BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Tuesday, October 30, 2012

TERAPI KANSER SEMULAJADI



STATISTIK daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah membuktikan bahawa penyakit kanser adalah salah satu penyebab utama kematian di seluruh dunia apabila ia telah membunuh 7.6 juta orang pada tahun 2008. Malah, lebih memburukkan lagi apabila pada tahun 2030, dijangka kadar pesakit kanser akan meningkat sehingga 12 juta kes. Menurut data Majlis Kanser Nasional, MAKNA, di Malaysia sahaja, seramai 45,000 rakyat Malaysia menghidap penyakit kanser setiap tahun dengan tiga daripada empat pesakit kanser gagal diselamatkan atau sembuh.
Menurut pakar pemakanan dan perubatan seluruh dunia, punca kepada peningkatan bilangan kes kanser ini dikaitkan dengan faktor pemakanan yang tidak seimbang. Realiti pemakanan kebelakangan ini amat membimbangkan apabila hampir 90 peratus daripada makanan seharian kita bersifat asid dan mengandungi pelbagai bahan perisa dan pengawet tiruan yang dibuat daripada bahan kimia dan sintetik yang merupakan agen kepada kanser.
Realiti ini jauh berbeza seperti yang disyorkan oleh pakar pemakanan seluruh dunia di mana tubuh yang sihat memerlukan 20 peratus makanan berasid dan 80 peratus beralkali. Pengambilan makanan berasid dalam kuantiti yang tinggi menyebabkan keadaan tubuh badan berasid yang boleh melemahkan sistem antibodi dan imunisasi.
Seterusnya, ia boleh mengundang pelbagai penyakit kronik terutamanya kanser. Sel kanser adalah sel tidak normal yang membahagi dan membiak membentuk ketulan asing di tubuh badan yang dikenali sebagai tumor. Rawatan konvensional bukan sahaja mampu membunuh sel kanser, malah turut membunuh sel-sel yang normal.

TAHUKAH ANDA bahawa Vitamin B17 boleh didapati pada 1200 jenis tumbuh-tubuhan atau buah-buahan terutamanya biji aprikot. Pakar perubatan berpengalaman dan bekas Ketua Jabatan Anatomi di Fakulti Perubatan UKM yang juga penaung produk berjenama Farmas Health, Profesor Madya Dr. Syed Zainal Husin Wafa mengakui biji aprikot mengandungi vitamin B17 paling tinggi berbanding tumbuhan lain dan dapat membantu mencegah dan merawat penyakit kanser.
Walau bagaimanapun, beliau tidak menggalakkan pengambilan biji aprikot yang mentah kerana dikuatiri terdedah kepada bakteria, kulat dan radikal bebas sewaktu proses penghantarannya ke Malaysia. Ini amat merbahaya kepada kesihatan manusia dan boleh menyebabkan keracunan serta kesan sampingan yang negatif terhadap tubuh badan. Prof. Madya Dr Syed Zainal Husin Wafa juga menggalakkan pengambilan biji aprikot yang telah diproses dan dikapsulkan daripada 100% biji aprikot terpilih mengikut piawaian teknologi farmaseutikal yang tinggi melalui penyelidikan klinikal dan telah mendapat kelulusan dari Biro Farmaseutikal Kebangsaan serta telah didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.
Ini amat penting bagi memastikan kandungan vitamin B17 masih kekal dan tidak rosak serta bakteria, kulat dan sebarang radikal bebas dapat disingkirkan dan selamat dimakan.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam yang juga Presiden Kelab Prostar Malaysia, Dr Ismail Lasa berkata, "Aprikot kaya dengan vitamin B17 yang dapat membantu meningkatkan kecergasan seseorang sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap ubat-ubatan yang lain."
Khairun Nisa, 36 tahun, yang merupakan pesakit kanser payudara telah mengambil aprikot sebagai langkah alternatif bagi membantu rawatan penyakit yang dihadapinya. Ternyata ia memberikan perubahan positif.
Katanya, selepas beberapa bulan mengamalkan pemakanan aprikot yang kaya dengan vitamin B17, benjolan pada payudaranya semakin menyusut dan menghilang.

MR. STEAK HOUSE, SHAH ALAM


SIZZLING YEE MEE.

BARU melihat menu sudah terliur apatah lagi menghidu aroma lamb stew yang masih berasap dan spageti makanan laut yang menambat selera. Itu belum lagi mata meliar memandang Sizzling Yee Mee yang masih menggelegak semasa sampai di meja.
Nasi ayam Morrocco dan Saba ikan makerel juga hidangan yang tidak patut dilepaskan jika berkunjung ke Mr. Steak House yang terletak di Shah Alam, Selangor.
Dekorasi ala koboi memberikan mood santai sementara menunggu hidangan yang dipesan.
Apa yang lebih memeranjatkan penulis apabila melihat harga pada menu - yang sememangnya amat berbaloi.
Menurut pemiliknya, Razwan Hafidz Razak, harga yang ditawarkan memberi peluang kepada pelanggan untuk merasai makanan Barat pada kadar berpatutan.
Restoran yang dibuka pada Mac tahun lalu, kini menjadi buah mulut di laman-laman web bukan saja kerana harga yang berpatutan bahkan rasanya yang setanding dengan restoran makanan Barat mewah.
"Saya memilih masakan Barat kerana kurang pembaziran sebab chef hanya memasak apa yang diperlukan," katanya yang dibantu oleh lima orang chef dan 10 pekerja.
Restoran yang boleh memuatkan kira-kira 250 orang pada satu-satu masa ini ada ketikanya menjadi lokasi pertunjukan fesyen dan pelbagai majlis jamuan.
Walaupun baru setahun dibuka, Mr. Steak House telah berjaya mempunyai satu cawangan di Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor berhampiran dengan Equine Park.

OBESITI PENGARUHI FUNGSI HATI



Kebanyakan daripada kita mengambil mudah aspek penjagaan kesihatan, tidak terkecuali kesihatan hati. Ini mungkin juga disebabkan ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar akan peranannya. Namun ketahuilah bahawa ia menjalankan pelbagai fungsi penting tubuh dan membolehkan kita kekal sihat.
Antara fungsi penting hati termasuklah menapis dan menyahtoksik darah, protein, membantu dalam pembekuan darah, menyimpan sesetengah vitamin, mineral, mengawal atur hormon dan pelbagai lagi. Oleh yang demikian, janganlah mengabaikan penjagaan atau menunggu hingga sudah terlewat. Dengan nutrisi dan suplemen yang betul kita masih mampu mengelak kerosakan hati serta mencegah kerosakan yang lebih parah kepada masalah yang sedia ada.
Kekalkan diet rendah lemak. Penyakit hati berlemak kini kian menjadi isu kesihatan yang digeruni. Alkohol kini bukan lagi bahan utama dikaitkan dengan kerosakan hati. Pengumpulan lemak dalam hati adalah penyumbang utama kepada Non-alcoholic fatty liver disease (NAFLD) atau hati berlemak bukan akibat alkohol. Hati berlemak lazimnya tidak mempamerkan simptom, namun lama-kelamaan, masalah ini boleh menjurus kepada komplikasi yang lebih parah seperti keradangan, hati berparut, pengerasan hati dan juga kegagalan fungsi hati.
Kajian mendapati bahawa sindrom metabolik di kalangan pesakit hati berlemak bukan alkohol berkait dengan berat badan berlebihan atau obesiti di bahagian abdomen, paras kolesterol baik (HDL) yang rendah, paras trigliserida yang tinggi dan intoleransi glukosa. Oleh itu, mengawal kriteria-kriteria ini bermanfaat dalam mencegah dan merawat penyakit hati berlemak bukan alkohol.
Berdasarkan hasil kajian ke atas silymarin, iaitu komponen dalam milk thistle mampu memperbaiki fungsi hati dan mencegah kerosakan hati pada pesakit hati berlemak. Silybin yang merupakan komponen paling aktif dalam silymarin pula mampu menstabil membran-membran sel terhadap bahan toksik. Bahan aktif yang juga bertindak sebagai antioksida ini juga boleh meningkatkan aktiviti enzim penentang radikal bebas dalam sel-sel tubuh manusia, memperbaiki fungsi menyahtoksik hati dan menggalakan pemulihan hati.
Menurut laporan dalam the Journal of Alternative and Complimentary Medicine tahun 2003, dos harian silymarin lazim dalam ujian klinikal adalah antara 280mg hingga 800mg, iaitu bersamaan dengan 400mg hingga 1140mg ekstrak Milk thistle.
Kerosakan akibat radikal bebas, sama ada yang terhasil daripada tubuh itu sendiri mahupun daripada faktor luaran akan menyebabkan kerosakan kepada sel-sel tubuh termasuk hati. Salah satu cara untuk mencegah atau melawan kerosakan ini adalah dengan anti oksida seperti vitamin E Tokotrienol. Vitamin E tokotrienol terbukti 40 hingga 60 kali lebih poten sebagai antioksida berbanding vitamin E biasa (tokoferol) dan bermanfaat kepada pelbagai masalah kesihatan.
Berdasarkan kajian, pengambilan vitamin E Tokotrienol memberi manfaat kepada penghidap hati berlemak. Hasil kajian ini mendapati 66 peratus pesakit yang mengamalkan pengambilan vitamin E tokotrienol memperolehi hasil yang ketara dalam memperbaiki masalah hati berlemak. Dengan ini pengambilannya dicadangkan kepada mereka yang mengalami masalah ini.
Vitamin B kompleks memberi sumbangan tersendiri kepada kesihatan hati. Ia terlibat dalam banyak aktiviti tubuh, termasuk metabolisme lemak dan juga nutrien kepada sel-sel otak. Vitamin B komplek ini juga sangat diperlukan untuk kesihatan jantung dan juga hati.

LOKAN BERI REZEKI TAMBAHAN


Lokan beri rezeki tambahan buat Basir
Basir menunjukkan lokan yang dijual di gerainya.
PONTIAN - “Seawal jam 6 pagi lagi lokan sudah mula dicari,” kata Basir Atan, 53, dari Kampung Sungai Buntu yang mula menjadikan hidupan laut tersebut sebagai mata pencarian sampingannya sejak setahun lalu.

Basir berkata, kawasan paya bakau di Sungai Karang menjadi satu-satunya habitat lokan yang masih wujud berbanding kawasan paya bakau lain di sini.

“Lokan adalah sejenis makanan laut bercangkerang dan mempunyai rasa manis seakan-akan kerang, membuatkan hidangan makanan laut ini cukup sinonim dengan masyarakat tempatan di sini.

“Namun kerja mencari lokan bukanlah sesuatu yang mudah. Kadang-kala si pencari terpaksa berjemur di bawah terik matahari selain perlu mengharungi lumpur yang boleh mencecah hingga paras pinggang,” katanya.

Katanya, jika bernasib baik, hasil tangkapan boleh mencecah hampir 200 kilogram sehari bersamaan dengan 30 bungkus lokan.

“Lokan ditangkap dengan menggunakan tangan sahaja dan jika bernasib hasil tangkapan boleh mencecah beratus kilogram.

“Apa yang penting, si pencari perlulah rajin mencari dan tidak berputus asa,” katanya yang membuka satu-satunya gerai menjual lokan di jalan Kukup Pontian, berhampiran Kampung Sungai Buntu.

Basir berkata, permintaan yang tinggi terhadap lokan membuatkan hidupan laut ini sentiasa dicari-cari.

“Pada musim cuti sekolah, dan perayaan permintaan terhadap lokan amat tinggi, sehingga tidak sempat saya jual semuanya sudah habis ditempah,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keistimewaan hidupan laut ini, katanya, daya tahan lokan yang boleh hidup lama meskipun tidak berada di dalam air membuatkannya sentiasa segar.

Namun, Basir turut bimbang, lokan mungkin tidak lama dapat ditemui pada masa hadapan memandangkan banyak kawasan paya bakau di sini telah diancam pencemaran dan sebagainya.

“Kadang kala ada juga pengunjung luar yang tidak tahu mengenai lokan ini dan mereka begitu teruja apabila melihat hidupan laut ini yang dikutip segar dari kawasan paya bakau,” katanya

Monday, October 29, 2012

PANDAN HYEGENIC HOSPITALITY FOOD COURT


JOHOR BAHRU 29 Okt. - Belum sampai sebulan dibuka, Pandan Hyegenic Hospitality Food Court mendapat sambutan menggalakkan dan peniaga yang menyewa turut gembira dengan jumlah pelanggan yang datang ke kawasan perniagaan itu terutamanya pengunjung Pandan Uptown.
Pegawai Ekonomi Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru (PPPPIKMJB), Zaini Atan berkata, premis perniagaan makanan yang turut diberi nama HZ Pandan itu diwujudkan untuk menyediakan hidangan pada harga berpatutan dan seperti namanya, menitikberatkan kebersihan dan kualiti.
"Kami mahu mengubah persepsi dengan mewujudkan 'food court' yang setanding atau lebih baik daripada yang terdapat di gedung membeli-belah. Malah, pelanggan yang menikmati makanan di sini dilindungi dengan insurans sehingga RM500,000 sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

ISKANDAR MALAYSIA BERHATI-HATI AGAR TIDAK TAMAK


Legoland Malaysia merupakan salah satu projek yang dibangunkan oleh Iskandar Investment Bhd.

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Iskandar Investment Bhd. (Iskandar Investment) perlu berhati-hati dalam membangunkan projek-projek baharu di Iskandar Malaysia supaya dapat mengoptimumkan nilai tanah di wilayah koridor selatan itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Mohammad Syed Ibrahim berkata, berikutan itu kawalan terhadap ruang bagi projek-projek pembangunan dilaksanakan supaya harga tanah dapat dilindungi.
"Iskandar Malaysia telah mencapai tahap pembangunan yang begitu menakjubkan dalam tempoh enam tahun. Suntikan besar Kerajaan Persekutan bagi penyediaan infrasruktur telah memberi impak kepada kemasukan para pelabur ke Iskandar Malaysia.
"Bagaimanapun, selaku pemaju strategik kami tidak boleh tamak kerana lokasi ini masih mempunyai masa untuk disiapkan sepenuhnya pada 2025"," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Jelasnya, pendekatan itu selaras untuk memelihara dan melindungi kedudukan dan kepentingan Iskandar Malaysia sebagai pusat tarikan bagi pelabur global.
Menurut beliau, tahap pembangunan di Iskandar Malaysia kini sudah cukup untuk mencapai jumlah komuniti yang disasarkan pada masa sekarang.
Katanya, pembangunan di koridor yang bakal mencapai taraf metropolis antarabangsa itu perlu seiring dengan taraf kehidupan penduduk di Johor Bahru.
"Pada masa ini jumlah penduduk berpendapatan sederhana di Johor Bahru masih lagi kecil dan seandainya Iskandar Malaysia dibangunkan tanpa mengikut rentak penduduk bandar raya itu, perkara itu boleh menjejaskan ekosistem keseluruhan.
"Jadi, kawalan kepada pembukaan tanah untuk projek-projek seterusnya perlu dilakukan demi memberi 'keadilan' kepada Iskandar Malaysia," tambah beliau.
Ditanya apakah penanda aras Iskandar Investment dalam menentukan pembukaan projek-projek baharu, Syed Ibrahim berkata, ia bergantung kepada tinjauan pasaran, situasi pasaran dan fleksibiliti.
Beliau memberitahu, fokus Iskandar Investment sekarang memastikan projek-projek awal di kawasan itu siap pada tahun depan.
Dalam pertemuan itu, Syed Mohammad berkata, Iskandar Malaysia kini turut menjadi tumpuan pelabur individu Jepun dalam sektor hartanah mewah.
Beliau berkata, perkembangan itu cukup positif kerana sebelum ini pelabur Jepun lebih tertumpu di Lembah Kelang dan Pulau Pinang sahaja.
"Selain Jepun, kami melihat pelabur Indonesia juga bakal menjadi pelabur berpotensi selepas ini," katanya.

CAP GESA HARAMKAN SHISHA

CAP Gesa Kerajaan Haramkan Shisha, Hookah
KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya mengharamkan penggunaan shisha yang didakwa semakin menular dalam kalangan masyarakat terutama remaja negara ini.
Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, gejala menghisap shisha kian menular di Malaysia berikutan kewujudan banyak premis yang menyediakan kemudahan menghisap shisha yang menjejaskan kesihatan orang ramai itu.
“Perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh jabatan kesihatan dan pihak berkuasa tempatan. Langkah perlu diambil memandangkan menghisap shisha merbahayakan kesihatan,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
S.M. Mohamed berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan amalan menghisap hookah atau shisha mempunyai risiko kesihatan kerana penghisap shisha menyedut asap 50 hingga 200 kali atau selama 20 minit hingga 80 minit yang dianggarkan sebanyak 0.15 liter hingga satu liter asap.
Menurutnya, mereka yang menghisap rokok selalunya menyedut sebanyak lapan hingga 12 kali dan mengambil masa hanya lima hingga tujuh minit serta menyedut 0.5 liter hingga 0.6 liter asap.
Tambahnya, penghisap shisha boleh mengalami ketagihan dan penggunaan arang dalam peralatannya boleh meningkatkan masalah paru-paru dan seterusnya memudaratkan kesihatan penggguna dalam jangka masa penjang.
Sehubungan itu, katanya, CAP menggesa kerajaan mengharamkan penggunaan shisha dan tidak mengeluarkan lesen perniagaan terhadap premis yang mempunyai kemudahan untuk menghisap shisha lagi.

N-DURANCE BUKAN SEKADAR MINUMAN ISOTONIK



RIZAL bersama dua pekerjanya menunjukkan minuman isotonik N-Durance yang berada di pasaran sejak awal tahun.


MINUMAN isotonik banyak mengandungi elektrolit dan garam sekali gus ideal diminum golongan yang aktif bersukan. Umum mengetahui, dalam pasaran di negara ini terdapat pelbagai jenama minuman isotonik, namun ia bukanlah penghalang bagi syarikat-syarikat lain memperkenalkan produk mereka.
Sebuah syarikat bumiputera, Wonders Avanue Resources, sejak tujuh bulan lalu telah mengenengahkan 'buah tangan' mereka iaitu minuman isotonik yang dikenali sebagai N-Durance.
Meskipun perlu bersaing dengan jenama-jenama besar, N-Durance mempunyai keistimewaan tersendiri. Minuman itu boleh dipelbagaikan cara untuk menikmatinya seperti dicampurkan dengan buah-buahan seperti nanas, longan dan laici.
Ia juga boleh dicampurkan dengan kelapa muda dan pastinya boleh menyejukkan badan.

MINUMAN N-Durance boleh dipelbagaikan rasanya dengan campuran buah-buahan seperti nanas, longan dan laici.


Pengurus Jualannya, Rizal Darus berkata, N-Durance juga mengandungi vitamin C dan kalsium.
"Syarikat kami merupakan yang pertama memperkenalkan minuman isotonik di negara ini yang boleh dicampurkan dengan bahan lain," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagi memperkenalkan N-Durance kepada masyarakat, pihaknya turut merancang untuk bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan serta persatuan bola sepak negeri terutamanya dalam program pembangunan bola sepak.
Dalam pada itu, syarikat tersebut turut mencari ejen-ejen yang berminat untuk memasarkan minuman isotonik itu di pasar-pasar malam seluruh negara.
Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi syarikat berkenaan di talian 03-4266 4774.

Thursday, October 25, 2012

KAMPUNG PERMATA BERISIKO HILANG



Sebuah rumah di Kampung Permata, Pontian yang kini kedudukannya berada kira-kira 10 meter daripada pantai disebabkan berlakunya hakisan serta air pasang besar baru-baru ini.

PONTIAN 25 Okt. - Musim tengkujuh dan air pasang besar yang biasanya berlaku pada bulan Oktober hingga Januari mencetuskan kebimbangan 400 penghuni di Kampung Permata di sini kerana kedudukan kampung itu yang hampir dengan pantai dan terdedah dengan ancaman hakisan yang semakin parah.
Menurut Ketua UMNO Cawangan Kampung Permata, Abd. Aziz Sulaiman, 53, hakisan yang berlaku menyebabkan pokok-pokok bakau juga pupus dan penduduk mengharapkan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera.
"Tinjauan mendapati lima buah rumah penduduk kini menghadapi masalah hakisan yang semakin serius yang memungkinkan rumah-rumah tersebut 'hilang' daripada pandangan. Ketika ini, terdapat 40 buah rumah di kampung ini.
"Cadangan pembinaan benteng penahan hakisan bagi mengatasi masalah itu perlu dilakukan segera. Kami berharap, masalah ini mendapat perhatian segera daripada kerajaan negeri dan Persekutuan supaya masa depan kira-kira 400 penduduk kampung ini terbela," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Tambah Abd. Aziz, Kampung Permata terletak berhampiran Taman Sri Aman dan kira-kira empat kilometer dari bandar Pontian dengan rata-rata penduduknya terdiri daripada golongan kurang berkemampuan seperti pemandu lori, pekerja kilang, tukang rumah dan penjual kuih-muih yang memperoleh pendapatan sekadar mencukupi.
Menurutnya, jika berlaku perkara yang tidak diingini, penduduk tidak mampu untuk membeli rumah sendiri atau membinanya kerana ketiadaan tapak tanah.

Monday, October 22, 2012

KHASIAT MAKANAN SUNNAH RASULULLAH





SEJAK tahun 1998, Abdul Malek Faisal Mohd. Hyffny tidak pernah cuai dalam jadual pengambilan kapsul habbatus sauda atau jintan hitam sebagai makanan tambahan setiap pagi dan malam. Jarang sekali beliau terlupa untuk memakannya.
Bekerja sebagai pengamal media membuatkan rutin hidupnya sentiasa berdepan dengan tekanan. Situasi itu secara tidak langsung menyebabkan Abdul Malek diserang hipertensi.
Justeru, Abdul Malek berikhtiar merawat kesihatan dirinya. Selain mendapatkan rawatan di hospital, beliau turut menggunakan kaedah alternatif bagi mengawal penyakit yang dihidapnya.
Dalam tempoh dua minggu mengamalkan pengambilan habbatus sauda atau nama saintifiknya Nigella sativa, Abdul Malek menyedari perubahan positif pada kesihatan dirinya.
“Saya mengambil dua biji kapsul habbatus sauda pada waktu pagi dan dua biji pada waktu petang.
“Apa yang menggembirakan, saya dapat menghidupkan salah satu daripada sunah Rasulullah SAW dalam aspek pemakanan,” ujar Abdul Malek, 46, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tidak lama selepas itu, beliau membuat keputusan meletak jawatan kerana mahu menimba ilmu di Syria. Berada di negara Asia Barat itu selama tiga tahun membuka peluang kepada Abdul Malek untuk mengenali tumbuhan habbatus sauda.
Di Syria, beliau mengunjungi sebuah ladang hijau yang subur dengan tumbuhan hababtus sauda di Hama.
Hama merupakan sebuah bandar di tebing Sungai Orontes yang terletak di bahagian tengah Syria atau 213 kilometer ke utara Damsyik.
Memiliki populasi kira-kira 700,000 orang, Hama merupakan bandar keempat terbesar di negara itu selepas Aleppo, Damsyik dan Homs.
SETIAP individu seharusnya menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk mengetahui status kesihatan masing-masing. - Gambar hiasan


Rentetan daripada itu, Abdul Malek tidak teragak-agak untuk menjalankan perniagaan memasarkan produk berasaskan habbatus sauda ke Malaysia.
Niatnya semata-mata untuk mempromosikan produk dan amalan pemakanan yang mengikut sunah Rasulullah SAW.
“Melalui kerjasama dengan seorang sahabat di Syria, saya menubuhkan syarikat M Faisal Sdn. Bhd.
“Visi kami adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kebaikan produk ini di samping menjadi peneraju penghasilan produk berkenaan,” jelas Abdul Malek sambil memaklumkan bahawa perkataan M itu merujuk kepada sahabatnya, Shaikh Markhzan Jalani selaku pengarah bersama syarikat itu.
Habbatus sauda ialah sejenis tumbuhan yang berbunga secara tahunan. Asalnya ia tumbuh meliar di negara-negara sekitar Mediterranean.
Kemudian ia ditanam secara meluas di utara Afrika terutama Mesir, selatan Eropah, Syria dan Asia Tengah seperti Iran dan India.
Ketinggian khasiat tumbuhan itu diperakui oleh ramai cendekiawan silam, ratusan saintis dan pakar perubatan di seluruh dunia.
Ibnu Sina dalam bukunya The Canon of Medicine menyatakan habbatus sauda mampu merangsang tenaga serta membantu memulihkan kepenatan dan semangat.
Penyelidikan yang dilakukan oleh Universiti Carolina Selatan di Amerika Syarikat pula mendapati, ekstrak habbatus sauda memiliki khasiat antitumor tanpa kesan sampingan.
Makam Firaun
Mengikut catatan sejarah, habbatus sauda pada awalnya ditemui di dalam makam Firaun Tutankhamen. Penemuan tersebut memberi gambaran bahawa tumbuhan itu amat penting dalam kehidupan orang Mesir purba.
Walaupun kegunaan sebenarnya tidak diketahui secara tepat, ia dipercayai mampu memberi manfaat kepada raja mereka selepas mati.
Bagaimanapun, hakikatnya kegunaan habbatus sauda dalam perubatan tercetus selepas kedatangan Islam.
Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kekallah kamu dengan habbatus sauda kerana padanya itu ada penawar bagi segala penyakit kecuali mati.”
Prof. Dr. Latiffah A. Latiff dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia menjelaskan, tumbuhan Nigella sativa adalah salah satu anugerah Allah yang amat bernilai buat manusia.
EKSTRAK minyak habbatus sauda dalam bentuk gel lembut.


Justeru, sebagai saintis dan pakar perubatan kesihatan awam, beliau bertanggungjawab untuk menghuraikan hakikat tersebut dengan fakta sains bagi membuktikan kebenaran sabda Nabi Muhammad.
“Habbatus sauda memang menakjubkan kerana setiap butir bijirin ini terdiri daripada berjuta-juta sel yang menyerupai sel darah manusia,” ujar beliau yang menjalankan penyelidikan tentang habbatus sauda selama sedekad.
Latiffah mengakui semakin banyak kajian dilakukan, semakin banyak pendedahan baharu ditemui.
“Apa yang pasti terdapat lebih 100 bahan aktif yang terkandung dalam bijirin hitam dengan timokuinon mendominasi antara 70 hingga 80 peratus daripada jumlah keseluruhannya.
“Hasil beberapa kajian yang kami jalankan membuktikan bahawa bahan timokuinon yang diekstrak daripada habbatus sauda berupaya menurunkan paras kolesterol, glukos dalam darah dan berat badan sekali gus mengurangkan risiko penyakit sindrom metabolik dan penyakit jantung,” jelas beliau.
Lewatkan penuaan
Ujar Latiffah, kajian pada haiwan makmal yang diaruh penyakit Alzheimer atau nyanyuk dan diberi makan bahan aktif timokuinon daripada minyak habbatus sauda turut mempunyai kesan tersendiri.
“Penyelidikan itu merumuskan bahawa habbatus sauda telah menurunkan paras beta amiloid iaitu sejenis protein yang terdapat pada otak haiwan nyanyuk berbanding haiwan kawalan yang tidak menerima suplemen habbatus sauda.
“Kajian pada tisu kultur dan sel kultur pula menunjukkan bahan aktif asid linoleinik daripada ekstrak minyak habbatus sauda mampu mengurangkan pertumbuhan sel kanser payu dara secara signifikan.
DR. LATIFFAH banyak menjalankan penyelidikan tentang keberkesanan khasiat habbatus sauda sejak lebih sedekad lalu.


“Di samping itu, pengambilan habbatus sauda sebagai makanan tambahan berupaya melambatkan proses penuaan,” terang Latiffah yang turut mengkaji keberkesanan habbatus sauda terhadap wanita menopaus dalam aspek peningkatan kualiti kehidupan seperti kecergasan mental, spiritual dan hubungan kelamin.
Tambah beliau, pengambilan habbatus sauda sebagai makanan tambahan dalam tempoh dua minggu mampu melancarkan sistem penghadaman, melawaskan pembuangan najis terutamanya bagi mereka yang mengalami sembelit, meningkatkan tenaga dan kadar kecekapan seseorang.
“Buat masa ini, saya masih mengkaji tentang persediaan habbatus sauda yang terbaik untuk diambil iaitu sama ada dalam bentuk asli, minyak atau dicampur dengan bahan lain.
“Namun, secara saintifik sukar untuk dipastikan keberkesanan makanan yang bercampur. Misalnya, mengambil habbatus sauda dengan madu.
“Kita tidak tahu yang mana satu antara kedua-duanya yang menjadi penyembuh dan memberi kesan positif kepada sesuatu keadaan,” jelas beliau.

Friday, October 19, 2012

HAK INSTITUSI ZAKAT


SAYA ingin mengetahui, sejauh manakah sesebuah institusi zakat itu dapat berperanan di dalam sesebuah negeri atau negara dan apakah hak-hak yang dimiliki olehnya?

Jawapan

Dalam dunia pengurusan zakat, ada dua perkara utama yang menjadi terasnya, iaitu kutipan dan agihan zakat. Secara asasinya sesebuah institusi zakat akan menjalankan amanah mengutip zakat dan selepas itu, bertanggungjawab pula mengagihkan kembali zakat kepada semua asnaf yang berhak. Sesebuah organisasi zakat tidak akan berjaya jika mengabaikan salah satu daripada dua elemen ini.
Harus diingat, sesebuah institusi zakat berhak menjalankan kerja-kerja kutipan dan agihan atas arahan pemerintah Islam (ulil amri), sesuai dengan tindakan nabi melantik para sahabat sebagai amil, misalnya Muadz bin Jabal ke Yaman.
Bahkan dalam mentafsirkan ayat 103 daripada surah at-Taubah, kalimah 'ambillah' yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW, merupakan suatu penegasan bahawa pihak amil berhak mengambil waima secara paksa harta orang-orang kaya jika mereka enggan berzakat. Pastilah yang berhak itu adalah para amil zakat yang diberi kuasa.
Hanya institusi zakat yang lebih layak menjalankan kerja-kerja mengutip dan mengagih zakat. Pihak pengurusan zakat yang disebut sebagai amil, telah dilatih untuk menaksir zakat secara tepat, sesuai dengan pelbagai inovasi pengiraan dan berdasarkan perakaunan baharu zakat yang dirumus oleh fuqaha kontemporari dan para pakar kewangan Islam terkini.
Ambil sahaja contoh dalam menaksir harta zakat pendapatan, pelaksanaan had al-kifayah pembayar dan perkembangan fatwa mengenainya hanya lebih dimaklumi oleh amil yang terlatih, iaitu amil zakat.
Sebab itu, Saiyidina Umar al-Khattab dalam memperkasakan pentadbiran negara, telah melantik pegawai khas bergaji bagi menaksir zakat umat Islam demi kebaikan semua pihak tanpa ada sebarang kepentingan lain.
Bahkan, aspek pengagihan zakat memerlukan mereka yang lebih memahami situasi masyarakat.
Tidak selalunya tepat andai kita hanya mentafsir berdasarkan lahiriah manusia semata-mata. Maka, demi memastikan zakat hanya disalurkan kepada mereka yang layak, maka pelbagai inovasi dalam bancian dan siasatan diwujudkan. Para amil zakat dilatih agar menghadami keperluan ini.
Formula had al-kifayah asnaf misalnya, diwujudkan demi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak disantuni seoptimumnya dengan wang zakat.
Ini penting, atas beberapa faktor seperti keterbatasan sumber zakat, menangani kes penipuan zakat dan mengoptimumkan natijah agihan zakat.
Namun begitu, pihak institusi zakat hanyalah sebagai pemegang amanah, yang diberikan kuasa sementara bagi mengendalikan urusan zakat.
Para pembayar zakat sebenarnya masih perlu ambil tahu mengenai keberkesanan agihan zakat, kerana matlamat sebenar di sebalik pensyariatan zakat oleh Allah SWT adalah untuk memastikan harta kekayaan mereka itu benar-benar dapat memperkasakan ummah keseluruhannya.
Syeikh Muhammad bin Salih al-Utsaimin di dalam fatwanya menyatakan: "…agihan zakat kepada lapan asnaf ini (hendaklah) boleh memenuhi keperluan khusus bagi mereka yang menerimanya…," (lihat Ensaiklopedia Zakat, hal. 48).
Realitinya, zakat adalah antara mekanisme perkongsian harta dan sekali gus mengekang pengumpulan harta kepada golongan tertentu sahaja dan mencegah monopoli kekayaan. Dalam hal ini Allah SWT menegaskan: Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu. (al-Hasyr: 7)
Maka, pembayar zakat masih wajar mengambil tahu apakah agihan zakat yang dilakukan itu benar-benar sampai kepada lapan asnaf ataupun tidak.
Seandainya berlaku ketempangan dalam pengurusan zakat, khususnya dalam urusan agihan, maka para pembayar wajar memberikan teguran dan mencadangkan penambahbaikan. Hakikat ini adalah suatu corak check and balance demi menjamin kesinambungan keberkesanan sistem zakat.
Fuqaha majoritinya cenderung agar semua pembayar menyalurkan zakat mereka kepada institusi zakat yang ditubuhkan pemerintah, namun ia masih tertakluk kepada keamanahan dalam pengurusan zakat berkenaan.
Seandainya ternyata dan terbukti, penyaluran zakat tidak sampai kepada matlamat, maka sebahagian fuqaha menegaskan zakat itu boleh disalurkan sendiri oleh pembayar kepada mustahiknya (penerima).
Perbincangan ini dibahaskan antaranya oleh Syeikh Rashid Ridha, yang dengan tegas menyatakan: "Kepada pemerintah-pemerintah semacam ini (yang menyeleweng daripada amanah zakat - penulis), tidak boleh kita (umat Islam) membayarkan zakat (kepada mereka) walaupun ketua pemerintahan itu bergelar khalifah," (rujuk TM Hasbie Ash Shidieqy, Pedoman Zakat, hal. 53).

SAJIAN BARAT SEDIA DIMASAK


Fahitas stik ayam

BAGI penggemar stik, antara kriteria yang dicari ketika menikmati hidangan barat tersebut ialah teksturnya yang lembut dan mudah dipotong.
Pada masa yang sama ada juga peminat hidangan ini inginkan dagingnya dimasak separa masak ataupun masak sempurna (well done).
Begitupun di zaman yang serba canggih hari ini anda boleh menikmati hidangan stik dengan cita rasa sendiri.
Ia dapat direalisasikan melalui produk keluaran Steaq Hub Ventures Sdn. Bhd. (Steaq Hub) yang menawarkan makanan barat sejuk beku.
Menawarkan pelbagai jenis daging stik sejuk beku seperti stik ayam, stik daging, stik kambing, dan ikan dan kentang goreng (fish & chip) kesemua hidangan ini mampu disediakan dalam tempoh masa yang singkat.
Menurut pengasas, Roslin Hussain, stik yang dibekalkan syarikatnya hanya menggunakan daging berkualiti dan terbaik selain 90 peratus kandungannya merupakan daging tulen dan tiada campuran tepung.
Katanya lagi, selain mengetengahkan konsep sedia dimasak pihaknya turut menggunakan konsep pemakanan seimbang di mana setiap produk yang ditawarkan akan dilengkapkan dengan jejari kentang, sayur campuran dan tidak ketinggalan sos lada hitam.
"Untuk konsep sedia dimasak ini, ia direka bagi golongan bekerja yang mahukan kualiti pemakanan dan dapat disediakan dalam waktu yang singkat.
"Dengan adanya produk sejuk beku ini, mereka yang sudah muak untuk membeli makanan di kedai boleh memasak stik ini yang hanya mengambil masa kurang daripada 10 minit.
"Sudah pasti produk ini juga sesuai untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang ke rumah," katanya ketika ditemui di premis perniagaanya yang terletak di Cemerlang Heights, Gombak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kelebihan produk ini ia bukan sahaja membekalkan daging sejuk beku tetapi turut mengeluarkan sos buatan sendiri yang diperbuat daripada rempah ratus dan bahan mentah tempatan yang berkualiti tinggi.
Sudah pasti sos yang menjadi pelengkap kepada makanan stik ialah sos lada hitam dan ia merupakan resipi yang dihasilkan sendiri oleh Roslin.
Selain itu, ulas Roslin, produk sejuk beku yang dikeluarkan Steaq Hub menyediakan kebebasan kepada pengguna untuk menyediakan hidangan mengikut cita rasa dan selera mereka.
Ia boleh disediakan sama ada secara dipanggang di atas gril atau dalam ketuhar selain digoreng dalam kuali.
Setakat ini jelas Roslin lagi, pihaknya membekalkan stik ayam, lembu, dan kambing yang siap diperap yang disertakan dengan sos lada hitam, jejari kentang, dan jagung manis kepada lebih daripada 20 buah restoran dan gerai makan sekitar Lembah Klang.
Terbaru Steaq Hub telah melancarkan kios Sizllin Pit Stop serentak dengan produk terbaharunya iaitu fahitas stik ayam, lembu, dan kambing; burger stik ayam dan lembu serta sosej jumbo ayam.
Tambah Roslin, kios tersebut merupakan fasa kedua dalam rancangan jangka panjang pihaknya untuk memperkenalkan jenama Steaq Hub kepada orang ramai.
Selain itu ia juga bertujuan untuk memperluaskan pasaran ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
"Kios ini berkonsep moden dan menarik yang dilengkapi dengan peralatan untuk memasak.
"Yang pasti kios ini memberi satu lagi pilihan kepada penggemar-penggemar makanan barat dan ia mudah disediakan," katanya lagi.
Sehubungan itu juga, menurut Roslin pihaknya kini dalam perbincangan untuk memasarkan produk sejuk beku tersebut ke pasar raya.
Ia adalah untuk memudahkan lagi penggemar-penggemar stik mendapatkan makanan tersebut untuk dimasak di rumah.
Untuk maklumat lanjut mengenai produk itu, orang ramai boleh menghubungi talian             03-41087300       atau layari laman sesawang www.steaqhub.com dan juga laman sosial Facebook.

Monday, October 15, 2012

MANFAATKAN TERMINAL SEJAHTERA MDP


Miswan Yunos (dua dari kiri) melihat Ahmad Maslan bermesra dengan seorang pelajar yang mengikuti pembelajaran komputer di Terminal Sejahtera Pontian di Pontian, kelmarin.

PONTIAN 14 Okt. - Seramai 500 pelajar dalam program E-Kasih melibatkan 23 buah sekolah kebangsaan dan 10 buah sekolah menengah mengikuti pembelajaran berkomputer di Terminal Sejahtera di bawah penyeliaan Majlis Daerah Pontian (MDP) sejak terminal itu dibuka April lalu.
Yang Dipertua MDP, Miswan Yunos berkata, MDP adalah pihak berkuasa tempatan keempat di negeri ini yang dipilih menjayakan program itu di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar selepas Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).
"Sebanyak 40 unit komputer disediakan di Terminal Sejahtera yang dikendalikan oleh seorang penyelia dan dua orang pemudah cara bagi membantu pelajar mengakses pembelajaran.
"Pembelajaran secara dalam talian membantu pelajar dari golongan kurang berkemampuan yang akan menduduki peperiksaan meningkatkan lagi pencapaian akademik masing-masing," katanya pada majlis perasmian Terminal Sejahtera di pekarangan Mini Stadium Pontian di sini semalam.
Perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Friday, October 12, 2012

"KAMI MAHU TERBANG 40 TAHUN LAGI !"


Ahmad Jauhari Yahya (lima dari kanan) berbual dengan kakitangan MAS dan Kapten Hassan Ahmad (tiga dari kanan) sambil diperhatikan Ooi Teong Siew (tiga dari kiri) dan Amarjeet Kumar yang menyertai penerbangan pertama MAS MH601 ke Singapura pada 1972.
KEHIDUPAN bermula dari usia 40", demikian tutur Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Airline System Bhd. (MAS), Ahmad Jauhari Yahaya semasa memulakan ucapan sempena sambutan penubuhan MAS yang ke-40 pada 1 Oktober lalu di Kelana Jaya, Selangor.
Pada usia 40, syarikat penerbangan negara ini masih kuat membelah awan walaupun perjalanan di hadapan terus berliku kerana terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat lain terutama apabila industri penerbangan tambang murah semakin berkembang dewasa ini.
Sejarah MAS bermula selepas perpecahan di antara Malaysia - Singapore Airlines (MSA) pada 1971 akibat perbezaan pendapat di antara dua kerajaan menjadi titik tolak kepada perkembangan industri penerbangan komersial di negara ini.
Singapura ketika itu mahu menumpukan kepada destinasi antarabangsa manakala Malaysia mahu menumpukan perhubungan domestik, sekali gus menyaksikan lahirnya dua syarikat penerbangan iaitu Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) pada April 1971 manakala Singapura pula menubuhkan Singapore Airlines (SIA).
Bermula dengan penerbangan pertama MH601 ke Singapura pada 1 Oktober 1972, MAS tidak menoleh ke belakang lagi apabila turut terbang ke 34 destinasi domestik dan enam destinasi antarabangsa.
Dengan hanya bertunjangkan enam pesawat Boeing 737-200, sembilan Fokker Friendship 27 dan tiga Britten Norman Islanders, MAS semakin melebarkan sayapnya ke 76 destinasi seluruh dunia.
MAS menerbangkan secara purata 37,000 penumpang dalam 300 penerbangan sehari ketika itu.
Kapten Hassan Ahmad, 76, merupakan juruterbang pertama yang menerbangkan pesawat MAS selepas dilancarkan pada 1 Oktober 1972 berkata, peristiwa tersebut menjadi sebahagian daripada sejarah industri penerbangan negara dan adalah sesuatu yang tidak dapat dijual beli.
Apatah lagi, bilangan juruterbang tempatan sangat sedikit dan lebih didominasi oleh 'Mat Saleh'.
"Kami sangat bangga menjadi warga MAS, kami bagaikan satu keluarga yang besar.
"Pertama kali menerbangkan pesawat MH601 ke Singapura, para penumpang, anak-anak kapal dan eksekutif-eksekutif yang menyaksikan peristiwa tersebut menitiskan air mata kegembiraan, sedangkan saya ketika itu terpaksa memberi sepenuh tumpuan untuk memastikan kapal terbang berlepas dengan selamat.
"Baru hari ini saya menitiskan air mata yang bagaikan tertangguh selama 40 tahun," katanya dalam nada terharu ketika ditemui semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun MAS ke-40 di Kelana Jaya, baru-baru ini.
Majlis serba sederhana di kawasan mock pesawat MAS di Akademi Latihan MAS, Kelana Jaya, Selangor itu menjadi medan pertemuan semula pencetus sejarah syarikat penerbangan itu.
Mengimbas memori indah selama lebih kurang 23 tahun bersama MAS, Hassan yang juga merupakan kapten Melayu pertama dan antara kapten termuda di Malaysia ketika itu berkata, walaupun terpaksa berkorban masa dan tenaga berikutan kekurangan kakitangan, mereka tidak pernah merungut.
Katanya, azam yang tersemat di hati mereka hanyalah memastikan penerbangan selamat sampai ke destinasi di samping memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
Malah, beliau turut berkongsi cerita menarik apabila berusaha sendiri untuk mendapatkan Lesen Juruterbang (Airline Transport Pilot License - ATPL) di London kerana merasa tercabar akibat selalu disisihkan oleh juruterbang-juruterbang asing.
"Pada masa itu, kebanyakannya adalah juruterbang asing dan setiap kali melihat nama kami (pembantu juruterbang tempatan), mereka akan sesuka hati menukar jadual.
JELITA.... Empat orang pramugari memakai empat uniform khas yang diguna pakai (dari kiri) pada tahun 1972, 1978, 1986, 1993 sehingga kini semasa Sambutan 40 tahun MAS.

"Saya rasa tercabar dan berusaha sendiri ke London untuk menjalani latihan ATPL dan akhirnya berjaya dilantik sebagai juruterbang pada usia 26 tahun, sekali gus menjadi antara juruterbang termuda di negara ini," ujarnya.
Bagi Amarjeet Kumar pula, pramugari yang terbang bersama Hassan dalam pesawat bersejarah MH601, MAS sudah menjadi darah dagingnya.
"Saya mula terbang bersama MSA tetapi pangkalan kami adalah Singapura. walaupun diberi layanan hebat terutama apabila singgah di Kuala Lumpur, ia tidak pernah memadamkan keinginan saya untuk pulang ke sini. Bagi saya, Singapura bukan rumah kami.
"Jadi, apabila berlakunya perpecahan MSA dan kami diberi pilihan sama ada mahu terus bersama SIA atau pulang berkhidmat dengan MAS, saya tidak berfikir dua kali untuk menyertai syarikat penerbangan nasional ini," imbasnya.
Menamatkan perkhidmatan pada 2007 selepas 38 tahun bersama MAS, wanita anggun ini menjadi bukti nyata kenapa MAS sering memenangi Anugerah Krew Kabin Terbaik.
Dengan bentuk tubuh yang masih langsing dan tutur kata yang sopan, Amarjeet berkata, beliau merupakan antara pramugari MAS yang berjuang supaya usia persaraan mereka dilanjutkan selain diberi cuti bersalin.
"Ketika itu, usia persaraan kami adalah 35 tahun dan kami juga tidak diberikan cuti bersalin. kami juga manusia biasa yang mahu mempunyai kehidupan berumah tangga seperti orang lain.
"Jadi, selepas melahirkan anak dan kembali bekerja, saya dipanggil temuduga (setiap pramugari yang memulakan kerja selepas melahirkan anak perlu menjalani temuduga), saya menyuarakan pendapat bahawa pada usia 35 tahun kami masih lagi mampu memikul tanggung jawab dengan baik. Walaupun sudah berkeluarga, kami pandai mengatur jadual di antara kerjaya dan kehidupan peribadi," katanya.
Permintaan Amarjeet tersebut akhirnya diterima oleh pihak pengurusan MAS.
Bagi Naib Presiden Kanan, Pengawasan Keselamatan Korporat MAS, Kapten Ooi Teong Siew yang merupakan rakan seangkatan Hassan dan Amarjeet di MH601, kasih sayangnya pada MAS mengikat beliau untuk kekal bersama syarikat penerbangan tersebut walaupun banyak menerima tawaran hebat yang lain.
"Inilah yang dipanggil kesetiaan, saya bahagia di sini, bukan wang yang menjadi buruan sebaliknya semangat cintakan negara membuatkan saya terus berkhidmat dengan MAS," katanya.
Empat puluh tahun bukanlah satu jangka waktu yang singkat, namun itu juga tidak bermakna MAS semakin kehilangan kudrat untuk meneruskan penerbangan dalam persekitaran langit terbuka yang amat mencabar.
Dengan kira-kira 20,000 kakitangan setakat ini di samping barisan pesawat hebat termasuklah yang terbaru, Airbus A380, Ahmad Jauhari berkata, fokus akan terus diberikan untuk memajukan MAS.
Berdepan dengan kerugian bersih berjumlah RM520 juta bagi separuh pertama 2012 dan perolehan sebanyak RM6.2 bilion, masih banyak yang perlu dilakukan oleh beliau, apatah lagi syarikat penerbangan negara ini perlu memikul mandat untuk memenuhi lima tanggung jawab terhadap negara.
Antaranya menyediakan sistem pengangkutan udara yang efisien dan menguntungkan selain membangunkan perkhidmatan domestik yang menghubungkan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, sekali gus menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi dan integrasi.
Mengakhiri perbualan petang itu, Ahmad Jauhari berkata: " Kami mahu terbang 40 tahun lagi!".
Semoga MAS bukan sahaja mampu terbang 40 tahun lagi, malah untuk selama-lamanya kerana siapa lagi yang sanggup "menerbangkan" nama negara di langit yang luas, kalau bukan syarikat tersebut?

Thursday, October 11, 2012

MANGGA PALING DIGEMARI RAKYAT MALAYSIA


MBG kini menjadi jenama popular yang sinonim dengan pemasaran dan penjualan pelbagai jenis buah segar di negara ini.



PERCAYA atau tidak, dalam banyak-banyak buah yang ada di Malaysia, buah mangga dipilih sebagai buah yang paling digemari oleh rakyat Malaysia!
Ia merupakan hasil tinjauan Yes! Fruits mengenai buah-buahan yang dijalankan di seluruh negara oleh syarikat MBG Fruits Sdn. Bhd. (MBG) sempena Hari Malaysia.
Tinjau selidik yang melibatkan 5,326 rakyat Malaysia itu menunjukkan bahawa lima jenis buah yang paling digemari ialah mangga 64 peratus, diikuti oleh anggur (58 peratus), tembikai (53 peratus), epal (50 peratus) dan buah naga (47 peratus).
Menurut tinjau selidik itu, Raja Buah, iaitu durian menduduki tempat keenam dengan 46 peratus. Buah-buahan yang kurang dikenali, kurang difahami dan kurang diterima ialah pisang kaki (23 peratus) dan buah berbiji keras seperti plum, pic dan nektarin (25 peratus).
MBG mengumumkan hasil kaji selidik itu pada Hari Malaysia untuk memperingati perayaan hari kebangsaan yang mencerminkan penyatuan dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Tinjau selidik tersebut menunjukkan tabiat dan kegemaran rakyat Malaysia dalam pengambilan buah-buahan.
"Buah mangga menduduki carta teratas berikutan rasa buahnya yang manis, berair, berbau harum dan boleh didapati dalam pelbagai jenis.
"Dari jauh kita boleh bau keharumannya. Anggur mendapat tempat kedua kerana ia manis, menarik dan terkenal selain kaya dengan antioksidan yang baik untuk kesihatan dan kecantikan. Anggur tanpa biji paling digemari," kata Pengarah Urusan MBG, Adnan Lee.
BUAH mangga mengatasi populariti Raja Buah iaitu durian dalam hasil tinjau selidik oleh pihak MBG sempena Hari Malaysia baru-baru ini.


Paling mengejutkan, durian yang selama ini dikatakan buah 'kegilaan' ramai berada di kedudukan pertengahan dalam senarai 10 teratas.
Ini jelas menunjukkan masyarakat kini lebih mementingkan kesihatan. Sesetengah responden menyatakan bahawa mereka hanya makan durian sekali-sekala kerana buah tersebut terlalu mengenyangkan dan tinggi kolesterol.
"Orang ramai patut makan lebih banyak pisang kaki kerana ia kaya dengan nutrien. Jika anda gemarkan buah pisang kaki dari Korea yang lazat, rangup dan manis, ia boleh didapati pada bulan Oktober dan November pada harga yang sangat berpatutan. Plum juga kaya dengan antioksidan dan baik untuk kesihatan.
Sebanyak 81 peratus rakyat Malaysia makan buah-buahan untuk menjaga kesihatan manakala 13 peratus mengambil buah-buahan sebagai snek. Hanya sebilangan kecil makan buah untuk kecantikan dan tenaga.
"Kefahaman tentang keperluan khusus rakyat Malaysia ini membantu kami menentukan hala tuju yang betul dalam usaha kami menawarkan buah-buahan kepada pengguna. Ini dapat membantu usaha pendidikan kesihatan, strategi pemasaran dan pengedaran, pembungkusan produk dan promosi," jelasnya.

NAIKKAN TARAF MEDAN SELERA TEPI LAUT PONTIAN



MEDAN Selera Tepi Laut Pontian perlu dinaikkan taraf bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung dan peniaga.

SEBAGAI peniaga di Medan Selera Tepi Laut yang terletak di Pontian, kami amat berharap agar medan selera ini dinaikkan taraf bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.
Hal ini demikian kerana keadaannya yang sudah 'usang' tidak seperti kebanyakan medan selera yang serba moden dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain.
Sekiranya dinaikkan taraf, saya dapat merasakan kawasan ini akan menjadi pilihan lebih ramai orang untuk bertandang kerana lokasinya cukup sesuai iaitu terletak di tepi laut.
Selain itu, medan selera ini merupakan satu-satunya ada di bandar Pontian yang menyediakan makanan Melayu pada waktu malam seperti nasi ayam, pelbagai jenis mi, sate dan sebagainya.
Medan selera ini juga sering menjadi tumpuan orang ramai terutama pada hujung minggu atau cuti umum termasuk yang datang dari luar daerah seperti Johor Bahru, Batu Pahat mahupun Singapura.
Kadangkala sebagai peniaga kami juga menjadi segan apabila terdapat pelanggan yang memberi pandangan tentang keadaan persekitaran medan selera yang tidak seperti di tempat lain.
Walaupun menghadapi kesukaran serta kurangnya kemudahan, namun para peniaga di sini tetap gigih menjalankan perniagaan masing-masing memandangkan inilah sumber pendapat kami.
Kami berharap agar pihak yang berkenaan dapat membuat sesuatu terhadap medan selera ini termasuk menaik taraf supaya sesuai dengan peredaran zaman.
Jika ada perancangan bagi menaik taraf tapak ini, diharap peniaga dapat dimaklumkan tentangnya terlebih dahulu supaya kami boleh membuat persiapan awal.