satu daripada 20 rakyatnya menghidap penyakit berkaitan hati .
Bagi mengetahui adakah hati kita menghidap penyakit atau tidak, orang ramai dinasihatkan menjalani pemeriksaan, kemudian disusuli dengan pemantauan, jika ia dapat dikesan lebih awal maka rawatan juga boleh dimulakan dengan lebih awal.
Namun gaya hidup tidak sihat membuka laluan luas kepada penyakit untuk bersarang dalam badan.
Makanan berminyak, makan lewat malam, kurang bersenam dan merokok adalah antara tabiat kurang sihat yang diamalkan oleh rakyat Malaysia sehingga menjejaskan kesihatan mereka. Hakikatnya, semakin ramai rakyat Malaysia kini mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk kegemukan, diabetes (kencing manis), hati berlemak dan masalah lain.
Rakyat Malaysia juga semakin terdedah kepada Penyakit Tidak Berjangkit (PTB).
Menurut Laporan Status Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai NCD 2010, daripada 57 juta kematian global pada 2008, 36 juta atau 63 peratus adalah disebabkan oleh PTB.
Rantau Asia Tenggara (SEA) antara rantau yang mencatatkan peningkatan tertinggi PTB.
Satu faktor penting dalam penjagaan kesihatan yang tidak disedari ramai orang kerana kurang ditekankan tetapi amat penting untuk badan yang sihat ialah kesihatan hati. Menjaga kesihatan hati ialah langkah pertama dalam usaha mengubah amalan gaya hidup seseorang.
Menurut Pakar Runding Gastroenterologi, Dr. Loong Yik Yee, gaya hidup kurang sihat boleh menjejaskan fungsi hati yang menyebabkan kerosakan ketara kepada badan kita.
"Penyakit hati ialah istilah luas yang meliputi semua masalah yang mungkin menyebabkan hati gagal melaksanakan fungsi yang sepatutnya dilakukan.
Salah satu daripada masalah tersebut ialah sirosis dan kegagalan hati," ujarnya.
Sirosis menggambarkan parut kekal pada hati apabila sel hati normal digantikan oleh tisu parut yang tidak dapat melakukan sebarang fungsi hati. Diagnosis masalah hati sukar dilakukan kerana gejalanya tidak begitu khusus, antara lain termasuk loya, kelesuan, kelemahan atau kehilangan berat badan.
Sebenarnya, tidak susah untuk melindungi fungsi hati.
Pengarah Unit Perniagaan Penjagaan Kesihatan Pengguna, James Wong memberitahu, orang ramai hanya perlu menambah Fosfolipid Penting (EPL) dalam diet. EPL ialah blok binaan bagi membran sel hati. EPL kini boleh didapati dalam bentuk pemakanan tambahan oral di mana-mana farmasi.
"Pendekatan menyeluruh perlu digunakan untuk mencegah penyakit hati. Selain daripada mengambil Essentiale, individu perlu mengubah gaya hidup dengan mengamalkan diet yang sihat dan bersenam. Amalan gaya hidup yang sihat meningkatkan kesihatan hati sambil menggalakkan kesejahteraan umum," tambah James.

BERSEDIA UNTUK HARI TUA


LAGI 22 tahun, Malaysia dijangka mencapai Status Negara Penduduk Tua dengan sebanyak 15 peratus atau lebih penduduk akan berusia 60 tahun dan ke atas. Kajian terkini menunjukkan purata jangka hayat lelaki Malaysia mencecah sehingga 75 tahun manakala perempuan 77 tahun.
Berbanding beberapa tahun dahulu, jangka hayat penduduk negara ini sekitar 60 tahun. Oleh itu, 50 tahun sudah dianggap tua dan tergolong dalam kelompok warga emas.
Tetapi sekarang tidak lagi. Usia 50 tahun tidak lagi dianggap tua. Bahkan kerajaan Malaysia baru-baru ini menaikkan had umur persaraan wajib daripada 55 kepada 60 tahun. Semuanya dipercayai ada kaitannya dengan peningkatan jangka hayat rakyat, kecergasan dan keupayaan mereka untuk terus bekerja.
Perkembangan ini secara tidak langsung menunjukkan kualiti kesihatan rakyat kini jauh lebih baik berbanding dahulu. Ini berikutan komitmen yang ditunjukkan kerajaan menerusi dasar kesihatan dan pembangunan prasarana berkaitan termasuk hospital.
Cuma agak membimbangkan kerana kesedaran terhadap penjagaan kesihatan masih belum cukup tinggi di kalangan rakyat sehingga dibimbangi akan membentuk populasi warga emas yang tidak sihat.
Seramai dua daripada lima orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes dan Malaysia berada di tangga keenam negara yang paling tertekan.
Gaya hidup yang dipilih oleh majoriti rakyat Malaysia menyebabkan peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi dan kanser.
Pilihan untuk menghadapi masa tua sebenarnya terpulang kepada kita.
Mungkin ada yang memilih untuk berbelanja besar mendapatkan produk-produk antipenuaan. Namun, pilihan terbaik sebenarnya adalah dengan mengawal mental dan fizikal sejak dari awal bagi berdepan dengan episod yang tidak dapat dielakkan dalam hidup itu - iaitu penuaan.
Pakar runding kesihatan dan kecergasan serta Duta Friends to Mankind Kanada, Dr. Rico Ricketts berkata, proses penuaan sememangnya tidak dapat dielak, tetapi tua dalam keadaan gembira dan sihat adalah satu pilihan.
"Malaysia mempunyai segmen penduduk muda yang besar dan ramai akan berusia 60 tahun ke atas. Mereka mempunyai pilihan mengubah gaya hidup dari awal bagi menghadapi masa tua dengan lebih mudah dan berdikari.
"Masalah yang saya lihat kebanyakan rakyat Malaysia suka mengamalkan sikap berlengah, lebih gemar mengubati daripada mencegah. Gaya hidup mereka bakal memberikan kesan negatif, tidak sekarang, mungkin masa tua.
"Lihat saja cara pemakanan rakyat Malaysia. Tidak dinafikan Malaysia antara negara mempunyai hidangan terlazat tetapi kita perlu tahu cara untuk mengawal pengambilan makanan demi masa depan.
"Ramai yang beranggapan mereka akan mewarisi proses penuaan dan masalah sama seperti orang tua mereka dan kepercayaan itu perlu diubah segera.
"Kenapa memilih untuk merana di hari tua dan menjadi beban kepada orang tersayang kalau kita boleh mengubahnya dari awal," ujar Dr. Ricketts yang akan memberi ceramah percuma tentang mitos penuaan di Pusat Perubatan Tropicana, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 19 Januari ini.

Sunday, January 13, 2013

KENTIAN BAS, TEKSI BAKAL JADI PUSAT REKREASI


PONTIAN 12 Jan. - Tapak perhentian bas dan teksi lama dan gerai-gerai di Jalan Dewan di sini akan dibangunkan sebagai kawasan rekreasi serta medan selera berkonsep moden demi keselesaan orang ramai.
Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP), Miswan Yunos berkata, perancangan awal sedang dilakukan dengan merobohkan bangunan tersebut yang tidak lagi beroperasi selepas semua operasi bas dan teksi berpindah ke terminal pengangkutan awam yang baru di Pusat Perdagangan Pontian.
Katanya, pembangunan semula yang dirancang mampu menjadi satu tarikan baru kepada orang ramai memandangkan kawasan itu terletak berhampiran Sungai Pontian Kecil serta pesisiran pantai Pontian.
"Bagi menepati sebuah bandar yang selesa serta memenuhi keperluan orang ramai, MDP sentiasa berusaha menjadikan bandar Pontian Kecil dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti rekreasi serta medan selera.
"Turut menerima impak daripada pembangunan semula ini ialah para peniaga pasar malam yang kini beroperasi di tapak perhentian bas dan teksi lama pada setiap Jumaat dan Isnin," katanya selepas melawat kerja-kerja merobohkan bangunan perhentian bas dan teksi lama di sini baru-baru ini.
Miswan berkata, turut terlibat dengan pembangunan semula itu ialah 25 gerai yang merupakan baki kepada gerai-gerai yang telah dipindahkan ke Terminal Pengangkutan Awam Pontian yang baru.
Menurutnya, MDP akan membantu para peniaga yang ada sekiranya kerja-kerja pembangunan dilaksanakan kelak bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan di tempat yang sesuai.
Ditanya tentang kerja-kerja pembinaan jambatan kedua Pontian yang merentangi Sungai Pontian Kecil ke Pusat Perdagangan Pontian, beliau memberitahu, kerja-kerja sedang dilaksanakan oleh pemaju dan apabila siap kelak akan memendekkan perjalanan antara bandar Pontian Kecil ke Pusat Perdagangan Pontian.

SELERA KAMPUNG DI IBU KOTA


Fazila Hasim bersama ibunya, Zainab Yaacob, 58, dengan hidangan masak asam pedas, pucuk ubi masak lemak, kerabu mangga dan ikan patin masak tempoyak yang menjadi kebanggaan restorannya.

HIDANGAN kampung merupakan cita rasa selera yang dicari-cari terutama oleh mereka yang tinggal di bandar-bandar mahupun kota besar.
Ini kerana hidangan kampung selain mampu menaikkan selera, hidangan ini juga mampu membuatkan anda 'tersandar' kekenyangan selepas menikmatinya.
Menu-menu seperti patin masak tempoyak, asam pedas ikan terubok, masak lemak pucuk ubi, ayam kampung goreng serta kerabu mangga bukan sahaja membuatkan anda menambah nasi dua tiga kali tetapi hidangan tersebut mampu membuatkan anda menjilat jari.
Begitupun, hidangan tersebut hari ini sukar didapati kerana kebanyakan bahan-bahannya sukar diperoleh.
Bagaimanapun bagi mereka yang tercari-cari ataupun ingin menikmati selera kampung bolehlah mengunjungi Restoran Luncai 23 yang terletak di No. 9, Jalan Kesumbarsari 2, Bandar Baru Sungai Buaya, Rawang, Selangor.
Di sini, pelbagai jenis masakan kampung boleh diperoleh dan dinikmati malah air tangan tukang masaknya sememangnya ada ummph!
Yang pasti, selama mana kita duduk di restoran tersebut, pelanggan tidak putus-putus keluar masuk membeli masakan yang disediakan di situ.
Tidak sampai satu jam, kebanyakan hidangan yang disediakan sudah habis dibeli pelanggan malah tidak kurang juga ada yang terkejar-kejar mengunjungi restoran tersebut ditakuti lauk yang disediakan kehabisan.
Menurut pengusaha restoran tersebut, Fazila Hasim, 33, restorannya menyediakan masakan kampung untuk hidangan makan tengah hari.
Tidak pernah mengehadkan menu-menu yang disajikan setiap hari, ujar Fazila, kesemua menu yang disediakan bergantung kepada bahan-bahan yang diperoleh pada hari itu. Jika tidak mendapatnya, lauk lain akan digantikan.
"Alhamdulillah, sejak dibuka empat tahun lalu kesemua menu yang disajikan akan habis sekitar pukul 12 tengah hari atau 1 petang.
"Semua masakan kampung yang dimasak setakat ini nampaknya memenuhi cita rasa penduduk sekitar terutama asam pedas dan juga patin masak tempoyak.
"Setakat ini kedua-dua menu tersebut akan dimasak setiap hari dan Alhamdulillah bekalan ikan untuk kedua-dua jenis masakan ini tidak pernah putus," katanya ketika ditemui di premis perniagaannya, baru-baru ini.
Begitupun, ulas Fazila, bagi asam pedas walaupun dimasak setiap hari tetapi ikannya akan ditukar dan ini bertujuan untuk mengelak para pelanggannya jemu dengan ikan yang sama setiap hari.
Selain itu, restoran tersebut yang dibuka awal pagi turut menyediakan sarapan dan juga makan malam.
Untuk sarapan pagi, menu seperti roti canai, nasi lemak, lontong serta masakan bergoreng turut disediakan manakala untuk malam pula menu ala carte disediakan termasuklah sate.
Bagi nasi lemak, ulas Fazila, lauk yang paling laris dan popular ialah sambal sotong dan juga sambal paru.
Berbicara lanjut mengenai perniagaannya itu, jelas Fazila, ia merupakan perniagaan keluarga di mana dia bersama tiga adik beradiknya yang lain termasuk ibunya mengusahakan restoran tersebut.
"Sebenarnya perniagaan ini dah lama diusahakan tetapi di sini (Bandar Baru Sungai Buaya) kami mula berniaga sejak tahun 1998.
"Kami memang menyediakan masakan kampung dari dahulu lagi tetapi untuk sate kami telah menjualnya sejak 20 tahun lalu," ulasnya lanjut.
Turut menerima tempahan katering, Fazila memberitahu, selain lauk-pauk pihaknya juga mengambil tempahan sate.
Kepada sesiapa yang ingin mencuba hidangan di sini bolehlah mengunjungi restoran tersebut manakala bagi mereka yang ingin menempah katering boleh hubungi Shahrul di talian 012-3094601.