BANNER KEMANGI

BANNER KEMANGI

FACILITIES

FACILITIES

Thursday, December 29, 2011

RASAI KEUNIKAN MAKANAN JOHOR

Harian Metro: Khamis 29 Desember 2011

SEJARAH makanan Melayu Johor bermula sejak abad ke-15 dengan kemasukan pengaruh dari Timur Tengah dan Asia.
Gabungan pelbagai budaya menjana era baru dalam masakan Johor seperti botok-botok, laksa Johor, mi rebus Johor, kacang Pool, beriani gam, mi bandung Muar, burasak, soto Johor, lontong kering dan lodeh asam pedas. 
Antara yang cukup popular ialah laksa Johor iaitu gabungan nyonya, bugis dan jawa.

Apabila bercerita mengenai masakan Johor, pasti ramai yang mengidamkan rasa hidangan yang pasti memukau hati.
Justeru, Tourism Malaysia Johor mengadakan Program Johor Food Trail bagi memberi peluang media dan orang ramai menikmati keenakan makanan Johor.

Makanan Johor pertama dihidangkan dalam jelajah itu ialah Laksa Johor. Walaupun namanya sama dengan laksa Pulau Pinang, ia berbeza dari segi rasanya selain menggunakan spageti. Selepas Laksa Johor, kami meneruskan pencarian dengan hidangan minum petang, tauhu goreng. Warung Saga yang dibuka pada 1986, antara lokasi tauhu goreng paling popular di Johor kerana resipinya diwarisi sejak tiga generasi. Kuahnya paling sedap dan membezakan tauhu goreng di tempat lain.

Untuk makan malam sempena program Johor Food Trail, kami dihidangkan makanan Arab iaitu Nasi Maqlubah.
Nasi Maqlubah atau nasi terbalik adalah makanan yang cukup popular di Jordan. Ia dimasak tanpa menggunakan minyak sapi. Apa yang menarik mengenai nasi Maqlubah di D’Buluh Cafe, Taman Merdeka itu ialah ialah nasinya di masak menggunakan rempah berlainan.

Pencarian diteruskan dan kami dijamu dengan Mi Rebus Hj Wahid di Plaza Angsana.
Kuahnya campuran pelbagai bahan iaitu kentang, serbuk kari, air, kacang soya masin, udang kering dan kacang tanah.

Hari kedua Johor Food Trail, kami menikmati sarapan Kacang Pool Medan Selera Lakin Bomba. Kacang Pool adalah satu lagi hidangan atau menu Arab yang diolah dan memenuhi cita rasa Melayu dan jawa. Hidangan kacang pool ini menggunakan kacang parang dan dimasak dengan campuran daging serta campuran rempah ratus yang dihasil sendiri pemiliknya, Makpol Kairon, 51, atau Haji Kacang Pool. Selain Kacang Pool, rojak buah, tauhu bakar, roti goreng dan nasi lemak membuatkan permulaan hari anda lebih bermakna.

Kami meneruskan perjalanan ke Homestay Kampung Seri Paya sebelum singgah untuk menikmati hidangan Otak-Otak Kempas. Terletak di Jalan Denai Utama, Kempas Baru, Otak-Otak Kempas ini sangat popular kerana ia menyediakan pelbagai jenis perisa.

Di Homestay Kampung Seri Paya, selain merasai sendiri kehidupan desa, kami dihidangkan pelbagai hidangan istimewa kampung terutama makanan jawa antaranya Asam Pedas Johor, Pecal Lele, Sambal Goreng dan Botok-botok.
Sesuatu yang menarik dihidangkan kepada kami ialah Nasi Ambeng iaitu makanan tradisional masyarakat jawa.

PENYELARASAN CUKAI, PCB DAN ZAKAT

Antara persoalan yang perlu dikupas demi kebaikan semua orang ialah, mengenai pelarasan zakat dan cukai yang akan dinikmati oleh seseorang individu muslim yang menunaikan zakat.
Soalannya mudah sahaja, misalnya sejauh manakah seseorang itu berhak mendapat rebat atau pengurangan cukai implikasi zakat yang ditunaikan?

Sebahagian daripada jumlah cukai atau sepenuhnya atau ada peratusan tertentu yang layak? Bagaimana pula mekanisme pelarasan dilaksanakan?
Apakah pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengiktiraf pelarasan ini dan bagaimana mereka tahu seseorang itu sudah berzakat? Berapa tahun kebelakangkah atau tempoh masa yang diizinkan? Dan banyak lagi soalan yang konotasinya hanya satu: Saya menginginkan rebat ke atas cukai saya hasil zakat yang saya lunaskan. Sebelum saya mengupas isu ini secara terperinci, berikut dipaparkan petikan Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3):

"Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis".
Baiklah, selanjutnya sejauh manakah seseorang berhak mendapatkan rebat ke atas cukainya? Dalam hal ini, sesuatu yang wajib diketahui, pembayaran zakat hanya diberikan rebat oleh LHDN berdasarkan tarikh resit zakat yang dibayar di dalam tahun taksiran cukai pendapatan.
Ia bermakna, jika seseorang itu membayar zakat pada tahun taksiran 2009, maknanya rebat akan diberikan pada tahun berkenaan sahaja. Tiada istilah boleh patah-balik bagi mengira zakat yang telah dilunasi pada tahun-tahun terdahulu.

Oleh itu, apa yang penting ialah tarikh zakat dibayar; bukannya tarikh haul. Jika tarikh haul seseorang sudah berlalu, katakanlah seseorang itu membayar zakat bagi haul tahun 2008 (dalam tahun 2009), maka di atas resit akan tertulis 'haul zakat 2008'; namun ia sebenarnya hanya akan dikira untuk rebat pada tahun 2009 sahaja.

Seterusnya, berapakah jumlah yang diizinkan oleh pihak LHDN untuk dibuat potongan atau rebat? Menurut ACP 1967, Seksyen 6A (3) di atas, tidak disebutkan jumlah amaun yang tertentu atau batas amaun yang tertentu.
Ini bermakna, selagi mana pembayaran itu dibuat atas nama pembayaran yang wajib di sisi agama - dalam konteks ini ialah zakat - maka ia masih dikira layak untuk memperoleh rebat ke atas cukai. Jelasnya, tiada sebarang limitasi ke atas pembayaran zakat ini.
Walau bagaimanapun, timbul isu apabila seseorang memberikan zakat dalam amaun yang besar berbanding pendapatannya. Harus diingat, kadar zakat hanyalah dalam batas 2.5 peratus sahaja (atau 1/40).

Maka seandainya seseorang itu memberikan jumlah zakat yang lebih besar, maka akan timbul pertanyaan di pihak LHDN, adakah sebenarnya pendapatan seseorang itu adalah lebih besar berbanding apa yang diisytiharkan di dalam borang taksiran cukai (BE).
Maka, di sini pihak pembayar zakat sewajarnya bijaksana menggunakan keluwesan akta yang meletakkan 'bayaran wajib' bagi menunaikan lain-lain zakat dan tidak semestinya hanya terbatas kepada zakat pendapatan sahaja.

Mereka boleh misalnya menunaikan zakat harta yang lain seperti zakat emas, saham, wang simpanan, zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja hatta qada zakat terdahulu ke dalam bayaran zakat menerusi 'potongan zakat pendapatan' semasa. Ini semua adalah bayaran wajib yang melayakkan mereka memperolehi rebat ke atas cukai pendapatan mereka.
Di samping itu, apabila seseorang itu sudah menunaikan zakat maka mereka perlu menyimpan dengan baik dan selamat segala bukti pembayaran zakat, sama ada resit bayaran zakat fitrah mahu pun penyata zakat tahunan.

Ini adalah bukti yang wajib dikemukakan kepada pihak LHDN kelak, apabila diminta berbuat demikian. Kegagalan berbuat demikian boleh menimbulkan masalah, kerana deklarasi yang dibuat tidak dapat dibuktikan.
Walau bagaimanapun, seandainya resit sudah rosak, maka pembayar zakat masih boleh memohon salinan baharu daripada pihak institusi zakat.
Contoh rebat ke atas cukai pendapatan Encik X pada tahun 2009:

Cukai patut dibayar RM5,000
Zakat pendapatan RM1,200
Zakat wang simpanan RM1,800
Qada Zakat RM1,000
Baki cukai perlu dibayar RM1,000

Sekarang, mari kita lihat pula apakah kesan pelarasan zakat dan cukai, khususnya bagi mereka yang terlibat dalam Potongan Cukai Berjadual (PCB).
Mengikut Warta Kerajaan bertarikh 1 Januari 2001 berkenaan dengan kaedah-kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) (Pindaan) 2000 dan berkuatkuasa mulai Januari 2001, apabila seseorang pekerja telah membuat bayaran zakat kepada pihak berkuasa zakat, maka majikan boleh membuat penyesuaian (pelarasan) kepada PCB yang harus dipotong setelah melihat bukti tentang bayaran zakat tersebut.

Keputusan ini memberi implikasi yang sangat besar kepada amalan zakat di Malaysia, kerana setiap orang Islam yang menunaikan zakat khususnya menerusi Skim Potongan Gaji (SPG) dan mereka juga dikenakan PCB, maka mereka berhak mendapatkan pelarasan ini secara automatik.

Contoh 1: Kesan pelarasan PCB - Zakat (SPG) Encik Y bagi Januari 2009
PCB bagi Januari 2009 RM100
SPG bagi Januari 2009 RM70
Baki PCB yang perlu dipotong RM30

Contoh 2: Kesan pelarasan PCB - Zakat (SPG) Encik Z bagi Februari 2009
PCB bagi Februari 2009 RM100
SPG bagi Februari 2009 RM60
Baki PCB yang perlu dipotong RM40

Apa yang lebih menarik, dalam kes Contoh 2 di atas, lebihan zakat (SPG) sebanyak RM40 berhak untuk dibawa ke bulan hadapan. Bagaimanapun, pelarasan sedemikian hanya tertakluk kepada tahun semasa sahaja, yakni tidak boleh dibawa sehingga melewati ke tahun berikutnya.
Dalam kes pelarasan di antara SPG dan PCB ini, para pekerja muslim sebenarnya berhak memohon pelarasan agar dilakukan oleh pihak majikan, sama ada majikan awam ataupun swasta. Namun, ia tertakluk kepada kesediaan majikan itu sendiri.

Pelaksanaan pelarasan ini juga amat memudahkan mereka, kerana tidak lagi perlu menunggu sehingga ke tahun berikutnya bagi memperolehi pelarasan di antara cukai dan zakat daripada LHDN.
Untuk kemudahan, institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) membina gerbang khas bagi semua pembayar zakat dan juga majikan yang menjalankan pembayaran zakat termasuklah melalui potongan gaji, bagi tujuan semakan dan sebagainya. Hanya klik di www.e-zakat.com.my/ (klik banner e-zakat pay dan seterusnya klik sama ada e-majikan atau e-zakatonline) bagi memperoleh perkhidmatan berkenaan.

Kesimpulannya, pindaan pelarasan di atas hakikatnya adalah satu rahmat kepada orang Islam khususnya mereka yang memang terlibat dengan cukai pendapatan.
Yang lebih penting, pematuhan syariat Allah SWT akan terlaksana tanpa menidakkan undang-undang negara. Inilah namanya, syariat Allah dijunjung dan undang-undang negara dikelek.Wallahu a'lam.

Monday, December 26, 2011

SUSU BAYI CHINA BERACUN



SHANGHAI - 26 December: Satu lagi produk susu China dikesan mengandungi toksin penyebab kanser yang dihasilkan oleh sebuah syarikat tenusu utama negara, kes terbaru dalam skandal keselamatan makanan negara itu.

Pengawal kualiti kerajaan menemui tahap aflatoksin yang tinggi dalam susu keluaran syarikat Mengiu Dairy, menurut kenyataan dikeluarkan syarikat itu, kelmarin.

Mengiu Dairy menjelaskan, produk tenusu yang dihasilkan di loji di Sichuan itu, telah menjalani ujian sebelum dijual dan susu yang tercemar tidak akan sampai ke pasaran.

Namun begitu, produk-produk berkenaan telah dimusnahkan dan syarikat berkenaan memohon maaf kepada pelanggannya.

Selepas beberapa skandal berprofil tinggi, China mula mengambil tindakan tegas terhadap pencabulan keselamatan produk untuk memastikan rakyat negara itu percaya semula kepada kerajaan.

Pencemaran makananan di China sebelum ini membabitkan pelbagai produk daripada barangan perubatan sehingga minyak masak. September lalu, seramai 32 orang ditahan kerana terlibat de­ngan penjualan minyak masak yang diproses dari sisa buangan yang diambil dari longkang.

Sunday, December 25, 2011

10 PENEMUAN PERUBATAN 2011


MAJALAH Time baru-baru ini menggariskan 10 penemuan perubatan sepanjang tahun 2011. Ia meliputi teknik, vaksin, rawatan, diet, penyakit dan risiko.

Teknik pengklonan untuk mencipta sel stem.
Sekumpulan penyelidik melaporkan mereka berjaya menggunakan teknik Pemindahan Sel Nuklear Somatik (SCNT) - teknik yang sama mencipta Dolly, kambing biri-biri yang merupakan mamalia pertama diklonkan - ke atas sel manusia.
Oktober lalu, saintis di Yayasan Sel Stem New York berjaya mengubah-suai teknik tersebut dengan menggabungkan DNA sel manusia dengan bahan genetik sel telur. Cubaan sebelum ini mengklonkan sel manusia menggunakan teknik SCNT gagal.
Penemuan tersebut memberi harapan dalam bidang perubatan kerana berkemungkinan dapat menghasilkan sel stem yang akan digunakan untuk merawat penyakit seperti kecederaan saraf tunjang dan Parkinson, satu hari nanti.

Vaksin Malaria yang pertama.
Vaksin malaria pertama yang telah diuji ke atas kanak-kanak di Afrika merendahkan risiko jangkitan malaria sehingga setengah, penemuan luar biasa memandangkan tiada vaksin menentang parasit manusia atau malaria yang menghidap berjuta-juta kanak-kanak setiap tahun sebelum ini.
Para saintis melaporkan vaksin eksperimen yang dikenali sebagai RTS, S itu efektif sehingga 56 peratus dalam memberi perlindungan kepada kanak-kanak berusia dari 5 hingga 17 bulan daripada terkena jangkitan malaria dalam tempoh setahun imunisasi itu.
Namun, tempoh percubaan vaksin eksperimen itu dijangka hanya akan berakhir pada tahun 2014 kerana saintis masih menjalankan pemerhatian terhadap 15,460 orang kanak-kanak tersebut bagi melihat berapa lama vaksin itu dapat bertahan.

Rawatan HIV sebagai pencegahan
Rawatan untuk HIV telah lama dijalankan dengan penggunaan dadah jenis antiretroviral (ARV) yang dapat merendahkan paras virus itu di dalam tubuh manusia, mengekalkan kesihatan pesakit dan mengurangkan risiko penyebaran HIV.
Kajian baru-baru ini mendapati dadah yang sama digunakan bagi merawat jangkitan itu juga dapat memberi perlindungan kepada mereka yang tidak menghidap HIV daripada dijangkiti.
Dalam satu kajian yang dijalankan penyelidik dari Universiti Washington yang melibatkan sebanyak 4,758 pasangan heteroseksual yang seorang daripada mereka menghidapi HIV positif, penjangkitan virus kurang sehingga 73 peratus selepas tiga tahun apabila pasangan yang tidak dijangkiti virus tersebut mengambil pil ARV.

Piramid makanan menjadi 'sepinggan' makanan.
Jika sebelum ini Garis Panduan Diet untuk Rakyat Amerika (DGA) mencadangkan piramid makanan sebagai diet seimbang yang menyihatkan, kini mereka memperkenalkan MyPlate, carta makanan berbentuk pinggan.
Carta pinggan berwarna-warni itu dibahagikan kepada empat bahagian sama rata iaitu buah, sayur, bijian dan protein serta bulatan kecil di tepi pinggan itu yang mewakili hasil tenusu, menggantikan piramid makanan yang mengelirukan.
Kajian yang dikeluarkan Januari lalu menggalakkan orang ramai untuk merendahkan semua jumlah jenis makanan dan mencadangkan mereka mengurangkan gula, garam dan lemak, menyeimbangkan jumlah pengambilan dengan pembakaran kalori, mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan makanan berasaskan tumbuhan serta makanan laut dan mencadangkan senaman fizikal selama 150 minit setiap minggu.

Bahagian badan membesar di dalam makmal
Pengarah Institut Perubatan Penjanaan Semula Wake Forest, Dr. Anthony Atala Mac lalu mencipta bahagian badan manusia, uretra iaitu tiub kecil yang bertanggungjawab membawa air kencing keluar daripada badan, yang boleh berfungsi dengan baik.
Atala menghasilkan satu bekas menyerupai tiub uretra dan kemudian membenihkannya dengan sel pundi kencing pesakit lalu membiarkan ia 'tumbuh'.
Apabila organ buatan manusia itu dialihkan ke dalam badan pesakit, ia kemudian terus menjalankan tugas menyingkirkan bahan buangan itu.

Kaitan aneh antara bakteria dan kanser usus besar.
Oktober lalu, kumpulan penyelidik melaporkan bakteria Fusobacteria yang jarang ditemui tetapi didapati membiak di sel kanser kolon dan dikaitkan dengan kemungkinan tinggi untuk jangkitan kanser.
Membandingkan tisu kolon yang sihat dan sel kanser, penyelidik mendapati Fusobacteria 100 kali lebih banyak berada dalam sel kanser.
Ia merupakan kali pertama Fusobacteria dikaitkan dengan kanser. Kajian sebelum ini mendapati bakteria itu dikaitkan dengan risiko tinggi penyebab radang usus besar berulser, keadaan di mana keradangan itu menghapuskan sel yang melapisi usus besar.

Penemuan efektif mengurangkan berat badan
Berdasarkan kajian terbaru, dadah jenis Onexa dapat mengurangkan sehingga 10 peratus berat badan pesakit yang obes dalam tempoh setahun.
Pil tersebut menggabungkan dua jenis dadah iaitu phentermine yang mengurangkan selera dan topiramate yang berfungsi mengawal serangan epilepsi dengan mengatur caj elektrik antara saraf otak yang turut mengawal fungsi tubuh membakar kalori.
Pesakit yang mengambil pil tersebut turut menunjukkan kemajuan dalam tekanan darah mereka, paras gula di dalam darah dan tahap kolestrol, semua yang dapat merendahkan risiko penyebab serangan jantung.

Anjing boleh menghidu kanser paru-paru
Penyelidik dari Jerman baru-baru ini berjaya melatih sekumpulan anjing selama sembilan bulan untuk membezakan sampel nafas pesakit kanser paru-paru dan mereka yang sihat.
Saintis mendapati anjing-anjing itu dapat menyedari perubahan sebatian yang tidak begitu ketara dalam nafas pesakit kanser tetapi mereka tidak dapat menerangkan apa perubahan tersebut.

Air liur menentukan usia
Penyelidik dari Universiti California, Los Angeles (UCLA) mendapati usia mayat yang ditemui dapat ditentukan dari bahan genetik mereka iaitu air liur. Pengaruh persekitaran seperti diet, tekanan, pendedahan terhadap cahaya matahari dan sebarang agen yang mengakibatkan pertumbuhan kanser dalam tisu malah toksik sekalipun tidak dapat menukar DNA di dalam air liur.

Peramal risiko kematian?
Satu kajian mendapati ujian darah yang ringkas dapat meramalkan siapa yang berkemungkinan untuk meninggal dunia kerana serangan jantung ataupun kanser. Kajian selama 12 tahun terhadap hampir 2,000 orang mendapati mereka yang mempunyai paras enzim digelar katepsin S di dalam darah lebih berkemungkinan besar untuk meninggal dunia akibat penyakit tersebut.
Penyelidik masih tidak dapat menentukan bagaimana katepsin S menyebabkan sakit jantung atau kanser tetapi syarikat perubatan kini sibuk cuba menghasilkan bahan yang dapat menyekat kesannya.

5 PENYAKIT UTAMA WANITA


Fibroid
Fibroid ialah ketumbuhan biasa atau ketumbuhan benigna yang mengandungi tisu-tisu otot dan berlaku di dalam rahim. Ketumbuhan fibroid menyerang lebih seorang daripada setiap lima orang wanita di bawah umur 50 tahun. Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 20 peratus wanita dalam lingkungan usia subur, iaitu 30 hingga 40 tahun menghidap fibroid. Mereka yang berisiko untuk menghidap fibroid ialah wanita pada usia subur (30 - 40 tahun), wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan atau indeks jisim badan melebihi 25kg/ m², wanita yang mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalami fibroid dan wanita yang tidak pernah melahirkan anak (nulliparous). Ada fibroid yang mencetuskan simptom dan ada juga yang berlaku tanpa simptom. Secara umumnya, wanita yang berada dalam lingkungan usia subur akan berisiko tinggi untuk menghidap fibroid. Dalam lingkungan umur ini, wanita digalakkan untuk hamil dan melahirkan anak.

Endometriosis
Endometriosis mengambil maksud daripada perkataan endometrium, iaitu endo, 'dalam', dan metra, 'rahim'. Ianya membawa maksud kepada keadaan atau kejadian di mana lapisan tisu yang melitupi bahagian dalam rahim didapati berada di luar kawasan rahim, atau kawasan lain pada sekitar sistem reproduksi seseorang wanita. Simptom utama penyakit ini adalah sengugut dan sakit pada bahagian pelvik. Di Malaysia, tiada statistik khusus yang dijalankan bagi pengidap endometriosis. Endometriosis merupakan masalah yang kerap berlaku. Hampir satu pertiga pengidap endometriosis menjadi punca mandul (infertiliti) dalam kalangan wanita.

Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)
PCOS merupakan gangguan hormon yang paling tinggi dalam kalangan wanita yang berada pada peringkat subur dan menjadi salah satu faktor ketidaksuburan (infertiliti) dalam kalangan wanita. Gejala sindrom ini berbeza antara wanita yang menghidapinya. Namun, punca berlakunya sindrom ini masih belum diketahui secara jelas. Gejala PCOS boleh menjadi tidak ketara atau ketara dan ia berbeza antara seorang penghidap dengan penghidap yang lain. Antara gejala yang mungkin berlaku termasuklah kedatangan haid yang sedikit dan tidak teratur atau mengalami oligomenorea dan kadangkala amenorea (ketiadaan haid), bulu roma yang berlebihan tumbuh di badan (hirsutisme), masalah jerawat yang teruk dan kronik, masalah obesiti, masalah keguguran berulang, masalah kulit menjadi lebih gelap (akantosis nigrikan), dan juga masalah kebotakan menyerupai lelaki (male baldness).

Anorexia Nervosa
Anorexia atau nama saintifiknya 'Anorexia Nervosa' berasal daripada gabungan perkataan Greek (Anerektos) dan Latin (Nervosa) yang membawa maksud tiada selera dan juga gangguan makan akibat kesan psikologi dan fizikal yang teruk. Ia adalah sejenis gangguan disebabkan oleh peraturan sendiri yang terlalu ketat berhubung dengan cara berdiet dan akhirnya mengakibatkan gangguan makan yang dimanifestasi oleh penolakan makanan yang mengakibatkan berat badan berkurangan sampai ke tahap yang membahayakan. Penderita ingin menjadi kurus kerana kegemukan dianggap tidak menarik, tidak sihat, tidak mengikut 'trend' dan juga tidak diinginkan. Kecelaruan gaya pemakanan merujuk kepada obsesi seseorang yang terlalu memikirkan mengenai berat badan dan apa yang dimakan. Obsesi ini mempengaruhi tabiat dan gaya makan serta segala aktiviti harian yang berkait langsung dengan makanan.

Menopaus
Putus haid atau menopaus ialah waktu pertengahan usia seseorang wanita itu, apabila dia berhenti mengeluarkan haid. Hal ini terjadi, apabila ovari (kilang telur) berhenti menghasilkan telur. Biasanya, menopaus terjadi secara perlahan-lahan dalam suatu jangka waktu yang panjang. Namun begitu, ada juga kes yang berlaku secara mendadak. Kesannya, ia akan mempengaruhi hormon, badan dan perasaan seseorang wanita. Ada sebahagian wanita tidak merasakan apa-apa perubahan atau gangguan, manakala sebahagian besar mengalami gangguan vasomotor (seperti hangat memerah, berpeluh, susah tidur, berdebar-debar, panas baran, pelupa, mudah berkecil hati, kurang konsentrasi), fizikal dan kejiwaan (seperti kemurungan dan stres) yang boleh mengurangkan dan mengganggu gugat kualiti hidup. Dalam hal ini, sepasang suami isteri perlu mempunyai pengetahuan tentang menopaus

Friday, December 23, 2011

MAKANAN SEGERA BERASASKAN SAYURAN

KUALA TERENGGANU 22 Dis. - Jangan terkejut kalau selepas ini makanan segera seperti burger, sosej dan sandwic tidak lagi diperbuat daripada daging atau ikan seperti lazimnya.
Sebaliknya ia dihasilkan produk berasaskan sayuran seperti ubi keledek, hampas kelapa, ubi kentang dan sayuran lain yang rasanya lebih enak selain menjamin kesihatan penggemarnya daripada terkena pelbagai penyakit kronik khususnya barah dan obesiti.
Produk makanan segera dengan ramuan baharu itu dicipta hasil kreativiti pelajar Fakulti Teknologi Makanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini.
Dekan fakulti itu, Prof. Dr. Che Abdullah Abu Bakar berkata, makanan seumpama itu dihasilkan daripada bahan mentah berupa sayuran tempatan yang bersih daripada sebarang campuran yang boleh memudaratkan sehingga mengundang penyakit.
Beliau menjelaskan, makanan berasaskan sayuran itu juga mengandungi kadar serat tinggi yang boleh membantu pengguna dari segi kesihatan.
“Peringkat awal, kita adakan pertandingan hari ini yang disertai enam kumpulan pelajar dari Fakulti Teknologi Makanan UniSZA yang menghidangkan produk makanan segera berasaskan sayuran.
“Kita percaya, makanan seperti ini mempunyai potensi digemari ramai yang bukan saja sedap dan enak dimakan malah lebih selamat,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Produk Makanan 2011/2012 di Kampus Kota UniSZA di sini, semalam.
Beliau memberitahu, pihaknya bersedia memain peranan untuk membuat pembaikan kualiti makanan seumpama itu sebelum menembusi pasaran tempatan.
Mengenai pertandingan tersebut, jelasnya, ia diadakan buat kali kedua selepas mula diperkenalkan tahun lalu yang disertai para pelajar fakulti berkenaan.
“Daripada kumpulan yang bertanding, satu kumpulan akan dipilih untuk menyertai pertandingan dwi-tahunan antara universiti tempatan iaitu Malaysia Institute of Food Technology (MIFT) tahun depan dengan UniSZA menjadi tuan rumah,” katanya.
Kata Che Abdullah, pada pertandingan serupa tahun lalu, UniSZA muncul naib johan manakala johan disandang oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ketiga.
Dalam pada itu, pada pertandingan semalam, kumpulan Spot yang menampilkan produk sweet potato sausage muncul johan diikuti Cocoron (naib johan) dan Viggie (ketiga).
Kumpulan Cocoran mempertandingkan produk coconut fiber macaroon manakala kumpulan Viggie dengan vegetarian burger.

JANGKA HAYAT MENINGKAT !



PUTRAJAYA 22 Dis. - Purata jangka hayat untuk lelaki dan perempuan di Malaysia masing-masing meningkat daripada 70 tahun dan 74.7 tahun pada 2000 kepada 71.9 tahun dan 77 tahun pada 2010.
Ketua Perangkawan, Dr. Abdul Rahman Hasan berkata, wanita keturunan Cina mempunyai jangkaan hayat tertua iaitu 79.8 tahun, diikuti perempuan India (76.2 tahun), perempuan bumiputera (75.3 tahun), lelaki Cina (74.4 tahun), lelaki bumiputera (70.5 tahun) dan lelaki India (68 tahun).
''Indikator demografi menunjukkan bahawa 475,816 bayi dilahirkan pada 2010 berbanding 129,327 yang mati pada tahun sama, ini bermakna pertambahan semula jadi penduduk Malaysia adalah seramai 346,489 orang," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman Laporan Taburan Penduduk Mengikut Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Mukim 2010 dan Produk Statistik 2011/2012 yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, kadar kesuburan atau kelahiran anak oleh pasangan di Malaysia telah merosot daripada purata tiga orang anak pada 2000 kepada 2.2 orang anak pada tahun 2010.
''Kadar kesuburan bumiputera adalah 2.6 anak, Cina (1.5 anak) dan India (1.7 anak).
''Antara faktor yang menyumbang kepada trend ini adalah peningkatan jumlah wanita yang bekerja, wanita tersebut juga boleh membuat keputusan untuk menentukan saiz keluarga mereka dengan menggunakan teknologi (mencegah kehamilan) yang ada," katanya.
Tambahnya, sebanyak 95 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia tinggal dalam kawasan PBT berbanding 89 peratus pada tahun 2000.
''Daripadanya, 67.5 peratus penduduk terdiri daripada kumpulan umur bekerja iaitu 15 hingga 64 tahun berbanding 63.1 peratus pada tahun 2000.
''Bagi kumpulan umur melebihi 64 tahun, saiz penduduk ialah lima peratus dan umur kosong hingga 14 tahun sebanyak 27.5 peratus," katanya.
Mengulas isu berkaitan, Nor Mohamed berkata, Malaysia belum lagi mencapai tahap negara tua kerana hanya kira-kira lima peratus daripada rakyat berumur 65 tahun ke atas berbanding standard antarabangsa untuk negara tua iaitu tujuh peratus.
''Populasi Malaysia masih muda dan peratusan yang tergolong dalam kumpulan produktif adalah tinggi," katanya.

Wednesday, December 21, 2011

DUIT BARU !


KUALA LUMPUR 21 Dis. - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memperkenalkan satu siri wang kertas dan duit syiling baharu yang akan berada dalam edaran pada separuh kedua 2012.
Wang kertas itu melibatkan denominasi RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100 manakala duit syiling itu pula dalam denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen.
Duit syiling itu dilancarkan pada 25 Julai 2011 tetapi hanya akan berada dalam edaran Januari ini. Pelancaran wang kertas dan duit syiling itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini. Ini kali keempat mata wang kertas baharu diperkenalkan dan kali ketiga untuk duit syiling.
Pelancaran wang kertas itu juga dilihat sebagai lanjutan kepada pengenalan wang kertas baharu dalam denominasi RM50 yang kini berada dalam edaran. Daripada semua wang kertas itu, hanya RM1 dan RM5 dihasilkan dengan penggunaan substrat polimer.
Menurut BNM, wang kertas siri baharu ini turut mengandungi ciri-ciri keselamatan yang dipertingkat sejajar dengan kemajuan terkini dalam teknologi wang kertas.
''Ciri-ciri keselamatannya termasuk imej tanda bayang, tingkap pandang telus, potret tera air dengan piksel dan angka, benang keselamatan dengan warna berubah-ubah, benang kanta mikro, tanda pandang telus dan petak kilat berwarna untuk memudahkan orang ramai mengenalinya.
''Wang kertas itu juga boleh dikenal pasti melalui sentuhan untuk memudahkan golongan kurang upaya penglihatan untuk mengenali dan membezakan denominasi yang berlainan,'' kata kenyataan itu.
Wang kertas siri baharu ini diinspirasikan daripada ciri-ciri unik negara dan memasukkan elemen kekayaan alam semula jadi, budaya dan khazanah negara.
''Dengan tema 'Keunikan Malaysia', siri wang kertas ini memaparkan ekspresi tradisional berilhamkan seni dan kraf tangan, keajaiban alam semula jadi, flora dan fauna, serta ekonomi,'' jelas bank itu lagi.
Sementara itu, BNM turut mengeluarkan wang kertas peringatan bersempena dengan pengenalan mata wang siri baharu ini.
Tiga jenis set wang kertas peringatan yang dijual adalah denominasi RM1 dan RM5 pada harga RM15 setiap satu, denominasi RM20 berharga RM30 setiap satu dengan jumlah terhad iaitu 500,000 set.
BNM turut menjual set premium (denominasi RM1, RM5, RM10, RM20, RM50 dan RM100) - 50,000 set yang berharga RM300 setiap satu.
Ia mula dijual pada 22 Disember 2011 di Ibu Pejabat BNM (BNMLINK) dan cawangan-cawangan di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu.

Monday, December 19, 2011

EZAD EXIST DI KEMANGI

Tahniah dan syabas Ezad Exist atas kesudian mengunjungi Kemangi pada 18 December lalu.Penyanyi yang kini muncul solo dengan nama baru "Ezad Lazim" ini sempat meluangkan masa untuk makan malam sambil melayani peminat-peminat bergambar hatta sampai ke ceruk dapur Kemangi !



PUTERI HARBOUR















Sunday, December 18, 2011

KELUHAN SI HAWA


Kaum hawa selalu mengeluh dan melafazkan “susahnya jadi wanita”,…..
bagaikan mempersoalkan ketentuan Allah . Dengan kata lain yang agak kasar, Allah berat sebelah dan meletakkan kaum wanita dalam keadaan tertindas.

 Keluhan remaja perempuan A:
“susah betul, situ tutup, sini tutup. Susah ler... Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak.”

Keluhan isteri A:
“Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar kemana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak.”

Keluhan remaja perempuan B:
“Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat.
Kami mahu keadilan!”

Keluhan isteri B:
“Kenapa Allah jadikan wanita mengandung ….sakitnya nak melahirkan anak.
Suami kita rileks saja? Masa nak buat anak cari kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!”

Keluhan isteri C:
“Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, ……tapi ada Islam cakap suami perlu taat pada isterinya?
Mana keadilan pada kaum hawa?”

Keluhan isteri D:
“Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak boleh ceraikan suaminya? Kenapa?”

Keluhan remaja perempuan C:
“Wanita tak boleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa.
Ingat perempuan ni suka ke tak solat takleh puasa?”.


Lelaki beriman menjawab keluhan remaja perempuan A:
“Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan dirumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu? Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi dikalangan orang, agaknya apa akan jadi dengan barang perhiasan tadi….

Lelaki beriman menjawab keluhan isteri A:
“Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa?
Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga.
Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!”

Lelaki beriman menjawab keluhan remaja perempuan B:
“Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu. …..anda berhak tak kongsi dengan sesiapa walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya.
Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!”

Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri B:
“Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat!
Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah… itu mati syahid dan ganjarannya syurga.
Ya, syurga menanti awak malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua!
Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan”

Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri C:
“Akhirat nanti, saya dan lelaki lain didunia ini akan diminta bertanggungjawab keatas empat jenis wanita. Siapa?
Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya?
Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!”

Lelaki beriman menjawab Keluhan remaja perempuan C:
“Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga?
Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu?
Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak. Itu saja asasnya!”

Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri D:
“Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya,dan menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah,
maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!”

Lelaki beriman bertanya, “Sebenarnya, apa lagi yang awak mahu, wahai kaum hawa?”

Salah seorang wanita itu berkata, “MasyaAllah, sayangnya Allah pada wanita, namun kami sendiri yang mengheret diri ke neraka yang mana ramainya kaum kami berbanding kaum lelaki.”

Demikianlah dialog wanita-wanita yang curiga itu dengan seorang lelaki biasa beriman. 
Musuh Islam tidak akan berhenti melakukan segala upaya, sampai kita ikut dan tunduk kepada cara-cara dan peraturan yang dipromosikan dan diperjuangkan mereka.

Allah, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Tahu keperluan manusia,
sehingga segala hukumNya malah peraturanNya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan
dengan segala peraturan yang dicipta manusia.

Lelaki pula , marilah kita jadi spt lelaki beriman tadi … kena jagalah isteri kerana dia perhiasan, pakaian dan ladang,
sebagaimana Rasulullah s.a.w pernah mengajarkan agar kaum lelaki berbuat baik selalu (lembut) terhadap isteri anda sekalian.
Berbahagialah wahai para muslimah. Tunaikan dan tegakkan agamamu, nescaya syurga menanti.

Usahlah mengeluh kaum wanita.
Sesungguhnya Allah swt sayang padamu

Wallahuaklam.

INFO KULIT & BULU B*B*


ANOTHER TREATMENT FOR BURNS

Once I was cooking some corn and stuck my fork in the boiling water to see if the corn was ready. I missed and my hand went into the boiling water....

A friend of mine, who was a Vietnam vet, came into the house, just as I was screaming, and asked me if I had some plain old flour...I pulled out a bag and he stuck my hand in it. He said to keep my hand in the flour for 10 mins. which I did. He said that in Vietnam, this guy was on fire and in their panic, they threw a bag of flour all over him to put the fire out...well, it not only put the flour out, but he never even had a blister!!!!

I put my hand in the bag of flour for 10 mins, pulled it out and had not even a red mark or a blister and absolutley NO PAIN. Now, I keep a bag of flour in the fridge and every time I burn myself, I use the flour and never ONCE have I ever had a red spot, a burn or a blister!
cold flour feels even better than room temperature flour.

Miracle, if you ask me. Keep a bag of white flour in your fridge and you will be happy you did. I even burnt my tongue and put the flour on it for about 10 mins. and the pain was gone and no burn. Try it!


By the way, don't run your burn area under cold water first, just put it right into the flour for 10 minutes and experience a miracle!

HIKMAH JANGGUT SUNNAH

Hikmah Janggut di sebalik Sunnah Rasulullah

Sabda Rasulullah SAW, ”Cukurlah kumis dan peliharalah janggut.” (HR. Muslim)

Kajian terhadap janggut menyerlahkan satu lagi bukti saintifik tentang apa yang disunnahkan oleh Nabi kita sejak lebih seribu tahun dahulu.

Dr Jamnul Azhar Mulkan, seorang doktor perubatan, pemilik rangkaian klinik juga seorang pendakwah, dalam satu ceramah, mendedahkan hasil kajian yang sangat luar biasa mengenai khasiat janggut. Ia bukan tunggul gerigis, bukan penyeri atau penyerabut wajah tetapi jauh lebih hebat daripada itu.

Menurutnya, kajian oleh saintis dari Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat yang berjudul ‘
The Amazing Fact of Human Body’ mendapati janggut lelaki mengandungi hormon testosteron yang amat diperlukan bagi kesuburan wanita. Ia mampu menstabilkan kitaran haid selain menggalakkan pertumbuhan telur wanita.

SUBHANALLAH!

Caranya bagaimana? Hanya melalui sentuhan. Jadi kepada sesiapa yang belum punya anak kerana ada masalah kesuburan, ataupun jarang anak dan mahu dirapatkan lagi, mintalah suami simpan janggut, dan belailah selalu janggut suamimu itu !!

WORKAHOLIC VS SOLATHOLIC

"Kami menghadapi masalah dua ekstrem dalam organisasi ni," kata seorang pengurus bahagian sumber manusia.

"Ekstrem? Fahaman melampau? Militan?" tanya saya bergurau.

"Bukan. Tapi pertentangan antara dua golongan. Satu workaholic dan satu lagi solatholic."

Saya terkejut dengan istilah itu. Workaholic memang selalu saya dengar tetapi kalau "solatholic" itulah kali pertama saya mendengarnya. "Encik tahu apa maksud workaholic?" tanyanya.

"Orang yang gila atau mabuk kerja," jawab saya merujuk kepada makna yang diberi  dalam kamus seperti yang pernah saya baca dahulu.

"Solatholic pula orang yang gila solat!" jelasnya tanpa dipinta.

"Jadi apa masalahnya?"
"Dua golongan melampau ini boleh menjejaskan operasi organisasi ini."
"Bagaimana?"
"Yang workaholic mabuk kerja hingga tinggal solat. Dan encik tentu tahu apa akibatnya orang yang tinggalkan solat..."

Belum sempat saya membalas katanya, dia bersuara lagi, "Mereka ini kerja beres tetapi ada masalah dengan rakan sekerja yang lain."

"Yang solatholic bagaimana?"
"Rajin solat tapi kerja tak beres. Kerja sambil lewa. Bagus beragama tetapi culas kerja."

"Itu kira tak bagus beragamalah" pintas saya perlahan.
"Mengapa?"
"Agama itu kan cara hidup yang sempurna? Termasuk solat, kerja dan seluruh sistem hidup. Jadi orang yang culas kerja ertinya culas juga beragama. Begitu juga orang yang rajin bekerja tetapi malas solat. Itupun tidak sempurna dalam beragama," jelas saya agak panjang.

Mabuk Solat 

"Bagaimana nak tangani masalah dengan kelompok solatholic ni?"
"Solatholic bukan masalah," ujar saya.
"Bukan masalah kata awak? Orang ini mabuk sembahyang!"
"Apa maksud dengan mabuk sembahyang?"
"Banyak sembahyang"
"Kalau begitu tak salah mabuk sembahyang sebab nabi Muhammad pun begitu...."

"Maksud awak?"
"Nabi s.a.w. begitu banyak solat malah lama berdiri dalam solat, sehingga kakinya bengkak-bengkak. Kalau itu boleh dikatakan solatholic, ya Nabi Muhammad boleh dikatakan solatholic. Bahkan Baginda menganjurkan jika kita hendak bersamanya di syurga kelak, perlu banyakkan sujud."
"Rasulullah diberitakan apabila sujud, seakan-akan tidak mahu bangkit lagi," tambah saya lagi.

Pengurus itu diam. Mungkin dia berasa serba salah dengan kata-katanya tadi.

Nabi s.a.w. juga Workaholic

Saya senyum, sambil menepuk bahunya. "Tapi Nabi Muhammad juga workaholic."
"Ha? Nabi juga workaholic?"
Nampaknya dia agak terkejut dengan ayat saya itu.
"Ya. Bayangkan bagaimana Rasulullah s.a.w. begitu banyak kerja dan menyelesaikan banyak urusan. Mentadbir, menyusun masyarakat, menunjuk ajar, menyelesai masalah, mendidik, memimpin dan pelbagai lagi tugasan dalam keluarga, masyarakat dan negara."
"Jadi Baginda seorang yang workaholic."

"Tidak tahulah apa yang dimaksudkan dengan istilah workaholic itu tepat atau tidak, tapi jika bermaksud kerja keras, banyak bekerja dan gigih pula...ya Rasulullah s.a.w. memang begitulah."

"Jadi seorang itu boleh jadi solatholic dan dia juga workaholic pada suatu masa yang sama seperti Rasulullah?"
"Ya, sewajarnya begitu. Cuba dengar apa yang diluahkan oleh Sayyidina Umar al-Khattab insan yang berjaya meneladani Rasulullah s.a.w."
"Apa katanya?"
"Aku bimbang untuk tidur pada siang hari, takut urusanku dengan manusia tidak selesai. Dan aku juga bimbang untuk tidur pada malam hari takut urusanku dengan ALLAH tidak selesai."

Dia diam. Benar-benar berfikir dalam.
"Pada siang hari Umar al-Khattab seorang yang workaholic dan pada malam harinya pula dia seorang yang solatholic. Itu maksud awak?"

"Pray hard, work smart. Begitulah kira-kiranya,"saya mengiakan.
"Bagaimana boleh jadi begitu? Apa yang saya faham solatholic dan workaholic tidak mungkin bersatu pada diri seseorang. Kalau dia solatholic, automatik dia bukan workaholic. Begitulah sebaliknya"
"Tidak begitu. Bekerja adalah satu ibadah. Ibadah umum namanya. Manakala solat juga satu ibadah. Ia adalah ibadah yang khusus  atau ibadah asas. Kedua-duanya dituntut oleh Islam untuk dilaksanakan."

"Ada kaitan antara ibadah asas dan ibadah umum? Maksud saya antara solat dengan kerja?"
"Ibadah asas itu banyak berkaitan dengan hubungan manusia dengan ALLAH. Ibadah umum pula berkaitan dengan hubungan kita sesama manusia."
"Ada kaitan tak?" tanyanya sekali lagi.
Saya diam. Berfikir sejenak.
"Orang yang paling kuat hubungannya dengan ALLAH dialah yang juga paling kuat hubungannya sesama manusia."

"Kenapa?"
"Sebab kesan daripada kuat hubungan sesorang itu dengan ALLAH akan memberikan dia satu ketulusan dan kekuatan untuk berhubung sesama manusia. Solat akan memberi satu tenaga, semangat dan kekuatan dalam bekerja."
"Bagaimana?"
Saya mula diasak dengan soalan bertubi-tubi. Tapi saya akur, bukan maksud dia untuk berbahas. tetapi didorong oleh rasa ingin tahunya yang semakin tinggi.

Solatholic Tapi Malas Bekerja?

"Solat akan memberikan kita ketenangan hasil mengingati ALLAH. Solat akan mencegah daripada kejahatan dan kemungkaran."
"Cuba lihat rukun fi'li, qauli dan qalbi semasa solat. Bukankah semua itu mendidik kita agar bersih, menepati waktu, amanah, bercakap dan berbuat yang dibenarkan sahaja? Kesan solat yang sempurna akan memberikan kekuatan, keberkesanan dan kecekapan dalam bekerja," terang saya satu persatu.
"Tetapi kenapa ada yang solatholic tetapi malas bekerja?"
"Tentu ada yang silap dan salah dengan solatnya. Mungkin solat itu dilaksanakan berdasarkan ritual semata-mata. Tidak difahami makna, tuntutan dan tujuannya. Itu solat yang tidak berjiwa. Umpama bangkai yang tidak bernyawa. Solat semacam itu tidak akan memberi kesan apa-apa kepada perlakuan dan pekerjaan selepas mengerjakannya" 

"Hairan pula kenapa yang workaholic tetapi malas solat?"
"Sebabnya sama sahaja. Jika golongan pertama tadi mengerjakan solat tanpa kefahaman dan penghayatan, golongan kedua ini pula enggan mengerjakan solat kerana tidak nampak apa manfaat solat dalam kehidupan mereka, apatah lagi pada pekerjaan mereka. Solat dan karier terpisah. Itu anggapan mereka."

"Jadi bagaimana mengatasinya?"
"Golongan rajin solat mesti disedarkan, difahamkan dan dididik untuk bekerja kerana kerja itu satu ibadah. Tanda akrabnya seseorang dengan ALLAH adalah banyaknya dia berkhidmat untuk manusia. Saiyidina Umar pernah mengusir sekumpulan lelaki yang asyik duduk di dalam masjid tetapi tidak bekerja."

"Bagi golongan workaholic pula?"

"Mereka mesti juga melalui proses yang sama yakni menyedari bagaimana solat itu akan memberi kekuatan dan ketenangan semasa bekerja. Ingat, tadbir kita walau sekuat atau sebijak mana sekalipun masih tertakluk kepada takdir ALLAH yang Maha Besar."

"Dan bagi mereka yang workaholic ini juga, kita perlu berikan peringatan. Jangan nanti stres, kecewa dan keletihan melanda kita kerana keterlaluan memerah keringat atau mengasah fikiran. Solat perlu kerana ia memberi satu kerehatan dan penyembuhan kepada keletihan jiwa dan jasad. Lagipun rugi, jika solat ditinggalkan akan menyebabkan kerja mereka yang banyak itu tidak dikira sebagai ibadah. Hanya dapat laba tetapi kosong pahala. Ingat, solat itu kepala ibadat. Tanpa solat, segala amalan yang lain tidak akan diterima oleh ALLAH."

Sinergikan Solat dan Kerja

"Jadi tidak salah menjadi workaholic dan solatholic jika kita memahami dan mengamalkan ajaran Islam yang sempurna. Bahkan kita memang dituntut begitu. Bukankah begitu?"
Saya mengangguk.
"Workaholic untuk manusia, solatholic untuk ALLAH?"
"Yang paling tepat adalah bekerja kerana ALLAH untuk manusia!"

"Apa dia ungkapan yang awak katakan tadi?"
"Yang mana satu?" saya sendiri sudah terlupa.
"Pray hard work smart!"
"Orang yang solatholic seharusnya menjadi orang yang workaholic. Solat akan membentuk orang yang mampu bekerja keras. Orang yang workaholic perlu melaksanakan solat, agar mendapat kekuatan, ketenangan dan mencegahnya daripada penyelewengan seperti rasuah, penindasan dan perbalahan sewaktu melaksanakan kerjanya" 

"Pemikiran ini akan saya sampaikan untuk meredakan konflik antara solatholic dan workaholic dalam organisasi ini!" ujarnya gembira.

Saya senyum lebar akhirnya. Alhamdulillah, semoga semua persoalan tadi dapat diselesaikan dengan jelas dan tuntas.

Namun jauh di sudut hati, masih ada ksedihan yang berbekas. Ya, jelas sekali betapa hubungan sinergi dan serasi antara solat dengan kerja sudah semakin kabur dalam diri umat ini. Bukan sahaja dalam amalinya bahkan dalam teorinya. Benarlah seperti yang selalu diungkapkan, Islam bukan sahaja agama yang paling disalahertikan oleh bukan Islam malah oleh umat Islam sendiri!