BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Friday, September 28, 2012

BELANJAWAN 2013: SUBSIDI GULA DIKURANGKAN 20 SEN



KUALA LUMPUR 28 Sept. - Subsidi gula dikurangkan sebanyak 20 sen sekilogram bermula esok, demikian diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketika membentangkan Bajet 2013 di Dewan Rakyat di sini, Perdana Menteri berkata, pengurangan subsidi itu telah mendapat sokongan daripada persatuan pengguna dan pengamal kesihatan.
"Bagaimanapun kerajaan masih lagi menanggung subsidi gula sebanyak 34 sen satu kilogram yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM278 juta," katanya ketika membentangkan bajet bertemakan Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati hari ini.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu turut mengambil kira jumlah 2.6 juta rakyat Malaysia yang menghidap diabetes ketika ini.
Berdasarkan rekod, gula sebagai barangan kawalan telah mengalami kenaikan harga sebanyak empat kali sejak 1 Januari 2010 iaitu RM0.20 sekilogram, RM0.25 sekilogram (18 Julai 2010), RM0.20 sekilogram (4 Disember 2010) dan kali terakhir pada 10 Mei 2011 (RM0.20 sekilogram) menjadikan harga runcit RM2.30 sekilogram sehingga kini.
Kenaikan itu adalah disebabkan faktor-faktor di luar kawalan kerajaan seperti perubahan cuaca, bencana alam di negara pengeluar komoditi serta harga pasaran dunia memberi kesan secara langsung kepada perubahan sesuatu harga barang.
Najib berkata, di sebalik pengurangan subsidi itu, kerajaan berharap peniaga tidak membebankan masyarakat keseluruhan dengan menaikkan harga barangan sebaliknya mengurangkan kandungan gula di dalam produk yang diniagakan.
"Gula yang diambil secara berpatutan adalah baik, namun sekiranya diambil secara berlebihan ia mampu menjadi racun," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi menstabilkan harga minyak masak di pasaran.
Beliau berkata, peruntukan itu juga untuk menampung perbezaan harga dan kuota penggunaan minyak masak yang semakin meningkat ketika ini.

Tuesday, September 25, 2012

ISKANDAR MALAYSIA SEDIA MENGORAK LANGKAH


KUALA LUMPUR - Cuaca panas pada minggu-minggu awal September tidak menghalang para pelawat berkeluarga berpusu-pusu memandu ke Johor dan sanggup beratur untuk mendapatkan tiket ke Legoland pertama Asia yang terletak di Nusajaya.
Tidak jauh dari situ,  kampus cawangan Malaysia bagi Kajian Perubatan Universiti Newscastle (NuMed - Newcastle University Medical School) yang terkenal dengan hiasan bata merahnya, menerima masuk kumpulan pertama pelajar dan membuka perkampungan baharu penuntut antarabangsa di situ.
Menginjak ke Utara berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, para pengunjung hujung minggu berebut-rebut mendapatkan barang berjenama seperti Burberry, Canali dan pelbagai lagi produk ternama pada harga diskaun hebat di Johor Premium Outlet (JPO) gaya Woodbury, yang terletak di  kawasan yang dahulunya  ladang kelapa sawit di Kulaijaya.
Kombinasi hiburan untuk keluarga, pendidikan dan syurga membeli belah ini mempunyai suatu persamaan -- kesemuanya berada di dalam Iskandar Malaysia, koridor ekonomi yang merentangi lima zon utama dari timur ke barat selatan Johor, membentuk sebuah wilayah mega terbesar di Asia Tenggara.
Iskandar Malaysia yang dilancarkan pada November 2006 kini menjadi tarikan utama dan  berjaya menarik pelaburan yang lebih besar daripada jangkaan awal dan boleh berbangga dengan barisan penyewa terkenal seluruh dunia seperti Pinewood Studios, perunding pertumbuhan global Frost & Sullivan dan kampus luar negara yang pertama untuk Kolej eksklusif Marlborough, yang antara bekas pelajarnya ialah bakal ratu Britain Kate Middleton.

Berdasarkan kepada pelan pembangunan menyeluruhnya, Iskandar Malaysia mempunyai 20 tahun untuk ditransformasi sebagai metropolis global sebesar tiga kali ganda saiz negara jiran Singapura.
Sempadannya mengelilingi ibu negeri bandar raya Johor Baharu, Lapangan Terbang antarabangsa Senai, dan beberapa pelabuhan termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas, hab kargo, taman-taman perindustrian, bandar pelabuhan siber, beberapa bandar sedia ada dan pelan hijau Nusajaya di  barat daya yang menempatkan sebahagian besar projek pemangkin Iskandar Malaysia.  
Pertumbuhan koridor seluas 2,217 km persegi itu di bawah pentadbiran Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) yang diketuai ketua eksekutif Datuk Ismail Ibrahim, perancang bandar kelulusan Britain yang juga anggota lembaga Badan Warisan Malaysia.
“Tahun 2012 merupakan tahun yang menarik dan titik penentu bagi kami kerana beberapa projek pemangkin sudah terlaksana. Lima tahun dahulu tidak ramai yang percaya bahawa Iskandar Malaysia akan wujud sepertimana yang kita lihat berlaku hari ini. Sememangnya kami berpuas hati dengan hasilnya,” kata Ismail di pejabatnya di Danga Bay, Johor Baharu.
“Saya teruja menyatakan bahawa kami sudah pun menyeberangi jambatan yang pertama. Kami berupaya membuktikan bahawa usaha dan kerjasama erat antara sektor awam dan sektor swasta ini berjaya dilaksanakan dan Iskandar Malaysia sudah pun membuahkan hasil walaupun pada peringkat awal ini.”
 
IRDA tidak mahu terburu-buru, kata Ismail, “tapi memang kami umpama tidak menang tangan kerana cuba memenuhi harapan rakyat dan kerajaan untuk memacu Malaysiamenjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.”

MOMENTUM SEJAK PROJEK PERINTIS

Jalan utama pesisir pantai dari bandar raya Johor Baharu ke Nusajaya sudah dibuka kepada lalu lintas pada April tahun ini. Perjalanan di laluan enam lorong ini memberikan sekilas pandangan akan pembangunan yang menghiasi tepian air Danga Bay dan sebuah pulau buatan manusia, sebelum melalui kawasan perumahan moden, Legoland dan terus menuju ke Kota Iskandar, pusat pentadbiran kerajaan negeri.
Selain Kota Iskandar dan Legoland, terletak dalam lingkungan Nusajaya ialah Educity, Taman Kesihatan Afiat, daerah perniagaan utama Medini, (pelabuhan) Puteri Harbour dan Kluster Perindustrian dan Logistik Selatan atau SiLC.
Menjelang tahun 2015, Educity akan mempunyai sekurang-kurangnya 10 buah institusi pendidikan termasuk empat buah universiti British seperti NuMed, Kolej Marlborough (Marlborough College), Universiti Southampton (University of Southampton) dan Universiti Reading (University of Reading).
Yang lainnya adalah Institut Teknologi Maritim Netherlands (The Netherlands Maritime Institute of Technology), Universiti Raffles (Raffles University), Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (Singapore Management Development Institute), Institut Kajian Sukan Johan Cryuff (Johan Cryuff Institute for Sports Studies),  Sekolah Amerika Raffles (Raffles American School) dan Universiti Multimedia (Multimedia University).
Marlborough College yang dibuka pada Ogos mengalu-alu pelajar berumur 11 sehingga 18 tahun, lelaki dan perempuan, kepada antara lain kemudahan sukan seperti padang ragbi dan laman kriket. University of Southampton berpindah ke Educity sebulan lalu manakala MMU akan memindahkan kursus ijazah seni sinematik dengan kerjasama Educity pada tahun 2014.
Selepas pembukaan Legoland pada 15 Sept, Iskandar Malaysia akan mempunyai pusat hiburan keluarga kedua apabila Puteri Harbour memperkenal taman tema tertutupnya pada November dengan duta animasi popularnya seperti Hello Kitty dan restoran pertama ‘Lat’s Place’, mengambil sempena nama kartunis terkenal Malaysia itu.
Dalam bidang penjagaan kesihatan, Hospital Gleneagles Medini, yang akan menyediakan kemudahan seperti 300 buah katil dan 150 bilik suite, pusat pemulihan dan rumah jagaan, sedang dibina mengikut fasa selepas pembinaan Hospital Columbia Asia pada tahun 2010.
GERAK POSITIF

Komitmen pelaburan di Iskandar Malaysia sedang rancak menuju aras RM100 bilion berbanding sasaran pelaburan sebanyak RM385 bilion menjelang 2025. Pada suku kedua 2012, jumlah kumulatif sudah mencapai angka RM95.45 bilion.
Frost & Sullivan, penulis laporan berpengaruh ‘World Top Global Mega Trends to 2020’ membuka Pusat Inovasi Globalnya (GIC) di Medini pada Ogos dengan lima pusat kecemerlangan dalam bidang perundingan, kewangan, inovasi, media digital dan universiti kepimpinan pertumbuhan inovasi.
Presiden Global Aroop Zutshi mengakui bahawa pembangunan GIC akan membawa perubahan halatuju syarikat itu dan mewujudkan aktiviti baharu berasaskan ilmu dan kemahiran-kemahiran tertentu untuk menyokong Malaysia menjadi negara bernilai tinggi dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Semasa ditanya sama ada IRDA mengemukakan tawaran yang sukar, Ismail menjawab: “Syarikat seperti Frost dan Sullivan membuat penyelidikan mereka sendiri”.
Majalah fDI yang dimiliki The Financial Times telah menarafkan Iskandar Malaysia sebagai destinasi pelaburan keempat terbaik bagi Zon Bebas Global Untuk Masa Depan 2012/2013 selepas Zon Bebas Lapangan Terbang Dubai, Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai dan Zon Bebas Dagangan Waigaoqiao di Shanghai.

PENCAPAIAN BERIKUTNYA 

Beberapa projek titik penentu masih rancak disiapkan dalam peringkat fasa kedua pembangunan lima tahun yang menjangkau tempoh 2011 seingga 2015.
Tapak di Medini untuk Pinewood Studios, yang terkenal dengan pengeluaran filem James Bond, Harry Porter dan Sherlock Holmes kini begitu rancak dengan pembinaan studio televisyen, pentas filem dan tapak pasca penerbitan, untuk disiapkan awal tahun depan.
Ismail berkata komuniti pelaburan akan menerima satu lagi isyarat kukuh tahun depan apabila Khazanah Nasional Berhad dan Temasek Holdings, masing-masing dana pelaburan Malaysia dan Singapura akan bersama melaksanakan dua projek kesihatan di Medini yang sudahpun diperuntuk dua bidang tanah.
“Pelancongan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan sektor kreatif sedang berjalan lancar. Dalam masa beberapa tahun akan datang ini kami akan membina sektor yang berikutnya seperti kewangan, oleokimia, pemprosesan makanan dan pertanian, elektrikal dan eletronik serta logistik.
“Meskipun keadaan global tidak menentu dan krisis Euro, kami mencapai prestasi yang baik dan akan memanfaatkan momentum yang kami miliki sekarang.
Kami sedang mensasarkan nilai pelaburan sebanyak RM73.3 bilion dalam masa lima tahun akan datang bagi mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak 8 peratus ke arah matlamat kami sebanyak RM385 bilion menjelang 2025," kata Ismail 

PELAJARI ILMU TAJWID


HUKUM membaca al-Quran secara bertajwid adalah wajib atau fardu kifayah kepada pembacanya. Maksudnya mempelajari ilmu tajwid itu sebagai fardu kifayah, bererti mestilah ada dalam sesuatu tempat atau lokasi itu seorang atau beberapa orang yang mengetahui ilmu tajwid sebagai rujukan bagi masyarakat setempatnya.
Jika tidak ada seorang pun di kawasan tersebut yang mahir dalam ilmu tajwid maka kesemua penduduk kawasan itu menanggung dosa. Walaupun membaca al-Quran itu dikira sebagai sunat, al-Quran itu wajib dibaca dengan bertajwid sebagaimana ia diturunkan tanpa membuat perubahan.
Sesiapa yang membaca al-Quran tanpa tajwid serta bacaannya boleh mengubah tafsiran al-Quran maka ia adalah berdosa. Golongan ini dilaknati Allah sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Ramai orang membaca al-Quran, sedangkan al-Quran sendiri melaknatinya." Juga rujuk al-Baqarah ayat 121.
Zaid bin Thabit menyebutkan sabda Nabi SAW bermaksud: Sesungguhnya Allah Taala menyukai seseorang hamba-Nya membaca al-Quran secara tepat sebagaimana ia diturunkan.
Sabda Rasulullah lagi bermaksud: "Sesungguhnya akan datang beberapa golongan sesudahku, orang-orang yang membaca al-Quran seperti cara orang bernyanyi, cara orang ahli kitab dan cara seperti orang meratap, yakni keluarnya huruf-huruf yang melalui kerongkong mereka tidak sesuai dengan mahraj al-huruf, semata-mata tujuannya mempersona dan menakjubkan orang sahaja."
Lagu fasik ialah lagu yang bukan berasal daripada lagu Arab yang diatur not kaedah muzik yang boleh merosakkan bunyi makhraj dan sifat huruf. Manakala lagu nyanyian ahli kitab iaitu lagu yang dilakukan seperti orang yang putus asa atau merintih ditimpa bencana dapat melalaikan sebutan huruf.
Telah sepakat para ulama sepanjang zaman dari zaman Rasulullah SAW sehingga sekarang dalam menyatakan bahawa membaca al-Quran secara bertajwid adalah suatu yang fardu dan wajib.
Menurut mazhab Syafi'i, bahawa memelihara pembacaan Kitab Allah Taala iaitu membaca secara bertajwid yang muktabar di sisi ahli Qiraat adalah suatu yang wajib, tiada keraguan lagi, sedangkan bacaan selain itu adalah berdosa dan karut.
Perlu disampaikan bahawa ada beberapa hal yang sangat penting dalam membaca seni al-Quran terutama dalam sesuatu majlis bacaan atau tilawah menurut pendapat ulama yang antara lainnya sebagai berikut.
Pertama; setiap orang mesti membaca al-Quran dengan fasih dan bertajwid. Sebab hal ini merupakan masalah pokok. Kalau kita hanya mengejar lagu tanpa memerhatikan tajwid, ini merupakan satu kesalahan yang sangat besar. Kedua-duanya harus berjalan secara harmonis. Membaca dengan bertajwid, membaca dengan fasih, kemudian dilagukan secara harmonis.
Kedua; kita harus mempunyai bakat dan juga minat. Kalau kita mempunyai minat untuk membaca al-Quran, itu dapat memberikan satu jaminan bahawa kita dapat berlatih secara istiqamah. Sedangkan dengan bakat yang dimiliki bererti kita memiliki suara yang diperlukan dalam membaca al-Quran dan juga kita memiliki pernafasan yang cukup baik.
Ketiga; sabar dan ikhlas. Setiap orang harus bersabar dan ikhlas dalam membacakan al-Quran. Kerana dalam seni membaca al-Quran banyak hal-hal yang berkaitan di dalamnya, dari segi tajwid, ataupun qiraatnya. Kita perlu mempelajari bagaimana pernafsan yang baik, seluk beluk lagu, dari lagu a, b, c, dan sebagainya. Semua ini betul-betul memerlukan kesabaran dan keikhlasan kerana Allah semata-mata.

IBNU KATSIR: ULAMA SERBA BOLEH


Tafsir al-Quran al-Karim karya Ibnu Katsir sehingga kini masih digunakan sebagai rujukan.

IBNU Katsir atau nama sebenarnya Imanuddin Ismail bin Umar bin Katsir merupakan seorang ulama yang terkenal dalam ilmu tafsir, hadis, sejarah dan juga fikah.
Beliau mendengar hadis daripada ulama-ulama Hijjaz dan mendapat ijazah daripada al-Wani serta mendapat asuhan daripada ahli ilmu hadis terkenal Syam (Syria), Jamaluddin al-Mizzi, iaitu bapa mentua beliau. Ayah beliau meninggal ketika beliau berusia enam tahun.
Oleh itu, sejak 706 Hijrah / 1306 Masihi, beliau tinggal bersama kakaknya di Damsyik. Di sinilah beliau mulai menuntut ilmu.
Guru pertamanya adalah Burhanuddin al-Fazari, pengamal Mazhab Syafie. Tidak lama selepas itu, beliau berada di bawah pengaruh Ibnu Taimiyah.
Untuk jangka masa yang panjang, beliau menjalani hidup di Syam sebagai seorang yang sederhana dan tidak terkenal.
Popularitinya bermula ketika beliau terlibat dalam penelitian untuk menetapkan hukum terhadap seorang zindik yang didakwa menganut fahaman hulul (syirik). Penelitian itu disaksikan oleh Gabenor Syam, Altunbuga an-Nasiri, pada penghujung 741 Hijrah / 1341 Masihi.
Sejak itu berbagai-bagai jawatan penting disandangnya, sesuai dengan bidang keahlian yang dimilikinya. Dalam bidang ilmu hadis, pada tahun 748 Hijrah / 1348 Masihi beliau menggantikan gurunya az-Zahabi sebagai guru di Turba Umm Salih dan pada 756 Hijrah / 1355 Masihi, beliau diangkat menjadi ketua Dar al-Hadis al-Asyrafiyah, setelah hakim Taqiuddin as-Subki meninggal dunia. Beliau banyak menghasilkan karya dalam ilmu hadis.
Dalam bidang tafsir, pada 1366 beliau dilantik menjadi guru besar oleh Gabenor Mankali Bugha di Masjid Umaiyah, Damsyik. Dalam ilmu tafsir itu juga, beliau mempunyai kaedah tersendiri. Menurutnya, tafsir yang terkenal adalah:
1) Tafsir al-Quran dengan al-Quran sendiri;
2) Apabila penafsiran al-Quran dengan al-Quran tidak diperoleh, maka al-Quran harus ditafsirkan dengan hadis Nabi; menurut al-Quran sendiri, Nabi SAW memang diperintahkan untuk menerangkan isi al-Quran itu;
3) Jika yang kedua tidak diperoleh, maka al-Quran harus ditafsirkan oleh pendapat-pendapat para sahabat, kerana merekalah orang yang paling mengetahui konteks sosial turunnya al-Quran;
4) Jika yang ketiga juga tidak ditemukan, pendapat para tabiin perlu diambil dan diterima pakai.
Karyanya dalam bidang tafsir ini adalah Tafsir al-Quran al-Karim yang dihasilkan dalam 10 jilid. Pengaruh kitab tafsir ini sangat besar dan sehingga sekarang masih banyak digunakan sebagai rujukan. Beliau juga menulis buku berjudul Fada'il al-Quran (Keutamaan al-Quran) yang berisi ringkasan sejarah al-Quran.
Al-Bidayah wa an-Nihayah adalah kitab sejarahnya yang terpenting dan terbesar pengaruhnya. Sejarah dalam kitab ini dapat dibahagi kepada dua bahagian besar: Pertama, sejarah kuno yang menuturkan mulai daripada riwayat penciptaan sehingga masa kenabian Muhammad SAW.
Kedua, sejarah Islam mulai dari masa dakwah Nabi SAW di Mekah sehingga pertengahan abad ke-8 Hijrah. Peristiwa-peristiwa setelah Hijrah disusun berdasarkan tahun kejadian itu.
Dalam bidang fikah, beliau dijadikan tempat perbincangan oleh para penguasa mengenai persoalan-persoalan hukum seperti dalam pengesahan keputusan yang berhubungan dengan rasuah (1358 Masihi) dan untuk mewujudkan persefahaman dan perdamaian setelah terjadinya perang saudara atau Pemberontakan Baydamur (1361 Masihi), serta dalam menyerukan jihad (1368-1369 Masihi).
Dalam hal yang terakhir ini, beliau menulis sebuah kitab yang berjudul al-Ijtihad fi Talab al-Jihad (Ijtihad Dalam Mencari Jihad). Beliau juga menulis kitab fikah yang didasarkan al-Quran dan hadis. Akan tetapi, kitab ini tidak selesai, hanya sampai pada bab Haji dalam bahagian Ibadah. Berkenaan dengan persoalan jihad, beliau banyak memperoleh inspirasi daripada kitab Ibnu Taimiyah, As-Siyasah as-Syar'iyyah (Politik Hukum).
Beliau meninggal dunia beberapa tahun setelah berhasil menyusun kitab al-Ijtihad fi Talab al-Jihad, dan dikebumikan di pemakaman sufi, di sisi makam gurunya, Ibnu Taimiyah.

HIDROTERAPI AIS


Rawatan turut disertakan dengan urutan bagi membantu melancarkan peredaran darah.

Pelbagai jenis rawatan spa diperkenalkan bagi membantu orang ramai memperoleh kesejahteraan tubuh secara holistik.
Antara yang turut mendapat perhatian ialah rendaman ais atau lebih dikenali sebagai hidroterapi ais iaitu salah satu kaedah rawatan alternatif Terapi Getaran Warna (CVT) bagi membantu menguatkan tulang, otot dan saraf pada badan.
Pengasas perubatan alternatif ini, Prof. Emeritus Dr. Norhisham Wahab, percaya bahawa penyakit terjadi akibat berlaku ketidakseimbangan pada sel organ-organ tertentu dalam tubuh.
"Manusia sentiasa terdedah kepada pelbagai jenis penyakit jika ia tidak dikawal dengan baik.
"Punca pelbagai penyakit yang melanda diri seperti lesu, sedih dan murung adalah petanda awal bahawa sistem dalam badan menghadapi masalah
"Hakikatnya, tulang yang kuat akan memberi kesan yang hebat kepada otot sekali gus akan mengaktifkan saraf pada keseluruhan badan," katanya.
Menyedari kelebihan rawatan alternatif terapi ais kepada kesihatan tubuh manusia, beliau telah melancarkan spa yang dikenali sebagai Home Spa Ice Therapy yang menggunakan ais sebagai bahan asas dalam rawatan.
Norhisham berkata, rendaman hidroterapi ais lebih berkesan apabila dilakukan di bawah penyeliaan pengamal CVT yang bertauliah.
Beliau berkata, Home Spa Ice Therapy menggunakan konsep rawatan yang menyediakan semua jenis terapi kepada pesakit dalam satu ruang rumah yang lengkap dengan peralatan.
"Pelanggan yang datang ke sini akan dicadangkan dahulu jenis rawatan yang sesuai berdasarkan penyakit yang dialami.
"Konsep ini menjimatkan masa kerana mereka tidak perlu bersusah payah untuk mencari tempat mendapatkan rawatan selepas dikesan menghidap sesuatu penyakit
"Rawatan hidroterapi ais adalah asas yang dilakukan sebelum mereka melakukan rawatan selanjutnya," katanya.
Menurut Norhisham, mungkin ada yang takut untuk mencuba kerana terpaksa berendam dalam tab penuh ais selama 30 minit, tetapi selepas mencuba mereka akan merasai kesannya.
"Pada peringkat permulaan pesakit akan merasa sejuk namun selepas beberapa minit suhu badan mereka akan sebati dengan air di dalam tab.
"Bukan air biasa yang digunakan, sebaliknya ia mengandungi air beralkali yang diyakini mampu melegakan banyak penyakit," katanya.
Menurutnya, rendaman itu kemudian ditambah titisan aroma terapi seri wajah, garam kasar, sulfur, hydro natrium, kapur sirih, dan gel mandian yang mengikut keperluan fungsi tubuh individu
Rawatan menggunakan hidroterapi ais tidak memberi kesan berbahaya kepada tubuh badan sebaliknya ia membantu mengembalikan semula kekuatan tulang, meningkatkan keseimbangan sistem ketahanan tubuh, antibodi dan sistem hormon.
"Selain itu ia juga dapat mengembalikan kesegaran dan kecergasan menyelesaikan masalah kesukaran tidur, meninggikan semangat dan tenaga vital.
"Ia turut membantu melancarkan pengaliran darah, kelangsingan tubuh badan serta rawatan kulit yang paling berkesan," kata Dr. Norhisam.
Tambahnya lagi, hidroterapi ais sebagai rawatan eksklusif turut disertakan bersama empat terapi pilihan sebagai pelengkap iaitu rawatan kiropraktik, urutan tradisional untuk keseluruhan badan, rawatan shiatsu dan rawatan fisioterapi iaitu terapi pemulihan otot di dalam kolam renang dengan air garam.
"Untuk jaminan layanan dan kemudahan terapi yang paling selesa kepada pelanggan, terdapat lima bilik rawatan yang ditempatkan di bahagian atas.
"Home Spa Ice Therapy juga boleh dikunjungi oleh semua golongan dan keluarga. Harga untuk satu sesi rawatan hidroterapi ais adalah RM 150 untuk setiap individu," katanya.
Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi             03-55120800      .

Sunday, September 23, 2012

SELERA DARI XI'AN



Salima Liu Xiao bersama sajian yang ditawarkan kepada pelanggan.
INGIN memberikan peluang kepada penduduk tempatan merasai masakan Cina sebenar, telah mendorong wanita kelahiran Xi'an, China, ini membuka restoran masakan Cina asli.
Dalam usaha merealisasikan impian tersebut, Salima Liu Xiao bukan sahaja menyajikan pelbagai hidangan masakan Cina yang berasal dari negara China tetapi turut membawa masuk tukang masak dari negara tersebut.
Ini kerana menurut Salima, dengan kehadiran Chef Dawud, bertaraf lima bintang, ia dapat memberikan masakan Cina yang sebenar kepada pelanggannya.
Jelas anak tunggal ini lagi, pembukaan restoran tersebut dirasakan tepat pada masanya kerana di Malaysia hari ini restoran masakan Cina tumbuh bak cendawan selepas hujan.
Mesti ramai yang tertanya-tanya adakah restoran ini halal ataupun tidak dan jawapannya sudah pasti halal kerana Salima sendiri merupakan seorang muslim kelahiran tanah besar China.
Berbicara lanjut mengenai sajian yang disediakan di restoran tersebut, ulas Salima, walaupun menu yang ditampilkan merupakan masakan asli dari China tetapi bahan-bahan yang digunakan adalah produk tempatan.
Ini kerana menurutnya lagi, kebanyakan bahan-bahan mentah yang digunakan dalam setiap masakan mudah didapati di Malaysia.
"Alhamdulillah boleh dikatakan kesemua bahan yang digunakan dalam masakan merupakan produk tempatan yang berkualiti dan sudah semestinya halal.
"Ini termasuklah bahan-bahan mentah seperti ayam, daging, ikan, sayur dan sebagainya.
"Yang pasti kesemua bahan yang digunakan dalam setiap masakan adalah sama yang digunakan dalam masakan yang dimasak di China," katanya ketika ditemui di premis perniagaannya, Yusof Authentic Chinese Cuisine yang terletak di 79-0, Tingkat G, Blok D, Platinum Walk2, Jalan Langkawi, Setapak, Kuala Lumpur.
Menawarkan pelbagai jenis masakan, antara masakan yang terdapat di restoran tersebut ialah Golden Medal Spicy Fragrant Shrimp, Squirrel-Shaped Fish, Sweet and Sour Beef Tenderloin dan Bi Feng Tang Style Chicken Wing.
Bukan itu sahaja, malah menurut Salima, restorannya turut menyediakan masakan bergoreng dan sup seperti pelbagai jenis nasi goreng serta mi sup daging.
Betul-betul menepati cita rasa Cina, ulas Salima lagi, sekiranya bahan ataupun rempah untuk satu-satu jenis masakan tiada di pasaran, pihaknya tidak akan menawarkan masakan tersebut kepada pelanggan.
Ujarnya lagi, tindakannya itu adalah bertujuan untuk menjaga kualiti masakan di restorannya di samping ingin memberi rasa yang sebenarnya.
Ternyata apa yang disajikan benar bagai dikata kerana masakan yang dimasak bukan sahaja memberikan kelainan dari segi rasa tetapi turut berbeza dari segi hidangannya.
Restoran tersebut yang mampu memuatkan 70 orang pada satu-satu masa dibuka setiap hari dari pukul 12.30 tengah hari hingga 11.30 malam kecuali setiap Isnin minggu ketiga.
Bagaimanapun jika dilihat pada harga yang ditawarkan ia agak sedikit mahal jika hendak dibandingkan dengan restoran-restoran lain.
Ini kerana jelas bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini, harga yang ditetapkan adalah berpadanan dengan bahan-bahan yang digunakan.
Selain menggunakan bahan yang berkualiti Salima turut menjelaskan, sukatan yang digunakan juga tidak pernah dikurangkan malah ia seperti asal dalam usaha memberikan masakan Cina yang betul-betul asli.
"Pembukaan restoran ini bukanlah bertujuan untuk bersaing dengan mana-mana restoran masakan Cina muslim yang lain tetapi ia adalah untuk memberikan rasa asli masakan Cina kepada para penggemarnya di negara ini," katanya sebelum menutup bicara.

Tuesday, September 18, 2012

AIR MATA BUANG TOKSIN



JUMLAH toksin yang dikeluarkan oleh air mata berbeza mengikut situasi seperti bersedih dan dimasuki habuk.


BERHADAPAN perasaan sedih akibat pemergian mengejut orang tersayang, ditinggalkan kekasih mahupun tekanan di tempat kerja begitu menyakitkan untuk dihadapi.
Namun, perasaan itu sebenarnya dapat dilegakan dengan menangis. Banyak kajian saintifik membuktikan bahawa perbuatan mengeluarkan air mata itu menjadikan seseorang lebih sihat.
Menangis bukan sahaja disebabkan perasaan sedih, tetapi air mata yang keluar juga merupakan refleks kepada perasaan terlalu gembira, terharu dan takut.
Terdapat tiga jenis air mata yang keluar mengiringi tangisan iaitu tangisan basal iaitu air mata keluar bagi melindungi bebola mata agar sentiasa lembap, tangisan refleks apabila berlaku iritasi mata dan tangisan emosi kerana tindak balas terhadap tekanan dan kesedihan.
Air mata yang rasanya masin keluar menerusi dua kelenjar pada bahagian atas dan hujung mata iaitu kelenjar lakrimal. Air mata mengandungi protein, air, mukus dan minyak.
Menangis dikatakan mampu menghindari pelbagai penyakit yang dikaitkan dengan tekanan seperti penyakit jantung, darah tinggi, diabetes jenis dua dan obesiti.
Menurut satu kajian di Universiti Minnesota, Amerika Syarikat, tangisan dapat membersihkan badan daripada bahan kimia yang dikaitkan dengan tekanan. Dikatakan, kandungan hormon adrenokortikotrofik (ACTH) yang tinggi disingkirkan ketika seseorang menangis secara emosi.
ACTH merupakan hormon penting yang bertindak balas dalam badan manusia apabila berlaku tekanan biologikal.

Emosi

“Menangis membantu mengurangkan tekanan seperti mana ekspresi emosi. Apabila anda sedih dan tertekan, anda sebenarnya mempunyai ketidakseimbangan badan dan membina lebih banyak bahan kimia.
“Menangis membantu mengurangkan bahan tersebut yang boleh menyumbang kepada penyakit berbahaya,” jelas perunding fisiologi klinikal di Middlesex, England, Dr. Abigael San.
Bagaimanapun, kajian oleh Dr. William H. Frey II di Pusat Perubatan St. Paul-Ramsey di Minnesota mendapati, tangisan emosi dan tindak balas fizikal pada bahagian mata adalah berbeza.
“Kandungan bahan kimia dalam air mata yang keluar ketika sedih dan mata dimasuki habuk tidak sama.
“Semasa menangis sedih, kandungan protein yang terdiri daripada hormon prolaktin ACTH dan liusin enkefalin iaitu sejenis pelega semula jadi, lebih banyak dihasilkan oleh badan. Keadaan itu amat membantu merawat tekanan,” ujar Frey.
Selain menyingkirkan bahan-bahan toksik daripada badan, menangis akibat kesedihan yang mendalam sebenarnya memberi kesan kepada psikologi dan membantu kita menguruskan situasi yang menyakitkan perasaan.
“Teori The Freudian menyatakan, adalah lebih baik jika kita dapat meluahkan segala perasaan. Jika kita melepaskannya secepat mungkin, ia akan memberi kesan baik kepada fizikal dan psikologi kita,” kata ahli psikologi kesihatan pekerjaan di Universiti Bedfordshire, Britain, Prof. Gail Kinman.
Begitupun, tambah Kinman, kesan tangisan terhadap seseorang berkait rapat dengan banyak sebab, konteks dan bagaimana perkara itu diuruskan.
“Kebanyakan orang memilih untuk menangis apabila berada dalam keadaan yang memerlukan kelegaan seperti masalah di tempat kerja, berasa malu atau rasa bersalah.
“Ramai wanita dalam kajian saya memberitahu, mereka berasa seperti perlu menangis untuk berdepan dengan sesuatu masalah. Hal itu benar-benar berkesan apabila emosi terbabit dibersihkan selepas itu,” kata Kinman.
Setelah saintis England yang memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1945, Alexander Fleming menemui kandungan protein yang dikenali sebagai lisozim antiseptik dalam air mata, pengkaji dari Universiti Irvine, California, AS, yang menjalankan kajian lanjut mendapati bahawa kandungan itu mampu meneutralkan beberapa jenis bakteria.
“Molekul lisozim mempunyai ciri-ciri untuk memerangkap dan memusnahkan bakteria yang cuma memasuki mata seperti mana kita memakan bertih jagung,” kata pengkaji terbabit.
Lisozim merupakan antibakteria yang pantas bertindak. Tanpa kandungan tersebut, mata akan mudah diserang bakteria dan meningkatkan potensi untuk seseorang menjadi buta.
Namun begitu, menurut San lagi, tangisan yang berlebihan bakal memberi kesan buruk seperti tekanan perasaan, penyakit tekanan selepas trauma, dan tekanan selepas bersalin.

IKAN MENTAH MELANAU



PEMBANTU restoran, Hasmah Arbi memberitahu, pelanggan boleh memilih untuk menyediakan sendiri umai atau menyerahkan tugas itu kepadanya.


JIKA sudah mendarat di Bumi Kenyalang, rugi rasanya jika tidak mencuba kepelbagaian gastronomi yang ditawarkan oleh lebih 27 etnik di negeri itu.
Selain menikmati keenakan laksa sarawak dan mi kolok, dua sajian signatur yang popular di sana, apa kata anda mencuba pula hidangan etnik Melanau iaitu umai ikan empirang dan linut.

Namanya agak pelik namun usah gusar kerana hidangan ringkas ini rasanya cukup enak walaupun bagi yang pertama kali mencubanya.

Menurut beberapa penduduk tempatan yang ditemui, mereka mengesyorkan penulis untuk bertandang ke Restoran Barong Tinuk yang terletak di Jalan Semarak, Kuching, jika ingin menikmati keenakan makanan Melanau yang sebenar.
Beroperasi setiap hari bermula dari 9 pagi hingga 10.30 malam, pemiliknya, Hairiah Affendi, 49, memberitahu, umai merupakan menu popular di restorannya.
“Kalau di Semenanjung, hidangan ini tidak jauh bezanya dengan kerabu ikan. Makan umai seperti makan sushi kerana ia dihasilkan daripada ikan mentah.
“Bagi yang tidak pernah mencuba, usah risau. Ramuan umai itu sendiri akan ‘memasak’ isi ikan.

“Selain isi ikan, bahan utama yang digunakan ialah perahan jus limau kasturi, hirisan cili api, halia dan bawang besar. Tidak lupa, garam secukup rasa.
“Di Barong Tinuk, umai hanya akan disediakan mengikut pesanan. Sebaik sahaja pesanan sampai, barulah ikan dihiris nipis dan digaul bersama bahan-bahannya untuk rasa umai yang lebih segar dan sedap,” ujar Hairiah yang terdorong untuk membuka restoran tersebut gara-gara suaminya yang juga kaki pancing selalu membawa hasil tangkapan yang banyak sehingga tidak mampu disimpan lama di rumah.

Udang Salai


Biasa dimakan secara beramai-ramai dan dihidangkan di dalam mangkuk besar, umai boleh dimakan terus ataupun dijadikan lauk dan dimakan bersama nasi.
Selain umai, jangan lupa untuk mencuba linut yang begitu mudah dimasak tetapi memerlukan teknik mengadun yang betul.
“Untuk membuat linut, saya hanya menjiruskan air panas secara perlahan-lahan ke dalam besen yang diisi dengan sagu mentah.
“Jirusan air dan gaulan yang pantas dilakukan dengan serentak agar adunan tersebut lebih sempurna.
“Di sini, linut dihidangkan bersama kuah sambal belacan namun pelanggan masih boleh menambah lauk-pauk sampingan seperti midin goreng ataupun terung Iban.
“Linut perlu dimakan panas-panas, barulah sedap,” ujar Zaki, anak lelaki Hairiah, sambil menghulurkan sepinggan nasi goreng dabai kepada kami.
Menarik tentang nasi goreng ini, warnanya yang seakan-akan nasi dagang Kelantan itu dimasak tanpa menggunakan garam.
“Kami gunakan buah dabai yang sudah dijeruk sebagai perasa untuk nasi goreng ini. Warna nasi itu juga bukanlah pewarna tiruan sebaliknya warna yang terhasil daripada buah dabai itu sendiri,” ujar Zaki.
Buah dabai merupakan antara buah-buahan tropika yang hanya terdapat di Borneo, khususnya Sarawak.
Warna kulitnya yang ungu kehitaman memiliki isi kuning yang keras dan cukup lemak rasanya. Dek kerana rupa fizikalnya itu, dabai juga dikenali sebagai buah zaitun Borneo.
Jika inginkan manisan ataupun makanan ringan masyarakat Melanau, restoran keluarga ini turut menyediakan aneka kudapan.
Antaranya, sesar unjur atau udang salai yang dimakan bersama biji sagu.
“Kami akan salai udang hingga betul-betul kering menggunakan kayu bakau bagi mendapatkan aroma yang wangi.
“Harganya sedikit mahal memandangkan cara pembuatannya tidak mudah. Bayangkan, untuk mendapatkan sekilogram (kg) udang salai, kami perlu menyalai 12kg udang,” kata Zaki.
Pengunjung juga boleh mencuba gula batu apong, biskut lada putih atau tumpik, sejenis lempeng yang diperbuat daripada tepung sagu.

Monday, September 17, 2012

JOHOR AKAN JADI PUSAT INDUSTRI FILEM MALAYSIA



JOHOR BAHARU - Pembangunan Pinewood Iskandar Malaysia Studios di Iskandar Malaysia akan meletakkan Johor di barisan hadapan dalam industri kreatif tempatan dan menjadikan negeri ini pusat penerbitan filem Malaysia, kata ketua pegawai eksekutifnya Michael Lake.
Beliau berkata di samping memasarkan Malaysia sebagai destinasi perfileman, Pinewood juga mempromosi kemudahan itu kepada syarikat perfileman untuk menarik mereka membina prasarana di kawasan berkenaan.
"Johor akan mendapat paling banyak manfaat daripada apa yang kami lakukan di sini," katanya.

Beliau berkata menjelang akhir 2013, pembangunan Pinewood - sebuah kompleks studio seluas 20 hektar di Nusajaya, yang terletak di tengah-tengah Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia - akan mewujudkan 1,500 pekerjaan dalam industri berorientasikan eksport dan dijangka menerima pembiayaan berjumlah RM1.8 bilion dari luar negara dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Ia akan muncul sebagai kemudahan studio bersepadu bebas terbesar di Asia Tenggara, yang menawarkan set perfileman paling canggih, studio televisyen dan kemudahan pasca penerbitan mulai awal 2013. 

Pinewood akan dilengkapi dua studio televisyen, masing-masing seluas 12,000 kaki persegi, dengan kemudahan tempat duduk untuk 600 dan 800 orang.
Di samping itu, ia juga akan mempunyai lima pentas penggambaran yang keseluruhannya seluas 100,000 kaki persegi -- dua pentas seluas 20,000 kaki persegi, dua pentas seluas 15,000 kaki persegi dan satu seluas 30,000 kaki persegi.
Pentas terbesar akan dilengkapi sebuah tangki air untuk penerbitan yang melibatkan penggambaran di dalam air.
"Ini bukan setakat membina kemudahan untuk menarik perhatian orang, tetapi membina industri kreatif secara besar-besaran di Malaysia," kata Lake, sambil menjelaskan bahawa Pinewood juga akan memberi tumpuan khusus terhadap penyediaan latihan serta peluang kepada pihak berkenaan.
Shamsul Cairel Abdul Karim, penerbit filem dari Maskarya Sdn Bhd, menyifatkan kehadiran Pinewood memberi nafas baru kepada industri perfileman di Malaysia kerana selain menawarkan peluang pekerjaan, ia juga membolehkan pengeluar filem tempatan  berkongsi pengalaman luas yang dimiliki syrikat itu.

"Pinewood amat memahami selok-belok dalam bidang ini dan mampu melakukannya dengan lebih baik, terutama dalam aspek teknikal dan ini akan melonjak kandungan serta penerbitan tempatan ke tahap lebih tinggi," katanya.
Selain Pinewood, kawasan berkenaan juga akan dilengkapi perkampungan kreatif seluas 14 hektar yang dikenali sebagai "Media @ Medini".  
Lake berkata perkampungan ini akan menempatkan syarikat penyewa kelengkapan perfileman dan beraneka peralatan perfileman.
"Pinewood akan menjadi kedai sehenti. Seseorang penerbit hanya perlu masuk pintu hadapannya dengan membawa skrip dan beredar dari situ pada akhir sesi penerbitan bersama sebuah fail yang diperlukan untuk tujuan penyiaran melalui televisyen atau pawagam," katanya.

Sejak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan tentang pemberian rebat tunai 30 peratus bagi perbelanjaan yang dikeluarkan untuk menerbitkan filem di Malaysia pada Mac tahun ini, banyak pihak berminat untuk menjadikan negara ini lokasi penggambaran. Perbelanjaan minimum yang melayakkan penerimaan rebat ini ialah US$1.6 juta (RM4.85 juta) bagi syarikat asing dan US$830,000 (RM2.5 juta) untuk syarikat Malaysia.   

Lake menyifatkan industri filem di Malaysia agak cergas kerana kemampuannya menerbitkan 50 filem pada tahun ini dan 70 hingga 80 pada tahun depan.
"Apa yang kami lakukan di sini ialah menyediakan asas bagi sebuah industri bertaraf antarabangsa. Kami sudah mula memasarkannya ke Amerika serta Eropah dan menarik minat banyak pihak dari India untuk membuat penggambaran di sini," katanya.

Lake berkata beberapa penerbit tempatan seperti KRU, akan dapat memanfaatkan sepenuhnya studio besar milik Pinewood sekiranya mereka ingin berkembang dan menghasilkan penerbitan bertaraf antarabangsa yang lebih besar.

BERIANI BATU PAHAT MATTOP



SEBUT saja Batu Pahat, Johor, sudah tentu kita terbayangkan nasi berianinya yang sempurna segala rasa. Bagi yang inginkan nasi beriani persis yang ada di Batu Pahat, apa salahnya mencuba ke Restoran Mattop Bariani di Bandar Baru Bangi berhampiran Kompleks PKNS.
Anda boleh memilih daripada empat lauk iaitu kambing, ayam, daging dan ayam goreng berempah.
Nasinya yang lembut dengan aroma rempah-ratus memikat selera memang gabungan sesuai dengan lauk beriani ditambah dengan air sirap bandung cincau atau milo tabur.
Selain nasi beriani, jangan lupa mencuba martabak Singapura yang enak bagi mereka yang sukakan pedas.
Menurut jurucakap yang juga ahli kelurga pemilik restoran, Fatimi Estar Ibrahim Estar, semua rempah ratus bagi membuat nasi dan lauk beriani dibeli khas dari Pasar Melayu Batu Pahat.
"Rempah yang dibeli akan dibancuh sendiri oleh penjualnya yang memang pakar dalam masakan beriani.
"Pembeli hanya perlu memberitahu berapa banyak yang diperlukan seperti berapa kilogram daging atau ayam yang akan dimasak," katanya.
Fatimi berkata, restoran Mattop kepunyaan ahli keluarganya Mohd. Azani Mansor yang pakar memasak.
"Keluarga kami terutama bapa mertua memang pakar memasak nasi beriani di kampung terutama semasa kenduri.
"Malah mereka juga mempunyai restoran di Batu Pahat yang diuruskan oleh keluarga di sana," katanya.
Fatimi menambah banyak resipi yang dikongsi bersama-sama dengan keluarga yang berada di Batu Pahat.
Restoran yang mula beroperasi pada 2008 ini juga aktif dalam katering untuk pelbagai majlis kecil dan besar.

Sunday, September 16, 2012

LEGOLAND MALAYSIA DISERBU



Ribuan orang ramai mengunjungi Legoland Malaysia di Nusajaya, Johor, apabila taman tema bertaraf antarabangsa itu mula dibuka semalam. - AFP
NUSAJAYA 15 Sept. - Kira-kira 20,000 orang dari dalam dan luar negara mengunjungi Legoland Malaysia apabila ia mula dibuka kepada orang ramai hari ini.
Malah mereka sanggup menunggu seawal pukul 8 pagi sebelum pintu masuk ke taman tema bertaraf antarabangsa itu dibuka pada pukul 10 pagi.
Paling bertuah ialah Rosyati Nasro, 44, dan keluarganya dari Johor Bahru yang menjadi pengunjung pertama menjejakkan kaki ke taman itu dan disambut sendiri oleh Pengurus Besar Legoland Malaysia, Siegfried Boerst.
"Saya berasa gembira dan bangga kerana Johor menempatkan Legoland pertama di Asia dan keenam di dunia. Saya juga rasa bertuah kerana menjadi orang pertama masuk bersama keluarga daripada beribu-ribu yang beratur," katanya ketika ditemui sejurus selepas memasuki kaunter pemeriksaan tiket Legoland Malaysia di sini hari ini.



Legoland
Pelbagai persembahan diadakan termasuk tarian daripada kakitangan legoland pada majlis perasmian pembukaan taman tema Legoland Malaysia, hari ini. - Foto Bernama















JOHOR BAHRU - Pertama di Asia, Legoland Malaysia menerima sambutan hangat daripada para pengunjung di hari pertama pembukaannya kepada orang ramai hari ini dengan mencatatkan kedatangan kira-kira 4,000 pengunjung setakat pukul 12.00 tengah hari.
Seawal jam 9 pagi, pengunjung mula bersesak di pintu masuk utama taman tema itu dan dijangkakan 10,000 pengunjung akan memenuhi taman ini hari ini.
Sementara menunggu pintu utama dibuka, para pengunjung disajikan dengan pertunjukan yang hebat oleh pancaragam Legoland, Billund Marching Band, yang diterbangkan khas dari Denmark, disamping persembahan tarian oleh krew Legoland Malaysia.
Rata-rata pengunjung merasa teruja dengan pembukaan taman tema Legoland ini kepada orang ramai, dan ada antara mereka yang bercadang untuk datang ke sini lagi.
Antara yang berkumpul di pintu masuk utama Legoland ialah Norhaiza, 32, yang datang bersama suami dan anak beliau dari Shah Alam bagi merasai sendiri suasana pembukaannya.
"Kami sekeluarga berasa sangat teruja untuk datang ke sini (Legoland Malaysia) yang merupakan yang pertama di Asia," katanya kepada Bernama.
Pada pandangan Norhaiza, taman tema ini sememangnya menarik dengan pelbagai permainan dan aktiviti yang dapat dicuba.
Selain itu, Amin, 21, pelajar dari sebuah institusi pengajian  tinggi tempatan, turut teruja dengan pembukaan taman Legoland ini.
"Kami datang berempat dari Klang, dan bagi remaja seperti kami, taman tema sebegini sudah pastinya menjadi destinasi yang seronok untuk dikunjungi," kata beliau.
Namun begitu, katanya, kebanyakan permainan lebih ditujukan kepada pengunjung kanak-kanak dan berharap lebih banyak permainan interaktif dapat disediakan oleh pihak Legoland untuk golongan seperti mereka di masa akan datang.
"Bagaimanapun, kami pasti akan datang lagi ke sini, dan menunggu pembukaan taman tema airnya pula," tambah beliau.
Pasangan dari Jerman, Alexandra dan Micheal menyatakan kehadiran mereka pada pembukaan hari ini adalah secara kebetulan dengan kunjungan mereka ke Malaysia.
"Kami melihat promosinya di media massa tempatan dan kami rasa ia adalah sesuatu yang pastinya seronok untuk dicuba," kata Alexandra.
Sementara itu,  Pengarah Urusan Legoland Parks, Merlin Entertainment, John Jakobsen, berkata pihaknya merasa sangat gembira dengan kehadiran beribu-ribu pengunjung dari merata tempat termasuk dari Singapura, Filipina dan Indonesia.
"Ini membuktikan Legoland Malaysia tidak hanya menarik pengunjung tempatan malahan juga dari luar negara dan kami merancang untuk memperkenalkan permainan baru di masa akan datang," tambah beliau.
Untuk meraikan pembukaan pertama Legoland Malaysia, kata Jakobsen, selain persembahan istimewa oleh pancaragam Legoland, pengunjung juga bakal dihiburkan dengan pertunjukan bunga api pada malam ini.
Legoland Malaysia adalah yang pertama seumpamanya di Asia dan keenam di dunia. Ia menyediakan lebih 40 permainan interaktif yang disasarkan kepada kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun.
Taman tema keluarga yang menyasarkan untuk menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan dari negara-negara Asia ini dijangka menjadi resort tarikan keluarga terbesar di Asean dengan taman air dan hotel yang masing-masing sedang dibina dan dijangka dibuka pada 2013 dan 2014.





JOHOR BAHRU - Lebih 10,000 orang membanjiri Taman Tema Legoland pertama di Asia yang dibuka secara rasmi semalam sekali gus menjadikan Johor dan Iskandar Malaysia sebagai antara hab hiburan utama di Asia.Ribuan pengunjung berbaris menanti dengan penuh sabar seawal 7 pagi untuk memasuki taman tema yang berkeluasan 31 hektar itu yang terletak di Nusajaya dekat sini.Keadaan itu sekali gus mencetuskan keyakinan ia bakal menjadi daya tarikan baharu pelancongan mengatasi Universal Studios di Singapura.
Ia merupakan Legoland keenam di dunia selepas Legoland Billund di Denmark, Legoland Windsor di England, Legoland California dan Legoland Florida di Amerika Syarikat serta Legoland Deutschland di Jerman.Sebagai simbolik kepada upacara pembukaan, Pengurus Besar Legoland Malaysia, Siegfried Boerst menaiki kereta penyelamat mini Lego sambil diiringi persembahan pancaragam dan maskot yang memeriahkan lagi suasana.
"Ia merupakan saat yang begitu emosi untuk saya dan setiap orang di Legoland. Saya amat bernasib baik kerana menjadi sebahagian daripada mereka yang merasakan saat emosi seumpama itu di sini," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Saturday, September 15, 2012

12 JENIS BUBUR DI TITI GANTUNG, BOTA


BERANEKA jenis bubur dijual di warung Bubur Perak di Batu 30, Titi Gantung, Bota, Perak.
BUBUR merupakan hidangan popular orang Malaysia terutama masyarakat Melayu pada waktu petang. Namun, bukan mudah untuk mencari premis makanan yang menjual bubur, apatah lagi yang mempunyai pelbagai jenis.
Jika anda seorang penggemar masakan itu, anda patut singgah di gerai Bubur Perak & Makanan Tradisional di Batu 30, Titi Gantung, Bota, Perak. Gerai itu terletak di hadapan Kompleks Pertanian Titi Gantung di tepi Lebuh Raya Ipoh - Lumut.
Ini kerana di situ terdapat sebanyak 12 jenis bubur iaitu bubur lambuk, bubur jagung, bubur kacang hijau, bubur pulut hitam, bubur gandum, bubur caca marba, bubur sagu bandung, bubur pengat pisang, bubur pengat ubi keledek, bubur pengat ubi keladi, bubur kacang merah dan bubur pengat nangka.
Harganya juga tidak mahal iaitu cuma RM2 semangkuk jika makan di situ dan RM2.50 jika dibungkus untuk dibawa pulang.
Bagaimanapun, pada bulan puasa yang lalu, gerai Bubur Perak & Makanan Tradisional hanya menjual 10 jenis bubur iaitu kecuali bubur kacang merah dan pengat nangka sahaja kerana bilangan pelanggan tidak seramai hari biasa.
Selain bubur, gerai itu menjual pisang goreng, ubi keledek dan ubi keladi goreng.
Menurut pengusaha gerai tersebut, Badri Hamzah, 53, gerainya mendapat sambutan hebat kerana menawarkan pelbagai jenis bubur tradisional yang boleh dipilih oleh orang ramai.
"Bubur bukan tidak ada dijual di tempat lain tetapi susah hendak cari. Lebih-lebih lagi kedai yang menjualnya menawarkan begitu banyak jenis bubur," katanya ketika ditemui S2 di gerainya.
Bubur di gerai Bubur Perak & Makanan Tradisional juga popular kerana rasanya yang sedap dan dijual dalam keadaan masih panas.
Badri juga tidak menggunakan daging tetapi hanya ayam dan udang dalam masakan bubur lambuk agar penganut Hindu pun boleh makan.
"Pelanggan saya bukan hanya orang Melayu, tetapi orang Cina dan India juga makan di sini. Sebab itulah, saya memastikan bubur saya boleh dimakan oleh semua orang," katanya sambil memberitahu pelanggannya terdiri daripada 60 peratus orang luar dan 40 peratus penduduk tempatan.
"Paling ramai adalah pelancong yang melalui Lebuh Raya Ipoh - Lumut," tambahnya.
Ditanya tentang rahsia keenakan bubur yang dijualnya, Badri yang mempunyai pengalaman selama 10 tahun dalam perniagaan bubur memberitahu, dia agak cerewet dalam penyediaan bubur terutama memastikan masakan itu hanya menggunakan santan segar.
"Saya juga memasak sendiri bubur ini walaupun saya ada tujuh pembantu. Tiga jam diperlukan untuk memasak kesemua bubur yang dijual ini," ujarnya sambil memberitahu resipi bubur itu adalah ciptaannya sendiri yang diolah daripada resipi yang dipelajari daripada ibunya, Puteh Zainah Tuah, 89.
Satu lagi perkara menarik mengenai gerai bubur itu adalah deretan bendera Perak dan Jalur Gemilang yang dipacak di hadapan premis tersebut mempunyai makna tertentu.
Sekiranya, bendera-bendera tersebut sudah dipacakkan, ia bermakna bubur sudah siap dimasak untuk dijual dan jika tiada bendera dipacak, ia bermaksud bubur belum siap dimasak atau sudah habis dijual.
Sementara itu, seorang pelanggan setia gerai bubur itu, Burhanuddin Karim, 63, memberitahu, dia meminati semua jenis bubur yang dijual di gerai itu.
"Saya beli bubur di sini setiap hari. Bubur yang paling saya minat adalah bubur ubi keledek dan ubi keladi," katanya.
Seorang lagi pelanggan dari Ipoh, Haniff Radman, 33, memberitahu, ini merupakan kali pertama dia singgah di gerai tersebut.
"Kebetulan saya lalu di sini ternampak gerai bubur ini. Jadi, saya singgah membeli bubur untuk mencuba rasanya," katanya.
Gerai Bubur Perak & Makanan Tradisional itu dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 7 malam.

Wednesday, September 12, 2012

KLIA 2 BEROPERASI MEI 2013


KLIA2
KLIA2





















KUALA LUMPUR - Terminal Syarikat Penerbangan Kos Rendah (LCC), KLIA2 di Sepang, kini diambang menjadi hos kepada 10 syarikat penerbangan kos rendah sebaik ia beroperasi pada Mei 2013, kata Ketua Pegawai Kewangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Faizal Mansor.
Katanya pengendali lapangan terbang itu masih mengalu-alukan lebih banyak syarikat penerbangan menggunakan KLIA2, kerana lapangan terbang itu berupaya menampung 45 juta penumpang setahun.
Katanya KLIA2 direka bentuk untuk menampung semua jenis syarikat penerbangan tetapi sangat sesuai untuk model perniagaan syarikat penerbangan kos rendah.
"Sebaik lapangan terbang itu beroperasi pada Mei 2013, MAHB akan mempunyai hampir 10 syarikat penerbangan kos rendah beroperasi dari sana. Antaranya ialah Zest Airways, Lion Air, Tiger Airways, Cebu Pacific Air dan AirAsia.
"Kami mengalu-alukan lebih banyak syarikat penerbangan ke KLIA2. Lima tahun dahalu, hanya ada lima syarikat penerbangan kos rendah tetapi kini terdapat kira-kira 30 hingga 40 syarikat penerbangan kos rendah," kata Faizal kepada Bernama.
Yang terbaharu menyertai kumpulan itu, katanya ialah Malindo Airways, yang diperkenalkan pada Selasa, melalui usaha sama antara National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (NADI) dan PT Lion Grup.
Mengenai Malindo Airways, Faizal berkata MAHB akan memulakan perbincangan terperinci dengan syarikat penerbangan kos rendah terbaharu itu tidak lama lagi, khususnya mengenai tahap ruang dan kemudahan yang diperlukan Malindo Airways dari lapangan terbang baharu itu.
"Kami telah mengadakan persefahaman dan masih belum berbincang secara terperinci."
"MAHB mengalu-alukan syarikat penerbangan baharu ke Malaysia serta ke KLIA2.
Bagi sesebuah lapangan terbang, lebih banyak persaingan lebih baik," katanya.
KLIA2 dibina pada kos hampir RM4 bilion bagi menggantikan Terminal Syarikat Penerbangan Kos Rendah sementara yang dibina pada 2006.
Lapangan terbang baharu itu, yang terletak kira-kira 2.0 km dari terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang utama, sebaik siap akan menjadi Terminal LCC terbesar di rantau ini dengan kawasan keseluruhan 242,000 meter persegi.
KLIA2 akan turut menampilkan ciri-ciri hab pengangkutan pelbagai mod bagi bas, teksi, dan kereta api Express Rail Link (ERL) bagi menyediakan hubungan bagi para penumpang dan juga orang ramai, sebagai tambahan kepada sistem pengendalian bagasi separa automatik, zon sokongan, kargo dan kompleks dalam penerbangan, kompleks meletak 6,000 kenderaan, dua hingga tiga hotel dan ibu pejabat masa depan AirAsia.
Pembukaan KLIA2 akan turut membantu menjadikan Malaysia sebagai salah satu hab penerbangan di Asia Tenggara.