Sebut saja hendak makan apa, semuanya ada di Warong Sungai Pinang yang terletak di Kapar, Klang, Selangor. Berkonsepkan kampung, terdapat beberapa gerai yang khusus untuk makanan Barat, sate, nasi ayam, bakso dan sup, roti canai serta paling istimewa lempeng.
“Di sini memang ramai pelanggan yang gemarkan lempeng kelapa yang dihidangkan dengan sambal tumis ikan bilis enak digandingkan dengan kopi O, Mungkin menu ini jarang ada di tempat lain. Malah ramai pelanggan yang datang berkali-kali hanya untuk merasa pelbagai menu yang ada di sini,” kata pemilik Warong Sungai Pinang, Mazlin Diana Mokhtar.
Mazlin yang mesra dengan panggilan Kak Lin menguruskan Warong Sungai Pinang dengan suaminya Roni Nuzirwan atau lebih dikenali sebagai Gaban serta dibantu 13 orang pekerja tetap dan beberapa pekerja sambilan pada hujung minggu.
Selain lempeng, Mazlin berkata nasi telur berlada iaitu nasi putih yang dihidangkan dengan sambal telur hancur juga antara menu ringkas yang menjadi kegemaran pelanggan dan lebih istimewa, menu makanan Barat sejuk beku dibekalkan oleh DJ Hot FM, Kieran.
Pelanggan boleh memilih chicken chop yang dihidangkan dengan telur mata lembu, salad, kentang goreng serta sos yang menyelerakan atau jika mahu sesuatu yang ringkas -takoyaki golden yang enak atau mungkin ayam penyet yang dihidangkan dengan nasi putih, salad, sup, dan sambal yang boleh membangkitkan selera.
Tidak lupa juga dengan pemilihan pelbagai jenis jus seperti belimbing atau tembikai, ice blended strawberi, vanila atau coklat atau pelbagai pilihan minuman panas atau sejuk lain.
Ditanya mengenai pemilihan menu, Mazlin berkata, mereka yang gemar makan di pelbagai restoran akan meninjau menu yang menarik dan tukang masaknya akan mengubahsuai sedikit sebanyak bagi menepati selera sendiri.
“Kami mempelbagaikan menu bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan kerana pelanggan yang datang dengan keluarga tentu banyak kerenah dalam pemilihan makanan. Di sini mereka boleh memesan sama ada makanan panas, pelbagai jenis mi atau nasi,” kata graduan dalam bidang perniagaan dan pernah berkhidmat sebagai guru sekolah menengah.
Ditanya perancangan masa depan, Roni berkata, mereka bercadang untuk menambah menu seperti stimboat serta meningkatkan perkhidmatan yang ada untuk keselesaan pelanggan di warong yang boleh menempatkan lebih kurang 200 pelanggan pada satu-satu masa.
“Dengan tema rileks, lepak, santai, kami sentiasa membuka ruang untuk pelanggan bersantai, lepak dan rileks walaupun warong telah tutup kerana lampu di perkarangan warong tetap dibuka sehingga pagi,” katanya.