BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Wednesday, April 23, 2014

TAMBAK JOHOR TIDAK LAGI RELEVEN

  • Tambak Johor tidak lagi relevanHasni (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Minggu Sains, Teknologi dan ICT Negeri Johor 2014, di sini, semalam
 1 / 1 
JOHOR BAHRU – Tambak Johor tidak lagi relevan sekiranya bayangan yang digambarkan kedua-dua pemimpin tertinggi negara antara Singapura dengan Malaysia mengenai pembinaan jambatan persahabatan menjadi realiti.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, bagaimanapun ia harus sesuatu yang perlu dipersetujui oleh kedua-dua negara.

“Kalau dilihat dari segi keberkesanan, pilihan lokasi jambatan persahabatan seperti yang pernah dibincangkan, kedudukan tambak Johor tidak lagi relevan.

“Bagaimanapun ia harus dipersetujui kedua-dua negara dan kita belum menerima secara rasmi setelah kedua-dua pemimpin itu berjumpa,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Minggu Sains, Teknologi dan ICT Negeri Johor 2014, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Elias Hasran.

Hasni berkata, sekiranya tambak Johor menjadi lokasi pilihan, ia dapat memberi faedah kepada pengguna Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) kerana bangunan tersebut masih belum digunakan sepenuhnya.

Menurutnya, selain menjadi satu infrastruktur hubungan yang mampu mengatasi masalah kesesakan, jambatan persahabatan itu juga boleh dijadikan sebagai mercu tanda jalinan mesra antara dua negara berjiran.

“Kita di peringkat negeri Johor berpendapat bahawa kalau lokasi Tambak Johor yang menjadi pilihan, ia dapat memberi faedah kepada pengguna CIQ kerana bangunan itu masih tidak lagi digunakan sepenuhnya disebabkan usaha membina Jambatan Bengkok tidak diteruskan.

“Dengan adanya kedudukan lokasi jambatan sesuai yang sekiranya dibina, ia dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang berlaku khususnya pada hujung minggu.

“Ia juga boleh menjadi mercu tanda yang menjadikan satu lambang kepada persahabatan antara dua negeri dan negara yang berjiran,” katanya.

R & R PONTIAN LENGANG

  • R&R bandar Pontian lengangKeadaan premis perniagaan di R&R bandar Pontian yang lengang.
 1 / 1 
PONTIAN - Meskipun dibuka lebih 10 tahun lalu, 12 premis kedai di hentian rehat dan rawat (R&R) di bandar Pontian belum penuh diisi.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, hanya enam gerai sahaja yang mempunyai penyewa, manakala selebihnya masih berkunci.

Pengunjung, Abu Bakar Mohammad, 56, berkata, keadaan lengang di bangunan R&R itu menjejaskan imej pelancongan daerah.

Menurutnya, kemudahan bangunan R&R perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk menarik lebih ramai pengunjung.

“Lokasi bangunan terletak di sebelah tapak pasar tani dan berhadapan beberapa jabatan kerajaan selain dua sekolah serta masjid amat strategik.

“Kedudukannya di kawasan tumpuan sewajarnya memberi kelebihan kepada R&R ini, tetapi keadaan sebaliknya berlaku,” katanya.

Bagi Mohd Ariss Aspuri, 47, pula, ketiadaan daya tarikan utama menyebabkan ramai penduduk daerah ini tidak mengetahui kewujudan gerai perniagaan di bangunan R&R itu.

Katanya, pada awal pembukaannya, premis dipenuhi peniaga, namun beberapa tahun selepas itu bilangan mula berkurangan.

“Sekiranya wujud tarikan seperti di lokasi perniagaan lain di daerah ini, pastinya akan menarik kehadiran pengunjung.

“Pihak berkuasa tempatan diharapkan dapat mengambil inisiatif mengadakan lebih banyak program menarik bagi menghidupkan kembali R&R terbabit,” katanya.

Monday, April 21, 2014

"PORT" BANGI

Pemilik restoran, Rizamudin Mugeni (kiri) dan Norhani Abdul Aziz.

"Di mana 'port' kita malam ini?" Inilah ayat yang sering ditanya kepada rakan-rakan kita untuk mengetahui lokasi berjumpa, lepak dan bersembang. Daripada situ, Rizamudin Mugeni dan isteri, Norhani Abdul Aziz mendapat idea membuka restoran yang diberi nama Port.
Menjejak kaki ke Port, membuat pelanggan berasa gembira dan ceria. Gembira kerana suasananya nyaman dan bersih, ceria sebab kakitangannya mesra.
Menariknya, restoran ini menyediakan semua jenis hidangan hampir mewakili pelbagai negara di seluruh dunia.
Jika anda peminat makanan Barat, Timur Tengah, Asia atau tradisional, di sinilah tempat yang sesuai.
Makanan Barat yang disediakan ialah chicken chop, beef chop, fish & chips, pasta, spageti dan lain-lain.
Sementara itu, Rizamudin turut menghidangkan nasi Arab tetapi mengubah suai mengikut cita rasa masyarakat tempatan.
"Menu nasi Arab ini saya belajar ketika saya bekerja di Qatar dulu. Di sana kami lebih suka memasak sendiri. Peluang itu tidak saya sia-siakan untuk mempelajari cara memasak nasi Arab.
"Saya dan isteri sebenarnya bukan daripada bidang masakan. Sebaliknya, latar belakang pendidikan kami ialah jurutera. Kami sanggup meninggalkan pekerjaan masing-masing untuk membuka perniagaan restoran. Berhenti kerja makan gaji ternyata membawa tuah kepada kami. Port di Bangi ini merupakan cawangan ketiga sementara dua lagi terletak di Perak," ujarnya.
Dalam pada itu, Port menyajikan sajian yang menarik dan sentiasa berusaha mengekalkan kualiti sajian yang akan berubah dari semasa ke semasa mengikut selera pelanggan.
Menariknya, di sini terdapat senarai menu yang panjang.
Kesemua sajian yang disediakan ini disediakan melalui pesanan ala carte bagi memastikan hidangan dalam keadaan segar dan panas.
Rizamudin menambah, ia juga memberi peluang kepada seisi keluarga memilih makanan apa yang paling disukai menunya untuk semua.
Selain itu, hidangan tempatan juga enak-enak belaka. Antara yang menarik ialah nasi ayam penyet, nasi mandy ayam, nasi lemak ayam penyet dan banyak lagi.
Hidangan Port sememangnya digemari ramai memandangkan harganya yang berpatutan di samping keunikan menu yang merupakan ilham pemilik sendiri.
"Saya dan isteri banyak melakukan eksperimen menu dan mencuba pelbagai idea baharu. Misalnya, sos-sos yang digunakan di dalam chicken chop dan beef chop, saya hasilkan sendiri. Begitu juga sos untuk burger bakar," ujarnya.
Selain menikmati hidangan di sini, Port turut menawarkan ruang bagi majlis berskala kecil yang memuatkan 60 orang dan turut menerima tempahan katering untuk pelbagai majlis.

11 PERKARA ELAK ANAK DEGIL

Pertama kita perlu tahu apakah yang dinamakan degil. Degil ialah bila seseorang itu tidak mahu melakukan apa yang kita minta dia lakukan atau membuat apa yang kita tidak mahu dia lakukan.
Kenapakah ini berlaku? Ini adalah kerana kedua-dua pihak mempunyai gambaran yang berlainan mengenai perkara yang menjadi isu.
Sehinggalah gambaran di minda itu boleh menjadi sama atau hampir sama, maka degil boleh berlaku lagi.
Persoalannya, bagaimana hendak menyamakan gambar di minda itu?
Jawapannya ialah mempengaruhi. Bagaimana pula hendak mempengaruhi? Jawapannya, membina perhubungan rapat atau rapport. Apabila ada perhubungan rapat, apa pun mudah diterima.
Dalam NLP kata-kata ini sering dinyatakan; “Resistance is an indication of a lack of rapport" (Tak mendengar kata, degil, adalah petunjuk bahawa kurangnya hubungan rapat.)
Bila anda sudah faham ini, maka anda boleh memikirkan apakah yang menjadikan hubungan rapat 'rapport' dengan anak anda terjejas?

1-Hati anak selalu dilukai sehingga dia tidak merasakan kasih anda. Bila anak dapat adik, perasaannya dibiarkan. Bila marah, tiada penjelasan yang memuaskan. Anak akan degil bila hatinya menjadi 'Closed Heart'. ini banyak berlaku kepada remaja.

2-Bergaduh suami isteri di hadapan anak, sehinggakan anak tidak nampak contoh teladan yang baik dari anda.

3-Mungkir janji dan tidak benar-benar meminta maaf kerana tidak dapat menunaikan janji.

4-Menyuruh dan mengarah tetapi sendiri tidak melakukan. Marah anak bercakap kasar, tetapi sendiri bercakap kasar dengan anak.

5-Tidak mendengar apakah pendapat anak itu. Walaupun anda tidak setuju, dengarlah dahulu.

6-Terlampau mengikut kehendak anak, sehinggakan anak menjadi tuan. Janganlah menjadi ibu bapa yang lemah dan membiakan sahaja anak-anak memanjat kepala, tetapi tidak perlu juga untuk garang dan keras. Pegang teraju kepimpinan anda. Jadilah pengasih dan tegas.

7-Tidak mempunyai ilmu dan skil berkomunikasi berkesan yang menyebabkan payah untuk menjual idea kepada anak lalu anak tidak mengikut kata. Apabila tiada skil dan ilmu, maka ibu bapa menggunakan arah dan perintah. Ini menjadikan anak menjadi bertambah degil. Sedarilah ibu bapa kepimpinan di dalam korporat pun sudah berubah. Bos-bos yang asyik memerintah dan mengarah dibenci oleh anak buah. Corak kepimpinan sudah berubah.

8-Selalu mengatakan kepada anak dia degil dan selalu sangat bersangka bahawa dia degil. Ini menjadi doa. Jagalah mulut dan lidah. Jangan mudah mengeluarkan kata-kata kesat yang menjadi doa yang terlafaz.

9-Anak tidak dididik untuk menghormati ibu bapa. Atau cara menyuruh anak menghormati ibu bapa adalah dengan kasar dan bukan dengan penuh kesabaran dan kasih-sayang. Maka anak tidak menghormati ibu bapa. Sebab hormat adalah sesuatu yang diberi bukan boleh dipaksa.

10-Anak tidak dididik dengan agama. Bila tiada agama, tiadalah tiang untuk berpaut. Nilai murni pun akan mengikut apa yang sempat sahaja.

11-Elakkan menggunakan bahasa yang anak tidak faham. Gunalah bahasa yang mudah mereka fahami. 

Bila berkomunikasi dengan anak, janganlah hendak menunjuk anda hebat. Tunjukan bahawa bila dia melakukan saranan baik anda kehebatannya akan lebih meningkat.
Ingatlah kuncinya, ialah hubungan rapat. Apabila anda membina hubungan anda dengan anak, tiada lagi perkataan degil dalam kamus anda mengenai anak anda.
Sedarilah kepentingan membina perhubungan kebal dengan anak-anak agar kesejahteraan keluarga terkawal. Bila keluarga sejahtera, rezeki membuak-buak datangnya.

Saturday, April 19, 2014

HANYA 10% BERHENTI MEROKOK SELEPAS PEMULIHAN

  • rokokSekadar gambar hiasan.
 1 / 1 
GEORGETOWN - Hanya 10 peratus daripada 200 perokok yang mengikuti program pemulihan di klinik berhenti merokok di negeri ini berjaya meninggalkan tabiat itu sepenuhnya. 
Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Lailanor Ibrahim berkata tiada disiplin, sukar mengawal ketagihan dan kurang kesungguhan antara punca majoriti perokok gagal melepasi tempoh enam bulan minimum yang ditetapkan untuk berhenti merokok.
"Perokok tegar biasanya akan menghadapi beberapa simptom seperti berasa kurang bertenaga dan mudah mengantuk apabila tidak merokok dalam tempoh lama dan ini menyebabkan mereka susah meninggalkan tabiat itu," katanya. 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pelancaran Tempat Kerja Bebas Asap Rokok di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia negeri di sini hari ini.
Dr Lailanor berkata tiada istilah terlewat untuk berhenti merokok kerana kebanyakan yang mendapatkan rawatan terdiri daripada individu berumur 40 tahun ke atas.
Beliau berkata ada juga perokok muda berniat berhenti merokok kerana tidak mampu membayar harga rokok yang semakin meningkat tetapi peratusan mereka amat kecil.
Dr Lailanor berkata terdapat 12 klinik berhenti merokok di seluruh negeri dikendalikan pakar perubatan keluarga secara percuma dan perokok biasanya diberi gula-gula nikotin untuk mengawal ketagihan dan sesi kaunseling. 
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jabatan Kesihatan negeri akan mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri untuk menjadikan bahagian dalam premis di kawasan bandar warisan sebagai zon larangan merokok. 
Beliau berkata pihaknya masih berunding dengan pelbagai pertubuhan peniaga, hotel, pengusaha restoran nasi kandar serta pemilik pub untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu

KISAH & PETUA ISTERI HILANG

SUATU hari saya tumpang kereta kawan untuk ke pejabat. Kami singgah di sebuah warung dan saya turun beli makanan bungkus sementara kawan tunggu dalam kereta. Selepas itu, saya pun kembali semula ke kereta, buka pintu, masuk tetapi alangkah terkejutnya apabila yang saya tengok duduk di tempat pemandu bukan kawan saya.

Rupa-rupanya kawan saya dengan keretanya sudah ke depan dan kereta lain pula yang datang ambil alih tempat itu. Selepas minta maaf, saya pun keluar dari kereta orang yang tak dikenali itu dengan muka tebal.

Kelmarin, stesen radio Pahang FM mainkan topik 'tersilap orang' dengan perkongsian cerita oleh penyiar dan pendengar. Macam-macam. Yang banyak jadi hal seperti itu, wanita. Jangan tanya saya mengapa!

Alkisahnya, dalam satu kes, seorang isteri yang pastinya kepenatan kerana lama menunggu suami datang menjemput, masuk dalam kereta sambil merungut-rungut memarahi 'suami' yang lewat.

Setelah agak lama dan mendapati kereta itu tidak juga bergerak, barulah dia mengalih pandang ke arah 'suaminya'. Alangkah terkejut apabila mendapati yang duduk di tempat pemandu bukanlah suami yang dinanti.

Lalu untuk tutup malu, dia pun bertanya, "awak ni siapa?", "mana suami saya?" Tidak tahulah apa yang dijawab oleh pemandu merangkap tuan punya kereta itu tetapi kalau saya, akan balas begini: "Saya, sayalah... yang awak tu naik kereta saya ni kenapa? Mana saya tahu suami awak!"

Yang diceritakan hanyalah si pemandu itu kemudian melihat menerusi cermin pandang belakang, ada sebuah kereta lain yang serupa dengan keretanya, di belakang dan pemandu kereta itu dilihat ketawa berdekah-dekah melihat isterinya tersalah masuk kereta orang lain.

Kes tersalah suami atau tersalah isteri ini banyak berlaku di pasar raya. Seorang kawan saya yang 'kehilangan' isteri di pasar raya, kemudian mendapati isterinya bersama-sama seorang lelaki lain berjalan seiringan menolak troli barang.

"Betulnya, isteri aku pergi ambik barang dan aku tunggu troli. Tiba-tiba aku nampak barang yang aku sedang cari kat rak tidak jauh dari situ. Aku pun alih troli ke tepi dan pergi ambik barang itu. Mungkin selepas itu datang orang lain, dan isteri aku tak pandang terus ikut orang tu yang disangkanya aku.

"Orang tu pulak mungkin tak perasan isteri aku ikut dia. Bila aku panggil, merah padam muka isteri aku dan pelan-pelan dia belah ke tepi. Bila aku tanya pasal barang, dia kata sudah masuk dalam troli orang tu. Aku kata, pergi ambik lainlah, yang sudah masuk troli biarlah orang tu bayar nanti..," katanya.

Dalam kes lain yang hampir serupa - isteri orang dengan suami orang - bersama-sama berjalan menolak troli dan mereka masing-masing tersedar salah pasangan hanya setelah sampai di kedai makan.

Apabila 'si isteri' bertanya kepada 'suami'nya: "Abang nak makan apa?" baharulah dia tersedar yang ditanya itu rupa-rupanya suami orang lain.

Masa itu, masing-masing kelam kabut dan malu sesama sendiri. Pada masa yang sama, kelam-kabut juga mana nak cari pasangan sejati yang sudah hilang entah ke mana!

Di sini, saya nak kongsi satu petua mudah yang mungkin boleh jadi pedoman bagi sesiapa yang mungkin terbabit kes kehilangan isteri seperti ini.

Caranya mudah sahaja, kalaulah isteri anda hilang, telefon pun tidak berjawab, caranya, anda carilah wanita paling cantik yang ada di tempat itu, atau di pasar raya itu. Sapalah wanita itu, tanya nama, di mana rumah dan kalau boleh mintalah nombor telefon dia sekali.

Percayalah, dalam masa beberapa minit sahaja, isteri anda pasti akan muncul di sebelah dan tidak perlu untuk anda bersusah payah mencarinya lagi.

Kalaulah si cantik itu isteri orang, suaminya juga tentu akan muncul dalam masa beberapa saat sahaja dan selepas itu, selesaikan dan tanggunglah sendiri isu-isu yang berbangkit.

TILAPIA FROZEN DARI SNAPPER FOOD SDN BHD

  • Produk tilapia sejuk beku dapat sambutanIdai Sinar bersama antara produk keluaran syarikatnya yang paling laris terjual.
 1 / 1 
SYARIKAT pengeluar produk sejuk beku berasaskan ikan tilapia, Snapper Food Sdn Bhd menyasarkan untuk memasuki pasar raya besar dalam tempoh terdekat.

Eksekutif Operasi Pemasarannya, Idai Sinar Suria Yaacob berkata, pihaknya dalam proses membawa produk itu ke pasar raya seperti Tesco dan Giant.

“Dengan sambutan yang menggalakkan sejak diperkenalkan pada 2011, kami yakin dapat memasuki lebih banyak pasar raya tempatan pada masa akan datang.

“Produk kami juga telah memasuki beberapa hotel dan restoran dengan menjadi pembekal kepada produk sejuk beku seperti nugget, burger, jejari ikan dan isi ikan,” katanya ketika ditemui di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2014 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, selain pasaran tempatan, produk itu juga dieksport ke China dan Vietnam.

Katanya, negara lain disasarkan syarikat itu ialah negara di Timur Tengah.

Bagaimanapun, Idai Sinar berkata, syarikat itu ingin memberi tumpuan untuk menguasai pasaran tempatan terlebih dahulu menerusi ejen mereka.
"Setakat ini, Snapper Food mempunyai 50 ejen di seluruh negara.

“Kami berharap untuk memperoleh 200 ejen dan 100 stokis serta 17 pengedar pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, syarikat itu memiliki kolam ternakan ikan sendiri di Gerik, Perak dan menjual purata tiga tan isi ikan setiap tiga bulan.

“Kelebihan produk kami adalah kerana ikan tilapia digunakan untuk menghasilkan produk tidak berbau hanyir.

“Bagi menghasilkan ikan tilapia seperti ini, kami menjalin kerjasama dengan syarikat dari Norway untuk menggunakan teknologi mereka dalam sistem ternakan agar ikan tidak berbau,” katanya.

REMPAH NORMAN MUSA LARIS DI LONDON

  • Rempah Norman Musa di LondonSelepas jenamanya dikenali di London, Norman berharap akan meluaskan pasaran produknya ke Asia.
 1 / 1 
SYARIKAT pengeluar rempah ratus tempatan, Norman Musa Spices Sdn Bhd memulakan operasi syarikatnya pada tahun lalu berikutan permintaan yang tinggi terhadap rempah ratus di London, United Kingdom.

Pemiliknya, Norman Musa merupakan tukang masak yang mengajar masakan Malaysia di London dan pada masa sama mempunyai restoran di sana sejak lapan tahun lalu.

Menyedari permintaan di London, beliau pulang ke tanah air untuk bekerjasama dengan kilang di sini untuk menghasilkan produk rempah kari dan puri herba.

“Setakat ini, kami mempunyai tiga produk yang boleh diperoleh di pasaran tempatan iaitu rempah kari, puri herba dan coklat.

“Manakala, produk ais krim kami pula hanya terdapat di London.

Kami akan membawanya masuk ke Malaysia dalam tempoh terdekat selepas mendapat pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,” katanya semasa ditemui di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2014 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, pasaran produknya buat masa ini hanya di Malaysia dan London.

Katanya, tumpuan utama kini adalah untuk membawa produk keluaran syarikatnya ke peringkat antarabangsa kerana permintaan rempah ratus yang tinggi.

“Sebagai permulaan, kami menyasarkan untuk meneroka pasaran China, Australia, Jepun dan Korea menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Mengulas berhubung sasaran jualan, Norman berkata, sejak diperkenalkan tahun lalu, rempah kari keluarannya telah dijual sebanyak 40,000 paket di Malaysia dan London.

Katanya, syarikat itu menyasarkan untuk menjual 200,000 paket di Malaysia tahun ini.

“Produk kami hanya boleh diperoleh menerusi stokis. Setakat ini, kami ada 14 stokis dan berharap untuk menambah 50 stokis lagi tahun ini,” katanya.

MUZIUM COKLAT PERTAMA



SEBUT saja perkataan coklat, pasti ramai yang terbayangkan kelazatan dan keenakan manisan yang diperbuat daripada buah koko itu.
Kini, coklat telah menjadi kegilaan kanak-kanak dan orang dewasa di seluruh dunia.
Ada banyak perkara menyeronokkan yang dikaitkan dengan coklat. Sesetengah orang beranggapan coklat dapat meredakan tekanan dan menerbitkan perasaan gembira.
Ini mungkin ada kebenarannya kerana coklat sememangnya dapat menenangkan fikiran yang berserabut.
Bukan itu sahaja, kajian menunjukkan coklat makanan berkhasiat dan seimbang selain mudah dibawa ke mana-mana serta dimakan pada bila-bila masa.
Melihatkan potensi industri coklat itu, syarikat pengeluar coklat tempatan, DR Group Holdings Sdn. Bhd. membuka Muzium Coklat di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada tahun 2012.
Menurut pengurusnya, Mohd. Azuan Arshad, pembinaan muzium itu membabitkan kos sebanyak RM1 juta.
“Muzium ini dilancarkan Januari lalu oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tetapi ia sebenarnya telah dibuka lebih awal.
“Pada masa itu, kami mahu menguji penerimaan orang ramai terhadap satu-satunya muzium yang dikhaskan untuk coklat di Malaysia ini.
“Tujuan muzium ini ditubuhkan adalah untuk mendidik masyarakat mengenai asal-usul coklat serta manfaatnya dari segi kesihatan.
“Pengunjung juga akan mendapat maklumat menarik mengenai coklat dan koko dari seluruh dunia yang telah berusia lebih 3,000 tahun.
“Sejak dibuka, kami menerima lebih 50,000 orang pengunjung yang terdiri daripada kanak-kanak tadika, pelajar sekolah, universiti dan kolej.
“Pelancong asing dari negara seperti China, Thailand, Jepun dan Asia Barat juga kerap datang ke sini,” jelasnya sambil memberitahu, muzium terbabit telah diiktiraf sebagai produk pelancongan terbaharu Malaysia tahun ini.

ULAR sawa yang dihasilkan daripada coklat ini mengambil masa selama 150 jam untuk disiapkan.


Konsep 3E
Ujar Mohd. Azuan, pihaknya mempraktikkan konsep 3E iaitu pengunjung berpeluang mendapatkan pengetahuan (education), pengalaman (experience) dan keseronokan (enjoyable) sepanjang berada di muzium terbabit.
“Mereka akan dibawa melawat ke sekeliling muzium, melihat demonstrasi penghasilan coklat, membeli-belah di galeri coklat selain bersantai di kafe muzium ini yang menyajikan makanan dan minuman berasaskan coklat.
“Lebih 130 jenis coklat daripada 30 jenama terkenal dijual di muzium ini termasuk Cadbury, Ferrero Rocher dan Toblerone di samping jenama keluaran syarikat kami iaitu Fidani, Farrel dan Danson.
“Kesemua coklat daripada jenama terkenal ini diimport terus dari negara asal seperti Itali, New Zealand dan Korea.
“Malah, ia dijual pada harga yang jauh lebih murah berbanding di pasar raya iaitu antara RM1.50 hingga RM300,” ujarnya sambil menambah, pihaknya menerima sebanyak 2,000 hingga 4,000 pengunjung pada hari biasa tidak termasuk cuti hujung minggu.
Sebaik menjejakkan kaki di muzium ini, kru Jurnal disambut oleh cef muzium, Cef Yazid yang bertindak sebagai pemandu pelancong.
Pengunjung diberi penerangan oleh cef berkenaan mengenai sejarah awal koko dan coklat.
Terdapat beberapa bahagian yang boleh dilawati sepanjang sesi ini, antaranya sejarah coklat, kebaikan coklat untuk kesihatan dan industri coklat.
Pengunjung juga berpeluang melihat replika mesin adunan coklat pertama dunia yang dicipta pada tahun 1879 oleh peneroka coklat antarabangsa Swiss Chocolatier iaitu Rodolphe Lindt.
Malah, bentuk coklat bar diaplikasikan pada dinding yang menuju ke dapur muzium. Di situ juga sesi demonstrasi penghasilan coklat untuk pengunjung dilakukan.
Melangkah ke ruang dapur muzium ini, pengunjung dapat melihat bentuk haiwan yang dihasilkan menggunakan coklat seperti ular sawa, naga dan burung helang untuk tatapan pengunjung.
“Kami menyiapkan kesemua bentuk haiwan yang menggunakan coklat ini dalam bentuk kumpulan dan masa yang diambil untuk menghasilkan naga ini ialah 110 jam, ular sawa pula selama 150 jam dan burung helang memakan masa selama 130 jam,” tambahnya.
Walaupun dipisahkan oleh dinding kaca, pengunjung masih dapat melihat aksi mengadun coklat cair oleh cef di dapur. Kerja-kerja itu dilakukan di atas marmar bagi menghasilkan coklat yang halus dan berkilat.
Selain itu, pengunjung ditunjukkan teknik menyalut coklat menggunakan biskut atau wafer dan kemudiannya dihias dengan bahan hiasan di atasnya.

GALERI Muzium Coklat ini menjual lebih 130 jenis coklat daripada 30 jenama terkenal pada harga lebih murah.


Cetak gambar
Merasai sendiri keenakan rasa biskut yang disalut coklat itu pastinya memberikan pengalaman yang sangat berharga lebih-lebih lagi coklat itu baru saja dihasilkan.
Pengunjung juga ditunjukkan cara mencetak gambar di atas coklat menggunakan mesin buatan Jerman.
“Proses mencetak gambar di atas coklat ini mengambil masa selama 45 minit. Malah, kami turut menerima tempahan untuk majlis perkahwinan, ulang tahun mahupun majlis korporat.
“Untuk tempahan mencetak, pengunjung perlu membawa gambar yang hendak dicetak dalam bentuk digital. Harga pula ditentukan mengikut saiz dan bentuk gambar yang dipilih,” ujarnya.
Muzium yang berkeluasan 325 meter persegi itu dibuka secara percuma kepada orang ramai bermula dari pukul 10 pagi hingga 5 petang setiap hari.
“Sebagai perancangan, kami bakal menubuhkan akademi coklat dan Muzium Coklat kedua pada penghujung tahun ini.
“Kami turut bercadang membuat taman tema yang disasarkan pada awal tahun hadapan,” tambah Mohd. Azuan.

KAFE KOTAKKALAM- KUANTAN, PAHANG

DEKORASI Kafe Kotakkalam menarik perhatian pengunjung untuk bersantai sambil menikmati hidangan barat.

Menikmati hidangan ala Itali sudah menjadi satu rutin di bandar-bandar besar termasuk di Kuantan, Pahang yang tidak ketinggalan menyajikan pelbagai pilihan masakan tersebut.
Kafe Kotakkalam yang beroperasi di bandar Kuantan memiliki semua yang diimpikan peminat masakan berkenaan bermula daripada pemilihan lokasi sehinggalah kepada dekorasi yang sememangnya mampu mencuri minat pelanggan untuk singgah makan di situ.
Menerapkan tema kafe jalanan, kafe yang beroperasi bersebelahan Hotel Cititel di Jalan Teluk Sisek itu menyediakan kira-kira 30 hidangan ala Itali dan barat dengan diubah namanya bersesuaian dengan tema Kotakkalam.
Menawarkan harga serendah RM7, menu sajian yang dinamakan spageti Alfredo dan House of Eatalia Bolognese with Meatball mendapat permintaan yang tinggi daripada kalangan pengunjung, selain permintaan masakan barat yang lain.
Menu lain yang turut disediakan adalah Eatalia Shrimp Alfredo dan Lamb Aglio Olio serta sajian barat seperti Kotakkalam Avantgarde Steak serta Kotakkalam Chicken Parmigiana.
Minuman istimewa yang perlu dirasai pengunjung adalah Designer’s Drink, Brazilian Lime dan minuman botol berlogo lelaki bersongkok dengan tiga perisa.
Idea membuka kafe itu dilakukan oleh dua anak muda iaitu Ahmad Dainney dan Hairri Shaza yang menampilkan kelainan dalam makanan serta dekorasi di tempat tersebut.
Ahmad Dainney yang bekerja sepenuh masa sebagai juruteknik di salah sebuah kilang di Perindustrian Gebeng, Kuantan menyifatkan pembukaan kafe kreatif ini sebagai inisiatifnya dalam menyediakan ruang santai sambil menikmati hidangan yang dipesan.
Menurutnya, bagi menambahkan keceriaan kafe tersebut, pelbagai gambar turut dipamerkan seperti gambar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, penyanyi Elvis Presley, pelakon Hollywood, James Dean dan beberapa selebriti terkenal tempatan mahupun antarabangsa.
Katanya, Hairri yang merupakan sahabat baiknya sejak 20 tahun lalu menjadi tunjang operasi apabila beliau turut bertindak sebagai chef di kafe tersebut.
'Saya dan Hairri membuka kafe ini bukan sahaja untuk memberikan pelbagai pilihan sajian barat kepada orang ramai, malah kami mahu mengubah corak kehidupan golongan belia yang suka melepak tanpa haluan dengan berkumpul serta berkongsi ilmu di tempat yang sesuai.
'Kafe ini direka khas secara unik untuk para belia mengisi masa lapang menerusi aktiviti fotografi ataupun membaca,' katanya.
Bagi seorang pelanggan tetap, Norsyahida Azahari, menu yang sentiasa dipesannya adalah Swedish Meatball dan spageti Alfredo.
Ini kerana, katanya bukan sahaja rasanya sedap tetapi dijual pada harga berpatutan.
'Selain menikmati hidangan, saya bersama rakan-rakan dapat berkongsi cerita tentang kehidupan masing-masing dan merehatkan minda. Malah dekorasi kafe ini turut menarik dan kreatif,' ujarnya.

Wednesday, April 16, 2014

PROJEK JAMBATAN KE-2 PONTIAN DIPANTAU

  • Pantau projek bina jambatan baharuTung Siong menunjukkan kawasan pembinaan jambatan kedua Pontian.
 1 / 1 
PONTIAN - Kerajaan negeri perlu memantau pembinaan jambatan baharu kedua di daerah ini bagi memastikan projek tersebut berjalan lancar.

Adun Pekan Nenas, Yeo Tung Siong berkata, pembinaan jambatan kedua menghubungkan bandar Pontian Kechil dengan Pusat Perdagangan Pontian mendapat perhatian penduduk berikutan cadangan sama sebelum ini telah beberapa kali tertangguh.

Menurutnya, jambatan berkenaan akan dibina kemudahan jeti nelayan selain jeti pendaratan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) seluas 1.9 hektar.

“Pembinaan jambatan baru ini penting bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan di bandar Pontian Kechil.

“Selain itu jambatan ini juga dapat mengelakkan kesesakan di kawasan bandar Pontian Kechil terutama pada cuti hujung minggu atau musim perayaan,” katanya, baru-baru ini.

Menurutnya, perkara tersebut telah dibangkitkan di dalam sidang Dun dan beliau meminta pihak berkuasa seperti Majlis Daerah Pontian memantau projek pembinaan jambatan yang menelan belanja jutaan ringgit itu.

“Pembinaan jambatan ini perlu disiapkan selewatnya-lewatnya akhir tahun ini bagi membolehkan program pengindahan Sungai Pontian Kechil dijalankan.

“Paling penting, pembinaan perlu mengikut tempoh bagi kemudahan orang ramai,” katanya.

Katanya, pihak bertanggungjawab bukan sekadar melihat pelan pembangunan disediakan, sebaliknya bersama-sama turun padang melihat sama ada ia dipatuhi atau tidak.

“Kita tidak mahu pembangunan menyebabkan penduduk terjejas dan terpaksa menanggung kesan.

“Kita juga harap pihak bertanggungjawab memainkan peranan supaya tidak timbul masalah untuk menyiapkan projek,” katanya.

MISTERI TANGGA BATU DI PERADIN

  • Tangga batu undang persoalanBinaan batu besar yang dipercayai penduduk menjadi tempat penyimpanan harta askar Jerman suatu masa dahulu.
 1 / 1 
PONTIAN – Kewujudan tangga batu yang dipercayai merupakan jeti lama di kawasan hutan paya bakau berhampiran Sungai Peradin di Parit Jerman, mengundang pelbagai pertanyaan dalam kalangan penduduk.

Seorang penduduk, Lokman Talib, 77, berkata, berdasarkan cerita yang disampaikan oleh generasi terdahulu, jeti lama itu dipercayai dibina oleh sekumpulan askar Jerman untuk mengusahakan kegiatan perdagangan.

“Tangga batu ini dapat dilihat ketika air sungai surut dan terdapat empat buah tangga batu di kawasan sekitar Peradin,

“Ia dipercayai menjadi bukti adanya aktiviti perdagangan dijalankan di sini, kerana kedudukan Sungai Peradin berhadapan dengan Singapura,” katanya.

Ketiadaan jalan darat ketika itu katanya, memungkinkan lokasi di Sungai Peradin itu digunakan bagi tujuan membawa hasil nanas dan kelapa ke Singapura.

“Dahulu tanaman nanas dan kelapa merupakan hasil utama ekonomi penduduk di sini,” katanya.

Selain itu, dia juga menunjukkan sebuah binaan batu berbentuk 'H' dengan setiap satunya mempunyai lubang besar, dipercayai digunakan untuk penyimpanan harta,

Lokman juga memberitahu, sehingga kini tiada persatuan sejarah atau badan berkaitan yang melakukan kajian mengenainya.

"Sekiranya ia mempunyai nilai sejarah yang penting, amat sayang sekali ia dibiarkan tanpa sebarang kajian dilakukan,” katanya.

Sunday, April 13, 2014

PENUTUPAN SIMPANG DI TAMBAK UNDANG BAHAYA

  • Simpang ditutup undang kesulitanTung Siong (tiga, kiri) melihat peta laluan jalan raya di Tambak sejak dua bulan lalu.
 1 / 1 
PONTIAN - Tindakan pihak berkuasa menutup dua simpang utama di Pusat Perdagangan Pontian atau Tambak sejak dua bulan lalu menyebabkan kesulitan kepada pengguna di sini.

Pengguna mendakwa, akibat penutupan itu, kemalangan kecil kerap berlaku sehingga mendatangkan kesesakan lalu lintas khususnya di waktu puncak dan cuti hujung minggu.

Peniaga buku, Tan Yu Chiang, 41, berkata, simpang tiga yang dibuka bagi pengguna membuat pusingan U begitu merbahaya kerana merupakan laluan utama bagi kenderaan berat seperti bas untuk ke Terminal Pengangkutan Awam Pontian.

Jelasnya, pengguna jalan raya sering terkeliru dengan keadaan simpang di situ terutama dari segi pusingan U yang akhirnya menyebabkan kemalangan.

“Saya kerap melihat kemalangan kecil berlaku di sini, terutama ketika jalan sesak pada hujung minggu kerana tiada papan tanda kenderaan keluar masuk simpang dipasang.

"Pemandu terkejut apabila terdapat kenderaan di hadapan mereka yang memasuki simpang, akibatnya mereka tidak sempat memperlahankan kenderaan yang akhirnya mengakibatkan kemalangan,” katanya semalam.

Abdullah Mohammad, 40, berkata, kemalangan yang terjadi di situ bukan sahaja melibatkan kereta tetapi juga lori, motosikal dan bas.

“Simpang tersebut sibuk pada waktu puncak di sebelah pagi dan petang, ditambah bilangan kenderaan berat seperti bas yang lalu lalang untuk ke Terminal Pengangkutan Awam.

“Keadaan menjadi semakin buruk, apabila lori dan bas membelok ke kanan sedangkan simpang berkenaan kecil, akibatnya berlaku kesesakan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Parlimen Tanjung Piai, Yeo Tung Siong berkata, ramai peniaga dan pengguna jalan raya mengeluh dengan keadaan di Tambak yang sering sesak terutama pada waktu puncak dan cuti hujung minggu.

Jelasnya, aduan yang dikemukakan kepada pihak DAP lebih kepada soal penutupan simpang yang dilihat menyebabkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

“Memorandum bagi mengatasi masalah kesesakan akan dihantar kepada Majlis Daerah Pontian (MDP) bagi tindakan segera,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua MDP, Miswan Yunos berkata, isu kesesakan lalu lintas di Pusat Perdagangan Pontian sentiasa menjadi perhatian.

Jelasnya, pihaknya bersama pemaju Pusat Perdagangan Pontian iaitu WFC Developmen dan perunding telah mengadakan perbincangan bagi menambah baik keadaan lalu lintas.

Thursday, April 10, 2014

'RESTORAN JAMBAN' IDEA PELIK


Restoran berkonsepkan tandas yang beroperasi di pasar raya Johor Bahru City Mall, Johor Bahru.


JOHOR BAHRU - Entah di mana silapnya apabila sebuah restoran berkonsepkan tandas yang mengundang rasa jijik dalam kalangan masyarakat tempatan dibenarkan beroperasi di tingkat enam pasar raya Johor Bahru City Mall di sini.
Masakan tidak, pengunjung pastinya berasa geli apabila disajikan hidangan menggunakan bekas makanan menyerupai peralatan tandas seperti jamban dan tindakan pihak restoran itu dianggap suatu budaya kotor.
Pun begitu, pihak Restoran T Bowl yang memperkenalkan restoran berkonsepkan tandas itu menafikan mereka mempromosi- kan budaya pelik dan kotor dalam kalangan masyarakat tempatan.
Pengurusnya, John Chai Wen Joan, 23, (gambar kecil) menegaskan, restoran itu tetap menghormati budaya dan kebersihan di negara ini dan pihaknya sekadar mengetengah suatu konsep idea baharu.
"Memang benar konsep ini seperti kamu lihat di Jepun atau Taiwan, namun suasana di restoran kami tidak sama.

KAREX BATU 34 PONTIAN SEDIA 2500 PELUANG PEKERJAAN

PONTIAN - Syarikat pembuat kondom terbesar dunia, Karex Bhd. (Karex), bakal menawarkan kira-kira 2500 peluang pekerjaan apabila kilang di Batu 34 Jalan Bahru- Pontian, beroperasi kelak.

Ketua Pegawai Eksekutif Karex, Goh Miat Kiat berkata, kilang berkeluasan 7 hektar itu dibangunkan dengan kos sebanyak RM80 juta.

Menurut beliau, pemilihan daerah ini sebagai lokasi terbaharu kilangnya dibuat bagi menghargai sumbangan serta sokongan semua pihak sejak pihaknya memulakan pelaburan pada tahun 1994 di Taman Pontian Jaya, dekat sini.

Selain itu,  jalan perhubungan yang baik serta kedudukan berhampiran Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Johor Bahru turut menjadi faktor pemilihan lokasi tersebut.

“ Kerja-kerja tanah diatas tanah seluas 7.28 hektar telah selesai yang dibeli tiga tahun lalu kini tumpuan bagi membina kilang yang dijangka siap pada tahun suku tahun pertama 2015.

“Sebanyak 4 bilion keping disasarkan bagi pengeluaran kilang baharu ini yang kemudiannya akan dieksport ke 110 buah negara  seperti Afrika, Asia, Amerika dan rantau Eropah,” katanya selepas majlis pecah tanah oleh Pengerusi Karex Tan Sri Arshad Ayub, disini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon dan Adun Kukup Suhaimi Salleh.

Tambahnya, melalui pelaburan selama 20 tahun di Pontian, pihaknya telah melatih banyak tenaga mahir tempatan termasuk di bidang pengurusan.

Bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, pihaknya akan menggunakan banyak peralatan yang moden dan dalam masa yang sama mengekalkan tenaga buruh.

Setakat ini, Karex mempunyai tiga kilang pengeluaran iaitu di Hatyai, Thailand, Port Klang di Selangor dan Pontian di Johor.

Monday, April 7, 2014

BERCUTI SAMBIL NIKMATI MAKANAN LAUT DI SEKINCHAN

Tarikan pekan kecil Sekinchan, Selangor pasti menambat hati pengunjung yang gemarkan suasana nyaman yang jauh daripada hiruk pikuk kehidupan bandar.
Namakan apa sahaja sama ada makanan eksotik, hasil laut serta buah-buahan segar, pasti tidak mengecewakan pengunjung.
Semua itu menggamit kehadiran pengunjung ke kawasan luar bandar yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari ibu kota, Kuala Lumpur.
Kini, Sekinchan mempunyai satu lagi tempat menarik yang mampu dibanggakan iaitu Sekin Fisherman Village Hotel & Resort.
Nama resort itu diambil daripada nama pekan kecil, Sekinchan dan terletak di perkampungan nelayan yang kini menjadi salah satu produk pelancongan berdaya saing di kawasan tersebut.
Sekin Fisherman Village Hotel & Resort yang terletak kira-kira dua kilometer dari pekan Sekinchan mula beroperasi sejak dua tahun lalu. Ia memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati perkhidmatan perhotelan yang terbaik dengan bayaran minimum.
Lokasi strategik yang terletak di pinggir pantai Redang sememangnya menjadi tarikan utama di daerah ini. Pengunjung turut berpeluang menikmati keindahan pantai yang mengasyikkan.
Hotel tersebut dimiliki usahawan muda tempatan iaitu Datuk Jamal Md. Yunos.
Beliau berkata, hotel yang dibina di tapak seluas lapan ekar itu turut menempatkan sebuah restoran ikan bakar terkenal iaitu Restoran Sekinchan Ikan Bakar.
“Restoran ini membolehkan pengunjung menikmati makanan laut seperti ikan, udang dan sotong segar pada harga berpatutan," kata Jamal yang juga pemilik rangkaian restoran berkenaan kepada S2.
Menurut Jamal lagi, pengunjung turut dijanjikan dengan perkhidmatan sajian terbaik daripada 30 orang pekerja yang terlatih.
“Kami akan memastikan pelanggan akan mendapat layanan yang baik.
“Selain itu, kami juga memberi kebebasan kepada mereka untuk memilih bilik yang menepati pilihan dan cita rasa mereka," katanya.
Hotel ini menawarkan 52 bilik berharga antara RM154 hingga RM576 semalam. Terdapat lapan jenis bilik yang sedia untuk ditempah iaitu bilik standard, superior, deluxe, superior deluxe, suite, family, family suite dan executive suite.
Jelasnya lagi, pihak resort juga ada menawarkan perkhidmatan sewa dewan untuk majlis-majlis besar seperti majlis perkahwinan,hari keluarga dan acara yang lain.
Terdapat juga beberapa bilik yang dijadikan bilik mesyuarat mahupun bilik seminar.
Selain itu, terdapat menara tinjau yang jarang ditemui di hotel serta resort lain. Di menara tinjau itu, para pengunjung dapat menyaksikan pemandangan jajaran sawah padi, jeti nelayan, lautan serta pekan Sekinchan.
Ternyata, pemandangan dari menara itu cukup indah terutamanya pada waktu senja dan malam.
“Menara besi setinggi 24 meter itu menyajikan pemandangan laut Selat Melaka yang merupakan laluan kapal paling sibuk di dunia, di samping kehijauan sawah padi dan kedamaian perkampungan tradisional Melayu di situ," katanya
Di aras puncak menara itu, turut diletakkan tiga buah meja bulat dan beberapa buah kerusi untuk pengunjung melepaskan lelah setelah mendaki kira-kira 100 anak tangga. Sambil berehat, pengunjung akan dibuai dengan alunan serta tiupan angin dari Selat Melaka.
“Walaupun pada waktu tengah hari dengan simbahan cahaya terik matahari, namun suhu di menara ini tetap dingin," katanya.
Di sini juga terdapat zoo mini dan kolam ikan di mana pengunjung boleh memberi ikan dan haiwan lain makan.
Beliau memberitahu, hotel itu sedang merancang untuk membina sebuah kolam renang dan taman tema air.
“Kami bukan sahaja ingin menjadikan tempat ini sebagai lokasi percutian, bahkan hab kepada pelbagai aktiviti seperti perkhemahan,hari keluarga, permainan paintball dan karaoke," katanya.

Saturday, April 5, 2014

RAHSIA 35 TAHUN NASI LEMAK KAMPUNG PANDAN

NASI impit kuah kacang dengan serunding.

TEMPOH selama 35 tahun berniaga nasi lemak, tentu peniaga Nasi Lemak Kampung Pandan ini mempunyai resipi tersendiri mengapa nasi lemaknya begitu digemari. Memang betul, selain keenakan nasi lemak, kesedapan sambal juga penting.
Rahsia keenakan sambal nasi lemak di kedai yang diusahakan Zahidah Abd. Hamid ini, kerana dicampur dengan kelapa kisar.
Mula-mula cili akan dimasak terlebih dahulu sehingga pecah minyak. Kemudian baru dimasukkan ikan bilis yang telah digoreng lembab bersama bawang besar dan garam. Apabila sambal hampir masak baru masukkan kelapa kisar. Biarkan sekejap baru dimasukkan air asam jawa.
Keseluruhan proses memasak sambal ini mengambil masa selama tiga jam. Kelapa kisar yang dicampurkan ke dalam sambal menambah rasa lemak sambal dan mengurangkan rasa pedas. Air asam yang dimasukkan lambat juga bagi mengelakkan sambal daripada cepat basi.
Demikian menurut Zahidah mengenai resipi sambal yang dipelajari dan diwarisi daripada ibunya, Zainab Jahari yang merupakan peniaga asal Nasi Lemak Kampung Pandan.
Ketika itu Zainab yang berniaga nasi lemak sejak tahun 1979 hanya berniaga di jalan susur Kampung Pandan dan bertahan di situ selama lebih 20 tahun.
Atas faktor usia dan kesihatan ibunya, Zahidah mengambil-alih perniagaan dengan dibantu adik-beradik yang lain namun lokasinya telah berpindah di No. 21, Pusat Penjaja DBKL, Jalan Wirawati, Taman Maluri, Kuala Lumpur.
Zahidah berkata, sambal nasi lemak tersebut dibuat pada malam sebelumnya dan dibiarkan sejuk baru ditutup periuk bagi mengelakkan daripada cepat basi. Seawal pukul 6 pagi, dia telah mula memasak nasi dan lauk-pauk yang lain seperti telur rebus, ikan bilis goreng, rendang ayam, rendang daging dan sebagainya.
Dalam sehari dia menyediakan nasi lemak untuk dimakan seramai 300 orang dan jumlah tersebut berganda pada hari Sabtu dan Ahad. Pelanggan lebih ramai pada hujung minggu dan cuti sekolah dan ada yang sanggup datang dari Sungai Buluh, Bangi, Putrajaya dan Damansara.
Malah, Nasi Lemak Kampung Pandan mempunyai ramai pelanggan tetap yang terdiri daripada orang kenamaan, artis dan selebriti.
Selain terkenal dengan nasi lemak, kata Zahidah, kedainya juga mempunyai banyak jenis makanan lain seperti lontong yang dimakan bersama serunding kelapa, sambal tumis, sambal kelapa dan sambal sotong kering juga soto bergedil, mihun, mi dan lebih 15 jenis kuih-muih seperti kuih bom, karipap, seri muka, koci, pulut inti, rengas, badak dan sebagainya yang berjumlah 1,000 biji.
“Harga pun tidaklah mahal tetapi puas makan. Lontong dan sotong cuma berharga RM4, nasi lemak lauk rendang juga RM4 dan soto bergedil RM5.
“Kalau hari biasa pun pelanggan beratur panjang, kalau hujung minggu lebih lagi, sampai ada pelanggan yang marah-marah kena beratur sebab hendak beli makanan.
“Sebenarnya sebelum kedai dibuka lagi pelanggan sudah menunggu terutamanya mereka yang pulang dari surau dan masjid. Ada pelanggan yang dulunya datang membawa anak yang masih bayi, datang lagi setelah anaknya sudah bersekolah menengah," ujar Zahidah yang memulakan perniagaan dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari.
Tambahnya, ada juga pelanggan yang memesan nasi lemak dan kuih-muih untuk jamuan kenduri dan majlis-majlis lain. Sebuah bank tempatan sudah menjadi pelanggan tetap membuat pesanan lontong, nasi lemak dan kuih-muih untuk jamuan hari raya.
Jika anda ingin mengetahui lokasi Nasi Lemak Kampung Pandan, boleh menghubungi Zahidah di 017-6696741.