BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Saturday, February 28, 2015

RESTORAN GOLEK-GOLEK-GOMBAK KL

Tinggal di kota raya yang berlatarbelakangkan bangunan pencakar langit dan mengadap ‘hutan batu’ setiap hari malah terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas setiap hari, pasti memberi tekanan.
Namun, hujung minggu anda pasti menenangkan jika berkunjung dan menjamu selera di sebuah restoran yang terletak di pinggir Gombak.
Bukan sahaja menawarkan pemandangan mendamaikan malah sajian yang disediakan juga pasti mengubat kerinduan masakan emak di kampung terutama bagi mereka yang gemarkan makanan pedas.
Menu gulai lemak cili udang galah, ikan bakar sambal petai, sotong bakar sambal, gulai lemak ikan keli salai, sotong mentega goreng telur masin, lala kam heong, ketam masak cili, sambal terung ikan masin dan sayur bakar sambal (bendi, kacang botol dan petai) antara sajian yang dihidangkan di Restoran Golek-Golek.
Pemilihan sajian ala kampung oleh pemilik restoran, amat bertepatan apabila lokasinya yang sedikit di dalam hutan serta terlindung daripada kebisingan enjin kenderaan dan hiruk-pikuk bandar, menjadikan suasana di restoran amat mendamaikan.
Walaupun perlu mendaki bukit tinggi dengan kecuraman 40 darjah, hati jadi lega setibanya di pintu masuk restoran yang dibina di atas tanah seluas 0.6 hektar.
Pandangan serta merta terpaku dengan suasana di restoran yang seolah berada di laman-laman rumah di kampung.
Itu baharu sahaja gambaran di luarnya, jika menjengah masuk ke dalam kawasan restoran sesiapa sahaja pasti berasa seperti di kampung halaman sendiri dengan sebuah rumah tradisional Melaka tersergam indah dibina di tengah-tengah kawasan restoran tersebut.
Persekitarannya yang dikelilingi pohon-pohon rendang, struktur bangunan yang diperbuat daripada kayu serta batu-bata, selain bahan-bahan pakai dan terbuang yang memberi satu kelainan.
Menurut pemiliknya, Norhayati Mohd. Fauzi, 36, dia mengusahakan restoran itu bersama suami dan beberapa ahli keluarganya yang lain sejak lebih tiga tahun lalu.
Bermula dengan hanya mengajak teman-teman rapat menjamu selera pada hujung minggu, Norhayati tidak menyangka restoran yang diusahakan itu mendapat sambutan daripada orang ramai walaupun dibuka sekadar suka-suka.
Pada awalnya, tidak banyak pilihan menu dihidangkan kepada pelanggan kerana hanya menyediakan menu yang menjadi kegemaran mereka sekeluarga, seperti ikan bakar tiga sambal dan gulai lemak udang galah, malah hanya dibuka pada tiga hari iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula pukul 6 petang hingga 12 malam.
“Saya tidak menghebohkan tentang restoran ini kerana bimbang ramai orang akan datang sedangkan waktu itu hanya saya yang memasak dan adik-adik membantu.
“Menu juga hanya ada beberapa jenis sahaja, iaitu apa yang menjadi kegemaran kami sekeluarga dan operasi kami bermula pada bulan puasa ketika itu,” katanya.
Bermula dengan hanya ruang makan yang terhad, kini restoran itu mampu memuatkan kira-kira 300 pelanggan pada satu-satu masa dengan terdapat beberapa pilihan ruang makan yang disediakan, antaranya di pondok, anjung, grand ballroom lobi, calet, rumah pokok, kawasan terbuka dan dewan.
Menurut Norhayati, paling mendapat perhatian ialah menjamu selera di rumah tradisional Melaka yang berusia ratusan tahun, menyediakan ruang makan klasik dengan berlatarbelakangkan seperti di rumah kampung.
Mata pasti akan terarah pada hiasan lama seperti tempayan, congkak, replika kapal serta bingkai-bingkai gambar lama, malah jeriji besi bercorak bunga sangat membangkitkan suasana rumah lama itu.
Menurut Norhayati rumah itu dibeli oleh suaminya yang merupakan novelis terkenal, Ahadiat Akashah, dari Melaka dan dibawa ke situ yang kemudian dipasang semula oleh lebih 20 orang.
“Suami saya sangat gemarkan barang-barang antik dan ketika memasang rumah ini yang menggunakan pasak bukan mudah.
“Namun, selepas siap dipasang hasilnya sangat memuaskan hati, malah tangga rumah tradisional ini sering menjadi tumpuan pengunjung untuk mengabdikan kenangan,” katanya.
Menurut Norhayati, lebih 25 jenis sajian disediakan di restoran berkenaan yang mana kesemuanya disediakan sendiri, malah resipinya juga diolah istimewa.
Tidak mengambil mudah serta mahu pelanggan menikmati hidangan yang enak dan segar, dia memberitahu akan menyediakan semua bahan-bahan masakan sendiri setiap hari dengan bekalan ikan dan makanan laut segar diambil khas daripada pembekal.
“Di sini kita hanya menggunakan tiga jenis ikan bakar iaitu siakap, sebelah nabi dan pari manakala untuk makanan laut kita sediakan sotong, udang, lala, ketam dan kerang.
“Kita membakar guna arang dan tiga jenis sambal akan diletakkan di atas setiap sajian yang mana resipi khas saya cipta sendiri. Sajian ini yang paling digemari pelanggan kerana rasanya yang unik dan paling penting menepati lidah penggemar makanan pedas,” akuinya.
Selain itu hidangan paling istimewa pula ialah masak lemak cili api keli salai yang mana Norhayati memaklumkan ikan keli itu disalai sendiri oleh suaminya yang mengambil masa tiga hingga empat jam sehari dan bukannya dibeli siap daripada mana-mana kedai.
“Suami saya amat cerewet daripada segi rasa sebab itu dia menyalai ikan itu sendiri walaupun terpaksa meluangkan banyak masa di dapur untuk membuat kerja-kerja salai itu sendirian, namun rasanya amat sedap.
“Dari segi harga pula, makanan bermula serendah RM6 sehingga RM38 sepinggan mengikut sajian satu pinggan termasuk makanan laut dan ikan,” katanya.
Pun begitu, bagi memberi pilihan kepada pengunjung, tidak hanya menyediakan hidangan ala kampung, Restoran Golek-Golek turut menghidangkan variasi makanan barat seperti beef steek, lamb chop, burger dan fish n chip bagi mereka yang mahukan pilihan berbeza.
Bagi pilihan minuman pula, air jus kedondong antara minuman istimewa yang ditawarkan kepada pelanggan yang disediakan di dalam gelas besar atau jag.
Selain ruang makan yang selesa terdapat kemudahan lain disediakan seperti surau dan tandas, selain ruang santai.
Pada waktu malam pula, kawasan tersebut dikelilingi cahaya lampu kuning sangat indah, sesuai untuk diadakan lokasi bagi majlis perkahwinan, sambutan hari lahir, perjumpaan dan acara-acara istimewa bersama rakan-rakan atau insan tersayang.
Bagi mereka yang ingin menempah atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Norhayati di talian 017-407 007) atau layari di Facebook Restoran Golek-Golek Suasana Kampung serta boleh terus berkunjung terus di Lot 2074, Lingkaran Tengah Dua (MRR2), Kilometer 10, Kampung Gombak Tambahan, Gombak.

Thursday, February 26, 2015

DAPUR APAM BALIK

Apam balik atau juga dikenali sebagai apom balik, merupakan sejenis kuih tradisional yang sesuai dimakan pada waktu pagi dan petang secara bersantai. Ia merupakan sejenis kuih apam berkulit tebal yang dibakar dengan lapisan mentega dan ditaburi inti kacang dan jagung di atasnya dan kemudian dilipat dua.
Bahan tepungnya dicampur dengan air soda dan serbuk penaik ibu roti, dimasak di atas belanga tembaga dan dimaniskan dengan taburan gula kasar, kisaran kacang tanah goreng, mentega dan bahan penambah perisa lain yang sesuai.
Kini perusahaan apam balik mini sedang meningkat maju dengan inovasinya yang sangat menarik, terdapat ramai pengusaha apam balik muncul dengan cita rasa masing masing. Tahukah anda? Apam balik mini sebenarnya dapat memberikan pulangan yang besar jika kita mengolah, berinovasi dan sungguh-sungguh menjalankan perniagaan ini.
Dapur apam balik sememangnya mudah untuk didapati di pasaran luar tetapi ramai yang tahu bahawa dapur apam balik yang jual itu semuanya menggunakan konsep dapur gas dan tidak sesuai untuk jualan di dalam bangunan yang mempunyai pendingin hawa.
Setelah dikenal pasti masalah yang dihadapi oleh pelanggan yang inginkan jualan mereka di dalam bangunan yang berhawa dingin, Zull Design Autotronic (ZDA) telah menemui cara baharu untuk mencapai hasrat pelanggan tersebut.
ZDA telah menghasilkan dapur elektrik apam balik yang mudah digunakan di kawasan pasar malam atau di dalam bangunan yang berhawa dingin. Dapur elektrik apam balik ini bukan sahaja mudah digunakan malah lebih selamat berbanding menggunakan gas.
Sebagaimana diketahui, mereka yang berminat menggunakan dapur berkenaan khususnya peniaga apam balik, bolehlah menghubungi ZDA bagi menyatakan hasrat tersebut memandangkan konsep perniagaan ZDA adalah berdasarkan tempahan atau permintaan pelanggan.
Perbincangan perlu ada supaya mereka yang membuat tempahan dapat berbincang dengan ZDA dan syarikat boleh mereka cipta mesin tersebut mengikut keperluan dan kehendak mereka sendiri.
Ini dapat membantu pengguna menempah mesin yang diperlukan mengikut kemampuan dan spesifikasi yang dikehendaki serta mengelakkan sebarang masalah timbul kemudian hari.
ZDA mengutamakan kepuasan pelanggan dan sebarang mesin yang dihasilkan dapat membawa faedah kepada perniagaan mereka.
Jika terdapat sebarang pertanyaan dan tempahan atau maklumat lebih lanjut. Hubungi Zull Design Autotronic (ZDA) Hari Isnin - Jumaat. Masa: Pukul 9 pagi hingga 5.30 petang (waktu pejabat sahaja). Talian: 03-6092 1928, 012- 733 2066, faksimile 03-6091 4000. E-mel: mail@zulldesign. com.my atau layari laman web ZDA iaitu www. zulldesign.com.my

150,000 DIJANGKA KUNJUNGI FESTIVAL LAYANG-LAYANG

PASIR GUDANG 25 Feb. - Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang Ke-20 yang diadakan selama lima hari bermula hari ini dijangka menarik kehadiran kira-kira 150,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Pengerusi jawatankuasa penganjur, Md. Za'nal Misran berkata, festival kali ini membawakan tema 'Mencorak Keharmonian' yang bermaksud membina jambatan kepada persahabatan yang kukuh sesama peserta dan para pengunjung.
Kata beliau, lebih 250 peserta antarabangsa dari lebih 50 buah negara termasuk Poland, Romania, Scotland, Myanmar, Mongolia, Maghribi dan Liechtenstein akan menyertai festival ini.
"Festival layang-layang ini juga merupakan salah satu daripada acara yang terdapat di dalam kalendar pelancongan negara sempena Tahun Festival Malaysia 2015 (MyFest 2015).
"Majlis perasmian festival akan disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Jumaat ini," katanya yang ditemui semasa melawat tapak festival bertempat di Bukit Layang-Layang Pasir Gudang di sini.
Pelbagai acara menarik disediakan sempena majlis perasmian yang diadakan pada sebelah malam seperti persembahan layang-layang berlampu, persembahan aksi lagak ngeri Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta pertunjukan bunga api.
Md. Za'nal yang juga Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) berkata, masyarakat khususnya warga bandar raya Johor Bahru dan kawasan sekitar dijemput hadir bagi memeriahkan lagi festival yang sinonim dengan Pasir Gudang ini.
“Festival layang-layang ini merupakan anjuran kerajaan negeri melalui MPPG dan Jabatan Pelancongan negeri dengan usaha sama Majlis Pelayang Malaysia dan Persatuan Pelayang Johor,” katanya.
Antara aktiviti yang disediakan termasuklah pertandingan wau tradisi, bengkel membuat wau, pertandingan mewarna, persembahan kebudayaan, persembahan artis popular serta pelbagai gerai jualan.

NASI AYAM PAK HJ. YA- KUAH, LANGKAWI


RESTORAN Pak Hj. Ya Nasi Ayam terletak di Pekan Kuah, Langkawi.


SUASANA luar restoran kelihatan seperti salah sebuah kedai nasi ayam yang biasa dilihat di sekitar pekan Kuah, Langkawi, Kedah.
Bermula dengan perniagaan gerai secara kecil-kecilan, Zakaria Abdon, 56, mungkin boleh berbangga dengan pencapaiannya hari ini.
Perniagaan yang dahulunya dijalankan secara kecil-kecilan itu kini berkembang menjadi sebuah restoran.
Apa yang boleh dikatakan, Restoran Pak Hj. Ya Nasi Ayam bukan sahaja dikenali dalam kalangan penduduk tempatan, bahkan para pelancong di Pulau Legenda itu.
Menurut Zakaria atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Ya, antara keistimewaan nasi ayamnya ialah resipinya.
Pak Ya mula berniaga secara kecil-kecilan di sebuah gerai tidak jauh dari restoran tersebut sejak tahun 1994.
“Resipi nasi ayam ini merupakan resipi warisan. Ayam digoreng garing dan dihidangkan bersama kicap serta hirisan sayur kubis,” katanya ketika ditemui di restorannya baru-baru ini.
Tambahnya, hidangan ringkas iaitu nasi bersama ayam goreng, sos dan sup panas menjadi kegemaran pelanggannya.
“Ramai yang sukakan ayam goreng kerana sebelum digoreng garing, ia diperap bersama sos istimewa,” jelasnya.
Menurut Pak Ya, harga satu set nasi ayam ialah RM4.50.
“Selain itu, kami akan memastikan kualiti makanan, premis bersih dan berkeadaan baik bagi memastikan setiap pelanggan berpuas hati,” katanya.
Ujarnya, seramai 25 pekerja membantu di restorannya yang kini mampu memuatkan seramai 300 pelanggan.
“Kami rekodkan kira-kira 1,000 bungkusan nasi ayam setiap hari dan 800 pinggan bagi pesanan di restoran,” ujarnya yang memberitahu, sebanyak 100 ekor ayam digoreng setiap hari bagi memenuhi permintaan tersebut.
Tambah Pak Ya, pada masa hadapan, beliau bercadang untuk membuka sebuah cawangan di kawasan Pantai Chenang.
Sementara itu, salah seorang pelanggan tetapnya, Mohamad Zamri Abdul Mutalib, 29, memilih restoran itu sebagai salah sebuah restoran kegemaran keluarganya.
“Sudah lapan tahun saya dan isteri menjamu selera di restoran ini dan nasi ayam yang lazat ini sememangnya menjadi pilihan kami sekeluarga,” ujarnya.

Wednesday, February 18, 2015

PENAMBAKAN FOREST CITY BERMULA

  • Penambakan Forest City bermula
 1 / 1 
JOHOR BAHRU – Kerja penambakan bagi pembangunan Forest City di Mukim Tanjung Kupang, Gelang Patah, di sini akan dimulakan selepas sambutan Tahun Baru Cina ini.

Pengarah Eksekutif Country Garden Pacific View Sdn Bhd, Datuk Md Othman Yusof berkata, projek pembangunan perdagangan bercampur itu akan dilaksanakan secara berperingkat iaitu fasa pertama melibatkan kawasan seluas 80 hektar.

“Kita akan memulakan projek ini pada kadar segera selepas ia dimuktamadkan dengan pengecilan projek 30 peratus daripada perancangan asal yang telah mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar, bulan lalu.

“Kita agak optimis menyiapkan pembangunan pertama yang akan menempatkan ‘show vilage’ (ruang pameran dan jualan) dalam tempoh setahun susulan kejayaan kita membangunkan projek di Country Garden Danga Bay dalam tempoh enam bulan sahaja,” katanya sesi taklimat bersama media di sini, semalam.

Md Othman berkata pembangunan itu memenuhi semua syarat wajib yang ditetapkan dari segi udara, bunyi , kualiti air dan sedimen sekali gus memastikan pembinaan bandar Metropolis atas air seluas 1386 hektar itu tidak memberi kesan yang besar kepada eko-sistem.

“Kita akan member penekanan khusus pada memulihara kawasan persekitaran malah ia mengekalkan rumput laut  yang ada di Pulau Merambong di sempadan Malaysia-Singapura dengan dana RM3.5 juta bagi tujuan ini.

“Kita bagaikan membina sebuah hutan di atas disebuah pulau dengan menanam semula pokok bakau dan menjadi keutamaan  kami untuk meminimumkan kesan selain  memastikan bahawa ekologi sekitar terjaga dengan baik," katanya.

Projek yang dinamakan Forest City melibatkan pembinaan empat buah pulau buatan manusia di perairan Tanjung Kupang antara barat daya Johor dan barat laut Singapura dibangunkan secara usahasama antara pemaju terbesar dari China, Country Garden Holdings.

SOTONG CELUP TEPUNG KAK SU CORNER-BATU BURUK

  • Sotong celup tepung
 1 / 1 
PELANCONG tempatan mahupun luar negara yang berkunjung ke Terengganu pasti mencuba sotong celup tepung yang memang terkenal di negeri ini bagaimanapun, mereka perlu bijak cari sotong yang segar bagi mengelak ditipu peniaga.

Bagi Suriani Zainal Abidin, 42, sotong celup tepung yang dijual di kedai makannya di Medan Selera Batu Buruk, Kak Su Corner lain daripada yang lain kerana sotong celup tepungnya itu tidak dipamerkan sebaliknya ia digoreng berdasarkan permintaan pelanggan.

“Kak Su mementingkan kualiti dan rasa serta kebersihan. Sotong yang digoreng memang sotong besar.. segar dan biasanya bila pelanggan mahu baru kita goreng supaya mereka dapat menikmati sajian yang segar dan masih panas.

“Sejak berniaga di sini tiga tahun lalu memang begitulah cara saya menjual sotong celup tepung, bila pelanggan mahu baru kita goreng dan dijual pada harga RM7 sepinggan” katanya.

Menurutnya, Kak Su Corner dibuka pada setiap hari kecuali Isnin dan beroperasi dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Suriani berkata, pada musim cuti sekolah atau musim cuti sempena perayaan memang ramai pelancong sama ada tempatan dan luar negara singgah ke situ untuk menikmati menu wajib negeri ini.

“Kebanyakan mereka akan memesan sotong celup tepung tidak kira waktu.. sama ada untuk dimakan pada waktu petang atau tengah hari,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah sotong yang terjual dalam sehari, dia berkata jumlah sebenar tidak dapat diagak kerana ia dibuat berdasarkan permintaan pelanggan.

“Kalau nak kata berapa kilogram sotong dijual dalam sebulan atau seminggu, saya tidak dapat agak kerana ia dibuat berdasarkan permintaan pelanggan. Cuma, saya boleh kata jika musim cuti, permintaan agak tinggi berbanding hari biasa.

RESEPI WARISAN MEDAN SELERA


FAIZAH menunjukkan perbezaan muka hadapan buku terbaharu, Medan 
Selera Odyssey (kiri) dan Nostalgia Medan Selera yang diterbitkan tiga tahun lalu.


BAGI Faizah Aziz-Wells, 66, resipi turun-temurun keluarganya merupakan satu khazanah yang sangat bernilai dan tiada galang gantinya.
Dia amat mengagumi usaha datuknya, Allahyarham Ahmad Yaakub Al-Johori yang merupakan seorang cef terkenal Istana Besar, Johor Bahru, Johor sekitar tahun 1950-an.
Selain menyandang jawatan sebagai Pemeriksa Sekolah-Sekolah Agama, Ahmad juga merupakan seorang penulis buku agama ketika itu dan tulisannya cenderung kepada bidang masakan. Walaupun sibuk dengan tugasan hakiki, Ahmad sempat menulis buku resipi hidangan tradisional Johor.
“Pada tahun 1958, datuk saya menerbitkan dua buah buku resipi bertajuk Medan Selera dan
Hidangan Terpilih. Resipi dalam buku itu diterbitkan untuk dijadikan panduan kepada katerer. Ketika itu, tidak ramai masyarakat Melayu yang menceburi bidang penyediaan makanan. Datuk saya mahu berkongsi kemahirannya dalam bidang masakan agar masyarakat Melayu terdedah dalam perniagaan itu,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Jelas Faizah, sebanyak 160 resipi terpilih dimuatkan dalam naskhah hasil nukilan dalam bahasa jawi itu.
Resipi Ahmad popular dalam kalangan penggemar masakan tradisional Johor, Arab, Jawa, Cina, India, Peranakan dan orang Inggeris sejak awal tahun 1950-an.
Buku Medan Selera melalui fasa perubahan sejak ia diterbitkan 57 tahun lalu. Buku tersebut diulang cetak sebanyak enam edisi dengan muka depan berbeza dan sedikit penambahan tajuk. Namun, resipi dalam setiap edisi tidak berubah dan keaslian kandungannya masih terpelihara.
Buku Medan Selera edisi kedua, ketiga dan keempat ditulis dalam bahasa Melayu oleh anak Ahmad iaitu Allahyarham Khadijah Ahmad sekitar tahun 1970-an dan 1980-an. Khadijah menggabungkan kedua-dua buku terdahulu iaitu Medan Selera dan Hidangan Terpilih menjadi satu dan ditulis dalam bahasa Melayu sepenuhnya.
Generasi kelapan
Faizah bersama Mariam Ashaari Becker, Halimah Ashari, Faridah Abdul Aziz, Hamidah Ashari, Habibah Ashari dan Mohd. Zakir Mohd. Zahir merupakan waris
generasi kelapan keluarga Muhammad Muin Al-Johori memikul tanggungjawab menerbitkan edisi keenam buku itu. Tampil dengan judul Nostalgia Medan Selera, resipi-resipi asal kebanyakannya dikekalkan. Naskhah tersebut mula dijual di pasaran sejak tahun 2012.
Menurut Faizah, Al-Johori pada hujung nama moyangnya itu bermaksud berasal dari Johor.

SEBANYAK tujuh edisi buku Medan Selera telah diterbitkan dan
 dijual di pasaran sejak 57 tahun lalu.


Terbaharu, Faizah bersama adik dan empat sepupunya menerbitkan edisi ketujuh buku itu dengan judul Medan Selera Odyssey: The Al-Johori Culinary Legacy (Medan Selera Odyssey). Naskhah tersebut mula dijual di pasaran pada bulan hadapan.
“Kami berenam telah menterjemah resipi daripada buku Medan Selera kepada bahasa Inggeris. Ia merupakan strategi kami sekeluarga untuk memasarkan buku ini ke luar negara. Walaupun tiga daripada penulis berada di luar negara sewaktu proses penulisan, jaringan internet memudahkan kami untuk berkomunikasi dan menyiapkan buku ini.
“Daripada 160 resipi dalam buku edisi asal, kami hanya mengambil 85 resipi untuk dimuatkan dalam Medan Selera Odyssey. Keluarga kami mempunyai ikatan kekeluargaan yang erat. Setakat ini, 11 generasi Muhammad Muin Al-Johori yang terdiri daripada kira-kira 500 ahli keluarga telah mengadakan perjumpaan sebanyak dua kali sejak dua tahun lalu,” ujar pesara pustakawan Institut Jantung Negara itu.
Muhammad Muin merupakan generasi keempat keluarga Faizah dari Sulawesi, Indonesia dan menetap di Kampung Sungai Durian, Johor pada tahun 1880-an.
Resipi-resipi tradisional dari Johor yang dimuatkan dalam buku edisi baharu itu antaranya beriani gam, laksa Johor, soto ayam, botok-botok dan telur pindang.
Menariknya mengenai buku Medan Selera Odyssey, setiap resipi yang dipaparkan mempunyai kisah tersendiri berdasarkan pengalaman Ahmad ketika bergelar seorang cef suatu ketika dahulu.
Ujar Faizah, sebagai contoh, resipi laksa Johor menceritakan mengenai idea moyangnya itu untuk menggunakan spageti berbanding laksa beras.
“Mengikut cerita datuk saya, spageti lebih mudah digunakan untuk hidangan istana. Ia merupakan alternatif pilihan kerana pembuatan laksa daripada beras mengambil masa yang lama. Secara kebetulan, datuk bekerja di Istana Besar dan spageti merupakan bahan yang mudah didapati,” jelasnya.

JNR CARLOS GRILL-TAMAN SRI RAMPAI KL

SUDAH jemu menikmati sajian masakan Barat dan masakan Timur? Inginkan kelainan? Apa kata anda mencuba sajian dari negara Mexico yang unik rasanya.
Makanan Mexico terkenal dengan kepelbagaian cita rasa dan warna. Rasa makananannya juga sedikit pedas dan kaya dengan protein terutamanya jagung, vitamin dan galian.
Tidak ketinggalan, masakan negara tersebut perlu ada pelbagai sayuran seperti cili merah, cili hijau, brokoli, bunga kobis, lobak, ayam dan daging.
Namun, masakan Mexico sebenarnya tidak terlalu jauh berbeza berbanding masakan tempatan tetapi sedikit kering dan masin.
Kebanyakan menu Mexico terkenal kerana keenakan krim dan keju seperti nachos beef, tacos beef, cheese deep dan chips, cream caramel, spaghetti seafood dan tomato sauce serta fettuccini cream dan beef bacon.
Bagi peminat makanan ini, anda mungkin boleh JNR Carlos Grill yang terletak di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur.
Menurut Pengurus JNR Carlos Grill, Tengku Anuar Tuan Nasir, pihaknya telah mengubah resipi tradisional Mexico bagi mempelbagaikan rasanya seiring peredaran zaman.
Kunci kepada masakan Mexico ialah bahan-bahan segar dari pasar yang mudah didapati di bahagian tengah dan selatan negara tersebut.
Oleh itu, Tengku Anuar akan memastikan setiap menu yang dihidangkan di restorannya mempunyai bahan-bahan segar.
Bagi memberi kelainan kepada setiap menu, JNR Carlos akan membuat sendiri bahan-bahan seperti sos dan daging burger.
Bercerita tentang konsep restoran, Tengku Anuar dan rakan-rakan kongsinya memilih dekorasi yang selesa dan ringkas sesuai untuk seisi keluarga menjamu selera.
Ruang yang disediakan juga luas dan pemilihan warna hitam putih memadai untuk sebuah restoran berkonsepkan makanan Barat.
Pun begitu, restoran ini turut menyediakan menu tempatan seperti nasi goreng dan pelbagai jenis ikan masak asam pedas seperti tenggiri, kembung dan pari.
“Kami menyediakan dua konsep menu ala Barat seperti snek dan makanan tengah hari atau malam. Bagi mereka yang bekerja atau mempunyai masa yang terhad pada tengah hari boleh mencuba set makan tengahari segera.
“Di sini anda boleh menikmati makanan Mexico yang halal kerana kebanyakan bahan-bahan seperti sos kami buat sendiri. Ada juga menu yang kami ubah suai mengikut cita rasa tempatan.
“Kami mengalu-alukan mereka yang ingin membuat majlis atau aktiviti sambil menikmati pelbagai jenis masakan Mexico dan tempatan berkunjung ke sini,” katanya yang merancang untuk membuka cawangan restoran kedua nanti.

Saturday, February 14, 2015

BERBEKAM SUNNAH YANG DILUPAKAN

  • Berbekam sunnah yang dilupakan
 1 / 1 
Jika suatu ketika dahulu, kaedah rawatan al-hijamah atau bekam sangat popular untuk merawat penyakit, namun sunnah yang pernah diamalkan Rasulullah SAW ini dilihat semakin dilupakan.
Menurut juru bekam dari Kampung Tengah, di sini, Zul Hafizi Ismail, 28, berkata, kini rawatan berbekam dilihat tidak begitu popular seperti kaedah rawatan lain berikutan ditenggelami arus masa dan perubatan moden.

“Dari apa yang saya lihat, kelebihan dan kebaikan terkandung dalam perkhidmatan rawatan alternatif ini amat jarang diketahui masyarakat kerana bekam boleh menyembuhkan 72 penyakit kecuali mati dengan izin ALLAH SWT.

“Teknik pengubatan bekam adalah suatu proses membuang darah kotor yang mengandungi toksik berbahaya dari dalam tubuh melalui permukaan kulit dan toksin itu sendiri berada hampir pada setiap orang,” katanya.

Menurut lulusan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu lagi, ramai yang takut mencuba rawatan tersebut kerana fobia dengan darah selain dibayangi kaedah torehan menggunakan pisau tajam.

Katanya, dengan melihat sendiri proses rawatan, sekurang-kurangnya ia dapat memberi kesan kepada minda dan persepsi masyarakat agar tidak takut mencuba rawatan alternatif berkenaan.

“Sekiranya, 10 orang yang mencuba rawatan alternatif ini, kebanyakannya memberi maklum balas positif dan selesa dengan pengalaman yang diperoleh selepas berbekam. Kajian juga telah dilakukan bahawa bekam ini mampu mengawal penyakit diabetes.

“Pada masa sama, saya melihat berbekam ini dapat mengurangkan pergantungan ubat-ubatan jika dijalani secara konsisten. Terdapat 13 titik bekam sunnah pada anggota badan yang kesemuanya berfungsi untuk kesejahteraan tubuh badan,” katanya.

Menurutnya, kelebihan mengamalkan bekam menjanjikan kesegaran tubuh badan serta mampu mengembalikan seri wajah kerana darah yang keluar menerusi kulit adalah darah kotor yang sudah lama tersimpan di bawah lapisan kulit.

Friday, February 13, 2015

FESTIVAL LAYANG-LAYANG SEDUNIA TARIK 50 NEGARA

JOHOR BAHRU - Sebanyak 250 peserta luar negara dijangka menyertai Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang ke-20 di Bukit Layang-Layang dan Padang Perbandaran, Pasir Gudang, di sini, mulai 25 Februari hingga 1 Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata para peserta itu dari 50 negara termasuk penyertaan baharu dari Poland, Romania, Slovakia dan Sri Lanka.

"Festival yang disenaraikan dalam kalendar pelancongan Malaysia sempena Malaysia Year Of Festivals 2015 (MyFest 2015) itu akan turut disertai 169 peserta tempatan, 300 pelajar sekolah dan badan-badan korporat," katanya pada majlis prapelancaran dan penyerahan sumbangan oleh penaja festival berkenaan, di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang Md Za'nal Misran dan Presiden Majlis Pelayang Malaysia A.Rahim Nin.

Tee berkata festival itu dianjurkan kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Pasir Gudang dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Johor, Persatuan Pelayang Johor dan Majlis Pelayang Malaysia. Ia dijangka dicatat dalam Malaysia Book of Records sebagai penyertaan terbanyak negara antarabangsa.

Beliau berkata bertemakan 'mencorak keharmonian', festival yang dijangka menarik 200,000 pengunjung juga akan turut menganugerahkan trofi 'Layangkasa' kepada 20 orang pelayang tempatan dan antarabangsa yang memberikan komitmen terhadap penganjuran festival berkenaan selama ini.

Katanya buat julung kali majlis perasmian festival itu akan diadakan pada sebelah malam, 27 Februari depan di Bukit Layang-Layang dengan pelbagai acara menarik disediakan kepada pengunjung termasuk persembahan layang-layang, persembahan tatu oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta pertunjukan bunga api.

Menurut Tee, program lain yang berlangsung sepanjang festival itu termasuk pertandingan membuat wau tradisional, pameran dan bengkel layang-layang.

"Tahun lepas, festival ini hanya disertai 37 negara luar dan penganjuran kali ini adalah seiring dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Johor destinasi pelancongan bernilai tinggi menjelang tahun 2023 selaras Pelan Induk Pelancongan Johor 2014-2023," katanya.

Monday, February 9, 2015

JB-WOODLAND HANYA 5 MINIT

  • JB - Woodlands hanya lima minit
 1 / 1 
JOHOR BAHRU – Singapura menyatakan persetujuan secara dasarnya mengenai cadangan kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Johor menambah perkhidmatan keretapi dari Johor Bahru (JB) ke Woodlands.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, perkara itu disambut baik kerajaan negeri kerana ia sedikit sebanyak bakal mengatasi masalah kesesakan Tambak Johor.

Menurutnya, kerajaan negeri mengalu-alukan agar cadangan berkenaan diperhalusi dan dilaksanakan secepat mungkin memandangkan sudah mendapat persetujuan kedua-dua negara.

“Ini satu berita baik kepada kita kerana ia sedikit sebanyak boleh mengurangkan kesesakan dan bebanan kepada mereka yang berulang-alik bekerja dari JB ke Singapura.

“Pengguna tambak Johor boleh menjimatkan masa dengan kadar bayaran rendah dan masanya hanya lima minit dari Woodlands ke JB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pembangunan Pakej Riadah Warisan Nusantara, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Hishamuddin Mustafa dan Pengarah Tourism Malaysia negeri, Edzuar Zar Ayob Azari.

Siew Kiong berkata, penambahan perkhidmatan keretapi dari JB ke Woodlands itu akan dilaksanakan secara berfasa sehingga 13 trip perjalanan pergi dan balik.

Menurutnya, manfaat itu perlu direbut oleh agensi pelancongan dalam menambah pakej bukan hanya melalui bas sahaja, sebaliknya merasai suasana baharu melalui keretapi dengan hanya lima minit perjalanan.

“Sebelum itu perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) JB ke Woodlands hanya mengadakan lima ‘check point’ sahaja pergi dan balik, kemudian ditambah kepada enam kali pergi dan enam kali balik.

“Kita akan mulakan tujuh kali pergi dan tujuh kali balik secara berfasa sehingga 13 kali pergi dan 13 kali balik dengan kapasiti penumpang seramai 320 orang untuk sekali perjalanan.

“Kita mengharapkan  agensi pelancongan dapat menambahkan pakej menggunakan keretapi untuk memberi pengalaman baharu kepada pelancong,” katanya.

Sunday, February 8, 2015

NY STEAK SHACK-MIDVALLEY MEGAMALL KL

DAPAT menikmati sekeping daging lembu yang dimasak sama ada separa masak atau masak sepenuhnya pasti memberi kepuasan kepada mereka yang meminati sajian Barat.
Ditambah pula dengan sos barbeku, yang begitu sinonim dengan sajian stik, manakala daging yang dimasak pilihan daripada daging segar.
Hari ini, ramai dalam kalangan masyarakat tempatan gemar untuk menikmati sajian Barat tetapi sukar membuat pilihan kerana tidak mengetahui restoran mana yang menyajikan hidangan yang sedap dengan harga berpatutan.
Untuk itu apa kata kunjungi NY Steak Shack dan pilih apa juga hidangan Barat yang menjadi kesukaan anda.
Menurut Pengurus Besarnya, Rayyan Irwan, restoran tersebut yang mula beroperasi Julai tahun lalu menawarkan pelbagai hidangan enak yang boleh dinikmati seisi keluarga.
Tambahnya lagi, dalam usaha menjadikan restoran tersebut sebuah restoran keluarga, pihaknya telah menampilkan pelbagai jenis menu dengan pelbagai jenis masakan termasuklah pencuci mulut.
“Restoran ini sememangnya dibuka sebagai sebuah restoran keluarga dan semua peringkat umur boleh menikmati pelbagai hidangan yang disediakan seperti stik, burger, dan juga pasta.
“Kelebihan yang ditampilkan ialah kepelbagaian cara masakan yang pasti memenuhi cita rasa masyarakat tempatan.
“Selain itu, kami turut mengolah kembali resipi-resipi sedia ada untuk disesuaikan dengan selera rakyat Malaysia,” ujarnya ketika ditemui di NY Steak Shack Midvalley Megamall, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut mengenai restoran tersebut, kata Rayyan, pihaknya kini sedang menunggu sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menawarkan 12 pilihan masakan yang berbeza,, harga yang ditawarkan adalah serendah RM12.90 hingga RM35.90.
Dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, NY Steak Shack, Midvalley Megamall boleh memuatkan seramai 110 pelanggan pada satu-satu masa.
Memberitahu bahan-bahan mentah ada yang diimport dan juga tempatan, Rayyan menjelaskan kesemua hidangan dimasak oleh chef yang cukup berpengalaman dalam masakan Barat.
Selain menyediakan hidangan daging segar, restorannya turut mengamalkan penelitian kualiti masakan di peringkat maksimum supaya pelanggan dapat menikmati kelazatan sebenar hidangan.
“Kesemua bahan mentah daging kami diimport dari Australia, ayam pula diperoleh daripada pengedar tempatan manakala ikan pula dari Vietnam.
“Yang pasti kesemua bahan-bahan ini terutama sekali yang diimport adalah halal dan sudah pasti kami amat menitikberatkan soal tersebut,” katanya lagi.
Oleh yang demikian, baik kepada mereka yang meminati daging lembu atau pun daging ayam, di sinilah tempatnya untuk anda mencuba sesuatu yang baharu.
Pastinya tidak mengecewakan, NY Steak Shack menyajikan sajian yang terbaik buat para pelanggannya dengan pelbagai jenis hidangan.

KEDAI MAKAN RM 2 DI SINTOK DAPAT SAMBUTAN

KEDAI makan RM2 milik Rohaya Md. Desa dikunjungi orang ramai di

Cuma pada harga RM2, pelanggan boleh menikmati pelbagai jenis makanan termasuk nasi berlauk dan semangkuk mi di sebuah kedai makan Kampung Changhai, Jalan Sintok Lama, dekat sini.

Di kedai yang dinamakan Kedai Makan RM2 itu juga, minuman hanya dijual pada harga 50 sen sehingga RM1 segelas sekali gus menjadikan kedai tersebut tumpuan pelbagai lapisan masyarakat sejak dibuka pada Disember tahun lepas.

Pemilik kedai, Rohaya Md. Desa, 44, berkata, dia menjual pelbagai jenis makanan seperti nasi ayam, nasi goreng, pulut ayam, bihun sup, laksa, mi goreng, mi rebus dan kuetiau goreng dengan harga RM2 setiap pinggan.

“Minuman pula dijual pada harga RM1 manakala kopi O dan teh O panas boleh didapati pada harga 50 sen,” katanya ketika ditemui di kedainya hari ini.

Menurut Rohaya, pada mulanya dia agak bimbang akan mengalami kerugian kerana menjual pada harga murah apatah lagi dengan kenaikan harga barang yang tidak menentu sebelum ini.

“Saya lebih suka dikenali sebagai kedai makan yang menawarkan harga murah kerana niat saya berniaga adalah untuk membantu golongan tidak berkemampuan.

“Saya berpuas hati dengan apa yang diusahakan berhasil dan menganggap ini sebagai permulaan baik apabila kedai dikunjungi ramai pelanggan.

“Sebelum ini saya pernah membuka pelbagai jenis perniagaan, terutamanya kedai pakaian yang saya usahakan 13 tahun lalu kerana pada masa itu negara ditimpa kegawatan ekonomi pada 1998,” katanya.

Friday, February 6, 2015

BATU TERAPUNG TARIKAN MUZIUM BUGIS

  • Batu terapung tarikan Muzium Bugis
 1 / 2 
PONTIAN - Sukar dipercayai batu seberat hampir dua kilogram (kg) terapung dalam air.

Namun, itulah yang berlaku pada sebiji batu yang diletakkan dalam akuarium di Muzium Bugis.

Pemilik barang pameran di Muzium Bugis, Abdullah Ahmad berkata, batu tersebut menjadi tarikan utama pelawat ke muzium yang mempunyai kira-kira 2,000 barang pameran berkaitan kebudayaan masyarakat Bugis.

Menceritakan asal usul batu tersebut, jelasnya ia ditemui rakannya ketika sedang 'melanggai' udang di sekitar Sungai Rambah, kira-kira lima tahun lalu.

“Pada awalnya, saya juga tidak percaya dengan cerita rakan yang mendakwa batu tersebut boleh terapung dalam air.

“Akhirnya rakan saya membuktikan batu tersebut sememangnya terapung apabila direndam dalam air,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, walaupun banyak persoalan daripada pengunjung mengenai batu yang disifatkan aneh itu, namun rata-rata mereka mengagumi kejadian tersebut yang disifatkan sebagai kebesaran Ilahi.

Abdullah mengakui jarang sekali dapat melihat batu terapung di dalam air, ditambah batu aneh ini agak berat namun ia tidak tenggelam.

“Saya hanya menggunakan air tawar biasa dan tidak mencampurkan sebarang bahan kimia yang boleh menyebabkan batu tersebut terapung,” katanya.

Abdullah  berkata, dia berniat untuk menyimpan batu tersebut walaupun ada antara pengunjung yang mahu membeli dengan menawarkan harga yang tinggi.

Menurutnya, dia tidak berniat menjualnya kerana baginya ia pasti ada maksud tersendiri.

“Ini batu terapung yang pertama ditemui sepanjang saya mengumpul barang artifak sejak sejak 1978,” katanya
.