BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, May 27, 2015

CHURROS TERBAIK DI METEORA CAFE-SUBANG JAYA

SEBELUM ini sering mendengar kehebatan hidangan Churros iaitu pastri doh yang digoreng, disediakan di Meteora Cafe yang terletak di Subang Jaya. Akhirnya penulis berpeluang menikmati snek yang terkenal di Sepanyol itu baru-baru ini.
Ternyata khabar angin yang sampai di telinga penulis benar belaka. Churros yang diliputi gula kulit kayu manis yang rangup di luar dan begitu lembut di dalam itu boleh dikatakan antara yang terbaik di sini.
Dihidang pula terus dari dapur membuatkan panasnya masih terasa, hidangan Churros di Meteora Cafe pasti menjadi ingatan kepada sesiapa yang pernah menikmatinya.
Cerita pemilik Meteora Cafe, Alief Nurudin, resipi Churros tersebut merupakan olahannya sendiri dan beberapa percubaan dilakukan sebelum mendapatkan formula yang tepat dengan cita rasanya.
“Pernah waktu melanjutkan pelajaran dalam bidang pastri di Perth, Australia, saya menyertai satu acara "pasar malam" dengan menjual Churros dan mendapat sambutan dan pujian ramai membuatkan sajian ini antara menu terawal dalam fikiran saya sewaktu membuat keputusan membuka kafe di sini.
“Walaupun secara tradisinya ia dimakan ketika sarapan pagi, namun amat sesuai bagi mereka yang mahukan hidangan ringan sambil menikmati minum petang bersama rakan atau keluarga,” ujarnya yang mengusahakan kafe tersebut sejak hujung tahun 2013 bersama ibu dan adik perempuannya.
Di Meteora Cafe, pelbagai jenis hidangan terutama hidangan Barat disediakan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang datang dari pelbagai latar belakang – sup, salad, manisan, pasta hingga ke panggang.
Bagi penggemar pasta, apa kata mencuba Salmon Affumicato, hidangan spageti dengan hirisan ikan salmon salai di dalam sos lemon dan cili berkrim. Gabungan rasa masin dari salmon salai dengan pedas serbuk cili itu menyeimbangkan rasa masam dan lemak berkrim sosnya – menambah keunikan hidangan kegemaran peribadi Alief itu.
Spageti Bolognese Manzo ciptaan Alief juga bukanlah seperti hidangan bolognese yang biasa. Daging cincang dan sos yang dimasak terlebih dahulu itu kemudiannya dipanas dengan api yang perlahan selama tujuh jam supaya daging cincang tersebut benar-benar lembut dan cair ketika masuk ke dalam mulut.
Bagi mereka yang mahukan hidangan yang lebih menyihatkan, apa kata mencuba salad ayam gril. Setelah kepingan ayam disalai, ia disadur dengan madu dihidangkan bersama salad mesclun, menggunakan kuah salad madu mustard bersama tomato ceri.
Untuk mereka yang berselera besar, burger The Cluckster wajib dicuba. Dada ayam yang diperap hanya dengan garam dan air selama 24 jam, menjadi lembut dan berjus walaupun selepas digoreng.
Dicampur pula dengan mayonis istimewa dari dapur Meteora Cafe, serbuk cajun, paprika dan timun gerkin, The Cluckster merupakan kegemaran penulis kerana keunikan dan kepelbagaian rasa dalam satu hidangan.
Pencinta daging jangan lupa mencuba hidangan Mimi Had A Little Lamb yang begitu mengenyangkan. Kutlet bebiri yang diperam dengan garam dan lada itu kemudian digril lalu diletakkan sedikit mentega bagi melembabkan kepingan daging tersebut. Dihidang pula dengan kentang lecek yang menggunakan resipi rahsia turun-temurun keluarga Alif, ia amat berbaloi dengan harganya.
Cerita Alief, selain memberikan yang terbaik dari segi hidangan hasil resipi dirinya dan ibunya sendiri, beliau mahu setiap pelanggan yang datang ke Meteora Cafe berasa gembira dan pulang dengan perasaan yang positif hasil daripada hidangan, layanan hingga ke dekorasinya.

Tuesday, May 26, 2015

PELABAGAI ROTI EROPAH DI BREAD TIES-TAMAN MELAWATI HULU KLANG

Dahulu pembuatan roti dalaam kalangan orang Melayu tidaklah begitu popular jika dibandingkan pada masa kini, malah untuk menikmati roti-roti ‘mat salleh’ atau roti dari negara luar itu hanya mudah diperoleh jika menginap di hotel mewah.
Namun, sejak kebelakangan ini, pembuatan roti sama ada daripada jenis biasa seperti roti inti kelapa, kaya atau kacang hitam sehinggalah roti artisan, membabitkan ramai usahawan Melayu.
Antara yang terawal memulakan perniagaan pembuatan roti artisan ialah Bread Ties yang terletak di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor.
Telah bertapak sejak empat tahun lalu, Bread Ties merupakan satu-satunya kedai roti artisan yang terawal diusahakan orang Melayu di kawasan berkenaan bagi memberi pilihan pelbagai jenis roti kepada pelanggan.
Menurut Pengurus Pemasaran Bread Ties, Amira Amir Zamrey, 21, pemilik kedai roti berkenaan pada asalnya mendapat idea membuka kedai roti bagi membantu kejiranan kawasan itu mendapatkan roti segar dan enak.
Jelasnya, sebelum pembukaan Bread Ties amat sukar untuk masyarakat di kawasan itu mendapatkan roti-roti artisan seperti baguette dan croissant, jadi dengan pembukaan kedai roti berkenaan membolehkan pelanggan mencuba pelbagai jenis roti terutama daripada Eropah.
“Idea asal kedai merangkap kafe ini tercetus apabila melihat banyak kafe di luar negara yang menggunakan konsep sebegini, iaitu kedai roti yang menyediakan ruang menjamu selera dengan menampilkan pelbagai jenis roti yang bukan sahaja sangat cantik tetapi boleh dimakan.
“Selepas kami memperkenalkan konsep ini, ramai pelanggan yang menggemari konsep kedai roti seperti ini dan daripada situ kami mula memperkenalkan pelbagai hidangan sampingan menggunakan roti,” jelasnya.
Istimewanya, roti yang terdapat di Bread Ties dibuat setiap hari bagi memastikan produk yang dihasilkan enak dan segar apabila sampai kepada pelanggan, selain tidak mempunyai bahan pengawet, bahan perasa tambahan dan serbuk penaik.
Jelas Amira, roti buku merupakan antara jenis yang digemari pelanggan kerana rasanya yang lebih sedap, tahan lama serta lebih berkhasiat.
Akuinya, roti buku yang dihasilkan dikawal kualitinya, selain kesegarannya turut dipelihara agar pelanggan berpuas hati, serta dapat menikmati roti berkenaan pada tahap terbaik dan pada masa sama lebih berkhasiat berbanding roti di pasaran.
“Setiap hari kita tidak menghasilkan banyak roti kerana mahu setiap roti yang dibuat habis dijual dan keesokan harinya kita akan buat yang baharu.
“Dari itu, kita dapat memberikan pelanggan roti yang segar daripada pembakar dan roti berkenaan lebih tahan lama tarikh luputnya serta masih enak walaupun telah disimpan dalam peti ais.
“Roti ini juga tidak muak dimakan kerana tidak guna serbuk penaik, jadi boleh makan banyak pada satu-satu masa, malah bagi mereka yang berdiet, kita juga menyediakan roti yang mengandungi pelbagai serat, ujarnya.
Antara roti yang mendapat permintaan pelanggan ialah chacoal loaf, ciabatta, panini, poppy seed, rye onion, country bread, roti serat, dan baguette serta croissant.
Terdapat juga roti-roti biasa seperti roti inti tuna, roti blueberry, roti sosej, roti piza, almond danish, mufin dan roti kaya.
Selain menawarkan variasi jenis roti, pelanggan juga boleh menikmati pelbagai menu lain, antaranya spageti aglio olio, carbonara, bolognese, lasagna, piri-piri chicken, chicken chop, caesar salad dan sup cendawan yang dihidangkan dalam roti artisan.
Bagi yang menggemari pemanis mulut, mereka boleh menikmati creme brulee, scone, eclairs, cream puff, macaroon, kek keju, tiramisu, red velvets, pavlova serta biskut coklat.
Bukan itu sahaja, jika anda bernasib baik, setiap bulan kafe itu menawarkan pelbagai jenis promosi kepada pelanggan bagi menghargai kunjungan mereka.
Menurut Amira, ketika ini, Bread Ties turut membekalkan roti kepada beberapa buah kafe di sekitar Lembah Klang dan Selangor dengan kapasiti kira-kira 3,000 biji sehari.
Jelasnya, kafe tersebut juga sedia menerima tempahan untuk majlis-majlis keraian seperti sambutan hari lahir, kenduri kahwin, akikah dan perjumpaan semula (reunion).
“Kita beroperasi setiap hari bermula pukul 8.30 pagi hingga 7.30 malam dan harga yang ditawarkan untuk roti buku putih serendah RM2.50 sahaja,” ujarnya.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh merujuk Instagram Bread Ties.

Monday, May 25, 2015

BUAT BURGER SENDIRI DI THE COUNTER-PAVILION KL

BURGER sememangnya diminati ramai tidak kira usia atau siapa sahaja. Melihat kepada lambakan kedai burger sekarang memang sukar membuat pilihan namun untuk mencari hidangan burger yang benar-benar menepati cita rasa setiap individu bukannya mudah.
Jika anda penggemar burger tetapi tidak dapat bertoleransi dengan rasa bawang yang sinonim diletakkan bersama burger, ataupun mempunyai imaginasi yang tinggi dan pelik seperti burger yang dimakan bersama gabungan sos aprikot, hirisan avokado dan kranberi kering, kini tidak lagi perlu risau, buat saja burger idaman anda di restoran The Counter.
Di The Counter, andalah "ketua chef". Pilih sahaja bahan-bahan yang disenaraikan dan tanpa perlu berpeluh di dapur, hidangan gourmet burger akan terus tersedia di depan mata.
Baru beroperasi di tingkat tujuh, Pavilion, Kuala Lumpur bulan lalu, hanya lima langkah yang perlu dilakukan bagi mendapatkan burger idaman anda.
Pilih daging lembu, ayam belanda, ikan tuna, ayam mahupun burger vegan yang masing-masing bersaiz 150 gram, 225 gram atau 450 gram dan kemudian pilih keju yang anda digemari daripada 14 jenis yang disediakan, 23 jenis sos yang dibuat sendiri dari dapur The Counter, 44 jenis topping dan akhir sekali lengkapkan dengan enam pilihan roti burger, maka siaplah burger yang menepati selera anda!
Menurut Pemilik francais The Counter Malaysia, Muhammad Fadhil Choong Abdullah, francais yang berasal dari Los Angeles dan cukup terkenal di Amerika Syarikat (AS) itu memberi peluang kepada pelanggan untuk melahirkan idea kreatif dan inovatif dalam menghasilkan burger mereka.
“Di The Counter, daging yang disediakan mempunyai sijil halal dan diimport dari Australia dan tidak menggunakan suntikan hormon atau antibiotik dan hanya dimasak apabila dipesan bagi memastikan kualitinya terpelihara. Begitu juga ayam, ayam belanda dan tuna yang melalui proses semula jadi.
“Malah, tiada campuran tepung mahupun pengawet digunakan dalam penghasilan burger, 100 peratus daging, sekadar dicampurkan dengan sedikit garam dan serbuk lada. Rahsianya dari peratusan campuran bahagian daging membuatkan ia padat dan berjus.
“Sebanyak 300,000 jenis kombinasi burger yang berbeza dapat dihasilkan oleh pelanggan di Counter. Setiap pelanggan mempunyai selera masing-masing. Saya pernah melihat pelanggan yang dapat menghabiskan burger 450 gram secara berseorangan walaupun saiz tersebut sering dikongsi dua orang atau lebih pelanggan,” kongsinya yang turut dalam usaha membuka sebuah restoran burger berkonsepkan "bawa pulang" bertempat di Built di Nu Sentral Mall, bulan depan.
Bagi mereka yang menggemari menu vegeterian atau mementingkan kesihatan, jangan risau, anda dapat menikmati burger seperti kami.
Sejumlah 12 jenis bahan seperti zukini, jagung, lobak, cendawan, krenberi kering, bayam dan pelbagai bahan lain dimasak sekali, dibiarkan sejuk sehingga kering lalu dibentukkan seperti daging burger, satu proses yang memakan masa sehingga enam jam.
Jika mahu yang lebih menyihatkan, pesan sahaja dengan burger anda, ala salad iaitu daging burger dihidangkan di dalam mangkuk khas bersama pelbagai jenis salad. Hidangan ini pastinya digemari wanita yang pentingkan diet yang sihat. Di The Counter, bukan sahaja burger yang anda boleh cipta, malah sanwich keju panggang, air kocak menggunakan ais krim vanila premium dan pilhan bahan untuk digabungkan selain smoothie yang boleh dipilih sendiri.
“Bagi mereka yang tidak dapat membuat keputusan membuat burger sendiri, serahkan kepada yang pakar kerana kami turut menyediakan pelbagai pilihan menu burger yang istimewa dan digelar Expert Builds,” tambahnya yang turut dalam proses mendapatkan sijil halal untuk restorannya.
Lengkapkan hidangan anda dengan manisan klasik AS seperti Apple Crumble dan Key Lime Pie yang pastinya tidak akan mengecewakan anda.
Rekaan hiasan dalaman restoran yang retro dengan sentuhan moden ini sungguh menenangkan, memberikan markah tambahan kepada restoran yang menyediakan burger premium tersebut, apatah lagi pemandangan luar menghadap Menara Kembar Petronas (KLCC).

Wednesday, May 20, 2015

SAJIAN MELAYU SEMENANJUNG DI SERAPI CORNER-KUCHING

TINGGAL di bandar raya Kuching tetapi mengidam masakan Melayu asli Semenanjung? Bagi yang hebat di dapur mungkin tiada masalah, boleh sahaja memasak sendiri lauk-pauk idaman.
Namun, bagi mereka yang tidak pandai memasak, apatah lagi orang Sarawak yang kurang arif tentang resipi dari Malaysia Barat, boleh pening kepala memikirkan di mana ada kedai makan atau restoran yang menyajikan hidangan masakan Melayu Semenanjung yang benar-benar menepati selera.
Terbayanglah keenakan gulai kawah utara, ikan tenggiri masak lemak cili api, mi kari Ipoh, asam laksa nyonya, nasi lemak kukus, pelbagai jenis kerabu dan ulam-ulaman yang menyelerakan.
Bagi yang tercari-cari tempat makan menyajikan hidangan ini, datanglah ke Serapi Corner terletak di Rich Commercial Centre, Pekan Batu 7, Kota Sentosa di Kuching.
Kedai makan berkonsep terbuka yang memfokuskan kepada masakan Melayu asli Semenanjung ini dimiliki oleh anak jati Sarawak, Hashimah Edwin dan suaminya, Kapten (B) Md. Nasir Md. Zain yang merupakan bekas pegawai tentera berasal dari Baling, Kedah.
Menurut Hashimah, kedai makan yang dibuka sejak September 2003 itu menyajikan hidangan nasi campur dan juga ala carte bermula pukul 7 pagi hingga 11 malam pada setiap hari.
Dalam tempoh 13 tahun beroperasi, katanya, Serapi Corner telah berjaya menarik pelanggan tempatan dan luar daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan kenamaan (VVIP) serta artis untuk menikmati masakan Melayu Semenanjung yang disajikan di situ.
“Pelanggan yang datang berpuas hati dengan makanan yang dihidangkan kerana benar-benar menepati cita rasa masakan asli dari Semenanjung walaupun hanya seorang daripada empat chef kami merupakan orang Semenanjung.
“Resepi kejayaan kami bertahan sampai ke hari ini ialah kawalan kualiti makanan yang ketat untuk memastikan masakan disajikan adalah konsisten.
“Malah, saya selaku Pengarah Serapi Corner yang mengetuai pasukan kawalan mutu makanan akan memastikan kaedah memasak dan bahan-bahan digunakan adalah benar-benar mengikut resipi asli serta dijamin enak rasanya,” kata beliau ketika ditemui di Serapi Corner baru-baru ini.
Hashimah berkata, menu utama disajikan ialah nasi campur Serapi yang menyediakan lebih 30 jenis lauk-pauk untuk makan tengah hari pada setiap hari.
Selain itu, katanya, mereka juga menyediakan menu ala carte yang menyajikan nasi ayam panggang Serapi, nasi lemak kukus, masakan berlauk, nasi goreng (18 jenis), mi kolok dan laksa Sarawak istimewa, assam laksa nyonya, mi kari Ipoh dan sup tulang.
Mengenai lauk-pauk disajikan, beliau berkata, selain masakan Melayu Semenanjung, pelanggan yang datang juga boleh menikmati masakan tempatan Sarawak seperti umai (makanan tradisional kaum Melanau) ikan, udang atau obor-obor.
Bagi peminat kerabu pula, Serapi Corner menghidangkan belasan jenis kerabu yang berbeza pada setiap hari seperti kerapu ikan bilis, pegaga, sotong, pucuk paku dan daum selom.
Paling istimewa, katanya, terdapat juga gulai kawah utara yang pastinya membuka selera.
Selain kedai makan berkonsepkan kopitiam, Hashimah berkata, mereka juga menyediakan dewan untuk tempahan majlis yang mampu memuatkan 120 pelanggan di tingkat atas Serapi Corner.
“Pelanggan yang ingin menganjurkan majlis di ruang atas restoran dinasihatkan membuat tempahan dahulu,” katanya.

Tuesday, May 19, 2015

RESTORAN ROYDEENA-MELAWATI KL

JIKA dipandang dari atas, sajian yang dihidangkan dilihat seakan-akan donat namun, taburan di atas sajian itu bukan gula tetapi bijan berwarna hitam dan putih.
Hidangan unik itu adalah roti bagel lembut yang menjadi pelengkap sajian burger Captain di Restoran Roydeena.
Pemilik restoran, Rohaya Mior memberitahu, restoran yang mula beroperasi pada awal bulan Mei itu menawarkan sajian signatur burger Captain dengan seratus peratus sajian dibuat dari dapur kedai berkenaan.
“Bermula daripada roti sehinggalah daging, kesemua bahan utama dibuat di restoran ini.
“Untuk roti bagel, kami mempunyai cef pastri yang berpengalaman membuat roti di pasar raya terkenal dalam negara. Disebabkan itu, roti yang dihidangkan sangat lembut. Namun, roti bagel ini dibuat menggunakan tepung tinggi protein bagi menjadikannya lebih istimewa.
“Dalam pada itu, daging burger yang digunakan semuanya dicincang oleh pekerja kami menggunakan mesin. Boleh dikatakan hampir 90 peratus sajian yang dihidangkan kepada pelanggan adalah produk restoran kecuali sayur-sayuran dan buah-buahan segar yang dibeli di pasar,” katanya ketika ditemui di Restoran Roydeena di Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, restoran milik bumiputera sepenuhnya ini menawarkan tiga signatur burger iaitu Captain Crispy, Captain Bombay dan Captain Sailor.
Captain Crispy menampilkan sajian rasa seakan-akan burger Zinger namun, mempunyai suntikan rempah-ratus dalam setiap gigitan. Kepingan daging ayam juga digoreng rangup dan dimasak sempurna.
Sementara itu, sajian Captain Bombay adalah sajian burger inspirasi martabak.
Selain menikmati keenakan rasa daging lembu dan ayam sebenar, penggemar sajian makanan laut boleh membuat pesanan Captain Sailor yang menawarkan kelembutan filet ikan dory dalam sajian burger.
Sajian-sajian signatur kombo akan didatangkan dengan hidangan sampingan kentang goreng dan jagung manis.
Menurut cef Mohamad Suhaimi Ab. Rahman, 30, hidangan tersebut mempunyai keistimewaannya tersendiri menerusi daging burger yang disediakan menggunakan campuran rempah dan sayuran seperti lobak merah.
“Kami mengadunkan kira-kira lima jenis rempah dan bahan-bahan campuran lain seperti bawang serta sayur-sayuran untuk menepati cita rasa rakyat Malaysia.
“Daging lembu dan ayam kisar ini kemudian diperap semalaman supaya rasa rempah-ratus dapat diserap secara harmoni,” jelasnya yang pernah menjadi cef di sebuah resort terkemuka di Kuantan, Pahang.
Pengunjung juga boleh menikmati sajian seperti lamb chop, chicken chop, chicken wings with honey, hotdog, garden fruit salad dan aneka kek.
Dalam pada itu, sebagai pelengkap makan tengah hari atau malam, pelanggan boleh memesan minuman signatur iaitu coral blue hasil inspirasi daripada kesegaran pemandangan pantai.
Minuman istimewa itu dihidangkan dengan taburan coklat cip dan biskut yang memberikan pengalaman menyeronokkan buat si penggemar coklat.
Selain menjadi tempat kunjungan pilihan untuk menikmati sajian Barat, restoran ini juga sesuai dijadikan tempat pertemuan untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan atau keluarga dalam suasana santai.
Harga hidangan tersebut bermula daripada RM6.50 hingga RM20.50
Restoran ini menggunakan dekorasi elemen muzik menerusi gantungan poster artis-artis kegemaran ramai dan suasana santapan yang harmoni bersama neon, sekali gus mencipta suasana harmoni.
18, Jalan Wangsa Setia 3, Wangsa
Melawati, 53300 Kuala Lumpur
E-mel: roydeenacafe@gmail.com
Instagram: ROYDEENA_CAPTAINBURGER
Facebook: www.facebook.com/roydeena.captainburger

Friday, May 15, 2015

SELERA PANTAI TIMUR DI GERAI KAK SUE-UKAY PERDANA, HULU KLANG


Bagi mereka yang masih tercari-cari gerai makanan Pantai Timur yang asli dan enak, bolehlah berkunjung ke gerai Kak Sue yang pastinya memenuhi selera.
Biarpun sekadar gerai biasa, hidangan yang ditawarkan setanding dengan makanan yang dijual di restoran.
Antaranya termasuklah nasi kerabu, nasi dagang, laksam, cek mek molek, lompat tikam dan pelbagai lagi.
Pengunjung juga boleh memilih lauk-pauk untuk dimakan bersama nasi kerabu atau nasi dagang seperti kuah ikan tongkol, ayam goreng, daging bakar, ikan goreng salut tepung, sotong sambal, telur mata dan ikan sardin.
Menurut pemilik gerai, Suraya Abdullah, 50, makanan yang dijual dimasak menggunakan resipi turun-temurun keluarganya dari Kelantan.
“Walaupun terdapat banyak kedai masakan Pantai Timur di Kuala Lumpur, namun ada yang tidak menggunakan sepenuhnya ramuan asli.
“Saya yakin pelanggan yang pertama kali makan di gerai ini pasti akan datang untuk mencuba kelazatan makanan di sini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Harga kuih-muih serta makanan yang dijual di gerai itu ialah antara 40 sen sehingga RM8.
Gerai Kak Sue yang terletak di No.7, UP1/6, Ukay Perdana, Hulu Klang beroperasi­ setiap hari kecuali Isnin dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari.
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan hubungi Suraya di talian 016-380 5923.

Wednesday, May 13, 2015

SAJIAN EKSLUSIF 9 LAKES-SEREMBAN

PERTAMA kali datang ke restoran ini, tanggapan mudah yang singgah di fikiran adalah “mungkin harga makanannya agak mahal.”
Bukan apa, jika dilihat dari sudut luar restoran yang terletak di Taman Tasik Jaya, Seremban, Negeri Sembilan itu, hiasan landskapnya seperti sebuah kedai makan eksklusif dengan hidangan ala barat yang mewah.
Namun perasaan itu hilang sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam Restoran 9 Lakes yang indah dihiasi dengan dekorasi seperti yang dapat dilihat di kebanyakan hotel tempatan.
Sungguhpun konsep restoran dalam taman yang diilhamkan sendiri oleh pemiliknya, Nor Haszemi Abu Hasan tampak eksklusif dan bertaraf lima bintang, namun dia menolak tanggapan mudah itu dengan menunjukkan menu yang disertakan dengan harga bagi setiap makanan.
“Walaupun konsep yang diketengahkan agak eksklusif, namun saya pasti harga yang kami tawarkan adalah berpatutan dan berada dalam lingkungan mampu untuk semua peringkat masyarakat.
“Berkonsepkan kedai makan dalam taman, Restoran 9 Lakes bukan sahaja untuk mereka yang gemarkan suasana santai malah sesuai dijadikan tempat bagi mereka yang ingin melangsungkan majlis pertunangan, perkahwinan mahupun sambutan hari lahir,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai hidangan yang disediakan di restoran miliknya, bapa kepada seorang cahaya mata itu memberitahu, Restoran 9 Lakes menyediakan pelbagai jenis masakan barat dan Melayu.
Menggabungkan juadah hidangan dari Timur ke Barat, pelbagai jenis masakan barat seperti Black Papper Lamb Chop, Chicken Chop, Black Papper Beef Stik dan Grilled Salmon menjadi antara pilihan menu utama.
Selain itu, Restoran 9 Lakes turut menyediakan spageti antaranya carbonara dan spageti bebola daging yang telah disesuaikan dengan cita rasa Asia.
Tidak menolak masakan Melayu sebagai menu pilihan utama, Nor Haszemi turut memperkenalkan juadah istimewa iaitu kari kepala ikan dan asam pedas yang disajikan dalam mangkuk tanah liat (claypot).
“Kami turut menyediakan pelbagai jenis asam pedas claypot menggunakan empat jenis ikan iaitu ikan pari, ikan tenggiri, ikan jenahak dan ikan kembong.
“Di samping itu, kami menyediakan kari kepala ikan yang dihidangkan di dalam claypot khusus buat mereka yang datang dalam jumlah yang ramai,” ujarnya.
Ditanya mengenai pakej yang ditawarkan sekiranya ingin membuat tempahan bagi menganjurkan majlis, Nor Haszemi memberitahu, restoran tersebut mampu memuatkan 1,000 orang dalam satu masa.
Dengan keluasan hampir 0.8 hektar, kawasan persekitaran restoran itu mampu memuatkan hampir 18 khemah bersaiz sederhana serta menempatkan hampir 20 gerai makanan di sekelilingnya.
Harga bermula dari RM13 setiap seorang mengikut tempahan menu, harga tersebut merangkumi sewaan tempat serta peralatan.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Restoran 9 Lakes, boleh layari laman sosial Facebook di 9Lakes Garden Restaurant, 9lakes (instagram), @9LakesR (twitter) atau berkunjung sendiri ke Nine Lakes Restaurant, No. 4198, Desa Jaya 1, Taman Tasik Jaya, Seremban, Negeri Sembilan.

Tuesday, May 12, 2015

MENU 1DUNIA DI CHERITERA-KAMPUS UUM KL

KUALA LUMPUR 5 MEI 2015 - Pemilik Restoran Cheritera, Agus Sany
Melihat sajian yang dihidangkan memang benar-benar ‘mencabar’ sesiapa yang ingin berdiet. Apa tidaknya masakan kampung seperti asam pedas kepala ikan Mak Minah, ketam bunga masam manis pedas, masak lemak tulang rusuk, ikan bakar sambal Kuala Sungai Baru dengan pulut durian – ada.
Menu antarabangsa pula seperti sexy prawn, braised beef rib on sweet potato mash with asparagus beef juice, safron roasted baby chicken dan australian shabu roullade with roasted potato and bundle of peas.
Sebut apa saja menu sama ada masakan kampung, hidangan Barat, Arab, China, Asia semuanya boleh disediakan oleh Chef Agus Sany Ahmad atau lebih dikenali sebagai Chef Ato.
“Pengalaman selama 15 tahun dalam bidang masakan dan 10 tahun bekerja sebagai chef di ‘fine dinning restaurant’ atau restoran mewah di London kami salurkan di Cheritera Cafe dengan adunan makanan tradisional dan moden bagi mendapatkan hasil yang unik dan berbeza,” kata Haslinda Rahman.
Cheritera Cafe yang terletak di tingkat bawah bangunan Universiti Utara Malaysia (UUM) kampus Kuala Lumpur (KL), Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru dimiliki dan diuruskan oleh pasangan suami isteri Chef Ato dan Haslinda Rahman bersifat eksklusif di mana hanya dibuka bagi mereka yang membuat tempahan serta Sabtu dan Ahad terutama bagi pelajar dan kakitangan UUM.
“Disebabkan lokasi di sini sukar untuk meletak kenderaan, kami biasanya menerima tempahan sehari sebelum pelanggan datang supaya hidangan yang kami sediakan sentiasa segar.
“Bagi memudahkan pelanggan, kami juga menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan ke depan pintu mengikut menu yang diminta,” kata Haslinda semasa ditemui di kafenya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Haslinda berkata, beliau dan suaminya bercita-cita menjadi katerer yang maju dan terkenal bukan saja di Lembah Klang tetapi juga di seluruh negara.
Bagi mencapai cita-cita, beliau sentiasa memastikan pelanggan mendapat bukan saja makanan yang berkualiti dari bahan mentah segar tetapi juga harga yang berbaloi.
Haslinda berkata, selama ini pihaknya membuat pemasaran di laman sosial dan sehingga kini mendapatkan sokongan daripada beberapa orang selebriti yang telah mendapatkan khidmat mereka.
Berasal daripada keluarga bisnes, pasangan ini juga memiliki sebuah tempat peranginan iaitu Kemunting Beach Resort di Pangkalan Balak, Melaka yang terkenal dengan makanan laut.
Resipi Pulut durian
Bahan
1 kg beras pulut
1 kg santan
1/2 kg gula
1/2 cawan gula merah
4 helai daun pandan
Secubit garam
Durian secukupnya
Cara
1 Beras pulut dikukus separuh masak.
2 Setelah masak masukkan sedikit santan dan kukus sehingga masak. Ketepikan.
3 Santan dimasak sehingga mendidih, masukkan gula, gula merah dan masak hingga mendidih.
4 Masukkan durian dan masak hingga mendidih.
5 Hidangankan pulut dengan kuah durian.
Foto FARID JANUDIN
Cheritera cafe
Bangunan UUM
Jalan Raja Muda Abdul Aziz
Kampung Baru
52100 Kuala Lumpur
No tel: 017-3389865
Facebook: Cheritera Cafe
Instagram: Cheritera Cafe

Sunday, May 10, 2015

RESTORAN WARISAN-SEMPORNA, SABAH

Dikatakan sebagai satu-satunya restoran terapung berstatus halal di Semporna, Sabah, membuatkan Restoran Warisan menjadi tumpuan masyarakat tempatan dan pelancong luar yang ingin menikmati makanan laut segar dari kepulauan Borneo.
Saat pertama kali menjejakkan ke restoran ini, saya begitu teruja kerana restoran ini terletak di atas laut dikelilingi perkampungan atas air Kampung Tampi-Tampi, sekali gus memberikan satu pengalaman baharu.
Angin sepoi-sepoi bahasa terasa dingin apatah lagi tatkala menjamu selera di anjung restoran. Lebih seronok jika memilih sajian makanan laut yang segar membuatkan anda bagai mahu berkunjung lagi pada masa akan datang.
Pemiliknya, Abdullah Sukka, 58, yang merupakan anak jati Semporna, berkata, sambutan yang diterima dalam kalangan penduduk tempatan begitu menggalakkan, apatah lagi baru dua tahun beroperasi di lokasi atas air.
Sebelum ini, katanya, restoran terletak di atas tanah di kampung yang sama.
“Saya sudah menjalankan perniagaan restoran makanan laut sejak 12 tahun lalu dengan mengambil kira pelbagai cita rasa pengunjung yang datang.
“Bukan sahaja menawarkan sajian makanan laut cara tempatan, kami juga mempunyai kepakaran untuk menyediakan masakan ala Barat, Cina, Thailand, dan Melayu.
“Sajian tradisi Bajau sering kali menjadi pilihan kerana pengunjung dari luar mahu mencuba dan menikmati keunikan masakan asli masyarakat di sini.
“Alhamdulillah, apa yang ditawarkan di Restoran Warisan mendapat permintaan dan maklum balas yang baik daripada pelanggan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di restoran miliknya di Kampung Tampi-Tampi, Semporna, Sabah, baru-baru ini.
Istimewanya di sini, restoran dikelilingi dengan sangkar ikan yang mempunyai pelbagai spesies ikan laut dalam yang dibela oleh Abdullah.
Jika pengunjung datang pada waktu ikan diberi makan, mereka diberi peluang untuk memberi makan ikan dan melihat sendiri ikan-ikan yang tidak ada di perairan Semenanjung.
Katanya, antara menu istimewa adalah putu bersama sagol, iaitu salah satu makanan yang sangat popular dalam kalangan masyarakat Bajau di daerah Semporna.
Makanan tradisional ini adalah berasaskan ubi kayu yang diparut dan diperah airnya lalu di kukus atau dimasak stim. Lazimnya masyarakat Bajau menjadikan putu sebagai makanan ruji menggantikan nasi dan sesuai dimakan bersama sagol, iaitu isi ikan yang dimasak kunyit.
Selain itu, sajian siput kahanga turut menjadi pilihan pengunjung kerana hanya boleh dinikmati di Semporna sahaja. Turut dipanggil siput tarik oleh orang tempatan, kahanga merupakan spesies siput laut yang hidup di perairan Semporna.
Rasanya seakan-akan cendawan dan teksturnya seperti sotong. Berbanding siput yang lain, isinya lebih bersaiz besar.
“Di sini kami mencadangkan sajian kahanga masak halia kepada mereka yang baru pertama kali merasa siput laut ini. Sajian ini memberikan rasa semula jadi siput kahanga dan hirisan halia yang diperap bersama kahanga menghilangkan bau hanyir,” ujarnya yang dibantu anaknya, Nor Hayati Fazila mengetuai pasukan memasak di dapur utama.
Jika di Semenanjung terkenal dengan sajian tomyam, di Semporna mereka mengutamakan sajian sup naga iaitu sup ikan yang mempunyai campuran pelbagai hasil laut.
Sajian lain seperti, udang masak lada kering, salad udang kara, sup jagung, dan ikan bolong masak kicap.
Jika tidak mahu memesan hidangan berat, anda boleh mencuba pelbagai hidangan mi goreng atau sup yang dihidangkan bersama makanan laut. Jangan risau untuk memesan dalam jumlah yang banyak kerana harganya sangat berpatutan.
Cerita Abdullah dengan lebih lanjut, dia pernah menerima kunjungan seorang pelancong dari Jerman yang memesan sajian tradisi Bajau dan Semporna di restorannya.
“Pelancong tersebut kemudian datang semula kali kedua dengan membawa rakan-rakan dalam kumpulan yang besar, kerana kata mereka rasa makanan di restoran ini unik,” katanya.
Mengambil bekalan mentah dari pembekal dan nelayan, Abdullah akan memastikan bekalan hasil laut yang sampai adalah segar dan tidak akan disimpan lama di dalam peti sejuk.
Katanya, bekalan diambil dua hari sekali bagi mengekalkan kesegaran dan jika ada permintaan untuk hasil laut yang lebih bernilai tinggi seperti udang kara, tidak akan ditolak.
Boleh memuatkan sehingga 400 pelanggan pada satu masa, Restoran Warisan juga mempunyai dewan mini untuk sebarang majlis yang ingin diadakan.
Maklumat lanjut boleh hubungi Abdullah di talian 013-8833044 atau berkunjung terus ke restoran.