BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, July 27, 2013

CAFE AUNTY AINI'S POPULAR KERANA GORDON


AUNTIE Aini (dua dari kiri) serta keluarganya bergambar kenangan bersama Gordon
 (tiga dari kiri) ketika cef tersohor itu berkunjung ke kafenya dua tahun lalu.


GRAF populariti wanita ini melonjak selepas kunjungan cef selebriti tersohor Britain, Gordon Ramsay ke kafe miliknya, Aunty Aini’s Garden Cafe pada Mei 2011.
Nama wanita itu yang mesra dengan panggilan Aunty Aini dicari sebanyak 60,000 kali dalam enjian carian Google selepas program jelajah masakan, Gordon Great Escape disiarkan dua tahun lalu di saluran masakan popular seperti Asia Food Channel, Channel 4 dan BBC Lifestyle.
Gordon merupakan figura ikon dunia masakan, cef selebriti dan pemilik beberapa restoran terkenal di Amerika Syarikat (AS) serta Britain.
Selain Gordon’s Great Escape, cef dari Britain itu turut terkenal dengan beberapa rancangan televisyen kendaliannya seperti Hell’s Kitchen, The F Word, Ramsay’s Best Restaurant, Ramsay’s Kitchen Nighmares dan MasterChef yang berjaya menarik jutaan penonton pada setiap siri.
“Kedatangan Gordon ke mari bukan sekadar mahu menikmati keunikan kulinari tradisional tempatan, tetapi dia mahu mempelajari teknik memasak,” ujar Aunty Aini yang memiliki nama sebenar, Norzaini Abdul Hamid, 55.
Menurutnya, dalam siri jelajah masakan tersebut, Malaysia menjadi destinasi pilihan Gordon selain Thailand, Vietnam dan India.
“Saya berpendapat ia merupakan peluang yang baik untuk saya memperkenalkan masakan tradisional Melayu ke dunia luar, apatah lagi selepas saya diberitahu program itu boleh ditonton di seluruh dunia,” ujar wanita tersebut yang memilih rendang daging sebagai masakan istimewa untuk dikongsikan bersama Gordon ketika memasak pada tahun 2011.
Jika ditonton rakaman program tersebut, pasti ramai yang kagum dengan sikap keterbukaan, keramahan, spontan dan bersahaja yang ditunjukkan Aunty Aini.
“Saya menjadi diri saya sendiri. Tidak timbul perasaan gementar ataupun gugup apabila diminta berganding dengan Gordon di dapur saya.
“Malah, saya tidak memberi pelung langsung kepada Gordon untuk membuli saya walaupun ramai yang maklum dia seorang yang cerewet dan mementingkan kesempurnaan.
“Contohnya, sebagai cef profesional, Gordon sangat mementingkan resipi yang tepat untuk setiap masakannya sedangkan saya seorang yang jenis agak-agak sahaja.
“Malah, saya katakan kepadanya, jangan ditanya resipi kepada saya, kerana saya tidak tahu apa yang nak diberitahu.
“Kalau anda hendak belajar memasak, berdiri di sebelah saya dan perhatikan apa yang saya lakukan.
“Bila dia teragak-agak untuk memasak, saya katakan kepadanya, percayalah dengan gerak hati dan yakin dengan kemampuan air tangan anda sendiri,” katanya.
Hirup kuah
Biarpun memasak dengan resipi yang hanya agak-agak, resipi rendang daging yang dikongsikan dalam Gordon’s Great Escape telah mempopularkan Aunty Aini.
Dia mengaku mula tidak menang tangan menguruskan kafe selepas rancangan tersebut disiarkan.




















AUNTY AINI mengetengahkan masakan asli Negeri Sembilan di kafenya
 di Kampung Chelet, Nilai.

“Selepas saya mengajar Gordon memasak rendang, ramai pelanggan yang datang ke sini bertanyakan rendang daging sedangkan ia tidak ada dalam menu.
“Namun, disebabkan permintaan tinggi, saya mengambil keputusan untuk meletakkan rendang daging dalam senarai menu di kafe ini,” ujarnya.
Gordon bukanlah figura popular pertama yang pernah berkunjung ke kafe yang diusahakan oleh Aunty Aini bersama suaminya, Yeop Abdul Mutalib Azizul Hasan, 60.
“Pada tahun 2005, cef popular AS, penulis dan juga personaliti televisyen, Anthony Bourdain telah berkunjung ke Aunty Aini’s Garden Cafe.
“Pada masa itu, Bourdain sedang merangka dokumentari masakan. Dia datang ke sini bersama kru Discovery Channel untuk mengenali masakan Melayu tradisional.
“Sejak tersiar beberapa kali daam Discovery Channel, ramai pelancong asing datang ke sini.
“Jika ada acara perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang, memang meriahlah kafe ini.
“Apa yang mengagumkan, lidah mereka boleh menerima baik masakan Melayu, terutamanya masakan lemak cili api yang disediakan di sini.
“Jangan terkejut kalau anda melihat orang Sepanyol, Jepun, Korea, Australia dan orang asing lain boleh menghirup kuah lemak cili api yang pedas ,” kata Aunty Aini yang tidak berkompromi tentang rasa masakan yang ditawarkan di kafenya.
Dia mengekalkan tahap kepedasan sebagai cara untuk mengekalkan keaslian rasa juadah Melayu Negeri Sembilan.
“Kalau namanya masak lemak cili api, memang kena pedas. Kalau saya kurangkan cilinya, ia sudah tidak asli lagi,” katanya yang belum pernah menerima kritikan atau mendengar rungutan daripada pelanggan mengenai masakannya.
Sebagai pemilik kafe, Aunty Aini turut menjadi individu yang penting di dapur.
“Memasak merupakan jiwa saya. Di kafe ini, saya tidak menyerahkan bulat-bulat kerja memasak kepada pekerja. Selagi saya boleh buat, saya akan buat,” katanya yang memberitahu, tiada rahsia dalam penyediaan masakannya.

THE ASTAKA @1 BKT SENYUM MERCU TANDA BARU JOHOR

JOHOR BAHRU - Johor bakal memiliki satu lagi mercu tanda baharu yang akan menjadi salah satu ikon ternama di negeri ini apabila projek dinamakan The Astaka@1 Bukit Senyum bakal dibina dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2017.
Projek binaan tersebut merupakan kerjasama diantara Syarikat Astaka Padu Sendirian Sdn. Bhd. dan Penta Ocean Construction yang berpangkalan di Jepun.
Pengarah Urusan Astaka Padu, Datuk Zamani Kassim berkata, bangunan yang dinamakan The Astaka @ 1 Bukit Senyum itu akan dibina di bekas tapak Stadium Hoki dan Stadium Tertutup Johor Bahru di sini.
"Bangunan tersebut setinggi 70 tingkat atau 1003 kaki dari paras laut dan akan dibina di tapak seluas 8.654 ekar (3.502 hektar)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kontrak Pembinaan The Astaka di Persada Johor Convention Centre di sini malam tadi.
Hadir sama menyaksikan majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Monday, July 22, 2013

MENU JOHOR-JAWA SAJIAN DAPUR JENDELA - JB





















MENU kerang sos tiram yang harus dicuba pelanggan Dapur Jendela.
BUAT pertama kalinya, mengambil berkat Ramadan al-Mubarak, Restoran Dapur Jendela yang terletak di Jalan Tan Hiok Nee, Johor Bahru, Johor menawarkan hidangan bufet untuk khalayak yang mahu berbuka puasa.
Berbuka dalam suasana seperti di rumah sendiri, Dapur Jendela menyediakan pelbagai masakan kampung dengan identiti kulinari Johor-Jawa untuk memikat selera pengunjung. Hidangan yang berciri tradisional itu sememangnya menjadi pilihan popular setiap kali sesi berbuka puasa.
Ayam masak hijau, sotong masak hitam, kerang sos tiram, kari nangka, ikan bakar dan lemak labu serta ulam-ulaman adalah antara menu utama yang dihidangkan restoran tersebut. Tidak ketinggalan aneka manisan dan kuih-muih tradisional.
Namun, tarikan utama Dapur Jendela adalah hidangan ala carte mereka yang menjadi tanda aras restoran tersebut sejak ia dibuka lebih tujuh bulan lalu.
Lempeng dengan sambal tumis bilis, ubi rebus, roti jala, soto dan nasi lemak kukus ayam berempah merupakan hidangan wajib rasa yang menjadi keunikan dan membuatkan Dapur Jendela terkenal dalam kalangan pengunjung mereka.
Menurut pemilik Dapur Jendela, Nurshila Surip, 23, hidangan yang disediakan untuk menu berbuka puasa di restoran itu pasti mengingatkan pengunjung kepada masakan air tangan ibu di rumah.
“Bagi mereka yang mencari kelazatan masakan mengikut selera masyarakat Johor dan Jawa, Dapur Jendela adalah tempatnya,” ujar Nurshila.
Menariknya, Dapur Jendela bukan sahaja menyediakan hidangan untuk berbuka puasa, bahkan hidangan untuk bersahur.

KWSP ADAKAN KEMPEN PENGELUARAN FLEKSIBEL 55 TAHUN

KUALA LUMPUR 22 Julai - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melancarkan kempen pengiklanan untuk menggalakkan pencarum memilih Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun bagi membolehkan ahli melanjutkan tempoh simpanan mereka semasa bersara.
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, menerusi Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun itu, ahli boleh memilih untuk membuat pengeluaran secara sebahagian, bulanan atau kombinasi kedua-duanya sekali.
Menurutnya, kempen pengiklanan bertemakan 'Melanjutkan Tempoh Simpanan Persaraan Anda' yang disiarkan di radio, akhbar dan Facebook KWSP mulai hari ini sehingga 2 Ogos 2013 itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KWSP untuk meningkatkan kesedaran ahli mengenai perancangan semasa persaraan.
"Memandangkan purata jangka hayat rakyat Malaysia telah meningkat kepada 75 tahun, KWSP menyeru ahli menguruskan simpanan mereka menggunakan pilihan fleksibel ini. Pengeluaran ini membolehkan ahli melanjutkan tempoh simpanan mereka semasa bersara.
"Tambahan pula simpanan di KWSP akan terus menerima dividen, sekali gus meningkatkan simpanan persaraan ahli. Pelanjutan tempoh simpanan ini akan menguntungkan lagi ahli," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nik Affendi turut menasihatkan ahli supaya memulakan lebih awal perancangan kewangan untuk persaraan dan tidak bergantung sepenuhnya terhadap simpanan KWSP yang mungkin tidak mencukupi.
Katanya, ahli perlu merancang menyimpan melalui saluran-saluran pelaburan lain yang terdapat di pasaran sebagai sebahagian daripada perancangan persaraan

Sunday, July 21, 2013

3 PERKARA UTAMA MAJUKAN PONTIAN

Mohamed Khaled Nordin menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dalam Majlis Ramah 
Mesra dan Berbuka Puasa bersama penduduk di Masjid Jamek Bandar Pontian, kelmarin. 

PONTIAN 20 Julai - Tiga perkara utama akan diberikan tumpuan bagi membolehkan Pontian terus menikmati pembangunan seimbang.
Perkara tersebut ialah penempatan penduduk di beberapa kawasan rizab kerajaan termasuk rizab sungai, pelebaran jalan raya Pontian-Johor Bahru dan memasukkan seluruh daerah itu ke dalam Iskandar Malaysia.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri akan mengusahakan penempatan yang baharu untuk mereka yang mendiami rizab kerajaan dan rizab sungai memandangkan golongan tersebut berdepan dengan risiko banjir, air pasang besar dan pelbagai perkara berkaitan.
"Perkara ini telah dibangkitkan oleh Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon semasa taklimat pembangunan dan jelas ia merupakan keutamaan kepada penduduk yang terlibat dan menjadi harapan pentadbiran daerah untuk melihat tiada lagi penempatan sedemikian pada masa depan sejajar dengan kepesatan pembangunan.
"Kertas kerja mengenai penempatan semula sedang diperincikan oleh Pejabat Daerah Pontian dan diharap dapat dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun ini," katanya semasa berucap dalam Majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa bersama penduduk di Masjid Jamek Bandar Pontian, di sini semalam.
Dalam majlis itu turut disampaikan sumbangan sempena Ramadan kepada 100 penerima yang terdiri daripada anak-anak yatim, saudara baharu, pelajar institusi pengajian tinggi, hafiz al-Quran, ibu tunggal serta golongan kurang berkemampuan.
Mohamed Khaled berkata, pelebaran jalan Pontian-Johor Bahru melalui bandar Pekan Nanas juga penting bagi mengatasi masalah kesesakan terutama pada waktu puncak yang menjadi keluhan penduduk daerah ini yang berkerja di Johor Bahru, Nusa Jaya, Gelang Patah dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

3 MASJID BARU DI DUN KUKUP

PONTIAN 21 Julai - Tiga buah masjid baharu akan dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup pada tahun ini iaitu dua daripadanya di bawah pembiayaan kerajaan negeri manakala satu lagi oleh syarikat korporat terkemuka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh berkata, masjid yang akan dibina di Kampung Sungai Durian dan Kampung Sungai Boh masing-masing menelan kos RM1.5 juta manakala masjid di Kampung Sungai Dinar oleh pemilik stesen janakuasa arang batu di Tanjung Bin, Malakoff Berhad pula bernilai RM2 juta.
"Pembinaan tiga buah masjid pada tahun ini, diharap dapat memenuhi permintaan penduduk sekali gus menunaikan janji pilihan raya. Kami juga berharap kerajaan negeri melihat permohonan masjid baharu bagi Kampung Tenggayun sebagaimana yang dijanjikan oleh bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
"Saya harap dengan kemudahan yang serba indah dan lengkap akan menjadi dorongan serta galakan kepada umat Islam meningkatkan keimanan serta ketakwaan pada bulan yang mulia ini," katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan kenduri sekampung di Masjid Jamek Kampung Sungai Kuali, Serkat, di sini semalam.
Parlimen Tanjung Piai termasuk DUN Kukup mempunyai 37 buah masjid dan 28 buah surau.
Menyentuh mengenai program bersama rakyat dalam bulan Ramadan, Suhaimi yang merupakan wakil rakyat Kukup berkata, beliau akan mengadakan lawatan bersama Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon ke 10 buah masjid dan surau untuk berbuka puasa dan bertarawih.
Menurutnya, kawasan yang terlibat adalah di mukim Jeram Batu/Pengkalan Raja, Serkat, Sungai Karang, Air Masin, Telok Kerang dan Rimba Terjun dalam siri lawatan untuk mengenali jentera pentadbiran di peringkat akar umbi seperti penghulu, ketua kampung, pengerusi masjid dan surau serta ketua-ketua cawangan.
"Saya berharap akan mendapat gambaran sebenar mengenai keperluan serta masalah penduduk untuk dimajukan kepada pihak berkenaan. Tumpuan bukan sahaja kepada kemudahan asas tetapi beberapa perkara lain seperti pendidikan, belia, ekonomi, kesihatan penduduk, kemiskinan," katanya lagi.

BERBUKA DI TENGAH RIMBA-RIVERSTONE ECO RESORT, BT. CAVE

MENIKMATI juadah berbuka puasa di restoran D'River, Riverstone Eco Resort yang dikelilingi kehijauan hutan memang mendamaikan.

RAMADAN muncul lagi. Seperti tahun-tahun lalu, terdapat banyak kafe, restoran mahupun hotel menyajikan hidangan bufet Ramadan.
Setiap tempat menjamu selera tersebut memiliki tarikan dan keistimewaan tersendiri bagi menggamit kedatangan orang ramai untuk berbuka puasa.
Begitulah juga Riverstone Eco Resort (Riverstone) yang terletak di Jalan Sungai Tua, Batu Caves, Selangor. Sejak sembilan tahun lalu, restoran D'River di resort tersebut mengadakan bufet Ramadan.
Apa yang menarik tentang resort ini adalah ia dikelilingi hutan dan terletak di tepi sungai yang mengalir jernih. Kedamaian alam itu membuatkan majlis berbuka puasa di resort tersebut amat menenangkan.
"Kalau nak merasa berbuka puasa di tengah rimba, singgahlah ke Riverstone," kata Pengarah Urusannya, Mohd. Ashari Sidik kepada S2.
Terkenal dengan sajian Nasi Ambeng yang enak, D'River pasti tidak menghampakan penggemar hidangan tradisional masyarakat Jawa itu.
Penulis akui tidak pernah menjamah Nasi Ambeng yang sebegitu sedap, baik yang pernah dinikmati di kampung masyarakat Jawa mahupun yang dibeli di pasar Ramadan.
Mohd Ashari berkongsi rahsia, katanya, pihaknya hanya menggunakan bahan segar untuk menyediakan menu bufet Ramadan di restoran tersebut.
Faktor itu membuatkan setiap masakan yang disediakan sendiri oleh isterinya, Hamidah Asararuddin dijamin memiliki kualiti yang tinggi.
"Dari segi ramuan, rempah-ratus dan lain-lain, kesemuanya kami pilih yang terbaik untuk menjamin mutu masakan," katanya.
Set Nasi Ambeng itu terdiri daripada nasi putih, ayam semur, sambal goreng, mee goreng, serunding, sayur kacang dan ikan masin.
Justeru, bagi yang belum mengenali Nasi Ambeng, inilah masa paling sesuai untuk 'berkenalan' dengannya. Bak kata pepatah, 'tak kenal maka tak cinta', maka kenalah rasa sendiri keenakan nasi tersebut.

REDAKAN KESIBUKAN DUNIA


umat Islam digalakkan untuk menghidupkan malam Ramadan dengan pelbagai ibadah sunat.
BULAN Ramadan merupakan waktu terbaik untuk kita mendidik diri ke arah kebaikan. Di bulan Ramadan kita bukan sahaja diwajibkan untuk berpuasa dan mengawal hawa nafsu, bahkan turut diseru untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat.
Ini bertujuan membentuk hati dan rohani agar akrab kepada Allah SWT di samping mengejar ganjaran yang telah disediakan di bulan Ramadan.

Antara perkara yang digalakkan sepanjang Ramadan ialah:

1/ Bersahur - termasuk salah satu perkara yang dituntut di dalam bulan Ramadan. Bangun pada waktu sahur dan bersahur itu merupakan perbuatan yang membezakan puasa umat Islam dengan puasa penganut agama lain.
Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perbezaan puasa kita (umat Islam) dengan puasa ahli kitab (yahudi dan nasrani) ialah makan sahur. (riwayat Muslim dan Abu Daud)
Sahur bukan sahaja memberikan tenaga untuk kita berpuasa di siang hari sebaliknya ia mengandungi keberkatan baik dari sudut waktu sahur dan juga perbuatan sahur itu sendiri.
Sabda Rasulullah SAW: Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada keberkatan. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

2/ Banyakkan bersedekah - Sedekah merupakan perkara yang amat dituntut kepada umat Islam. Ia merupakan ibadah yang besar ganjarannya di akhirat kelak sebagaimana firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya) dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia. (al-Hadid: 18)
Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik dalam bersedekah. Beliau seorang yang begitu dermawan lebih-lebih lagi apabila tiba bulan Ramadan. Baginda memperbanyakkan sedekahnya melebihi bulan lain selain Ramadan.
Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadan ketika beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus. (riwayat al-Bukhari)

3/ Membaca al-Quran - Bulan Ramadan merupakan bulan al-Quran. Pada bulan inilah al-Quran diturunkan kepada Rasulullah sSAW dan pada bulan Ramadan juga malaikat Jibril akan menemui Rasulullah untuk mengajarkan al-Quran.
Baginda akan membaca dan belajar al-Quran secara langsung dengan Malaikat Jibril pada bulan Ramadan. Ibnu Abbas berkata: Jibril menemuinya setiap malam (di bulan Ramadan) untuk mengajarkan al-Quran. (riwayat al-Bukhari)
Oleh itu, kita diseru memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan terutama pada malam hari kerana waktu itu merupakan waktu terbaik untuk beribadat di samping kurang kesibukan dunia ketika itu.

4/ Memberi makan untuk berbuka - Selain daripada bersedekah, amalan memberi makanan kepada orang yang berpuasa untuk mereka berbuka puasa amat digalakkan. Amalan ini membolehkan pelakunya meraih ganjaran yang sama sebagaimana orang yang diberikan makanan itu.
Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang memberi makan orang yang berbuka, dia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun." (riwayat Al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

5/ Solat di malam Ramadan - Solat merupakan medan yang menghubungkan seorang hamba kepada Allah SWT. Digalakkan kepada umat Islam untuk menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah sunat terutama solat malam seperti solat sunat terawih, solat taubat, qiamullail dan sebagainya.
Daripada Abu Hurairah berkata; Rasulullah SAW sangat menganjurkan untuk solat malam Ramadan tanpa mewajibkan dan bersabda: Barang siapa yang melakukan solat malam Ramadan kerana keimanan dan mengharap pahala daripada Allah, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat Muslim dan Al-Tirmizi)

Friday, July 19, 2013

GERAI BUKA AWAL TIMBULKAN KERAGUAN

  • Gerai buka awal timbulkan keraguan
  • Salah sebuah gerai yang dibuka awal pada bulan Ramadan.
 1 / 1 
PONTIAN - Tindakan segelintir peniaga membuka operasi menjual makanan dan minuman seawal jam 11 pagi boleh menimbulkan keraguan dan diambil kesempatan oleh sesetengah individu yang tidak berpuasa.
    
Keadaan itu dilihat juga berlaku di beberapa lokasi di pekan kecil dengan ada di antaranya menawarkan pelbagai hidangan termasuk nasi berlauk dan beriani.
    
Biarpun perkhidmatan itu diberikan kepada mereka yang uzur untuk berpuasa dan bukan Islam, namun tidak dinafikan kemungkinan perkhidmatan yang disediakan para peniaga itu diambil kesempatan oleh kaki ponteng puasa.     

Pegawai Tadbir Agama Daerah Pontian, Fauzi Bachok berkata, kewujudan gerai yang dibuka awal pada bulan Ramadan ini berlaku setiap kali tahun.

Jelasnya, biarpun pihaknya telah memberi nasihat kepada peniaga supaya melewatkan operasi perniagaan bagi menghormati kesucian bulan Ramadan, namun terdapat segelintir peniaga yang degil dan ingkar.

Jelasnya, waktu yang disarankan pagi peniaga membuka gerai selepas jam 4 petang bagi mengelakkan keraguan di kalangan orang ramai.

“Pembeli akan membungkus makanan atau minuman yang mereka beli. Jika ditanya mereka akan memberi alasan ia untuk anak dan sebagainya.

“Selagi pembeli tersebut tidak dilihat makan atau minum di hadapan khalayak umum, pegawai jabatan agama tidak boleh menangkap mereka,” katanya.

Tegasnya, pihaknya memandang serius masalah peniaga yang membuka gerai terlalu awal dan telah menggerakkan pegawai bagi memantau masalah ini.

IKON METROPOLIS JB

Lakaran artis menunjukkan gambaran bangunan Komtar JBCC yang bakal menjadi ikon metropolis Johor Bahru.

JOHOR BAHRU 18 Julai - Tarikh 11 Mac 1979 menyaksikan pembukaan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) oleh Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn sebagai gedung beli-belah pertama di Johor Bahru dan menjadi lambang kejayaan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ) selepas sembilan tahun beroperasi.
Komtar muncul sebagai kompleks beli-belah pertama memiliki tangga bergerak dan menjadi mercu tanda terkenal di bandar raya ini sehinggalah ditutup pada 2007.
Jika pembinaan Komtar dengan ketinggian 26 tingkat dan memakan kos RM36.5 juta ketika itu menjadi lambang kemegahan PKENJ, maka pembangunan semula yang dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 4 Jun lalu akan menjadi kebanggaan Johor Corporation (JCorp) selaku nama baharu agensi tersebut di ambang 1996.
Sebaik dibuka pada Mei tahun hadapan, Komtar yang ‘ditransformasi’ kepada wajah dan nama baharu, Komtar JBCC, akan kembali menjadi kebanggaan penduduk bandar raya ini dan peniaganya yang sebelum ini berpindah ke Larkin Sentral, Plaza Kotaraya, Terminal Bas Sentral Kotaraya, arked Menara Ansar dan Menara Komtar, akan diberi keutamaan untuk kembali.
Awal bulan lalu, Mohamed Khaled selaku Pengerusi JCorp yang baharu, melancarkan penjenamaan semula pembangunan tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor dalam usaha disifatkan sebagai membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada usahawan bumiputera.
“Komtar merupakan satu-satunya mercu tanda terawal yang begitu sinonim dengan JCorp. Saya yakin kewujudan Komtar yang bakal bertukar imej menjelang tahun depan, merupakan permulaan kepada proses transformasi bandar raya ini ke arah metropolis paling dinamik di negara ini.
“Jelaslah ini (penjenamaan semula pembangunan kepada Komtar JBCC) merupakan testimoni dan lambang kejayaan JCorp sebagai sebuah agensi pembangunan dan pelaburan negeri serta menjadi entiti negeri paling berjaya di negara ini malah di rantau Asia hingga mampu mengembangkan sayapnya ke Timur Tengah (Asia Barat)," katanya lagi.
Komtar JBCC yang dibina di kawasan seluas 405,000 kaki persegi itu akan menempatkan dua menara iaitu bangunan baharu Johor Land dan sebuah hotel lima bintang selain gedung beli-belah yang dilengkapi dengan laluan pejalan kaki menghubungkan JB Sentral, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta usaha naik taraf menara Komtar sedia ada.
Menurut Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kasim, pembangunan semula ini memberi kesan besar kepada landskap dan menghidupkan kembali pusat bandar raya ini, selari dengan pelan tindakan wilayah pembangunan Iskandar Malaysia yang sedang mengusahakan ‘Transformasi Johor Bahru’.
“Komtar JBCC berhasrat untuk mengembalikan semula statusnya sebagai mercu tanda yang ikonik di tengah-tengah pusat bandar raya Johor Bahru dan muncul sekali lagi sebagai destinasi beli-belah, gaya hidup, menjamu selera dan hiburan terulung di bandar ini.
“Legasi Komtar dengan keunggulan lokasinya mendorong JCorp untuk melaksanakan pembangunan semula tersebut yang diyakini memberi impak baharu kepada Johor Bahru terutama dalam usaha mewujudkan imej dan mencapai status sebuah metropolis antarabangsa," katanya.
Beliau juga menyifatkan pembangunan tersebut sebagai satu penyelesaian kepada masalah prasarana di seluruh kawasan pusat perniagaan ini kerana pembinaan Komtar JBCC memenuhi keperluan fizikal, ekonomi dan sosial komuniti selain meningkatkan nilai hartanah dan merealisasi peranan JCorp sebagai entiti pembangunan negeri dan usahawan bumiputera.

ISKANDAR MALAYSIA TARIK RM 7.56 BILLION PELABURAN BARU

JOHOR BAHRU 18 Julai - Iskandar Malaysia terus menjadi tumpuan pelabur apabila berjaya menarik RM7.56 bilion pelaburan baharu pada suku kedua tahun ini berbanding RM5.06 bilion yang dicatatkan pada suku pertama.
Dengan pelaburan terbaharu itu, ia menjadikan pelaburan komited terkumpul Iskandar Malaysia sejak ditubuhkan pada 2006 hingga 30 Jun 2013 mencecah RM118.93 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM12.62 bilion sejak Disember 2012.
Hingga pertengahan tahun ini, daripada jumlah tersebut, pelabur tempatan menyumbang sebanyak RM78.09 bilion (66 peratus) pelaburan, manakala baki RM40.84 bilion (34 peratus) pula disumbangkan oleh pelabur asing.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah pelaburan yang kian meningkat adalah tanda keyakinan pelabur dari dalam dan luar negara terhadap pembangunan di Iskandar Malaysia.
"Pembangunan di kawasan tersebut terus rancak dan berjaya menarik pelabur baharu dengan pelaburan tempatan juga meningkat setiap suku tahun," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berkata, daripada jumlah pelaburan diterima itu, sebanyak RM53.73 bilion atau 45 peratus merupakan pelaburan yang telah direalisasikan.
Iskandar Malaysia mempromosi sembilan sektor utama dengan pembuatan merekodkan pelaburan tertinggi.
Australia, Singapura, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi.

Tuesday, July 16, 2013

LPP PERUNTUK RM150,000 NAIK TARAF PASAR PELADANG PONTIAN

MUJI Salimon memotong riben sebagai simbolik perasmian van bergerak usahawan tani Pertubuhan Peladang Kawasan Pontian Timur di Pekan Nanas, Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 14 Julai - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Johor memperuntukkan RM150,000 bagi menaik taraf Pasar Peladang Pontian yang dijangka siap tahun ini dengan tumpuan utama bagi aspek penjualan hasil pertanian serta barang basah kepada orang ramai.
Pengarahnya, Shammodin Abdul Halim berkata, Pasar Peladang Pontian merupakan usahasama antara empat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang dibuka lebih 10 tahun lalu dengan melibatkan 17 peniaga dengan pelbagai jualan basah dan kering.
"Kami menyasarkan peningkatan jumlah pengunjung selepas kerja naik taraf dilakukan termasuk pengunjung luar. Dengan kedudukannya yang strategik di tengah bandar Pontian Kecil, kami yakin Pasar Peladang Pontian dapat menjadi tempat tumpuan seperti pasar-pasar peladang lain di negeri ini.
"Saya berharap Pasar Peladang yang diwujudkan bagi membantu petani dan peladang ini dapat memasarkan hasil tanpa melalui orang tengah, sekali gus memenuhi objektif penubuhannya meningkatkan sosioekonomi mereka," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33 PPK Pontian Timur di Pekan Nenas, di sini baru-baru ini.
Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon dan turut dihadiri Pengerusi PPK Pontian Timur, Selamat Othman.
Muji turut melancarkan van bergerak untuk digunakan menjual kuih-muih yang dihasilkan oleh usahawan tani PPK sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Pada majlis itu, lima ahli PPK Pontian Timur turut menerima Anugerah Usahawan Tani Cemerlang ekoran menunjukkan pencapaian yang baik dalam bidang masing-masing.
Sementara itu, Selamat berkata, keuntungan yang dicatatkan PPK Pontian Timur pada tahun lalu adalah sebanyak RM275,000 dan pihaknya menyasarkan pendapatan lebih tinggi tahun ini termasuk peningkatan hasil dari Pusat Pengumpulan dan Timbang Kelapa Sawit di Batu 29, Pekan Nanas di sini.
"Dengan adanya pusat tersebut, ahli-ahli PPK Pontian tidak perlu lagi menghantar hasil mereka ke tempat lain mahupun ke PPK Pontian Selatan yang kedudukannya jauh dari tempat mereka," katanya.

Monday, July 15, 2013

SELERA MALAYSIA DI INTEKMA

KAMBING panggang dengan sos cendawan.

TERASA puas perut yang kosong apabila dapat menikmati keenakan kuah ikan patin tempoyak bersama nasi panas ketika waktu berbuka. Gaya masakan tempoyak cara orang Perak itu cukup lengkap rasanya dan sesuai untuk mereka yang berpuasa kerana tidak terlalu pedas.
Rasa masam kuah kegemaran ramai hasil rebusan tempoyak, bawang merah dan putih, halia, serai, sedikit asam keping dan daun kunyit terus membuka selera untuk menambah sepinggan lagi.
Turut memanggil-manggil, kuah kari kepala ikan istimewa di meja bufet Intekma Resort & Convention Centre (IRCC) yang pekat berempah dan berlemak.
Ia ternyata berbeza dengan kari kepala ikan yang pernah dinikmati penulis di tempat lain kerana kuahnya yang pekat tetapi tidak keterlaluan membuatkan ia boleh dinikmati semua golongan.
Pelbagai lagi menu masakan serata Malaysia yang lazat seperti siput sedut lemak, paru berlada, ayam rendang, ikan masin lemak nenas dan asam pedas ikan.
Ujar Chef Eksekutif IRCC, Rosman Hussin, mereka memilih hidangan kegemaran ramai ketika berbuka puasa di serata Malaysia termasuk yang kini sukar didapati, sesuai dengan tema tahun ini, Gabungan Masakan Malaysia.
"Menu di IRCC pelbagai tetapi lebih ke arah masakan kampung tradisional.
"Selain itu, kami juga membuat konsep seakan gerai disertai masakan secara langsung di hadapan tetamu bagi memastikan ia segar dan masih panas," ujarnya.
Mesti cuba, bubur lambuk dagingnya yang sungguh istimewa rasanya.
Rasanya yang asli, berlemak tetapi kurang pekat membuatkan ia sesuai untuk dinikmati sesiapa saja.
Juga murtabak gergasi Intekma yang menjadi buah mulut ramai. Saiznya yang dua kali ganda dan tidak kedekut isi menenggelamkan murtabak-murtabak yang kita pernah nikmati sebelum ini.
Terdapat juga kambing panggang, pelbagai pilihan ikan bakar dan sup setiap hari selain hidangan pencuci mulut yang pasti membuatkan penantian waktu berbuka berbaloi.
Bufet ditawarkan pada RM55 dewasa dan RM37 kanak-kanak. OKU dan warga emas hanya RM50 seorang dan pakej sahur turut disediakan iaitu bernilai RM19 seorang.

Sunday, July 14, 2013

BAHANA KOLESTEROL TINGGI

Kolesterol oh kolesterol. Adakah anda bergelut menghadapi masalah kolesterol tinggi dan mencari pilihan makanan lebih baik, berkualiti dan berpotensi boleh membantu mengurangkan kadar kolesterol itu?
Kali ini, kita akan membincangkan pemakanan sihat yang dapat membantu mengurangkan kolesterol anda. Seperti diketahui umum, mempunyai kolesterol pada paras tinggi membahayakan nyawa kerana antara lain, ia boleh mengakibatkan serangan sakit jantung. 
Matlamat utama anda haruslah memberi tumpuan kepada pilihan diet dengan mengambil makanan seperti gandum, protein, sayur-sayuran dan buah-buahan yang tinggi serat dan anti-oksidan. 

Selain itu, jangan lupa ambil jenis makanan yang dimasak bersama mi­nyak zaitun kerana ia boleh membantu untuk mengurangkan kolesterol dalam darah.

Berikut pecahan pilihan makanan yang baik untuk mengurangkan paras kolesterol: 
  • Pilih makanan berserat dan bijirin kerana ia penting untuk membantu anda mengurangkan kolesterol tidak baik atau LDL. 

    Ia boleh diibaratkan seperti span yang menyerap air kotor kemudian apabila diperah ia menjadi bahan sisa buangan. 

    Pengambilan makanan yang dicadangkan adalah anggaran 15 gram (g) hingga 20g serat larut setiap hari untuk menolong mengurangkan tahap LDL. 

    Serat larut terdapat dalam pisang, kacang hijau, barli, epal, prun dan pear. Oat mengandungi beta glukan yang membantu untuk mengeluarkan kolesterol jahat. 

    Jika pengambilan serat harian anda teratur dan baik, sekurang-kurangnya anda akan ke tandas dua kali sehari. Untuk hasil lebih baik, jadikan oat sebagai hidangan sarapan setiap hari. 

    Paras kolesterol boleh diturunkan dengan meminum dua gelas susu bersama oat dengan kuantiti sebanyak tiga sudu makan. 

  • Amalkan makan buah-buahan yang kaya dengan antioksidan kerana ia mengandungi vitamin A, C dan E. 

    Vitamin C boleh didapati dalam buah-buahan sitrus yang masam seperti mangga, belimbing, oren, strawberi dan kiwi bagi membantu mencegah peningkatan kolesterol dalam saluran darah. 

    Vitamin A dan E pula boleh ditemui pada buah-buahan berwarna dan sayuran seperti brokoli, tomato, lada benggala, labu, kentang, avokado, betik dan aprikot. 

  • Amalkan memakan kekacang, badam, pistachio dan protein. Kajian menunjukkan kacang mampu menurunkan paras kolesterol darah. 

    Ini kerana ia mengandungi asid serat dan lemak yang tidak tepu serta dapat membantu menyihatkan dinding saluran darah. 

    Kajian juga menunjukkan, penggunaan kacang pistachio pada kadar 40 hingga 50g cukup untuk memberi manfaat kepada hati tetapi perlu berwaspada kerana kekacang berkalori tinggi. Justeru, pastikan pengambilannya terkawal dan seimbang. 

    Bagaimana pula dengan protein? Makan atau minum soya sebanyak 20 hingga 30g setiap hari juga boleh membantu mengurangkan paras kolesterol. Ada banyak pilihan makanan berasaskan soya seperti tauhu dan tempe. 

  • Akhir sekali, amalkan makan ikan dan asid lemak poli tidak tepu omega-3. 
    Ia terkandung dalam ikan dan menjadi makanan tambahan popular dalam bidang farmaseutikal di Malaysia serta seluruh dunia. 

    Omega-3 membantu dalam merendahkan tekanan darah, mengurangkan risiko pembekuan darah dan membantu menurunkan paras kolesterol dalam badan.
  • 10 MASJID TERBESAR DUNIA

    Beberapa masjid di dunia mampu memuatkan hingga beribu-ribu jemaah. Masjid ini bukan saja menjadi tempat ibadah, tetapi juga bukti kemajuan seni bina peradaban Islam. Berikut adalah 10 masjid terbesar di dunia.
    1. Masjidil Haram, Arab Saudi 
    Masjid terbesar di dunia, tentu saja Masjidil Haram di Makkah, Arab Saudi. Ia adalah tempat paling suci umat Islam. Di masjid ini terletaknya Kaabah yang menjadi kiblat solat bagi umat Islam di seluruh dunia. Masjidil Haram mempunyai asal-usul sejarah yang sangat panjang sejak zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. 

    Hari ini, Masjidil Haram mampu menampung 820,000 jemaah dan hingga empat juta pada musim Haji. Struktur bangunannya kini memiliki keluasan 356,800 meter persegi. Namun, kerja meluaskannya terus dilakukan. Masjidil Haram mencatat jumlah paling ramai pada musim haji.

    2. Masjid Nabawi, Arab Saudi 

    Selepas Masjidil Haram, Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi menjadi masjid kedua terbesar di dunia. Masjid ini adalah masjid paling suci kedua bagi umat Islam. 

    Masjid Nabawi yang asal dibina pada tahun 622 dan berada di sebelah rumah Nabi Muhammad (SAW). Kini, Masjid Nabawi sudah menjalani beberapa kali peluasan dan tapak rumah Rasulullah (SAW) sekarang berada di dalam Masjid Nabawi di kawasan Raudah. 


    3. Masjid Imam Reza, Iran 

    Masjid Imam Reza ialah masjid ketiga terbesar di dunia dan sekali gus yang terbesar di Iran. Ia terletak di Mashhad, Iran. Masjid Imam Reza ialah masjid terbesar di dunia untuk ukuran bangunan utama iaitu seluas 598,657 meter persegi dan boleh memuatkan 700,000 jemaah. 


    4. Taj ul Masajid, India 

    Masjid terbesar di India dan yang keempat terbesar di dunia ialah Taj ul Masajid. Masjid ini terletak di Bhopal, India. Taj ul Masajid siap dibina pada 1901. Bangunan masjid ini besar kerana ia turut menempatkan madrasah. Taj ul Masajid memiliki kapasiti 400,000 jemaah. 


    5. Masjid Istiqlal, Indonesia 

    Masjid Istiqlal di Jakarta ialah masjid kelima terbesar di dunia. Selain menjadi masjid terbesar di Indonesia, ia juga yang terbesar di Asia Tenggara. Masjid yang terletak di tengah-tengah bandar raya Jakarta ini dapat memuatkan seramai 120,000 jemaah. 


    6. Masjid Hassan II, Maghribi 

    Masjid yang keenam terbesar di dunia terletak di Casablanca, Maghribi, Afrika Utara. Masjid Hassan II turut menjadi masjid yang terbesar di Maghribi dan mampu menampung hingga 105,000 jemaah. Masjid ini siap dibina pada 1993. 


    7. Masjid Badshahi, Pakistan 

    Masjid ketujuh terbesar di dunia ialah Masjid Badshahi di Lahore, Pakistan. Masjid ini wujud sejak tahun 1673. Masjid Badshahi dibina pada zaman kesultanan Moghul yang keenam iaitu Aurangzeb. Ukurannya lebih besar daripada Masjid Faisal Pakistan, tetapi hanya dapat memuatkan seramai 100,000 jemaah. 


    8. Masjid Jama, India 

    India bukan saja mempunyai sebuah tetapi dua masjid yang tersenarai dalam masjid terbesar di dunia. Masjid Jama diiktiraf sebagai masjid kelapan terbesar di dunia. Masjid ini terletak di Delhi, India. Ia dibina pada 1656 dan mampu menampung seramai 85,000 jemaah. 


    9. Masjid Faisal, Pakistan 

    Masjid Faisal yang terletak di Islamabad ialah masjid yang terbesar di Pakistan dari segi kapasiti jemaah. Masjid Faisal memiliki keluasan 5,000 meter persegi. Dalam sekali solat, masjid ini dapat menampung 300,000 jemaah. 


    10. Masjid Sheikh Zayed, Emiriah Arab Bersatu 

    Masjid ini terletak di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu dan juga menjadi masjid yang terbesar di negaranya. Masjid Sheikh Zayed mempunyai keluasan 6,705 meter persegi dan mampu menampung 40,000 jemaah. Nama masjid ini diambil sempena nama pemimpin Emiriah Arab Bersatu iaitu Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan.

    BARANG TERPAKAI SERENDAH RM 1

    Barang terpakai serendah RM1
    Salah sebuah kedai yang menjual barangan terpakai di simpang empat Benut.
    PONTIAN - Orang ramai boleh mendapatkan pelbagai barangan terpakai dengan harga  serendah RM1 jika berkunjung ke kawasan Simpang Empat Benut, dekat sini.

    Antara barangan yang ditawarkan seperti pakaian, barangan elektrik, perkakasan rumah sehinggalah barangan kulit dan berjenama dijual sepanjang deretan kedai yang beroperasi bermula dari jam 9 malam sehingga lewat pagi.

    Peniaga, Samsudin C Ani, 54, berkata, tiada harga tetap yang diletakkan oleh peniaga dan pembeli perlu membuat tawar menawar.

    “Saya sudah berniaga di sini sejak tujuh tahun lalu, orang ramai yang datang ke sini untuk membeli dan  melihat barang yang dijual  semakin bertambah terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

    “Sehingga kini terdapat limapeniaga yang menjalankan perniagaan barangan terpakai yang diambil dari Singapura,” katanya.

    Menurutnya, permintaan barangan berjenama atau kulit menjadi pilihan utama pembeli yang sentiasa menantikan barangan tersebut pada harga yang cukup murah.

    “Selain itu, barangan antik turut dijual di sini, di mana peminat barangan antik  sanggup datang dari jauh bagi mendapatkan barangan yang  mereka cari,” katanya.

    Manakala, bagi peniaga Abd Latif Rostam, 64, dia gembira perniagaan barangan  terpakainya mendapat sambutan menggalakkan.

    Katanya, pusat perniagaan tersebut mudah untuk ditemui memandangkan ia terletak di persimpangan empat  yang menjadi laluan dari Simpang Renggam dan Batu Pahat ke Pontian seterusnya ke  Johor Bahru.

    “Pembangunan di kawasan simpang empat initerus berjalan rancak dengan pembukaan pusat perdagangan baru di Benut,” katanya.

    Bagi pengunjung, Jumat Jaafar, 56, dia akan berkunjung ke kedai barangan terpakai di sini untuk mencari barangan terpakai yang masih elok untuk digunakan.

    “Siapa kata barangan terpakai tidak elok, saya pernah membeli kipas angin di sini. Sudah tiga tahun saya guna dan masih elok sehingga  sekarang,” katanya.

    BUBUR PEDAS SARAWAK


    KUCHING - Jika bubur lambuk amat terkenal di Semenanjung Tanah Melayu sebagai juadah berbuka puasa, bubur pedas pula merupakan sajian wajib kepada masyarakat Islam di Sarawak.

    Bubur yang mempunyai pelbagai campuran sayur-sayuran termasuk tauhu kering, cendawan kering, kulat hitam, sayur midin, putik jagung, daun kunyit dan daun kudu, yang dicampurkan daging ayam dan lembu, kulit lembu serta udang dengan santan dan cili, juadah itu sering disediakan di masjid sekitar bandaraya Kuching untuk disumbangkan kepada orang ramai.

    Di Bazar Ramadan Medan Niaga Satok di Kubah Ria di sini, terdapat pelbagai juadah istimewa namun bubur pedas, yang dijual RM2-3 sebungkus, paling digemari pengunjung yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat tempatan serta pelancong.

    Siti Maz Adella berkata jualan bubur pedas di gerainya mendapat sambutan yang baik, termasuk dari pengunjung luar yang ingin mencuba kelazatan unik juadah asli Sarawak itu, yang sememangnya sedap, lemah dan pedas.

    Bubur pedas agak unik kerana diperbuat daripada rempah khas yang hanya boleh didapati di Sarawak dan mempunyai potensi besar untuk dieksport ke pasaran luar atau antarabangsa.

    Kuih asli Melayu Sarawak terkenal, seperti bongkol, yang kebiasaanya dijual dengan harga 50-60 sen sebiji, celorot (40 sen) dan kelupis (RM3), turut menjadi hidangan popular pada bulan puasa dan boleh diperolehi di setiap bazar Ramadan.

    Bagi peniaga Norazlia Ramli, yang mampu menjual 150 bungkus bongkol setiap hari, kuih itu diperbuat daripada tepung beras, gula nipah, santan, pati pandan dan telur, yang dimasukkan ke dalam daun pisang untuk dikukus.         

    Kuih celorot, yang diperbuat daripada gula nipah, santan dan tepung beras, juga dibalut dalam daun nipah untuk dikukus manakala kelupis, yang diperbuat daripada beras pulut dan kemudiannya dikukus dalam daun nipah tiga kali selama tiga jam sering dimakan bersama kuah kacang, kari ayam, rendang daging dan serunding

    BUKA PUASA DI RESTORAN CINA MUSLIM HJ. SHARIN LOW

    KAKITANGAN Restoran Hj. Sharin Low Grand bergambar di hadapan restoran berkenaan di Bandar Baru Uda, 
    Johor Bahru, baru-baru ini.

    SETIAP kali tibanya Ramadan, golongan suri rumah pasti pening kepala memikirkan juadah yang mahu dimasak untuk berbuka puasa bersama seisi keluarga.
    Tidak perlu bersusah payah, apatah lagi kebanyakan golongan wanita hari ini keluar bekerja yang mana sudah tentu mereka tidak sempat menyediakan juadah berbuka.
    Apa kata makan sahaja di luar memandangkan ada banyak restoran menawarkan bufet Ramadan pada harga berpatutan.
    Bandar raya Johor Bahru tidak ketinggalan menjanjikan aneka hidangan lazat daripada masakan Melayu, Cina, Thai mahupun Barat untuk berbuka puasa.
    Antara premis yang mesti disinggahi untuk berbuka puasa adalah Restoran Hj. Sharin Low Grand.
    Restoran itu menawarkan masakan Cina Muslim yang lazat dengan menyediakan pelbagai pakej berbuka yang mampu memenuhi cita rasa para pelanggan.
    Penyelia restoran tersebut, Linah Lim, 55, berkata, sempena genap setahun kewujudan restoran yang terletak di Jalan Padi 1, Bandar Baru UDA ini dan kebetulan kehadiran bulan Ramadan yang mulia, pihaknya menawarkan enam pakej Bufet Ramadan, mulai 6 Julai hingga 6 Ogos ini.
    Katanya, bersesuaian dengan konsep Ramadan yang melibatkan ibadah puasa dan kemudian umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, kesemua pakej tersebut dinamakan dengan menu-menu yang menjadi kemestian pada Aidilfitri.
    "Kami ada enam pakej pada harga RM108, RM138, RM188, RM238, RM368 dan RM428. Masing-masing kami namakan pakej itu dengan nama ketupat, lemang, lodeh, serunding, rendang dan lepat.
    "Pada prinsipnya kami memang prihatin terhadap kemampuan pelanggan terutama golongan menengah yang mana golongan ini cukup ramai. Untuk itu pihaknya menyediakan pakej mengikut keperluan pelanggan.
    "Misalnya, pakej lodeh yang berharga RM188 untuk enam orang, kami sediakan sembilan menu termasuk kurma, daging hiris nipis bersama terung, siakap stim stail nyonya, telur masin hoi sin tofu, daging kong po, hot and sour kang, kwai fah chee, nasi putih dan air mata kucing," katanya kepada S2.
    Jelas Linah, pada asasnya hidangan yang disediakan memang banyak berbanding dengan pakej di restoran atau hotel lain.
    Sebagai contoh, katanya, dengan hanya bayaran RM368 bagi pakej rendang, terdapat 11 menu untuk hidangan lapan orang.
    Katanya, pakej itu termasuk kurma, sayur naga dengan bawang putih, isi ketam dengan tahu, sup sirip ikan yu, telur masin kwai tau meow, siakap stim stail nyonya, ayam nanas, sotong dengan madu, mini spring roll, nasi putih dan air mata kucing.
    Linah juga berkata, bagi pakej lepat, yang berharga RM428 sebanyak 12 menu disediakan dan ia sesuai untuk lapan orang.
    "Untuk pakej itu, kami menyediakan menu seperti kurma, sup sirip ikan yu, brokoli dengan abalone, siakap stim, daging kei mei, telur masin kwai tau meow, udang har lok, tomato omelette, sotong stail barat, chines pan cakem, nasi putih dan air mata kucing," ujarnya.
    Mengulas perkembangan restoran itu, Linah memberitahu, sebelum ini pihaknya telah membuka lebih daripada enam cawangan di sekitar Lembah Klang antaranya di Sri Gombak, Batu Caves, Ampang, Bukit Antarabangsa, Shah Alam, Bangi dan Kajang.
    Beliau menambah: "Kami juga membuka cawangan di Ipoh, Kota Bahru, Alor Setar dan Kuantan dengan kesemua rangkaian restoran itu diurus oleh Sharin Low Abdullah, selaku Pengarah Urusan Restoran Hj. Sharin Low Grand."
    Ditanya bagaimana timbul idea untuk mewujudkan rangkaian makanan Cina Muslim, Linah berkata, negara kita cukup unik kerana dihuni oleh tiga bangsa utama iaitu Melayu, Cina dan India yang mana mereka saling menghormati baik dari segi budaya mahupun agama.
    "Hubungan yang baik antara sesama kaum ini telah menjadikan mereka mudah untuk menerima apa sahaja budaya termasuk makanan, yang menyebabkan kami membuat keputusan untuk mewujudkan restoran seumpama ini," katanya.
    Linah berkata, peluang yang terbuka luas itu digunakan bagi membuka restoran seumpamanya di kawasan penempatan Melayu dengan memastikan semua bahan bekalan adalah halal.

    KEKAL SIHAT DI BULAN RAMADHAN

    KETIKA berpuasa, kadar metabolik seseorang individu mulai menurun tetapi mekanisme tubuh lain pula akan berfungsi.
    Secara umumnya, berpuasa pada bulan Ramadan mampu meningkatkan kesihatan seseorang tetapi ada juga kemungkinan ia menjadi lebih teruk!
    Faktor penentu yang menyumbang kepada masalah kesihatan individu bukan kerana puasa itu sendiri, tetapi disebabkan jenis makanan yang diambil daripada waktu berbuka sehingga waktu bersahur.
    Masalah yang kerap terjadi ketika berpuasa ada antaranya boleh diatasi jika tahu caranya. Berikut terdapat beberapa langkah yang boleh diguna pakai sepanjang bulan Ramadan ini:

    1. Pedih ulu hati. Apabila seseorang itu berfikir tentang makanan, otak akan menghantar isyarat di bahagian perut untuk menghasilkan asid yang boleh menyebabkan pedih ulu hati. Oleh itu, pedih ulu hati merupakan antara masalah yang kerap terjadi sepanjang bulan Ramadan. Jadi, pastikan kamu memilih makanan yang lambat dihadam ketika bersahur.

    2. Dehidrasi. Kekurangan air di dalam tubuh akan merendahkan kadar metabolisme dan menyebabkan dehidrasi. Sepanjang Ramadan, masalah dehidrasi lebih kerap berlaku kerana kamu perlu menahan lapar dan dahaga lebih daripada 10 jam. Disebabkan itu, penting untuk menikmati air secukupnya semasa bersahur dan juga berbuka.

    3. Sakit kepala. Ketika berpuasa, sakit kepala kerap terjadi
    kerana beberapa faktor seperti kelaparan, kurang tidur ataupun mengambil kafein dan tembakau. Oleh itu, kurangkan pengambilan kafein dan tembakau secara perlahan-lahan dan dapatkan tidur yang cukup untuk mengurangkan sakit kepala ketika berpuasa.

    4. Sembelit. Antara faktor seseorang itu mengalami sembelit adalah pengambilan makanan segera secara berlebihan serta pengambilan air dan fiber yang tidak mencukupi di dalam diet. Bagi mengelakkan masalah tersebut, kurangkan pengambilan makanan segera. Sebaliknya, tambah jumlah pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.

    5. Paras gula rendah. Jika berasa pening, letih, lesu, menggigil, mengalami daya tumpuan yang rendah atau tidak dapat menjalankan aktiviti fizikal ketika berpuasa, kemungkinan kamu mengalami simptom bahawa tahap gula rendah dalam darah. Jadi, pengambilan makanan dan minuman yang bergula ketika sahur dan semasa berbuka puasa perlu dikawal bagi membantu mengelakkan penurunan gula dalam darah secara mendadak. Untuk itu, makanlah buah-buahan segar dan minum jus tanpa gula sebagai sumber tenaga ketika berbuka puasa.

    GESA SEGERA NAIK TARAF JALAN BELOKOK-TANJUNG BIN

    Gesa segera naik taraf jalan
    Keadaan jalan sempit memerlukan pembinaan segera laluan dari Pekan Nenas ke Tanjung Bin.
    PONTIAN - Penduduk di beberapa buah kampung di Mukim Sungai Karang dan Serkat, berharap kerja-kerja penyambungan jalan Pekan Nenas ke Tanjung Bin dapat disegerakan.

    Penduduk memberitahu  laluan sejauh kira-kira lima kilometer yang merentasi Kampung Sungai Karang, Simpang Kiri, Kampung Sungai Boh, Sungai Chengkeh, Sungai Dinar itu bakal memberi manfaat besar kepada mereka.

    Penduduk, Mohammad Samir berkata, apabila jalan baru itu siap sepenuhnya, penduduk dapat menikmati kemudahan jalan yang lebih selesa untuk keluar masuk kampung.

    “Dianggarkan hampir 100 penduduk tinggal di kampung-kampung di Mukim Sungai Karang menggunakan laluan itu.

    “Laluan ini  juga untuk  hantar anak ke sekolah terutamanya bagi yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Boh, katanya.

    Mohammad berkata, dia juga bimbang dengan soal keselamatan penduduk yang menggunakan jalan terbabit memandangkan laluan itu menjadi laluan utama pekerja ke kawasan projek pembangunan di Tanjung Bin.

    Katanya, pekerja di kawasan pembangunan berkenaan yang kebanyakannya berkereta didapati memandu dengan laju tanpa menyedari jalan di laluan berkenaan sempit dan kecil berbanding jalan masuk dari Pekan Nenas ke Peradin.

    “Kami berharap laluan ini dapat disambung semula bagi membolehkan semua pihak mendapat manfaat bukan sahaja kepada pekerja di Tanjung Bin malah penduduk kampung sendiri dapat menggunakannya dengan selamat dan selesa,” katanya.

    Mohammad berkata, dengan beberapa projek baru di Tanjung Bin pada tahun ini, dijangka lebih ramai tenaga pekerja diperlukan termasuk pekerja tempatan yang tinggal di Pekan Nenas, Gelang Patah, Johor Bahru dan sebagainya.

    “Saya lihat peluang ekonomi yang lebih baik kepada penduduk kampung apabila laluan baru tersebut siap sepenuhnya kelak.

    “Apabila laluan terbabit digunakan oleh pelbagai kenderaan, jalan berkenaan akan menjadi tumpuan seterusnya boleh dimanfaatkan penduduk kampung dengan membuka gerai menjual buah-buahan dan sebagainya untuk menambah pendapatan,” katanya.

    Sementara itu, Penghulu Mukim Rimba Terjun, Mohamad Ali Wahab memberitahu projek penyambungan laluan terbabit terletak dibawah kerajaan persekutuan.

    “Saya difahamkan Jabatan Kerja Raya sudah pun memohon peruntukan bagi melakukan kerja penyambungan laluan tersebut,” katanya.

    Friday, July 12, 2013

    DENGGI PONTIAN MELONJAK LEBIH 100%

    Muji Salimon (tiga dari kiri) mengetuai Program Gotong-Royong Perdana Denggi Peringkat Daerah Pontian
     di Taman Kota Emas, Pontian, Johor, baru-baru ini. Turut kelihatan, Dr. Norashikin Mahadan (dua dari kiri).

    PONTIAN 11 Julai - Sebanyak 44 kes penyakit denggi dilaporkan berlaku di daerah Pontian bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding 21 kes dalam tempoh sama pada 2012 lalu iaitu peningkatan sebanyak 105.6 peratus.
    Pegawai Kesihatan Kanan Pejabat Kesihatan Pontian, Dr. Norashikin Mahadan berkata, sebanyak 85 peratus daripada kes tersebut berpunca daripada pembiakan nyamuk aedes di luar premis melibatkan beberapa lokasi seperti di Lorong Pisang, Lorong Nipah, Lorong Manggis, Lorong Kemang, Lorong Mengkudu, Lorong Ciku dan Lorong Kenanga.
    "Beberapa tindakan diambil bagi membendung pembiakan aedes dengan mengedarkan risalah dan maklumat kepada penduduk, penyemburan asap dan lawatan susulan. Walaupun tiada kematian dilaporkan, peningkatan kes yang tinggi memerlukan langkah-langkah yang segera agar tidak menjadi ancaman kepada orang ramai.
    "Unit Vektor dari Pejabat Kesihatan Pontian turut menganjurkan pelbagai program kesedaran dan bertemu penduduk dari semasa ke semasa. Kami berharap orang ramai mengambil langkah yang perlu bagi membantu mengurangkan kes jangkitan denggi," katanya.
    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Gotong-Royong Perdana Denggi Peringkat Daerah di Taman Kota Emas, di sini baru-baru ini.
    Program yang disempurnakan oleh Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon itu turut dihadiri Pentadbir Tanah Daerah Pontian, Abd. Rahman Salleh; Yang DiPertua Majlis Daerah Pontian, Miswan Yunos dan Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Supritendan, Jokhiri Abd. Aziz.
    Gotong-royong tersebut mendapat kerjasama yang baik melalui penyertaan kira-kira 500 kakitangan jabatan-jabatan kerajaan, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, jawatankuasa penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan sukarelawan lain.
    Menurut Norashikin, jabatan serta agensi kerajaan juga dapat memainkan peranan masing-masing dalam membendung pembiakan aedes dengan menggalakkan kakitangan mereka mengambil langkah pencegahan membunuh jentik-jentik di rumah dan menjaga kebersihan.
    "Tanggungjawab bagi memerangi denggi adalah tanggungjawab semua pihak memandangkan statistik yang berlaku di setiap daerah akan menyumbang kepada laporan jumlah penyakit denggi di peringkat negeri," katanya.